بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ini adalah entri terakhir untuk tahun 2010. Banyak kenangan yang tercatat di dalam sejarah pada tahun ini.
Jika mahu menyenaraikan semua yang telah dibuat, takut pulak ada perasaan riak yang menyelinap di dalam tulisan.
Cukuplah Allah telah lantik dua malaikat yang mencatatkan segala kerja-kerja harian.
Dua malaikat Rakib dan Atib yang setia dan amanah dengan tugas diberikan oleh Allah kepada setiap manusia. Walau sezarah pun, semua perlakuan manusia dicatat oleh mereka ini yang sentiasa ada bersama kita.
Sebab itu kita perlu berasa malu kerana 2 malaikat ini sentiasa bertugas mengawasi kita. Nak buat baik atau nak buat maksiat. Nak buat perkara tak senonoh atau bersopan, semua terpulang atas diri kita sendiri.
Kenapa nak mandi pakai kain basahan. Nak berjimak di bawah selimut. Bukannya,jika sudah bertutup itu mereka tak nampak, tapi pada adapnya,kita telah berusaha agar bersopan.
Begitu juga dikala sendirian. Kita kata kita selalu sendiri,hidup sebatang kara. Sebatang kara tu hanya dari segi adatnya, tak ada manusia lain disekeliling kita. Tetapi yang sebenarnya, kita tidak pernah sendirian, kerana adanya 2 malaikat yang bertugas mencatat segala tingkah laku dan perbuatan kita setiap detik dan saat.
Ditambah jika di dalam hati ada rasa pergantungan kepada Allah SWT, lagilah kita tidak pernah rasa sendirian. Allah sentiasa bersama kita, selagi kita ingat pada NYA. Firman Allah :
"Apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, hendaklah kamu ingat akan Allah waktu berdiri dan duduk dan berbaring " (an-nisa’:103)
"Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring." (ali-imran:191)
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya. (Perbanyakkanlah mengingati Allah)." (al-ahzab:41)
"Sesungguhnya mengingati Allah lebih besar (faedahnya)." (al-ankabut:45)
Begitu banyak dalil-dali dari ayat Al-Quran menyatakan bahawa hati orang-orang yang beriman sentiasa mengingati Allah SWT, tidak kira dalam apa jua keadaan pun. Setiap manusia mesti berada di dalam 3 keadaan ini sahaja. Samada sedang berdiri (bejalan, berlari, melompat), duduk (mencangkung, bersila, bersimpuh) dan berbaring (telentang, meniarap atau mengiring). Adakah manusia yang tidak berada di dalam 3 keaadaan ini samada ketika dia sihat atau sakit?
Tak ada kan? Jadi ketika mana kita tidak disuruh untuk mengingati Allah SWT?
Ada kesankah jika kita selalu mengingati Allah?
“Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) hati akan menjadi tenang.”
Hati kita tenang, apalagi kalau hati kita dekat terus dengan Allah melalui zikrullah dan ibadah. Tentulah akan lebih tenang.
“Orang yang menyebut Allah sedang dia lalai sama seperti pohon yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering”
Dalam hadith qudsi, Allah telah berfirman:
“Aku sentiasa dengan hambaKu setiap kali dia mengingatiKu dan bergerak-gerak kedua bibirnya menyebut namaku”
“Jika hambaKu mengingatiKu dalam dirinya, Aku pasti mengingatinya dalam diriKu. Jika dia menyebut namaKu di hadapan khalayak ramai, Aku akan menyebut namanya dihadapan khalayak yang lebih mulia daripada khalayaknya. Jika dia menghampiriKu sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta, jika dia mendekatiKu sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia datang berjalan kepadaKu, Aku akan berlari kepadaNya. Yakni segera menyahut segala permintaannya”
Sabda Nabi s.a.w lagi:
“Tujuh manusia yang akan dinaungi Allah ‘Azzawajalla di hari tiada naungan melainkan naunganNya. Diantara yang tujuh itu ialah orang yang sentiasa menyebut-nyebut nama Allah, bersendirian, lalu mengalir air matanya kerana takut kepada Allah”
Berkata Mu’az bin Jabal r.a:
"Penghuni syurga tidak akan meyesal apa pun lagi kecuali pada saat-saat yang berlalu di dunia di mana dia tiada menyebut nama Allah s.w.t"
Bersabda Rasulullah s.a.w:
"Tiada suatu kaum yang duduk-duduk di majlis di mana mereka menyebut-nyebut nama Allah ‘Azzawajalla melainkan akan dinaungi malaikat, dikelubungi oleh rahmat dan disebutkan mereka oleh Allah Ta’ala kepada sesiapa yang ada disisiNya"
Jadikan lah segala apa yang telah dilalui sepanjang perjalanan hidup ini sebagai pengajaran dan iktibar. Jika mampu,perbaiki kualiti ibadah harian. Jangan kualiti ibadah kita, amalan harian yang kita lakukan setiap hari itu sama sahaja dari dulu, kini dan selamanya.
Dalam kembara harian hidup kita ini, perlu utamakan yang utama. Tinggalkan sampingan yang tidak mendatangkan manafaat. Jaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia lain,agar kualiti ibadah mendapat rahmat daripada Allah Ta'ala.