بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Memang benar orang tua-tua kata, pusingan hidup ini ibarat roda. Ada masa kat atas, ada masa kat bawah. Kitaran hidup, ada masa sesuatu keadaan yang pernah kita lalui akan kita tempoh sekali lagi.
Suatu ketika dahulu, selepas bernikah, apabila tamat belajar di UTM, tidak lah berhasrat untuk bekerja. Sekiranya diberikan penempatan, maka bekerjalah, jika tidak , seronok tinggal di rumah mengasuh dan mendidik anak sendiri.
3 Tahun menganggur sehingga dikurniakan 3 orang anak, barulah KPM menghantar surat penempatan sebagai guru. Sekolah pertama ummi berkhidmat ialah SMK Kulai Besar, Kulai , Johor. Pada masa itu ummi tinggal di Kg Paya Jaras Hulu, Sg Buloh , Selangor.
3 tahun ummi menjadi suri rumah sepenuh masa. Memasak, mengemas rumah, mengasuh anak, mendidik anak dengan tangan ummi sendiri. Masa inilah zauj panggil seorang tukang jahit untuk ajar ummi menjahit baju kurung cekak musang lelaki. Ummi memang dah pandai menjahit baju kurung perempuan. Baju kerja zauj ummi yang jahit. Sukanya hati seorang isteri bila suaminya pergi kerja memakai baju yang dijahitnya. Seronoknya menjadi suri rumah. Selepas 3 tahun, barulah ummi memulakan kerjaya sebagai guru.
Apabila diarahkan lapor diri pada 4 Disember 1989, ummi pergi ke SMK Kulai Besar dengan 3 orang anak. Zauj hantar dengan kereta. Ummi pergi ke sana sehari awal iaitu pada 3 Disember. Rumah belum pun ada, mujur ada seorang guru bujang sudi memberikan tumpang seminggu dua sementara mencari rumah untuk berteduh.
Apa yang ingin ummi tulis di sini sebenarnya bukan berkaitan kerjaya, tetapi kitaran hidup yang ummi lalui. Selepas bernikah, apabila tamat belajar, ummi sempat menjadi suri rumah sepenuh masa selama 3 tahun. Seronok sangat masa itu. Ummi kerap berpindah rumah kerana mengikut zauj yang diarah menjadi fellow kolej pelajar lelaki UTM.
Sebaik lepas bernikah, ummi tinggal bersama zauj dan rakan-rakannya. Rumah sewa ini adalah rumah teres 5 bilik di Taman Malewar, Gombak. Mereka setuju memberikan bilik tidur utama kepada kami berdua. Rakan-rakan serumah zauj lain semuanya masih bujang.
Bilik tidur ini ada bilik air di dalamnya. Selepas bernikah,bukan mudah untuk cari rumah sewa , tambahan zauj baru kerja. Rakan bujang beri izin kami tinggal di rumah itu.
Syarat mesti dipenuhi. Isteri hanya dibenarkan berada di rumah itu,jika ada suami bersama-sama. Tempat isteri hanya di dalam bilik sahaja bila rakan -rakan bujang lain berada di rumah.
Jika rakan-rakan tidak ada, ummi dibenarkan menggunakan dapur untuk memasak. Ummi masak bukan untuk makan berdua sahaja, sebaliknya masak untuk semua rakan-rakan bujang zauj.
Bila rakan-rakan bujang zauj masak,mereka masak juga untuk kami berdua. Ummi sentiasa duduk dalam bilik, makan pun dalam bilik. Alhamdullilah, 2 bulan selepas itu barulah kami dapat rumah sewa dan berpindah dari rumah itu.
Selama tinggal di rumah bujang itu, ummi tidak pernah ditinggalkan berseorangan di rumah. Setiap kali zauj keluar,pasti ummi dibawanya.Jika pergi kerja, zauj akan tinggalkan ummi di perpustakaan..
Selepas 2 bulan, bila dapat rumah sewa lain, ummi dan zauj berpindah. Rumah kedua selepas bernikah, ummi menyewa di Kg Kamensah, Ulu Kelang. Nak pergi rumah ini, mesti melalui tepi Zoo Negara. Melalui jalan di tepi zoo sejauh 2 km, baru bertemu perkampongan Kemensah. Seronok tinggal di kampung ini. Betul-betul tepi zoo dan hutan simpan.
Dikelilingi dengan flora dan fauna. Walaupun rumah yang kami sewa ini kecil sahaja, rumah kayu dua bilik, sewanya pada masa itu (tahun 1985) RM 200. Tepi rumah ada surau dan sungai. Air sungai ini sejuk. Kadang-kadang apabila bekalan air paip terputus, ummi dan zauj akan pergi ke sungai ini untuk mandi. Kalau berjalan ke atas sedikit ada seperti air terjun kecil. Sangat mendamaikan tinggal di sini.
Tapi ummi tinggal di situ tidak lama. Zauj ditawarkan untuk menjadi fellow kolej pelajar lelaki di Kolej Kedua Kg Baru, Kuala Lumpur. Sekali lagi kami berpindah dan rumah kali ini adalah pangsapuri 3 bilik. Untuk berpindah mudah saja, sebab ummi tidak mempunyai barang-barang dan perabot. Yang ada cuma sekeping tilam span nipis dan bantal 2 biji. Sedikit pakaian, 6 buah pinggan, 2 biji periuk, sebuah kuali kecil dan sebuah dapur minyak tanah yang mempunyai banyak sumbu.
Tinggal di pangsapuri Kg Baru, agak lama, juga mencecah 2 tahun lebih. Along dan angah lahir di sini. Sebab itu dalam daftar lahir, tempat lahir along dan angah ialah Wilayah Persekutuan.
Apabila pangsapuri 17 tingkat ini diambil alih semula oleh pemaju, (mungkin kontrak dengan UTM telah tamat) kami berpindah lagi ke Kolej Kedua Semarak di Setiawangsa. Masih pangsapuri, kali ini Pangsapuri Sri Mahang mempunyai 25 tingkat. Kami diberikan tinggal di tingkat satu. Pangsapuri ini adalah pangsapuri mewah. Walaupun namanya pangsapuri (mungkin sekarang orang panggil kondominium) amat selesa tinggal di sini. Tidak rasa macam tinggal di rumah flat kerana bentuk rumah yang agak privacy. Ada ruang untuk anak-anak bermain di lobby dan basement.
Setahun tinggal di sini, zauj mendapat arahan untuk berpindah ke Johor pada Januari 1988. Sebahagian Kampus induk UTM telah siap. Beberapa fakulti telah diarah berpindah ke Skudai, Johor. Bila ada sebahagian pelajar berpindah, maka mesti ada pensyarah yang kena ikut pindah sama.
Di Skudai, ummi dan zauj menyewa rumah teres 3 bilik di Taman Sri Pulai. Masa ini, Taman Sri Pulai masih baru lagi dan sewanya murah sahaja. RM 150 dengan rumah yang agak besar juga untuk ummi 4 beranak. Namun tak lama lepas itu, pada Disember 1988, zauj dikehendaki sambung belajar pengajian master di UM, KL. Sekali lagi ummi dan zauj berpindah.
Kali ini kami menyewa rumah di Kg Paya Jaras Hulu, Sg Buloh. Rumah sebuah , atas bukit dan di kawasan dusun. Sunyi sepi bila waktu malam. Macam-macam bunyi unggas kedengaran di waktu malam. Sangat damai dan aman tinggal di sini. Air yang digunakan di rumah ialah air mata air yang dipam dari sebuah perigi dan disalurkan ke dalam rumah.
Namun setahun saja ummi tinggal di sini , bila Disember 1989, ummi diberikan penempatan mengajar di negeri Johor. Maka berpindahlah sekali lagi ke negeri Johor. Oleh kerana sekolah ini terletak di Daerah Kulai, maka ummi cari rumah berhampiran sekolah.
Rumah sewa kosong yang ditemui terletak 5 km dari sekolah iaitu Taman Saleng Baru. Dari jalan besar menuju ke rumah dalam taman sejauh 2 km. Masa ini ummi belum pandai memandu kereta, lagi pun kereta pun tak ada. Zauj belum habis pengajian di UM, maka ummi tinggal di sini dengan 3 orang anak dan zauj tinggal dengan pekerja Indonesia di Kg Paya Jaras.
Hari-hari ummi pergi sekolah berjalan kaki dan sampai jalan besar baru naik bas. Masa ini berat badan hanya 55 kg sahaja. Hari-hari jalan kaki. Tahun pertama tinggal di sini, pada hari raya Adil Fitri tak dapat balik ke kampong. Mana-mana sahabat zauj di UTM Skudai yang tidak balik kampong datang berziarah. Bila mereka masuk saja taman perumahan ini, mereka kata macam datang Hong Kong. Sebab majoriti penduduk adalah bangsa cina. Di kawasan jalan ummi tinggal tu pun cuma ada 3 rumah sahaja bangsa melayu. Jiran ummi kiri, kanan, depan , belakang semuanya bangsa cina.
Walaupun berlainan bangsa dan agama,mereka tak ganggu ummi anak beranak. Zauj memang tawakal tinggalkan ummi dengan anak-anak di kawasan taman perumahan yang majorotinya bangsa cina.
