BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label kemaafan. Show all posts
Showing posts with label kemaafan. Show all posts

Sunday, 7 February 2016

Cuti Panjang Bersambung Hujung Minggu



Oh...kasihannya, sangat terlupa yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena menyambut tahun baru cina. Kasihan sungguh ! Seorang pelatih telah melahirkan anak pada hari Rabu, tengahari. Malamnya, saya telah ke Selangor. Hari Khamis, pagi saya ada urusan penting di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam. Urusan di Mahkamah selesai pada pukul 2.30 petang.

Sepatutnya hari Khamis tu, pelatih perlu dijamin keluar di Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Hari Khamis, waktu kerja di Johor cuma sampai 3.30 petang saja. Memang saya tidak sempat untuk pulang ke Johor Bahru untuk menjamin keluar pelatih pada hari berkenaan. Saya ingat, pagi Ahad saya ke JKSP untuk jaminan keluar.

Pagi ni, baru saya teringat yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena tahun baru cina. Sudah tentu pejabat JKSP juga tutup. Hari Selasa baru dapat buat jaminan keluar. Allahurabbi, lamanya pelatih tu duduk wad. Habis tu nak buat apa lagi?

Pelatih tu telah melahirkan anak lelaki, 2.7 kg. Bayi di wad bayi, ibu di wad brsalin. Tidak tinggal di wad yang sama. Tentu bengkak payudara ibu kerana tidak dapat menyusukan anaknya. Alahai...

Fikir semula...kenapa ini berlaku? Ibu lepas beranak, tapi tak dapat tengok dan peluk anaknya selama 7 hari. Nak kena tunggu dijamin keluar baru boleh lihat anak.

Sudah tentu pihak hospital makin tegas terhadap peraturan apabila baru baru ini ada kejadian bayi terdampar di wad. Ibu bayi telah melarikan diri dari wad dan meninggalkan anak yang baru dilahirkan di wad bayi. Itu rasional sebenar ibu yang tidak bersuami dan bayi dipisahkan selepas dilahirkan.

Ibu yang tidak mempunyai suami, emosinya tidak stabil. Kecelaruan minda dan emosi. Boleh saja bertindak diluar kawalan kita dan bertindak luar jangkaan akal kita. Sebab itu ibu ibu yang begini perlu diawasi, namun semua kita tahu kat wad tu ada berapa ramai ibu ibu yang baru melahirkan anak, dan jururawat bertugas cuma ada berapa orang saja. Itulah rasional kenapa ibu ibu yang tidak mempunyai suami, sebaik melahirkan anak, anak dan ibu dipisahkan wad. Jururawat tidak mamou untuk mengawasi ibu ibu ini sepanjang masa. Bukan seorang ibu berstatus 'sms' berada di wad bersalin tu.

Jadi dalam hal ini, semua berlaku bukan atas dasar menganiya dan menzalimi ibu dan bayi, tetapi lebih kepada menjaga kemaslahatan ibu dan bayi. Kita tidak tahu apa yang sedang difikiŕkan oleh ibu tidak ada suami dan baru melahirkan anak.

BaitusSolehah‬ belum mampu untuk menyediakan staff berbayar. Bukan semudah itu untuk menjamin keluar ibu ibu yang melahirkan takde suami. Alangkan saudara mara pun payah untuk dilepaskan oleh JKSP inikan pulak yang tidak dikenali. Tugas kita bukan sekadar menjamin dan sign on paper, tetapi pegawai akan menebual kita sejauh mana kenal orang mahu dijamin, bagaimana akhlak, bagaimana tingkahlaku sejak berlindung di BS dan bagai bagai lagi.

Nanti selepas sign dokumen , kita kena uruskan discaj wad ibu dan bayi yang mengambil masa lebih 3 jam.

Sebab itu ada beberapa keadaan tertentu, jika keluarga berada di sekitar Johor, saya minta mereka bantu urus atau ada keluarga yang menawarkan diri untuk menguruskan.

Selepas mereka urus hingga discaj, mereka hantar ke BS, mesti mereka berkata, "masyaAllah ummi, lamanya procedur untuk discaj, dari tenghari sampai ke maghrib baru selesai. Saya tak boleh bayangkan macamana ummi uruskan selama ini. Puas saya bersabar. Tak sanggup saya dah."

"Puan cuma uruskan seorang, saya uruskan sudah berpuluh puluh orang, tak ada apa kita boleh mempercepatkan urusan melainkan kita yang harus bersabar."


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 4 February 2016

Tugas Bertambah Kes Dirujuk Ke Mahkamah


Jika sebelum ini urusan saya mengendalikan pelatih ke klinik kesihatan, ke Bilik Saringan, ke JPN untuk mendaftar kelahiran dan ambik nenek untuk mengurut ibu ibu selepas melahirkan. Mulai hari ini bertambah tugas apabila perlu menemani mana mana pelatih yang perlu hadir ke Mahkamah apabila ada sebutan kes.

 
 
Membantu meringankan hukuman dengan menyediakan surat akuan perlakuan baik sepanjang berada di Baitus Solehah. Mereka telah berusaha bertaubat dan berubah. Menerima bimbingan dan didikan untuk menjadi insan mulai yang Allah redhai.

