BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 31 October 2012

Erti Korban





بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Korban bukan semata-mata mengorbankan seekor haiwan tetapi mengorbankan masa,tenaga, harta benda semata-mata kerana Allah Ta'ala.

Gerakkan  mengendalikan ibadah korban  bukan bermula tahun lalu. Sudah lama saya suka usaha mengendalikan program korban sempena Aidil Adha. Sudah lebih 10 tahun. Paling kurang seekor lembu. Kadang-kadang saya tidak pun turut serta dalam bahagian korban, hanya mengendalikan amanah orang saja.


Permulaannya bila kawan-kawan rapat bertanya, sapa nak kendalikan korban. Masa tu belum lagi ada program korban di Kemboja atau lain-lain tempat di luar negara. Jadi sapa nak korban mereka kena mendaftar di masjid atau surau berhampiran. Ada yang mahu melakukan dikalangan sendiri tetapi tidak ada pengalaman. Saya pun tak ada pengalaman tetapi ingin mencuba dan mencari pengalaman.


Saya mula mengendalikan program korban di rumah saja. Kebetulan depan rumah ada kawasan lapang untuk memudahkan kerja-kerja melapah kulit lembu yang telah disembelih. Kerja saya cuma cari atau bertanya siapa yang ingin turut serta. Lepas tu saya deal dengan penternak lembu. Saya hanya menggunakan telefon untuk berhubung.


Alhamdullilah, kerja yang baik selalu dipermudahkan Allah Ta'ala. Bermula saya mengenali seorang staf di Ladang Ternak YPJ (Yayasan Pelajaran Johor) telah membuka ruang untuk saya mendapatkan lembu atau kambing bagi program korban dan akikah.



Bila kita saling percaya mempercayai,  mudah untuk mengendalikan apa-apa program pun. Menempah lembu pun tak perlu bayar deposit. Saya cuma perlu bayar sebelum lembu disembelih pada hari berkenaan. Jurusembelih pun saya tak sukar untuk mendapatkan kerana zauj sendiri yang akan sembelih lembu atau kambing. tenaga melapah pula mudah dapat dari kalangan pelajar.


Kalau dulu-dulu pelajar sekolah saya atau pelajar UTM yang akan membantu melapah kulit dan daging lembu. Selepas melapah, 1/3 bahagian akan dimasak untuk dimakan beramai-ramai. Tulangnya buat sop dan daging dimasak goreng kunyit. Sebahagian mereka ada  yang membantu masak di dapur dan sebahagian membantu kerja melapah, memotong, menimbang dan membungkus daging.


Selepas kerja-kerja membungkus, daging akan diagihkan ke kawasan perumahan kos rendah. Selesai kerja pengagihan, makanan pun siap dan makan beramai-ramai daging segar tadi tu.



Alhamdullilah, perngorbanan tenaga, masa dan harta benda semua yang terlibat dipandang Allah di sana nanti.


Bermula tahun lepas, program korban saya telah beralih ke tempat lain. Tidak lagi saya buat di rumah Pulai Utama. Ini kerana sejak saya bersara, saya sudah tidak ada pelajar untuk membantu dalam hal-hal melapah daging lembu.


Dengan keadaan tubuh yang tidak mempunyai qudrat seperti dahulu. Dan yang terutama, jurusembelih juga telah tidak berupaya memengang parang sembelihan. Sejak zauj mengalami minor parkinson ditangan kanan, urusan menyembelih lembu telah diberikan kepada anak kedua, Ahmad Ali Mahfuz. Sebelum tu sudah tanya anak sulong, mahukah menerima ilmu sembelihan. Dia kelihatan tidak sanggup, maka beralih kepada anak kedua.



Dan sejak tahun lalu juga saya terfikir untuk mengajak lebih ramai melaksanakan ibadah korban dikalangan pelayar website Halaqahnet. Selain itu dapat membina ukhuwwah dan mengeratkan silaturahim.


Alhamdullilah, penyertaan mengalakkan dari pelayar halaqahnet. Program dijalankan di Setia Alam, kawasan Pangsapuri Semarak. Ini kerana jurusembelih tinggal di sana dan menjadi kariah surau Semarak. Urusan menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama penduduk di kawasan itu.



