BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �
Showing posts with label Jodoh. Show all posts
Showing posts with label Jodoh. Show all posts

Monday, 17 July 2017

Lelaki Suci VS Pendosa Yang Bertaubat



Lelaki Suci VS Pendosa Bertaubat


Baru terbaca satu penulisan seorang lelaki yang bajet dia bagus, terpelihara maruah dan kesucian teruna. Usia dah 35 tahun, masih belum berkahwin sebab sebuk bekerja kumpul duit. Suatu ketika berkenalan dengan seorang perempuan terus ajak dating. Sehingga dia jatuh cinta dan ajak kahwin. Mula mula perempuan tu tolak, kerana nak berkawan sahaja, dia merayu ajak kahwin.


Last last beria ajak kahwin, kerana jujur, perempuan tu bukan kisah silam yang hitam.


Dah cerita kisah lalu, patutnya bandingkan keadaan dirinya dulu dan sekarang yang berbeza.

Ya, dulu dia pernah terlanjur, tetapi sekarang sudah bertaubat dan berubah.

Apa dia dapat dari kejujuran menceritakan kisah lalu?

Dia dihina kerana tidak pandai jaga kehormatan diri.

Dia dikata hipokrit bertudung labuh dan nampak macam alim apabila mengerjakan solat penuh 5 waktu.

Dia dipersenda apabila mahu mendapatkan calun suami seorang yang pandai membaca quran.

Wahai lelaki, kenapa sekarang dia berhati hati memilih calon suami?

Sebab dia pernah terpedaya dengan lelaki yang meragut kesucian daranya.

Sebab itu dia truma untuk berkahwin.

Sebab itu dia belum bersedia untuk menjadi isteri, takut dapat lelaki bajet bagus begini.

Bila jujur dipertikai segala amalannya.

Dapat lelaki begini, boleh membuatkan perempuan bertambah dendam.

Kalau lelaki itu bajet bagus, konon beriman dan bertakwa,

- Heran, boleh pulak dating dengan perempuan, tumpang kereta perempuan tu di dalam bulan ramadhan, pergi terawih sama sama .

Lelaki bagus, dia tak akan kurangkan pahala puasanya dengan perlakuan begini.

Tidak akan berdating dengan mana mana perempuan.

Tidak akan tumpang kereta perempuan pergi masjid nak terawih.

Tidak sekali yang hak dan yang batil bercampur.

Lelaki bertakwa akan menjaga sempadan yang hak dan yang batil.

Ada motor,tunggang sendiri ke masjid.

Nak jumpa di kedai makan, tungggang motor sendiri, terus ke meja makan dan makan.

Ini namanya lelaki bajet bagus, konon baik kerana jaga kesucian teruna.

Ko belum diuji. Ko bernasib baik.

Cuba kalau ko terpedaya , dalam kereta pun boleh jadi. Perempuan tu pandu kereta bawa ke kawasan sunyi dan mengoda ko dengan pujuk rayuan dan cumbuan. Rasa rasanya , terbang juga teruna ko tu. Keris ko yang terhunus dulu mencari sarung untuk dipasak kedalam.

Ko bernasib baik, perempuan tu tak buat perkara tu kerana dia menjaga maruah dirinya walaupun pernah terlanjur suatu masa dulu.

Bro, kita ni berjalan ke depan, bukan berundur.

Untuk apa ingat kisah silam ?

Dia bagitahu sebab jujur, tak mahu ko rasa ditipu waktu malam pertama.

Inilah truama yang dihadapi oleh semua perempuan pernah terlanjur, sudah bertaubat dan berubah menjadi solehah. Mengharap lelaki soleh menerima seadanya kerana kita jalan ke hadapan menuju redha Allah, bukan berundur melangkah kebelakang.

Tetapi bro dalam kisah tu bro bajet lelaki suci. Sebab tidak pernah terlanjur. Mungkin ko belum pernah diuji, Allah masih jaga ko.

Perempuan penzina untuk lelaki penzina.

Maksud ayat ini, jika perempuan itu masih mengamalkan zina, maka pasangannya ialah lelaki penzina juga.

Tetapi,

Bila seorang perempuan itu telah bertaubat, telah berubah menjadi solehah melalui ilmu dan amal, istiqomah dalam beramal menuju redha Allah, siapa boleh cakap dia penzina? Apakah perempuan penzina itu selamanya dengan title penzina?

Tidak bro....

Apabila perempuan itu telah bertaubat, taubat nasuha, beramal dengan ilmu, istiqomah dalam beramal, dia ibarat kain putih, seperti bayi yang baru dilahirkan.

Dia tidak ada secalit dosa lagi, yang ada parut hitam disebabkan oleh lelaki juga. Bukan dia tidak pandai jaga diri dulu, setiap orang ada kisah tersendiri bagaimana boleh terlanjur.

Lelaki ego saja yang menolak perempuan solehah yang telah bertaubat.

Sebab itu syurga dipenuhi oleh pendosa yang bertaubat, sedang neraka dipenuhi oleh orang yang bajet alim tetapi munafik.

Mohon maaf, status malam ini luahan dari hati saya atas rasa sakitnya membaca penulisan lelaki yang ego untuk menerima seorang bekas pendosa yang bertaubat.

Saya menulis di rumah sendiri, tidak kacau siapa siapa.

Muna liza binti Ismail

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 10 February 2017

Pernikahan Pasangan ke 10 Baitus Solehah


Pernikahan ke 10 Baitus Solehah
Alhamdulillah, selesai sudah majlis akad nikah, pasangan ke 10 Baitus Solehah. Semoga pasangan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah, dikurniakan kerukunan, kesejahteraan, ketenangan, dan kebahagiaan di dalam rumah tangga hingga akhir hayat.

Akad nikah dihadiri wali, juru nikah, saksi dan beberapa tetamu jemputan. Pengantin dinikahkan sendiri oleh bapa sebagai wali mujbir. Maharnya RM 100.00 tunai.

Pasangan ada insan mulia yang sudi dan rela melindungi ibu dan anak hingga akhir hayat, kita doakan jodoh mereka panjang hingga akhir hayat di dalam kerahmatan Allah.

