BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 28 June 2016

Kenapa Tidak boleh Papar Alamat Baitus Solehah di Internet




Larangan Papar Alamat Baitus Solehah
Suatu pagi selepas solat subuh, tiba tiba seorang remaja umur 17 tahun yang sedang sarat mengandung turun dengan beg pakaian. Ketika itu pelatih pelatih lain sedang duduk di majlis ilmu mendengar tazkirah subuh.

"Ummi, saya nak keluar dari sini?"

"Kamu nak kemana?"

"Nak balik rumah?"

"Dengan siapa? Kamu boleh keluar bila ada waris yang ambik"

"Pak we saya dah datang ambik."

"Pakwe bukan waris, hanya waris saja boleh bawa keluar kamu dari sini."

"Dia dah datang ummi, ada kat depan tu."

"Macamana pakwe kamu boleh datang, kamu beri alamat pada dia ke?"

Bila saya keluar, memang ada sebuah kereta nombor pendafatran luar Johor menunggu di hujung jalan. Didalamnya ada 2 lelaki, seorang dewasa dan seorang remaja."

Pakwe remaja perempuan ini ialah remaja lelaki itu. Berumur 16 tahun. Sanggup datang dari jauh, bersama lelaki dewasa yang subahat mahu membawa keluar mak we yang sedang sarat mengandung.

Ketika remaja perempuan ini datang ke Baitus Solehah, Remaja perempuan ini datang sendirian, saya menjemputnya di Terminal Bas Johor Bahru pada pukul 4.00 pagi. Remaja ini datang tanpa pengetahuan ibu bapa.

Apabila datang ke Baitus Solehah, semua pelatih perlu mengisi borang profile. Saya mendapatkan maklumat ibu bapa remaja ini dalam borang profile. Ada dicatatkan nombor telefon. Saya memberi pilihan samada mahu memaklumkan sendiri atau saya memaklumkan kepada ibu bapa tentang kehamilannya, dan keberadaannya. Setelah memberi tempoh sebulan, tanpa pengetahuannya saya menghubungi ibu bapanya.

Memanglah ibu bapanya terkejut dengan berita kehamilannya, lebih terperanjat apabila tahu dia berada di Baitus Solehah, jauh dari bandar tempat tinggal mereka. Sebelum ini ibu bapa tahu dia selalu tumpang di rumah kawan disekitar bandar tempat tinggalnya, cuma tidak tahu rumah kawan yang mana kerana bila ditanya , tidak mahu bagitahu alamat. Mereka masih berhubung seperti biasa melalui telefon, cuma remaja ini tidak mahu pulang ke rumah. Jika dia pulang pun, waktu ibu bapa keluar bekerja. Ibu bapa sudah tidak tahu cara untuk memaksa remaja ini supaya tidak keluar rumah. Mereka hanya bersangka baik, tahu anak mereka selamat. Tetapi mereka tidak tahu yang remaja menyembunyikan kehamilannya dari diketahui oleh mereka berdua.

Namun ibu bapa bersyukur kerana remaja itu datang ke Baitus Solehah, bukan ke tempat lain. Tanpa pengetahuan remaja ini, ibunya telah datang menaiki bas ke Baitus Solehah pada malam sebelumnya dia mahu pergi bersama pakwe. Saya tidak tahu betapa bagusnya rancangan Allah untuk memberi peluang kebaikkan kepada remaja ini. Tanda Allah masih sayang. Allah gerakkan hati ibunya datang pada malam itu, dan tidor di Baitus Solehah. Saya jemput ibunya di terminal bas. Oleh kerana sudah lewat malam, ibu itu tidak mahu menggangu remaja itu tidor. Jadi remaja itu tidak tahu akan kedatangan ibunya pada malam itu.

Sedang elok dia juga merancang mahu lari ikut pakwenya. Dia menghubungi pakwe melalui telefon dan pakwe berjanji datang menjemput. Remaja ini telah memberikan alamat Baitus Solehah kepada pakwenya. Melalui telefon, mereka berjanji.

"Kamu boleh keluar jika waris setuju bawa kamu keluar dari sini."

"Suka sayalah, saya datang sendiri tanpa waris, keluar pun suka sayalah."

"Tidak boleh, sesiapa boleh datang sendiri tetapi apabila keluar mesti ada waris yang jemput, ini peraturan Baitus Solehah."

"Tapi pakwe saya dah datang."

"Tidak boleh keluar tanpa kebenaran waris."

"Waris saya mana ada untuk saya minta izin."

"Itu siapa?"

"Ibu. Bila ibu sampai?"

