BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label kerjaya. Show all posts
Showing posts with label kerjaya. Show all posts

Friday, 22 March 2013

Magik: Berniaga tanpa rugi




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

tangan di atas lebih mulia
Sesungguh setiap manusia telah ditentukan rezeki, jodoh, suratan nasib dan ajal sejak azali lagi. Namun Allah telah menyatakan usaha tetap ada sebelum kita bulat-bulat berserah kepada takdir.

Begitu juga rezeki orang lain, mungkin kita ini hanyalah pengantara saja. Kita ini sebagai pemengang amanah urusan kewangan dan rezeki seseorang. Allah kurniakan rezeki melalui tangan kita.

Sebanyak mana rezeki yang kita dapat, ingat ada hak orang lain. Allah wajibkan zakat, Allah muliakan wakaf dan sadaqah.

Belajarlah bagaimana seseorang itu menjadi jutawan melalui sadaqah. Saya suka berkongsi cerita benar...

Magik: Berniaga tanpa rugi
5 Rabiul Awal 1434

Logik kehidupan kelihatan sangat mudah. Setiap manusia sepatutnya mengejar nikmat akhirat dan dunia secara maksima. Garis panduannya juga cukup mudah, melaksana (meninggalkan) apa yang disuruh (dilarang) oleh Allah SWT. Ia tidak perlu dimanipulasikan dalam apa keadaan sekali pun.

Prinsip usahawan akhirat dan kekayaan dunia perlu dilihat dalam konteks matlamat utama iaitu kehidupan yang kekal abadi di syurga. Maksudnya, kita meyakini betapa memberi keutamaan kepada akhirat tetapi kemudahan dunia yang dianugerah Allah – In'sya Allah – akan menyusul secara semulajadi. Malah kehidupan dunia itu menjadi menarik sekali.

Perhatikan ayat 14, surah al-Imran yang boleh dikaitkan dengan nikmat maksima dunia yang disukai oleh manusia,

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".

Kemudian perhatikan pula ayat 15 surah yang sama. Allah menyatakan secara jelas tentang nikmat syurga yang perlu dikejar oleh setiap manusia.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.

Kisah mengejar "akhirat dan dunia" ini mengembalikan ingatan saya kepada masa lampau. Ia kisah hampir 25 tahun yang telah berlalu. Kerjaya saya bermula dengan jawatan Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat pengedaran barangan perkakasan rumah. Ia perniagaan menggunakan skim bayaran kredit ansuran bulanan secara Murabahah. Pada dasarnya, ia merupakan skim kredit pertama secara Islam. Ada proses akad dan tidak mempunyai unsur-unsur riba.

Kami mempunyai 15 usahawan Islam sebagai franchisee. Mereka sangat gigih berkerja walaupun berbeza hasil pendapatan. Salah seorang daripada mereka – Rahman – sangat berjaya. Jumlah perolehannya bernilai jutaan ringgit sebulan. Beliau boleh digambarkan sebagai seorang yang sangat berbudi bahasa, fokus, berpandangan luas dan tegas dalam membuat keputusan perniagaan. Hasilnya, apa sahaja kelihatan mudah buat beliau. Saya pernah bertanya kepada Rahman

"Kenapa Allah sayangkan kamu? Dia memberi segala kekayaan kepada kamu dengan senang sekali berbanding dengan yang lain. Bagaimana aku ingin capai kekayaan seperti ini?"

Beliau diam. Langsung tidak mempedulikan soalan anak muda yang masih mentah dalam kehidupan dunia. Namun saya terfikir mungkin juga Allah memakbulkan doa-doa yang dipohon oleh beliau. Itulah lintasan hati. Dan ia tentunya berkait dengan keyakinan saya sendiri betapa manusia perlu berdoa kepada Allah SWT.

