BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label sakit. Show all posts
Showing posts with label sakit. Show all posts

Saturday, 20 December 2014

Asbab Untuk Kita Melakukan Kebajikan

"Assalamualaikum."

"Wa alaikum salam, ya , cari siapa?"

"Saya nak minta derma."

"Derma apa?"

" Saya Sakit nak buat dyalisis, takde duit tambang." Sambil tunjukkan surat rujukan pengesahan, beliau adalah pesakit buah pinggang.

"Kamu tinggal dimana? Mana keluarga kamu?"

"Ni kad pengenalan saya, saya tinggal di alamat ini, suami saya sudah meninggal dunia, anak-anak tinggalkan dengan ibu bapa saya, saya pula tinggal bersama mak mertua. Mak mertua saya juga adalah ibu tunggal, bapak mertua telah meninggal dunia juga."

"Saya tidak dapat bekerja, tak ada orang mengaji saya kerja sebab seminggu 3 kali saya kena buat dyalisis. Mak mertua pun tak kerja, dah tua. Ada wang pencen bapa mertua untuk sara hidup. Tapi tak banyak mana sebab bapa mertua dulu pun cuma pekerja am disektor awam."

"Kamu buat dylisis dimana?"

"Di Hospital Sultanah Aminah. Saya pergi naik bas. Hari ini saya cuma ada duit tambang pergi saja, duit tambang balik tak ada."

Setelah saya baca surat rujukan, belek-belek kad pengenalan yang diberikan, baca sijil kematian suaminya, saya mengajak dia balik ke rumah untuk bertemu mak mertuanya. Tujuan saya, nak mengesahkan ceritanya. Jika benar, dia tergolong dalam asnaf.

Sebelum naik kereta, anak-anak asuhan memasukkan ke dalam kereta segala barang keperluan harian seperti beras, gula, tepung, serbuk coklat, susu pekat manis, sos cili, sos tomato, kicap dan minyak masak.

Sampai di rumah mak mertua, ceritanya memang benar. Menitis air mata mendengar cerita mak mertua tentang dirinya. Keadaan rumah menguatkan lagi cerita mereka. Masa kami sampai, mak mertua sedang menanak nasi tanpa lauk.

Seminggu 3 kali nak ke hospital besar buat dyalisis. Pergi sendiri, naik bas. Tambang bas pergi balik RM 7.80. Duit untuk tambang hari tu cuma ada RM 4.00 sahaja. Mak mertua memang tahu dia nak ke hospital buat dyalisis dan duit tambang cuma ada RM 4.00, mak mertua nak beri, mak mertua pun tak ada duit. Malam sebelum tu memang nak pinjam duit jiran tetapi jiran kata belum gaji. Sama-sama susah. Itu sebab dia berjalan hingga sampai ke rumah saya untuk minta wang sekadar cukup tambang balik. Ini pettama kali saya melihat dia datang minta duit.

Sungguh, ada ramai lagi orang yang hidupnya kais -kais macam ayam. Daif. Dia mendapat bantuan sara diri dari Baitulmal sebanyak RM 300 sebulan. Jika kita kira, tambang pergi balik untuk sebulan saja hampir RM 150.00 . Makan minum cuma RM 150.00. CUKUPKAH untuk 30 hari? Bulan ni tak cukup duit tambang kerana minggu lepas dia masuk wad .

Rakyat marhaen yang miskin ramai, tergolong dalam golongan asnaf. Nak bekerja atau berniaga tidak ada kudrat. Badannya kurus kering, urut tangannya berbola-bola kesan jarum suntikan ketika buat dyalisis. Lemah aja. Begitulah secebis kisah dalam masyarakat marhaen.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 1 March 2013

Anak Tak Mahu Jaga Ayah




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kasih sayang anak
Ketika bertemu dengan Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan sebuah hospital di Johor Bahru. Walaupun baru pertama bertemu, kami  berbual mesra dan baik seseolah pernah bertemu sebelumnya.

Banyak maklumat yang saya perolehi dalam pembentukan kertas kerja Rumah Perlindungan Wanita Baitus Solehah.

Dalam perbualan itu juga banyak kisah yang kami kongsikan bersama, dimana cerita berkisar pengalaman masing-masing berhadapan dalam kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan.

Antara yang tertarik mahu saya kongsikan ialah bagaimana seorang lelaki tua bukan muslim yang terlantar di hospital tanpa pernah diziarahi waris.

Lama terlantar, lebih kurang 6 bulan dirawat di hospital. Setelah lama terlantar, pihak Jabatan Sosial Perubatan telah mencari Pusat Jagaan untuk menempatkan lelaki tua itu. Tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,sudah tidak boleh bercakap lagi untuk bertanya siapakah dirinya yang sebenarnya. Berbagai usaha untuk mencari waris lelaki tua ini. Usaha akhir ialah dengan bantuan pihak Jabatan Sosial Perubatan, mengambil cap ibu jari lelaki tua tersebut dan dihantar ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengenalpasti identiti diri.

Akhirnya Jabatan Pendaftaran Negara dapat mengesan siapa lelaki tua itu. Rupanya dia seorang millionaier, mempunyai anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dan kerjaya. Salah seorang anaknya adalah peguam yang berkelibar. Buku akaun bapanya telah berada di dalam simpanannya.

Terlantar (bukan individu sebenar kisah ini)
Walaupun telah dihubungi oleh Pusat Jagaan Wargaemas Terlantar, anak-anak dan peguam itu tetap tidak mahu mengambil bapanya untuk dijaga di rumah. Bapanya menghabiskan akhir kehidupan di Pusat Jagaan tanpa pernah diziarahi oleh anak-anak sehinggalah meninggal dunia. Bapanya itu meninggalkan banyak harta termasuk wang simpanan. Wang yang ditinggalkan dalam akaun bank saja adalah sebanyak 3 million.

Anaknya cuma datang ke Pusat Jagaan untuk mendapatkan Sijil Kematian bagi menuntut harta dan wang simpanan yang ditinggalkan oleh bapanya.

Ambillah iktibar kisah ini. Kita tidak boleh menuding siapa salah, adakah anak itu yang tidak kenang jasa dan menghargai bapanya atau kesilapan cara sibapa mendidik anaknya ketika mereka masih kecil.

Kalau dari kecik kita didik anak-anak mencintai dunia, belajar-belajar, cari wang banyak-banyak supaya boleh beli rumah besar, kereta besar dan sebagaianya,  mengenepikan soal kasih sayang dan persaudaraan, maka tidak hairan jika mereka mengabaikan kita diwaktu tua. Anak tu memang jadi baik dan berpelajaran tetapi miskin kasih sayang dan kemesraan hubungan sesama saudara.

Kita kena pastikan dalam mendidik anak-anak, anak-anak itu mampu mendoakan kita, mampu memandikan, mengkafan, menyembahyangkan kita bila kita menemui ajal.

Bagaimana nak dapat anak macam tu? Caranya memastikan anak-anak sentiasa mengerjakan solat. Displinkan anak solat awal waktu. Jika anak-anak yang telah ditarbiyah sentiasa melaksanakan solat dengan sabar dan sempurna, adakah agak-agaknya bila kita tua dia nak abaikan kita? Biarkan kita sakit terlantar di hospital tanpa perhatian?

Adakah sanggup anak-anak hantar kita ke Pusat Jagaan bila dah uzur dan terlantar? Oleh itu asuh anak ikut yang Rasullulah tunjukkan. Ada masa berlembut dan ada masanya garang. Yang penting walaupun garang ala militeri tetap dengan kasih sayang.Lembut bertempat dan garang bertempat.

Satu tips saya nak kongsi, setiap kali anak bersalam dengan kita, dalam hati ibu, doalah, "Ya Allah, rahmatilah anakku ini". Dan selalu orang suka berdoa mohon Allah pelihara keselamatan diri anak -anak walaupun dimana berada. Jarang ada yang berdoa, "Ya Allah, peliharalah keselamatan Iman dan diri anak menantuku walau dimana mereka berada di dalam rahmatMU." (Inilah doa yang selalu saya amalkan setiap kali saya teringat anak menantu tidak kira masa)


Selalunya apa kita buat, itu kita dapat. Maka mohonlah perlindungan dengan Allah dari bisikan syaitan agar anak-anak sentiasa berada di dalam rahmat Allah Ta'ala.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 25 February 2013

Antara 2 Darjat



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Pergi menziarahi pesakit di hospital wad kelas 3 jauh berbeza keadaannya dengan wad kelas 1. Jauh sangat bezanya dari segi kemudahan dan layanan. Memanglah perbezaan tu kerana kos yang dibelanjakan untuk tinggal di wad satu dengan wad kelas 3. Yang saya bicarakan ,yang ajak berfikir ialah dari segi bicara dan layanan para perawat. Dari segi perkhidmatan perubatan tidak ada masalah dan perbezaan.