"Malam tadi."

"Buat apa ibu datang sini?" Kasar bunyi suara remaja ini kepada ibunya.

"Nak tengok kamu, selama ini ibu tak tahu dimana kamu berada, ibu tanya kamu tidak pernah bagitahu, kamu cuma hubungi ibu bila duit kamu habis." Jawap ibu dengan suara perlahan.

Wajah remaja itu berubah bila tahu ibunya datang mencarinya. Lagi masam mencuka apabila ibu melarang dia dari keluar dari Baitus Solehah, melarang ikut pakwenya lari dari Baitus Solehah.

"Kenapa ibu nak campur urusan saya, saya dah besarlah ibu." Remaja itu menengking dengan suara yang tinggi.

"Kalau dah besar, kamu boleh fikir apa yang kamu buat ini betul atau salah. Bertaubatlah, zina tu dosa, melawan cakap ibu juga dosa, cukup cukuplah dosa kamu yang kamu lakukan selama ini, dah macam ni keadaan kamu, masih lagi nak buat maksiat." Jawap ibu dengan suara yang sayu sambil mengesat air mata.

Dengan kekuasaan dan kehendak Allah, remaja ini tidak dapat melarikan diri bersama pakwenya kerana kehadiran ibu pada tepat masanya. Semua ini adalah perancangan Allah.

Sejak itu bermulanya larangan memiliki telefon , Ipad atau tablet persendirian di Baitus Solehah. Sejak itu saya berhati hati pendedahan alamat Baitus Solehah di internet.

Ramai pelatih yang datang sendiri adalah sukarela untuk berubah. Niat mahu bertaubat dengan menjauhkan diri dari teman lelaki. Apabila diri telah mengandung, mereka tersentak dan mula memikirkan tentang diri , ibu bapa dan anak dalam kandungan. Mula memikir tentang aib dan maruah diri dan keluarga. Mula memikir masa depan, memikir keselamatan, memikir dimana mahu beranak dan berbagai bagai lagi. Akhirnya mereka mencari maklumat untuk ke rumah perlindungan. Mereka tidak mahu pulang ke rumah, kerana ia akan mengaibkan ibu bapa dan menimbulkan kemarahan ibu bapa. Mereka selalu pergi senyap senyap tanpa pengetahuan teman lelaki.

Teman lelaki pulak apabila kehilangan teman wanita, berusaha mencari kerana benda free yang enak telah hilang untuk dipeluk. Teman lelaki akan cuba berbagai usaha mencari samada di rumah sewa, dikampung atau ditempat kerja. Apabila tidak menemui, mereka mencari di rumah rumah perlindungan dengan menyamar sebagai bapa saudara, abang saudara, sepupu dan berbagai cara. Mereka bertanyakan nama teman wanita dan alamat. Setakat hari ini, penyamaran melalui telefon atau akaun fb palsu masih belum berjaya. Tetapi sekiranya mengoogle, ada alamat, pasti mereka berani datang dan menanggangu kedamaian di sini. Bermula dari satu kes, ia menjadi pelajaran untuk kemaslahatan Baitus Solehah akan datang.

Saya berharap semua faham akan menjaga keselematan dan privacy Baitus Solehah. Kami bersedia menerima tetamu yang berniat jujur dan baik. Terbuka dan selalu menerima tetamu.

Semalam saya mendapat panggilan permohon masuk remaja 15 tahun yang baru melahirkan anak. Mahu dihantar oleh ibu saudara setelah ibu bapa kandung tidak mahu ambil peduli hal anak yang terlalu liar.

"Puan, adakah anak saudara puan mahu tinggal di sini secara sukarela?"

"Tidak, kami paksa masuk, tak kan nak biar dia jadi makin teruk setelah ibu bapa tak nak ambil tahu hal anak."

"Puan, rumah kami di tepi jalan, tidak jauh dari bandar, rumah kami di sini, gate tak pernah kunci, pengawal keselamatan pun takde, agak agak puan dia lari tak jika puan hantar dia ke sini?"

" hah! Tak berkunci? Saya hantar pintu depan, dia keluar pintu belakang lah gitu."

"Ya puan, pelatih di sini datang secara sukarela, mereka bertahan kerana niat mahu berubah, jika mahu keluar pun mereka akan maklumkan, minta izin juga. Puan rasa rasa anak saudara puan mahu ke tinggal di sini?"

"Dia memang tak mahu pun, dia nak ikut pakwe dia, anak pun dia kata nak jaga, kita tak nak biarkan gitu tanpa nikah. Tu saya usaha nak masukkan ke rumah perlindungan."

