BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Friday, 18 January 2013

Bagaimana Boleh Terlanjur



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Maha Suci Allah lindungilah kami dan anak keturunan kami dari melakukan perkara mungkar dan maksiat.




Semalam, 2 kes menangani gadis hamil tanpa suami. Seorang berusia 17 , baru lepas menduduki SPM. Seorang berusia 24 tahun, baru tamat latihan kursus Diploma.




Kes 1

Bila diselidiki melalui telefon, suaranya halus dan manja, bagaimana boleh terlanjur, gadis selepas SPM tu kata,

"mak ayah saya selalu balik kampung, bila mereka balik kampung, saya tak nak ikut, jadi mereka benarkan saya tidor rumah kawan."

"Saya anak tunggal, jadi takut tinggal sorang-sorang di rumah"

"Kawan tu siapa?" Tanya saya.

"kawan tu junior saya, tingkatan 4."

"kawan tu tinggal dengan siapa?"

"dia tinggak dengan famili la, bila saya tidor rumah dia, saya tidor sebilik dengan kawan saya tu?"

Terperanjat besar saya bila dia kata tidor sebilik dengan kawan lelaki,walaupun usianya baru 16 tahun.

"mak ayah kawan tu tahu atau tidak awak tidor sebilik?"

"tahu, tapi mereka percaya kami tak buat apa-apa, cuma kawan-kawan gitu saja."

"habis tu camana awak boleh mengandung ni,kalau tak buat apa-apa, awak kena rogol ?"

"tak rogol, sebab buat suka sama suka."

"sekarang dah berapa bulan?"

"dah 2 bulan saya tak datang period, saya takut ummi, tak tahu nak buat apa."

"awak nak buat apa dengan anak tu?" "Ada terfikir nak gugurkan?"

"saya nak pelihara anak , sekali dah buat dosa, tak kan nak buat lagi dosa. Saya ada kos nak biaya bersalin, tapi saya takut kena tangkap polis "

"nak ulang lagi ke?"

"tak nak, serik, ini pun dah takut sangat-sangat. Nak buat camana ni ummi?"

"mak ayah awak dah tahu?"

"tak, saya tak berani nak bagitahu?"

Maka seterusnya panjang lebarlah bebelan saya...

Cuma di sini, beberapa yang kita boleh simpulkan untuk kes ini.

1. gadis ini bukan menghadapi kekurangan kasih sayang.
2. gadis ini bukan jenis suka berkeliaran
3. gadis ini bukan kekuraangan perhatian.
4. gadis ini menutup aurat

Tetapi kenapa boleh terlanjur juga?



Satu faktor utama gadis ni takut nak bagitahu keluarganya ialah ayahnya ahli jemaah surau yang komited, ibunya bertudung labuh, anak ini mendapat didikan agama dan kawalan sosial yang baik.


Oleh itu wahai  ibu bapa datok nenek, jagalah sebaik habis anak gadis kamu sebabnya ada berbagai cara syaitan menghasut manusia agar melakukan dosa besar. Adakah kes begini ujian atau musibah?







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday, 9 January 2013

Perempuan Berwajah Jernih



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ketika di dalam Khemah
Ketika saya berada di Mina, selama 3 hari, saya bertemu dengan seorang perempuan dalam lingkungan awal 60 yang sentiasa memakai jubah putih di dalam khemah.

Kejernihan wajahnya membuat saya ingin mengenali dengan lebih dekat. Saya menyapa sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

Saya perkenalkan diri terlebih dahulu supaya orang yang ingin dikenali mudah mesra dan bercerita.

Rupanya perempuan berwajah jernih ini dari Aceh, Indonesia. Saya bertanya bagaimana dia boleh berada di dalam khemah kumpulan jemaah Malaysia.

Perempuan berwajaah jernih itu menerangkan , dia ikut anaknya yang bekerja dengan pengendali pakej haji yang saya sertai. Saya terfikir, orang yang mana satu. Saya tanya nama anaknya. Kata Ustaz Yusuf, ustaz Idris dan Ustaz Ahmad.

Terpegun saya 3 orang nama ustaz yang disebut tu saya kenali sebagai pembimbing jemaah haji. Ilmu dan ketaqwaan ustaz ini saya kagumi. Perempuan itu terus bercerita, dia mempunyai 15 orang anak, 14 lelaki seorang saja perempuan.

11 anak lelakinya hafal al-quran, belajar di Pasentren di Aceh dan meneruskan penggajian bertalaqqi di Masjidil Haram. Subahanallah...

Terpegun saya mendengar kisah selanjutnya bila mana dia meneruskan cerita, mereka berasal dari sebuah kampung. Penduduk dan jiran tetangga cuma mengusahakan sawah. Dengan berkat bertani mereka mampu menghantar anak-anak belajar di Masjidil Haram menggunakan wang kudrat bertani.

Ustaz Yusof, Ustaz Ahmad dan Ustaz Idris di Madinah
Bapanya yang mentarbiyah anak-anak mengaji quran. Dia sebagai ibu cuma berada di rumah , menguruskan rumah tangga, menguruskan anak-anak. Anak-anak diberikan makan hasil dari air tangan sendiri. Nasi dari padi yang dipanen sawah sendiri, ikan dari parit dan sungai berhampiran rumah.

Anak-anak tidak menjamah makanan yang dimasak oleh yang tidak menutup aurat. Tasbih dan selawat sentiasa beralun dibibir. Walaupun anak ramai, penyusuan setiap anak genap 2 tahun. Sambil menyusukan, doa dan tasbih dihembus di ubun-ubun anak-anak.