Wad kelas 1, makanan dihidangkan, boleh pilih menu Melayu atau barat
Makanan yang disediakan pun tak sama, cara hidang juga tak sama,bekas hidangan pun tak sama. Makanan di wad kelas 3 dihidangkan dalam tray, nasi putih atau bubur, ikan yang direbus, sayur dan sepotong buah. Di Wad kelas 1, boleh pilih menu makanan malaysia atau barat. Makanan dihidang dalam pinggan, menggunakan set hidangan, nasi putih, ikan atau ayam atau daging yang dimasak enak , sayur yang ditumis sempurna dan sop. Ada puding atau aiskrim atau buah-buahan.

Minuman samada coklat, susu, teh , kopi atau oren. Tetapi di wad kelas 3 cuma skyjus, kopi o atau teh o.

Ruang terbuka,katil disusun rapat-rapat



Di wad kelas 3, susunan katil rapat-rapat, ruang terbuka, ramai orang , kipas jauh dari katil pesakit dan suasana yang hiruk piruk dan menyebabkan ketenangan pesakit terganggu. Bilik airnya jauh di hujung sana.

Di wad kelas 1, dalam sebuah bilik samada seorang , berdua, bertiga atau berempat. Bilik air dalam bilik. Ada pendingin hawa, tenang dan sunyi. Ada TV dan sofa.

Yang heran kenapa sifat staf juga berbeza? Apakah dengan pesakit di kelas 3 sewenang-wenang untuk ditengking, diherdik dan dimarahi jika mereka tersilap kerana mereka tak tahu dan biasa dengan peraturan di wad. Contoh jika mereka terpaksa menggunakan soket untuk charge bateri telefon. Apakah tidak boleh bercakap lembut memaklumkan akan larangan tu.

Di wad kelas 1, layanan dan bicara semuanya lembut dan bersopan.

Suasana wad kelas 1


Padahal ketika belajar dan dalam kursus pengajian pasti ilmu yang disampaikan tu sama.

Apakah semasa dalam kursus ada subjek , membezakan adap, cara bercakap kepada pesakit di wad kelas 3 dan wad kelas 1?

Apapun terima kasih diucapkan kepada mana-mana staf perubatan dan perawatan yang mengamalkan etika 5 S. Bekerja dengan penuh beretika, dedikasi tanpa membezakan kelas wad pesakit.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 23 February 2013

Setelah Diceraikan




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Hari ini dah rancang dengan beberapa orang kawan, insyaAllah mahu pergi ziarah lelaki semalam tu dalam kisah  Cash AND Carry  bersama bekas isterinya petang ini. Walau bagaimana pun penganiyaan yang dilakukan terhadapnya, bekas isteri tetap memaafkan dan mahu menziarahinya.

Walaupun dia tak nampak, dan lelaki tu pulak dah 'ditidorkan' oleh Allah, maka tiada biacara yang disambut, hati kecilnya tetap sayu dan sedih.

Semalam ketika di Pejabat Agama, setelah Sijil Perceraian berada ditangannya, dia menangis dalam pelukan saya. Dia rasa sedih dan rasa seperti kehilangan. Dan sahlah bahawa dia ibu tunggal.

Sijil Perceraian


Sesiapa pun dengan status Ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), menjalani hemodailisis , mengambil suntikan insulin setiap hari akan merasa sangat sedih dan hiba.

Saya nasihatkan dia, ada hikmah Allah uji dia dengan ujian yang begitu berat. Allah tidak akan bebankan suatu bebanan yang tidak mampu seseorang itu pikul. Allah tahu dia mampu hadapi.

Surah Al-Baqarah ayat 286, "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."

Semoga nur Allah melimpahi ibu tunggal ini.
Dengan status ibu tunggal ada kelebihan, sekurang-kurang ada bahagian dari baitulmal untuk dia, kerana dia termasuk dalam 8 asnaf untuk menerima zakat dan fidyah. Tidak ada pendapatan untuk sara hidup , tak punya harta dan upaya untuk bekerja. Semalam pun, semasa saya berurusan di Baitulmal, mereka dah beri sedikit wang fidyah untuk dia. sekurang-kurangnya dapat dia beli makanan untuk beberapa hari.

Yang paling utama saya nasihatkan ialah, redha suami. Dengan kehilangan upaya dan penyakit, dia tak upaya melakukan tugas-tugas seorang isteri, maka telah menyebabkan kemarahan dan ketidak redhaan suami, maka baiklah suami melepaskan dia dalam reda dan kemaafan. Masa diceraikan dia dah kata memaafkan semua salah silap isteri. Itu dah sangat berharga.

Saya kata , "Allah mahu memudahkan baki-baki akhir hidupnya tanpa perlu memikirkan hal-hal dunia , dan tanggungjawap sebagai isteri. Moga-moga nanti bila dijemput oleh malaikat Izrail, dapat mati dalam iman yang sempurna."

Dia sudah tak payah fikir, hari ini nak makan apa, ada duit atau tidak kerana semua itu telah diletakkan hak ke atas orang-orang kaya dan memiliki harta.

Allah nak beri peluang dia benar-benar mengabdikan diri kepada ALlah, sentiasa duduk berzikir dan mengingatiNYA.

Dan yang utama memberikan peluang kepada ramai orang  untuk rebut peluang menziarahi dia, menolong dia dalam apa jua bentuk pun.

Jadi terpulanglah kepada sesiapa yang membaca cerita saya ni samada nak rebut atau tidak peluang yang Allah beri ini.

Terus terang saya sarankan, bila ziarahi wanita ni, picitlah tubuhnya yang sentiasa rasa sakit, lenguh-lenguh. Usaplah tangan dan pipinya.

Ambillah pelajaran dan pengajaran dari kisah yang saya cerita, bahawa jika kita rasa susah dan tak berdaya, rupanya ada lagi orang yang susah dan hilang upaya.


Dan satu lagi kita wajib saling ingat mengingatkan jangan menzalimi orang lain. Doa orang yang teraniya tidak ada hijab di sisi Allah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 7 February 2013

Ketika Menjaga Pesakit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Terlantar sakit
Ajaran Islam menuntut umatnya supaya memenuhi tuntutan persaudaraan Islam dengan mensyariatkan berbagai-bagai amalan termasuk amalan menziarahi orang sakit. Tuntutan ini sebagaimana pesanan Rasulullah kepada umatnya yang berbunyi (al-Bukhari, 1994: 4777; Muslim, 2001: 3848, al-Nasa’i, t.t.: 1913; Ahmad, 1994: 17900):

عَنْ الْبَرَاءِ بْنُ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَمَرَنَا النَّبِيُّ T بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجِنَازَةِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي

Maksud: “Al-Bara` bin Azib r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. telah memerintahkan kami tujuh perkara dan juga melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan kami untuk menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, menjawab orang yang bersin, menunaikan sumpah, menolong orang yang terzalim, menyebarkan salam dan memenuhi undangan.” (Al-Bukhari dan Muslim)





Antara hikmah menziarahi orang sakit ialah:



Dekat dengan Rahmat Allah S.W.T.

Dalam satu hadith  menjelaskan bahawa seseorang yang menziarahi orang sakit ini seolah-oleh dia menziarai Allah S.W.T. sendiri. Rasulullah s.a.w. bersabda (Muslim, 2001: 4661),

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ T إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَا ابْنَ آدَمَ مَرِضْتُ فَلَمْ تَعُدْنِي قَالَ يَا رَبِّ كَيْفَ أَعُودُكَ وَأَنْتَ رَبُّ الْعَالَمِينَ قَالَ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ عَبْدِي فُلَانًا مَرِضَ فَلَمْ تَعُدْهُ أَمَا عَلِمْتَ أَنَّكَ لَوْ عُدْتَهُ لَوَجَدْتَنِي عِنْدَهُ

Maksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah S. W. T. berfirman pada hari kiamat, “Wahai anak Adam! Aku sakit mengapa engkau tidak menziarahiku.” berkata seorang hamba, “Wahai Tuhan bagaimana aku boleh menziarahimu sedangkan Engkau merupakan Tuhan Pentadbir seluruh alam. Lalu Allah S.W.T. berfirman, “Sesungguhnya hambaku yang bernama pulan sakit dan engkau tidak menziarahinya, ketahuilah sekiranya engkau menziarahinya nescaya engkau akan mendapati-Ku di sisinya.” (Muslim)

Maksud hadis ini ialah seorang yang menziarahi orang sakit seolah-olah dia menziarahi Allah yang sedang sakit walaupun pada hakikatnya Allah S.W.T. terkaya daripada terkena sakit.




Adap-adap dan tatacara yang baik ketika menjaga pesakit atau menziarahi pesakit.