Setahun tinggal di sini, ummi dapati tak ada Pasti atau tadika yang sesuai untuk along. Maka pada akhir tahun 1990, sekali lagi ummi berpindah rumah ke Taman Sri Skudai. Rumah semi-D. Sekali ganda mahal harga sewanya, RM 300 sebulan. Rumah kat Taman Saleng Baru cuma RM 150 sebulan, teres 3 bilik. Namun memikirkan yang umur along dah sepatutnya ke kelas tadika, maka ummi pindah juga tinggal di Skudai. Jadi along dapat masuk tadika Islam Tadika Taqwa di Taman Sri Pulai.
2 tahun 6 bulan tinggal di sini, zauj pun sudah tamat belajar di UM, dan ketika ini mula diperkenalkan pinjaman perumahan secara Islam bermula. Selama ini kami bertahan tidak beli rumah kerana, bank atau pinjaman kerajaan masih melaksanakan secara konvesional.(sistem riba') Zauj berpegang, selagi kita mampu elak, kita elakkan riba'. Lagipun, beli rumah untuk jangka panjang, untuk tinggal beribadah di dalamnya, maka tak kan nak beli rumah secara riba'?
Kami beli rumah di teres 3 bilik di Taman Sri Pulai. Comel rumahnya, masa ini ummi sudah mempunyai 5 orang anak yang masih kecil-kecil. 3 lelaki dan 2 perempuan. Sesuailah rumah ini sebab ada 3 bilik. Boleh anak lelaki dan perempuan di asingkan bilik. Berulang alik dari Taman Sri Pulai ke Kulai Besar sejauh 25 km setiap hari. Zauj hantar sampai simpang Sri Skudai, kemudian ummi tumpang kawan ke sekolah.
5 tahun tinggal di Taman Sri Pulai, suatu hari zauj balik rumah bawa khabar.
"muna, nak tengok sesuatu?"
"apa dia?"
"jom, ikut."
Zauj bawa ummi ke satu kawasan perumahan baru. Belum ada sesiapa yang tinggal di sini. Tapi rumah-rumahnya dah siap. Besar dan cantik. Bertingkat-tingkat , ada balkoni, di cat dengan warna putih dan ungu. Nampak dari jauh macam kek. Tiba di sebuah rumah, zauj ajak masuk ke dalam untuk lihat keadaan dalaman rumah.
Rumah ini amat luas ruang tamunya dan bilik tidur utamanya saja ada 2 buah. Rumah teres 3 tingkat. Naik ke tingkat 3, ada balkoni, pemandangannya cantik, padang golf Pulai Spring. Saujana mata memandang...
Zauj tanya, " muna nak rumah ni?"
Iskh...perempuan mana yang menolak jika ditawarkan sebuah rumah yang cantik dan besar? Tambahan masa itu ummi sudah mempunyai 6 orang anak. Anak-anak makin membesar, rumah di Taman Sri Pulai tu dah rasa sempit dan panasnya.
"nak balik rumah, buat istikharah dulu."
Bila hati rasa suka pada rumah tu, ummi buat pula solat hajat agar dipermudahkan urusan untuk memiliki rumah itu. "Ya Allah, jika rumah ini mendatangkan keberkatan dan rahmat MU untuk dunia dan akhirat kami sekeluraga,maka mudahkan urusannya."
Alhamdullilah, memang mudah untuk urusan pembelian rumah itu. Ketika itu ummi telah pun mendapat tawaran panggilan menunaikan haji ke Baitullah. Maka selesai urusan pembelian rumah, pada 15 Ramadhan tahun 1420H, ummi sekelurga berpindah ke rumah ini. Genap Ramadhan ini bermakna ummi telah tinggal di rumah sekarang ini selama 11 tahun.
2 bulan selepas berpindah ke rumah ini, ummi dan zauj pergi memenuhi jemputan Allah untuk mengunjungi Baitullah buat kali pertamanya. Ummi tinggalkan 7 orang anak bersama-sama dengan seorang pengasuh, arwah mak dan adik dengan anak-anaknya. Anak paling kecik ummi tinggalkan ketika masih berusia 1 tahun 4 bulan, Abdullah Mubarak yang masih menyusu ibu. Along dan angah berada di Madrasatul Quran Kubang Bujok Kuala Terengganu, mengikuti kelas tahfiz quran. Jadi di rumah cuma 5 orang, iaitu Najdah, Nazihah, Baihaqi, Omar Abdul Aziz dan Abdullah Mubarak.