MasyaAllah... begitu rupanya zikir memainkan peranan bukan saja membersihkan hati ibu tetapi turut membersihkan hati anak-anak yang dibesarkan didesa, jauh dari pencemaran udara, budaya dan kemewahan.

Anak-anaknya merupakan pewaris ulama'. Kesepakatan anak-anak yang berilmu membuka ruang dan peluang mereka membuka pasentren di desa kelahiran bagi melahirkan lebih ramai generasi yang ditarbiyah dengan al-quran dan pengajian Islam.

Mereka merasakan bukan mudah untuk belajar jauh dari rumah jika tidak mempunyai azam kesungguhan ibu bapa dan sokongan kewangan. Dengan terbinakan pasentren di desa, maka kekangan anak-anak desa belajar menjadi rendah.

Mereka bertekad untuk membina generasi kampung yang beragama dan berakhlak mulia.

Sokongan kewangan diperolehi dari anak-anak yang bekerja sebagai pengendali jemaah haji dan menetap di Tanah Haram.

Begitu berkatnya wang yang dihasilkan dari sumber yang Allah redha.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Atas Landasan Iman 2


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ada tangis dipenjuru mata setiap kali bercerita, mak meninggal kerana penyakit tak disangka, bapa menghalau kerana termakan fitnah ibu tiri, adik beradik memandang hina kerana kemiskinan ilmu dunia dan kekurangan rupa wajah.


Apa aset yang tinggal pada diri bila mana kasih sayang turut berkubur bersama jasad si ibu perawat hati. Bertahun membina jati diri mencari nur penyuluh hati. Namun tanpa ilmu dan agama akhir tersungkur dikaki sidurjana berduri.


Dengan secebis iman dihati, dia bangkit menagih kasih ilahi... mohon diberikan sinar buat suluh kaki melangkah pergi.


Pergi menyerah diri kepada yang sudi menghulur tangan agar tidak gelincir ditebing bergerigi.


Seorang bapa sewajibnya mempertahan dan melindungi anak gadisnya bukan menghalau kerana termakan fitnah si ibu tiri.

Bapa jenis apakah yang sanggup menghalau anak gadis jam 2.00 pagi kerana rantai emas yang tercicir bawah katil tidak dijumpai dalam beg pakaian si anak gadis.

Sudahlah rumah jauh di pendalaman, tidak ada kelip cahaya untuk dijadikan panduan, terpaksa meraba -raba batu jalan dikelam malam hitam.

Dihujung jalan, disapa insan mulia, bertugas menjaga kampung (ahli RELA) bertanya, "mahu kemana?"

"Mahu ke terminal bas" kerana buntu fikiran, itu jawapanya.

"Anak, malam begini di terminal bas pun bukan ada sesiapa, lagi bahaya, mari pak cik hantar anak ke lobby hospital sementara tunggu hari siang."

Menunggulah dia di lobby hospital daerah sehingga terbir fajar. Dalam balam subuh tu berjalan kaki menuju terminal bas, dan menuju ke ibu kota.

"kemana kaki mahu melangkah, kemana arah mahu di tuju"

Burung pun ada tujuan terbang di awal pagi, tapi aku?


Abang adik sepatutnya apabila mak telah kembali ke rahmatullah, ikatan dan tautan makin kuat, tetapi mereka sebaliknya. Ikatan itu relai bersama jasab mak yang dikuburkan.

Ada rumah digadai ke ceti oleh sibapa durjana kerana tamakkan dunia dan memenuhi sarakah nafsu iblis.

Ada anak disia-siakan hidupnya.

Seteguh mana kaki nak melangkah tanpa arah tujuan?

Dua hari selepas dihalau si bapa, si anak masih lagi bertanya khabar di telefon dengan jiran sebelah rumah sibapa. Maka jiran tetangga sibapa berceritalah rupanya rantai emas tu cuma terjatuh bawah katil saja, tersilap menuduh dan tersilap hukum kepada sianak tadi.

Masih tergiang di subuh itu sibapa menjerit,"pergi kau dari sini, aku haramkan kau balik lagi ke rumah ini."

Apakah hanyah rantai emas emak tiri, bapanya sanggup mengusir dia pergi dan mengharamkan dia memijak kaki ke rumah itu lagi?

Apakah nilai rantai emas emak tiri lebih berharga dari maruah si anak gadis?

Menangis si gadis tanpa suara mengenang nasib diri.

Abang, adik bolehkah aku menumpang kasih kepada kamu? Aku faham kamu semua sudah punya keluarga, tak mahu kakak hina, miskin ini menganggu.

Kemana kaki kakak nak melangkah dik?

Kelam suasana dingin bayu dinihari mengenang nasib diri.


Sikitpun tidak sigadis tu bercerita dengan saya kebangsatan bagaimana jenis bapanya sehingga hutang berpuluh ribu, rumah tergadai ke ceti haram. Kesengsaraan hidup meragut nyawa ibu tanpa diberikan rawatan.

Masih ada hormat pada bapanya, "buruk bagaimana pun, dia tetap yang akan jadi wali pernikahan saya nanti, (jika adalah insan yang sudi ambik saya jadi isteri)"

Masih terbayang dimatanya, saat emaknya sakit secara tiba-tiba, tak mampu nak melangkah kaki ke bilik air, bapanya boleh berkata, "lantak kaulah, terkencing mana suka"

Dia yang ketika itu masih sunti, memapah emak ke hospital dengan bantuan jiran tetangga. Sampai di hospital, doktor tidak terawat kerana keadaan makin tenat. Tak sampai 24 jam, kuasa Allah mengatasi segalanya.

