BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 14 October 2014

Sup Tulang Lembu


Sup Tulang Lembu
Setiap tahun, ada satu keadaan saya pasti bersedih apabila menyediakan sop tulang semasa hari raya aidiladha.

Saya selalu teringat kisah yang diceritakan oleh angah kepada saya. Pasti airmata bertakung di kolam mata.

Seorang hartawan datang ke sebuah pondok usang di hujung kampung. Hartawan itu datang membawa beras, bahan makanan lainnya dan daging korban bersama tulang lembu.

Apabila sampai di laman rumah, terlihat kanak-kanak lelaki sedang bermain- main dengan adik-adiknya. Mereka bergurau-gurau sesama sendiri. Hartawan itu menyapa dan memberi salam.

"Assalamualaikum."
"Wa'alaikum salam pakcik." Jawab kanak-kanak itu serentak.
"Ibu ayah mana?"
"Pergi kerja pakcik."
"Dah makan?"
"Sudah pakcik."
"Makan apa?"
"Makan nasi."
"Lauk apa?"
"Sop tulang lembu , pakcik."
"Uiks...sedap tu."
"Hari-hari kami makan nasi lauk sup tulang lembu pakcik."
"Iya, baguslah." ( dalam hati hartawan tu berkata, ayah mereka mampu membeli tulang setiap hari untuk beri anaknya makan, tidaklah terlalu miskin dan daif.)
"Bila ayah beli tulang tu?"
"Ayah tak beli, tok imam beri masa raya korban tahun lepas. Ibu rebus setiap hari tulang tu dengan air. Sedap tau pakcik."

Terpaku dan terkesima hartawan itu mendengarnya. Mengalir air mata bila tahu tulang lembu yang dibuat sop itu adalah tulang lembu yang diberikan oleh orang ketika hari raya korban tahun lepas. Dah hampir setahun tulang iu direbus setiap hari.

Memang daif keluarga ini tetapi anak-anak itu nampak gembira dan bahagia. Mereka mensyukuri walaupun makan nasi berlauk air rebusan tulang yang pasti sudah tidak ada rasa apa-apa.

Bandingkan kita hari ini, buat korban berkongsi 7, lepas sembelih, daging korban tu dibahagi 7 juga. Faraid masing-masing bawa balik rumah.

Sebab itu banyak masjid bangga ramai orang buat korban sampai 20 ekor lembu tetapi penduduk di perumahan rakyat di taman berhampiran tak dapat pun agihan daging korban. Tambahan lagi jika penduduk yang menyewa rumah kos rendah iu terdiri dari warga asing beragama Islam bekerja sebagai cleaner, sebagai buruh atau penjaga pam petrol.

Sedihkan...

Jika kita pun berkira-kira nak beli sekilo daging lembu, apatah lagi mereka yang pendapatan bersih habis dibelanja untuk menyara anak isteti yang ditinggalkan jauh dikampung.

Maka jika anda berhasrat nak buat korban, agihkan daging itu kepada penduduk berhampiran yang layak menerimanya. Jika ada banyak dagingnya, bungkus sekilo satu bungkusan, jika sikit bungkus setengah kilo, asalkan ramai yang dapat. Banyak sama dapat, sikit sorang sikit.

Walaupun aidil adha dah lepas, orang dah buat korban, cerita ini tetap tersemat dalam hati. Walaupun hanya sunat muakad, buatlah korban setiap tahun , macam kita boleh simpan duit nak hidupkan insuran dan roadtax kereta setiap tahun.

Ingatan untuk anak cucu...by Mak Liza, 14/10/14. 

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 8 October 2014

Jangan Halau Anak Keluar Rumah


Tazkirah Subuh
Dua hari lepas seorang remaja berusia 15 tahun dihantar abangnya ke Baitus Solehah. Oleh kerana remaja ini sudah hampir setahun menjadi gelandangan, tidor dimana suka, ibu dan ayah sudah tidak mahu ambik peduli.

Bila hamil, tidak tahu siapa punya benih kerana sepanjang tempoh beberapa bulan sebelum ini dia suka berganti tempat tidor antara 8 lelaki. Bila saya suruh buat laporan polis,lelaki terkini saja dicatatkan dalam laporan polis.

Sejak umur 13 tahun tidak bersekolah. Tidak belajar agama menyebabkan dia tidak rasa bersalah atau berdosa tidor dengan mana-mana lelaki yang dia suka. Dia merasa sangat bebas hidup begitu tanpa kongkongan dan buat apa saja. Nauzubillah...

Ibu bapa yang budiman, benci dengan kelakuan anak yang tidak dengar kata, yang keras kepala, suka melawan, jangan sampai halau anak dari rumah. Tambahan anak perempuan. Tindakan menghalau anak bukan satu jalan penyelesaian masalah, sebaliknya menimbulkan masalah lain yang lebih kronik. Kemana anak tu nak pergi? Itu sebab dia rela menumpang rumah mana-mana saja kawan lelaki yang sedia membenarkan dia tumpang tidor. Maka silih bergantilah dia menumpang tidor antara 8 orang kawannya itu.

