BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 2 July 2019

Tarikh Lahir Si Bongsu

2 Julai 2002, 02/07/02 adalah tarikh lahir anakku yang bongsu, Muhamad Imran. Hari ini, 02/07/2019, genap usianya 17 tahun.


Ketika umurnya 12 tahun 6 bulan, saya tinggalkan Imran di Tanah Jawa untuk menuntut ilmu setelah tamat belajar sekolah kebangsaan dan mendapat 5A dalam keputusan UPSR. Jika orang lain berlumba lumba membuat permohonan masuk ke MRSM, SPB atau SMKA, Imran tidak sebuk dengan semua itu.


Dari umur 10 tahun, sudah diingatkan , nanti lepas UPSR, Imran akan teruskan belajar di pondok. Pondok pun asrama penuh, bukan asrama harian. Bukan duduk di rumah emak ayah. Saya bercita cita mahu Muhamad Imran menguasai bidang agama dan dapat menyampai ilmu kepada masyarakat suatu hari nanti.


Kesinambungan legasi Baitus Solehah diteruskan oleh orang orang yang mempunyai ilmu dan mengamalkan supaya ummah dapat diselamatkan.

Imran, anak bongsu mesti rapat dengan emak. 12 tahun, sejak lahir tidor di sebelah emak. Tidak pernah berpisah dan berjauhan dengan emak. Siang malam berkepit dengan emak. Tiba tiba dihantar ke Tanah Jawa yang beribu ribu batu jauhnya menyeberangi laut.


Hati emak tak usah ceritalah dukalara berendam air mata. Begitu juga dengan Imran. Dalam perjalanan pulang, saya masih berada di Bandar Udara Juanda, Surabaya, Imran sudah pinjam telefon kawan, telefon emak sambil menangis.


Jadi emak mesti kuat, emak tak boleh menangis bila anak menangis di dalam telefon. Emak kena tegas dalam percakapan, dalam memujuk lembut.

" Imran, sekolah dekat atau jauh, Imran tetap tak boleh terus duduk dengan ummi. Imran kena belajar untuk berpisah dengan ummi. Imran tetap berjauhan dengan ummi ketika menuntut ilmu. Jarak bukan menjadi ukuran. Imran tetap di hati ummi dan ummi sentiasa doakan Imran menjadi anak soleh yang sentiasa sabar. Ingatlah, tuntut ilmu kerana mencari redha Allah. Ummi sayang Imran."


Selepas habis berbicara dalam telefon, barulah saya menangis tanpa henti. Ketika dalam penerbangan pulang terasa hati saya tertinggal di Pondok Pesantren Lirboyo tempat Imran menuntut ilmu.


Masa terus beredar, sedar tidak sedar, kini Imran sudah masuk kelas aliyah, setaraf sarjana muda jika di Malaysia. Kelebihan belajar di Pondok Pesantren Lirboyo yang diiktiraf oleh kebanyakan institusi pengajian tinggi di dunia terutama negara negara Timur Tengah dan Asia Barat.


Sekarang Imran jauh lebih matang. Bercakap berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui di alam remaja, walaupun ketika alam kanak kanak Imran tidak pandai menunggang basikal hingga kini. Alih alih, cuti panjang baru baru ini, ayah ajar Imran memandu kereta. Sesungguhnya orang berilmu cakapnya tidak sia sia.


Bila ditanya, berapa lama lagi Imran mahu menuntut ilmu,

" hingga ke liang lahat" katanya. Selagi kita hidup, selagi itulah kita terus menuntut ilmu. Lagi banyak kita belajar, lagi banyak yang kita tidak tahu. Akhirnya menjadikan belajar suatu keseronokan yang tidak membebankan.


Imran, suatu hari nanti Imran akan terjumpa catatan ummi ini, ketahuilah bahawa kasih sayang emak sentiasa mengharap keredhaan dan Rahmat Allah agar kita dapat bersama sama di syurga dan kerinduan ummi pada Imran tidak pernah ada sempadannya. Siang malam ummi rindukan anak anak ummi. Maka ummi sentiada redha berjauhan dengan anak anak ummi demi ilmu.

.

Catatan Ummi Untuk Imran ketika usia Imran 17 tahun. Tarikh yang ummi tidak pernah lupa kerana Imran seorang sahaja anak yang dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: