Berkali-kali saya menasihati jika sahabat
bertemu mana-mana gadis terlanjur, hamil, nasihati mereka untuk
menjalani pemeriksaan kehamilan. Tidak kiralah samada Klinik Kesihatan
Kerjaan atau pun klinik swasta. Yang penting buku rekod rawatan
kehamilan tu ada. Ini memudahkan salinan muka hadapan buku, muka surat
32 dan 33 disertakan untuk mendaftarkan sijil kelahiran bayi.
Jika tidak ada, dah sampai JPN, ambik borang untuk akuan bersumpah, kena
pergi cari pesuruh jaya sumpah pula. Pejabat pesuruh jaya sumpah ni
bukan macam bank, ada banyak dibuat dalam satu kawasan dan masa
beroperasinya tetap 8.00 pagi ke 5.00 petang. Pejabat pesuruh jaya
sumpah selalunya ada sebuah saja dalam satu daerah tu, waktu beropeasi
ikut waktu sendiri sebanya , syarikat sendiri, sendiri boss, sendiri
kuli. Maka suka hatilah bila nak buka dan bila nak tutup.
Ini
sudah menyebabkan kerja yang mudah jadi rumit. Jadi ambillah peranan
menerangkan kepada remaja hamil agar mereka menjalani rawatan kesihatan
ketika hamil. Disamping menjaga kesihatan ibu tetapi untuk perkembangan
kesihatan anak dalam kandungan itu juga.
Sudah-sudah menakutkan
gadis-gadis hamil dengan mengatakan mereka akan di denda atau
diserahkan kepada JKM atau didakwa. Tidak ada siapa nak dakwa dan denda
mereka. Klinik Kesihatan sedia memberikan tunjuk ajar dan bimbingan
ketika hamil untuk menjaga kesihatan ibu dan bayi.
Cukup-cukuplah memberikan gambaran yang salah kepada mereka. Soal
hukuman atas perzinaan mereka itu jatuh kepada pemerintah untuk
melaksanakan hukuman. Jika mereka bertaubat nasuha, rahmat Allah
mengatasi kemurkaanNYA.
Bimbinglah mereka dengan cara yang betul, jalan yang benar.
Ini saya kongsikan ayat-ayat dalam akuan bersumpah jika ada rakan yang
memerlukan panduan daftar sijil kelahiran bayi jika ibu tidak ada buku
rekod rawatan kehamilan.
Tuesday, 4 February 2014
Surat Akuan Bersumpah bagi Yang Tidak ada buku rekod kehamilan
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 2/04/2014 09:43:00 pm 1 comments
Labels: Baitus Solehah, kesedihan
Monday, 3 February 2014
Luahan Rasa Seorang Abah
![]() |
| Cinta |
Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Log in facebook.
Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.
Ditatap isinya,
"Salam.
Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.
Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?
Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.
Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.
Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.
Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?
Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.
Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.
Abah tak minta banyak...
Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.
Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.
Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.
Maafkan abah atas segalanya."
Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya.
Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya.
Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 2/03/2014 10:31:00 pm 0 comments
Labels: Kematian, kesedihan, Rahmat Allah
Wednesday, 29 January 2014
Peranan Kita
![]() |
| Buat Donat dan Pau Pintal |
Perlu diingat dan diberi perhatian, bahawa mereka bukan seorang diri lagi. Apabila menawarkan pekerjaan atau kursus kemahiran, fikirkan tempat pengasuhan bayi, fikirkan tempat tinggal ibu dan bayi, fikirkan pengangkutan dan keselamatan ibu dan bayi. Mereka telah melalui kehidupan sukar masa lalu sehingga tersasar. Mereka trauma dengan kehidupan luar yang telah menjerumuskan mereka. Kita kena tolong fikirkan. kalau mereka boleh fikir, mereka tidak tersungkur.
Lainlah jika ada saudara-mara nak bantu memulakan kehidupan baru. Semua langkah apabila keluar saja dari Baitus Solehah, memerlukan sumber kewangan. Bagaimana mereka nak memulakan kehidupan baru jika wang 1 sen pun tak ada untuk biaya permulaan kehidupan seperti sewa tempat tinggal (kalau seorang diri boleh sewa bilik, atau kongsi bilik, kini mereka ada bayi kecil yang kadang2 menangis waktu malam), tempat untuk bayi ditinggalkan waktu bekerja atau mengikuti kelas kemahiran, jika jauh bagaimana pengangkutan, makan minum dan biaya bayi. Gaji yang diterima hanya hujung bulan setelah bekerja.