Malah saya selalu teingat bagaimana Prof MKI berdoa kepada saya dan rombongan usai solat Dhuha di masjid Segamat. Ketika itu kami mahu memulakan perjalanan ke dalam hutan untuk berdakwah kepada orang Asli. Beliau sangat bersemangat, bersungguh dan teliti menyampaikan baris-baris permohonan kepada Allah SWT. Beliau berdoa agar Allah melempahkan rezeki yang halal dan berkekalan kepada kami. Prof MKI memohon agar rezeki ini dipermudah, tidak disangka-sangka dan datangnya dari semua arah.

Barangkali Rahman juga sentiasa berdoa seumpama itu.

Umumnya, setiap usahawan mengharapkan setiap perniagaan membawa untung. Mereka tidak mahu rugi, ditipu dan tentu sekali mahu perniagaan ini kekal selama mungkin. Lalu usahawan pastinya berdoa agar sentiasa sihat sejahtera bagi memajukan perniagaan mereka. Mungkin banyak lagi perkara sisi yang didoakan oleh mereka agar perniagaan membawa kepada hasil yang dicitakan.

Rahman cemerlang. Beliau berkerja keras dari pagi sehingga lewat malam bagi mencapai sasaran jualan. Di antaranya, beliau seorang yang pemurah dan suka berhibur dengan rakan-rakan. Apa pun, beliau tetap akan sampai ke pejabat sebelum jam 8 pagi.

Saya melihat beliau juga mudah mendapat pinjaman bank. Kemudahan kredit ini membolehkan beliau membeli stok barangan dalam kuantiti besar dan dapat pula menjualnya dengan harga yang berpatutan berbanding harga pasaran. Malah khidmat selepas jualan beliau terpuji. Beliau sering mendapat kejayaan dari tawaran tender kerajaan. Pada saya, beliaulah orangnya yang mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka, mudah, senang, seolah-olah ia turun dari langit dan keluar dari bumi.

Hasilnya, kedudukan kewangan syarikat sangat kukuh. Bank lebih mempercayai untuk memberi kemudahan kredit, keuntungan bertambah dan pertumbuhan perniagaan melebihi 20 peratus. Ia luar biasa.

Suatu hari – usai solat Jumaat – Rahman bertanya, "apakah doa yang awak mohon Zaini?". Ia soalan mudah. Saya bercerita, "saya mohon ampun, sihat, murah rezeki dan …….. ". Kemudian beliau berkata, "hari ini saya akan menjawab soalan kamu dahulu, bagaimana mahu menjadi kaya-raya".

Rahman membawa saya menaiki Mercedes S300nya ke sebuah rumah di Ulu Klang. Ketika inilah beliau bercerita,

"Saya suka membaca buku-buku biografi mengenai kejayaan seseorang dan amat suka bertanya mengenai pengalaman perniagaan dari usahawan-usahawan yang lain sebagai panduan dan sempadan untuk saya amalkan dalam perniagaan sendiri"

Kami tiba ke destinasi. Ia sebuah rumah anak yatim. Lalu beliau meminta saya memberi RM100 sebagai derma kepada rumah Anak Yatim tersebut. Gila. Ia jumlah besar bagi seorang Pegawai Pemasaran yang baru berkerja. Ia jumlah amat lumayan untuk diberi-beri begitu sahaja.

"Zaini, kau kata mahu kaya macam aku. Jika mahu kaya ikutlah cara aku. Janganlah takut untuk mengeluarkan wang bersedekah. Mereka yang bersedekah diibaratkan memberi pinjaman ikhlas kepada Allah. Allah sudah berjanji dengan menyebut yang ia merupakan pelaburan yang menjaminkan pulangan berlipat kali ganda baik dari segi harta serta nikmat dunia yang lain. Lebih penting ia membawa kita kepada keseronokan kehidupan abadi".

Ya! Kini saya sangat memahami.

Saya mempercayai dan meyakini hakikat ini. Ramai di antara kita agak keliru dengan hanya membuat perbuatan kebaikan yang berbentuk "percuma" untuk mendapatkan kekayaan. Mereka hanya berkerja keras, mengikut suruhan dan larangan Allah secara khusus semata-mata – misalnya – solat malam, dhuha dan berpuasa sunat. Namun mereka amat kikir mengeluarkan wang setimpal dari kekayaan yang sedia ada untuk bersedekah.