Majlis kami mudah sangat, kosnya sangat rendah. Sediakan mahar dan upah jurunikah. Tidak perlu pelamin bagai...

Selepas akad nikah selesai, pengantin perempuan boleh terus di bawa pulang ke rumah. Jadi kami tak perlu sebuk sediakan bilik pengantin. Segalanya dipermudahkan oleh Allah.

Terima kasih kepada yang sudi hadir meraikan majlis kami. Terima kasih kepada semua tetamu. Mohon maaf di atas kekurangan kekurangan dan tidak sempurna majlis kami.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 9 February 2017

Ambik Ibu Dapat Anak



Ambik  Ibu Dapat Anak
Bahagia itu dalam takdir Allah. Kerja kita mendidik hati agar taat kepada perintah Allah agar iman terjaga dan terpelihara. Bahagia saya melihat kegembiraan seorang kanak kanak mendapat seorang bapa. Sebaik selepas ibunya di ijab kabul, anak itu mendekat pada si ayah. Insan mulia yang sudi memperisterikan, menjadikan anak ini mempunyai ayah.

Sudah pasti anak ini merasa sempurna kehidupannya seperti kanak kanak lain. Umur anak ini hampir mencapai 2 tahun. Ketika lahir hingga hari ini, anak ini berada di Baitus Solehah. Setiap lelaki menegur dia akan lari menyembunyikan diri dibelakang ibunya. Takut dengan lelaki. Menangis apabila diteggur apalagi jika ada yang cuba mendukungnya.

Itu sebab saya menggalakkan ibunya bernikah. Saya suruh ibu lihat keadaan anaknya yang takut dengan lelaki, anak itu akan hidup dalam ketakutan dan kekurangan.

Sebab itu saya sangat menghargai mana mana lelaki yang sudi mempersiterikan pelatih pelatih Baitus Solehah. Saya akan membantu memudahkan urusan. Selalunya pelatih dicalonkan adalah pelatih yang telah tinggal hampir 2 tahun di Baitus Solehah. Lagi lama berada di sini, lagi saya kenal hati budinya dan istiqomahnya dalam mentaati perintah Allah.

Yang berada di luar, telah keluar, mereka dalam jagaan waris, saya tidak dapat memberikan apa apa jaminan tentang akhlak dan istiqomah dalam mentaati perintah Allah. Moga moga mereka yang berada di luar sana tetap istiqomah beramal mentaati perintah Allah dan mendapat jodoh yang baik di sisi Allah.

Sapa pun melihat scene ini depan mata, akan merasa sebak. Sebak kerana seorang anak fitrahnya mempunyai bapa. Moga moga semua kita berusaha mendidik masyrakat supaya taat kepada perintah Allah.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 24 October 2016

Rezeki Bukan Sahaja Harta




18 tahun menunggu akhirnya doa yang tulus diperkenankan Allah. Itu yang Allah takdirkan. Bersabarlah wahai ibu ibu. Jangan berduka cita apabila hajat dan permohonan kamu belum dikabulkan.

Ketika saya menunggu keputusan peperiksaan SPM, abah meminta saya membantu kawannya yang baru mendapat cahaya mata. Isterinya baru melahirkan anak selepas 18 tahun berkahwin. Ketika kawannya berkahwin, saya baru berusia 1 bulan.

Bersabar, berdoa dan berusaha. 6 tahun selepas berkahwin mereka mendapat anak angkat keturunan cina. Putih melepak, bermata sepet. 6 tahun selepas itu mereka menerima lagi seorang anak angkat berketurunan benggali. Cantik macam pelakon filem hindi. Teringat saya, kakak tak nak dukung adiknya, kakak kata, "macam taik cicak, atas hitam bawah putih"

Usaha sedekah, berjariah, akhirnya dikabulkan Allah permohonan untuk mendapat anak sendiri. 18 tahun sabar dengan doa. Lahir seorang anak perempuan. Fatin Adibah binti Yahya. Saya menjadi pembantu rumah sementara hingga keputusan peperiksaan SPM diisytiharkan. Allah Maha Mengetahui bila masanya doa dan hajat itu diperkenankan. Selepas keputusan peperiksaan diumumkan saya melanjutkan pelajaran di universiti. Tahun kedua, usia 19 tahun saya berkahwin dan usia 20 tahun saya sudah mendapat anak pertama. Rezeki manusia berbeza. Ada rezeki anak, ada rezeki harta, ada rezeki tubuh yang sehat, rezeki jiwa yang selalu tenang, rezeki mendapat sahabat yang baik baik dan lain lain lagi.

Jangan putus asa, jangan berasa jemu untuk berdoa, Nabi Allah Zakaria berdoa selama 90 tahun agar dikurniakan anak. Alhamdulillah, ketika usia isteri baginda melebehi 100 tahun barulah mengandung.

Jadi usah merasa gundah, ketika masih berdua, banyakkan ibadah. Allah beri peluang untuk beribadah dengan kyushuk dan tawadhuk.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Dulu Kau Aniya Orang, Hari Ini Allah Bayar Cash





Jarang ada keluarga sudi berkongsi cerita dengan saya kisah silam mereka. Kebanyakkan ibu bapa mahu menyimpan ketat ketat kisah silam yang pernah mereka lalui. Jadi apabila anak mengandung, mereka akan cuba mencari salah orang lain tetapi tidak melihat kesilapan diri sendiri.

Ya lah, siapa sanggup membuka aib  sendiri dan pekung di dada. Sewajarnya perlu diingat, setiap perkara berlaku mesti ada sebabnya.

"Saya tak sangka perkara ini terjadi pada anak saya. Anak saya ni slow leaner, lurus bendul selalu kita nasihat jangan kemana mana, selepas balik sekolah terus pulang ke rumah."

"Habis tu macamana dia boleh mengandung kalau dia tidak pernah kemana mana?"

"Mungkin balasan Allah, kafarah dosa lalu ayahnya. Sekarang ayahnya sakit kanser stage 4, kanser paru paru, menunggu saat dijemput tuhan. Ayahnya  memang kuat merokok. Ketika sakit  inilah Allah buka rahsia. Perbuatan lampau ayahnya. Ketika saya berkahwin, saya fikir saya isteri pertamanya, dan anak anak bersama saya saja anaknya.