Pada sahabat yang ingin membantu mereka, tolong fikirkan hal ini juga. Jangan samakan mereka dengan anda, anda ada suami untuk bantu, ada teman untuk bercerita, mereka adalah mangsa lelaki yang tidak bertanggungjawap atas kelalaian diri sendiri juga.
Bukan mereka tak mahu berdikari, bukan mereka tak mahu hidup seperti orang lain, tetapi orang kata sekali tersilap langkah, adakah mahu kedua kalinya jika kita biarkan mereka bersendirian mengharungi kehidupan? Mereka memerlukan masa untuk membina diri, membina iman dan kekuatan jiwa.
Apa peranan jemaah? Apa peranan ummah? Mereka inilah yang perlu dibantu, pilihan Allah untuk mereka kembali ke jalan lurus dan pilihan Allah membuka ruang taubat untuk mereka. Masih ramai diluar sana yang kita tak tahu bagaimana langkah mereka, masih ramai yang menelefon saya setiap hari mohon dibimbing untuk bertaubat dan berubah, apakan daya saya tak punya kemampuan dari segi ruang dan tempat.
Saya melakukan ini dengan konsep kekeluargaan. Mereka dilindungi dengan kasih sayang dalam lingkungan keluarga. Mereka diberikan santapan rohani lebih dari santapan jasmani. Mereka bekerjasama melakukan apa saja, mereka bersama menyelami lubuk hati masing-masing , sokong menyokong agar dapat bangun semula.
Jadi fikirkan jika diri kita ditempat mereka. Apakah mampu melangkah keluar tanpa pedoman , belayar dalam perahu tanpa pendayung?
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 1/29/2014 11:06:00 pm 0 comments
Labels: air mata / tangisan, Akhlaq, Baitus Solehah
Tuesday, 28 January 2014
Jangan Dihina Mereka
![]() |
| Jangan hina mereka |
Orang-orang yang beriman dan bertakwa tidak akan ada masa untuk mengata dan mengumpat tentang status bayi mereka. Bayi-bayi mereka ada hak penyusuan.
Benar kita kasihan, tetapi lebih kasihan jika hak penyusuan mereka dinapikan. Biarlah ibu mereka pelihara sendri untuk kebaikkan dunia akhirat, penuh kasih sayang, ini juga menjaga agar ibu mereka belajar bertanggungjawap, menyesali perbuatan lalu. Panggilan anak zina, anak haram, anak tak sah taraf tu hak orang ramai, jika nak ke syurga, masih ada masa ke nak menyibuk memanggil mereka ni anak haram, anak zina?
Jika masyarakat tahu makna suci disisi Allah, takwa di sisi Allah, takde siapa yang tergamak nak panggil mereka ni anak haram atau anak zina. Jadi apa salahnya ibu mereka yang pelihara sendiri anak mereka. Anak ini hak mereka. Keluarga angkat yang sebuk nak menuntut penjagaan kenapa? Benar saya pernah menulis kewajaran bayi diserahkan kepada keluarga angkat, namun saya juga tidak mampu menapikan hak bayi dan hak ibu dan wajib memberikan sokongan kepada mereka yang mahu memelihara sendiri anak mereka.
Jika nak bantu, janganlah ambik anak mereka, mereka mahu mengasuh sendiri anak mereka, kita sewajarnya beri sokongan dan beri perlindungan.
Bukan mereka tak mahu bekerja, siapa yang mahu tinggal selamanya dalam tempat begini yang tidak bebas kemana-mana. Untuk memulakan hidup baru bersama anak, mereka perlu mencari pengasuh, mencari tempat tinggal , perlu pengangkutan dan perlu wang untuk kelangsungan hidup sehingga mendapat gaji bulanan yang selalunya dibayar dihujung bulan.