Islam mengajar manusia untuk bersedekah dan berzakat. Ia sudah jelas termaktub dan dipersetujui oleh ramai orang betapa ia perlu diamalkan untuk menjadi manusia yang kaya. Malahan seorang kenalan saya – bukan beragama Islam – bukan sahaja menderma harta benda tetapi termasuk juga organ-organ beliau. Pertalian di antara mereka yang bertaraf jutawan dengan amalan berderma telah dibuktikan secara statistik.

Ia tidak mudah mahu menjadi jutawan. Ia memerlukan ketabahan, kesabaran dan sikap tidak berputus asa jika menghadapi sebarang masalah perniagaan. Di antara rintangan besar yang menghantui ahli perniagaan adalah untuk mendapatkan pinjaman kewangan yang melibatkan riba, sogokan untuk mendapatkan projek, "bersosial" dan yang paling digeruni adalah timbulnya perasaan tamak dan bangga diri. Menjaga diri sangat penting dalam perjalanan perniagaan dan penghidupan seseorang usahawan akhirat.

Tentu sekali tidak salah mempunyai Villa, berkereta mewah atau bergelar Dato atau Tan Sri asalkan janganlah menjadikan kehidupan dunia ini sebagai tujuan tunggal. Kekayaan membuat kita terlupa pada diri sendiri yang akhirnya akan membinasakan diri di dunia dan akhirat. Paling baik, ikutlah resam padi, lagi berisi lagi tunduk. Jadilah jutawan yang sentiasa memberi, membantu, bersedekah dan menderma agar semua orang gembira dan mendoakan kebaikan bersama.

Sebagai usahawan akhirat kita perlu beringat betapa perniagaan dunia hanya bersifat sementara. Perniagaan yang sebenarnya adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui surah As-Saff, Ayat 10 dan11 yang bermaksud,

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui".

Saya mohon maaf kerana menyampaikan kuliah yang agak panjang pada kali ini. Biarlah saya akhiri dengan memohon pada Allah,

Hanya padaMu kami pohon,

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, Kami berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, kami berlindung kepada-Mu dari sikap sombong dan bangga diri, kami berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia. Ameen. ~Tulisan Zaini Ariff.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 25 July 2010

Tugas adalah tanggungjawab bukan bebanan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Pagi itu,ummi dapat surat bertanda "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA". Sampul surat coklat itu segera ummi buka untuk mengetahui isi kandungannya. Rupanya surat permohonan pertukaran sekolah diluluskan. Ummi memohon pertukaran sekolah  dari  SMK Kulai Besar, Kulai ke SMK Taman Universiti, Skudai.


Jarak antara 2 sekolah ini tidak lah jauh sangat, sekitar 25 km sahaja. Tetapi jarak SMK Kulai Besar dengan rumah ummi yang jauh sekitar hampir 30 km dan jarak antara SMK Taman Univerisiti hanya 7km sahaja. Oleh kerana ummi tidak pandai memandu, tak ada lesen, dan tak pernah memandu kereta maka sukar untuk ummi berulang alik dari rumah ke sekolah SMK Kulai Besar. Perlu naik bas 2 kali. Jika bersekolah di SMK Taman Universiti,mudah untuk zauj hantar dan jemput ummi setiap hari, tanpa perlu ummi menaiki bas lagi.


Tarikh melapor diri ke SMK Taman Universiti ialah pada 1 Disember 1994. Ummi memulakan kerjaya sebagai guru, bermula tarikh melapor diri di SMK Kulai Besar pada 4 Disember 1989. Kiranya 5 tahun telah ummi bertugas di SMK Kulai Besar sebelum dapat bertukar ke SMK Taman Universiti.


Sebaik melaporkan diri pada 1 Disember, 2 Disember telah di adakah mesyuarat guru-guru kali pertama sessi persekolahan 1994/1995. Ummi diamanahkan sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah.