"Kalau gitu puan, puan mohon masuk rumah perlindungan lain yang ada pagar tinggi, ada pengawal supaya dapat memantau dia dari melarikan diri. Boleh rujuk JKM juga kerwna bawah umur lagi."

"Baik puan, terima kasih atas penerangan dan nasihat."

Sementara emak saudara nak buat urusan masuk rumah perlindungan, sudah pasti remaja ni sempat hantar mesej kepada pakwe bagitahu dia dihantar kemana, dan nantinya pakwe akan cari alamat tempat tu, dan subahat bawa keluar. Ada berbagai teknik, lakonan dan cara mereka mahu melarikan diri jika tidak ada niat untuk bertaubat dan berubah.

Inilah secebis kisah yang membuat sesuatu peraturan berubah ubah dan bertambah ketat. Untuk kemaslahatan semua. Utamakan kemaslahatan. Jika kemudarat itu lebih besar.  
 
 
Darah kita sama merah, rambut kita sama hitam, hati kita lainlian, hanya Allah Yang Esa.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 20 June 2016

Bayi Menangis Saat Berpisah Dengan Ibu


Bayi Menangis Saat Berpisah Dengan Ibu
Jika suatu hari nanti anak bertanya, "ibu, kenapa ibu beri Zulaikha kepada mama?"

Agak agak apa jawapan yang mahu diberikan kepada anak itu?

Sebab itu setelah melalui pengalaman memelihara ibu ibu mengandung, menjaga mereka ketika mengandung, melihat betapa payah mengandung tanpa orang yang disayang di sisi mereka sebagai tempat untuk bermanja manja, meluah rasa, mereka jadi orang yang memendam rasa, apabila sunyi mereka bicara berdua dengan anak dalam kandungan.

Bicara bicara sayu mengetar jiwa raga, kedengaran apabila malam menjelma. Waktu siang kita boleh lihat bicara mata mereka yang kerinduan pada keluargà dan orang orang disayang. Apakan daya mereka tidak berupaya. Bukan semua memahami keadaan mereka, kehendak mereka yang susah payah dan sukar membawa perut ke sana sini.

Keadaan ini membuat mereka sayang pada anak dalam kandungan. Tujuan keluarga menghantar mereka ke rumah perlindungan agar mereka dibimbing untuk bertaubat dan berubah. Tetapi lain pula yang mereka rasa. Dalam keadaan sukar, payah mereka sendirian, jauh dari keluarga, dan ini membuat mereka rasa terbuang. Tujuan keluarga agar mereka insaf, serik dan berubah. Selepas ini tidak lagi terjebak dan tersasar oleh hasutan syaitan iblis.

Dan apabila mula sakit sakit, ada tanda nak beranak, naluri dan fitrah mahu orang disayang berada disamping mereka. Betapa azab emosi dan rasa yang mereka lalui. Sebaik anak lahir, anak diletakan didada mereka, fitrah semulajadi Allah hadirkan kasih sayang kepada anak. Mereka ingin berkongsi kegembiraan selamat melahirkan anak dengan orang disayang. Namun semua itu cuma angan angan. Selepas melahirkan betapa payah dan susah berjaga, menjaga anak yang baru lahir dengan kudrat yang ada. Mereka kena berusaha sendiri untuk bangun mengurus diri dan anak.

Inilah pengajaran dan pelajaran. Sekiranya yang insaf dan sedar, mereka berusaha menjauhkan diri dari maksiat, mencari ilmu dan menjaga amalan supaya Allah memandang mereka dengan pandangan keampunan dan menerima taubat mereka.

Namun...ada yang menerima zuriat dan ada yang menafikan hak nasab. Sekali lagi ibu terpaksa melalui kegetiran emosi, rasa dan jiwa apabila anak itu dipaksa menyerahkan kepada keluarga angkat. Kebanyakkan ibu bapa menyokong anak itu diplihara sendiri dengan bantuan keluarga lainnya terutama kakak atau abang , paling tidak emak saudara menumpangkan sementara di rumah mereka selepas keluar dari Baitus Solehah. Ada juga yang membuat lakonan, dengan skrip drama swasta. Samada anak pulang dulu atau ibu pulang dulu. Skrip ini direka awal awal, dengan bercerita kepada saudara mara dan jiran tetangga ingin mencari anak angkat yang baru lahir. Jadi apabil bayi dibawa pulang dahulu, dihebahkanlah bahawa sudah dapat anak angkat. Dibuat kenduri doa selamat dan majlis cukur rambut bagi meraikan kehadiran anak angkat yang masih bayi.