Sekarang masalah bertambah kronik bila sudah hamil, umur baru 15 tahun. Bila buat laporan polis, polis tetap cari ibu bapa. Ibu bapa tetap kena hadir ke Balai Polis, kena bawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Nasib baik jika ada rumah perlindungan yang mahu menerima dan membimbing anak itu. Jika tidak, pasti remaja ini menjadi tidak ketahuan kerana kesemua lelaki itu tak mahu mengaku benih siapa dan tak mahu membenarkan lagi tumpang tidor apatah lagi nak bertanggungjawap. Inilah akhirnya timbul kes buang bayi, kita pun jumpa bayi ditinggalkan ditempat sampah atau bawah jambatan.

Apa punca anak-anak tidak dengar kata, keras kepala dan suka melawan? Adakah pengaruh kawan-kawan atau memang cermin sikap ibu bapa mendidik anak?

Oleh itu, janganlah biarkan anak-anak remaja yang suka keluar malam, apabila tak dapat mengawalnya, halau dari rumah. Kita halau dia keluar dari rumah, kemana kakinya nak melangkah? Apakah jika kita halau dia keluar dari rumah dia akan bermusafir mencari ilmu seperti Kisah Sunan? Apakah dia akan mencari masjid untuk tumpang bermalam? Sudah tentu tidak. Dia akan cari sesiapa sahaja rakan satu kepala dengannya untuk tumpang tidor. Dan ketika ini tidak ada lagi kawan baik yang sudi berduka. Yang ada cuma mereka yang sedia ambil peluang dan kesempatan untuk berseronok dan memusnahkannya.

Peranan kita pulak? Mahukah anda 20 tahun akan datang generasi yang memenuhi alam ini terdiri dari anak-anak yang lahir dari kepincangan institusi kekeluargaan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 15 September 2014

Jangan Pilih-Pilih Macam Pilih Ikan di Pasar

bayi Pramatang
Saya baru pulang dari menjemput bayi ini. Sebelum saya datang 5, 6 pasangan melihat bayi ini bila dimaklum ada bayi perempuan ingin diserahkan kepada keluarga angkat.

Bila datang dan menengok bayi semua membatalkan hasrat, tak jadi nak ambik. Ya ...tak cute, tak putih, tak comelkan.

Bila semalam ibu ni telefon bagitahu, "puan mahu anak?" kami terus datang. Temujanji tadi ambik di JPN tanpa banyak soal jawab. Rezeki...anak itu rezeki, terimalah walau apa jua keadaannya. Comelkah dia, cutekah dia, hitamkah dia and what ever pun, jika dia ditawarkan kepada kamu, maka itu rezeki kamu dan menjadi amanah kepada kamu untuk mencorakkannya. Tak payah pilih-pilih, macam pilih ikan di pasar.






 Bayi pramatang memang kulitnya gelap, kurus tak berisi, nampak cengkung dan tidak comel.



Pernah sepasang suami isteri hantar mesej kepada saya, "puan, boleh kami datang tengok bayi dan pilih yang mana untuk kami jafikan anak angkat. "

Terus saya jawab, "mohon maaf, kat sini tak boleh pilih-pilih, walaupun jantina, apabila tiba giliran menerima anak, kamu kena ambik, jika tidak menerima bayi ditawarkan, saya serah pada giliran seterusnya."

Ibarat anak yang dikandung, boleh pilih-pilih ke jantina anak tu? Jika Allah jadikan lelaki, kita berhajat perempuan, apa kita nak buat dengan anak tu? Tak jadi nak terima? Beri anak tu pada orang lain? Mengandung lagi sampailah 19 kali masih mengandungkan anak lelaki...tak dapat-dapat anak perempuan juga.

Sesungguhnya setiap yang Allah jadikan ada hikmahnya.

Caption gambar, bayi ini pramatang, lahir hanya dengan berat 1.1 kg. Sihat atau sakit, adalah ujian buat keluarga yang menerima. Memelihara anak ini, ibarat kita bersedekah. Anak ini sudah ada keluarga angkat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 3 June 2014

Mengingati Mati

Tazkirah subuh ini, 03/06/14, mengingati mati yang disampaikan oleh Muhammad Nur Iman.

Sebelum  'Malaikat Maut' datang bertamu di sisi kita untuk mencabut nyawa, adakah kita mempunyai impian pada saat akhir kehidupan seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram, meninggalkan orang tersayang dengan reda dan paling penting kerinduan untuk bertemu Allah.

Mustahil bagi manusia mengetahui empat hal ghaib, kelahiran dan kematian; rezeki; amal dan kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia yang termeteri di luh mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas.