Ada ke sesiapa yang sudi membantu memberikan peluang bekerja dan turut memikirkan kebajikan mereka? Jangan singkap kisah lalu, mereka sudah kembali ke jalan Allah, mereka mahu berjalan di jalan yang lurus, mahu menutup aurat dengan sempurna, mahu menjaga iktilat dan mentaati Allah dan RasulNYA. Mereka mahu mengambil Islam sebagai cara sepenuhnya bukan sebahagian atau sesuku.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 1/28/2014 10:56:00 pm 0 comments
Labels: anakku, Baitus Solehah
Thursday, 23 January 2014
Bila Kiamat Makin Hampir
![]() |
| Apabila roh dan jasad berpisah |
Mereka tahu kiamat makin hampir, sebuk mengira akan bila datangnya kiamat, tetapi mereka terlupa untuk menyediakan bekalan apabila kiamat tiba. Mereka yang terlupa ini pasti tidak percaya akan adanya kehidupan kedua yang kekal selamanya.
Jika mereka percaya mereka tidak sempat nak menyibuk akan bila hari kiamat berlaku kerana tarikh kiamat berlaku itu adalah urusan Allah, sebaliknya, mereka sebuk untuk berbuat amal kebajikan, beribadah untuk mengharap rahmat Allah Ta'ala. Mereka akan berusaha mentaati Allah dan RasulNYA dalam semua urusan kehidupan harian.
Mereka takut untuk melakukan kemungkaran kerana kiamat kecil boleh terjadi bila-bila masa tanpa ada tanda-tanda. Apakah kiamat kecil?
Kiamat kecil ialah saat kematian. Tidak da seorang pun tahu bilakan ajalnya tiba. Sewajarnya ini yang perlu kita persiapkan dahulu, risau dan sebukkan diri. Adakah kita mati dalam keadaan yang Allah redhai atau mati dalam kehinaan?
Banyakkan istigfar...
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 1/23/2014 10:38:00 pm 0 comments
Labels: ilmu, Kematian, Rahmat Allah
Friday, 13 December 2013
Jihad Keselesaan
![]() |
| Keselesaan tidor |
Keselesaan boleh melalaikan kita dari mengimbau saudara kita yang sedang kesusahan. Keselesaan tidor menghalang kita untuk untuk bangun menghadap Allah dinihari yang sepi.
Keselesaan dapat menjamah makanan membuatkan kita lupa untuk menginfak sedikit wang kepada fakir miskin. Keselesaan hidup tanpa kesakitan dan masalah menyebabkan kita jauh dari Allah, dan inilah yang kita takuti.
Kita lalai dari mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.
Keselesaan menyebabkan kita lupa untuk nengabdikan diri kepada yang menjadikan kita. Keselesaan menyebabkan kita gagal mentaati Allah dalam nikmat yang melimpah.
Bangun sahabatku, jihad kita zaman ini ialah berada di zon selesa. Keselesaan boleh membunuh sifat kemanusiaan kita.
Bangunlah wahai orang yang berselimut, rasailah kedinginan banyu malam yang segar ini untuk menghadapkan wajah kamu dengan tuhan yang menciptakan kamu. Mohon ampunlah...Berdoalah untuk saudara kita di Syria, di Myanmar dan di merata benua yang dianiaya, ditindas dan perhamba.
Mereka berjihad untuk syahid, kita berjihad untuk membunuh keselesaan yang melalaikan kita dari mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.
Maha Suci Allah, bantulah kami agar tidak terus berada didalam keselesaan yang membunuh rasa kehambaan kepadaMU.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 12/13/2013 02:21:00 am 1 comments
Labels: air mata / tangisan, Baitus Solehah, taubat, zikir
Saturday, 7 December 2013
Menyantuni Mak Mertua
![]() |
| Mak Mertua saya |
Bila bercakap , menasihati anak menantu cucu cicit, ibu mertua akan sebut, "nenek tak pernah sekolah, tetapi nenek sentiasa ingat apa yang arwah atuk ajar dulu, apa yang tuan guru selalu bacakan kitab."
Tahun ini 2013, saya jemput mak mertua datang ke rumah pada 6 Oktober 2013 lalu. Saya dan zauj pergi ambik, ketika itu dia berada di rumah adik zauj yang bongsu, dia sebut pada adik bongsu zauj, "teringat nak pergi Johor, nak sambut raya korban di sana." Bila adik bongsu bagitahu saja, terus kami pergi ambik di Selangor, bawa ke Johor.