Kemudian kami bercerai. Saya tidak berkahwin, ayahnya pun tidak berkahwin. Tinggal sendiri selepas penat mengejar perempuan. Masa dah tenat, datang dua orang perempuan , seorang sebaya saya, seorang sebwya anak saya, tua sedikit dari anak saya. Rupanya sebelum berkahwin dengan saya, ayahnya telah mempunyai anak tidak sah taraf, hasil taburan sperma pada perempuan lain. Perempuan itu dinikahi selepas anak itu lahir. Namun tidak lama, dia ditinggalkan pulak dan berkahwin dengan saya.

Waktu saya  nak ke Baitus Solehah  menghantar anak saya ni, saya  bagitahu anaknya  telah  mengandung  dan mahu dia datang berjumpa dengan anak. Ayahnya relax aja, dan cakap, apa boleh buat perkara dah terjadi. Takde nampak dia susah hati atau merasa gundah seperti saya. Saya yang terasa amat berat bebanan untuk dipikul, sebaliknya ayah yang sakit sakit boleh relax jawap gitu.

Agaknya ini sumpahan orang teraniya, hari ini ko aniya anak orang, esok esok Allah balas pada anak keturanan ko. Dan benar sekali sumpahan orang itu terjadi dengan izin Allah."

Nauzubillahimin zalik...Ya Allah jauhkan kami dari perkara mungkar ini dari terjadi ke atas diri dan keluarga kami.

Oleh itu ibu bapa budiman, muhasabah diri apabila datang suatu musibah menimpa keluarga kamu. Ingat semula masa remaja kamu dulu dulu, adakah pernah membuat orang rasa teraniya, dizalimi, atau terluka. Kadang kadang Allah balas cash masa kat dunia lagi. Allah beri peluang kamu melihat apa yang pernah kamu lakukan dahulu ke atas keluarga kamu pula. Allah beri kamu rasa kesakitan dan rasa kecewa. Itu pun jika kamu insaf dan bertaubat. Kalau takde rasa apa apa, gerun rasa hati ini, gementar rasa kalbu ini apabila masih tidak terdetik takut mati.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 1 July 2016

Dah Hujan Baru Cari Payung


Dah Hujan Baru Cari Payung
Ada perumpamaan yang selalu kita sebut tapi saya berhemah nak sebut. Al kisah, petang tadi dalam pukul 4.00 petang, tiba seorang perempuan dalam usia 42 tahun, sarat mengandung. Turun teksi, datang seorang diri, saya persilakan masuk. Basa basi bertanya dari mana, rupanya dari negeri jauh Tengah Buana.

"Dah berapa bulan mengandung ni?"

"Tak tahulah, agak agak aja, 9 bulan kot." Jawap tanpa ada keyakinan diri.

"Buku merah ada?"

"Tak ada."

"Ishk...nampak sarat sangat, berdoalah jangan beranak sampai Ahad, supaya boleh daftar buku merah dulu, baru beranak."

"Takde lah, belum lagi masanya nak beranak."

Setelah mengisi borang profile diri, dibenarkan naik ke bilik untuk mandi dan berehat seketika sebelum turun semula untuk solat asar dan zikir kautharan. Hingga menjelang maghrib, berbuka puasa dan solat maghrib.

Ketika menjelang solat isya' saya nampak berat saja nak bangun, saya tegur,

" macam sakit aje, nak beranak ke?"

"Tak lah, lenguh lenguh aja sebab tadi jalan jauh."

Selepas solat terawikh, semua pelatih segera balik ke bilik masing masing untuk berehat dan tidor. Esok semua bangun awal untuk bersahur dan qiamulail. Saya pun segerà menghampar tempat beradu untuk merehatkan tubuh setelah seharian sepanjang hari melayan tetamu. Petang tadi sempat menyediakan jaudah berbuka, mihun soto ayam bersama begedil kentang daging.

Sedang sedap lena, pukul 12.32 tengah malam, saya dikejutkan oleh suara salam dan lampu diluar terang. Rupanya seorang pelatih menyampaikan khabar,

"Ummi, kakak nak beranak, dah sakit sakit."

"Kakak yang mana?"

"Kakak N, yang baru tiba petang tadi."

"Mana kakak tu?"

"Ni ada, duduk atas kerusi."

Saya pun bangun, ke bilik air , bersihkan diri dan bersih mata yang masih kelat nak dibuka. Apa kan daya kena buka juga, jadi kena disimbah air ke muka supaya segar.

Pukul 1.02 minit mula bergerak ke hospital, baru 1 km saya teringat,

"Mana kad pengenalan, buku merah takde, kena guna kad pengenalan."

"Kad pengenalan ada dalam dompet, dompet tinggal di rumah tadi."

Saya pun terus buat pusingan U, balik semula ke rumah, ambik kad pengenalan. Kemudian teruskan semula perjalanan ke hospital. Jarak rumah hospital dalam 30 km.

Dalam perjalanan terdengar suara nafas yang laju dan diatur perlahan lahan tanda contraction yang kuat, cuma tak berani nak berbunyi. Mungkin juga pengalaman lalu, pernah beranak, maka bijak mengatur nafas. Akhir beranak 12 tahun lalu, anak ke 5 sebelum bercerai.

Apabila sendiri, bekerja untuk menyara anak anak, jika iman tidak kuat, syaitan iblis sentiasa membisikkan sesuatu agar terjebak dalam maksiat dan akhirnya perzinaan yang berulang telah membuahkan hasil. Inilah hasilnya. Sudah ada pengalaman mengandung dan beranak, tetapi jalan ini jalan yang salah, tidak berani, malu untuk mendapatkan rawatan ketika mengandung, tidak mendaftar buku merah. Lepas tu, last minute mencari tempat perlindungan yang jauh dari kampung halaman, jauh dari sedara mara, jauh dari sahabat dan jauh dari majikan. Kenapa? Aib dan maruah diri!