Emaknya pergi menghadap ilahi.

Sepatutnya ada kesal dan insaf dihati sibapa.

Namun bila iblis telah beraja di hati, kematian tu memberi rahmat kepadanya, kerana yang datang menziarahi musibah memberikan derma untuk dia bergelak ketawa.


Setelah emak meninggal tinggallah dia 5 beradik membawa haluan diri. Abang berkahwin kerja sendiri. Adik selepasnya berkahwin menjauhkan diri.

Adik seterusnya diugut ketika menjelang akad nikah oleh sibapa. "Kalau kau mahu aku jadi wali, beri aku 10 ribu"

MasyaAllah, bapa jenis apa ni, mengugut kerana kuasa yang ada pada dirinya.

Sadiskan? Ada rupanya kat dunia ni, bapa jenis macam ni. Persiapan semua sudah di atur, kad jemputan telah diedarkan. Tetapi tiba hari pernikahan, tempat ijab kabul dan walimah bertukar negeri kerana ugutan sibapa tadi.

Kakak yang berada di tempat itu menerima tempelak tetamu yang datang bertanya mana majlis, mana pengantin.

Parah! parah kemanusiaan dan tanggungjawab yang telah sirna di hati.


Setelah adik dua lagi bawahnya selamat bernikah di rumah mertua walaupun si bapa mengugut agar dibayar 10K supaya dia setuju menjadi wali, si kakak terus menyendiri.

Tinggal si kakak ini , adik bongsu lelaki dan bapanya.

Suatu malam bapanya mengajak lari pindah malam dari rumah kediaman ke pusat bandar kerana hutang pada ramai ceti tidak mampu dibayar.


Hutang dengan seorang ceti agak besar dalam lingkungan puluhan ribu. Ceti tu memengang geran rumah. Ceti-ceti lain tidak ada cagaran mula berkeliaran mencari tubuh.

Terpaksa bawa si kakak dan si adik bongsu ikut bapa lari dari rumah sendiri.

Sampai di Pusat Bandar, si kakak bekerja kilang. Si adik masih bersekolah. Si bapa tidor berlengkar di rumah. Sumber kewangan nak berhutang sudah tak ada lagi.


Si kakak ambik langkah berhati-hati, tidak mahu tinggal serumah dengan si bapa bila mana adik bongsu telah dibawa pergi oleh siabang sulong untuk meneruskan persekolahan dengan tinggal di asrama kilang.


Sibapa tadinya, bila tidak ada punca wang, sewa rumah tak mampu bayar, terpaksa keluar dari rumah tu.


Ntah apa punya ilmu, terpikat pulak seorang perempuan dan berkahwin. Jadilah dia ibu tiri.


Rupanya dia memang ibu tiri dalam kisah Lela Manja.Sibapa tadi kerana seperti terhutang budi, tidak bekerja, hanya makan hasil nafkah isteri, anak-anak sendiri dimusuhi.


Sebab itu anak-anak tak mahu balik menjeguk si bapa yang menumpang rumah isteri.


Tapi sikakak yang belum berkahwin, kemana mahu dituju melainkan balik sekali sekala ke rumah ibu tiri. Sebab itu jika berlaku sesuatu orang pertama dituduh ialah sikakak walaupun sikakak tidak melakukan apa-apa.


Begitulah nasib dirinya, tandus ilmu dunia (tak berpeluang menyambung pelajaran) sebab itu cuma mampu kerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang di Pusat Bandar, ketandusan kasih sayang dan ketandusan ilmu agama.


Bila hidup tanpa ilmu, hinaan dan makian menjadi makanan harian. Terkontang kanting tanpa arah tujuan.


Bila mana ada seseorang menunjukkan keprihatinan sudah merasakan diri disayangi. Maka dengan sedikit pujuk rayu maka tergadai lembah madu.


Sangat lesu rupanya hidup tanpa kasih sayang sesiapa, tanpa ilmu agama, rohani menjadi gersang dan kontang.


Benar-benar lelaki durjana itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan perempuan. Habis manis sepah dibuang.


Mula membuat ugutan untuk menamatkan riwayat sekiranya pandai-pandai membuat laporan dan menjejaskan kerjayanya.


Namun, dengan tekad yang ada, keberanian secebis jua, ke balai polis dia melangkah kaki untuk membuat aduan.


Malangnya...orang yang diamanahkan melakukan kerja pun tidak melaksanakan sewajarnya, sebaliknya hinaan dan cacian dilemparkan pula.


Durjana orang yang diberi amanah sebaliknya mempermainkan. Bila mana aduan dibuat,sepatutnya laporan perlu diambil dan disiasat. Adakah dakwaan itu benar atau fitnah.


Inilah apabila hukum Syariat Islam tidak dilaksanakan. Pelaku jenayah bebas begitu saja. Faktor pertama laporan tidak direkodkan bilamana sipengadu menyatakan kerjaya sipelaku jenayah ialah seorang tentera.


Nampak sangat double standard dalam hal ini. Mentang-mentang dipengadu cuma kerja kilang, dia dicerca dan dihina pula. Si pelaku jenayah dilepaskan begitu saja tanpa sebarang siasatan apatah lagi dakwaan di mahkamah dan dihukum.


Tidak mustahil dia akan mengulangi perbuatan kejinya itu dengan perempuan lain. Akan ramai lagi yang menjadi mangsa kerakusan nafsu sarakah binatangnya.