Ada juga setengah ibu bapa berpindah rumah kekawasan baru, berjiran baru. Dikawasan rumah baru, jiran belum kenal dan tahu hal hal keluarga, jadi bila bawa pulang ibu dan bayi seseolah, anak itu sudah berkahwin dan pulang berpantang di rumah ibu. Suaminya kerja luar dan tidak sempat menguruskan isteri baru beranak. Lihat betapa payah, bukan sahaja diri sendiri tetapi keluarga yang terpaksa berlakon dan berbohong.

Sedarlah semua menyelamatkan ummah bukan tugas individu, semua pihak perlu mengambil peranan, dengan mengambil berat hal jiran, bertanya khabar , berziarah sekiranya lama tidak kelihatan.

Sebelum ini, sungguh sayu melihat apabila emak dan ayah yang datang hanya mahu membawa anak mereka saja dan bayi dipaksa ditinggalkan. Sekali anak diuji, jiwa raga dan emosi...antara anak atau emak? Nenek yang datang, usahkan nak memeluk, menyentuh, tengok pun taknak. Kasihan... Bayi tu langsung tidak bersalah, tidak ada kena mengena dengan dosa ibu ayahnyà, tetapi tidak mendapat hak untuk dipeluk, dikasihi dari keluarga kandung.

Petang tadi pun begitu, kerana maruah keluarga lebih utama, ketaatan kepada ibu bapa, bayi yang berusia satu bulan ini dipaksa tinggal di Baitus Solehah. Ketika ibunya mahu berangkat, menciumnya, terbit air dipenjuru mata. Meleleh perlahan lahan walaupun sedang tidor. Bayi ini sedar, dia tidak dibawa pulang bersama ibu, maka terputuslah air susu dia dengan ibunya. Sebulan bayi ini dibelai sayang dan kasih oleh ibunya, sepenuh penyusuan susu ibu, tiba hari ini dia terpaksa dipisahkan. Ibu dibawa pergi oleh nenek pulang ke rumah. Alangkah hiba apabila mengetahui keadaan sebenar.

Saya pun tidak berupaya menyedarkan mereka yang sangat berpegang apa orang kata, nak letak maruah ni kat mana. Saya sangat malu, macamana nak sorok pipi, rasa muka disalut taik lembu. Kalau dah gitu, berlakon tak mahu, takde daya upaya nak memaksa pelihara cucu sendiri.

Akhirnya berpisahlah ibu dan anak. "Jika kau sayang anak, begitulah ibu juga, sangat sayangkan kau." Si anak kembali ke rumah keluarga tanpa bayi yang sangat dikasihi.

"Kau baru satu bulan dah rasa sangat sayang pada anak, emak ini dah 20 tahun mengasuh engkau, bandingkanlah banyak mana kasih sayang emak kepada engkau." Sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju.

La haw lawala quwata illah billah....



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 9 February 2016

Menambah Isteri Untuk Harmoni


Jangan sentap dan terus membara dengan tulisan saya ini bagi mereka yang tidak bersetuju dengan poligami. Baca sampai habis dengan lapang dada. Jika tidak boleh berlapang dada, boleh terus tinggalkan status ini.

3 hari berturut turut saya bertemu dengan pasangan yang berhajat untuk berpoligami. Mereka bertemu saya bersama sama dengan isteri memohon dicarikan calon isteri kedua. 2 pasangan memohon calon isteri dari kalangan pelatih yang telah bertaubat dan berubah. Mereka melakukan kerana Allah semata mata, mahu melindungi, menyelamatkan ibu dan bayi dengan memberi sebuah kehidupan baru.

Seorang gadis mendapat suami, seorang isteri memerolehi teman dan seorang anak mendapat ayah. Membina keluarga harmoni yang barakah dan dirahmati Allah.

Dengan tulus, seorang isteri menghubungi saya untuk dipilihkan calon isteri buat suaminya. Saya pernah berada ditempat isteri begini. Saya pernah berniat menghadiahkan seorang isteri kepada suami saya semata-mata mencari keredhaaan Allah. Tetapi hajat saya ditolak oleh suami , ketika itu suami masih sihat. Jadi saya boleh memahami rasa seorang isteri yang mencarikan isteri untuk suaminya.

Pasangan dari Selangor sudah melalui proses permohonan poligami di Mahkamah, insyaAllah akan bernikah pada bulan Rejab nanti. Pasangan kedua dalam proses pemilihan calon. Dan pasangan ketiga pun sama, proses bertaaruf. Pasangan 1 dan 3 memohon calon isteri dari dari kalangan pelatih yang telah melahirkan anak, yang rela dan bersedia untuk berpoligami. Ini antara keupayaan mereka membantu menyelamatkan dua jiwa.