Bila dapat tugas tu, ummi terdiam sebab pengetahuan tentang pusat sumber yang merangkumi perpustakaan,alat bantu mengajar, alat pandang dengar, peralatan siar raya dan PA System zero. Tidak pernah ada pengalaman selama 5 tahun di SMK Kulai Besar di dalam bidang ini.


Oleh kerana SMK Taman Uniersiti adalah sekolah baru, baru dibuka, kumpulan ummi bersama guru-guru lain yang mendaftar merupakan kumpulan guru perintis. Keadaan sekolah ketika itu belum siap sepenuhnya. Perabut bilik darjah belum ada,kemudahan infrastruktur belum siap sepenuhnya. Ingin lihat gambar dulu-dulu,sila klik  di sini. http://smktunjb.com/DULUKINI.htm




Dataran untuk dijadi tapak perhimpunan masih bertanah merah, tangga untuk naik ke bangunan atas mesih tiada pemegang. Tetapi kerana terdesak, bilangan pelajar yang ramai, sekolah untuk penempatan mereka tiada, terpaksa sekolah itu dibuka di dalam serba kekurangan.




Bila sahaja ummi dapat tugas dan dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan sebuah Pusat Sumber yang merangkumi bahagian seperti yang tersenarai di atas, ummi pun mula mengali ilmu dari guru-guru sekolah lain. Pergi menuntut, pergi melawat sekolah-sekolah disekitar JB. Ummi tidak segan atau malu untuk belajar dari A.


KPM telah memperuntukkan sebuah sebuah sekolah yang dilengkapi ruang pejabat,bilik mesyuarat,  kantin,  bilik guru, bilik darjah,  makmal  sains dan bengkel-bengkel seni serta kemahiran hidup. Ruang paling besar dan luas ialah Pusat sumber. Satu aras atau satu tingkat bangunan Blok A diperuntukkan sebagai pusat sumber. MasyaAllah, besarnya tetapi kosong sahaja tanpa seketul perabot pun ada di dalamnya.



Apa ummi nak buat dahulu dengan tempat ni? usahkan peralatan, atau buku perabot pun tak ada lagi. Dalam diam ummi berfikir dan merancang. Apa yang ummi fikir,ummi bawa berbincang dengan pengetua sekolah. Alhamdullilah, apa sahaja yang dirancang untuk pembangunan sebuah pusat sumber sekolah mendapat kerjasama dan sokongan daripada pengetua.



Bermula dengan memohon sumbangan buku-buku dari Dewan Bahasa Pustaka (DBP) hinggalah kepada memohon sumbangan buku-buku dari pelajar dan ibu bapa. Kemudian barulah buku-buku dari peruntukkan kerajaan beransur-ansur tiba menambah koleksi buku-buku diperpustakaan.


Pernah ummi pergi ke gudang DBP Kuala Lumpur, memilih buku-buku bacaan dan rujukan yang sesuai untuk pelajar sekolah menengah. Setelah buku-buku ummi pilih di dalam anggaran 300 naskah, ummi masukkan ke dalam kotak dan kirimkan melalui keretapi ke Johor Bharu. Itulah peringkat awal usaha ummi mendapatkan buku-buku untuk perpustakaan sekolah yang baru dibuka sementara menunggu peruntukkan KPM tiba.


Bermula dari senaskah buku sehingga 10 tahun kemudian ketika ummi menamatkan khidmat di perpustakaan sekolah, bilangan buku yang tercatat di dalam nombor perolehan adalah sebanyak 28,000 naskah.


Alat siar raya beroperasi dengan baik, alat pandang dengar bermula dari sebuah TV dan akhirnya memiliki beberapa projektor lut sinar (OHP) dan projektor legap. Segala apa yang dinamakan alat pandang dengar ada di dalam bilik APD. ABM bermula dengan sebuah peta kini di lengkapi dengan beratus-ratus ABM lain yang membantu guru-guru mengajar.