Penerokaan akal kita tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen akal, jasmani dan rohani terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta memandangkan adalah dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat.


Dengan mengingati mati, hati akan tenang. Kita akan beramal dengan amalan yang mendatangkan rahmat Allah. Tidak ada rasa takut apabila kita berdepan dengan tanda-tanda kematian.

Umpamanya ada sekatan jalan raya oleh polis trafik. Jika kita tidak melakukan apa2 kesalahan adakah kita ada rasa takut? Kita telah memenuhi segala spec keselamatan, kita telah mematuhi segala peraturan , adakah kita rasa takut disaman? Tentu kita melalui sekatan itu dengan tenang.

Begitu juga apabila kita mematuhi segala peraturan Allah, mentaati Allah dan Rasul, jiwa kita tenang. Kita selalu rasa syukur dan bersabar. Tidak ada rasa resah gelisah atau rintihan apabila didatangkan ujian-ujian.

Dengan mengingati mati, kita akan rasa memaafkan sesama insan. Kita akan sering bertaubat dan kita akan bersabar untuk tidak melakukan samada perkara haram atau syubhah.

Orang yang tidak ingat mati akan malas beribadah, selalu melakukan perkara menurut nafsu, dan tidak kisah dengan perbuatan yang melanggar larangan Allah dan Rasul.

Bagaimana untuk kekal mengingati mati? DENGAN ILMU!

Dengan ilmu, kita mampu menahan nafsu, kita boleh bersabar dalam melakukan amal soleh kerana kita tahu dan sedar rasional setiap perlakuan dan tindakan kita.

Maka menangislah mata-mata yang tak pernah menangis (kerana takut pada Allah) dan ketakutan hati-hati yang tak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Tidak pernah dalam satu hari pun kecuali pada hari itu ia berasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya, malangnya peluang kedua sudah tiada lagi.

Sebahagian Intipati tazkirah subuh ini. Mulai hari-hari kita dengan tenang dengan mengingati Allah dalam apa jua keadaan.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 2 June 2014

Taubat seorang Sultan.



Sebelum ini kita banyak mendapat maklumat yang telah dimanupulasi oleh orang-orang yang berkepentingan. Saya tertarik untuk berkongsi cerita taubat seorang sultan ini. Kita tak perlu nak menilai, samada taubat diterima atau tidak oleh Allah, kerana itu urusan Allah dengan hambaNYA, tetapi saya tertarik dengan peluang taubat yang Allah berikan disaat hujung usia baginda. Bukan semua manusia diberikan peluang itu. Samada benar atau tidak, tidak perlu kita pertikai dan bersangka-sangka. Ambik iktibar dan pengajaran. Tidak ada siapa dapat menjangka dan menentukan bilkah ajal itu datang.

Ikutilah catatan seorang wartawan yang bersama baginda di saat akhir usia.

Taubat Almarhum Sultan Perak Di Masjidil haram....."Aku Tak Minum Arak Lagi,Aku Minum Teh Cina"

Dalam banyak-banyak cerita itu, tersebutlah sebuah kisah bagaimana kononnya seorang Sultan telah mangkat ketika sedang minum-minum.

Disebabkan adanya orang politik yang memusuhi Sultan tersebut,maka cerita yang tak betul itupun disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan.

Cerita sebenarnya, mengenai Sultan ke Mekah dan bertaubat tidak pula disebutkan.

Saya berbangga kerana masih ada lagi penulis yang sanggup menulis tentang kebenaran yang hak.Oleh itu di bawah ini saya siarkan semula tulisan beliau yang telah disiarkan pertama kalinya dalam majalah ‘Imam’ edisi Januari 1990. Disamping itu saya juga menyiarkan sebuah tulisan yang lain bertajuk ‘Dari Istana Ke Bilik Suluk’ oleh Muhamad Jihad.

Cerita mengenai Sultan tersebut ditulis oleh Akhdiat Miharja itu saya petik seperti berikut.

Kekuasaan dan kemewahan hidup menjadikan manusia lupakan Allah dan melakukan segala kemungkaran, tetapi ketika diburu maut, penyesalan dan taubat menggantikan titik terakhir bagi kehidupan.

Demikian juga yang berlaku ke atas Almarhum Sultan Perak, Raja Idris Shah Ibni Sultan Alang Iskandar – beliau mengakui melakukan berbagai-bagai maksiat dan kemudiannya bertaubat dalam masjid Haram.

“Saya banyak dosa, tak lalu nak bilang, macam gunung, macam Sungai Perak,” titah baginda kepada saya.

“Saya tau saya banyak berpura-pura kepada rakyat, depan mereka saya macam orang alim, tapi di belakang, di luar negeri saya berbuat maksiat,” titahnya.

“Allahu Akbar, saya tau dosa dan pahala, halal dan haram, tapi kerana saya Sultan yang berkuasa, mewah hidup dan lupakan Allah, saya buat semuanya,” titah Sultan lagi.