Kita lakukan ikut kemampuan dan keupayaan masing masing dengan pertolongan Allah. Setiap pasangan mesti memohon petunjuk dari Allah supaya keluarga yang dibina diberkati, hidup dalam harmoni dan dirahmati.

Siapa lagi yang ingin mengambil mereka sebagai isteri? Mereka jelas menyatakan tidak mahu berkahwin dengan pasangan yang telah merosakkan mereka melainkan telah bertaubat. Mereka telah ditarbiyah untuk menjalani kehidupan seterusnya dijalan jalan yang Allah redha. Mereka tidak lagi mahu terjebak walaupun mereka sebenarnya telah diperdaya. Maka bantulah mereka, jangan diungkit kisah silam dan dikeji apa yang telah mereka lalui.

Sekurang kurangnya para isteri berbuat dua kebaikkan. Kebaikkan mengizinkan suami memberikan kehidupan baru kepada seorang ibu tunggal dan bayinya. Kebaikkan membina persaudaraan sesama insan yang tidak mempunyai apa apa. Moga moga dengan amalan ini dipandang Allah dan menjadi asbab kita ke syurga.

Berkongsi kasih bukan bermakna kasih sayang dan cinta suami terbahagia dua. Kasih sayang tetap unggul dan total untuk isteri. Untuk bakal isteri kedua, kasih sayang tumbuh dan bercambah sendiri tanpa meluakan kasih sayang pada isteri pertama. Jadi jangan bimbang samada diketepikan atau diabaikan. Sebaliknya para suami akan lebih menyayangi dan menghargai kesediaan isteri untuk berpoligami bagi membina keluarga harmoni.

‪‎BaitusSolehah‬ berusaha membantu suatu kehidupan yang Allah redha untuk pelatih yang telah melalui proses tarbiyah.
Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta,kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 8 February 2016

Daftar Masuk Pelatih Baru




Paling jauh dari Sabah. Merantau dari Sandakan untuk mencari rezeki di Semenajung Malaysia. Bekerja di kedai perabut. Bertemu seorang pekerja Nepal. Lalu terpedaya dengan pujuk rayu. Setelah 2 bulan, pekerja Nepal pulang ke negaranya. Ketika itu masih tidak menyedari diri hamil. Bulan ketiga masih tidak datang haid, barulah buat pemeriksaan urin, dan mendapati diri hamil.

Tidak tahu kemana mahu dituju. Keluarga jauh di Sandakan, Sabah. Hingga bulan ke 6 hamil, barulah berhenti kerja. Duit habis bayar sewa rumah, kos pengangkutan dan makan. Dalam keadaan kebingunan, gadis ini menghubungi saya, menceritakan masalah sedang dihadapi. Sewa rumah telah ditamatkan kerana sudah tidak bekerja dan tidak mampu bayar sewa rumah. Mahu pulang ke Sabah, tidak ada duit. Usahkan mahu beli tiket kapal terbang, mahu beli tiket bas ke Johor Bahru dari Shah alam pun tidak cukup duit.

Kebetulan 4 Februari lalu, saya ada kes yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Apabila kes hari itu selesai, Saya hubungi gadis, dan bertanya, bila dia mahu ke Johor Bahru. Dia menyatakan sangat ingin ke Baitus Solehah, tetapi duit masih belum cukup untuk beli tiket bas. Oleh kerana kasihan, saya mempelawa dia untuk ikut saya pulang. Dengan gembira dia menerima pelawaan saya.

Itu satu kisah dari beratus, bahkan beribu kisah gadis gadis terlanjur yang telah mengadung tanpa suami. Lelaki yang menganiya mereka pergi begitu saja tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawap. Sedihkan...

Apabila datang secara sukarela, memang mudah untuk dibentuk, dibimbing untuk bertaubat dan berubah menjadi perempuan baik. Mereka rela hidup seadanyà. Tinggal kita antara belas ehsan untuk menyediakan keperluan mereka. Perlu menyediakan kelengkapan bayi, kelengkapan untuk bersalin, pakaian dalam (bra dan seluar dalam) yang sesuai. Ketika awal kandungan dan akhir bulan mengandung saiz telah berubah. Segala pakaian dalam yang awal mengadung sudah tidak boleh dipakai lagi. Maka perlu dibelikan lain.

