Bila terpandang gambar dibawah ini, serta merta ingatan ummi melayang peristiwa yang ummi sendiri alami semasa berada di Tanah Haram pada akhir 2008 tahun lalu. Cumanya orang ini lebih beruntung kerana nyawanya terus dijemput di tempat mulia, sudah tentu berhampiran dengan makam jasad Rasullulah ketika sakaratul mautnya.Memang benar, jodoh, rezeki dan ajal adalah dalam rahsia Allah.Tidak ada siapa pun yang tahu, bila dan ketikanya jasad dan roh akan berpisah.
Kenangan, terimbas ummi dikala subuh hari itu, zauj berkata," hari ini, ummi balik sendiri selepas solat subuh di Masjidil Haram ni, abang nak buat umrah." Ummi pun akur dengan arahan itu. Sepanjang ummi berada di Tanah Haram musim haji yang lepas, ummi hanya mampu buat sekali sahaja umrah wajib. Musim haji lepas , ummi buat haji Tamattuk, maka masa masuk Makkah dengan niat umrah. Selepas meletakkan barang barang dihotel penginapan, terus kami menuju ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah dengan melakukan tawaf dan saei serta bergunting.
Jadi subuh itu, selepas solat subuh, zauj terus pergi ke Tanaim untuk miqat umrah. Ummi tidak mampu untuk melakukan umrah banyak kali kerana keuzuran diri. Sebagai ganti pengubat hati, ummi melakukan banyak tawaf sunat. Selepas sahaja solat subuh,selepas berdoa, terus ummi bangun menuju ke dataran berhampiran kaabah. Dengan niat tawaf sunat, ummi mulai berjalan tawaf pusingan pertama. Walaupun pergerakkan ummi amat terbatas, Allah tetap memberikan kemudahan dan melapangkan jalan untuk ummi bertawaf. Dalam lautan manusia yang ramai dan sesak, dengan bantuan sebatang tongkat, ummi mampu melakukan tawaf dengan berjalan perlahan-lahan hingga selesai 7 pusingan.
Memang dari awal lagi, masa tawaf ifadah pun(tawaf haji) ummi gemar melakukan tawaf bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa.Ummi suka berjalan secara perlahan-lahan sambil membaca doa. Doa-doa yang ummi baca kebanyakkannya adalah doa untuk anak-anak. Untuk mudah mengingati bilangan pusingan tawaf, setiap pusingan tawaf doanya khas untuk seorang anak.
Macam ni, jika pusingan pertama, selepas habis doa tawaf pertama dibaca, ummi akan berdoa untuk kesejahteraan, keselamatan , kebahagiaan dan segala doa yang baik untuk anak sulung sahaja. Memang doa itu khas untuk dia. Begitu juga pusingan ke 2,doa untuk anak kedua, dan seterusnya hingga habis pusingan ke 7.
Cumanya tawaf pusingan ke 3, ummi doakan untuk anak perempuan tu disekalikan.Ummi cuma ada 2 sahaja anak perempuan, jadinya sama sahaja, mohon mereka dipertemukan dengan jodoh yang baik disisi Allah. Mohon dijadikan anak yang solehah, isteri solehah dan ibu solehah.
Seterusnya, pusingan tawaf ke 4 doa untuk Ahmad Baihaqi, pusingan tawaf ke 5 doa untuk Omar Abdul Aziz, pusingan tawaf ke 6 doa untuk Abdullah Mubarak dan tawaf pusingan ke 7 untuk Muhammad Imran. Maka ummi tahu pusingan tawaf ummi sempurna 7 pusingan.
Maka subuh itu, selesai sahaja pusingan ke 7, terus ummi bergerak ke hadapan untuk melakukan solat sunat 2 rakaat di belakang Makam Ibrahim.Selesai solat di belakang Makam Ibrahim, ummi berdoa dan bergerak sedikit untuk mencari tempat mustajab doa di Multazam. Sambil ummi berjalan di lautan kesesakkan manusia, hati terdetik " inginnya aku bersolat di kawasan Hijir Ismail di bawah Pancuran emas tu."
