بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan pabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia. Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Qura’an.
[Al Baqarah:117]
Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia."
[An Nahl:40]
Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: "kun (jadilah)", maka jadilah ia".
[Yaasiin:82]
Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia".
[Al An'aam:73]
Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui
[Al Mu'min:68]
Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia".
[Maryam:35]
Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia".
[Ali 'Imran:47]
Maryam berkata: "Ya Tuhanku, betapa mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuh oleh seorang laki-lakipun." Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril): "Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya: "Jadilah", lalu jadilah dia.
[Ali 'Imran:59]
Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia.
Apa kena mengenanya apa yang terjadi pada diri saya?
Hari Isnin, 27 Februari 2012, waktu zauj membentang sejadah untuk solat berjemaah, sejadah zauj basah. Zauj bertanya basah ini dari mana?
Saya berfikir, tak ada air tumpah, maka tentu air dari aquarium. Tapi tidaklah periksa habis-habis sebab nak bersolat dahulu.
Selesai solat dan doa, zauj bangun dan lihat dari mana datangnya air. Memang betul dari aquarium, saluran pvc untuk masuk ke takungan filter bocor menyebabkan air melimpah dan membasahi lantai.
Oleh kerana ada beberapa urusan yang perlu didahulukan, hantar Imran anak bongsu ke sekolah di SKTU3, maka zauj tinggalkan dahulu cerita tentang kebocoran aquarium tu.
Saya pulak, selesai solat, terus ke dapur , menyediakan nasi goreng buat bekal dan sarapan Imran ke sekolah. Hari-hari Imran bawa bekal dari rumah ke sekolah.Bukan Imran sahaja, anak-anak yang lain pun sebelum ini, bawa bekal dari rumah ke sekolah. Baihaqi yang belajar di kolej pun, bawa bekal dari rumah untuk di makan waaktu tengah hari.
Zauj balik dari menghantar Imran, menyiapkan Naimah pulak untuk ke PASTI SISWA 3 di Taman Pulai Utama. Naimah cucu pertama, usia akan menjangkau 5 tahun pada September 2012 ini. Ibu Naimah sedang menjalani klinikal perubatan di Hospital Ampang dan Hospital Temerloh. Selalu ada on call menyebabkan zauj simpati kepada Naimah dan adiknya yang terpaksa bertukar-tukar pengasuh. Ibu dan ayah Naimah mengizinkan kedua-dua anak ini di asuh oleh saya dan zauj sehingga ibu Naimah tamat menjalani klinikal perubatan.
Selesai urusan cucu ini, barulah zauj memulakan kerja-kerja pembersihan aquarium yang bocor itu. Air dari aquarium di sedut keluar secara 'saipan' dan dialirkan masuk ke dalam longkang. Sambil itu zauj mengangkat karpet yang basah, dijemur di luar rumah dan mengelap lantai yang basah.
Berulang kali zauj mop lantai agar segera kering. Nu'man (adik Naimah) leka menonton TV. Selepas mop lantai, zauj menyidai pakaian di luar rumah. Memang sejak zauj bercuti sabatikal selama 9 bulan, hari-hari zauj akan menyapu lantai, mop lantai dan sidai pakaian. Kerja-kerja ni banyak bergerak dan berjalan, sedangkan saya jarang lakukan kecuali jika tidak ada sesiapa di rumah. Kaki saya mudah sakit dan snegal apabila banyak berjalan walaupun hanya di dalam rumah ke depan dan ke belakang.
Sedang zauj menyidai pakaian, Nu'man minta dimandikan. Saya pun bergerak menuju ke kawasan berhampiran aquarium kerana kebetulan bakul pakaian Nu'man ada di atas kerusi sebelah aquarium. Belum saya sempat mencapai pakaian Nu'man, tiba-tiba saya tergelincir dan jatuh terlentang ke belakang. Jatuh dengan bunyi yang kuat sehingga zauj yang berada di luar mendengar bunyi benda jatuh. Dan saya juga sempat menjerit memanggil zauj,"abang, muna jatuh."
Zauj berlari masuk dan melihat saya sudah pun terbaring dilantai. Zauj betulkan kedudukan kaki kiri saya yang terlipat hampir 90 darjah. Kedua-dua kaki saya telah dibedah keran penggantian sendi palsu. Sendi lutut asal telah rosak dan diganti dengan sendi palsu. (Guna IMPLANT, pembedahan ini di istilahkan Total Knee Replecemant). Apabila telah diganti sendi palsu, keupayaan sendi ini terlipat hanyalah sehingga 90 darjah sahaja.Sebab itu, apabila telah menjalani TKR, pesakit tidak boleh lagi duduk mencangkung, duduk tahiyat dan bersujud ketika solat.