Mereka nekad meneruskan kandungan dan mahu melahirkan anak. Anak ini akan dipelihara sendiri. Dengan sokongan Baitus Solehah mereka mendapat keyakinan diri bahawa mampu mengasuh anak sendiri. Diberikan tarbiyah bahawa yakinlah setiap rezeki manusia di dalam jaminan Allah. Berbekalkan iman yang baru disemai, mereka meneruskan kehidupan. Mereka memperbaiki ibadah khusus harian, belajar membaca al quran walaupun dari Iqra 1. Zikir menjadi amalan harian untuk pemurnian hati dan pembersihan jiwa.

Hiduplah mereka semua bagai bersaudara. Saudara dari lain negeri, lain pendidikan, lain budaya, lain mak ayah dan lain keturunan. Mereka boleh bersatu, bekerjasama, bertoleransi hanya kerana status yang sama. Sama sama berduka dan menangis. Sama sama merasai sakit yang sama.

Sayu, pilu, hiba dan rindu pada keluarga usah diceritakan....

Boleh anda bayangkan bagaimana mereka boleh bersatu sejiwa hanya asbab yang sama?

Jumlah terkini bayi yang dilahirkan di Baitus Solehah 101, padahal Baitus Solehah wujud baru 3 tahun. Jumlah pelatih semasa adalah 35 orang, jumlah bayi semasa 15 orang. Baitus Solehah menjadi pilihan kerana disini tidak dikenakan sebarang bayaran. Mereka ditarbiyah seperti madrasah. Penggajian sepanjang masa. ‪#‎BaitusSolehah‬ menyokong ibu ibu memelihara bayi mereka sendiri. Tidak menyokong penyerahan anak kepada keluarga angkat.

Hari ini saja 3 orang bakal ibu mendaftar masuk. Seorang dari Pulau Pinang, seorang dari Pahang dan seorang dari Selangor. Semalam seorang dari Sabah dan seorang Johor. Mereka dari negeri yang jauh jauh belaka.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 7 February 2016

Cuti Panjang Bersambung Hujung Minggu



Oh...kasihannya, sangat terlupa yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena menyambut tahun baru cina. Kasihan sungguh ! Seorang pelatih telah melahirkan anak pada hari Rabu, tengahari. Malamnya, saya telah ke Selangor. Hari Khamis, pagi saya ada urusan penting di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam. Urusan di Mahkamah selesai pada pukul 2.30 petang.

Sepatutnya hari Khamis tu, pelatih perlu dijamin keluar di Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Hari Khamis, waktu kerja di Johor cuma sampai 3.30 petang saja. Memang saya tidak sempat untuk pulang ke Johor Bahru untuk menjamin keluar pelatih pada hari berkenaan. Saya ingat, pagi Ahad saya ke JKSP untuk jaminan keluar.

Pagi ni, baru saya teringat yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena tahun baru cina. Sudah tentu pejabat JKSP juga tutup. Hari Selasa baru dapat buat jaminan keluar. Allahurabbi, lamanya pelatih tu duduk wad. Habis tu nak buat apa lagi?

Pelatih tu telah melahirkan anak lelaki, 2.7 kg. Bayi di wad bayi, ibu di wad brsalin. Tidak tinggal di wad yang sama. Tentu bengkak payudara ibu kerana tidak dapat menyusukan anaknya. Alahai...

Fikir semula...kenapa ini berlaku? Ibu lepas beranak, tapi tak dapat tengok dan peluk anaknya selama 7 hari. Nak kena tunggu dijamin keluar baru boleh lihat anak.

Sudah tentu pihak hospital makin tegas terhadap peraturan apabila baru baru ini ada kejadian bayi terdampar di wad. Ibu bayi telah melarikan diri dari wad dan meninggalkan anak yang baru dilahirkan di wad bayi. Itu rasional sebenar ibu yang tidak bersuami dan bayi dipisahkan selepas dilahirkan.

Ibu yang tidak mempunyai suami, emosinya tidak stabil. Kecelaruan minda dan emosi. Boleh saja bertindak diluar kawalan kita dan bertindak luar jangkaan akal kita. Sebab itu ibu ibu yang begini perlu diawasi, namun semua kita tahu kat wad tu ada berapa ramai ibu ibu yang baru melahirkan anak, dan jururawat bertugas cuma ada berapa orang saja. Itulah rasional kenapa ibu ibu yang tidak mempunyai suami, sebaik melahirkan anak, anak dan ibu dipisahkan wad. Jururawat tidak mamou untuk mengawasi ibu ibu ini sepanjang masa. Bukan seorang ibu berstatus 'sms' berada di wad bersalin tu.