Maka ummi pun berjalan mengikut arus manusia yang sedang tawaf, tetapi bergerak menghampiri Kaabah. Masa ini ummi tidak perlu lagi menjaga diri apabila berjalan mengirikan kaabah, kerana ummi bukan berada waktu tawaf, maka ummi dapat menyusup antara manusia menghampiri kaabah. Kerana ramainya manusia, tanpa ummi sedari, ummi dapat menghampiri dinding kaabah, dan memegang dinding kaabah, mengusap batu-bata dinding kaabah dengan tangan ummi. Dalam arus manusia bergerak itu, ummi dapat menghampiri hajar aswad, tetapi ummi tidak berani untuk mengucupnya, kerana melihat ramainya orang yang tolak-menolak.Antara perkara haram, sunat dengan wajib, ummi tinggalkan hasrat untuk mengucup kerana mesti berlaku himpitan dengan lelaki bukan ajnabi di situ.
Semasa bertawaf, walaupun kelihatan sesak dengan manusia, ummi sentiasa dapat menjarakkan diri dari bersentuhan tanpa sengaja dengan lelaki ajnabi. Memang selama di Masjidil Haram ummi berwuduk bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat.
(Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh diamalkan. Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.Apabila bertaqlid Mazhab lain tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.)
Ummi terus bergerak mengelilingi kaabah dalam jarak 1 meter sahaja dari dinding kaabah. Mungkin kerana kesesakkan di kawasan tawaf maka, di kawasan berhampiran dinding ini agak lapang dan mudah untuk ummi bergerak hinggalah ummi dapat menyusur di tepi dinding tembok Hijir Ismail.Ummi melihat-lihat di manakah pintu untuk masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail ini. Terdapat banyak polis di kawasan ini. Polis yang berpakaian seragam.
Mungkin dari tolakkan arus manusia, tiba-tiba ummi dapat masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail melalui pintu pepenjuru bertentangan Hajar Aswad (180 darjah dari Hajar Aswad). Ummi terdorong masuk tanpa sedar. Bila ummi mendongak, ummi melihat pancuran emas. Subhanallah, tadi hati terdetik untuk masuk, rupanya Allah sampaikan hajat ku. Namun bagaimana untuk ummi bersolat di sini sebab, selama selepas ummi menjalani pembedahan 'Total Knee Replecemant' ummi tidak lagi boleh bersolat secara biasa. Ummi hanya boleh melakukan solat duduk sahaja tanpa sujud. Ini kerana kaki, sendi lutut hanya boleh bengkok sebanyak 90 darjah sahaja. Jadi sejak 7 bulan selepas pembedahan ummi tidak pernah solat berdiri dan sujud. Ummi cuma mampu bersolat secara duduk samada secara berlunjur atau duduk di kerusi.
Apabila ummi telah berada di kawasan Hijir Ismail, ummi telah pun terdorong kebahagian tengah menjauhi pintu, terdapat sekumpulan jamaah haji lelaki dari Afganistan sedang membuat lingkungan tangan melindungi jamaah perempuan (mungkin mahram mereka) bersolat.Jika tidak buat begitu,mana mungkin dapat bersolat kerana takut dipijak orang yang ramai itu.Ummi berdiri di tepi mereka , dan tiba-tiba jamaah lelaki itu mengangkat lingkungan tangan dan menyuruh ummi masuk berada di dalam lingkungan bulatan itu bersama-sama jamaah perempuan mereka.Ummi masih terfana, jamaah lelaki itu bersuara menyedarkan ummi "hajah, solat! solat!".
Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab berdoa.
Dalam keadaan masing terpinga-pinga kerana tidak percaya dapat masuk ke kawasan Hijir Ismail, itu ummi terus mengangkat takbir untuk melakukan solat sunat secara biasa. Langsung ummi tidak ingat akan keadaan diri yang perlu duduk untuk solat. Apabila untuk sujud, baru ummi rasa kesukaran, namun ummi dapat juga bersujud, menyentuh dahi ke lantai di kawasan Hijir Ismail itu. Dalam keadaan yang sukar dan payah ummi dapat melakukan solat 2 rakaat itu secara biasa dengan bersujud , dan semasa sujud yang akhir, ummi menangis kerana terlalu gembira,bersyukur kerana dapat merasi nikmat sujud yang sekian lama ummi rindui.