Alhamdullilah, selama 40 hari ummi di Tanah Suci, walaupun ada kemudahan telefon,ummi tidak pernah buat panggilan telefon ke rumah kerana yakin dengan janji Allah yang memelihara anak-anak dan harta benda yang ummi tinggalkan. Ummi ke sana bersama zauj untuk berbulan madu di rumah Allah. Sangat indah dan syahdu. (sebab itu ummi galakkan sesiapa yang ke tanah suci, pergi selepas berkahwin dan pergi dengan isteri.)
Begitulah sedikit cerita pengalaman ummi yang banyak kali berpindah rumah sejak lepas bernikah. 10 kali ummi berpindah rumah selama mencecah 26 tahun perkahwinan ummi. Semoga selepas ini, ummi cuma perlu berpindah ke satu tempat sahaja lagi iaitu rumah berbatu nisan. Rasanya tak mampu untuk ummi pindah rumah lagi selagi hayat masih ada. (dah pesan zauj, di bumi mana roh dan jasad terpisah, maka di situlah dikebumikan, jangan dibawa bermusafir jauh-jauh lagi bila dah tak ada nyawa.)
Rumah ini sudah cukup untuk ummi. Zauj pun selalu cakap rumah ini bagaikan syurga dunia buatnya. Kami temui segalanya di rumah ini. Rumah ini ada rahmat, ada berkat, ada bahagia, ada segala-galanya. Kami tidak impikan kemewahan, kami cuma mahukan keberkatan ke atas rumah ini dari Allah SWT. Kami selalu mengalu-alukan tetamu untuk datang dan meraikan mereka. Kehadiran tetamu merupakan hadiah dari Allah kepada kami untuk melayan dan meraikan mereka.
Berbagai usaha dan cara ummi pastikan agar rumah ini sentiasa di dalam redha , rahmat dan kasih sayang Allah. Bacaan quran, solat berjemaah, majlis ilmu, majlis ukhuwwah sering diadakan. Apa sahaja aktiviti yang mendatangkan redha Allah sering dilakukan di rumah ini. (pastinya rumah terbuka tidak kira masa, asalkan ummi sihat, maka kami selalu adakan untuk menjamu saudara mara, sahabat handai dan anak-anak didik di UTM)
Selalu ummi berdoa, sesiapa sahaja yang masuk di rumah ini, diberikan rahmat dan kasih sayang Allah. Hatinya akan terikat dan selalu ingat rumah ini. Itu sahaja impian ummi kepada sesiapa sahaja yang pernah datang bertamu dan tinggal di rumah ini.
Kini, ummi kembali menjadi suri rumah sepenuh masa. Ummi telah memilih untuk bersara awal. Memang ini yang telah Allah takdirkan buat ummi. Lagipun semasa mula bekerja, ummi pernah terdetik di hati, bahawa mahu bekerja cuma setakat 10 tahun sahaja, lepas tu nak berhenti dan duduk di rumah. Nak didik dan besarkan anak sendiri. Rupanya 10 tahun lagi tu bonus, genap 20 tahun ummi berkhidmat sebagai guru, ummi bersara. Ummi bersara di SMKTUN, sekolah kedua dalam perkhidmatan sebagai guru. Kiranya pengalaman ummi tidak banyak sekolah berkhidmat. Lagipun, seperti yang selalu ummi sebut-sebut dengan kawan-kawan kerana rasa cinta dan sayang kepada SMKTUN, mahu tetap dan berpencen di SMKTUN, maka ia menjadi doa dan disampaikan hajat ummi itu.
Sebab itu ummi amat yakin dengan doa, cuma cepat atau lambat untuk Allah sampaikan. Ummi juga ingatkan apa yang selalu kita sebut menjadi doa juga. Jadi janganlah sebut perkataan yang tidak ada adap, lucah dan mencarut. Jangan sekali-kali memaki hamun terutama anak-anak. Jagalah lidah dari berkata yang sia-sia.
Menjadi suri rumah sepenuh masa sekarang ini, merupakan saat dan detik bahagia dalam hidup. Memiliki masa yang boleh diurus mengikut keselesaan diri, mengikut ruang dan keadaan diri. Boleh menentukan bila masa mahu mengemas, menggosok, mencuci pakaian, memasak dan ber'online'.
Ummi mahu menjadikan setiap ruang masa adalah ibadah. Tidak kira ia ibadah khusus atau ibadah umum. Boleh uruskan masa untuk dhuha, tahajud dan lain-lain. Yang penting tiap saat berlalu merupakan ibadah kepada Allah walaupun menulis di laptop atau di blog.
Semoga semua kita sentiasa di dalam redha, rahmat dan kasih sayang Allah. Taati Allah dan RasulNYA.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.