Penduduk yang tinggal di situ bukan semuanya warga tempatan, ada juga terdiri dari warga asing yang bekerja di   Malaysia untuk mencari rezeki buat keluarga. Rata-rata penduduk yang tinggal di sini bukan dari golongan berada. Dan mereka memang sangat layak untuk menerima daging korban. Jadi saya tidak perlu fikirkan kemana daging itu hendak diagihkan.


Bila kita lakukan sesuatu semata-mata mencari redha Allah, walaupun penat, tapi hati gembira. Tidak ada rungutan atau sungutan. Mana-mana program atau kerja pun mesti ada kekurangan dan kelemahan.


Kalau kita mahu dedahkan kepincangan, kekurangan dan kelemahan di dalam sesuatu program memang banyak, tetapi adakah usaha dan iktibar disebalik semua itu diperhalusi dan dibaiki?


Jadi dengan kita lakukan sesuatu kerana mencari redha Allah,  kekurangan dan kelemahan itu tertutup dengan sendirinya. Kepincangan itu boleh diperbaiki dan dijadikan panduan untuk bermuhasabah di tahun-tahun akan datang.



Dalam setiap program pun, kerjasama, bantu membantu memang diutamakan. Itulah tujuan kita bermasyarakat. Dan itulah disebalik pengendalian ibadah Korban.

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.
Hikmah ibadah korban yang dianjurkan kepada orang Islam. Yang kaya dan mempunyai wang menyediakan haiwan untuk dijadikan korban, yang lain-lain membantu urusan penyembelihan.



Firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." – Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.


2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.


3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.


4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.


5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.


Semasa program Ibadah Korban dilaksanakan di Surau Semarak , Setia Alam, kebanyakkan yang membantu adalah penduduk warga asing. Dari kerja melapah kulit, memotong tulang , daging hingga membersihkan isi perut dan kulit. Tidak ada bahagian yang dibuang atau disia-siakan. Semuanya dibersihkan dan dimanafaatkan oleh mereka.


Kebanyakkannya berasal dari luar bandar memang mahir dalam kerja-kerja begitu. Selesai kerja-kerja pembungkusan, mereka dijamu makan nasi berlauk sup tulang dan gulai kawah. Kita yang melihat ni pun tersentuh hati. Mereka memang selayaknya menerima agihan daging korban walaupun tinggal di kawasan elit kerana mereka bekerja di bahagian pembinaan bangunan. Buruh yang pendapatan tidak seberapa dibandingkan kudrat yang mereka kerahkan demi menyara keluarga di kampung.


Kemiskinan hidup di tanah air, mendesak mereka berhijrah ke negara luar demi mencari rezeki buat anak isteri. Makanan harian mereka cuma tempe, tauhu dan cili api. Untuk menjamah daging segar yang mahal tidak mungkin dengan wang sendiri. Jadi dengan adanya daging korban sekurang-kurangnya dapat mereka merasainya walaupun sedikit dan setahun sekali.


Dan inilah yang Islam anjurkan sebenarnya.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 19 October 2012

Doa Solat Witir



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika Baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.


Ada riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah meninggalkan Solat Witir walaupun sekali. Sabda Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah:  “Sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah dia termasuk golongan kami.”  (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.”  (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)



Dinamakan ‘Solat Sunat Witir’ kerana bilangan rakaatnya ganjil.  Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:  “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir sebab Allah itu Witir (Ganjil / Maha Esa) dan suka sekali kepada ganjil.”   (Riwayatkan oleh Ahmad Ash hab al-Sunan, al-Turmudzi dan Hakim).

Solat Witir boleh dikerjakan 1 rakaat, 3, 5, 7, 9 atau paling banyak 11 rakaat. Ia dilakukan dua-dua rakaat dan diakhiri dengan 1 rakaat, atau  berakhir  3 rakaat (1 tahiyyat 1 salam).




Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang berasa dirinya tidak mampu untuk bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada awal malam, tetapi bagi sesiapa yang berasa dirinya mampu dan yakin akan dapat bangun pada penghujung malam, sebaiknya mengerjakan solat witir pada akhir malam, kerana solat pada akhir malam itu akan dihadiri oleh para malaikat dan itulah yang lebih utama.”  (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, Termizi dan Ibnu Majah)



Bacalah doa ini setiap hari. Doa yang bagus untuk diamalkan, sebagai pemantapan iman.



اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا دَائِْمًا ، وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَنَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَادِقًا . وَنَسْأَلُكَ عَمَلاً صَالِحًا ، وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا ، وَنَسْأَلُكَ خَيًْرا كَثِيْرًا ، وَنَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْعَافِيَةِ ، وَنَسْأَلُكَ الْشُكْرَ عَلَى الْعَافِيَةِ ، وَنَسْأَلُكَ الْغِنَاءَ عَنِ الْنَّاسِ . اللَّهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاَتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا الله يَا الله يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْن . وَصَلى اللهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ



Ertinya,



Ya Allah,Sesungguhnya aku memohon lidah yang sentiasa menyebut dan mengingati MU, hati yang penuh segar mensyukuri (nikmat)MU, serta anggota yang mudah mentaati perintahMU, Ya Allah, aku memohon iman yang tetap dan sempurna, hati yang khusyuk, keyakinan yang benar dan ilmu yang bermanafaat.  Aku memohon amal yang soleh, agama yang mantap, dan diberikan kebaikkan yang melimpah ruah. Aku memohon kemaafan dan kesejahteraan, kesihatan yang sempurna, serta mensyukuri atas kesihatanku. Aku juga memohon keselamatan dari mara bahaya  dan petaka dan kecukupan yang tidak sampai aku meminta dari yang lain selain ENGKAU.
Ya Allah, Ya Tuhanku, terimalah solatku, puasaku, ibadahku , khusyukku dan pengabdianku dan sempurnakanlah kekuranganku.

Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah Wahai Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Selawat dan Salam ke atas Sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabatnya sekelian dan Segala Puji Bagi Allah  TuhanPemelihara Seluruh Alam.


Berkata Sayyidina Jibril a.s.: "Wahai Nabi Muhammad, demi Allah yang membangkitkan engkau dengan kebenaran, tidaklah berdoa seseorang daripada umatmu dengan doa ini melainkan akan diampunkan dosa-dosanya walaupun ianya sebanyak buih lautan atau sebanyak bilangan tanah bumi, dan tidaklah seseorang umatmu yang menemui Allah dengan membawa doa ini dalam hatinya melainkan dia menjadi orang yang dirindui syurga dan 2 malaikat memohon keampunan baginya serta dibukakan baginya pintu-pintu syurga, seraya berserulah malaikat: "Wahai wali Allah, masuklah dari pintu mana pun yang engkau kehendaki."




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday 11 October 2012

Taman-Taman Syurga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Muslimat yang hadir Kelas pengajian tauhid
 Lama tidak ikuti kelas pengajian tauhid sejak bersara dari perkhidmatan perguruan. Ingatkan bila sudah bersara, mempunyai banyak masa lapang di rumah dan banyak masa untuk ikuti kelas pengajian. Rupanya langsung takde masa lapang yang berlalu begitu saja.


Tak sempat perkataan bosan menyinggah di ruangan masa yang ada. Memanjang ada perkara dan pekerjaan mahu dilakukan dan diurus. Waktu siang langsung takde ruang untuk berehat, apatah lagi untuk tidor.


Baru-baru ini semasa menemankan zauj ke Melaka, sempat dibawa oleh seorang muridin ke kelas pengajian tauhid. Betapa rindu untuk mengulangi masa lalu, mengikuti kelas-kelas pengajian.


Lain suasananya, lain kedamaiannya bila kita berada dalam majlis ilmu. Serius saya sarankan sesiapa yang mahu ketenangan, selalulah hadir majlis ilmu. Di sana ada rahmat Allah kerana malaikat pun turut serta menghadirinya.


Sabda Rasullulah, "Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)” (Riwayat Tarmizi)


Rupanya majlis ilmu itu adalah merupakan taman-taman syurga. Bermakna kita pun boleh mengujudkan taman-taman syurga di rumah dengan menyediakan ruang diadakan majlis ilmu. MasyaAllah...