“Saya syukur, saya sempat bertaubat dalam Masjid Haram…saya menangis, saya menyesal…saya harap Allah terima taubat saya sebelum saya mati,” tambahnya.

Demikian suatu madah rendah diri dari seorang Sultan kepada saya di Istana Tambun, Ipoh kira-kira jam 3.00 pagi dalam tahun 1983.Baginda baru kembali dari melakukan ibadah umrah di Makkah.

Saya dijemput ke Istana Tambun oleh baginda sehari selepas baginda pulang dari Makkah dan pertemuan saya dengan baginda pada pagi itu benar-benar terasa sedih dan pilu dalam diri saya.
Ketika saya tiba di ambang pintu Istana Tambun kira-kira jam 11.00 malam, seorang pegawai istana memberitahu saya, yang Sultan sedang menunggu saya dalam bilik di tingkat atas.

“Ada siapa bersama baginda?” saya bertanya.
“Tak ada, baginda sedang baca Quran,” jawab pegawai itu.
Sebaik baik saja saya mendengar kata-kata pegawai yang lurus seperti pegawai istana Harun Amirul Rasyid itu, timbul sesuatu yang luar biasa dalam hati saya.

“Kalau Sultan dah baca Al-Quran, ini dah ganjil,” hati saya berkata lalu saya memanjat tangga istana.

Sebagai penulis, saya diberikan kebebasan oleh Sultan Perak untuk masuk ke dalam mana-mana istananya di Kuala Kangsar dan di Ipoh hingga Istana Perak di Kuala Lumpur.

Sebaik-baik saja saya melangkah masuk ke dalam bilik dan belum sempat saya memberi salam, Sultan Perak dengan nada bergurau bertitah, “Orang dah kaya, aku yang dah nak mati ni pun tak ingat.”

“…Tuanku belum nak mati, umur Tuanku panjang,” saya berkata sambil menghulurkan dua puntung tangan kepada baginda lalu baginda menyambut.

“You kata aku panjang umur, Allah kata you tak tau,” titah Sultan dengan wajah tenang.

Saya diam dan duduk atas kerusi di hadapan baginda.

“Nah, minum air zam-zam ni, aku ajak pergi ke Makkah tak nak, bukan kena keluar duit, aku yang nak belanja,” titah Sultan sambil mengunjuk gelas kosong kepada saya.

Waktu itu saya diam dan hanya mecapai jag berisi air zam-zam lalu menuang ke dalam gelas dan saya minum.

“Tuanku sihat di Makkah?”
“Sihat tu sihatlah, tapi hati…Allah yang tahu,” titahnya.
“Ngapa, ingatkan yang baru ni (isteri)?” saya bergurau.

“Tak, aku tak ingat siapa, yang aku ingat mati…, aku akan mati tak lama lagi…,”jawab baginda.

Saya sedar Sultan Perak ada menuntut ayat Al-Quran dari Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim di Kepala Batas dan sekiranya ayat Al—Quran yang dihafal itu tidak dapat dibaca atau lupa, maka bererti maut hampir tiba kepada yang menghafal ayat tersebut.

“You buat tak tau, kan guru kita dulu ajar ayat Quran tu, di Makkah aku lupa ayat tu,” titah Sultan.

“Tak tuntut ayat tu, Tuanku, patik tuntut ayat lain,” saya berkata serius.

“Aku lupa ayat tu sebaik-baik masuk ke Makkah…, aku menangis kerana aku banyak buat maksiat, doa…,” Titah Sultan sambil mengunjukkan sebuah Al-Quran kepada saya.

“Allah tau, aku ni Sultan, berkuasa, mewah hidup, rakyat jelata sanjung aku sebagai ketua agama Islam di negeri ini, tapi aku…,” titah Sultan dan kelihatan baginda mengesat air matanya dengan belakang tangan kirinya.

“…tapi aku menyesal, aku bertaubat dalam masjid Haram, aku menangis kerana insaf akan diri aku yang telah banyak buat dosa,” titah Sultan.

“Tuanku usah sedih, Allah tetap menerima taubat Tuanku, sekadarkan Tuanku jangan ulangi lagi, jangan tau buat, bukan taubat…” kata saya sambil senyum.

“Tak, aku tak buat lagi, aku tak minum arak lagi…aku hanya minum air teh China macam you…” titah baginda.

Dalam pertemuan kami dari jam 11.00 malam hingga jam 4.00 pagi itu tidak diganggu oleh sesiapa kerana baginda telah memberitahu pegawai istana supaya melarang orang masuk ke biliknya.

Di tingkat bawah ramai orang besar-besar dan pegawai kerajaan sedang minum-minum dan menari kata mereka bersyukur keranaSultan telah kembali ke tanahair.