Genap 2 bulan saya menyantuni mak mertua saya. Melayan bagaikan permaisuri. Semua makan minum dihidangkan. Kudrat seorang wargaemas berusia 88 tahun, walaupun bagaimana pun masih mampu menguruskan diri sendiri. Sentiasa berusaha mengerjakan solat fardhu berjemaah diawal waktu bersama-sama anak cucu. Suka mak mertua mendengar apabila cucu-cucu mengalunkan bacaan ayat-ayat quran. Gembira dia melihat cucu - cucu mampu menjadi imam. Lagi suka apabila setiap pagi ada majlis ilmu selepas zikir dan doa solat subuh.
Selalu dia bersangka baik pada semua orang. Semua orang yang tinggal bersama saya atau yang datang berziarah akan disampaikan pesan dan nasihat. Banyak nasihat-nasihat dipesannya agar menjaga diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak kira lelaki atau perempuan. Usah tergoda dengan dunia yang cuma sementara sahaja.
Senyumannya tak pernah pudar walaupun telah berusia menghampiri 1 abad, lagi 12 tahun.
Sebenarnya semua anak -anaknya mahu berbakti sementara roh dan jasad masih bersama dengannya ketika di dunia ini. Sebab itu dia membuat giliran dan pusingan supaya semua anak merasai nikmat berbakti kepadanya ketika usia semakin senja. Pusingan dan giliran ini dia sendiri yang tentukan. Adil dan saksama antara semua anak-anak menantunya. Tidak ada anak menantu yang tidak disenanginya, bahkan amat dia sayangi.
Disetiap hari pagi Jumaat, saya perhatikan dia akan panggil salah seorang cucunya, "nenek nak kirim, tolong masukkan dalam tabung masjid ya."
Siapa saja kanak-kanak yang datang ke rumah saya, pasti dia akan memberikan sesuatu dalam sampul duit raya. Sampul duit raya dia sepanjang tahun, sentiasa ada untuk diberikan kepada kanak-kanak. Jika ibu tunggal yang ada pelihara anak yatim, lagilah dia suka memberikan sampul duit rayanya.
Saya memang sentiasa menyediakan masa untuk berbual-bual dengannya. Duduk disebelah dan picit tangan kakinya secara perlahan-lahan.
![]() |
| Dikuburan arwah bapa mertua |
Bangunnya awal, lebih kurang jam 2.30 - 3.00 pagi setiap hari. Mengamalkan zikir kautharan di waktu subuh sebelum masuk waktu solat subuh, katanya, "berzikir dan berdoa waktu sunyi sepi." Itu arwah suaminya berpesan, jangan tinggal zikir di waktu subuh dikala semua orang sedang lena diulit mimpi.
Doanya tidak pernah putus mendoakan agar anak menantu cucu serta seluruh zuriatnya sentiasa dipelihara dari godaan syaitan durjana dan mendapat kebahagiaan dunia akhirat didalam rahmat Allah Ta'ala.
Petang tadi saat sudah didalam kereta pun, ketika cucunya, Omar Abdul Aziz bersalam dan
memeluk cium pipinya, dia berpesan, " Omar, kalau ada perempuan panggil 'hai', jangan kau sombong tetapi ucap kepada perempuan itu, ingatlah Allah."
Terasa sekejap sangat giliran saya berbakti kepadanya dalam tempoh 2 bulan ini. Minggu lepas dia sudah berucap kepada zauj, terasa nak pergi rumah anak yang lain pulak. Nak ke rumah anak di Kuala Selangor , katanya. Jadi zauj pun bersedia menghantar bondanya ke Selangor petang tadi.
Ya Allah, sekejap sangat masa berlalu, semakin pendek umur kita, semakin hampir kita kepada kematian. Terasa lama masa berlalu apabila kita menunggu-nunggu, seperti menunggu masuknya waktu solat dan menunggu dijemput kembali kehadirat Allah Ta'ala.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 12/07/2013 04:00:00 am 0 comments
Labels: kemaafan, Kematian, mak mentua
Friday, 6 December 2013
Bekalan Untuk Bermusafir
![]() |
| Mak Mertua |
Beg ini mengandungi segala persiapan kematian. Dalamnya ada sepasang telekung untuk dipakaikan bersama kain kapan, ada kain batik panjang untuk dipakai ketika orang memandikannya, ada tuala untuk mengelap selepas mandi, ada tudung putih untuk tutup wajahnya sebaik roh berpisah dengan jasad.