Suatu  hari  Nabi  Muhammad  s.a.w.  bertemu  dua  kumpulan   muslimin . Satu  kumpulan  sedang beribadah   sambil  bermohon  dan  berdoa  kepada  Allah s.w.t. , manakala  satu  kumpulan  lagi  sedang mengadakan  majlis  ilmu . Kedua-duanya  baik , tetapi  Nabi  memilih  yang  terlebih  baik .


Nabi  s.a.w.  memilih  majlis  ilmu  yang  sedang  berlangsung . Baginda  duduk  bersama-sama  kumpulan kaum  Muslimin  yang  hadir  dalam  majlis  tersebut . Walaupun  Baginda  seorang  Nabi  dan  orang  yang  alim  serta  paling   berilmu  di  kalangan  sekalian  manusia , Nabi  tetap  cinta  kepada  ilmu  pengetahuan .


Malah  pada  bulan  Ramadan , Nabi  s.a.w.  akan  bertadarus  al-Quran  dengan  Malaikat  Jibril  a.s.  Nabi   membaca   dan  Malaikat  Jibril  a.s.  mendengar  sambil  menyemak  bacaan  Nabi . Ia  juga termasuk  dalam  proses  belajar .


Nabi  s.a.w.  bersabda , " Ilmu  itu  merupakan  khazanah  ( perbendaharaan ) . Anak  kuncinya  ialah  bertanya . Kerana  itu  bertanyalah  kamu , kerana  dengan  bertanya  itu  akan  diberikan  ganjaran  empat  golongan . ( Iaitu ) orang  yang  bertanya , orang  yang  mengajar , orang  yang  mendengar  dan  orang  yang  mencintainya ."  ( Riwayat  Abu  Na'im  daripada  Sayidina  Ali )


Sebuah Hadith lain,
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)


Pengajaran hadith:

i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.


ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.


iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.


Kelebihan Ilmu:

Untuk mengetahui apa yang ditawarkan untuk penuntut ilmu, sangat elok kita merujuk terus kepada ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi S.A.W berkaitan dengannya.

Ilmu suatu nikmat dan kelebihan daripada Allah

Firman Allah S.W.T:
 "…..dan Dia telah menurunkan ke atas kamu al-Kitab dan al-Hikmah (kebijaksanaan/as-sunnah), seterusnya Dia mengajar kamu apa yang kamu belum ketahui, dan kelebihan yang Allah berikan kepadamu adalah besar sekali". (an-Nisa':113)

Orang berilmu diiringkan dengan para malaikat

Firman Allah S.W.T:
"Allah taala telah bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain daripada-Nya, demikian juga para malaikat-Nya serta orang-orang yang berilmu, berdiri dengan keadilan". (Ali 'Imran:18)

Ilmu mengangkat darjat pemiliknya

Firman Allah S.W.T:
"Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat". (al-Mujadilah:11)

Firman-Nya lagi:
"adakah sama di antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (az-Zumar:9)

Ilmu asas takut kepada Allah

Firman Allah:
"Hanyasanya orang yang takut kepada Allah ialah adalah dari kalangan hamba-Nya yang berilmu". (Fatir:28)

Ilmu kunci ke syurga

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Barangsiapa yang berjalan bagi mendapatkan ilmu, nescaya akan dipermudahkan oleh Allah jalan menuju ke syurga". (H.R Abu Daud dan Ibn Majah, hadis hasan)

Ilmu menyambung kebaikan amalan

Sabda Rasul S.A.W:
"Jika mati anak Adam, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya". (H.R Muslim)


Serangkai kata dari Ustaz Azhar Idrus,

Janganlah kamu meninggalkan majlis ilmu, walaupun kamu tidak berjaya meninggalkan maksiat, kerana jika seseorang meninggalkan majlis ilmu selama 3 hari,maka hatinya akan sakit, dan jika dia terus menerus meninggalkannya maka akhirnya hatinya menjadi mati,maka ketika itu segala nasihat sudah tidak manfaat lagi kerana hatinya sudah tidak dapat menerimanya lagi, dan janganlah kamu mengatakan tiada faedah duduk dalam majlis ilmu sedangkan maksiat tetap aku lakukannya bahkan teruskan hadir majlis ilmu, manalah tahu suatu hari nanti kamu mendapat limpahan berkat dari orang yang menyampaikan ilmu atau orang yang ikhlas yang hadir dalam majlis ilmu tersebut,atau sekurang2nya dapat duduk bersama dgn orang2 yang soleh di dalam majlis ilmu tersebut.