Minggu beranjak ke bulan... sigadis sangat buntu. Murung dan menyendiri, hingga syaitan mula berbisik, tamatkan saja riwayatnya...


Mencari maklumat untuk membunuh. Tak kira sapa yang tamat riwayatnya dahulu.


Iman dan nur sudah malap dari hati. Ketakutan saja yang beraja di hati.


Usaha demi usaha dilakukan, Qudrat dan Iradat Allah tidak sesiapa dapat mengatasi.


Seribu usaha dilakukan untuk dibunuh jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Tiada manusia mampu untuk menghalang apa -apa yang telah Allah tetapkan.

Segala buruk dan baik datangnya dari Allah.

Makan nanas, makan apa saja pun tetap tidak menjejaskan jiwa yang bernyawa.

Roh itu bukan ciptaan manusia. Manusia tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menghalang tiupan roh dalam jasad yang diciptakan.

Oleh kerana iman yang lemah, maka tindakan dilakukan mengkhinzir buta.

Suatu malam, dia terjaga...


Ada nur menyirami hati. Ingin bertaubat dan mengasihi anak dalam kandungan. Mencari maklumat siapa yang boleh membantu. Akhirnya Allah tunjukkan dia jalan kembali melalui insan-insan yang mempunyai nurani.


Sejak hari itu, dia berhijrah, meninggalkan segala yang hitam menuju kepada Allah.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Monday, 7 January 2013

Atas Landasan Iman




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Di dunia ni masih ramai orang yang baik-baik. Hari ni saya bawa seorang pesakit ke poliklinik di BBU. Saya baru jumpa orang ni petang semalam jam 6.34 petang.

Dalam keadaan letih, saya bawa balik ke rumah. Sampai rumah, walaupun baru bertemu dengan saya, saya jemput masuk dan terus ajak duduk di meja makan. Saya sendukkan nasi, terus dia makan dengan selera. Mahu menangis saya melihat dia makan. Dia kata, tadi bas ada berhenti di Hentian Rehat, tetapi tak makan sebab harga makanan mahal. (mahal manalah makan tu ya sehingga dia tak mampu untuk membeli walaupun sebiji roti)

"Awak keluar dari rumah pukul berapa pagi tadi?" Tanya saya.

"Saya keluar dari rumah pukul 10.00 pagi, Saya dah bawa semua barang keluar dari rumah." Jawapnya.

Lepas makan , saya suruh naik atas untuk bersihkan diri, dan solat maghrib berjemaah.

Ketika menunggu solat isyak, dia bercerita kisah dirinya dan kisah keluarganya. Pilu dan hiba mendengar kisah nyata dalam kehidupan ini.

Sambil bercerita, saya membongkar pakaian terpakai yang dihantar ke rumah oleh beberapa kawan-kawan saya. Saya jumpa baju Tsaiz besar, kain batik, baju kurung , seluar panjang, baju labuh , telekung dan tudung. Nampaknya dia ni lebih memerlukan sebelum saya hantar pakaian terpakai ke tempat lain. Tadinya, Ketika saya jumpa, dia cuma berbaju sendat lengan pendek, legging paras lutut dan tidak bertudung.

Sambil saya mengeluarkan satu persatu pakaian dari dalam bungkusan plastik besar tu, saya ceritakan, tentang penutupan aurat. Selesai membongkar dan mendapatkan beberapa keperluan utama, saya suruh dia naik ke atas untuk beristirehat.

Subuh tadi, selepas solat saya agak, dia turun dengan berbaju longgar(baju yang diberikan malam tadi) dan bertudung. Syukur kepada Allah, mudahnya kita mentarbiyah kepada yang tulus mahu dibimbing di jalan lurus. Alhamdullilah...

Semalam ketika saya bertemu, dia kelihatan sangat daif. Daif dalam semua perkara. Daif agama, daif harta, daif jiwa dan daif kasih sayang. Saya nak bercerita dengan doktor tu pun , saya yang menangis.

Doktor sendiri melihat pun, terkesan. Manusia yang tulus , menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah, menjadi mangsa ketipisan agama dan menjadi mangsa ketandusan kasih sayang.

Sepanjang doktor merawat, doktor tu bercerita, menasihati dan memberikan pandangan. Lembut kami berkomunikasi dengan pesakit ni. Melihat air mukanya pun kita terkesan dengan ketidakadilan manusia dalam melaksanakan tanggungjawab.

Di akhir rawatan, doktor memberikan butiran ubat yang diperlukan.

Di kaunter ubat , ketika mengambil ubat, kerani tu beri ubat, dan kata, ok..dah boleh balik.

Tak ada sebarang bayaran untuk rawatan menggunakan beberapa alat perubatan, konsultan dan ubat.

Rupanya, jika benar kita ikhlas mahu kembali di jalan yang lurus, Allah akan mendatang insan-insan berhati mulia untuk membantu tanpa kita ketahui dan kita duga. Subahanallah...


Jika ikutkan, doktor tu memang sibuk, tapi sanggup meluangkan masa lebih kurang 1 jam untuk sessi konsultan. Sedangkan di luar kamar doktor, lebih 25 pesakit menunggu giliran.


Kemanusiaan masih bertapak di hati ramai manusia yang bekerja atas landasan iman dan taqwa. Sebelum pesakit ini, saya pernah bawa bertemu doktor yang sama, kes penyakit dan rawatan yang sama, kos dibayar lebih kuran RM 240.