Semua anak menantu telah dipesan, apabila meninggal saja dirinya, bukalah beg itu, semua perkakasan mandi, kapan sudah ada. Mak mertua saya tak mahu menyusahkan anak menantu mencari itu ini bila tiba saat kematiannya. Dimana dia meninggal, di situlah dia dikuburkan. Mak mertua saya ini sentiasa ingat mati, tidak pernah bila bercerita dia sesuatu yang tidak dikaitkan dengan kematian.
Mak mertua saya sentiasa menunggu-nunggu untuk kembali ke hadirat Allah Ta'ala. Menunggu Malaikat Izrail datang memberi salam. Dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Sebab itu tak pernah saya lihat jari berhenti dari mengentel tasbih, bibirnya melafaz zikir.
Setiap kali lepas solat saya peluk mohon ampun, dia juga memohon ampun kepada saya, dia akan kata, "mak dah redha semuanya, dah maafkan semua anak cucu cicit".
Memang jelas diwajahnya tergambar kerinduaan tak terucap untuk bertemu Khaliqnya yang Maha Agung dan Maha Perkasa.
Itulah mak mertua saya, semoga rahmat Allah melimpahi atasnya sebelum, semasa dan sesudah kematiannya.
Arwah suaminya pergi sangat mudah, sebelum berpisah roh dan jasad, siap berpesan, "maknya, saya nak pergi jauh ni, ni jam tangan saya, ni duit buat belanja awak, saya nak pergi sorang-sorang aja kali ni, awak tinggallah dengan anak-anak ya, saya redha dan maafkan segala salah silap awak. Saya pun minta maaf dengan awak ya."
Arwah suaminya pergi selepas salam solat isya' dipangkuannya. Itulah mak dan ayah zauj saya.
![]() |
| Beg mak mertua yang berisi persiapan kematian |
Mereka sentiasa mempersiapkan bekalan untuk bermusafir. Mereka sudah menanam pohon-pohon dan sedang membina mahligai di sana untuk mereka kembali tinggal bersama-sama dibawah naungan panji Nabi Muhammad SAW. Adakah kita juga begitu?
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 12/06/2013 09:55:00 pm 0 comments
Labels: cucu, Doa, Kematian, mak mentua, Rahmat Allah
Monday, 2 December 2013
Menyelamatkan Dua Jiwa
![]() |
| Penyerahan |
Betapa sedihnya anak itu apabila bersekolah nanti, anak itu mengetahui status dirinya melalui Sijil Kelahiran. Kita tidak mampu merahsiakan jika anak itu terbaca status dirinya di sijil kelahiran. Maka, dengan menyerahkan kepada keluarga angkat, sijil kelahiran dapat ditukar kepada sijil pengangkatan setelah bayi dipelihara lebih 2 tahun oleh keluarga angkat.
Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan bermakna terputus hubungan antara ibu kandung dengan anaknya. Ini kerana jika keluarga angkat memohon melalui Baitus Solehah, keluarga angkat perlu bersetuju dengan akujanji ini.
AKUJANJI:
Saya berjanji sedia bekerjasama membenarkan ibu kandung atau keluarga ibu kandung untuk mendapatkan maklumat perkembangan anak dan mengizinkan ibu kandung dan keluarga ibu kandung untuk belawat dan bertemu pada bila-bila masa setelah perbincangan dipersetujui.
Ini bermakna keluarga angkat sewajarnya menganggap ibu kandung anak angkat mereka adalah sebagaian keluarga juga. Berkongsi kasih sayang terhadap anak itu.
Walaupun anak diserahkan kepada keluarga angkat, nasab anak dengan ibunya tetap sampai akhirat. Tidak ada sesiapa berhak menapikan hak ibu kandung keatas anaknya. Hanya di dalam perundangan, apabila telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung tidak boleh menuntut semula anaknya itu. Ibu kandung memang sedia maklum hal ini ketika penyerahan di lakukan. Namun di dalam Islam, nasab dan hak pewarisan harta anak kekal dengan ibunya.
Semalam seorang bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Kepiluan menyelubungi hati saya dan hati seluruh keluarga Baitus Solehah, apatah lagi hati ibu kandungnya.