Kerana aib diri, takut dicemuh oleh manusia yang mengenali, takut pandangan sinis sahabat dan sedara mara. Dengan Tuhan? Jika malu dengan Allah, tidak akan berulang kali melakukan perzinaan. Jika malu dengan Allah, tentu ingat, "aku ada ramai anak anak perempuan, dah besar- besar, kalau aku tak reti jaga maruah dan kehormatan diri, macamana aku nak didik anak?"

Namun bisikan syaitan, godaan iblis lebih kuat membuatkan lupa segalanya. Bila sudah terjebak dan membuah hasil tidak boleh berundur lagi. Langkah diteruskan mengandungkan anak zina. Anak yang apabila besar akan menghadapi konflik apabila tidak mempunyai bapa dan bin/binti yang berbeza dengan kakak kakak dan abang. Allahu akbar...

Wahai orang orang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. Jauhi zina dan jalan jalan menghampiri zina. Taatlah kepada Allah. Jika ibu tersilap langkah, bagaimana dengan anak anak yang lainnya?

Saya pun tidak mampu untuk memikir dan menjawap. Semuanya kembali kepada Allah, dimana jalan keluarnya cuma taubat nasuha, hidup berlandaskan syariat. Apabila ketua pincang, seluruh ahlinya juga pincang.

'Ya Allah, Pada bulan Ramadhan yang barakah ini, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu kepada seluruh penghuni Baitus Solehah, ampunkan dosa dosa kami, pimpinlah kami di jalan Mu yang lurus.'

Tiba hospital pukul 1.22 malam. Terus saya hantar ke Bilik Saringan. Masih menunggu untuk pendaftaran masuk wad atau Dewan Bersalin. Hmm...pasti nanti balik rumah anak anak lain sudah bangun untuk bersahur. Nasi sudah ditanak, tinggal menyediakan lauk lauknya saja lagi.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 9 February 2016

Menambah Isteri Untuk Harmoni


Jangan sentap dan terus membara dengan tulisan saya ini bagi mereka yang tidak bersetuju dengan poligami. Baca sampai habis dengan lapang dada. Jika tidak boleh berlapang dada, boleh terus tinggalkan status ini.

3 hari berturut turut saya bertemu dengan pasangan yang berhajat untuk berpoligami. Mereka bertemu saya bersama sama dengan isteri memohon dicarikan calon isteri kedua. 2 pasangan memohon calon isteri dari kalangan pelatih yang telah bertaubat dan berubah. Mereka melakukan kerana Allah semata mata, mahu melindungi, menyelamatkan ibu dan bayi dengan memberi sebuah kehidupan baru.

Seorang gadis mendapat suami, seorang isteri memerolehi teman dan seorang anak mendapat ayah. Membina keluarga harmoni yang barakah dan dirahmati Allah.

Dengan tulus, seorang isteri menghubungi saya untuk dipilihkan calon isteri buat suaminya. Saya pernah berada ditempat isteri begini. Saya pernah berniat menghadiahkan seorang isteri kepada suami saya semata-mata mencari keredhaaan Allah. Tetapi hajat saya ditolak oleh suami , ketika itu suami masih sihat. Jadi saya boleh memahami rasa seorang isteri yang mencarikan isteri untuk suaminya.

Pasangan dari Selangor sudah melalui proses permohonan poligami di Mahkamah, insyaAllah akan bernikah pada bulan Rejab nanti. Pasangan kedua dalam proses pemilihan calon. Dan pasangan ketiga pun sama, proses bertaaruf. Pasangan 1 dan 3 memohon calon isteri dari dari kalangan pelatih yang telah melahirkan anak, yang rela dan bersedia untuk berpoligami. Ini antara keupayaan mereka membantu menyelamatkan dua jiwa.

Kita lakukan ikut kemampuan dan keupayaan masing masing dengan pertolongan Allah. Setiap pasangan mesti memohon petunjuk dari Allah supaya keluarga yang dibina diberkati, hidup dalam harmoni dan dirahmati.

Siapa lagi yang ingin mengambil mereka sebagai isteri? Mereka jelas menyatakan tidak mahu berkahwin dengan pasangan yang telah merosakkan mereka melainkan telah bertaubat. Mereka telah ditarbiyah untuk menjalani kehidupan seterusnya dijalan jalan yang Allah redha. Mereka tidak lagi mahu terjebak walaupun mereka sebenarnya telah diperdaya. Maka bantulah mereka, jangan diungkit kisah silam dan dikeji apa yang telah mereka lalui.

Sekurang kurangnya para isteri berbuat dua kebaikkan. Kebaikkan mengizinkan suami memberikan kehidupan baru kepada seorang ibu tunggal dan bayinya. Kebaikkan membina persaudaraan sesama insan yang tidak mempunyai apa apa. Moga moga dengan amalan ini dipandang Allah dan menjadi asbab kita ke syurga.

Berkongsi kasih bukan bermakna kasih sayang dan cinta suami terbahagia dua. Kasih sayang tetap unggul dan total untuk isteri. Untuk bakal isteri kedua, kasih sayang tumbuh dan bercambah sendiri tanpa meluakan kasih sayang pada isteri pertama. Jadi jangan bimbang samada diketepikan atau diabaikan. Sebaliknya para suami akan lebih menyayangi dan menghargai kesediaan isteri untuk berpoligami bagi membina keluarga harmoni.

‪‎BaitusSolehah‬ berusaha membantu suatu kehidupan yang Allah redha untuk pelatih yang telah melalui proses tarbiyah.
Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta,kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 25 December 2014

Remaja lelaki 14 tahun sudah punya anak



Remaja lelaki ada anak di Malaysia
Sayu dan terharu. Ketika menunggu azan masuknya waktu solat asar di surau HSA semalam, saya mendapat panggilan telefon dari seorang bapa. Bapa kepada remaja lelaki berusia 14 tahun.


Bapa ini bertanyakan masalah anaknya yang baru berusia 14 tahun telah berzina dengan seorang gadis berusia 18 tahun dan kini telah hamil 5 bulan. Terkedu saya mendengarnya. Walaupun sebenarnya kisah gadis dan lelaki berzina ini sering diluahkan kepada saya, kisah remaja ini buat saya terkedu kerana baru berusia 14 tahun akan bergelar bapa tidak lama lagi.