Dengan pesakit ini, melihat ketidakupayaannya, Allah berikan rezeki padanya kerana ketulusannya kembali ke jalan yang Allah redha.


Satu lagi pesanan saya pada mana-mana insan yang ingin membimbing mereka-mereka yang tersasar, bukan sekadar kata-kata diberikan, tetapi hulurkan tangan agar dia mampu berdiri. Jika dia berpakaian tidak wajar untuk menutup aurat, berikan pakaian, berikan perlindungan dan pimpin tangannya. Mereka mahu berubah, cuma kadang-kadang jalanya berliku dan kelam. Maka suluhlah agar jalan lurus terbentang dihadapan mereka.


Jangan pandang hina rendah mereka-mereka ini, mereka berada ditempat itu pun bukan atas pilihan mereka. Jika kita tidak pernah berada di tempat mereka , kita letakkan perasaan kita di tempat mereka supaya kita menyelami keadaan mereka.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 5 January 2013

Post Dan Gambar Sinikal+Berahi di Fesbuk




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dua sejoli  memadu asmara
Berbinar mata membaca status di fesbuk yang manja berahi. Ditambah dengan photo sinikal yang berahi antara suami isteri. Walaupun halal, tetapi adakah atas tiket kehalalan itu tidak malu dipertontonkan kepada umum?


Seperti buat perlakuan tu di tepi jalan pulak. Sebab apa, asalnya photo di ambik dalam bilik, tapi ditayangkan kepada umum. Jadi samalah buat tepi jalan.


Begitu juga bisikan rahsia manja, asalnya diungkap ketika berdua-dua bersama pasangan, tetapi ditulis di wall, maka sama seperti berteriak tepi jalan aja.


Dan dari hal itu, tanpa mengira perasaan pasangan yang mendakwa halal, "semua kami buat tak kena dan lagi apa pasal sebuk-sebuk jaga kami yang dah halal ni, sedangkan ramai di luar sana berkapel-kapel, kenapa tak ditegur sapa." Dengan tak segan saya tulis ini,




"Dalam kita riang bersama jodoh awal, suami tercinta dan anak comel, diluar sana, berapa ramai sedang berduka, mengubat hati untuk memantapkan iman, mencari kekuatan diri menerima takdir diri lewat jodohnya.

Maka berpada-padalah bila menulis status diwall fesbuk masing-masing kerana kita mempunyai ramai kawan, mungkin separuh darinya tidak dikenali zahir batin akan membacanya. Jika mahu dikongsi dengan yang tertentu, belajar customize paparan supaya bukan semua membacanya.

Begitu juga jika nak bergurau senda suami isteri, tak payahlah difesbuk, cukuplah dalam kamar beradu anda atau dalam rumah anda. Ini termasuk juga paparan photo-photo percutian anda yang sinikal + berahi yang sungguh tidak beradap ditayang kepada umum.

Dimana letak akhlak dan adap anda sebagai muslim yang mukmin?"


Kenapa saya tulis ni?

1. Kerana saya sayang kamu dah halal, dah melakukan kebaikkan, dah melakukan sunah, dah menjauhi maksiat, maka saya mahu kamu terus meraih pahala, dengan menjaga adap kamu sebagai pasangan soleh dimana akan melahir zuriat soleh juga.


2. Kerana diluar sana masih ramai yang belum bertemu jodoh. Yang menangis siang malam mendambakan pasangan yang boleh menjadi imam. Jika kita tidak berada di tempat mereka, jadilah orang yang memahami perasaaan mereka . 


Kita dah baik, maka apa salahnya kita teruskan kebaikkan menjauhi kemungkaran yang tidak disengajakan melalui penulisan dan photo-photo yang sebagusnya cuma untuk dilihat berdua, letak dalam album rumah masing-masing saja, jangan letak tepi jalan atau di bus stop.


Silap-silap dicuri orang nanti atau pun nanti ada yang berani usha,  "hai dah sanggup kongsi gambar, apa kata kita kongsi suami pulak!"



Dua sejoli merenung bulan



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Tuesday, 1 January 2013

Burung Cenderawasih




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Cenderawasih
Burung Cenderawasih ialah sejenis burung dalam keluarga Paradisaeidae susunan Passeriformes. Ia terdapat di kawasan Australasia timur Indonesia, New Guinea dan tenggara Australia. Ahli keluarga ini terkenal kerana bulu pelepahnya yang dimiliki oleh burung jantan kebanyakan spesies, yang digunakan bagi menarik burung betina ketika musim mengawan. Kebanyakan spesies turut mempunyai bulu pelepah yang amat panjang dan berambu menjulur dari ekor, sayap atau kepala. Sungguhpun memiliki jambul yang menyerlah, dari segi anatomi ia tergolong dalam burung berkicau primitif.


Yang paling terkenal kerana bulu mereka adalah spesies genus Paradisaea, termasuk spesies jenis burung Cenderawasih Besar, Paradisaea apoda. Spesies ini digambarkan dari contoh yang dibawa balik ke Eropah dari ekspedisi perdagangan. Spesimen ini disediakan oleh pedagang tempatan dengan membuang kaki dan sayap mereka, yang mendorong kepada kepercayaan bahawa burung ini tidak pernah hinggap tetapi kekal terapung oleh bulu mereka. Ini memberikan nama Inggeris mereka “Burung syurga – birds of paradise” dan nama saintifik apoda – tanpa kaki.


