BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 31 March 2015

Bapa Suruh Anak Jalani Ikat Peranakkan

Bapa SMS suruh Anak jalani Ikat Peranakan
Pukul 11.29 malam, terdengar sms masuk. Saya buka dan baca. " Salam puan, Fina dah bersalin, belum? Kalau belum, minta doktor ikat. Sebab dah 4 kali bersalin, dan Fina tu saya cadangkan tinggal terus di rumah puan, jadi pembantu. Kalau tidak, perkara yang sama akan berulang."

Oleh kerana tidak ada nama pengirim, hanya nombor yang tertera , saya balas sms, " Ini siapa?"

"Nordin, bapa Fina." (Nama-nama yang terpapar bukan nama sebenar)

Ulasan saya, " menerung punya bapak, seperti mengalakkan anak terus buat maksiat, macam nak kata lepas ni kalau nak berzina, teruskan aja dah tak risau mengandung lagi."

Sebelum ni pun ada seorang ibu memohon doktor pakar perbidanan untuk ikat salur folopian anaknya supaya tidak mengandung lagi. Doktor pakar sudi minta pandangan saya.

"Kenapa nak ikat? "

"Saya tak larat nak jaga dia, dia suka jalan jalan mana dia suka, dan orang suka ambik kesempatan atas kelemahan dia."

"Puan, nampaknya lepas ni puan dah tak kisah anak puan dijadikan pemuas nafsu lelaki, sesiapa pun yang tergerak nak guna dia, puan biarkan. Puan dah tak payah cari dimana anak puan berada, begitu ke?"

"Tidaklah sampai gitu."

"Habis tu, kenapa nak suruh ikat? Patutnya bila sudah terjadi macam ni, puan akan lebih prihatin terhadap anak puan, ambik tahu kemana dan dengan siapa dia keluar. Buat larangan dalam situasi win win."

Tunduk dan terdiam ibu tu memikir sesuatu. Tapi memang itulah tugas seorang ibu yang Allah amanah dan pertanggungjawapkan sehingga anak itu bernikah. Berat atau mudah kena redha dan terima tanggungjawap ni. Bukan boleh ambik mudah dan cari jalan mudah.

Kembali semula cerita sms dari bapa tadi tu, jika bapak tu dah serah anaknya kepada jagaan saya, maka dengan rendah diri, saya memohon pertolongan Allah, supaya dia istiqomah dalam beramal dengan ilmu yang dia dapat di Baitus Solehah. Saya pun takde sebarang daya upaya melainkan mengharapkan pertolongan Allah. Moga moga dia selamat dalam perjalanan menuju keredhaan Allah. Bapaknya tidak yakin anaknya boleh berubah untuk menjadi hamba yang mentaati Allah dan rasulNya. Biarlah, Baitus Solehah akan terus membimbing dia menjadi hamba Allah yang diredhai

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 30 March 2015

Apakah Yang Mendorong Untuk Saya Berkhidmat Untuk Ummah?


Makan Berjemaah Dalam Dulang
Apakah Yang Mendorong Untuk Saya Berkhidmat Untuk Ummah? Adakah Saya menyesal dengan Keterlibatan ini?

Ketika saya merancang untuk bersara awal, langsung tidak terlintas dalam fikiran saya untuk mengasaskan Baitus Solehah atau berkhidmat untuk ummah. Saya membuat keputusan untuk bersara awal kerana keadaan kesihatan saya.

Sebelum membuat pilihan untuk bersara, 3 tahun berturut-turut saya mendapat cuti sakit selama 180 hari dalam tempoh satu tahun. Saya telah menjalani beberapa siri pembedahan sendi kaki dan masalah jantung.

Saya fikir, jika terus berada dalam perkhidmatan awam, tetapi selalu sakit, ia merugikan pihak lain terutama kerjaya sebagai pendidik, nama dalam senarai perjawatan tetapi sering cuti sakit. Adalah lebih baik saya bersara, kekosongan jawatan boleh diisi oleh orang lain.

Sebaik saya bersara, masa saya difokuskan sepenuhnya bersama laman sesawang halaqah.net. Di sini saya kasih dan sayang ditumpahkan. Menyantuni para pelayar halaqah.net yang terdiri dari pelbagai golongan. Setiap mereka mempunyai masalah dalam latar yang berbeza. Masalah para isteri bekerjaya, poligami, siswa siswi, pendidikan, ibadah, tauhid, akhlak, termasuk remaja.