Ketika saya sakit terlantar tidak berupaya, saya suka jika yang menjaga saya  dan yang datang menziarahi saya berbuat begini (yang mahram dengan pesakit). Begitu juga  dengan orang lain yang sakit.



Ramai pesakit  mungkin malu dan segan untuk meminta, jadi sebagai penziarah, kita cuba cari ruang-ruang untuk kita membantu pesakit yang terlantar. Ini penting terutamanya kepada anak-anak yang meneman atau menjaga ibu bapa yang sakit dan kepada saudara mara yang datang menziarahi ibubapa yang sakit.



1) Sekiranya nampak lemah dan tidak bertenaga. Alih-alihkan tubuh. Tekan dan urut bahagian pinggul dan picit-picit betis dan lengan.

2) Gosok sendi-sendi bawah lutut, buku lali, bahu, leher dan pusing-pusingkan jari.

3) Picit-picit kepala, urutan atas alis mata dan bukakan rahang mulut.

4) Trim misai, janggut, kuku kaki dan tangan. (sekiranya pesakit tu lelaki) supaya tetap nampak kemas.

5) Lap badan dengan tuala kecil yang direndam pada air suam.

6) Basahkan bibir dengan air di jari.

7) Bacakan Yassin dan elakkan perbualan sia-sia. Jika ada saudara mara berkumpul, dahulukan urusan dengan pesakit kemudian barulah bertanya khabar saudara yang lain.

8) Penuhi permintaan pesakit. (yang perpatutan)

9) Salin tempat tidur dan pakaian pesakit.


Jangan biarkan ada bau yang tidak menyelesakan disekitar pesakit, kerana ia mungkin mendatangkan aib terutama bau hancing. Kemas dan rapikan ruang pesakit ditempatkan agar mudah untuk tetamu menziarahi pesakit.



Orang yang menjaga pesakit mestilah sabar. Kesakitan yang didatangkan kepada pesakit merupakan ujian kepada  pesakit sendiri dan kepada orang-orang berada hampir dengan pesakit. Adakah kamu sabar, tabah dan redha untuk menerima ujian ini.


Masih ingat lagi, saya pernah bertanya pada zauj yang rajin menemankan saya apabila ada temujanji di Jabatan Pakar Psaikatri di Hospital Sultanah Aminah,

"abang tak malu ke temankan ummi kat sini?"

"nak malu apa, isteri abang, bukan isteri orang." jawab zauj.

"abang tak malu orang kata isteri abang sakit jiwa, bawa bakul sana sini?"

"tak malu, bawa bakul saja bukan buka aurat."


Ketika itu saya sedang menjalani rawatan dibahagian perubatan jiwa, suka yang ekstrim pada bakul. Suka sangat dengan bakul hingga ketika zauj ke Sarawak atas urusan kerja pun beli beberapa buah bakul di sana untuk dihadiahkan kepada saya.


Ramai orang kagum dengan kesabaran, ketabahan zauj menjaga  ketika saya sakit. Sesungguhnya hanya Allah yang membalas segala kebaikkan berganda yang zauj lakukan kepada saya.


Semoga boleh menjadi panduan kepada anak-anak, adik kakak atau sesiapa sahaja yang menjaga dan menziarahi pesakit.






Dari Ummu Salamah RA katanya: Rasulullah SAW telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi SAW menutupnya, kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)," (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda SAW bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda SAW berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama-sama orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya." (Riwayat Muslim)


Huraian Hadith: 



Hadis di atas menyebut bahawa mereka yang menziarahi orang sakit dituntut supaya berkata atau menyebut perkara baik saja. Ulama' ada menerangkan bahawa antara kata-kata baik itu ialah menghiburkan hati orang sakit dengan menyatakan sakitnya ringan dan akan sembuh.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 27 January 2013

Ujian Adalah Tarbiyyah Terbaik Menjadi Kental


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ahmad Baihaqi sebelum sakit
Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Inilah yang telah aku lalui 19 tahun dahulu. Ketika itu anakku yang nombor 5, Ahmad Baihaqi ditimpa sakit. Mula asalnya, aku mengikuti rehlah yang dianjurkan oleh Hizbi Islami. Mereka buat perkhemahan di Desaru. Salah satu slot, zauj terlibat untuk menyampaikan Tazkirah, maka zauj bawa aku dan anak-anak bersama. Khemah untuk kami disediakan di tepi pantai di atas pasir. Memang seronok berkhemah ni terutama anak-anak.Suka benar mereka dapat berlari-lari di tepi pantai sambil bermain ombak. Ketika itu umur Ahmad Baihaqi baru 8 bulan, tengah montel, comel dan lasak. Baru belajar bertatih.

Malam itu, hujan turun dengan lebat. Air melimpah masuk ke dalam khemah, menyebabkan semua tempat tidor basah. Zauj terus carikan chalet untuk aku , Baihaqi dan anak-anak yang perempuan tidor. Keesokkan harinya, Baihaqi demam dan petangnya selesai program rehlah, kami terus beredar balik ke rumah.

Baihaqi yang demam terus di bawa ke Klinik Penawar yang berhampiran dengan rumah. Setelah 3 hari demam, masih tidak kebah, aku bawa sekali lagi ke Klinik. Masuk hari ke 8, Baihaqi tidak sembuh juga demamnya, maka pagi Jumaat itu selepas sahaja solat subuh , terus aku berjalan ke Klinik Penawar lagi sekali membawa Baihaqi. Di pahanya ada setompok titik merah, aku tunjukkan pada doktor, dan doktor merujuk Baihaqi ke Hospital Sultanah Aminah  di Johor Bahru.

Sebaik sampai di unit kecemasan, terus mereka mengambil darah dan buat analisa di makmal. 1 jam kemudian keputusan keluar, didapati dalam darah Baihaqi mengandungi kuman. Dan di masukkan ke dalam wad atas sebab "septicimia". Sehari selepas di masukan wad, keesokkan harinya Baihaqi telah tidak sedarkan diri dan 'koma' . Kemudian Baihaqi ditempatkan di 'NICU', wad unit rawatan rapi untuk kanak-kanak. Selama seminggu berada di unit ini, aku sentiasa berada di sisi Baihaqi kecuali waktu solat dan waktu makan. Aku mendapat kebenaran untuk berada di unit rawatan rapi sepanjang hari. Apa yang aku buat sepanjang berada di sisi Baihaqi yang koma itu ialah, mengaji, berzikir dan bercakap-cakap dengan Baihaqi.

Setelah 3 hari, keadaan Baihaqi yang koma makin parah, apabila kulit-kulitnya mula tertanggal sehingga menampakkan isi yang berwarna merah. Sebagai ibu, tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan berdoa, disamping menangis. Masih ingat aku, air mata ku terus-menerus mengalir selama 5 hari tanpa henti. Di tambah dengan kata-kata seorang doktor cina  " kakak, kita dah usaha sedaya upaya untuk membantu menyelamatkan anak kakak, kita gunakan teknologi perubatan yang kita ada, kes anak kakak adalah kes yang jarang berlaku, kuman yang ada di dalam tubuh anak kakak ini, kuman yang sangat ganas, aktif, dan kita dapati kuman ini tidak resistan dengan antibiotik yang terbaik dimiliki oleh hospital. Saya harap kakak jangan tinggalkan anak kakak, sebab kemungkinan dia meninggal bila-bila masa sahaja. Sekarang pun dia menggunakan bantuan pernafasana sahaja. Saya tengok kakak kuat mengaji, kakak berdoalah dengan 'tuhan' kakak, mana tahu berlaku satu keajaiban terhadap anak kakak ini."

Di NICU


Ibu mana yang tidak menangis bila mendengar kata-kata dari seorang doktor pakar kanak-kanak. Seramai 7 orang doktor pakar yang berbagai jabatan menangani kes sakit Baihaqi. Pakar Kanak-kanak seramai 3 orang, pakar kulit, pakar kaji penyakit, pakar neurologi dan pakar orthopedik. Ketika itu semua organ dalaman Baihaqi telah tidak berfungsi lagi kecuali jantung dan otak. Buah pinggang, hati sudah membengkak dan warna kulit badan Baihaqi telah bertukar ke hitam-hitaman. Bibirnya telah pecah-pecah menerbitkan darah, begitu juga mana-mana kulit yang tertanggal telah menerbitkan darah. Aku memang benar-benar pasrah melihatkan keadaan Baihaqi.

Setiap saat aku berdoa dan selepas solat fardhu aku akan lakukan solat hajat mohon "Ya Allah, sekiranya panjang umur itu baik untuk Baihaqi, hidupkanlah anakku ini didalam rahmat MU, sembuhkan penyakitnya dan matikanlah dia sekiranya kematian itu baik untuknya..."