Bersama tuan rumah, Muhammad Nur Iman dan Ahmad Rabbani




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday 10 October 2012

Permata Rahmat



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Apa saja yang kita ingin lakukan dalam hidup ini memang memerlukan mujahadah. Terutama perkara-perkara yang Allah suka dan redha.


Dan disaat kita berjaya melepasinya, akan terasa nikmat.


Untuk bertindak, kadangkala kita kena kuat melangkah, mungkin seperti bahasa kasar menerajang sifat malas supaya berjaya.


Maha suci Allah, untuk bangun awal jam 4 .00 pagi pun, walaupun memang sudah rutin harian, adakalanya rasa malas menguasai diri. Dah terjaga, kena terus duduk, jika tidak,  hanyut lagi dalam lena.


Sudah duduk, rasa ngatuk dan malas tetap menguasai diri. Rasa-rasa seperti mahu berbaring semula. "tak boleh jadi, nanti lena lagi."


Bangun melangkah turun katil, berjalan sedepa jumpa kerusi, duduk lagi bawah kipas konon nak sejukkan badan yang panas. Mengantuk dan malas tetap ada. Iskh..iksh...tak boleh jadi ni, ni bukan malas tetapi syaitan yang bertenggek di bahu dan bergayut di mata. Kena lawan juga.


Akhirnya, berjaya melangkah sampai ke bilik air, buka pakaian dan mandi. Itupun kadang-kadang masih dilalaikan oleh syaitan, nampak bilik air kotor, nak cuci bilik air dinihari. Ada ke nak jadi cleaner waktu dinihari pulak. Yang sebenarnya syaitan tak mahu kita menyembah Allah, bertahajud di waktu permata rahmat sedang turun ke bumi.


Ada saja usaha ikhtiar syaitan melalaikan hati untuk buat itu ini diwaktu -waktu begini. Memang memerlukan mujahadah dan perjuangan untuk bangun menyembah Allah waktu dinihari, waktu sedap diulit mimpi.


Sedangkan diwaktu dinihari , selepas dua per tiga malam adalah waktu permata rahmat Allah taburkan di bumi. Terpulang kepada manusialah samada nak kutip atau nak biarkan begitu saja permata-permata tu. MasyaAllah.


Inilah pentarbiyahan diri paling asas sebelum ada hajat nak mati syahid menegakkan agama melalui peperangan. Jihad dalam diri untuk bangun malam adalah asas perjuangan. Perjuangan bangun tahajud adalah asas membentuk ketahanan jiwa. Satu bentuk pentarbiyahan untuk melawan godaan syaitan dan nafsu.


Syaitan akan berusaha sedaya upaya untuk mengalih tumpuan manusia dari menyembah Allah diwaktu permata rahmat turun ke bumi. Ada orang suka berjaga malam sehingga waktu permata rahmat turun kebumi, tapi mereka tak ambik pun kesempatan tu untuk bertahajud.


Sebaliknya mereka lalai dengan perkara lain, menonton, chatting, main game atau apa jua yang tidak mendatangkan manafaat , masa mereka berlalu sia-sia begitu saja bagi memenuhi malam  yang tidak ada rasa ngantuk. Siang pulak mereka tidor. Ini termasuk dalam orang yang amat rugi. Berlawanan dengan fitrah, kecuali mereka-mereka yang mencari rezeki mengikut shif. Mereka ini tetap dalam ibadah juga kerana mencari nafkah buat membiayai keluarga.


Alangkah ruginya jika membiarkan malam berlalu begitu sahaja tanpa di isi dengan sesuatu yang bermanafaat untuk dunia dan akhirat. Sebenarnya bangun malam itu merupakan satu pentarbiyahan diri untuk melawan nafsu, untuk bersifat sabar dan mendatangkan kecekalan dalam diri untuk menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam perjalanan hidup di dunia. Kekuatan doa, kesempurnaan hajat diperolehi sewaktu fokus di waktu ini ketika rahmat Allah melimpahi bumi.