Dalam selitan ribuan masalah yang dikongsikan ada remaja yang terlanjur. Mereka meluahkan kepada saya masalah yang dihadapi. Permulaan, saya mencadangkan mereka ke rumah perlindungan lain. Namun kebanyakkan rumah perlindungan agak tertutup dan selalu penuh. Ditambah pula untuk tinggal di rumah perlindungan mereka perlu membayar sejumlah kos.

Satu yang Allah lintaskan dalam hati saya, 'kenapa Allah beri hadiah kepada saya, dan saya nak berikan hadiah itu kepada orang lain?' Sebenarnya Allah datangkan masalah kepada remaja itu, dan ia diceritakan kepada saya untuk bantuan, adalah hadiah Allah kepada saya jika saya ada usaha membantunya. Dia datang berkongsi masalah dan meminta untuk dibimbing bertaubat. Jadi kenapa saya tak nak bantu dia?

Ini adalah sebahagian usaha dakwah juga. Usaha membimbing orang orang yang ingin bertaubat dan berubah. Ya, mereka dah melakukan kesilapan, mereka sudah terlanjur hamil, apakah pintu taubat sudah tertutup untuk mereka?

Jenuh kita berdakwah dengan pemuda pemudi dengan mengajak solat, mengajak tutup aurat dan sebagainya, tapi mereka tak nak sebab hati belum terbuka nak berubah. Sedangkan remaja yang sudah terlanjur ini, mereka yang dah insaf, tersedar akan salah silap mereka, mereka datang kepada kita, kenapa kita tak nak bimbing dan tarbiyah?

Apabila mereka datang kepada kita untuk minta dibimbing bertaubat dan berubah, sudah pasti kita akan mulakan dari akidahnya, fardhu ainnya dan akhlaknya. Kita tanam semula iman dalam jiwanya, kita ajar semula taharah, wudhuk dan solatnya. Kita ajar dia membaca al-quran agar jiwanya yang resah kembali tenang. Kita ajak dia untuk menutup aurat dengan sempurna dan kita cuci hatinya agar bersih bagi menghasilkan akhlak mulia.

Alangkah mudahnya jalan-jalan untuk saya berdakwah. Tanpa perlu saya keluar dari rumah. Atas peluang yang Allah beri inilah saya terima remaja terlanjur untuk dibantu dan dibimbing. Selain membantu menutup aibnya dan menjaga maruah keluarga.

Bermula dengan satu orang, dan satu orang sehingga dalam satu masa ada 3 orang menceritakan masalah yang sama. Saya pula suka menulis dan berkongsi kisah mereka untuk dijadikan iktibar kepada masyarakat. Saya berfikir, kenapa tidak saya war-warkan usaha untuk membantu lebih ramai remaja bermasalah begini? Dan nak buat kerja ini mesti ada ilmu dan pengetahuan. Saya mula bertemu beberapa pihak tertentu untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan kesihatan, makanan dan keselamatan penghuni Baitus Solehah. Kertas kerja penubuhan Baitus Solehah saya siapkan dengan mudahnya setelah mempunyai pengalaman awal sebelumnya.

Arus kehidupan zaman ini yang telah jauh menyimpang dari ajaran agama telah menggalakkan perzinaan. Lebih ramai remaja terlibat. Yang menanggung akibatnya perempuan, yang terlepas lelaki. Yang perempuan pulak, selagi tidak ada kesan dan akibat, sudah pasti berzina itu menjadi rutin dan santapan harian. Hanya kerana telah hamil, baru mereka sentap dan tersedar. Hamil tanpa suami adalah pengalaman paling kejam untuk mereka lalui. Apabila sudah hamil, fikiran mereka keliru, emosi bercelaru dan potensi untuk mereka bertindak luar biasa adalah tinggi. Mereka jadi takut dan mula sedar akan kesilapan. Mereka mula mencari iman.

Usaha atas iman inilah yang saya usahakan,menyelamat, membimbing mereka mereka yang telah tersungkur untuk bangun semula. Tak kan kita nak biar dia terus terguling setelah tersungkur tadi.Dan inilah peranan kita dalam ummah.

Kita mesti prihatin dan ambil peduli dengan ummah yang makin rosak, jika kita tidak bantu. Yang membuat jalan-jalan menghampiri zina ramai dan aktif, bermakna manusia makin ramai yang rosak, dan jika yang telah rosak kita tidak selamatkan bagaimana nanti dunia dipenuhi oleh mereka yang rosak sahaja.