Jadi dalam hal ini, semua berlaku bukan atas dasar menganiya dan menzalimi ibu dan bayi, tetapi lebih kepada menjaga kemaslahatan ibu dan bayi. Kita tidak tahu apa yang sedang difikiŕkan oleh ibu tidak ada suami dan baru melahirkan anak.

BaitusSolehah‬ belum mampu untuk menyediakan staff berbayar. Bukan semudah itu untuk menjamin keluar ibu ibu yang melahirkan takde suami. Alangkan saudara mara pun payah untuk dilepaskan oleh JKSP inikan pulak yang tidak dikenali. Tugas kita bukan sekadar menjamin dan sign on paper, tetapi pegawai akan menebual kita sejauh mana kenal orang mahu dijamin, bagaimana akhlak, bagaimana tingkahlaku sejak berlindung di BS dan bagai bagai lagi.

Nanti selepas sign dokumen , kita kena uruskan discaj wad ibu dan bayi yang mengambil masa lebih 3 jam.

Sebab itu ada beberapa keadaan tertentu, jika keluarga berada di sekitar Johor, saya minta mereka bantu urus atau ada keluarga yang menawarkan diri untuk menguruskan.

Selepas mereka urus hingga discaj, mereka hantar ke BS, mesti mereka berkata, "masyaAllah ummi, lamanya procedur untuk discaj, dari tenghari sampai ke maghrib baru selesai. Saya tak boleh bayangkan macamana ummi uruskan selama ini. Puas saya bersabar. Tak sanggup saya dah."

"Puan cuma uruskan seorang, saya uruskan sudah berpuluh puluh orang, tak ada apa kita boleh mempercepatkan urusan melainkan kita yang harus bersabar."


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 6 February 2016

Sesat dalam Beg Tangan

Cantik beg tangan ni. Besar, menarik dan diperbuat dari kulit. Buatan tangan lagi. Angah belikan kat Algeria. Tengah memandu kereta, telefon berbunyi. Telefon kecik molek nokia model 3315. Bila berbunyi, sambil memandu tandan kiri seluk beg tangan yang diletakkan ditepi saja atas hand brek berhampiran gear.

 

Seluk menyeluk, gagau sana gagau sini, tak jumpa telefon tu. Bunyi nyaring tapi tangan yang mengagau dalam beg tangan tak juga tergagau telefon. Yang tergagau dek tangan saya ialah berus gigi, buku nota, minyak angin aromatheraphy, jam tangan, pen, power bank, tisu, sapu tangan, stokin, sarung lengan, dompet, pad, cermin mata, kertas nota, bil letrik, bil hospital, buku derma darah, pendriver, passport, cincin, subang dan bagai bagai lagi ...

Sesat sesat langsung tak jumpa, akhornya telefon berhenti berbunyi. Bila dah berhenti berbunyi, lagi sukar nak mençari tanpa panduan arah. Hahaha...

Dulu pernah beg tangan saya diambik orang dari tingkap waktu maghrib, bila buat laporan polis kehilangan beg tangan yang dicuri, polis minta senaraikan barang barang yang ada dalam beg tangan. Dari A hingga R... polis tanya, ini beg tangan atau peti harta karun?



Impianku menjadi isteri solehah, 
 selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 5 February 2016

Ambik Lebihan Makanan, Pastikan Halal

Pastikan semua orang sudah makan, minta izin dari pengajur, baru boleh ambik. Boleh ambik pun, jangan ambik satu tray.

 
Kenapa?

 
Supaya ia halal. Kerana apabila kita dihidangkan makanan secara buffet, ambik makanan seadanya, jangan berlebihan hingga tidak habis dimakan dan akhirnya dibuang. Dan paling ditakuti, ada yang belum ambik, makanan sudah habis kerana ada yang ambik bungkus, masuk beg atau poket.

 
Berhati hati dengan rezeki yang ada depan mata. Fikirkan orang lain. Jika bibik di rumah, selalu sebut " simpan untuk orang belakang ". Dan anak buat lawak, dia akan toleh belakang, "bik, takde orang kat belakang, boleh ambik habiskan ya?"


 Begitulah adap dan akhlak seorang mukmin, berhati hati dengan makanan. Samada sikit atau banyak. Bila banyak jangan membazir, bila sikit kita bersyukur.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 4 February 2016

Hukuman Paling Ringan Bagi Orang Yang Bertaubat


 Bukan semua kes jenayah syariah diberikan keringanan hukuman. Namun sebesar mana dosa kita dengan Allah selain syirik, tetap Allah ampunkan. Pintu taubat sentiasa terbuka. Taubat mesti dengan tindakan, bukan sekadar pengakuan. Allah tahu.