 
 
Sejak kebelakangan ini, sudah beberapa pelatih menerima surat hadir ke Mahkamah atas dakwaan telah melakukan persetubuhan di luar pernikahan. Samada setuju atau tidak memang wajib hadir. Untuk memudahkan urusan, pelatih rela membuat pengakuan bersalah kerana jenayah syariah yang dilakukan dan rela menerima hukuman. Walaupun bukan hukum hudud dilaksanakan, moga moga jiwa mereka tenang setelah berusaha untuk bertaubat dan berubah menjadi insan yang Allah redha.
 
 Dalam Kamar Mahkamah Tinggi Syariah

Apabila sebutan dibacakan....kes jenayah syariah sekesyen 26.

Hukumannya denda tidak melebehi RM 5000.00 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat dengan 6 sebatan atau dihukum kombinasi antaranya yang sah.

Persediaan melakukan persetubuhan disebuah hotel...bersama pasangan bernama...

Adakah kamu mengaku bersalah?

Ada sesiapa yang memaksa kamu mengaku bersalah?

Kamu faham akibat pengakuan bersalah kamu?
 
 
 Hukuman Telah Dijatuhkan

Setelah dibacakan pertuduhan oleh pegawai pendakwa raya, rayuan telah dilakukan, lama juga mahkamah sepi dan diam untuk mengetahui hakim menjatuhkan hukuman.

Mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah...

Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman,

"Dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga atau pegawai dari Rumah Perlindungan Baitus Solehah dan mengikuti kelas pembelajaran agama 50 jam."

Terima kasih kepada peguam peguam yang membantu menyediakan dokumen mitigasi supaya hukuman diringankan. Sesungguhnya Allah yang Maha Perkasa menghendaki jalan ini dilalui.

Doa hamba yang bertaubat, doa dan zikir kautharan di setiap hari, zikir memohon Allah tunjukkan jalan jalan kebaikkan.

Sesungguhnya Allah menunjukkan orang orang yang beriman dan bertakwa jalan keluar segala permasalahan tanpa kita ketahui. Allah Ya Barri.
 

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 3 February 2016

Dipaksa Berpisah Dengan Permata Hati


Tiba di rumah selepas pulang dari menghantar nenek mengurut, saya buka inbox page Baitus Solehah. Mesej yang membuat hati lara dan sayu. Kasihan mereka yang terpaksa dan dipaksa berpisah dengan anak tanpa rela. Jadi janganlah tanya tentang anak angkat dari Baitus Solehah. Ambiklah iktibar dari kisah ini.

Profile yang hantar mesej saya sembunyikan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalammualaikum ummi,

Maafkan saya menganggu kepadatan waktu2 ummi. Ummi izinkan saya berkongsi 1cerita tentang hidup silam saya dan hingga hari ini ia masih menghantui saya.

4 tahun yang lalu saya telah melahirkan anak diluar pernikahan, saya akui itu dosa besar saya ,saya bertaubat saya nekad untuk jaga kandungan saya . Demi Allah ummi, tak pernah terlintas difikiran untuk mengugurkan kandungan. Bila keluarga saya mengetahui , saya mengerti betapa hancur luluh nya hati mereka, saya ambil keputusan untuk belajar agama mengisi ruang2 yang terlalu kosong dalam jiwa saya, keluarga saya mencari dan alhamdulillah saya diterima masuk di rumah perlindungan di Melaka. Saya tenang disana, setiap saat mengigati Allah s.w.t dan menginsafkan saya. 5 bulan saya tinggal di rumah perlindungan itu saya selamat melahirkan mujahid saya. Allahuakhbar ummi, itu la hari paling bahagia bermakna buat saya.

Tapi ummi, selepas 21 hari, saya dipaksa berpisah dengannya. Puas saya rayu tiada airmata lagi mampu saya tangis kan...akhirnya anak saya pergi dibawa oleh keluarga baru.

Ummi , betapa hancur remuk luluhnya hati saya ummi, selepas itu saya mengabiskan pengajian saya di rumah perlindungan itu selama 6 bulan lagi. Setiap masa setiap saat saya pujuk hati saya...bahawa perancangan Allah itu lebih baik. Saya belajar redha..redha seredha nya, hingga saya habis belajar , saya meneruskan kehidupan saya, saya bukak lembaran baru dalam hidup saya, saya cuba kuat dihadapan semua orang. Saya bertemu jodoh , dan kini hampir setahun usia perkahwinan saya..saya masih belum dikurniakan zuriat.

Ummi, saya tidak mampu menidakkan naluri seorang ibu, saya terlalu merindui anak saya. Saya pernah berjumpa dengan anak saya..terpaksa mengunakan org tengah, dan org tengah mesti berada sekali dalam pertemuan kami, terlalu susah untuk berjumpa, pernah dimarahi hanya kerana ingin bertemu dengan anak sendiri, saya cuba untuk tidak memikirkan tentang anak saya..tapi rindu ini ummi, dah tak tertanggung lagi ummi, rasa terseksa ummi , menahan rindu ini, bukanlah saya tak redha, tapi hati ini terlalu merindu ummi, tak tertanggung rasanya, saya fikir selepas saya berkahwin saya mampu melupakan tapi ingatan saya makin kuat pada anak saya, setiap doa selepas solat setiap doa2 saya berharap dia dapat menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa,dapat menjadi anak yang soleh pada kedua ibu bapa angkat nya...