Melihatkan saya dalam keadaan terbaring, zauj cuba untuk membantu saya bangun tetapi tidak berjaya. Saya merasa seperti tidak berupaya untuk bergerak apatah lagi untuk mengerakkan kaki. Hampir 20 minit saya terbaring, air mata meleleh keluar, bergbagai perkara negatif bermain di dalam fikiran saya dan saya bermonolog dalam hati, adakah aku mengalami kecederaan? Keretakkan tulang belakang atau lumpuh? Aku tak boleh mengerakkan kaki. Aku masih merasai bagaimana keadaan aku semasa jatuh terlentang dan terhempas ke lantai seperti pokok kelapa tumbang."Ya Allah, aku mohon ampun, jika aku mati, mati aku dalam iman yang sempurna, akhlak terpuji dan pekerti mulia. Limpahkan rahmat MU disaat dan sesudah kematian ku."Itu saja doa yang berdetik di hatiku saat aku terbaring. Tasbihku tidak putus di dalam hati agar tidak sesekali melupakan Allah.
Apabila telah tenang, barulah saya cuba mengerakkan tangan, mengerakkan kaki dan berusaha untuk duduk sendiri tanpa bantuan zauj. Alhamdullilah, berjaya dan perlahan-lahan saya bangun berdiri. MasyaAllah, Subhanallah, saya masih boleh berdiri dan berjalan.
Sambil menyapu air mata yang mengalir keluar, saya dengar zauj menasihati agar saya berhati-hati. Zauj kata dia sudah mop banyak kali agar lantai tu kering. Namun memang sudah takdir yang tersurat, saya jatuh juga kerana tergelincir. Dan ada keajaiban yang Allah perlihatkan di sini. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan atau keretakkan tulang. Hanya terasa sakit sedikit di bahagian sendi kaki.
Dengan berhati-hati saya melangkah, berjalan ke bilik air, dan berwuduk. Selepas itu ada tamu datang ziarah, saya layan sambil menghidangkan makanan. Selepas tamu balik, keadaan saya masih mengigil ketakutan mengingatkan keadaan diri sewaktu jatuh. Saya bawa berehat di katil, mana tahu ada kecederaan dalaman yang belum terasa sakitnya.
Walaupun ramai yang menasihati supaya saya pergi ke klinik atau pergi berurut, saya bertenang dahulu.Saya mahu mempastikan bahagian mana yang sakit dan sakit yang bagaimana rasanya.
Walaupun esoknya, 28 Februari, hari Selasa, saya mengalami serangan jantung, saya menganggap serangan jantung itu tidak ada kena mengena dengan sakit disebabkan jatuh semalamnya. Selepas 40 minit saya mengawal diri, pernafasan dan bertenang, keadaan pulih semula.
Memang apabila pulih saja, perkara pertama saya lakukan ialah berwudhuk. Selesai solat dhuha, aku menangis dan berdoa. "Maha Suci Engkau Ya Allah, Sepenuh timbangan,sejauh ilmu, sebanyak keredhaan, setimbang Arasy, tidak ada tempat berlepas dan bersandar hanya kepada Allah Yang Maha Suci. Allah sebanyak tunggal dan yang sejodoh ,Yang Kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Cukuplah Engkau tempat Aku berpegang. Engkau sebaik-baik tempat aku berpegang dan tempat aku meminta pertolongan. Ya Allah, matikan aku dalam iman dan islam yang sempurna, limpahkan rahmatMU di saat dan sesudah kematian ku"
Itu saja yang terdetik disudut hati di saat aku melalui suatu kesakitan. Aku telah redha jika bila-bila pun Allah menjemput aku. Aku sentiasa mengharap rahmat Allah bersama-sama ketika sebelum, disaat dan selepas kematian ku. Sebab itu aku sentiasa positif walaupun suatu ketika dulu, masa silam yang telah berlalu, semasa jahil dengan ilmu dan amal, dosa bertimbun melepasi gunung, aku yakin Allah itu Maha Pengampun dan Maha Peyayang,asalkan kita tidak berputus dari mengharap rahmatNYA.
Apabila Allah masih memberi peluang kepada kita untuk bernafas lagi, lakukan sesuatu yang Allah redha. Taati Allah dan RasulNYA. Lakukan apa saja yang Allah redha dan tinggal apa jua yang Allah dan RasulNYA larang. Jangan ulangi kesilapan lalu dan banyak-banyak mohon ampun kepada Allah. Jangan merasa was-was atau hati masih berbolak-balik kerana syaitan yang ambil peranan jika masih ada keraguan dengan janji dan sifat Allah.
Ingat, Allah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang, jika kita telah bertaubat, sudah menyesali segala kemungkaran yang lalu dan telah meninggalkannya 100% maka usah lagi berbolak balik, adakah Allah telah mengampun kan diriku. Berserah diri, tawakal dan Yakinkan diri mengharap rahmat Allah yang luas.