Dan zauj juga telah berusaha membuat bacaan zikir dari ayat al-Quran sebanyak seribu kali. Surah dan ayat yang diberikan oleh seorang tuan guru ialah surah Al-Imran ayat 1 -6.

سُوۡرَةُ آل عِمرَان
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) مِن قَبۡلُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلۡفُرۡقَانَ‌ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٤) إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخۡفَىٰ عَلَيۡهِ شَىۡءٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٥) هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُ‌ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (3) Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah). (4) Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit. (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (6)


Zikir ini dibacakan pada sebotol air mineral dan dititiskan air itu ke mulut Baihaqi yang koma. Disamping itu, terdapat beberapa masjid dan surau serta kumpulan-kumpulan tertentu yang telah membuat bacaan yasin beramai-ramai memohon pertolongan pada Allah untuk Baihaqi. Oleh kerana fikiran aku yang mungkin kurang stabil, bila aku dengar orang ramai membaca yasin untuk Baihaqi, aku fikirkan bahawa tidak lama lagi Baihaqi akan meninggal dunia. Ini kerana, aku selalu melihat di kampung-kampung masa aku kecil, jika orang nazak dibacakan yasin, sehari dua selepas itu akan meninggal dunia. Sekali zauj berkata "Muna, bukan semestinya, bila baca yasin orang nazak akan mati, kita baca yasin mohon pertolongan Allah, jika mati itu lebih baik, maka dia akan mati dengan mudah, dan jika hidup itu lebih baik, maka Allah akan berikan petunjuk untuk dia sembuh dan sihat."

Ahmad Baihaqi berumur 5 tahun
Barulah aku faham kedudukan perkara. Selama 8 hari Baihaqi koma, orang yang boleh melawat Baihaqi cuma ibu bapa sahaja yang dapat masuk ke NICU. Pelawat lain terutama saudara mara dan kawan-kawan hanya dapat melihat dari jauh melalui tingkap sahaja. Untuk masuk ke bilik ini,aku dan zauj kena buka kasut, cuci tangan dan pakai overcoat. Hanya dibenarkan menggunakan selipar khas yang disediakan. Sebarang makan minum juga dilarang bawa masuk.

Masuk hari ke 10, aku terus berbual-bual dengan Baihaqi dengan ucapan pertamaku ialah memberi salam padanya. Hari itu, selepas sahaja solat subuh, aku bersama Baihaqi, kuletakkan jari ku dalam tapak tangannya, dia telah memberikan respon dengan mengenggam jari aku. Aku jadi terkejut dan aku lihat bila aku bercakap dengannya, walaupun matanya terpejam, aku nampak biji matanya seseolah bergerak- gerak mencari arah suaraku. Aku jadi teruja dan memanggil doktor di situ. Doktor juga gembira dengan respon itu. Dan aku mohon kebenaran doktor untuk meletakkan puting susu dadaku ke bibirnya untuk melihat tindakbalasnya. Oleh kerana darurat, aku pun memberikan puting tetekku ke mulut Baihaqi, walaupun di depan doktor, tanpa dijangka Baihaqi memberikan respon mahu menghisap susuku, padahal matanya masih lagi belum terbuka, kemungkinan dia telah sedar. Dari tindakbalas itu, telah memberikan harapan pada doktor bahawa Baihaqi akan sembuh. Mesin bantuan pernafasan dibuka dan kebanyakkan wayar-wayar yang berselirat dibadan Baihaqi juga ditanggalkan kecuali yang masih diperlukan seperti saluran urine dan saluran makanan yang dipasang melalui hidung untuk tujuan memberikan susu terus ke perut dan menyedut lendir di paru-paru.

Dua hari selepas itu, Baihaqi benar-benar telah sedar dan mula menangis. Bila dia boleh membuka mata, kesedihan ku datang semula kerana Baihaqi tidak mengenal aku ibunya. Doktor menasihati aku, bahawa, ingatannya masih lemah lagi kerana lama berada dalam keadaan 'koma' , maka perlukan masa untuk mengembalikan ingatannya.


Seminggu selepas itu, Baihaqi dipindahkan ke wad biasa kanak-kanak,namun sesuatu yang pelik pula kelihatan. Oleh kerana semasa Baihaqi 'koma', aku tidaklah membelek badanya, bila dia sedar, Baihaqi dipakaikan lampin pakai buang, aku terlihat tompok merah di paha sebelum masuk wad hari itu telah bertukar kepada warna hitam dan kelihatan seperti terkena minyak panas, mengelembung. Aku maklumkan pada doktor, dan doktor telah membuat biopsy pada paha Baihaqi, didapati kuman yang terdapat di dalam darah baihaqi telah bertindak memakan daging paha Baihaqi. Daging paha Baihaqi menjadi keras dan tidak boleh dibiarkan lama sebelum kuman itu masuk kedalam tulang. Maka doktor memaklumkan pada aku , pembedahan pembuangan daging di paha perlu dijalankan.

Aku akur dengan kehendak doktor, maka Baihaqi dipindahkan ke wad orthopedik kanak-kanak pula. Disana Baihaqi diletakkan bawah rawatan doktor orthopedik dan doktor kulit. Pembedahan pembuangan daging paha dilakukan di dewan bedah selama 3 jam. Luka nya agak besar juga dan 'dressing' perlu dibuat setiap hari bagi mempastikan tiada kuman di kawasan luka itu. 2 hari selepas pembedahan baru bahagian yang dibedah di buka dan didapati masih ada kuman lagi. Tetapi untuk dibedah sekali lagi di dewan bedah secara membuat 'general anestatik' adalah berisiko tinggi kepada seorang kanak-kanak berumur 8 bulan. Maka doktor mohon kebenaran untuk melakukan pembedahan tanpa bius ke atas Baihaqi.

Aku yang memang dari awal pasrah, setuju sahaja dengan rawatan doktor. Kali ini cuma dilakukan di bilik rawatan dalam wad. Baihaqi cuma diberikan ubat tidur sahaja, tetapi kesakitan daging disiat dengan pisau lebih sakit dari dia tidur. Aku lihat sendiri, sebab aku memengan Baihaqi di kepalanya, doktor menyiat daging di paha Baihaqi sama seperti kita melapah daging lembu yang disembelih itu. Torehan dan siatan daging itu mesti dibuat hingga ke bahagian daging yang menerbitkan darah.

Kenapa kena sampai bahagian itu? Selagi daging tidak mengeluarkan darah, bermakna, bahagian daging itu telah mati, urat saraf darah telah tidak berfungsi, jika dibiarkan lama-lama, akan bernanah dan busuk. Aku hanya mampu melihatkan keadaan Baihaqi yang meronta-ronta kesakitan, dalam hati berkata, biarlah dia puas menangis hari ini, asalkan esok dia sembuh. Tak ada orang mati kerana menangis. Aku hanya berdoa dan redha dengan ketentuan yang Allah catatkan buat perjalanan hidup Baihaqi.

Hampir sebulan telah berlalu , aku dan Baihaqi berada di hospital, aku mohon kebenaran untuk balik ke rumah, dengan aku janji akan datang setiap hari ke hospital untuk membuat rawatan susulan Baihaqi. Aku sudah terasa penat tidur duduk selama ini. Kami dibenarkan balik ke rumah. Hampir 4 bulan selepas itu Baihaqi menjalani rawatan di hospital dan pusat rawatan UTM. Selepas tempoh 4 bulan pula,Baihaqi  perlu menemui doktor setiap bulan untuk rawatan susulan dan melihat perkembangan dirinya.

Selama sebulan di wad, aku benar-benar berumah di sana. Langsung tidak pernah balik ke rumah menjenguk anak-anak yang lain. Tak terfikir untuk sekali atau sekejab pun nak balik rumah kot-kot nak berehat atau mandi manda. Tak mampu untuk aku berpisah walaupun sekejab meninggalkan Baihaqi keseorangan di wad. Dia buah hati dia permata ketika itu.


Ujian ini benar-benar telah mentarbiyah aku menjadi seorang yang tabah, redha dan sabar. Sangat besar nilainya pentarbiyah ini. Mana-mana ibu yang pernah dapat pengalaman ini akan menjadi tegal hatinya, tidak rapuh sebaliknya menjadi kuat. Melalui detik-detik dengan penuh debaran dan kekuatan.