Semoga anak-anak berusaha menjadikan bangun malam itu satu cara mentarbiyah diri dengan segala sifat terpuji dan mulia. Untuk meraih taqwa, ia perlu dididik bukan boleh datang bergolek atau melayang begitu sahaja.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 9 October 2012

Pecahkan Ego Untuk Bersifat Tawaduk




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Qanaah, makan apa yang ada
Sebenarnya banyak cara untuk kita melakukan perkara yang Allah redha. Banyak cara juga untuk kita menyumbang dalam agama. Jika kita hanya fokus pada sesuatu perkara, mengikat dengan sesuatu cara, itu yang payah untuk berfikir dengan lebih luas untuk melakukan ibadah dalam kehidupan harian.


Masih lagi saya ingin bercerita hal-hal mendapat baraqah dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan ini. Satu cara paling mudah tetapi mungkin remeh pada orang lain. Ia memerlukan sifat tawaduk dalam diri.


Melakukan kerja-kerja seperti buruh, bukan semua orang sedia dan rela melakukannya. Padahal di situ terhimpun sifat tawaduk dalam diri manusia. Menyapu lantai, mengutip sampah atau dedaun kering yang bertaburan di laman masjid atau dimana-mana merupakan satu cara untuk kita mentarbiyah diri untuk sifat tawaduk.


Selain ia merupakan sedekah, sedekah kudrat, seperti mana sabda Rasullulah,

 “Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah, suruhan kamu ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah, kamu menunjuki orang yang tersesat juga merupakan sedekah bagimu, kamu menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu juga merupakan sedekah, membuang kesakitan (menyingkirkan batu, duri, tulang dan lain²) dari jalan juga merupakan sedekah, membantu orang yang kurang penglihatannya juga merupakan sedekah, dan satu suapan seorang lelaki ke mulut isterinya ialah sebesar-besar sedekah.” (HR Tirmizi)


Kenapa perlu mendidik diri supaya bersifay tawaduk?  Ini kerana ia ada kaiatan dengan solat.  Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;

“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)

Lihatlah hubungan antara solat dan akhlak (tawaduk dan kasihan belas). Bahawasanya sekiranya solat kita tidak mampu untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk dan mengasihani sesama makhluk, maka di sana solat itu adalah sia-sia dan langsung tidak membuahkan sebarang hasil yang sempurna.







Maka kita kena usaha untuk berakhlak mulia dengan mentarbiyah diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita mengajak orang lain turut serta melakukannya. Tawaduk adalah salah satu akhlak terpuji yang Allah suka kerana ia menjadikan kita bukan seorang yang sombong dan angkuh.


Musnahkan rasa ego dalam diri jika mahu sifat tawaduk menyaluti diri. Tidak ada siapa yang lebih mulia di sisi Allah melainkan yang taqwa. Dari mana datangnya taqwa? Dengan mentarbiyah diri bersifat tawaduk. Orang yang bersifat tawaduk selalunya bersyukur dengan apa yang ada. Qanaah adalah gandingan kepada tawaduk. Qanaah dengan apa yang disediakan oleh suami , dengan apa yang mampu dibeli.


Jangan rasa rendah diri jika tetamu yang datang, kita hanya mampu menyediakan telor dadar bersama sop kaki ayam. Walaupun hanya itu yang ada, namun kita masih mampu untuk meraikan tetamu yang datang, memuliakan mereka dengan menghidangkan makanan. Ini sifat terpuji yang Allah dan RasulNYA suka.  Kepada tetamu pula, syukuri tuan rumah yang sedia menghidangkan makanan, bukan melihat apa jenis makanan yang dihidangkan. Tuan rumah dan tetamu yang sama-sama tawaduk akan mendapat redha Allah.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 8 October 2012

Baraqah Sebuah Rumah




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Perkongsian rasa di dalam perjalanan menuju Allah. Subuh Sabtu, seawal jam 5.00 pagi aku dijemput oleh seorang muridin untuk menghadiri kuliah subuh. Ketika itu aku berada di D'Village Resort, Ayer Keroh , Melaka menemani suami yang ada kerja di sana. Aku dibawa tanpa aku tanya di mana tempatnya. Niat cuma satu untuk menuju kepada Allah melalui jalan yang DIA redha.


Tiba destinasi, rupanya aku dibawa ke sebuah rumah. Sebaik tiba azan subuh berkumandang.Aku dipersilakan masuk. Di ruang tamu , aku melihat telah hadir beberapa jemaah sedang mengerjakan solat sunat subuh.