Sujud ummi agak panjang, sambil berdoa dalam tangisan, bersyukur. Memang lama sujud ummi kali ini. Dan bila agak kelemasan barulah ummi bangkit dan duduk secara bersimpuh (memang untuk duduk tahiyat tidak dapat melipat kaki)ummi habiskan bacaan tahiyat akhir. Selesai salam, ummi merasa amat terkejut kerana ummi dapati, hanya ummi seorang sahaja jamaah haji yang ada di dalam kawasan Hijir Ismail itu.Manusia yang ramai dan sesak telah tiada. kawasan itu lengang, selain ummi yang ada hanya polis yang memakai pakaian seragam tadi.Ummi dongak, kedudukan ummi betul betul di bawah Pancuran Emas. Terus sekali lagi ummi menangis tanda syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah. keajaiban bertandang di hati, bagaimana ummi boleh berada seorang diri di dalam kawasan hijir Ismail itu. Mana pergi jamaah haji yang lain?
Setelah agak lama ummi berdoa, ummi dikejutkan oleh polis itu, minta ummi bangun dan keluar melalui pintu yang ummi masuk tadi. Ummi rasa hairan kenapa ummi tidak di suruh keluar sedang jamaah lain di arah keluar. Polis itu seperti mengizinkan ummi bersujud panjang dan berdoa. Itulah kehendak Allah yang ditakdirkan kepada ummi. Ummi berhajat, Allah menyampaikan hajat ummi dengan memberikan kemudahan dan melapangkan jalan. Memang ummi tidak sangka dan masih lagi tidak percaya yang ummi berseorangan sujud di kawasan Hijir Ismail itu.
Betapa Maha Besar, Maha Kuasa Allah, Maha Pengasih, Maha Penyanyang, diperlihatkan kepada ummi kasih sayangNYA semasa berada menjadi tetamu di rumahNYA.Dihadapan Baitullah ummi dapat bersujud semula setelah sekian lama ummi merindui untuk mencecah dahi ke lantai.
Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.
Apabila keluar dari kawasan Hijir Ismail, ummi cari tempat yang agak menjauh sedikit dari kesesakkan orang bertawaf, duduk di antara Hajar Aswad dan Pintu Kaabah (multazam) ummi merenung Kaabah sambil menangis mendayu-dayu, bermonolog. Untungnya kalau sendiri, tidak ada ganguan dan tidak rasa silu dan malu pada sesiapa. Memang orang ramai, tetapi dari bangsa lain yang tidak faham bahasa Melayu, maka teruslah ummi bermonolog , bermunajat menyuarakan rasa syukur akan nikmat yang Allah baru kurniakan pada ummi.Bagi ummi, dapat bersolat di kawasan-kawasan mustajab doa itu adalah nikmat kerana orang lain ramai berhajat tetapi jarang berkesampaian. Sedangkan ummi, dengan gelaran OKU, pergerakkan yang terbatas, cara bersolat yang kurang sempurna, diberikan peluang itu.
Menjelang matahari melepasi sepenggalah, ummi laksanakan pula solat dhuha. Selesai solat dhuha, barulah ummi beransur meninggalkn kaabah untuk balik ke hotel penginapan. Ummi berani bergerak pergi balik sendiri (jika telah dapat izin zauj).Walaupun pergerakkan ummi lambat tetapi tetap dapat sampai juga ke hotel. Jika tidak memikirkan untuk memperbaharui wuduk, tidak mungkin ummi mahu balik meninggalkan Baitullah yang penuh rahmat.
Balik ke hotel yang jaraknya lebih kurang 250m melalui jalan antara Hotel Hilton dan Hotel Zam-zam Towwer.Rasa syukur dan nikmat masih terasa.Sampai di hotel, makanan sarapan dah habis , rupanya dah jam 10.30 pagi,kiranya ummi cuma ada masa 1 jam sahaja lagi untuk ke Masjidil Haram semula bagi persediaan solat zuhur. Bertemu zauj yang baru balik selesai mengerjakan umrah. Bertanya juga zauj " kenapa ummi lewat balik dari solat subuh", tetapi belum terluah hati untuk bercerita. Akan ummi pilih masa yang sesuai untuk menceritakan keajaiban dan kenikmatan yang Allah kurniakan kepada ummi tadi.