Genap 10 tahun ummi dibidang Pusat Sumber, setiap tahun dalam tempoh itu,ummi sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri di dalam ilmu pusat sumber hingga di tahun- tahun terakhir ummi masih sempat lagi menghadiri kursus Literasi Maklumat yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM di Kuala Terengganu.


Kursus di peringkat negeri dan daerah,memang kerap ummi hadiri. Begitu juga tahun-tahun pertama kempen Program Nilam, nadi ilmu amalam membaca,iaitu program menggalakkan pelajar membaca buku dan mencintai buku-buku. Bebrgaia aktiviti perlu dirancang dan memsatikan pula aktiviti dilaksanakan.


Setelah genap 10 tahun,tiba-tiba ummi ingin menceburi sesuatu bidang yang lain ,bidang yang lebih mencabar. Semua dugaan dan rintangan di dalam pengurusan pusat sumber dapat ummi lalui dengan tabah dan sabar. 10 tahun bersama-sama pusat sumber,telah ummi lalui segala pahit manis dan sepak teranjang yang ada di dalam bidang pengurusan pusat sumber. Selama berkhidmat dibidang ini,ummi rasa seronok dan ketika meninggalkan bidang itu ummi telah rasai kepuasan menjalankan tugas dan telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.



Suatu hari selesai solat zohor,tiba-tiba ummi diilhamkan untuk berbakti di bahagian pendidikan khas, mendidik anak-anak istimewa. Terus keesokkannya ummi bertemu Penolong Kanan sekolah menyatakan hasrat untuk menjalahi kursus asas Pendidikan Khas. 3 bulan selepas itu, ummi dipanggil untuk menjalani kursus asas dan tahun berikutnya kursus peringkat pertengahan Pendidikan Khas. Alhamdullilah awal tahun 2005, pada 1 januari 2005,ummi dilantik menjadi guru Pendidikan Khas,bagi mendidik anak-anak istimewa. Memang benar,cabaran di sini sangat besar dan kesabaran diperlukan adalah sangat tinggi dan berharga.


Sekian entri kali ini,dilain kali akan ummi sambung untuk entri mendidik anak-anak istimewa.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 28 July 2009

Kerjaya ku guru

1 Disember 2009 ini genap 20 tahun perkhidmatan ku sebagai pendidik. Banyak suka duka ku sebagai pendidik. 5 tahun pertama aku ditugaskan mengajar di sekolah menengah yang pelajar 90% adalah bangsa cina, 5 % india dan 5% melayu. Telah lumrah, apabila mengajar di sekolah yang peratusan Melayu rendah, maka bahasa ibunda mereka lebih dikuasai dan difahami. Namun itu hanya sebahagian kecil cabaran di dunia pendidikan. Aku tetap berusaha mendidik mereka dengan menggunakan bahasa melayu walaupun mereka agak sukar untuk memahami apa yang ingin aku sampaikan.

10 tahun kemudian aku menjadi Penyelaras Pusat Sumber sekolah yang baru dibuka di sebuah taman berhampiran sebuah pusat pengajian tinggi di Skudai, dan disamping mengajar subjek Geografi Tingkatan 3 yang mesti didik dan bimbing pelajar hasil kerja kursus geografi PMR. Disamping itu aku buat stady group discussion secara percuma di rumah bagi subjek Fizik, Matematik Tambahan, Matematik, Kimia, sains dan Biologi. Tiap malam rumah ni sentiasa penuh dengan pelajar yang nak ambik SPM. Begitu juga bila cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti penggal. Rumah ini jadi tempat kebanyakkan pelajar samada pelajar yang bersekolah asrama penuh, MRSM dan pelajar sekolah harian melepak sambil belajar dan berbincang. Bukan seorang dua, tapi hampir 10 - 15 orang setiap hari.