 


Allah yang menghendaki. Hukuman paling ringan semalam dijatuhkan ke atas pelatih ialah seperti yang tertera dalam kertas ini. Dibebaskan dengan jaminan dan perlu meneruskan penggajian untuk mendalami agama Islam di Baitus Solehah selama 50 jam lagi. Pihak Baitus Solehah akan terus memantau perkembangan sahsiah dan akhlak pelatih. Iman? Hanya diri sendiri yang tahu. Kita cuba boleh melihat perlakuan zahir. Namun perlakuan zahir akan tercerna dari hati yang murni.

 


Kita tidak punya daya upaya melainkan mengharap pertolongan Allah.

Wahai remaja di luar sana, bukan semua kamu bernasib baik dipermudahkan urusan dan diberikan keringan hukuman jika taubat kamu adalah taubat main main. Insaflah...




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tugas Bertambah Kes Dirujuk Ke Mahkamah


Jika sebelum ini urusan saya mengendalikan pelatih ke klinik kesihatan, ke Bilik Saringan, ke JPN untuk mendaftar kelahiran dan ambik nenek untuk mengurut ibu ibu selepas melahirkan. Mulai hari ini bertambah tugas apabila perlu menemani mana mana pelatih yang perlu hadir ke Mahkamah apabila ada sebutan kes.

 
 
Membantu meringankan hukuman dengan menyediakan surat akuan perlakuan baik sepanjang berada di Baitus Solehah. Mereka telah berusaha bertaubat dan berubah. Menerima bimbingan dan didikan untuk menjadi insan mulai yang Allah redhai.

 
 
Sejak kebelakangan ini, sudah beberapa pelatih menerima surat hadir ke Mahkamah atas dakwaan telah melakukan persetubuhan di luar pernikahan. Samada setuju atau tidak memang wajib hadir. Untuk memudahkan urusan, pelatih rela membuat pengakuan bersalah kerana jenayah syariah yang dilakukan dan rela menerima hukuman. Walaupun bukan hukum hudud dilaksanakan, moga moga jiwa mereka tenang setelah berusaha untuk bertaubat dan berubah menjadi insan yang Allah redha.
 
 Dalam Kamar Mahkamah Tinggi Syariah

Apabila sebutan dibacakan....kes jenayah syariah sekesyen 26.

Hukumannya denda tidak melebehi RM 5000.00 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat dengan 6 sebatan atau dihukum kombinasi antaranya yang sah.

Persediaan melakukan persetubuhan disebuah hotel...bersama pasangan bernama...

Adakah kamu mengaku bersalah?

Ada sesiapa yang memaksa kamu mengaku bersalah?

Kamu faham akibat pengakuan bersalah kamu?
 
 
 Hukuman Telah Dijatuhkan

Setelah dibacakan pertuduhan oleh pegawai pendakwa raya, rayuan telah dilakukan, lama juga mahkamah sepi dan diam untuk mengetahui hakim menjatuhkan hukuman.

Mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah...

Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman,

"Dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga atau pegawai dari Rumah Perlindungan Baitus Solehah dan mengikuti kelas pembelajaran agama 50 jam."

Terima kasih kepada peguam peguam yang membantu menyediakan dokumen mitigasi supaya hukuman diringankan. Sesungguhnya Allah yang Maha Perkasa menghendaki jalan ini dilalui.

Doa hamba yang bertaubat, doa dan zikir kautharan di setiap hari, zikir memohon Allah tunjukkan jalan jalan kebaikkan.

Sesungguhnya Allah menunjukkan orang orang yang beriman dan bertakwa jalan keluar segala permasalahan tanpa kita ketahui. Allah Ya Barri.
 

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tarikh Lahir ke 51 Tahun



Tahun 2010 pada 4 Februari, tarikh hari lahir saya, saya berada di Dewan Bedah HSAJB menjalani pembedahan sendi kaki (total knee replecemant) kaki kiri.

 


Tahun 2016 pada 4 Februari, tarikh lahir saya, saya berada di Dewan 2, Aras 5, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

 


Inilah aturan Allah yang tidak pernah kita duga dan rancang. Selalu orang lain merancang sebaik baiknya nak duduk bersama keluarga dan meraikan dengan makan minum dan hadiah hadiah. Berlainan dengan saya.

Entah entah tahun depan pada 4 Februari saya berada di pusara. Mati itu pasti, hidup ini insyaAllah


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.