Doktor pakar kanak-kanak yang pernah berkata kepada aku, minta menunggu Baihaqi yang akan meninggal bila-bila masa itu, merasa seprti satu keajaiban bila Baihaqi boleh sembuh. Doktor itu kata, Baihaqi bayi ajaib "miracle baby". Dan doktor itu akui, yang Baihaqi boleh sembuh kerana doa dan keyakinan ibunya pada Allah. Itu kata doktor tu. Doktor itu meminta aku dijadi rujukan dan memberikan kaunseling pada ibu-ibu lain yang menghadapi masalah anak sakit. Doktor tu kata, sebenarnya bila anak sakit, doktor selalu menghadapi masalah dengan karenah ibu bapa, kerana kadang mereka tidak memberikan kebenaran doktor merawat anak mereka jika terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius. Dan ada ibu bapa suka menyalahkan doktor bila anak mereka meninggal , cacat dan sebagainya. Banyak karenah ibu bapa yang tidak sabar dengan kesusahan dan kesakitan anak-anak. Bagi ibu bapa, anak tidak boleh sakit atau menangis. Sedangkan doktor bukan tuhan, doktor cuma boleh membantu merawat sahaja. Yang menyembuhkan sakit dan penyakit adalah tuhan. Semasa Baihaqi 'koma' aku memberi keizinan kepada  doktor untuk mengambil cecair tulang belakang Baihaqi bagi tujuan mengkaji jenis kuman dan tahap kuman itu telah bertindak ke atas dirinya. Ujian ini yang jarang ibu bapa mahu mengizinkan untuk doktor bertindak menyelamatkan anak mereka yang dijangkiti kuman. Jika selepas diambil cecair tulang belakang dan anak itu menjadi cacat, mereka menyalahkan doktor,sedangkan kecacatan itu terjadi disebabkan oleh kuman yang telah menyerang otak.


Dah 19 tahun
Sehingga kini, Baihaqi telah berusia 19 tahun, masih lagi bila aku pergi ke hospital ( dah pasti aku selalu ke hospital sekarang kerana aku yang menjalani rawatan berbagai penyakit) aku terjumpa staf yang lama-lama, yang masih ingat aku, akan bertanya, "apa khabar Baihaqi, hidup ke dia?" Ini menunjukkan bahawa ketika Baihaqi sakit dulu, ramai orang menyangka Baihaqi akan meninggal dunia. Namun kuasa dan kehendak Allah tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Keadaan Baihaqi sakit dahulu memang benar-benar menguji kesabaran aku dan keluarga. Kesabaran aku berhadapan dengan situasi Baihaqi yang begitu, menguji zauj yang terpaksa berulang alik setiap hari rumah , hospital dan tempat kerja. Zauj yang kena menjaga anak-anak lain di rumah (masa ni aku belum ada pembantu lagi), menguruskan anak-anak untuk ke sekolah, dan masuk kuliah untuk mengajar. Aku pula terus bercuti dari kerja .Aku tidak tahu status cuti menjaga anak sakit di wad itu, cuti apanya, samada cuti bergaji atau cuti tidak bergaji.



Dan aku dan zauj sedar bahawa ujian menjaga anak sakit ini hanyalah anugerah Allah bagi melihat keimanan kami berdua, samada sabar dan redha. Syukur, ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ kami dapat melaluinya dengan penuh redha dan sabar tanpa rintihan dan keluhan.

Maka di nasihatkan pada sesiapa sahaja, jangan sekali-kali berputus asa dalam menghadapi ujian sakit, penyakit dan kesakitan. Kalau bukan kita sakit pun, kita tidak boleh berdoa untuk orang yang kita jaga, mengaharpkan orang itu mati cepat. Apatah lagi diri kita sendiri. Yang di tuntut hanyalah mengingati mati sahaja.

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikkan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.” (Riwayat Ahmad, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :

Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”[1]

[1] Imam Sayuti mendatangkan hadis ini di dalam kitabnya, al-Jami’ al-Saghir, hadis ini bertaraf sangat dhaif.



Tamat...(Dairi seorang ibu yang menjaga anak yang sakit)


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Sunday, 30 December 2012

Risalah Untuk Para Pesakit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Pesan Badiuzzaman Said Nursi kepada pesakit (Risalah Untuk Para Pesakit)

Terlantar sakit di wad HSAJB
Kepada pesakit yang kebuntuan/ Kritikal

Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Penyakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis penawar.


Usia menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga diungkapkan: “Aduhai alangkah panjangnya masa musibah dan pendeknya masa kemewahan”.


Kepada pesakit yang kurang sabar!

Bersabarlah! Bahkan bersyukurlah! Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadat. Ini adalah kerana . Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan meminta perlindungan kepada Allah s.w.t., mengharapkan pertolonganNya dan memohon bantuanNya.. Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadat maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.


Terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan umur seseorang mukmin yang bercampur dengan sakit adalah dianggap sebagai ibadat, dengan syarat tidak berkeluh kesah dan tidak berputus asa terhadap rahmatNya. Ada juga riwayat mengatakan satu minit kesakitan yang dihadapi oleh orang-orang yang bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna.


Kepada pesakit yang tidak mampu bersabar!

Tujuan manusia dihidupkan ke dunia ini bukanlah untuk berseronok dan bersedap-sedap. Setiap yang hidup pasti akan mati. Setiap yang muda akan menjadi tua.


Manusia datang ke dunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagiaan hidup yang kekal dan abadi.. Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpa kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.


Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Bahkan anda berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar sahaja. Kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, ia adalah milik pihak lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya.


Kepada pesakit yang sedang diuji!

penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk ihsan Ilahi dan hadiah dari Maha Pemurah.


“Wahai saudaraku! Saya tidak menentang penyakit yang anda hadapi. Saya juga tidak merasa kasihan terhadap anda atas penyakit yang anda hadapi sehingga membolehkan saya melakukan doa untuk anda. Mudah-mudahan anda terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya anda sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, al-Khaliq al-Rahim, Tuhan yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang itu pasti akan menyembuhkan anda, insyaAllah”.


Oleh itu, sebenarnya penyakit anda adalah ibarat kesihatan bagi anda. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat mereka”.



Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Saya bertanya kepada anda tentang hari-hari lalu yang bahagia lagi penuh kenikmatan Sudah pasti anda akan melepaskan nafas kelegaan seraya berkata “Alhamdulillah, syukur”.


Apabila terkenang penyakit dan bencara yang anda hadapai maka hati atau lidah anda akan berkata: “Alangkah sedihnya! Alangkah dukacitanya!”.


Oleh kerana kelazatan selama satu hari yang diperolehi melalui jalan yang tidak syar’ie kadang-kadang akan menyebabkan seseorang berada dalam keadaan kesakitan maknawi selama setahun genap. Begitu juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama sehari akan membuahkan kelazatan maknawi selama beberapa hari, kerana ia dicelahi oleh balasan pahala. Ia juga membuahkan kelazatan maknawi yang lahir daripada kesembuhannya daripada penyakit tersebut. Oleh itu, anda hendaklah benar-benar ingat akan natijah daripada penyakit sementara yang anda alami. Fikirkanlah tentang besarnya balasan pahala yang diharapkan terhasil melalui celah-celah penyakit yang anda hadapi. Bersyukurlah , bukan mengadu kesakitan. Katakanlah: “Ya Allah! Setiap keadaan akan berubah…”.



Sumber Abdul Latip Talib | Penulis Novel Sejarah






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 8 June 2012

Mati Itu Pasti


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mati adalah bercerai roh dari badan, tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia, malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari mati.


Maksud Firman Allah s.w.t :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat."  ( Surah Ali Imran ayat 185 )


Kematian akan mengejar ke mana saja kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima tempoh.

Maksud Firman Allah s.w.t:
"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun."
(Surah al-A'raf ayat 34)

Sesungguhnya kematian itu tidak pernah diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu pasti mencari di mana saja roh berada.

Maksud Firman Allah s.w.t :                                                                                         
"Di mana saja kamu berada, kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh." (Surah an-Nisaa' ayat 78)             

Kita telah melihat dan akan melihat dua suasana yang berbeza antara satu  sama lain dalam menghadapi kematian. Ada yang ngeri lagi takut mereka belum bersedia dengan bekalan yang sewajarnya, terlukis dalam alam khayalannya terbujur kaku tanpa teman, pucat lesi, tidur tidak berbantal dan beralas, takut hantu serba ragam yang bergolak dalam fikiran yang kusut lagi buntu.

Manakala satu pihak lain, mereka merasa redha dan menanti kedatangan maut itu dengan senang kerana mereka sudah bersedia dengan amalan yang membawa kesejahteraan dan kenikmatan kepadanya. 

Walau bagaimanapun keadaan yang bergolak dalam pemikiran manusia. Namun Islam menganjur umatnya (sunat) supaya mengingati mati. Samada cara termenung menggambarkan saat-saat kematian itu ditempuhi, menziarahi orang sakit, menziarahi kubur, menghantar jenazah ke kubur dan sebagainya.  

Mengingati mati adalah berbeza hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian kadangkala boleh membawa pembunuhan diri.

Adapun memohon dipendekkan umur dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud :
"Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku"


 Dengan mengingati mati akan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala  larangannya. Serta bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan harta kebajikan, dan pelajaran sama ada untuk diri atau keluarganya.