Apakah yang maju sangat sehingga remaja 14 tahun sudah meneroka alam seksual dan menghasilkan benih? Apa yang Allah mahu memperlihatkan sebenarnya? Kun Fa Ya Kun!

Tidak ada yang mustahil bagi Allah, walaupun katakan kamu baru akil baligh, kamu baru saja mimpi keluar mani, dan Allah mahu tunjukkan dalam mani kamu ada benih. Allah nak tunjukkan sesuatu kesalahan. Mungkin sangkaan pasangan, mereka berzina tidak mendatangkan sebarang akibat. Mereka sering berzina kerana menyangka dalam air mani belum ada benih yang boleh mengakibatkan mengandong. Ya lah , remaja umur 14 tahun, boleh dikelaskan masih kanak-kanak. Lagi pun lelakikan lambat matang.

Tetapi lain jadinya. Perbuatan zina mereka dalam diam telah mendatangkan akibat.

Cuba fikirkan, zaman dulu, umur 14 tahun, apalah yang kita tahu hal suami isteri. Yang sangat sulit dan dirahsiakan. Ada sahabat saya, ketika itu kami sama-sama berusia 19 tahun tetapi saya telah berkahwin bertanya, macamana sperma dan telor disenyawakan dan bayi lahir melalui mana? Dalam subjek biologi hanya disebut bagaimana persenyawaan terjadi tetapi tidak diterangkan tentang jimak.

Tetapi zaman ini, remaja 14 tahun, bukan sahaja tahu apa hubungan seks, malah telah melakukan dengan pasangan sehingga menghasilkan benih. Mesti dia sudah selalu melihat teori, jadi bila ada peluang, dia terus melakukan praktikal. Sekali yang pertama telah mendatang berahi dan keseronokan menyebabkan terus mengulangi. Tidak tahu sejak bila dia mula berzina. Bapanya pun tidak mampu bertanya bimbang jawapan itu memeranjat.

Tidak siapa pun menduga, ingatkan pasangan yang diakuinya kakak angkat, sering bersama untuk menunjuk ajar pelajaran matematik dan sainsjuga merupakan pasangan zina. Mereka ibarat pasangan suami isteri. Ibu bapa langsung tidak menyangka pasangan itu mempunyai hubungan yang begitu intim sehingga atas katil.

Ya lah...sapa nak duga, sementara tunggu sessi persekolahan waktu petang, adik angkat transit sekejap rumah kakak angkat, untuk bertanyakan kerja sekolah setiap hari sebelum ke sekolah buat kerja intim ini. Ibu bapa masing-masing bekerja, kakak angkat pulak belum berpeluang meneruskan pelajaran selepas SPM masih berada di rumah. Rumah berdekatan, setaman. Adik angkat singgah sekejap untuk makan atau bertanya kerja sekolah kepada kakak adalah perkara biasa pada mata masyarakat sehingga tidak menimbulkan keraguan dan syak wasangka yang pertemuan setiap hari tu adalah untuk tujuan melepaskan nafsu berahi, mereka sudah ketagihan zina.

Itu sebab Allah timpakan musibah atas perbuatan mereka itu dengan menyebabkan benih tersenyawa dan kakak angkat mengadong. Bila dah mengandong, barulah tersedar akan apa yang mereka lakukan selama ini adalah salah. Sejak bila mula mereka berzina kita tidak tahu. Tetapi jika sekarang bulan Disember, sudah mengandong 5 bulan, janin itu telah terenyawa sejak bulan Ogos lagi. Lepas bulan puasa, masih dalam bulan syawal.

Hmmm....

Itu tempoh mula tersenyawa. Mungkin mereka sudah mula berzina awal tahun lagi, sejak kakak angkat habis SPM, duduk di rumah takde kerja. Tetapi ketika itu air mani remaja mungkin belum ada sperma, awal 14 tahun. Lelaki selalunya akil baligh 15 tahun, mungkin remaja ini kategori akil balighnya awal.

Menakutkan...mengerikan untuk dibayangkan. Betapa maju kedepannya remaja hari ini.

Dimana puncanya? Macamana mereka tahu melakukan hubungan seks dan apa yang menyebabkan mereka selalu berahi?

Zaman ini apa yang mudah didapati? Mudah dipelajari dan mudah dingati?

Sudah pasti video lucah yang mudah dimuat turun dari internet. Tambahan ramai remaja hari ini ada smartphone yang ada akses internet. Siapa yang belikan smartphone? Siapa yang top upkan kredit? Siapa yang sediakan wifi di rumah untuk mengakses internet?

Rasa-rasanya suami isteri pun tidak hari-hari melakukan hubungan seks kerana mood takde, tidak terangsang kerana letih bekerja. Berbeza jika seseorang itu sering melihat video lucah, muudah teransang dan ingin melampiaskan. Makanya pasangan remaja itu rajin berzina sebab kekerapan menonton video lucah bersama, ibarat makan kuaci. Agaknya, singgah sekejap aja sebelum ke sekolah, terus menonton video lucah yang hanya beberapa minit, teransang dan tersu berzina. Zina tu ibarat makan kuaci aja. Setengah jam selesai, tersu pergi sekolah. Esok ulang lagi bila dapat video lucah lainnya dan tengok sama-sama.

Ibu bapa di luar sana, berhati-hatilah, berwaspadalah dengan kehadiran teman sekolah berlainan jantina yang sering kata belajar bersama.Jangan sekelip mata pun kita lalai memerhatikan. Jangan letak kepercayaan adik angkat akan jaga kakak angkat, tidak melakukan apa-apa pada kakak angkat. Ini bukti...