Apa yang berlaku, ramainya orang, bertaubat , mohon ampun kepada ALlah, mengharap rahmat Allah tetapi dalam masa yang sama masih lagi tidak meninggalkan perkara mungkar dan perkara yang Allah dan RasulNYA larang walaupun perkara yang remeh dan kecil. Bagaimana mungkin rahmat Allah akan melimpahi diri jika begini caranya?
Berbalik kepada kesan selepas terjatuh, sehingga hari ini, Jumaat, 2 Mac 2012, saya merasa-rasakan manakah bahagian tubuh yang sakit, tetapi tidak ada. Hari rabu, saya telah merasa pulih sepenuhnya tanpa ada mana -mana bahagian tubuh yang sakit walaupun sendi kaki. Saya merasa-rasa diri untuk melihat kesan jatuh yang menurut pandangan normal jatuh dalam keadaan begitu akan paling kurang hentakkan yang kuat mengakibatkan badan sakit-sakit jikapun tidak ada kecederaan dalaman.
Namun, Kebesaran Allah, keAgungan Allah yang menciptakan manusia menurut qudrat dan iradatNYA, tidak terjadi sesuatu tanpa izinNYA. Jika kita mengelakkan tetapi kehendakan Allah perkara itu terjadi memang tidak sesiapa mampu menghalangnya. "Kun [jadi] maka faya kun [jadilah]"
Langkah berhati-hati agar tidak jatuh selama ini, kerana ingat pesan doktor pakar selesai menjalani pembedahan TKR, elakkan diri, jaga diri agar tidak jatuh yang nanti melibatkan kcederaaan tulang. Namun " kun [jadi] maka faya kun [jadilah]" oleh Allah perkara itu terjadi. Apabila telah terjadi , lihatlah kesannya. Kenapa keadaan jatuh begitu tidak memberikan apa-apa kesan ke atas diri saya?
Mengimbas dalam ilusi sedar, apa yang telah saya lakukan pada malam itu. Saya melakukan amalan zikir seperti yang disarankan oleh Teknologi Zikir Hiper Metafizik dengan niat mengharap ada redha Alalh di situ, untuk selalu recharge energy positif dalam diri melalui zikir. Zikir yang mudah tetapi perlu mujahadah untuk melakukannya. Bangun pukul 1.00 malam untuk menadah rahmat Allah yang memang diturunkan ke bumi di waktu dinihari. Memang janji Allah benar.
Syyidina Ali R.A meriwayatkan bahawa Rasullulah S.A.W bersabda: "Pada sepertiga malam yang akhir Allah S.W.T berfirman: Siapa di antara penghuni bumi yang ada permintaan, akan Aku beri, siapa yang ingin bertaubat, Aku ampuni dan siapa yang mempunyai hajat akan Aku perkenankan." ketika ini malaikat rahmat bertebaran turun ke bumi. Jadi , kenapa tidak kita kaut permata -permata rahmat yang turun ketika itu?
Setelah saya membaca dalam artikel tentang Teknologi Zikir Hiper Metafizik, saya melakukan pada waktu yang ditetapkan. Saranan yang dinyatakan dalam kaedah zikir hiper metafizik itu tidak langsung bercanggah dengan syariat, maka saya mencuba untuk mengamalkan. Zikirnya mudah untuk diamalkan. Cuma baca seperti tulisan saya di artikel Hujan Energi.
Saya tidak merasa mengantuk walaupun cuma tidor 2 jam, tidak merasa letih siangnya. Dan yang paling hebat, Allah memperlihatkan sesuatu apabila saya diuji dengan tergelincir dan jatuh terlentang pada paginya. Hebat sungguh ke Agungan Allah, cepat Allah memperlihatkan sesuatu yang jika kita lakukan semata-mata kerana mengharap redhaNYA sahaja.
Jadi jika kita mendapat ilmu, disarankan sesuatu amalan jika tidak bertentangan dengan syariat, maka lakukanlah dengan niat mengharap redha Allah semata-mata. Ingatlah Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring. Hanya dengan mengingati Allah, hati merasa tenang.
Semoga ada iktibar dan pelajaran dari perkongsian yang telah saya alami ini. Bukan niat membuka aurat kerohanian yang wajib disembunyikan tetapi saya mengajak pembaca mengamalkan sesuatu perkara yang baik dan memberikan ketenangan, kekuatan dalam diri selama menjalani kehidupan sebagai hamba Allah di bumi ini. Moga-moga dengan mengamalkan zikir ini, kita akan menjadi lebih penyabar, lebih kuat dan , lebih tabah apabila diuji oleh Allah untuk melihat keimanan kita.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
1 comments:
salam ummi
rindu mendorong saya mencuri masa
membaca ayat dan bait kata
di ruang maya
yang sanagat bermakna
buat diri ini
mengumpulkan kekuatan diri.
terima kasih ummi
Post a Comment