Mungkin Allah hanya beri saya peluang untuk mengandung dan melahirkannya tapi kehadiran nya untuk membahagiakan org lain, menjadi penyeri rumahtangga org lain...

Saya bersyukur dia dijaga oleh keluarga yang baik..walaupun saya tiada hak untuk menjaga anak saya, saya pasrah... rindu ini saya akan pendam hingga akhir hayat saya, doa2 saya akan mngiringi kehidupan nya.

Ummi, terima kasih kerana tidak memisahkan ibu dengan anak2 mereka, saya bangga dengan ummi, kerana sakit berpisah dengan anak itu lebihhh sakitt dari segalanya, jiwa ini sakit menanggung rinduu.

Ummi doakan saya ye ummi, doakan saya kuat untuk menempuhi ujian Allah ini, ummi doakan saya dikurniakan zuriat pada jalan yang halal ini. Semoga Allah merahmati usaha2 ummi, hanya 1 selalu bermain difikiran saya, bagaimana ada sebuah keluarga angkat boleh mencipta bahagia sedangkan disebalik nya ada hati yang terluka? Ada jiwa yang merana menanggung sebuah kehilangan?

Saya pendam..tapi hari ini ia tidak mampu dipendam sendirian lagi,.ini lah perjalanan saya yang telah tertulis di luh mahfuz ,saya redha ummi...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sentapkah jiwa yang membaca? Yang terasa, yang jiwanya kerdil. Anak anugerah Allah, tetapi menjadi hak orang lain dan dinapikan hak ibu kandung.

Ingatnya, ibu ini bagus, mendoakan anaknya menjadi anak soleh. Maknanya ibu ini benar benar bertaubat, mengamalkan ilmu yang dipelajari. Bagaimana ada anak angkat yang jadi hantu, tak jadi orang hanya disebabkan ego keluarga angkat yang memisahkan dengan ibu kandung, ibu kandung tak rela, kurang iman , maka doa dia juga penyebab kepada anak tadi tidak menjadi orang. Dan akhirnya, anak itu menjadi sia sia, terabai dunia akhiratnya.

#BaitusSolehah menyelamatkan dua jiwa, tidak rela anak dan ibu dipisahkan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 7 December 2013

Menyantuni Mak Mertua


Mak Mertua saya
Setiap tahun ibu mertua akan bergilir-gilir tinggal bersama anak-anak menantu. Dia akan tinggal disemua rumah anak-anak mengikut giliran yang dia sendiri tentukan. Lama mana tempoh pun atas dirinya juga yang tentukan. Mak mertua saya menyenangi semua anak menantunya yang berjumlah 9 orang. Mak mertua saya mempunyai 10 orang anak, seorang meninggal dunia ketika masih kecil. Sudah ada permata hatinya menunggu di pintu syurga.

Bila bercakap , menasihati anak menantu cucu cicit, ibu mertua akan sebut, "nenek tak pernah sekolah, tetapi nenek sentiasa ingat apa yang arwah atuk ajar dulu, apa yang tuan guru selalu bacakan kitab."

Tahun ini 2013, saya jemput mak mertua datang ke rumah pada 6 Oktober 2013 lalu. Saya dan zauj pergi ambik, ketika itu dia berada di rumah adik zauj yang bongsu, dia sebut pada adik bongsu zauj, "teringat nak pergi Johor, nak sambut raya korban di sana." Bila adik bongsu bagitahu saja, terus kami pergi ambik di Selangor, bawa ke Johor.

Genap 2 bulan saya menyantuni mak mertua saya. Melayan bagaikan permaisuri. Semua makan minum dihidangkan. Kudrat seorang wargaemas berusia 88 tahun, walaupun bagaimana pun masih mampu menguruskan diri sendiri. Sentiasa berusaha mengerjakan solat fardhu berjemaah diawal waktu bersama-sama anak cucu. Suka mak mertua mendengar apabila cucu-cucu mengalunkan bacaan ayat-ayat quran. Gembira dia melihat cucu - cucu mampu menjadi imam. Lagi suka apabila setiap pagi ada majlis ilmu selepas zikir dan doa solat subuh.

Selalu dia bersangka baik pada semua orang. Semua orang yang tinggal bersama saya atau yang datang berziarah akan disampaikan pesan dan nasihat. Banyak nasihat-nasihat dipesannya agar menjaga diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak kira lelaki atau perempuan. Usah tergoda dengan dunia yang cuma sementara sahaja.

Senyumannya tak pernah pudar walaupun telah berusia menghampiri 1 abad, lagi 12 tahun.

Sebenarnya semua anak -anaknya mahu berbakti sementara roh dan jasad masih bersama dengannya ketika di dunia ini. Sebab itu dia membuat giliran dan pusingan supaya semua anak merasai nikmat berbakti kepadanya ketika usia semakin senja. Pusingan dan giliran ini dia sendiri yang tentukan. Adil dan saksama antara semua anak-anak menantunya. Tidak ada anak menantu yang tidak disenanginya, bahkan amat dia sayangi.

Disetiap hari pagi Jumaat, saya perhatikan dia akan panggil salah seorang cucunya, "nenek nak kirim, tolong masukkan dalam tabung masjid ya."

Siapa saja kanak-kanak yang datang ke rumah saya, pasti dia akan memberikan sesuatu dalam sampul duit raya. Sampul duit raya dia sepanjang tahun, sentiasa ada untuk diberikan kepada kanak-kanak. Jika ibu tunggal yang ada pelihara anak yatim, lagilah dia suka memberikan sampul duit rayanya.