Menyelamatkan, membimbing dan mentarbiyah mereka yang insaf dan sedar adalah salah satu usaha dakwah juga. Allah beri peluang untuk kita beramal soleh. Kenapa tak nak rebut? Ini sebenarnya jalan jalan menuju keredhaan Allah. Rebutlah peluang ini...

Sekelumit pun tidak ada rasa kesal dalam jiwa saya untuk membantu mereka yang ingin bertaubat dan berubah.

Kenapa saya usahakan Baitus Solehah tanpa sebarang bayaran? Ini memenuhi kehendak dakwah. Jika saya kenakan bayaran, bagaimana mereka yang tidak mampu biaya dan tidak ada duit? Bagi saya jihad saya kecil saja, saya tidak pertaruhkan nyawa di medan perang. Jihad saya cuma sedikit keselesaan dan privacy. Saya usahakan mengikut kemampuan, memanafaatkan segala sumber yang ada untuk membantu ummah.

Ini saja jalan-jalan mudah untuk saya menuju keredhaan Allah. Maka saya berharap Allah kurniakan kepada saya keelokkan pandangan kepada perkara-perkara yang membawa keredhaanNYA. Terhindar dari fitnah yang merosakkan dan mendukacitakan.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta, kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 29 March 2015

Bekas Pelajar Ma'ahad Tahfiz Hamil Tanpa Suami


Beranak Tanpa Suami

Hari ni daftar masuk seorang lagi remaja. Dari air wajah, nampak ayu, sopan dan pendiam. Bila saya tanya latar belakang pendidikan, bekas pelajar sebuah Ma'ahad Tahfiz. Allahu akbar...

Seterusnya saya tanya akhlak, perangai sebelum, semasa dan selepas belajar di Ma'ahad Tahfiz. Ini kerana dalam benak fikirannya saya tidak mungkin seorang bakal hafizah sanggup berzina. Sudah semestinya dia tahu perlakuan yang dilarang Allah. Semestinya dia tahu zina itu dosa besar.

Saya tidak mahu kerana seorang dua bekas pelajar Ma'ahad Tahfiz telah berzina hingga hamil tanpa suami, merosakkan nama baik pelajar Maahad Tahfiz yang lainnya. Apakah benteng pertahanan iman mudah musnah walaupun al quran di dada? Selalunya apabila berada di Ma'ahad Tahfiz sudah pasti solatnya terjaga. Jadi kenapa benteng iman, solat boleh mencegah perbuatan mungkar itu musnah?

Rupanya ia bermula sebelum lagi masuk belajar di Ma'ahad Tahfiz. Ketika di tingkatan 1, tinggal bersama keluarga sudah mula berjinak jinak lepak dan keluar malam bersama kawan kawan lelaki. Duduk di pinggir bandar, perkampungan nelayan, suasana desa yang damai menjemput rasa sunyi di hati. Ransangan belajar tidak ada menyebabkan tidak ada keinginan meneruskan persekolahan. Yang ada cuma nak lepak lepak dengan kawan kawan.

Suatu malam ketika pulang dari melepak, dihantar menaiki motor oleh kawan kawan lelaki , terserempak dengan abang sulong. Apa lagi, satu penampar maut tertera di pipi dan esoknya terus dihantar ke sebuah Ma'ahad Tahfiz. Abangnya tahu sifat berlembut ibu ayah terhadap anak bongsu telah merosakkan adiknya. Adiknya bukan kurang kasih sayang atau kurang perhatian tetapi terlebih manja hingga berani bertindak melanggar larangan keluarga dan membantah cakap ibu ayah.

3 tahun berada di Ma'ahad Tahfiz, keluarga fikir, perangai dan akhlaknya berubah. Sebaliknya menjadikan dia lebih agresif dan menganggap keluarga telah menghukum dengan mengurungnya di Ma'ahad Tahfiz dimana dia tidak bebàs dan terkongkong.

Memang ada kebaikkan ketika berada di Ma'ahad, dari tak reti mengaji hingga boleh membaca quran dengan betul, tajwid dan mahraj danntelah berjaya menghafal beberapa surah pun. Tetapi dendam yang membara di hati merasa dihukum keluarga menyebabkan dia bertindak keluar Ma'ahad. Kononnya nak bekerja, cari duit dan nak bebas.