Timbul rasa kasih sayang serta mahabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat yang kelak disebut orang dengan kebaikan.

Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarganya supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah.

 Rujukan : JAKIM
Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 11 January 2011

Lain Cerita,Lain Yang Jadi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Pernahkah kita terfikir kenapa ada peribahasa "seekor lembu bawa lumpur, habis terpalit sekawan lembu"? Apak makna tersirat dalam peribahasa ini?


Itu peribahasa zaman dulu. Kalau zaman ini, ramai yang cerdik pandai. Ramai yang bijak berkata-kata. Kalau se ekor lembu tu badannya penuh lumpur, mudah saja, tangkap dan sembelih. Jangan biarkan dia masuk kandang.


Begitulah ibaratnya, jika seorang dapat 'chicken pork' atau istilah melayu cacar air di badan dia, adakah kita mahu biarkan dia hidup dalam kumpulan orang-orang sihat? tentu tidak kan? Mesti dia kena kuarantin kalau dia seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama. Tak mahu ramai pelajar yang terkena penyakit ini juga kerana penyakit ini adalah penyakit berjangkit yang mudah tersebar hanya melalui udara. Namun penyakit ini tidak lah lama benar deritanya.Seminggu dua sembuh lah.


Tetapi bagaimana jika seseorang itu ada virus Hep B? Adakah kita perlu kuarantin juga? Berapa lama perlu tunggu penyakit ini akan sembuh? Dan dalam kajian ilmu perubatan pun ada menyebut, belum dijumpai penawar untuk virus ini. Virus ini pula mudah untuk mengenai orang lain secara senyap. Samada udara, air, darah hatta bekas makanan yang digunakan oleh pembawa virus ini. Jadi, adakah mereka ini perlu dipulaukan selamanya kerana ikut dengan peribahasa, seekor lembu bawa lumpur?


Wahai umat Islam yang beriman,

Yakinlah kepada apa yang Allah janjikan. Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati.


Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.” (Abu Daud)



Huraian

1. Setiap penyakit ada ubatnya, jika bersesuaian ubat tersebut, maka ia akan sembuh dengan izin Allah S.W.T.

2. Meskipun Islam mengharamkan penggunaan bahan-bahan tertentu seperti najis, air kencing, alkohol dan sebagainya untuk tujuan perubatan namun terdapat keadaan di mana seseorang itu diberi keharusan (rukhsah) untuk berbuat demikian iaitu bilamana berada dalam peringkat darurat (kecemasan) dan tiada lagi ikhtiar-ikhtiar lain yang boleh dilakukan. Atau dengan lain perkataan diharuskan untuk yang terpaksa.

3. Dalam masalah ini pengambilan benda-benda yang haram sebagai ubat hendaklah sekadar perlu sahaja bagi menyembuhkan penyakit yang menimpa. Manakala rawatan tersebut mestilah dikendalikan oleh seorang doktor Muslim yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.

4. Rukhsah ialah hukum keringanan yang disyari'atkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) manakala pengertian darurat pula ialah kesusahan yang memudaratkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya.

5. Selaku seorang Islam kita diwajibkan berikhtiar untuk mendapatkan rawatan yang halal dan menjauhi perkara yang haram apalagi yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah.



Rumusan atau iktibar yang perlu kita ambil perhatian ialah:

~ Setiap penyakit yang diturunkan ada penawarnya. Manusia haruslah berusaha untuk mencarinya.

~ Setiap penyakit yang diturunkan ada hikmahnya. Manusia wajiblah bertawakal kepada Allah SWT.

~ Hidup atau mati adalah ketentuan Allah SWTjua.



Manusia menjadi lebih matang dan mantap selepas diuji. Tanpa ujian potensi dirinya tidak akan terserlah. Justeru kita sepatutnya bersyukur apabila mendapat ujian. Imam Al-Ghazali menjelaskan kepada kita bagaimana hendak melihat sesuatu ujian secara positif. Bagi setiap ujian duniawi ( kemiskinan, kesakitan, ketakutan dan malapetaka), terdapat 5 perkara yang sepatutnya disyukuri.




Ujian Menurut Imam Al-Ghazali



Kelima-lima perkara itu mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin ialah,

~ Musibah dan kesakitan bukanlah kuasa yang akan menentukan jalan hidup kita. Kuasa yang menentukan jalan hidup kita ialah Allah, justeru segala ujian yang menimpa adalah kecil berdepan dengan kekuasaan Allah yang menentukan segala-galanya.

~ Musibah yang menimpa adalah ringan kerana ia tidak berkaitan dengan agama. Imam Sahl bin Abdullah berkata, “Bersyukurlah kepada Allah kerana jika syaitan memasuki hatimu dan merosakkan tauhidmu maka apakah yang hendak kamu lakukan?” Omar Al-Khattab berkata, “Jika aku mendapat ujian duniawi aku bersyukur kerana terdapat padanya empat nikmat, (1)ujian itu tidak berkaitan dengan agama. (2)ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. (3)aku akan mdapat keredaanNya dengan ujian itu dan (4)aku mgharapkan pahala daripadanya.”

~ Berbanding akhirat, azab di dunia adalah ringan dan sekejap. Tambahan pula ujian di dunia dapat dikurangkan dengan pelbagai cara sedangkan hal ini tidak dapat dilakukan berhubung dengan azab di akhirat.

~ Penderitaan itu adalah sebahagian daripada ketetapan Allah. Lantas apabila ketetapan itu berlaku akan berkuranganlah ujian keatasnya dan mungkin juga akan datang selepas itu kesenangan dan kebahagiaan.

~ Ujian-ujian di dunia ini adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Ujian di dunia boleh diumpamakan seperti ubat yang pahit yang bakal mendatangkan kesejahteraan di akhirat.




Kelebihan dan Kebaikan Ujian

Umat Islam adalah umat yang hebat kerana mereka dididik untuk menerima ujian dalam hidup sebagai satu perkara biasa. Lebih dari itu mereka menyedari ujian dalam kehidupan akan mendatangkan banyak kelebihan dan kebaikan pada mereka.

~ akan dinaikkan darjat di sisi Allah. Imam Abu Daud meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Seseorang lelaki ada baginya satu darjat di sisi Allah yang dia tidak akan mencapainya dengan amal tetapi hanya akan mencapainya dengan ujian yang menimpa ke atas tubuh badannya.”

~ akan menyebabkan dosa2 mereka diampunkan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi bersabda, “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa ke atas seseorang Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan, sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarat baginya dari dosa2.”

~ Allah memberi jaminan, kesusahan adalah jambatan kepada kejayaan. Dalam surah  (QS. Al-Insyirah :  5-6),
سُوۡرَةُ الشَّرح
فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرًا (٥) إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ يُسۡرً۬ا (٦)
Allah berfirman, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” Hal ini diperkukuhkan melalui sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya berserta dengan kepayahan ialah kesenangan.”

Sebenarnya ada lagi ulasan berkaitan peribahasa di atas tu, tetapi tiba-tiba pagi tadi sewaktu ummi berhenti menulis dan memasak di dapur, ummi diserang  angin **  sehingga sakit dada. Oleh kerana hampir dengan bilik air, perlahan-lahan ummi berjalan ke bilik air dan berwuduk.


Sambil duduk, solat dhuha 2 rakaat, terus baring sambil zikir. Airmata ni mengalir lesu sambil menahan sakitnya. Datang Naimah menangis  dan memeluk, "opah, jangan lah mati", "kakak sayang opah"...


Sekejap Naimah masuk bilik datang ke katil , sekejap Naimah keluar mendapatkan atoknya sambil  berkata " atok, nanti opah mati, atok hantar kat kubor tau,  opah sakit, kakak sayang opah." Terdengar ummi akan kata-kata Naimah kepada atoknya.

Kemudian datang lagi, " opah, sapa nak jaga kakak?" "opah janganlah mati."


Bila terdengar saja azan zohor, ummi gagah diri untuk solat. Sebaik salam, terus baring semula dan senyap. Naimah datang semula, "opah  dah mati ke?",  "opah nganga kejap, kakak  nak tengok mulut opah."


Selepas satu jam berlalu waktu zohor, barulah ummi cuba untuk  duduk bersandar. Suka Naimah tengokkan, terus Naimah keluar bilik dan terdengar dia ajak atoknya masuk bilik. " Atok, kejap tok, kejap tok, masuk bilik."

"Atok tengok tu, opah dah hidup." Suka Naimah tengok ummi dah dapat duduk. "Opah dah tak mati."