Saya memang sentiasa menyediakan masa untuk berbual-bual dengannya. Duduk disebelah dan picit tangan kakinya secara perlahan-lahan.

Dikuburan arwah bapa mertua
Mak mertua ini sangat berdisplin dalam jadual makan ubat. Rutinnya setiap hari jika tidak berpuasa, makan nasi pukul 8.00 pagi dan pukul 5.00 petang. Dia cuma makan nasi 2 kali sehari. Katanya, "perut yang penuh menyebabkan kita mengantuk dan berat lidah nak berzikir." Jika berpuasa, dia makan ubat pada waktu sahur dan selepas berbuka puasa. Sangat menjaga waktu solat dan waktu makan ubat sebagai ikhtiar agar dia selalu sihat untuk beribadah menyembah Allah.

Bangunnya awal, lebih kurang jam 2.30 - 3.00 pagi setiap hari. Mengamalkan zikir kautharan di waktu subuh sebelum masuk waktu solat subuh, katanya, "berzikir dan berdoa waktu sunyi sepi." Itu arwah suaminya berpesan, jangan tinggal zikir di waktu subuh dikala semua orang sedang lena diulit mimpi.

Doanya tidak pernah putus mendoakan agar anak menantu cucu serta seluruh zuriatnya sentiasa dipelihara dari godaan syaitan durjana dan mendapat kebahagiaan dunia akhirat didalam rahmat Allah Ta'ala.

Petang tadi saat sudah didalam kereta pun, ketika cucunya, Omar Abdul Aziz bersalam dan
memeluk cium pipinya, dia berpesan, " Omar, kalau ada perempuan panggil 'hai', jangan kau sombong tetapi ucap kepada perempuan itu, ingatlah Allah."

Terasa sekejap sangat giliran saya berbakti kepadanya dalam tempoh 2 bulan ini. Minggu lepas dia sudah berucap kepada zauj, terasa nak pergi rumah anak yang lain pulak. Nak ke rumah anak di Kuala Selangor , katanya. Jadi zauj pun bersedia menghantar bondanya ke Selangor petang tadi.

Ya Allah, sekejap sangat masa berlalu, semakin pendek umur kita, semakin hampir kita kepada kematian. Terasa lama masa berlalu apabila kita menunggu-nunggu, seperti menunggu masuknya waktu solat dan menunggu dijemput kembali kehadirat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 6 March 2013

Ziarah Kematian




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Solat Jenazah
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang hadir menziarah jenazah sehingga dia dapat menyembahyangkannya, maka baginya mendapat pahala sebuah gunung dan sesiapa hadir menziarah sehingga jenazah itu dikebumikan. Maka ia mendapat pahala sebesar dua buah gunung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Adap Semasa Menziarahi Kematian

a) Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain. Perkara ini akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Mereka haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan: "Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal."

b) Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca Surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud "Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca Surah Yasin." (Riwayat Abu Daud)

c) Digalakkan agar dihulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.

d) Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut. Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.



Ziarah kematian



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Thursday, 28 February 2013

Ziarah ke Unit Rawatan Rapi



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Saya, Kak Midah bersama Roslina
Awal keluar petang ni pergi HSAJB bersama dengan kawan sekerja , Hamidah Mohd Mokhtar. Kak Midah datang jemput di rumah. Kak Midah jarang memandu jauh kecuali rumah ke sekolah.Jadi sayalah yang memandu kereta Kak Midah.

Tiba ke HSAJB, singgah sekejap ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk mendapatkan maklumat berkaitan Rumah Perlindungan. Syukur sesangat Ketua Jabatan yang baik hati dan banyak memberikan kerjasama menerang procedur penubuhan.

Tidak ramai yang perasan, ada satu jabatan yang dipanggil Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Negeri. Saya agak setiap hospital negeri mempunyai jabatan tersebut. Kalau di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), ia terletak di sebelah kiri apabila kita melewati pengawal keselamatan, dan bersebelahan dengan Bank atau Tabung Darah.


Sembang lama sangat sebab banyak yang perlu diketahui dari segi perundangan sehingga waktu mencecah 5.18 minit petang. Segera saya dan Kak Midah beredar keluar.

Takut terlewat , kami singgah di surau sebelah Jabatan Kerja Sosial Perubatan dibangunan induk dahulu untuk mengerjakan solat asar.

Unit Rawatan Rapi (CSSU)
Pukul 5.40 petang baru kami bergerak naik menziarahi bekas suami wanita buta itu. (saya namakan ayah Faris). Menonong mulanya kami ke wad tingkat 2 Barat. Dipertengahan jalan, wanita buta itu menelefon kami memaklumkan ayah Faris telah dipindahkan ke wad CSSU di tingkatan 1 Barat , katil 15. Unit Rawatan Rapi Jantung.

Pelawat yang dibenarkan cuma 2 orang dalam satu masa. Bila sampai di depan pintu, kami menunggu giliran pelawat yang berada di dalam keluar. Bila mereka keluar, barulah saya dan Kak Midah boleh masuk.



Memang peraturan tidak boleh ambil photo ketika berada di wad. Namun mampukah arahan itu dipatuhi kerana kecanggihaan teknologi masa kini, mengambil photo tidak lagi menggunakan kamera.