Kebanyakan spesies memiliki upacara mengawan yang rumit, dengan spesies Paradisaea mempunyai sistem mengawan jenis Lek. Yang lain, seperti spesies Cicinnurus dan Parotia, mempunyai tarian mengawan yang khusus, dengan spesies menggayakan jambul dalam gaya tarian ballet tutu yang merupakan tabiat yang mengkagumkan bagi burung kerana persamaan secara tidak sengaja dengan tarian hula dan limbo.


Beberapa foto dan lukisan yang bersumber dari Papua Web, koleksi foto Jefery Truong dan beberapa website lainnya, indah dan  tidaklah salah bila hikayat lama menceritakan burung cenderawasih dari surga.






Misteri burung cenderawasih dipercayai mula wujud dalam kepercayaan bangsa melayu selepas diceritakan dalam sebuah kitab kuno Tajul Muluk. Nak jadi cerita…berpandukan kitab kuno tersebut…satu artikel mengenai keajaiban burung cenderawasih mula tersebar meluas ke seluruh negara majalah, surat, dan flyers…tidak dapat dipastikan siapekah penulis asal artikel tersebut…tetapi infonye berbunyi seperti berikut :

“Sahibul hikayat diriwayatkan Kitab Tajul Muluk…mengisahkan seekor burung bergelar cenderawasih. Ada pun asal usulnya bermula dari kayangan. Amatlah jarang sekali orang memiliki cenderawasih kerana burung ini bukanlah berasal dari bumi. Dinyatakan lagi dalam beberapa kitab melayu lama sekiranya cenderawasih turun ke bumi nescaya berakhirlah hayatnya. Ia akan mati sekiranya menjejak kaki ke bumi.”

“Namun yang peliknya cenderawasih tidak reput seperti bangkai binatang lain kerana ia dikatakan hanya makan embun syurga. Ia mengeluarkan wangian yang sukar digambarkan. Cenderawasih mati dalam pelbagai keadaan. Ada yang mati dalam keadaan terbang, istirehat dan tidur.” “Burung ini terkenal di nusantara dengan panggilan cenderawasih bagi masyarakat cina pula…in dipanggil Phoenix dan penduduk Eropah mengenalinya sebagai Bird of Paradise.”

“Dinyatakan lagi bahawa cenderawasih memiliki pelbagai kelebihan…seluruh badanya termasuk isi perut dan bulunye mempunyai khasiat misteri dan kebanyakanya digunakan untuk perubatan.” “Namun…ramai memburunye kerana ‘tuah’ cenderawasih digunekan sebagai pelaris. Mengikut mereka yang ditemui memakainya menyatakan bulu cenderawasih ini pelaris paling besar…hanya orang yang memilikinya yang akan tahu akan kelebihanya.”

Teori

Setelah mendengar kisah2 misteri seperti diatas…penyelidik mula melakukan kajian bagi merungkai segala auta seperti diatas…selepas beberapa lame melakukan kajian…didapati hampir semua dakwaan seperti diatas adalah auta dan tidak berasas.


Dakwaan kononye cenderawasih berasal dari kayangan dan hanya turun ke dunia untuk mati sebenarnya tidak betul..kerana burung tersebut memang wujud didunia ni…kajian penyelidik mendapati cenderawasih boleh dijumpai dikawasan hutan tropika di Australia Timur, Irian Jaya, Papua New Guinea dan kepulauan Maluku. Malah kat Taman Burung KL pun ada dipamerkan 3 ekor cenderawasih dari spesies Paradise Apoda tahun 2001.

Kajian juga mendapati cenderawasih dikelaskan kepade 43 jenis spesies yang berbeza mengikut beberapa ciri…antaranya saiz dan warna bulunya…spesies cenderawasih paling besar berukuran 44 sentimeter panjang manakala paling kecik 16 sentimeter panjang.

Cenderawasih jantan didapati lebih cantik kerana memiliki warna bulu yang lebih menarik dan kembang…mereka juga akan melakukan satu gerakan tertentu bagi memikat burng betina dalam tempoh mengawan…ia mampu bertelur antara 1 hingga 3 biji sebelum mengeramnya dalam tempoh 14-16 hari.

Dakwaan bahawa cenderawasih memakan embun syurga juga didapati auta! kerana burung itu hidup dengan memakan buah, telur semut, cengkerik dan labah-labah. Dakwaan mengatakan cenderawasih yang mati tidak reput pun auta!!!! agaknya kerana bangkai haiwan itu didapati diawet sebelum dipamerkan dimana-mana pameran.

Justeru macam mana kisah dongeng ini bermula??



Ia berlaku sekitar abad ke 18 dan 19…iaitu ketika zaman penjajahan British dibeberapa pelusuk dunia…bangsa barat itu tiba disuatu kawasan dan mendapati masyarakat peribuminye memakai hiasan kepala yang cantik dan menarik…hiasan kepala itu diperbuat daripada bulu cenderawasih jantan…lantaran tertarik dengan kecantikan bulu burung tu gamaknya…maka masyarakat peribumi berkenaan pun menghadiahkanlah seekor cenderawasih yang dah mati tetapi diawet terlebih dahulu kepada penjajah British…kaki burung tersebut turut dipotong.


Selepas beberapa lama…penjajah British itu hairan melihat burung tersebut kerana mendapati bangkai burung itu tidak langsung mereput…maka mereka mule menganggap bahawa burung itu ajaib dan berasal dari kayangan..seterusnya…fahaman sonsang barat itu merebak ke tanah melayu. Macam mana pulak dakwaan bahawa burung cenderawasih mampu menjadi pelaris dan membawa keuntungan berlipat kali ganda??