Kemudian Naimah ke dapur ambik kan nasi. Lepas tu Naimah juga yang suapkan ummi nasi berlaukkan ikan goreng dan tempe, hingga habis. Tersentuh  hati ummi melihat kprihatinan seorang anak kecik berusia 3 tahun melayan  ummi. Di ambilkan air minum, dan disuakan gelas tu ke mulut ummi, sama seperti disuapkan nasi ke mulut ummi.


Begitulah, jika kita tulus melayan mereka dari bayi, tak diduga baru usia 3 tahun sudah bijak melayan orang sakit. Bijak berkata-kata dan berusaha. Zauj pun kata, "bersungguh Naimah menjaga opah, takut sangat dia, kalau opah mati."


Ummi kena usaha ceritakan pada Naimah tentang  mati dan kematian lepas ni, agar dia faham dan bersedia menerima keadaan tu.


** serangan angin = sama macam serangan jantung.

Di dalam dunia medik , istilah angin duduk seperti yang digambarkan dengan gejala-gejala dibawah mengarah pada penyakit jantung yang disebut Sindroma Koroner Akut (SKA). Gejala awal dari penyakit ini adalah nyeri dada yang disebut angina pectoris. Angina pektoris ialah suatu sindrom klinis berupa serangan nyeri dada yang khas, antara lain :

· seperti ditekan atau terasa berat di dada tembus belakang.

· Rasa diremas-remas, menjalar ke leher, lengan kiri dan kanan, serta ulu hati.

· Rasa terbakar dengan sesak napas

· keluar keringat dingin.

· Keluhan nyeri ulu hati dan kembung yang sering disangka sakit .

· Memberat keluhan tersebut aktifitas, dan berkurang dengan istirahat.

Itulah tanda serangan angin ummi hari ini.Jutaan manusia mengalami serangan jantung di seluruh dunia. Sayangnya kadang masih dianggap sebagai penyakit angin duduk semata. Ini yang pada mulanya ummi sangkakan. Ummi terlupa , telah genap setahun ummi telah jalani angiogram, genap setahun sudah ummi tidak mengalami serangan jantung.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Wednesday, 5 January 2011

Berkebun di dunia,Menuai di Akhirat

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Didalam melayari bahtera kehidupan ini, adakala pelayaran itu tenang, ada kalanya terdapat gelombang dan ada kalanya dilanda taufan dan badai. Hanya kapal yang teguh dan nakhoda yang pintar sahaja dapat mengendalikan pelayaran yang sedang dilanda badai itu. Kesabaran...



Ilmu dan kesabaran...

Kesabaran dalam mentaati suruhan Allah dan RasulNYA. Kita kat dunia ni adalah musafir, jadi ibaratkan lah pelayaran tu sebagai kita bermusafir. Perjalanan hidup ini sedang menuju ke suatu  destinasi yang  kekal.


Dunia sebagai tempat persinggahan untuk kita bercucuk tanam. Berkebun untuk menuai hasil bila sampai destinasinya nanti. Namun ummi mahu tanaman kita di sini mendapat hasil yang berganda-ganda. Ibarat sebutir gandum mengeluarkan 7 tangkai gandum. Itulah pelaburan namanya.


Walaupun payah, berkeringat untuk mencangkul, menggali lubang untuk bercucuk tanam, tetap diusahakan juga. Tanah yang keras, haiwan perosak, rumput yang bersaing, itu semua hanyalah ujian dan rintangan yang perlu kita sabar menanganinya.


Dugaan dan rintangan itu sebenarnya mendidik, mendidik untuk jadi penyabar, mendidik untuk menjadi tabah, mendidik untuk bersifat amanah  dan mendidik untuk mentaati Allah dan RasulNYA. Mentaati ada 2 keadaan, mentaati untuk melaksanakan apa yang disuruh, mentaati untuk meninggalkan apa yang dilarang.


Ada orang dalam dia berkebun, untuk dapat hasil yang berganda, mungkin dia mendapatkan benih dengan cara yang salah, atau dia menzalimi haiwan lain yang akan merosakkan tanamannya. Ada banyak rintangan yang tujuan Alah datangkan adalah untuk melihat keimanan kita. Menguji kesabaran dalam diri.


Kalau bertanam tanpa banyak rintangan, hasilnya baik, tetapi tidak berganda sebab tak banyak ganjaran untuk bersabar. Laluannya mudah sahaja...


Begitulah kias ibarat dalam entri ummi hari ini. Makin hari, makin Allah datangkan ujian di dalam diri ini. Ujian dari berbagai sudut dan penjuru. Kalau nak tepis, tidak tertepis kerana datangnya tanpa signal dan amaran. Terus terpa...


Hanya sabar, doa dan zikir sahaja pengubat segala dugaan itu. Kadang-kala terasa amat berat, dan di kala itu hati tidak lepas dari memohon :

"Ya Allah, tunjukkan aku jalan keluarnya masalah ini. Aku tidak mengadu kepada manusia, ENGKAU yang Maha tahu apa yang aku nyatakan dan apa yang aku rahsiakan , maka terimakah keuzuranku, perkenankan hajat dan permohonan ku ini."


Semalam, batuk ini makin kuat. Batuk yang disertai kahak. Sakit dada bila batuk. Kalau dah mula batuk, susah nak berhenti. Zauj ajak pergi klinik, ambik ubat. Ubat yang ambik minggu lepas tu dah habis. Masa di Langkawi hari tu  pun, sampai angah terpaksa belikan ubat di farmasi. Dah habis ubat tu di minum.


Sampai di rumah, keesokkannya terus ke Pusat Kesihatan UTM untuk bertemu doktor. Gabungan migrain dan batuk amat menyiksakan. Sepanjang perjalanan malam itu, dari Perlis ke Johor Bahru, tekak sakit dan kering.


Itu yang doktor berikan ubat cafergot(ergotamin)1 mg, synflex (naproxen) 500 mg, antibiotik zinnat (Xorimax) 250 mg, shinoxol (amboxol) 30 mg dan ubat penawar batuk Benadryl (bena expectorant). Kiranya dah lebih 1 minggu, tapi batuk masih lagi belum berkurangan.


Memang tidor terganggu dengan batuk yang bersahut-sahutan ini, namun apa daya, usaha dan ikhtiar telah pun dilakukan, penyembuhnya dari Allah Ta'ala. Tak mahu zauj terganggu tidornya kerana zauj selalu kepenatan setelah memerah minda di siang hari, ummi tidor berseorangan bertemankan laptop. Kalau mata tak boleh lelap, ummi mengadaplah laptop ini. Jika mata mahu lena tanpa gangguan batuk, ummi biarkan saja laptop ini online sepanjang malam. Dah lebih 5 bulan batuk berlarutan. Batuk dengan kahak.


Subuhnya ummi akan bangun awal. Seusai solat subuh, bersegera ummi ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk Imran. Tahun ini, hanya Imran seorang sahaja yang bersekolah pagi. Bila seorang, menyediakan pun mudah saja. Samada sihat atau tidak, ummi tetap berusaha untuk menyediakan makanan untuk zauj dan anak-anak.


Selepas zauj pergi kerja sambil lalu menghantar Imran ke sekolah, ummi sepantas mungkin akan bersegera membuat kerja rumah. Menggosok pakaian, mencuci pakaian, mengemas ruang depan dan ruang dapur. Sambil pada itu, akan menjenguk halaqahnet sekali sekala.


Sekarang Abdullah masih bersekolah di SMKTUN disebelah petang, ummi perlu masak awal. Abdullah akan makan sebelum ke sekolah dan bawa bekal juga. Itu dah jadi rutin anak-anak, suka bawa bekal makanan dari rumah. Tak suka mereka membeli makanan di kantin sekolah.


Tengahari zauj akan balik makan selepas menjemput Imran dari sekolah. Zauj pun jarang makan di luar. Zauj lebih suka makan apa yang isteri masak. Masaklah apa pun,zauj dan anak-anak pasti suka makan, terutamanya nasi dan lauk pauk.


"Ya Allah panjangkan usiaku dalam ketaatan kepada MU dan RasulMU supaya dapat aku terus berbakti kepada suami dan anak-anakku dan masyarakat. Aku kasih kepada anak-anakku dan anak-anak angkatku."





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 4 January 2011

Kisah Sekolah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Sejak malam tadi lagi, halaqahnet mula mengalami kelembapan semula.Dengan loading yang lambat dan terasa berat. Siangnya lagilah lambat seperti orang tua berkaki 3 kerana ramainya halaqian yang daftar masuk untuk berforum.


Hanya kesabaran dapat menyabarkan diri ini. sabar di dalam menangani masalah kelembapan 'speed bandwith' yang disekat sekali lagi. Atas dasar 'kasihku pada halaqah hingga hujung nyawa' dan jangan berkira demi Islam tercinta, maka berulang kali lah ummi buat panggilan ke EmbunServer.Com.