Tahun lepas pun sama, saya dirujuk kes yang sama, pasangan sama-sama berusia 15 tahun. Belum ambil PMR. Pasangan adalah dari sekolah agama harian. Ibu ayah guru. Tinggal setaman, dan rumah berhampiran. Jadi mereka sering belajar bersama mengulangkaji pelajaran dan study group. Sekali saja cuai meninggalkan mereka berdua untuk keluar ke bandar beli keperluan harian, mereka yang tengah belajar tu terus buat praktikal dalam bilik. Adalah lebih kurang 40 minit saja ke bandar tu, bila balik lihat anak-anak masih belajar petang. Mana nak timbul syak wasangka, masa pergi duduk di meja, ketika balik pun masih belajar bersama di meja. Sunggguh cantik mereka berlakon. Sekali, dua kali dan seterusnya. Alih-alih sebelum PMR, perut remaja perempuan nampak buncit.

Dah dekat nak PMR ni, ibu bimbang anak ni ada penyakit, bila dipegang bahagian perut ada bonjolan dan keras, bawalah anak perempuan ni ke doktor. Doktor terus buat imbasan, apa yang dilihat melalui skrin adalah janin bayi, jantung telah berdegup dan usia janin telah 26 minggu. Rasa runtuh langit menimpa kepala si ibu. Berderai air mata si ibu. Balik rumah, panik dan mengigil. Mengoogle mencari maklumat sehingga menemui nombor telefon saya dan meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

Tidak berani mahu bercerita pada orang lain, bimbang ada yang bawa mulut ke seluruh taman dan tempat kerja. Kasihan sungguh dengan ibu ini. Selalu menghubungi saya meminta nasihat dan bimbangan, apa nak buat dengan anaknya ini. Untuk digugurkan, tidak mungkin. Untuk membiarkan anak melahirkan bayinya di rumah juga tidak mungkin. Dimana maruah dan aib mahu diletakkan.

Maka, pasangan ini telah dinikah tetapi tidak dibenarkan tinggal bersama. Sebaik tamat peperiksaan PMR, gadis itu telah dibawa ke satu tempat yang jauh untuk ditarbiyah dan melahirkan anak.

Wahai ibu bapa, jika tidak mahu perkara ini terjadi di dalam keluarga, awasi anak kita, jaga hubungan dengan Allah. Selalu berdoa. mohon Allah yang melindungi kita dan keluarga kita. Minta Allah yang memelihara iman kita dan keluarga kita dari sebarang musibah yang mendukacitakan dan mengaibkan. Kita tidak punya daya upaya melainkan selalu mengharap pertolongan Allah.

"Ya Allah peliharalah diriku dan keluargaku dari melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Peliharalah iman kami, tetapkan iman dalam ramatMU"

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya dari manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, lagi tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.(Qur’an Surat 66 (At-Tahrim): ayat 6)

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 17 May 2013

Disebalik Berlangsungnya Akad Nikah

Ijab dan kabul

Disebalik berlangsungnya majlis akad nikah semalam, ada cerita awalnya yang struggle dan  pertolongan Allah yang Maha Pengasih dan Belas Kasihan. Itu doa yang tidak putus-putus dipanjatkan agar semua urusan untuk hari ini dipermudahkan oleh Allah, dilembutkaan hati untuk semua yang terlibat.




Tak pernah dibuat orang, menguruskan permohonan pernikahan dapat diselesaikan dalam satu hari hingga akad nikah dilaksanakan. Pasangan calon penghuni Baitus Solehah, baru tiba di Johor Bahru dinihari tadi jam 2.00 pagi. Saya sudah sediakan sebuah homestay untuk dia dan keluarganya menginap.

Calon suami baru nak buat permohonan bernikah. Jadi subuh-subuh saya online untuk mengisi e-ncr, borang permohonan nikah secara online bagi seluruh negeri Johor. Saya isikan mana-mana maklumat yang saya tahu.

Jam 7.35 minit pagi saya bersama calon suami terus menuju ke Pejabat Agama Daerah Johor
pasangan pengantin ditemubual oleh kadhi
Bahru untuk mengambil borang saringan HIV dan mencetak borang permohonan yang telah dilengkapkan. Buat semula temujanji dengan Tuan Kadhi untuk bernikah jam 12.00 tengahari.

Selesai mengambil dan mencetak borang terus kami menuju ke Kg Melayu Lima Kedai, Gelang Patah untuk bertemu Ketua Kampung bagi mendapat surat pengesahan akuan pemastautin dan status diri calon suami. Sebelum datang saya sudah buat temujanji untuk datang ke rumahnya jam 10.00 pagi.

Sempat Ketua Kampung bertanya, "bila nak nikahnya?"

"Hari ni, jam 12.00 di Pejabat Agama, dah janji dengan Tuan Kadhi."

"Ujian Saringan HIV dah buat? Sekarang dah pukul berapa, 10.25 pagi, sempat ke Pusat Kesihatan nak buat? Selalunya mereka buat ujian saringan HIV di sebelah petang."

"InsyaAllah dengan qudrat dan iradat Allah, dengan pertolongan Allah, moga-moga Allah mempermudahkan dengan menunjukkkan jalannya."

"Pergilah, moga usaha kamu berhasil. Allah suka kepada orang yang berusaha dan melihat kepada usaha."

Kami pun segera menuju ke Pusat Kesihatan Taman Universiti untuk menjalani ujian saringan HIV. Dalam hati sentiasa berdoa, moga-moga ALlah melembutkan hati, menjinakkan hati dan membuka hati staf bahagian pengambilan darah untuk menolong dan memudahkan. Terkenang pulak , hari ni hari Khamis, hari pemeriksaan ibu-ibu hamil. Tentu ramai orang di Pusat Kesihatan. "Ya Allah, mudahkanlah urusan ini"

Sampai di Pusat Kesihatan jam 10.45 pagi. Terus berlari-lari anak masuk ke dalam klinik dan menuju bilik 16, unit pengambilan darah. Unjukkan borang dan kad derma darah. Rupanya, calon lelaki ini adalah penderma tetap darah untuk Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Setiap 3 bulan dia akan pergi untuk mendermakan darahnya. Jika lambat hadir, pihak Bank Darah sendiri akan telefon mengingatkan. Ini kerana calon suami ini memilik darah group AB. Group darah yang selalu kekurangan dalam Bank Darah.