Cuma saya saja yang masih menggunakan kamera. Pergi sana -sini bawa kemera. Jika staf perawatan lihat saya ambil gambar guna kamera, pasti mereka datang mendekati dan memadam gambar yang telah diambil. (pengalaman yang pernah dilalui ketika tinggal di wad kelas 1 )

Tapi zaman ini, kebanyakkan pengguna menggunakan smart phone atau Ipad atau notepad. Semua tab atau smart phone telah dilengkapi kamera. Sapa pun tak akan perasaaan jika seseorang itu mengambil gambar kerana kelihatan seperti sedang membaca dan menaip sms.

Maka saya pun yang tak punya sebarang tab, teruja untuk mengambil gambar dalam CSSU secara curi-curi , tapi dari jauh. Tak berani juga nak ambik dekat-dekat, mana tahu nanti ada yang perasan dan dirampas notepad tu. Saya suka ambik gambar kerana bila bercerita dan menulis, gambar itu akan menyokong lagi kekuatan cerita saya. Bahawa cerita saya bukan cerita rekaan atau fiksyen.

Ini gambar dalam CSSU, kelihatan ayah Faris dihujung sekali dibelakang sekumpulan staf perawat Unit Rawatan Rapi.



Ditempatkan katil  nombor 15, kedudukan paling tepi. Di ruangan itu ada tidak kurang 5 orang staf yang bertugas. Mereka sentiasa monitor pesakit yang berada di ruangan itu. Ketika kami masuk cuma ada seorang pesakit saja iaitu ayah Faris.

Katil hujung paling tepi


Saya datang menghampiri dibahagian kepala tepi katil dan memberikan salam. Ayah Faris telah sedar. Bila saya bertanya, dengan mendekatkan wajah saya (padahal berniqab) bertanya adakah dia masih ingat akan saya. (pertama kali jumpa ketika saya call ambulance hari Jumaat lepas).

Ayah Faris kata masih ingat. Saya tanya, ingat wajah atau suara. Wajah katanya .(mungkin dia nampak saya pakai niqab warna hitam, pandang kabur cuma berbalam-balam warna hitam). Saya perhatikan matanya yang sudah tidak ada cahaya lagi.

Saya ajak dia sebut nama Allah. Dia ikut sebut, dan sambung sebut Allahu Akbar. Kemudian saya ajak dia ikut sebut kalimah syahadah. Dia dapat ikut. Saya sebut terjemahan kalimah syahadah, dan dia dapat ikut.

Saya pesan dia, supaya ingat Allah, Tuhan kita. Kemudian dengan menggunakan sarung tangan, saya usap kepalanya perlahan-lahan, dan letak tapak tangan atas ubun-ubun sambil memohon agar Allah ampunkan segala dosa-dosanya.

Saya tanya keadaan dirinya, apa yang dirasai sekarang. Dia jawap, rasa lebih baik sikit. Hidung dan mulutnya masih ditutup dengan corong oksigen. Ada tiub di hidung dan dan mulut.

Beralih ke bahagian kaki, saya minta izin untuk lihat bahagian kaki yang dipotong. Kaki kanan. Dia kata ada rasa bisa.

Saya picit-picit kaki kiri dan bertanya, adakah dia rasa picitan pada kaki kiri. Dia kata ada rasa. Beralih kepada lengan pula, dia dapat rasa picitan. Alhamdullilah, deria sentuhan dapat dirasainya.

Oleh kerana tidak dibenarkan lama berada diruangan itu, sebelum beredar, saya memberikan salam, dan dijawap salam itu.

Alhamdullilah... dia masih sedar. Harapan saya dia telah bertaubat atas segala dosa lalu samada disedari atau tidak disedari, sengaja atau tidak sengaja.

Saya bertanya bekas isterinya, adakah telah memaafkan ayah Faris? Bekas isteri jawab, saya telah redha dengan takdir saya, dan saya telah memaafkan segalanya. Begitu juga dengan keluarga saya, semua telah memaafkan.

Syukurnya dan nimatnya orang sakit ini, sebenarnya Allah beri peluang untuk bertaubat, peluang minta ampun pada Allah dan minta maaf pada manusia lainnya.

Ramai juga kawan-kawan ayah Faris yang datang ziarah. Sudah tentu setiap yang datang ziarah itu akan bermaafan antara satu sama lain.

Hikmatnya seseorang itu diuji dengan kesakitan, selain dapat peluang bertaubat, peluang bermaaf-maafan , dosa juga akan berguguran. Setiap kali rasa sakit, dosa akan gugur.

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasullulah lagi yang Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu jika ditimpa penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah daripadanya (penyakit tersebut), maka ia (penyakit itu) menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan baginya untuk masa depannya. Sedang seorang munafik, apabila dia sakit lalu disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, lalu mereka melepaskannya. Dia (orang munafik itu) tidak tahu mengapa dia ditambat dan dia tidak tahu mengapa dia dilepaskan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sakit juga merupakan ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita utk bermuhasabah dan melihat kembali segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Sekiranya kita berjaya melihat ruang dan peluang ini, langkah seterusnya ialah berubah dan terus melakukan perubahan ke arah kebaikan buat diri ini.