Baginda bertitah dengan saya dari isi hatinya sendiri dan waktu itu saya digunakan oleh Sultan sebagai ulama atau pakar rujuk agama.

Saya menyebut begitu kerana Sultan membaca ayat-ayat Al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan baginda bertanya kepada saya akan sesuatu dalam ayat-ayat itu.
“Kalau Allah tak terima taubat aku macam mana?”Sultan bertanya.

Mendengar soalan itu saya hampir ketawa dan kemudian bergurau dengan berkata, “…Tuanku akan dibakar dalam api neraka yang hangatnya entah berapa juta kali ganda dari hangat api yang ada ini.”

“Allahu Akbar…!” Sultan bertitah dalam keluhan.

“I waktu itu melihat dari jauh,” saya bergurau lagi.

“You lainlah, you tak minum arak, tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa, tapi aku…?” Tanya Sultan.

“Kan Tuanku dah bertaubat dan Allah sedia menerima taubat Tuanku,” kata saya untuk menghilangkan keraguan baginda.

“Tu aku tau, tapi…,” titah Sultan sambil merenung muka surat Al-Quran.

Sesuai dengan pengakuannya, saya dapati baginda tidak minum arak lagi, hanya minum teh China dan saya merenung di atas meja kecil di sudut bilik itu ada sehelai sejadah.

Baginda bertitah, bahawa kalaulah baginda seorang rakyat biasa, mahulah baginda tinggal tinggal bermastautin di Makkah dan sentiasa melakukan ibadat di dalam Masjidil Haram.

Saya tidak mahu menjawab apabila baginda bertanya, apakah Allah akan menyoalnya di akhirat nanti akan tanggungjawabnya sebagai seorang Sultan Pemerintah dan sebagai Ketua Agama Islam di negeri Perak iaitu sejauh mana tanggungjawab itu baginda telah tunaikan.

Baginda tahu saya tidak mahu menjawab soalan itu dan baginda mengalih titahnya kepada hal Menteri Besar Perak, politik masa ini dan hasrat Baginda supaya negeri Perak mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.

Lalu saya berfikir pada pagi itu, bahawa Sultan Perak di hadapan saya adalah insan yang terpengaruh dengan segala kebendaan dan alim ulama dan orang Besar yang mengelilinginya tidak pernah menasihati baginda kepada jalan yang soleh.

“Tuanku ada mufti, kadi, dan alim ulama yang boleh membimbing Tuanku ke jalan yang soleh…” kata saya.

“Demo tu makan gaji…. Mana nak fikirkan semua ni…” titah baginda.

Saya hampir ketawa waktu itu kerana sebai-baik saja saya mendengar titah baginda saya teringat akan cerita filem Allahyarham P. Ramlee mengenai Negeri Perak, iaitu filem Musang Berjanggut.

Ulama dalam kisah Musang Berjanggut tidak menasihat Sultan kepada jalan yang soleh, sebaliknya dia melakukan kemungkaran.

Sayang apa yang kami cakapkan dan apa yang diluahkan oleh Sultan Perak kepada saya dari malam hingga ke pagi itu tidak seorang pun dari rakyat Negeri Perak mengetahuinya.

Waktu saya akan pulang meninggalkan Istana Tambun pada pagi itu, Sultan bertitah “Kalau aku mati, kalau you nak tulis biografi aku, jangan lupa tulis yang kita cakap tu.”

Beberapa hari kemudian baginda meninggal dunia sebelum meneguk air teh China dalam majlis jamuan yang diadakan oleh saudagar ikan di Sitiawan.

Baginda telah menitahkan saudagar ikan itu supaya menyediakan air teh China untuk baginda dalam majlis jamuan tersebut.

Oleh sebab anika jenis minuman keras turut dihidangkan dalam majlis itu, maka air teh China dalam gelas di hadapan baginda kelihatan seperti minuman keras juga.

Baginda meninggal dunia sebelum sempat minum air tersebut.saya mendapat tahu sepanjang perjalanan dari Taiping ke Sitiawan baginda telah bertengkar dengan isteri yang ke dua.

Sultan Perak mengidap sakit jantung disebabkan masa itu Negeri Perak diliputi oleh suasana krisis politik, iaitu antara baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Haji Wan Mohamed bin Haji Wan Teh, maka fitnah terhadap baginda disebarkan ke merata-rata yang kononnya baginda mangkat kerana banyak minum minuman keras.

Marilah kita semua menghadiahkan ‘Al-Fatihah’ ke atas roh baginda dan mendoakan semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan kita mohon kepada Allah agar meletakkan rohnya bersama orang-orang yang soleh.Amin Ya Rabbul Alamin.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 1 June 2014

Baitus Solehah: Sokong Ibu Pelihara Anak Sendiri

Seorang lagi mujahidah dilahirkan secara pembedahan ceaserean dengan berat 2.9 kg pada 29/05/2014. Urusan discaj melibatkan waris.