Anak ini perlu berjalan jauh lagi , maka berilah kehidupan sempurna , mempunyai ibu dan ayah walaupun cuma ayah angkat. Dia berhak mendapat kesempurnaan dalam institusi kekeluargaan. Ibu kandung masih boleh bersama-sama anaknya bila -bila masa yang dia mahu.
Selalu saya menyarankan kepada keluarga angkat, anggaplah kamu sedang melaburkan saham akhirat. Kos penjagaan dan pendidikan anak angkat ini ibarat kamu bersedekah. Jika diberikan didikan yang sempurna, anak ini tetap mengenang jasa ibu bapa angkatnya sampai bila-bila dan menjadi bekalan di barzakh sana. Didiklah anak angkat dengan didikan agama yang sempurna. Tidak ada anak yang tidak boleh didik, jadikan kisah ibunya sebagai iktibar dan teladan.
Semoga usaha awal Baitus Solehah dalam menyelamatkan 2 jiwa berterusan dengan sokongan masyarakat sekitarnya. Jangan kita hina, herdik dan cerca mereka. Anak tidak bersalah, dan ibu sudah bertaubat. Kita pun belum tahu bagaimana akhir hayat kita nanti, semoga kita meninggal dalam husnol khatimah juga, sentiasa bertaubat.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 12/02/2013 10:44:00 pm 0 comments
Labels: anak istimewa, Baitus Solehah
Sunday, 1 December 2013
Sekali Tersilap Bukan Gagal Selamanya
| Pelatih bersama anaknya |
Seminggu selepas ibunya menghantar ke Baitus Solehah, setelah pulang ke kampung, meninggal dunia. Terasa tergiang lagi pesanan ibunya kepada saya saat meninggalkan anak bawah jagaan saya.
"ummi, jagalah anak saya seperti anak ummi ya, nasihati dia, marahi dia, berilah tunjuk ajar pada dia."
Sebak hati saya mendengar pesanan seorang ibu. Makin sebak saya apabila dimaklumkan ibu itu telah meninggal dunia. Makan yaatim piatulah gadis itu. Yang ada cuma adik beradik saja lagi.
Sepanjang di Baitus Solehah, tidak pernah sekalipun adik beradiknya datang melawat. Khabaran ibu meninggal dunia pun hanya diketahui 4 hari selepas dikebumikan. Adik beradik tidak mahu dia balik ke rumah melihat jenazah ibu buat kali terakhir dimana nanti aib dan maruah ibu tercemar. Ketika kandungan gadis ini sudah 7 bulan, sudah kelihatan.
Begitulah hukuman kecil kepada gadis terlanjur. Hukuman kecil yang terpaksa dilalui. Hinggakan ibu meninggal dunia pun tidak boleh untuk hadir menziarahi, apatah memberi ciuman terakhir sebelum dikuburkan.
Bukan Baitus Solehah yang melarang, tetapi keluarga sendiri yang menahan. Bukan setakat itu, banyak lagi hukuman-hukuman kecil yang terpaksa dijalani sepanjang berada dimana-mana rumah perlindungan. Ingin keluar bersiar-siar, ingin menggunakan media komunikasi , menonton siaran tv yang hasrat itu perlu diketepikan.
Tarbiyah yang dijalani menyebabkan kekangan masa untuk bersantai-santai.
Cerita pelatih ini, dia tidak berhasrat memberikan anaknya kepada sesiapa pun,walaupun keputusan SPMnya bagus. Sementelah pulak, ada seorang kakaknya yang telah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak. InsyaAllah mereka berjanji akan menjaga adik dan bayi itu. Saya menggalakkan dia menyambung pelajaran ke IPT.
Moga-moga saudara perempuannya yang ramai sudi membantu dia memelihara anaknya disamping meneruskan penggajian. Pelatih dibenarkan untuk memelihara sendiri anak mereka sekiranya mendapat sokongan dan bantuan dari ahli keluarga.
Satu kesilapan yang dilakukan bukan bermakna kegagalan. Peluang bertaubat yang Allah berikan, tarbiyah yang dijalani selama berada di Baitus Solehah, moga-moga menjadikan dia matang dalam membuat pilihan dan terpimpin melangkah di jalan yang lurus.
Posted by Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita at 12/01/2013 10:49:00 pm 0 comments
Labels: anak istimewa, Baitus Solehah


W.jpg)