Surah Al-Baqarah, ayat 284, yang bermaksud:

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Moga Allah beri kekuatan kepada kita semua. Semoga Allah menyembuhkan diri kita dari segala bentuk penyakit2 fizikal mahupun penyakit2 hati dan ruhani kita. Moga Iman kita bertambah kuat.

Jangan terkejut, saya paparkan kaki yang telah dipotong, kemudian dikebumikan. Untuk diambil pelajaran dan pengajaran.



Kaki dipotong



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 26 January 2013

Disetiap kepayahan ada kemudahan



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketika di wad
Setiap manusia,sama ada dia suka atau tidak, sama ada dia berjaga-jaga atau tidak, sama ada dia seorang yang taat kepada Allah atau tidak, pasti ditimpa sakit.Sakit itu adakalanya berupa peringatan dan ada kalanya berupa hadiah daripada Allah. Kita tetap perlu bersyukur kepada Allah, kerana itu menunjukkan kita sedang dalam perhatian Allah,walaupun sakit yang kita alami itu amat menyusahkan dan membebankan kita.


Tak boleh lakukan itu, tak boleh lakukan ini dan sebagainya. Disetiap kepayahan ada kemudahan.


Siapa duga, siapa sangka, Janji-janji Allah itu Benar jika kita beriman dan menyakininya. Maka banyak-banyak bersabar dan berusaha. Disetiap kesakitan ada penawarnya, disetiap kelemahan ada kelebihan.


Di hujung kedukaan ada tawanya, jika menyakini keESAan Allah dan beriman dengan NYA.


Suatu ketika dulu, hanya mampu duduk di kerusi roda. Bergerak dengan bantuan ahli keluarga. Siapa menduga, Qudrat dan Iradat Allah, keadaan itu telah memberikan suatu pengalaman amat berharga untuk dirasai nikmatnya.

Omar bantu ummi

Manisnya, ia telah menjadikan kita bila melihat apa saja , di situ ada kebesaran dan kekuasaan Allah Ta'ala. Mahu nangis kalau cerita lebih-lebih ni. Ni pun air mata dah bertakung...

Satu saja nak kongsi, jika sakit jangan mengeluh atau merintih, anggap hadiah, bonus dari Allah... tarbiyah untuk redha dan akhirnya hidup jadi bahagia.


Selagi kita hidup di dunia ini, dugaan sentiasa ada dan ujian tidak pernah berakhir sehinggalah malaikat Izrail datang memberi salam, maka banyaklah cerita dan banyak pengalaman. Segala paparan di sini bukanlah meraih simpati tapi sekadar berkongsi kisah dan pengalaman, agar bila kita rasa di uji, kita akan melihat ada orang lain yang lebih hebat ujiannya dan dia tetap tabah, sabar dan kuat serta redha .


Jadikan kesakitan dan penyakit yang didatangkan pada kita itu sebagai anugerah, untuk mentarbiyah kita menjadi redha dan sabar. Jangan sesekali kita merintih dan mengeluh, sebaliknya berdoalah agar Allah jadikan kita hamba yang redha di atas segala apa yang ditakdirkan kepada oleh Allah itu.


Sebenarnya ujian-ujian yang diberikan adalah untuk meningkatkan prestasi iman dan Allah mahu mengangkat darjat seseorang di sisiNYA.


Kini zauj berikhtiar dengan terapi di rumah, kesembuhan tetap dengan izin Allah Ta'ala sebagai manusia kita berusaha mencari penawarnya. Jika kaedah ini tidak menunjukkan kesan, kita guna kaedah lain.


Moga Allah tetap mengurniakan kami keampunan di dalam rahmatNYA menghadapi ujian ini.
 






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Jangan Kamu Lemah



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


banyakkan berdoa
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman.” [ Surah Al-Imran : 139 ]


Tiada manusia sempurna. Selain Rasul dan Nabi, tiada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.


Namun, sebaik-baik pembuat dosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.


Memang, orang akan hina kita, orang akan perli kita, orang akan kata pada kita itu dan ini. Memang sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun kita kena tabah.


“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sematkan dalam diri kita bahawa, semua kritikan, perlian, hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita kena bersabar melalui balasan yang Allah beri itu, di samping kita juga bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir untuk membalas hinaan mereka dengan hinaan, atau berfikir untuk berhenti dari perubahan kepada kebaikan.


Kalau kita berhenti, maka kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tiada manusia sempurna, bila berbuat dosa itu adalah lumrah sebagai manusia.

Namun, apabila kita ini sedar dan berusaha bangkit dari dosa kita, maka kita sebenarnya adalah yang terbaik dari kalangan manusia. Hal ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT.


“Sesungguhya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.


Dan sedikit kepada yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa anda juga tidak sempurna, dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Maka, apa kata dari anda menghina-sisih orang-orang berdosa, anda bersama-sama mereka berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 30 December 2012

Risalah Untuk Para Pesakit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Pesan Badiuzzaman Said Nursi kepada pesakit (Risalah Untuk Para Pesakit)

Terlantar sakit di wad HSAJB
Kepada pesakit yang kebuntuan/ Kritikal

Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Penyakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis penawar.


Usia menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga diungkapkan: “Aduhai alangkah panjangnya masa musibah dan pendeknya masa kemewahan”.


Kepada pesakit yang kurang sabar!

Bersabarlah! Bahkan bersyukurlah! Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadat. Ini adalah kerana . Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan meminta perlindungan kepada Allah s.w.t., mengharapkan pertolonganNya dan memohon bantuanNya.. Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadat maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.


Terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan umur seseorang mukmin yang bercampur dengan sakit adalah dianggap sebagai ibadat, dengan syarat tidak berkeluh kesah dan tidak berputus asa terhadap rahmatNya. Ada juga riwayat mengatakan satu minit kesakitan yang dihadapi oleh orang-orang yang bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna.


Kepada pesakit yang tidak mampu bersabar!

Tujuan manusia dihidupkan ke dunia ini bukanlah untuk berseronok dan bersedap-sedap. Setiap yang hidup pasti akan mati. Setiap yang muda akan menjadi tua.


Manusia datang ke dunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagiaan hidup yang kekal dan abadi.. Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpa kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.


Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Bahkan anda berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar sahaja. Kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, ia adalah milik pihak lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya.


Kepada pesakit yang sedang diuji!

penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk ihsan Ilahi dan hadiah dari Maha Pemurah.


“Wahai saudaraku! Saya tidak menentang penyakit yang anda hadapi. Saya juga tidak merasa kasihan terhadap anda atas penyakit yang anda hadapi sehingga membolehkan saya melakukan doa untuk anda. Mudah-mudahan anda terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya anda sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, al-Khaliq al-Rahim, Tuhan yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang itu pasti akan menyembuhkan anda, insyaAllah”.


Oleh itu, sebenarnya penyakit anda adalah ibarat kesihatan bagi anda. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat mereka”.



Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Saya bertanya kepada anda tentang hari-hari lalu yang bahagia lagi penuh kenikmatan Sudah pasti anda akan melepaskan nafas kelegaan seraya berkata “Alhamdulillah, syukur”.


Apabila terkenang penyakit dan bencara yang anda hadapai maka hati atau lidah anda akan berkata: “Alangkah sedihnya! Alangkah dukacitanya!”.


Oleh kerana kelazatan selama satu hari yang diperolehi melalui jalan yang tidak syar’ie kadang-kadang akan menyebabkan seseorang berada dalam keadaan kesakitan maknawi selama setahun genap. Begitu juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama sehari akan membuahkan kelazatan maknawi selama beberapa hari, kerana ia dicelahi oleh balasan pahala. Ia juga membuahkan kelazatan maknawi yang lahir daripada kesembuhannya daripada penyakit tersebut. Oleh itu, anda hendaklah benar-benar ingat akan natijah daripada penyakit sementara yang anda alami. Fikirkanlah tentang besarnya balasan pahala yang diharapkan terhasil melalui celah-celah penyakit yang anda hadapi. Bersyukurlah , bukan mengadu kesakitan. Katakanlah: “Ya Allah! Setiap keadaan akan berubah…”.



Sumber Abdul Latip Talib | Penulis Novel Sejarah






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 10 September 2012

Kembalinya Bunga Angsana




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Bunga Angsana
Jangan berhenti berdoa kerana hak kita yang dibenarkan ialah berdoa. Berdoa dengan penuh tulus meruntun agar hajat diperkenan dalam redha dan rahmat NYA.

Ramadhan telah berlalu, banyak doa indah dan manis aku harapkan. Memohon Allah mengindahkan dan memperbaiki hubungan silaturahim aku dengan manusia.

Begitu juga aku sering memberikan nasihat kepada anak-anak , ambillah kesempatan ketika waktu mustajab doa untuk berdoa kerana kita tidak tahu bila dan ketikanya doa itu akan diperkenan. Hak kita sebagai hamba ialah berdoa, meminta kepada yang maha ESA segala kebaikkan dan kesejahteraan sesama manusia. Berdoa adalah ibadah. Sekiranya belum tiba masanya doa itu diperkenan kerana Allah adalah tuan yang akan memperkenankan doa dan kehendakan kita pada masa yang Allah kehendaki bukan kita kehendaki. Allah Maha Mengetahui bila  saat yang baik hajatkan disampaikan.

Walaupun kita sudah berdoa, namun hajat tidak kesampaian, kita tetap dalam pandangan Allah kerana telah melakukan ibadah kepadaNYA. Dengan berdoa, kita mengakui bahawa kita ini lemah, Allah itu Yang Berkuasa, kita ini kerdil Allah Yang Maha Gagah.

Hajatku agar diperbaiki hubungan silaturahim sesama manusia. Sepanjang Ramadhan disetiap malam agar silaturahim aku dengan insan-insan yang aku sayangi diperindahkan semula. Doa diiringi tindakan. Syukur...

Semalam yang berlalu, aku dipertemukan semula dengan anak yang aku sayang. Walaupun dia bukan lahir dari rahimku, tetapi aku sayangkan anak itu. Kisah lalu , catatan yang berlalu banyak mendidik aku menjadi manusia yang selalu berharap untuk berada dalam pandangan Allah. Perjalanan yang berlalu banyak mentarbiyah aku agar selalu meletakkan harapan total hanya kepada Allah.

Bagaimana mungkin, insan yang banyak membuat aku menangis boleh aku lupakan begitu saja. Masa yang berlalu, hampir 9 tahun membisu sejuta berita telah Allah kembalikan dengan bunga angsana.