Pelatih sepatutnya daftar masuk Baitus Solehah pada 20/05/14, tetapi ditangguhkan kerana tiada kekosongan ruang dan tempat. Saya minta keluarga jaga dahulu. Namun pada 28/05/14, pelatih ini telah mengalami sakit tanda-tanda untuk melahirkan. Oleh kerana kedudukan bayi songsang, pembedahan dilakukan segera untuk menyelamat bayi.

Baitus Solehah bantu urus discaj kerana waris tidak ada pengalaman dan kewangan. Baitus Solehah bantu untuk membayar bil hospital. InsyaAllah selepas keluar wad ini pun, Baitus Solehah akan bantu dan memberi sokongan kepada ibu ini yang mahu memelihara sendiri bayinya.

Walaupun selepas discaj ibu dan bayi terus pulang ke rumah keluarga, petang semalam ibu dan bayi telah datang ke Baitus Solehah. Ziarah semula.

Baitus Solehah bantu dan sokongan ibu ini memelihara bayinya sendiri walaupun masyarakat kampungnya mengumpat dan mencerca.

Barang sumbangan sahabat yang menyokong Baitus Solehah

Sumbangan pakaian bayi yang diterima dari para penyumbang kepada Baitus Solehah turut diagihkan kepada ibu dan bayi ini.

Membantu ibu dan bayi memulakan kehidupan. Moga dengan ukhuwwah dan akhlak islami yang kita santuni ibu ini, ibu ini berubah dan mentaati Allah. Ibu ini tidak berpeluang untuk tinggal di Baitus Solehah sebelum ini, namun bukan menjadi sebab dia tidak boleh berubah asalkan dia ada niat dan cita-cita untuk berubah. Selaku datang ke Baitus Solehah, dengan nasihat dan bimbingan secara berkala, ini dapat memulakan langkah pertama untuk berubah. InsyaAllah taufik dan hidayah Allah dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Peristiwa Ketika Rasullulah Diisrak

Tazkirah Subuh di Baitus Solehah
Tazkirah Subuh, di Baitus Solehah pada  01/06/14, Kisah-kisah Kaum yang diazab ketika peristiwa Israk dan Mikraj yang disampaikan Muhammad Nur Iman. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.  
Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.


Peristiwa israk mikraj tidak boleh difikir secara logik akal. Analoginya seperti ini...

Pada zaman sahabat jika dicerita ada besi terbang pada zaman ini, boleh berbual dengan orang yang jauh beribu kilometer, tentu sukar dipercayai. Mesti mereka fikir itu perkara yang tidak logik.

Jadi sama juga kita yang hidup zaman ini, bila menggunakan logik akal macamana boleh berlaku israk mikraj pada zaman yang langsung tidak ada sains teknologi.

Hanya dengan iman sahaja yang percaya perkara ini. Fikir dengan logik akal tidak mencapai darjat keimanan. Orang yang taat dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul terus percaya tanpa ada keraguan.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Suatu kaum yang menghempap kepalanya dengan batu besar. Setiap kali kepala itu berkecai, kembali semula seperti sediakala, dan hal ini berlaku terus-menerus tidak ada henti-hentinya.

Nabi bertanya : "apa ini wahai Jibrail?
Jibrail menjawap : mereka iulah orang-orang yang sentiasa merasa malas untuk menunaikan solat fardhu.

4. Kaum yang berpakaian koyak dihadapan dan koyak dibelakang. Mereka berlagak seperti binatang ternakan, memakan pohon-pohon yang berduri, daun-daun yang pahit rasanya dan batu-batu jahanam.

Nabi bertanya: "siapa gerangan mereka ini?"
Jibrail menjawap : "mereka inilah orang-orang yang tiada membayar zakat harta mereka. Tiadalah Allah menzalimi mereka, Tuhanmu bukanlah Penganiya terhadap hamba-hambaNya.

5. Sekumpulan kaum lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami mereka.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba.

7.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Ambillah peringatan dan pengajaran dari peristiwa yang ditemui oleh Rasullulah ketika diisrakkan ini.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 19 April 2014

Selagi Baitul Maqdis di Bawah Kekuasaan Israel

Suatu masa saya sangat bercita-cita untuk ke Masjidil Aqsa untuk mencukupkan kouta menziarahi 3 masjid yang diberkahi. Dua masjid, Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi sudah pernah sampai, Masjidil Aqsa belum lagi. Namun apabila  sedar bahawa untuk sampai ke Masjdil Aqsa perlu jejak kaki melalui Israel, hasrat dan keinginan itu tertutup semula.  InsyaAllah saya akan ke sana apabila melalui Gaza, apabila negara Palastine mendapat kemenangan dan menguasai kembali Baitul Maqdis.

Rupanya apa yang terfikir di minda saya telah pun ditulis oleh AQSA SYARIF.