Bangkai burung itu mungkin digunakan dalam amalan sihir untuk dijadikan pelaris…sebab barang bernajis dan haram termasuk bangkai haiwan turut dijadikan antara bahan dalam upacara kurafat tersebut…hakikatnya perniagaan dan usaha itu menjadi laris bukan berpunca dari tuah burung cenderawasih tetapi akibat bantuan jin dan syaitan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.







Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 30 December 2012

Risalah Untuk Para Pesakit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Pesan Badiuzzaman Said Nursi kepada pesakit (Risalah Untuk Para Pesakit)

Terlantar sakit di wad HSAJB
Kepada pesakit yang kebuntuan/ Kritikal

Janganlah anda gelisah. Bersabarlah! Penyakit yang anda hadapi bukanlah penyakit buat anda, tetapi ia adalah sejenis penawar.


Usia menjadi panjang disebabkan penyakit, sehingga diungkapkan: “Aduhai alangkah panjangnya masa musibah dan pendeknya masa kemewahan”.


Kepada pesakit yang kurang sabar!

Bersabarlah! Bahkan bersyukurlah! Sakit yang anda alami boleh menukarkan beberapa minit umur anda menjadi beberapa jam ibadat. Ini adalah kerana . Seseorang yang ditimpa musibah penyakit akan meminta perlindungan kepada Allah s.w.t., mengharapkan pertolonganNya dan memohon bantuanNya.. Dengan tadharru’ tersebut dia akan memperolehi suatu ibadat maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang perasaan riak.


Terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan umur seseorang mukmin yang bercampur dengan sakit adalah dianggap sebagai ibadat, dengan syarat tidak berkeluh kesah dan tidak berputus asa terhadap rahmatNya. Ada juga riwayat mengatakan satu minit kesakitan yang dihadapi oleh orang-orang yang bersyukur dan sabar adalah dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna.


Kepada pesakit yang tidak mampu bersabar!

Tujuan manusia dihidupkan ke dunia ini bukanlah untuk berseronok dan bersedap-sedap. Setiap yang hidup pasti akan mati. Setiap yang muda akan menjadi tua.


Manusia datang ke dunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah, bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagiaan hidup yang kekal dan abadi.. Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpa kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.


Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Ketahuilah bahawa anda tidak berhak untuk mengadu. Bahkan anda berkewajipan untuk bersyukur dan bersabar sahaja. Kerana anggota tubuh badan luaran dan dalaman anda, bahkan diri anda sendiri bukanlah milik anda. Anda tidak membuat sendiri. Anda juga tidak membelinya daripada mana-mana syarikat atau kilang. Oleh itu, ia adalah milik pihak lain. Pemiliknya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya terhadap barangan miliknya.


Kepada pesakit yang sedang diuji!

penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk ihsan Ilahi dan hadiah dari Maha Pemurah.


“Wahai saudaraku! Saya tidak menentang penyakit yang anda hadapi. Saya juga tidak merasa kasihan terhadap anda atas penyakit yang anda hadapi sehingga membolehkan saya melakukan doa untuk anda. Mudah-mudahan anda terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya anda sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, al-Khaliq al-Rahim, Tuhan yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang itu pasti akan menyembuhkan anda, insyaAllah”.


Oleh itu, sebenarnya penyakit anda adalah ibarat kesihatan bagi anda. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat mereka”.



Kepada pesakit yang mengadu kesakitan!

Saya bertanya kepada anda tentang hari-hari lalu yang bahagia lagi penuh kenikmatan Sudah pasti anda akan melepaskan nafas kelegaan seraya berkata “Alhamdulillah, syukur”.


Apabila terkenang penyakit dan bencara yang anda hadapai maka hati atau lidah anda akan berkata: “Alangkah sedihnya! Alangkah dukacitanya!”.


Oleh kerana kelazatan selama satu hari yang diperolehi melalui jalan yang tidak syar’ie kadang-kadang akan menyebabkan seseorang berada dalam keadaan kesakitan maknawi selama setahun genap. Begitu juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama sehari akan membuahkan kelazatan maknawi selama beberapa hari, kerana ia dicelahi oleh balasan pahala. Ia juga membuahkan kelazatan maknawi yang lahir daripada kesembuhannya daripada penyakit tersebut. Oleh itu, anda hendaklah benar-benar ingat akan natijah daripada penyakit sementara yang anda alami. Fikirkanlah tentang besarnya balasan pahala yang diharapkan terhasil melalui celah-celah penyakit yang anda hadapi. Bersyukurlah , bukan mengadu kesakitan. Katakanlah: “Ya Allah! Setiap keadaan akan berubah…”.



Sumber : Abdul Latip Talib | Penulis Novel Sejarah






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 29 December 2012

Aku Orang Kampung



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




sawah hijau menyegarkan
Aku orang kampung, berasal dari kawasan yang mengusahakan sawah padi. Sawah padi cuma di belakang rumah saja, sesayup mata memandang. Hijau menawan menyegarkan pandangan.


Kehidupan masa kecik yang payah tanpa sumber air bersih, tanpa bekalan eletrik dan tanpa perhubungan jalan raya.


kepok padi
Perhubungan telefon? Jauh ikan dari pemanggang. Rata-rata taraf kehidupan orang kampung zaman itu sama saja, miskin kais ikut musim, bukan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerja ikut musim, bila habis menunai, padi disimpan dalam gudang atau kepok, di jual bila diperlukan terutama ketika awal tahun persekolahan.