Mereka seronok belajar kerana ada yang membimbing dan memberikan perhatian. Akhirnya aku puas, kebanyakan pelajar yang aku bimbing di rumah telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Mereka tidak melupakan aku, tiap kali yang belajar di luar negara balik bercuti, pasti mereka akan datang menziarahi aku, samada di rumah atau di sekolah, yang bernikah pasti akan menghantar kad jemputan walimatul urus. Hinggakan ada seorang anak didikku akan pergi pelajar di Perancis, sebelum pergi, dia buatkan akaun email yahoo untuk aku supaya dia dapat berhubung dengan aku bila tiba di sana. Alamat email itu masih aku gunakan hingga hari ini.

Dia juga yang ajar aku bagaimana menggunakan kemudahan internet ini, menggunkan YM. Ada anak murid yang belajar di UK, ambil perubatan, sanggup telefon masa aku sakit untuk berbual-bual menemani aku ketika di hospital. Bila tiba hari raya, mereka pasti tak lupa untuk mengucapakan melalui telefon. Mana-mana pelajar yang hardcore juga masih ingat pada aku. Suatu hari aku ditegur oleh seorang yang kerja sebagai "pemasang wayar elektrik", cikgu, masih ingat saya? Saya khairul, cikgu ingat, hari tu saya bergaduh dengan budak cina, cikgu tolong leraikan tapi sampai saya terpukul cikgu... saya minta maaf ya, cikgu, Dah lama saya nak cari cikgu sebab nak minta maaf... hari ni baru terjumpa."

Kalau tengok di laman friendster aku, "fren" aku tu sebenarnya adalah anak-anak murid aku semuanya. Bukan rakan atau kawan satu kerjaya.. Sebab tu testi comment aku banyak dipenuhi oleh ucapan dan sapaan khabar dari mereka. Mereka yang cadangkan aku buka frienster tu, sebab nak tahu khabar aku. "kadang kami sibuk, cikgu free, kadang cikgu sibuk ,kami free. Jadi kalau ada laman friendster, bolehlah kami jenguk cikgu bila-bila masa kami free dan tinggalkan pesan kat cikgu. Tapi cikgu mesti update selalu keadaan diri cikgu ya..." Baru ni aku terjumpa seorang lagi pelajar "hardcore" dia bekerja sebagai PAR (kalau dulu istilahnya budak pejabat atau peon sekolah) tengah tunggu cuci kereta. Masa tu aku berdiri di depan bank rakyat TU, tengah aku berkira-kira nak naik apa untuk ke CIMB bank, dia menyapa, " eh..cikgu, buat apa kat sini? Kenapa cikgu berjalan guna tongkat?" Sebab aku berdiri dengan memegang tongkat. Aku pun cerita pada dia hasrat aku nak ke CIMB Bank, tapi tak ada transport, jarak CIMB Bank dengan bank rakyat hanya sekitar 500 meter, tapi mana aku sampai nak berjalan sejauh itu dengan keterbatasan aku untuk bergerak. Maka dia pun tumpangkan aku naik keretanya, dan hantar aku ke tempat yang di tuju. Tak sangka, ini adalah anak murid aku yang dah lebih 15 tahun aku ajar. Mereka masih ingat wajah dan rupa aku...sebab itu mereka menegur aku.

Kadang tu, kalau aku ke JUSCO atau Gaint, dua buah shopping kompleks terbesar ada di kawasan perumahan aku, mesti ada saja anak murid yang menyapa. Ada yang bekerja secara sambilan atau sepenuh masa di sini. Aku pulak, memang situlah tempat aku membeli barang-barang dapur dan keperluan rumah tangga. Jadinya, selalulah aku di sapa bila ke sana. Yang tak boleh aku lupa bila anak-anak murid ku terkejut dengan kehadiran aku sekarang di JUSCO atau Gaint berkerusi roda. Mereka tak sangka, seorang guru mereka yang aktif suatu ketika dulu, tapi hari ini hanya mampu duduk di kerusi roda saja lagi.

Itu kenangan aku sebagai guru. ini cuma 1 % coretan suka duka sebagai guru selama hampir 20 tahun. Bermakna ada 99% lagi coretan suka duka sebagai guru.
Ada masa akan ditulis lagi, memang blog ini hanya cerita peribadi saja, nak hasil kan novel belum reti lagi...