Menghantar email di 'client Area' pada webEmbun, dan berbincang dengan mereka mengenai kelembapan loading web halaqahnet. Kerana cinta Islam, kerana agama Islam adalah agama Allah, maka sanggup saja ummi lakukan apa saja.


Seharian hari ini, ummi hanya duduk menghadap laman web Halaqahnet. Sambil tu sempatkan juga pergi ke sekolah Muhammad Imran di SKTU3, Taman Universiti. Hari Sabtu, 1 Januari, ummi dah pergi sekolahnya, untuk membeli buku tulis. Atas kecuaian ummi juga, sewaktu membeli buku, dah menyerahkan bayaran, tidak menyemak bilangan buku yang diberikan.


Padahnya hari ini kena pergi kedai buku sekolah SKTU 3, untuk mengambil buku yang tidak disertakan di dalam beg semasa pembelian hari tu. Balik dari sekolah, ummi singgah kedai harian untuk membeli bahan masakan. Hari ni, sambil memantau laman web halaqahnet, sambil ummi memasak makanan tengah hari.


Ringkas saja masakan hari ini, masak lomak cili api ikan parang campur nanas, kerang goreng dan sayur terung tumis telor. Sarapan pagi pun mudah saja,bubur nasi putih,ikan bilis dan kicap. Alhamdullilah...ada rezeki untuk hari ini.


Semalam, waktu petang, selepas zauj balik makan tengah hari, ummi dan zauj pergi ke JPNJ di Jalan Tun Razak , Johor Bahru untuk membuat rayuan ke SMKA. Abdullah belum dapat tawaran ke mana-mana sekolah berasrama.


Ummi memang mengalakkan terutama anak lelaki bersekolah asrama. Tujuannya adalah mendidik mereka berdikari, berdisplin, mematuhi peraturan dan pentarbiyahan yang selalunya diadakan oleh guru-guru atau warden asrama.


Belajar dengan teratur, kerana ada waktu 'prep', solat berjemaah kerana semua pelajar di wajibkan solat di surau sekolah. Kena cuci pakaian sendiri,kemas katil dan menjaga barang-barang peribadi dengan selamat.


Sebelum ke JPNJ,ummi dah hantar email dan menelefon pejabat berkenaan. APa yang yang dimaklumkan, rayuan pengambilan pelajar ke SMKA kali kedua telah ditutup. Mereka sedang memproses borang-borang yang telah diterima sebelum 30 Disember lalu. Dalam hati ummi, jika tempat itu memang diberikan kepada Abdullah, ummi kena usaha. Sistem ini hanyalah manusia yang uruskan. Dengan doa dan tawakkal, ummi yang ajak zauj ke JPNJ. Ini hanya usaha dan ikhtiar ummi memohon agar rayuan ke SMKA di terima walaupun telah melepasi tarikh tutup.


Memang segalanya dalam rancangan dan urusan Allah. Sewaktu tiba di pejabat berkenaan, hujan gerimis mula turun. Dengan bersopan,ummi tanya dimanakah sektor bahagian Pendidikan Islam dan Swasta. Bersopan pegawai tu menjawap dan mengarahkan ummi ke Bangunan Blok A, Tingkat 1.


Ummi dan zauj naik tangga dan terus menuju ke bahagian yang dimaksudkan. Di kaunter,kami maklumkan mahu bertemu pegawai yang berkenaan. Alhamdullilah, dapat bertemu dan berbicara menerangkan atas sebab-sebab kelewatan membuat rayuan.


15 minit berbicara dan mengisi borang rayuan, kami pun minta diri beransur pulang. Hati terasa lega kerana urusan dipermudahkan Allah. Usaha, doa dan tawakkal bersatu di dalam membuat rayuan itu.


Dari JPNJ, terus menuju ke sekolah agama UTM pula.  Sekolah kayu bekas pejabat pemaju universiti. Hujan turun dengan selebat-lebatnya. Namun kerana ada urusan, ummi turun juga dari kereta,berjalan perlahan dalam hujan lebat menuju ke bangunan sekolah. Tidak kiralah lebat mana pun hujan turun. Kebetulan tempat letak kereta jauh, jadi zauj tidak dapat menemani ummi. Dalam hujan lebat begitu, ummi tetap perlu berhati-hati melangkah, tidak berani langsung untukberlari, takut tergelincir atau terjatuh. Sesuatu yang ummi perlu elakkan demi kesejahteraan tulang kaki ini.


Pergi lihat nama dalam senarai yang terpapar, Muhammad Imran ditempatkan dalam kelas 3 AL-Aziz. Cari kelasnya di atas, jumpa guru kelas, dan jumpa pembantu tadbir, untuk membayar duit buku tulis. Hujan masih lebat, tak mahu lagi bersesak-sesak dengan ramainya ibu bapa dan murid yang datang dan balik, terus ummi berjalan menuju ke kereta.


Masih dalam waktu pejabat, zauj terus masuk ke pejabat semula. Ummi pun mengodak komputer zauj di atas meja. Mana mungkin ummi boleh berdiam diri tanpa melakukan sesuatu sementara menunggu 5.30 petang, waktu Nurin balik kerja. Jemput Nurin dari hadanah, barulah ummibalik ke rumah.


Sampai rumah, barulah terasa letih dan penatnya berjalan. Langkah kaki ni ada limitnya, jika melebehi limit,maka terasalah sengal -sengal dan sakitnya. Ditambah dengan sejuknya hujan ini...


Maha suci Allah, berikan aku kekuatan di dalam mengharungi onak dan duri dan berikan aku jalan keluar setiap permasalahan ku.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday, 4 August 2010

Ujian Tiba Lagi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Lebih seminggu tidak menulis, kesibukkan melayan anak-anak dan zauj serta mengurus rumah tangga. Macam seperti mula kahwin dulu pula rasanya.



Lama benar ummi tidak menguruskan rumahtangga seorang diri menggunakan kudrat tulang 4 kerat ini. Padahal masa lepas kahwin sehingga mempunyai anak 5,ummi tidak pernah ada pembantu rumah. Semua kerja rumah tangga, memasak, mencuci pakaian, melayan anak-anak dan melayan suami ummi buat sendiri. Ditambah dengan menjahit lagi.



Ummi suka menjahit pakaian sendiri,pakaian zauj pergi kerja,pakaian anak-anak dan perhiasan rumah seperti langsir,alas meja dan cadar. Semuanya ummi jahit. Walaupun sibuk dengan mengajar dan urusan rumah tangga serta anak-anak masih kecil,sempat lagi ummi menjahit.


Kalau dah minat,apa pun jadi. Mungkin masa itu ,usia masih muda,qudrat masih kuat. Sekarang ini, menggosok pakaian 10 pasang pun dah letih. Lepas tu memasak dan menyidai pakaian. Adoh...terasa penatnya. Mungkin juga pergerakkan ummi yang perlahan menyebabkan ummi mudah penat. Tak ada stamina untuk berdiri lama kerana sakit tulang kaki.


Ummi hanya ada pembantu rumah selepas kelahiran anak yang ke 6,Omar Abdul Aziz. Masa itu kesihatan ummi sudah mula terganggu. Kebetulan pula ummi baru sahaja berpindah ke sekolah baru,SMKTUN yang memerlukan komitment sepenuh masa di sekolah.


Sejak mempunyai pembantu rumah 13 tahun lalu, ummi hanya sempat memiliki 3 orang pembantu sahaja. Yang pertama saodah yang berkhidmat dengan ummi selama 5 tahun lebih. Raudatul Jannah berkhidmat selama 1 tahun dan Sugiharti ini selama 6 tahun lebih.


Tak tahu kenapa dah hampir seminggu,ummi sakit pinggang. Rasa nak jumpa doktor orthopedik, tetapi masih cuba bertahan. Nak lihat sejauh mana ummi mampu menahan rasa sakit ini. MasyaAllah sakitnya tak terkira. Nak rukuk ketika solat pun puas bertahan menahan kesakitan. Duduk pun sakit. Kalau sudah berbaring, ibarat orang lumpuh, tak berdaya untuk menggerakkan badan jika sudah mengiring atau terlentang.

Ummi teringat ujian yang pernah ummi lalui , lumpuh seluruh tubuh. Alhamdulliah dapat sembuh melalui usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal kepada Allah SWT, dan ummi melalui ujian itu dengan tabah dan sabar.  Apakah ujian itu datang lagi?




Maha Suci Mu Ya Allah,ujian MU untuk ku belum selesai sehingga mata ku tertutup menghadap MU. Berilah aku keimanan yang mantap dan sempurna, kekuatan untuk menanggung kesakitan dan menghadapi ujian dari MU. Sentiasa berikan aku ketabahan,kesabaran dan keikhlasan menerima ujian MU ini. Jadikan aku hamba yang redha di atas segala iradah MU. Ameen...



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.