Melihat tarikh akhir derma darah ialah 9 Mei 2013, staff bahagian darah setuju untuk melengkapkan borang saringan HIV tanpa perlu melakukan ujian darah. Dalam hati saya berkata, "keajaiban apakah yang Allah nak perlihatakan agar urusan ini mudah dan cepat?" 15 minit saja selesai urusan melengkapkan borang ujian saringan HIV.

Minggu lepas pun sama, ketika melengkapkan borang ujian saringan HIV penghuni Baitus Solehah, (calon isterinya) cuma ambik masa 15 minit juga , ini kerana sehari sebelumnya darah telah diambil untuk semua ujian bagi pemeriksaan antenatal ibu hamil. Keputusan ujian telah pun keluar, maka staf bertugas cuma perlu melengkapkannya saja lagi.

Jam 11.05 minit pagi terus kami pulang semula ke Baitus Solehah untuk bersiap dan menjemput wali , calon isteri dan saksi pernikahan. Dengan 2 buah kereta, kami bergerak semula ke Pejabat Agama Daerah Johor Bahru untuk menyerahkan borang permohonan Nikah yang telah lengkap. Alhamdullilah, kami dapat tiba sebelum jam 12.00 tengahari.

Dibenarkan bernikah pada hari ini juga
Sampai di kaunter serah borang dan masuk ke Bilik Tuan Kadhi. Oleh kerana anak sulong, dan wali tidak dapat menyertakan Sijil Pernikahannya dahulu, maka tuan kadhi menemubual wali dan isteri bagi memastikan anak sulong mereka ini benar-benar anak sah taraf. Ini sangat penting kerana mahu mewalikan pernikahan anaknya.

Sampai di sini semua berjalan lancar. Namun kerenah birokrasi memang tiada siapa dapat mengelakkannya. Akad Nikah tidak dapat dijalankan pada waktunya kerana beberapa procedur borang yang perlu diproses dan pembayaran di kaunter. Semua staf berehat makan tengahari pada jam 12.30. Semua kaunter telah ditutup. Kena tunggu pukul 2.15 petang pulak. Nak kata apa? Kenalah juga tunggu.

Sementara menunggu, saya terus menuju ke musalla yang disediakan untuk menunggu masuknya waktu zohor. Solat berjemaah dengan seorang staf perempuan yang datang awal ke musalla. Selesai solat saya pergi ke bahagian Baitulmal untuk membuat semakan permohonan Bantuan Sara Hidup cik lina. (Cik Lina ialah ibu tunggal yang buta). Menunggu jam 2.15 membuatkan saya sempat lena di kerusi tanpa mempedulikan orang ramai yang ada di situ.

Hati saya berkata, kaunter untuk permohonan bantuan dari Baitulmal cuma ada 2 saja, sedangkan kaunter untuk pungutan zakat, fidyah dan wakaf ada 6. Jelas di sini, Baitulmal cuma meraikan orang mengeluarkan duit (mereka terima duit) tetapi tidak untuk orang ramai yang meminta bantuan. Sebab itu kaunter punggutan selalu lenggan , jarang ada orang, dan kaunter disediakan ada 6 pulak tu. maklumkan kaunter untuk orang kaya.

Berbeza dengan kaunter mohon bantuan yang sempit dan sentiasa ramai orang. Jelas di sini, kaunter yang selalu orang ramai datang, orang yang datang tu miskin, kekurangan cuma ada 2 saja. Mereka tidak diraikan!

Kembali semula kisah borang cik lina, maka terkial-kiallah staf di kaunter nak menuding kepada siapa, borang permohonan belum diproses. Ini adalah kali kedua saya datang buat semakan bagi pihak cik lina. Borang permohonan Bantuan sara hidup ni pun saya yang isi dan lengkapkan dan saya sendiri yang hantar. Maka saya mempunyai nombor rujukan borang telah diterima. Ini bermakna juga, telah 3 kali saya datang ke kaunter bahagian permohonan bantuan. Kali pertama datang bawa cik lina yang buta, dengan susah payah nak pimpin cik lina naik tangga dan berjalan, tetapi mereka takde nak buat siasatan atau temubual bagi mempercepatkan bantuan untuk cik lina. Hari ni pulak mereka boleh tanya, cik lina datang ke?

Apa lagi saya jawap, "hari tu saya datang, kenapa tak nak temubual, suruh balik dulu, ingat senang ke saya nak pimpin cik lina ke sini "

Masih saya ingat, masa pimpin cik lina naik tangga, dengan tak ada pemengang tangga, hampir saya dan cik lina jatuh tergolek. Mujur masa tu ada seorang penghuni Baitus Solehah yang menemankan sempat merangkul kami berdua dari jatuh. Padahal penghuni tu pun sedang hamil, tak kuat juga. Sebenarnya ada pertolongan ALlah di situ menyebabkan kami tidak jatuh.

Agaknya supaya nampak ada tindakan, mereka panggil saya masuk ke kaunter lain disebelah dalam dan buat akujanji, nanti hari Isnin ,20 Mei 2013 akan datang buat ziarah dan siasat ke rumah cik lina.

"Baiklah , saya tunggu."

Selepas selesai urusan di sini, segera saya menuju ke Bilik Tuan Kadhi semula bagi memastikan akad nikah sudah dapat dijalankan. Malangnya tuan kadhi masih sibuk dikunjungi oleh tetamu. Maka bersabarlah kami menunggu. Ini pejabat orang, rumah orang, mana boleh nak mengamuk dan marah-marah akan kelewatan ini.

Dari 2.30 telah berganjak ke 3.30 petang, masih belum berlaku akad nikah. Terus menunggu sampai Naimah naik boring, dia berkata,"opah , apa pasal kenduri kat sini takde air?" Siap naimah mengadu pada atoknya dalam telefon, " kenduri kat sini apa pun tak ada tok, air takde, nasi takde, ayam goreng pun takde."

Saya yang tak sempat makan dan bersarapan, atau makan tengahari lagilah lapar. 3.45 baru nampak muka kadhi dengan staf pengiringnya tiba ke ruangan yang telah disediakan hamparan karpet dan pelamin. Maka berlangsunglah akad nikah yang dimulai dengan bacaan al-fatihah dan khutbah nikah. Istigfar dan al-fatihah sekali lagi.