Sampai masa berangkat ke Madinah, ummi tanya zauj, adakah dia dapat masuk bersolat di kawasan Hijir Ismail, zauj kata, "mana dapat, manusia yang begitu ramai." Ummi tanya juga rakan -rakan lain, adakah mereka berkesempatan untuk bersolat di kawasan Hijir Ismail, kebanyakkan menjawap tidak dapat. Waktu hampir berangkat ke Madinah, baru ummi ceritakan pada zauj, yang ummi dapat bersujud dan bersolat di kawasan Hijir Ismail itu. Sempat juga ummi bercerita kepada mutawif yang memimpin rombongan haji, ustaz Dato' Daud Che' Ngah.Ketika ummi menceritakan kepada ustaz Dato' Daud dan dihadiri oleh editor pengarang majalah Anis, berjurai-jurai airmata ummi menangis kerana rasa syukur.
Kenangan yang terlalu sukar dilupakan. Sebab itu Baitullah sentiasa melambai ummi untuk datang lagi.Nanti entri lain, ummi akan ceritakan juga nikmat dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ummi semasa di Madinah Al-Munawarah, berada hampir dengan Makam Rasullulah dan di Taman Syurga Raudhah.
Impianku menjadi isteri solehah
2 comments:
BismiLlah wal HamduliLlah...
Sholatu was-Salamu `ala RasuliLlah wa `ala Alihi wa Shohbihi waman walah...
SalamuLlahu`alaiki wa Rahmatuhu wa Barakatuh...
Ya Umm Munaliza yang Dimuliakan ALLAH,
Masya`ALLAH TabarakALLAH, menitis airmata apabila membaca posting Ummi. Sungguh bertuah Ummi kerna telah DiutamakanNYA di atas hamba-hambaNYA yang telah DIA Ciptakan. BarakALLAHu fiki.
Semoga ALLAH `Azzawajalla Mengurniakan Ummi kesihatan serta kekuatan untuk beribadah kepadaNYA. Semoga ALLAH `Azzawajalla Memuliakan Ummi beserta keluarga sebagai keluarga yang Nabawi dan RABBani zahiran wa batinan. Amiin Ya ALLAH, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Dzal Jalali wal Ikram.
Semoga Ummi sudi mendoakan anakanda yang hina DisisiNYA ini, Diberikan peluang walaupun hanya sedetik dalam hidup nya, untuk berada di tanah Suci; tempat Kiblat nya orang-orang Mu`min, Makkah al-Mukarramah, dan tempat tersemadi nya jasad Penghulu orang-orang Mu`min, Madinah al-Munawwarah. Amiin Ya ALLAH, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyu, Ya Qayyum, Ya Dzal Jalali wal Ikram. Salam Iman dan ukhwwah fiLlah dari anakanda, bi izniLlah.
Selawat dan Salam keatas Sayyidina Muhammad ShalALLAHu`alaihiwasalam, ahli Keluarga dan para Sahabat sebanyak ingatan orang yang ingat kepadaNYA dan sebanyak kelalaian orang yang lalai kepadaNYA.
Fi amaniLlah wALLAHu a`lam bisawab...
Was-SalamuLlahu`alaiki wa Rahmatuhu wa Barakatuh wa Maghfiratuh.
Ya ukhti27,
terimakasih di atas doanya.Menitis airmata saya dikala membaca bait-bait tulisan ukhti. Terus terang saya katakan, disaat saya membaca bait-bait ini,saya sedang menderita menahan sakit yang Allah kurniakan,tanda Allah sayang kepada saya.
InsyaAllah, Allah akan menjemput ukhti menjadi tetamuNYA di rumahNYA. Tiada tempat yang paling indah selagi kita hidup di dunia ini melainkan berkunjung ke Baitullah , Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tempat bersemadinya kekasih Allah dan seluruh umat Islam.
Post a Comment