Lawatan ke Masjidil Aqsa? Fikirkan.

Semakin banyak pakej lawatan ke Masjid al-Aqsa ditawarkan. Kini agensi seperti Tabung Haji pun sudah mula mempromosi lawatan ke masjid ke-3 termulia dalam Islam itu.

Ia sedikit menghairankan.

Kenapa?

Tahukah anda bahawa Masjid al-Aqsa berada dalam wilayah Baitul Makdis (Jerusalem)?

Dan tahukah anda bahawa Baitul Makdis telah berada di bawah pendudukan tentera Israel sejak Perang Arab-Israel 1967?

Masjid al-Aqsa telah dijajah sejak lebih 46 tahun yang lalu! Laluan keluar dan masuk kini berada di bawah kawalan dan penguasaan Israel. Pelbagai cara telah digunakan oleh Israel untuk menghalang rakyat Palestin memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa. Malah, Israel telah mengehadkan umur para pengunjung dan waktu yang dibolehkan untuk penduduk Palestin mengakses masjid ini.

Namun, dengan tidak semena-mena, Israel mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia yang pada pasportnya jelas tercetak:

"Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali.....

ISRAEL!!!"

Tidakkah anda merasa curiga? Mengapa ya?

Jawapannya mudah. Kerana kita datang sebagai pelancong!

Tahukah anda jalan masuk ke Baitul Makdis dan Masjid Al-Aqsa adalah melalui Jordan? Dan tahukah anda Jordan dibenarkan untuk memiliki keistimewaan ini hanya selepas ia mengiktiraf kewujudan negara haram Israel dan berdamai dengannya pada tahun 1994? Lalu apabila anda berkunjung ke Masjid Al-Aqsa anda secara tidak langsung telah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel dan menyatakan kesediaan untuk berdamai dengannya!

Tahukah anda industri pelancongan di Baitul Makdis memberikan keuntungan kepada Israel sekurang-kurangnya 1 bilion US dollar setiap tahun? Dan jumlah ini semakin bertambah saban tahun. Dan ya, keuntungan ini tidak dikongsi walau sesen sekalipun dengan Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Authority) tetapi digunakan untuk terus menjajah Palestin dan membiayai keperluan tentera Israel!

Dan yang lebih penting lagi ialah pemergian kita ke sana adalah sebahagian daripada proses NORMALISASI yang cuba dimainkan oleh Israel. Israel berusaha untuk menyatakan kepada pelancong yang hadir bahawa tiada kezaliman dan penderitaan di sana. Israel ingin memperbaiki imejnya di mata dunia dengan menggalakkan kunjungan ramai 'pelancong'.

Dengan kata lain, asal sahaja anda berkunjung ke Masjid al-Aqsa sebagai pelancong, Israel tidak punya masalah dengan anda. Malah mereka meraikan. Tetapi jika anda datang sebagai pejuang atau aktivis, usah bermimpi anda akan dapat masuk ke sana.

Israel mempunyai perancangan yang licik. Mereka berjaya mengaburi pandangan kita dengan menjadikan tindakan kita yang salah seakan-akan benar dan tiada masalah. Kita tertipu bahawa kunjungan kita ke Masjid al-Aqsa dengan niat untuk mengimarahkan masjid ketiga termulia dalam Islam itu dan merebut pahala menjejakkan kaki ke sana sebagai salah satu langkah membebaskan Masjid al-Aqsa daripada penjajahan Israel.

Jika seribu kali pun anda berfikir...

Jika seribu kali pun anda berfikir, anda tidak boleh melawan kekuatan ketenteraan dan politik Israel dengan melakukan rombongan melawat dan mengimarahkan Masjid al-Aqsa. Akhirnya, apa yang berlaku ialah anda sekadar memenuhi kehendak dan kepuasan peribadi untuk menatap masjid tersebut dan menyimpan memorinya dalam kamera dan video; tidak lebih dari itu. Ia umpama orang yang tidak pernah puas merebut pahala dengan melakukan ibadah haji dan umrah berkali-kali sedang masih ramai jiran-jirannya yang hidup melarat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Justeru, berfikirlah dengan lebih mendalam sebelum anda berniat untuk menyertai pakej-pakej lawatan ke Masjid al-Aqsa. Dalam tidak sedar, anda sebenarnya telah tertipu dan telah membayar harga yang mahal demi sebuah kepuasan peribadi.

Namun begitu,

jika anda ingin pergi dengan MISI yang jelas untuk membebaskannya (ie. berjihad) atau anda ingin mengutip mutiara-mutiara hikmah di sana dan pulang dengan semangat yang tinggi untuk merancang STRATEGI membebaskannya, maka pergilah dan usah bertangguh walau sesaat sekalipun! Jangan sekali-kali anda biarkan pemergian itu sia-sia dan tinggal sekadar 'imarah' sahaja. Anda perlu sedar bahawa kunjungan anda itu mahal harganya (material dan moral).