Ada titisan air  di penjuru mata . Hatiku berbunga angsana setelah lama dalam duka. Segala salah silap telah aku maafkan walaupun tidak diungkap dalam kata. Aku sayangkan dia dunia dan akhirat, tidak mahu dia terjebak kerana salahnya pada aku tidak dimaafkan.

Dan aku juga tetap menunggu kembalinya embunku. Embun yang sangat aku sayang selepas bunga angsana. Selain anak-anak yang lahir dari rahimku, dua insan inilah yang amat aku sayangi seperti aku sayang anak-anak kandungku. Bunga Angsana dan Embunku.

Kenapa aku mengelar dia sebagai Bunga Angsana?



Berbunga tinggi sukar dicapai
Pokok Sena atau juga dikenali sebagai Angsana merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia. Nama botaninya Pterocarpus indicus. Pokok Sena dianggap sebagai pokok balak yang baik.


Pokok Sena merupakan pokok tinggi malar hijau yang mampu mencecah sehingga ketinggian 30 meter sehingga 48 meter ditempat asalnya.Daunnya lebar, tangkainya panjang dan bunganya berbau harum dan mempunyai kelopak kuning atau kuning bata. Buahnya bulat leper dan sekitar 6 cm kerat rentas. Buahnya yang matang dalam 4-6 bulan, menjadi perang apabila tua. Ia mempunyai sayap serabut bagi penyebaran melalui udara.



Pokok Sena merupakan kayu keras, kemerahan tahan anai-anai dan berbau harum seperti bunga mawar. Suka keadaan cuaca yang bermusim hujan dan kering.



Aku mengibaratkan anakku ini sebagai bunga angsana kerana perangainya yang bermusim. Ada masa ribut dan taufan, ada masa lembut melunakkan. Aku tahu dia juga sayangkan aku seperti mana aku sayangkan dia. Khilaf masa lalu membuatkan aku dan dia membisu selama 9 tahun. Disetiap munajatku, tidak pernah aku melupakan dia. Begitu juga embunku.
Embun Setia hadir di setiap dinihari.



Embunku juga bermusim, hadir ketika dinihari setiap malam tanpa pernah alpa. Tetap hadir samada panas membahang atau ribut melanda ketika dinihari. Setianya kehadiran embun seperti setia kasih sayangku kepadanya.Tetap aku menunggu kehadiranmu wahai embunku.

Walaupun hanya dihujung daun hadirmu, tetapi sukar untuk capai, pegang dan menciumnya.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 25 January 2010

Antara batu dan pasir


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam.

Memulakan penulisan hari ini teringat ketika berjalan-jalan dengan anak-anak di Batu Layar, dah lama tak pergi pantai selepas Ahamad Baihaqi sakit hari itu,dah serik untuk ke pantai. Namun sampai bila pula tidak ke pantai nanti anak-anak lain tidak kenal dan tahu pantai.

Pada cuti hujung minggu, bawa anak-anak jalan-jalan di Pantai Batu Layar. Pantai ini berpasir dan ada kawasan berbatu. Sambil berjalan ajak anak melakar tulisan di atas pasir. Bila datang ombak tulisan itu larut dan hilang dihapuskan oleh ombak. Jemu menulis di situ, ajak anak mengukir nama atas batu dengan menggunakan duit syiling.Bila mereka berjaya mengukir nama di atas batu, datang ombak,nama itu masih ada terpahat atas batu.

Dengan penuh kasih sayang ummi nasihati anak-anak,
"Ketika seorang  melukai hati kita, kita harus menulisnya di atas pasir agar ‘ombak kemaafaan’ akan datang menghembus dan menghapuskan tulisan tersebut. Dan apabila sahabat kita melakukan sesuatu kebajikan sekecil apa pun, kita harus memahatnya di atas ‘batu hati’ kita, agar tetap terus dikenang tidak hilang ditiup waktu.

Sahabat-sahabatku, anak-anak ummi sekalian, dalam hidup ini sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana sudut pandang yang berbeza. Oleh kerana itu, cubalah untuk saling memaafkan dan lupakan masalah lalu. Marilah kita belajar menulis di atas pasir dan mengukir di atas batu.

Begitu bermakna sekali bait-bait ayat di atas. Dalam menjalani hidup dan kehidupan kita memang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan , keterlanjuran kata atau tindakan. Pada orang yang terkena,pasti mereka akan berasa kecil hati dan merajuk. Jadi sebagai manusia, kita imbas semula apa yang kita bicara , apa tindakan yang menyakitkan hati itu. Sekira benar kata-kata itu dari lisan kita , tindakan kita,maka tidak keberatan untuk kita yang memulakan ucapan maaf dan berjabat salam.


Sekira apa yang kita nyatakan itu benar, hanya mungkin intonasi, kaedah penyampaian tidak berhikmah, maka kita juga perlu memulakan maaf. Tidak rugi kita memohon maaf kerana mengalah untuk hubungan silaturahim bukan bererti kita kalah. Buangkan sifat ego dan mengatakan aku benar jika hubungan silturahim jadi taruhan. Utamakan perkara yang Allah redha dari menjaga hati sendiri. Jika seseorang itu merajuk hingga menggugat hubungan silaturahim sesama insan bermakna dia mengutamakan soal hatinya dari mendapat redha Allah. Ingat menjaga silaturahim adalah satu perbuatan yang Allah redha...


Hanya ini entri yang dapat ummi tuliskan hari ini,semoga bermanafaat untuk kita semua.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.