Namun sepak terajang dunia dia tak tahu. Dia cuma nampak bebas itu indah. Ada duit itu syurga. Dia tak tahu kesan dan akibat kerana syaitan telah membutakan mata hatinya. Permulaan sekali jadi ketagihan. Rasa nikmatnya sekali , nak lagi dan lagi hingga Allah menghidupkan janin dalam rahim. Mana nak sangka, buat dengan rakan sama kerja di tempat kerja, 15 minit pun selesai tanpa disyaki sesiapa. Maklumlah ketika hari raya, orang pun jarang ada, maka mudah meneruskan sandiwara.

Memang kebanyakkan remaja hamil yang lewat dikesan kehamilannya disebabkan kedatangan haid yang tidak tetap. Begitu juga remaja ini. Selepas sebulan berzina dengan teman lelaki satu kerja, dia berhenti kerja di tempat itu dan pindah kerja tempat lain yang lebih jauh dari keluarga. Memang di tempat kerja baru dia tidak berpeluang meneruskan aktivit lazimnya, dan merasa gembira dengan suasana kerja tempat baru.

Malangnya, dia merasa ada yang tidak kena dan tidak selesa dengan keadaan tubuh fizikalnya. 4 bulan berlalu dia menyedari perutnya buncit. Dia pun mula pakai bekung supaya perutnya tidak buncit. Namun buncit itu lama kelaman makin besar, saiz bra pun bertambah. Yang lama sempit.

Kebetulan ada hal dalam keluarga, dia dipanggil pulang ke rumah keluarga. Di situ berkumpul sekuruh ahli keluarga. Mulanya mereka tidak menyedari kenapa adik mereka sentiasa berbaju longgar,labuh dan sopan sehingga seorang kakak terlanggar perutnya. Terasa ada kelainan, adik itu diseret ke bilik dan diselak pakaiannya yang labuh dan longgar itu. Alangkah terkejutnya kakak apabila menyaksikan perut adiknya yang sedang meranum menunggu saat dan hari melahirkan. Dengan kain bekung membungkus perut agar tidak jelas kelihatan perut yang buncit. Kesian janin yang sedang membesar tu...

Sikit pun adik ni tidak bercakap, siapa yang melakukan. Diam seribu bahasa sehinggalah saat dia dihantar kepada rumah perlindungan. Apabila berdua , barulah dia bercerita, dia bukan dirogol sebaliknya memang melakukan zina suka sama.

Bagai terhempap kepala atas batu saya beristigfar, bila dia menyebut melakukan zina kerana suka sama. Seperti ada rasa kepuasan dan bangga. Mahu saja saya sepak mulut munggilnya berkata begitu. Saya perhatikan anak matanya yang meliar," Ya Allah, bantu aku mendidik dan mentarbiyah anak ini mentaati Mu." Hanya ini yang terdetik di hati saya saat ini. Saya serahkan kembali urusan hamba yang seorang ini kepada Allah. Moga taufik dan hidayah Allah menyinari hati sanubarinya.

Dari kisah latar belakang perangai dan pendidikan, maka bukan Ma'ahad Tahfiz tidak berjaya mentarbiyah tetapi kesan hitam hatinya telah bersalut sebelum masuk ke sana lagi. Ma'ahad Tahfiz cuma mampu mengawal keadaan dirinya semasa berada di situ saja, tidak lagi al quran mampu melindungi dirinya setelah keluar kerana niat awal masuk yang dipaksa . Tidak ada ikhlas belajar dan menghafal al quran. Dan keluarga bertindak menghantar sekadar melepaskan rasa tanggungjawap untuk mengawal sikapnya yang suka memberontak apabila keinginan tidak dipenuhi.

Ibu ayah budiman, apabila tidak mampu mengawal sikap anak yang suka membantah, memberontak jangan dianggap menghantar mereka ke Ma'ahad Tahfiz adalah selamat dan selesai masalah. Masuk ke situ jika bukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan membuat anak itu bertambah marah, agresif dan dendam. Jadinya usahalah cara berdisplin, dekati dengan kasih yang tegas bukan manja supaya dia tidak rasa kesunyian dan dihukum.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Ini menakut dan mengusarkan. Pertahanan bagaimana lagi untuk menepis syaitan dan iblis dalam menyesatkan keturunan Adam. Zina yang berleluasa akan mewujudkan satu generasi. Generasi yang bagaimana bentuknya, Allahu a'lam.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 28 March 2015

Dana Baitus Solehah

 Kita Mulakan Dengan Ikhlas
Semalam saya diziarahi oleh sebuah NGO. Setiausahanya telah menemubual saya berkaitan dana. Soalannya 'bagaimana saya memperolehi kekuatan untuk meneruskan Baitus Solehah tanpa sebarang dana yang tetap.'