Jika tidak, saya sarankan supaya anda menyalurkan wang anda kepada saluran yang benar-benar dapat membantu membebaskan Palestin.

Berfikir selangkah kehadapan,
agar tidak terus ditipu amal peribadi,
sedang umat menderita,
musuh tertawa,
dan kemenangan terpaksa ditunda,
untuk kesekian-kalinya.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 4 February 2014

Eratnya Ukhuwwah



Kreatif Kek dari Sahabat
MasyaAllah, begitu ramai yang memberikan ucapan dan mendoakan saya ditarikh ulang tahun kelahiran. Terasa dekat dan erat ukhuwwah persahabatan di sini walaupun tidak pernah bertemu wajah. Kita kenal hanya setakat di laman ini saja, tetapi saya merasa semuanya dekat di hati.

Saya mengajak dan selalu mendoakan agar kita semua dapat bersama-sama di padang Mahsyar nanti di bawah naungan panji Nabi Muhammad SAW, Rasul kita dalam rahmat Allah Ta'ala.

Hari ni dalam kesibukan saya menguruskan pelatih, bertemu pesuruh jaya sumpah kerana ibu tidak ada buku rekod rawatan ketika hamil, mendaftarkan kelahiran bayinya, menjemput anak-anak yatim pulang dari sekolah, bila sampai di rumah, terhidang kek keju berhiasa kreatif dari sahabat saya. Suka saya melihat dan memakannya, berkongsi dengan semua pelatih dan anak menantu, alhamdullilah. Mana-mana pelatih yang mengidam nak makan kek keju, terasa enak sekali menikmatinya.

Kek keju leleh lagi yang ingin saya jamah, tetapi belum berkesempatan untuk mencarinya. Hari tu ada pelatih mengidam kek coklat, alhamdullilah, ada orang hantar kek coklat ke rumah anak yatim Raudahtul Maryam, sesuku di hantar ke kami untuk pelatih berkongsi menjamahnya. Sikit sorang sikit, banyak sama adil, itulah konsepnya hubungan kekeluargaan kami di Baitus Solehah.

Terima kasih sahabat-sahabat semua, semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan ditempatkan bersama-sama golongan para Rasul dan nabi-nabi, orang-orang yang benar, para solihin dan para syuhada dalam rahmat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Semakin Bertambah Usia

Balik dari bertemu pakar neuromedical.
Dunia perubatan sentiasa berusaha membuat penyelidekan untuk meningkatkan tahap kualiti kesihatan. Ia tidak bercanggah dengan hukum, bahawa semua penyakit ada penawarnya.

Apabila kita didatangkan kesakitan, terima dengan redha, anggap itu tanda kasih sayang Allah. Usaha dan ikhtiar mencari penawarnya. Saya menggalakkan anak-anak belajar bidang perubatan, supaya dapat membantu insan-insan yang menderita sakit.

Melalui kesakitan dan penyakit, rupanya ia membantu membina kekentalan jiwa, meningkatkan tahap kesabaran dan memperbagus kualiti iman.

Semakin bertambah bilangan usia, semakin banyak hijab dan rahsia Allah diperlihatkan. Kekuasaan dan kebesaran Allah dalam kita melalui kehidupan. Banyak yang ditemui.

Kotak hijau ini unik. Diberikan minggu lepas oleh unit patalogi kaji penyakit untuk zauj mengumpul urine. Saya ingatkan mereka nak tengok jumlah urine dikumuh dalam satu hari(24 jam). Rupanya lebih dari itu. Mereka ingin mendianosis penyakit dan Ingin melihat % copper dalam urine, kompisisi mineral yang lain. MasyaAllah hanya melalui kaji selidek urine kita boleh mengetahui jenis penyakit dan penawarnya.

Imran memicit tangan ayahdanya
Allahuakbar...itulah kebesaran dan keagungan Allah mengizinkan manusia untuk mengkaji , memikir dan menyelidek. Nikmat Tuhan manakah yang kamu mahu dustakan?


Semoga Allah mengizinkan usaha dan ikhtiar zauj saya mencari penawar untuk penyakitnya dalam rahmat allah Ta'ala. Dengan qudrat dan iradat Allah penyakit itu akan sembuh.
Abdullah memicit2 tangan ayahandanya


Selagi izin Allah meminjamkan kepada saya, akan saya jaga, taat dan setia untuk hidup sehati sejiwa dan mati bersama dalam rahmat Allah Ta'ala.

Kepada anak-anak,  Semoga kamu dikurniakan kesejahteraan didalam rahmat Allah Ta'ala. Tidak kira ruang dan peluang yang ada, picit dan urut tangan ayahanda sementara masih ada masa dipinjamkan oleh Allah.

Rebutlah peluang bagi sesiapa yang masih ada ibu dan ayah.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.