Aku dibawa ke sebuah bilik bersebelahan ruang tamu. Aku masuk dan duduk menghadap kiblat. Aku sedang uzur dan tidak mengerjakan solat. Sambil memejamkan mata, yang terhimpun dalam minda ialah monolog dengan Allah SWT.


"YA Allah, berilah aku petunjuk"

Dan diteruskan dengan doa moga diampun segala dosa, diri, ibu bapa, suami, anak menantu,beberapa nama anak angkatku dan seluruh umat ISlam didalam rahmat Allah.


Selesai berdoa, aku buka mata sambil terus berharap diberikan suatu petunjuk yang aku tidak ketahui apa yang sedang aku lalui ketika itu.


Tiba-tiba rasa yang aku alami bertukar sedikit demi sedikit. Aku merasa seperti berada di Tanah Haram. Rasa tenang dan disekelilingiku seperti suasana di sana sedangkan ketika itu cuma ada seorang perempuan berjubah hitam datang menyalami aku dibilik itu. Menitis air mataku dengan petunjuk yang Allah berikan. Semoga tuan rumah  dan rumah ini mendapat baraqah dari Allah Ta'ala. Sungguh aku tidak menyangka begitu sekali keberkahannya tempat pertama kali aku kunjungi sedangkan aku belum mengetahui dimana dan siapa yang empunya rumah ini.


Rupanya aku berada di Serkam, disebuah rumah yang  menyediakan ruang untuk diadakan majlis ilmu.


Selesai iqamat, para jemaah lelaki terus bersolat. Jam 6.25 kuliah subuh tauhid bermula. Disampai oleh Tuan Guru Hj Salleh. Bab berdakwah orang kafir, antara berfikir dan beriman, mana yang diutamakan. Halus huraian yang mudah difahami walaupun Tuan Guru menggunakan kitab kuning zaman dahulu.


Syukur kepada Allah yang memberikan aku peluag untuk menghadiri majlis ilmu ini walaupun jauh. Betapa rahmat Allah turun di dalam mana-mana majlis ilmu hingga mampu memberikan keberkatan pada rezeki yang dihidangkan. Walaupun sedikit tetapi mencukup untuk semua orang.


Wahai anak-anakku,  kunjungilah mana-mana majlis ilmu yang memperingat dan mendekatkan kita kepada Allah dan RasulNYA. Ketahuilah, disetiap majlis ilmu itu rahmat Allah melimpahi kepada mereka yang berada di situ.Dan ambillah kesempatan itu untuk berdoa dan bermunajat.


Dimana pun majlis ilmu itu, tidak kira tempat , kunjungilah. Surau, masjid atau rumah. Selagi majlis itu merupakaan majlis yang mengagungkan Allah dan memperingakan kita kepada Rasullulah.


Rumah yang sering diadakan majlis ilmu, majlis silaturahim dan solat berjemaah merupakan rumah-rumah yang sentiasa diberkati Allah Ta'ala.


Terkenang aku kepada sahabat-sahabat yang suka menyediakan rumah mereka kepada aktiviti keagamaan. Rumah mereka tenang, damai dan segar. Bukan kecil besar ukuran rumah, tetapi baraqah yang dilimpahkan Allah ke atas rumah itu. Maka manafaatkan rumah kita sebaik-baiknya di jalan yang Allah redha. Jika tidak mampu dengan menjariahkan sesuatu, maka jariahkan ruang yang ada untuk agama Allah.


Terkenang kisah para sahabat dahulu, yang berlumba-lumba mahu menjariahkan rumah mereka kepada puak muhajirin ketika hijrah Rasullulah. Dan para sahabat suka menyediakan rumah mereka untuk dijadikan tempat majlis-majlis ilmu.


Carilah sahabat yang selalu mengingatkan kita kepada Allah, ziarahi rumah yang mendatang ketenangan jiwa bila kita kunjungi. Ada rahmat dan baraqah di dalam rumah itu, dan moga-moga kita yang berkunjung mendapat tempiasnya juga. Seperti kata orang, berkawan dengan penjual minyak wangi, pakaian kita turut berbau harum.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.