Sungguh, soalan ini bukan seorang dua yang bertanya, bahkan ramai. Dan jawapan saya tetap satu dan sama. Dana saya adalah takwa dan ikhlas orang ramai. Saya tidak meminta minta atau letak tabung dimana mana, saya cuma tawakal kepada Allah bahawa setiap manusia telah ditetapkan rezekinya walau dimana dia berada.

Jika Allah menghantar pelatih ke Baitus Solehah, tak kan rezekinya ditinggakan ditempat lain. Mesti setiap pelatih yang datang tu datang dengan rezekinya juga. Jadi kenapa saya nak fikirkan rezeki mereka yang dalam jaminan Allah. Kerja saya ialah bantu mereka yang niat mahu bertaubat dan berubah. Mereka dah usaha sampai ke Baitus Solehah, dengan harapan mendapat bimbingan dan tarbiyah untuk kembali mentaati Allah.

Jika kita tolong agama Allah, Allah akan bantu usaha kita selagi apa yang kita lakukan adalah perkara yang Allah redha.

Mana tidaknya, setiusaha tu terpanggil nak guna kalkulator nak tolong kira akaun pendapatan dan perbelanjaan Baitus Solehah. Saya kata ambiklah, jika rajin nak kira, selama ni saya tak nak kira sebab angka angka yang puan dapati tu menakutkan. Saya tak mahu fikir yang akan menyebabkan tidor saya terganggu. Sekarang ni saya tidor lena, letak aje kepala kat bantal terus lena.

Secara kasar, kita kira perbelanjaan dulu. Sewa rumah RM 1250.00, bil letrik dan air RM 1500, bil telefon RM 300.00, kos pengangkutan ke Klinik Kesihatan dan Hospital RM 500.00, makan minum 25 pelatih darap RM 400 dan lain lain persediaan untuk menyambut kelahiran bayi.

Pendapatan? Sumbangan, sedekah, infak, zakat bukan boleh dikira pendapatan tetap. Sekiranya ada, adalah, takde takde lah. Yang tetap adalah sumber dari poket zauj saya setiap hari untuk beli ikan ayam sayur dipasar dan beli buah buahan setiap minggu secara borong. Wang bersara saya yang berbaki RM 500 setelah ditolak hutang yang masih ada. Jadi saya nasihatkan, tak payahlah tolong kira perbelanjaan Baitus Solehah, melainkan ada usaha sama sama membangunkan agar lebih ramai insan tersasar dapat kita bantu.

Kenapa saya kata dana Baitus Solehah ni adalah takwa dan ikhlas orang ramai? Ini kerana orang yang takwa dan ikhlas saja akan membuat tabungan untuk akhirat. Mereka nampak keberkatan rezeki yang disedekahkan. Dan siapa mereka? Mereka adalah insan terpilih yang Allah sayangi, Allah yang mengerakkan hati mereka untuk bersedekah. Hati kita semua dalam gengaman Allah. Apa yang kita lakukan adalah dalam pandangan Allah. Walau sezarah kebaikkan yang kita lakukan akan dinilai Allah. Jadi apa yang dibimbangkan tentang rezeki?







Dari Umar bin Khotob radhiallahu’anhu, Rasulullah salallahu‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan kalian tawakal kepada ALLAH dengan sebenarnya nescaya ALLAH akan memberi rezeki kepada kalian seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang petang hari dengan perut kenyang” (Shahih Tirmidzi)


Tawakal burung adalah dengan pergi mencari makanan, maka ALLAH jamin dengan memberikan makanan kepada mereka.  


Saya bangunkan Baitus Solehah hanya dengan bertawakal kepada Allah tanpa pernah memikirkan dana. Saya mana ada masa untuk fikir apatah lagi urus mencari dana kerana pengurusan pelatih sepenuh masa. Seluruh masa saya digunakan untuk mentarbiyah dan membimbing mereka mentaati Alah dan RasulNya. Saya benar benar bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam hal rezeki, keselamatan dan kesejahteraan seluruh penghuni Baitus Solehah.


 Kepada Yang selalu menyumbang kepada Baitus Solehah samada tetap atau sekali sekala tergerak hati (sesungguhnya Allah yang mengerakkan hati), semoga Allah mengurniakan mereka kekayaan iman, kekayaan jiwa dan kekayaan harta dalam rahmat Allah Ta'ala.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.