Ada 3 pasangan yang akan dinikahkan serentak. Pasangan dari Sabah dan pasangan dari Pasir
lafaz cerai taklik oleh suami
Gudang. Sebaik akad nikah selesai, pasanagn pengantin dah boleh bersalam dengan pasangan dan mertua.

Jika nak buat kenangan, boleh bergambar sanding di pelamin tanpa dilihat orang ramai. Seelsai bergambar, jam menunjukkan 4.35 petang, dan kami semua bernasur pulang ke Baitus Solehah.

Begitulah coretan hari ini perihal kisah bernikah di pejabat agama. Lepas ni, tak mahu saya cadangankan pernikahan sesiapa saja dilakukan di pejabat agama kerana tidak dapat memenuhi tuntutan masa dijanjikan . Di Pejabat ada ramai orang yang datang dengan berbagai masalah untuk diadukan kepada tuan kadhi.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Majlis Pernikahan Penghuni Baitus Solehah

Ijab dan kabul

Baitus Solehah bukan sekadar melindungi gadis terlanjur tetapi turut membantu menguruskan pernikahan penghuni yang ingin bernikah.

Selesai sudah majlis pernikahan seorang Penghuni Baitus Solehah. Pendek kata Baitus Solehah bukan sekadar memberikan perlindungan kepada mereka yang telah terlanjur, tetapi membantu menguruskan pernikahan jika ada pasangan yang ingin bernikah.

Ini adalah lebih baik agar anak itu boleh mereka pelihara sendiri. Pernikahan dijalankan di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru pada petang tadi.

Majlis yang ringkas namun memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki syariat Islam. Alhamdullilah...



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Lelaki Prihatin Berhati Mulia.




Majlis akad nikah
Saya bukan nak puji, cuma nak cerita saja. Kisah lampau saya tak tahu tapi dalam kita suka menilai seseorang berdasarkan luaran, sebenarnya tersembunyi sesuatu yang luhur di sanubari.

Ada satu kisah, seorang gadis yang ternoda dengan lelaki lain. Konon diperkosa oleh teman lelaki sekuliah. Lepas tu tinggal begitu saja tanpa mengetahui dia turut meninggalkan benih dalam rahim gadis. Janin kian membesar tetapi tidak disedari oleh gadis itu sehinggalah usia janin mencapai 3 bulan dalam kandungan.

Bila tahu air mata jadi teman. Semangat hidup sirna bagai senja berlabuh. Menunggu matahari tenggelam. Kebetulan bertemu dengan seorang lelaki lain yang agak prihatin. Bertanya kenapa dia jadi begitu. Sigadis pun bercerita perihal diri yang telah ternoda dan sedang membawa janin didalam rahimnya.

Setelah 2 bulan memberi perhatian kepada gadis ini, menimbulkan rasa sayang, dan berhasrat untuk memperisterikannya. Sedia melindungi gadis secara halal dan sah disisi agama.

Namun hasrat hatinya ditolak keluarga gadis, dan gadis dihantar ke rumah perlindungan wanita Baitus Solehah semata-mata untuk menggelakkan malu dan menjauhkan sigadis dari lelaki yang baik itu.

Namun sigadis bertindak protes, mengisytiharkan mogok lapar sehingga diri berada dalam keadaan murung.

Dari maklumat bisu sigadis diberikan satu nombor telefon. Rupanya nombor telefon lelaki prihatin itu. Dari situ saya mendapat pencerahan hujung pangkal cerita kenapa dan mengapa sigadis bertindak sedemikian rupanya. Hasil perbincangan dengan lelaki prihatin inilah yang membawa berlangsungkan akad nikah. Walaupun asalnya terdapat beberapa halangan kecil , alhamdullilah dapat diharungi.

Lelaki prihatin ini berstatus duda kematian isteri. Isteri pertama telah meninggal dunia. Isteri pertama merupakan seorang orang asal Semenanjung yang dia Islamkan terlebih dahulu. Setelah memperolehi seorang seorang anak perempuan, kiranya baru berusia 1 tahun, isteri meninggal dunia kerana lukemia. Sejak itulah lelaki prihatin ini selalu mendermakan darahnya ke Hospital Tengku Afzan.

Dia menjadi penderma tetap setiap 3 bulan. Jika lewat datang derma darah, pihak Bank Darah akan menelefon mengingatkannya. Group darah AB memang group darah yang sukar diperolehi.

Orang lain infak harta, dia infak darah. Darah tidak boleh dibeli atau dijual. Bukan semua orang layak untuk menderma darah. Ada pemurah nak derma darah tetapi tak boleh derma kerana ada masalah lainya. Zauj saya pernah suatu ketika memberi markah 10 % untuk kerja kursus kemasyarakatan kepada mana-mana pelajarnya yang menderma darah.

Dan kini lelaki prihatin sanggup melindungi gadis yang telah terlanjur dengan mengambilnya sebagai
rasmilah mereka sebagai suami isteri
isteri. Betapa mulia hati orang begini. Bila saya melihat sejarah lalunya, saya yakin dia benar-benar berhasrat melindungi gadis ini. Bukan kerana simpati semata-mata, tetapi memilik hati yang luhur seperti mana dia mengambil isteri pertama seorang gadis asal semenanjung untuk dilindungi sebagai seorang muslim. Rupa paras , bentuk tubuh bukan ukuran dan penilaiannya. Di samping sentiasa membantu pihak hospital dengan menginfakkan darahnya demi kehidupan orang lain.

Berapa ramai orang yang bersifat seperti lelaki prihatin ini? Mulia hatinya dalam pandangan Allah, moga-moga dikurniakan nur dan hidayah untuk membimbing anak dan keluarga barunya ini dijalan yang Allah redha.

Marilah ramai-ramai kita mendoakan kebahagiaan untuk dia keluarganya didalam rahmat Allah Ta'ala. Moga-moga isterinya menjadi isteri yang baik, kerana perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Taubat isterinya menjadikan dirinya bersih dan suci, layak dikahwini oleh lelaki yang baik.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.