BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 4 February 2014

Eratnya Ukhuwwah



Kreatif Kek dari Sahabat
MasyaAllah, begitu ramai yang memberikan ucapan dan mendoakan saya ditarikh ulang tahun kelahiran. Terasa dekat dan erat ukhuwwah persahabatan di sini walaupun tidak pernah bertemu wajah. Kita kenal hanya setakat di laman ini saja, tetapi saya merasa semuanya dekat di hati.

Saya mengajak dan selalu mendoakan agar kita semua dapat bersama-sama di padang Mahsyar nanti di bawah naungan panji Nabi Muhammad SAW, Rasul kita dalam rahmat Allah Ta'ala.

Hari ni dalam kesibukan saya menguruskan pelatih, bertemu pesuruh jaya sumpah kerana ibu tidak ada buku rekod rawatan ketika hamil, mendaftarkan kelahiran bayinya, menjemput anak-anak yatim pulang dari sekolah, bila sampai di rumah, terhidang kek keju berhiasa kreatif dari sahabat saya. Suka saya melihat dan memakannya, berkongsi dengan semua pelatih dan anak menantu, alhamdullilah. Mana-mana pelatih yang mengidam nak makan kek keju, terasa enak sekali menikmatinya.

Kek keju leleh lagi yang ingin saya jamah, tetapi belum berkesempatan untuk mencarinya. Hari tu ada pelatih mengidam kek coklat, alhamdullilah, ada orang hantar kek coklat ke rumah anak yatim Raudahtul Maryam, sesuku di hantar ke kami untuk pelatih berkongsi menjamahnya. Sikit sorang sikit, banyak sama adil, itulah konsepnya hubungan kekeluargaan kami di Baitus Solehah.

Terima kasih sahabat-sahabat semua, semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan ditempatkan bersama-sama golongan para Rasul dan nabi-nabi, orang-orang yang benar, para solihin dan para syuhada dalam rahmat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Semakin Bertambah Usia

Balik dari bertemu pakar neuromedical.
Dunia perubatan sentiasa berusaha membuat penyelidekan untuk meningkatkan tahap kualiti kesihatan. Ia tidak bercanggah dengan hukum, bahawa semua penyakit ada penawarnya.

Apabila kita didatangkan kesakitan, terima dengan redha, anggap itu tanda kasih sayang Allah. Usaha dan ikhtiar mencari penawarnya. Saya menggalakkan anak-anak belajar bidang perubatan, supaya dapat membantu insan-insan yang menderita sakit.

Melalui kesakitan dan penyakit, rupanya ia membantu membina kekentalan jiwa, meningkatkan tahap kesabaran dan memperbagus kualiti iman.

Semakin bertambah bilangan usia, semakin banyak hijab dan rahsia Allah diperlihatkan. Kekuasaan dan kebesaran Allah dalam kita melalui kehidupan. Banyak yang ditemui.

Kotak hijau ini unik. Diberikan minggu lepas oleh unit patalogi kaji penyakit untuk zauj mengumpul urine. Saya ingatkan mereka nak tengok jumlah urine dikumuh dalam satu hari(24 jam). Rupanya lebih dari itu. Mereka ingin mendianosis penyakit dan Ingin melihat % copper dalam urine, kompisisi mineral yang lain. MasyaAllah hanya melalui kaji selidek urine kita boleh mengetahui jenis penyakit dan penawarnya.

Imran memicit tangan ayahdanya
Allahuakbar...itulah kebesaran dan keagungan Allah mengizinkan manusia untuk mengkaji , memikir dan menyelidek. Nikmat Tuhan manakah yang kamu mahu dustakan?


Semoga Allah mengizinkan usaha dan ikhtiar zauj saya mencari penawar untuk penyakitnya dalam rahmat allah Ta'ala. Dengan qudrat dan iradat Allah penyakit itu akan sembuh.
Abdullah memicit2 tangan ayahandanya


Selagi izin Allah meminjamkan kepada saya, akan saya jaga, taat dan setia untuk hidup sehati sejiwa dan mati bersama dalam rahmat Allah Ta'ala.

Kepada anak-anak,  Semoga kamu dikurniakan kesejahteraan didalam rahmat Allah Ta'ala. Tidak kira ruang dan peluang yang ada, picit dan urut tangan ayahanda sementara masih ada masa dipinjamkan oleh Allah.

Rebutlah peluang bagi sesiapa yang masih ada ibu dan ayah.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Surat Akuan Bersumpah bagi Yang Tidak ada buku rekod kehamilan

Berkali-kali saya menasihati jika sahabat bertemu mana-mana gadis terlanjur, hamil, nasihati mereka untuk menjalani pemeriksaan kehamilan. Tidak kiralah samada Klinik Kesihatan Kerjaan atau pun klinik swasta. Yang penting buku rekod rawatan kehamilan tu ada. Ini memudahkan salinan muka hadapan buku, muka surat 32 dan 33 disertakan untuk mendaftarkan sijil kelahiran bayi.

Jika tidak ada, dah sampai JPN, ambik borang untuk akuan bersumpah, kena pergi cari pesuruh jaya sumpah pula. Pejabat pesuruh jaya sumpah ni bukan macam bank, ada banyak dibuat dalam satu kawasan dan masa beroperasinya tetap 8.00 pagi ke 5.00 petang. Pejabat pesuruh jaya sumpah selalunya ada sebuah saja dalam satu daerah tu, waktu beropeasi ikut waktu sendiri sebanya , syarikat sendiri, sendiri boss, sendiri kuli. Maka suka hatilah bila nak buka dan bila nak tutup.

Ini sudah menyebabkan kerja yang mudah jadi rumit. Jadi ambillah peranan menerangkan kepada remaja hamil agar mereka menjalani rawatan kesihatan ketika hamil. Disamping menjaga kesihatan ibu tetapi untuk perkembangan kesihatan anak dalam kandungan itu juga.

Sudah-sudah menakutkan gadis-gadis hamil dengan mengatakan mereka akan di denda atau diserahkan kepada JKM atau didakwa. Tidak ada siapa nak dakwa dan denda mereka. Klinik Kesihatan sedia memberikan tunjuk ajar dan bimbingan ketika hamil untuk menjaga kesihatan ibu dan bayi.

Cukup-cukuplah memberikan gambaran yang salah kepada mereka. Soal hukuman atas perzinaan mereka itu jatuh kepada pemerintah untuk melaksanakan hukuman. Jika mereka bertaubat nasuha, rahmat Allah mengatasi kemurkaanNYA.

Bimbinglah mereka dengan cara yang betul, jalan yang benar.

Ini saya kongsikan ayat-ayat dalam akuan bersumpah jika ada rakan yang memerlukan panduan daftar sijil kelahiran bayi jika ibu tidak ada buku rekod rawatan kehamilan.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 3 February 2014

Luahan Rasa Seorang Abah

Cinta
Buat renungan, ingatan dan kenangan. Menangis sekarang, peluk dia sekarang sementara masih ada peluang. Gambar ini hiasan sahaja.

Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Log in facebook.

Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

"Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?

Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak...

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.

Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.

Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya."


Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya.

Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya.

Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.