Tapikan, masih dalam ingatan, yuran persekolahan RM 3 , pun masih payah nak dibayar kerana tidak mampu. Seorang anak RM 3, 4 orang anak bersekolah, RM 12. Besar nilainya pada masa itu. Pergi sekolah cuma bawa bekal duit 5 sen aja. Ntah tak tahu untuk beli apa. Hari-hari pergi sekolah bawa bekal nasi dan air sejuk dari rumah.


Bekalan untuk memasak dan minuman harian bersumberkan air tadahan hujan yang ditakung dalam tempayan. Mandi , mencuci pinggang mangkuk dan pakaian pula menggunakan air dari telaga atau air parit yang mengalir di depan rumah.


lampu gasoline


pelita yang aku guna untuk study
Sumber cahaya di waktu malam cuma menggunakan pelita dan lampu gas. Gasoline. Puas aku belajar waktu malam bertemankan pelita bersumbu tali guni. Berjelaga hitam dalam lubang hidung. Tidor dalam kelambu bila habis study. Tak sanggup tidor tanpa kelambu kerana bilangan nyamuk sama dengan bilangan semut menghurung gula. Masa belajar puas bertepuk tampar dengan nyamuk. Selalunya waktu senja dah hidupkan bara supaya berasap, nyamuk akan menjauhi rumah. Dah lewat malam, bara habis, asap takde, nyamuk datang menghurung.


Jalan perhubungan cuma batu blok sekeping di susun melintang. Seluas lalaun rel keretapi tu saja. nak tunjuk gambar pun dah takde tempatnya nak diambil. Anehnya, semua orang kampung cekap berselisih ketika berbasikal tanpa perlu berhenti macam sekarang pandu kereta dan berselisih dengan kereta lain dilaluan sempit.

berbasikal di ban tali air

Yang tak cekap, cuma aku saja, selalu jatuh dalam parit dengan basikal. Seperti luncai terjun dengan labunya. aku terjun parit dengan basikal , dengan beg sekolah dan berpakaian sekolah. Bila dah kuyup begitu, alamatnya tak dapat ke sekolah. Sorong basikal balik rumah.


Untuk ke sekolah, dari rumah kena berbasikal sejauh 3 km, hingga ke tepi jalan raya. Lepas tu kena tunggu bas. Jadinya mesti keluar rumah seawal jam 6 pagi , cahaya fajar masih berbalam-balam, selepas saja solat subuh. Itu bila dah tingkatan 3 , persekolahan sessi pagi. Ketika tingkatan 1 dan 2, persekolahan sessi petang, pergi jam 10.30 pagi, balik pulak jam 7 .15 malam. Dah gelap kena berbasikal. Basikal tak pernah ada lampu, namun mata masih dapat melihat jalan dalam rembang senja. Alhamdulllilah Allah mengurniakan ketajaman pandangan mata dalam remang senja  dan  fajar subuh yang berbalam-balam.

dipanggil atang kayu sebagai tempat memasak

Masak, masih menggunakan kayu api. Aktiviti harian, kena angkut kayu api ke ruang dapur rumah. Masih menggunakan atang untuk memasak makanan. Debu , bara dan arang adalah mainan ketika itu bila nak memasak makanan. Dari kecik, tak kira anak lelaki atau perempuan memang kena rajin cari kayu api, angkut air guna baldi untuk memasak dan cuci pinggan mangkuk. Aktiviti hujung minggu ialah mencari kayu. Ambik pelepah kelapa kering, daun kering disasap orang banjar kata "nyasap daun nyiur" ulah umpan api. Pelepah kering untuk gagas api menyala. Tempurung dan sabut untuk bara.


aksi di sawah padi
Zaman dulu memang takde rasa takut atau menjadi penakut. Berani aja keluar rumah malam-malam untuk ke telaga berwudhuk atau subuh-subuh gelap untuk mandi. Lagi pun mana ada TV zaman tu nak siarkan cerita seram. Setakat orang cerita tanpa ada gambaran wajah, takde nya rasa takut. Zaman aku kecik TV dah ada, tapi kat rumah orang kaya. Rumah aku mana ada TV atau radio.


Umur 7 tahun dah kena pergi sawah, bantu mak abah. Paling mampu dibuat ialah kena menarik puntalan rumput dibawa ke perenggan supaya sawah jadi lapang. Bila sawah dah lapang takde rumput, barulah boleh ditanam semai/anak padi.

Jika diberikan sekeping tanah sawah, memang aku mampu melakukannya dari menabur benih ditapak semaian  hingga menuai. Zaman dulu semuanya dilakukan secara manual menggunakan kudrat tulang 4 kerat.

Jentera membajak tanah

Zaman dah berubah, dah takde lagi orang mengerjakan sawah padi secara manual. Semua guna jentera pembajak untuk gembur tanah, guna mesin tabur benih dan mesin tuai. Air pula dari sumber tali air. Zaman dulu guna air hujan saja untuk mengerjakan sawah. Ada taliair tapi tidak sepenuhnya kerana masih bergantung hujan juga di Kolam Takungan Bukit Merah. Jika Empangan Air di Kolam Bukit Merah surut airnya, macamana pintu air nak dibuka dan dari mana air nak dialirkan masuk dalam tali air.



laluan kerikil yang ditar nipis cukup untuk laluan satu lorong kereta

Semuanya tinggal kenangan. Namun  jalan di kampung masih lagi batu kerikil dan laluannya cuma boleh lepas satu kereta saja. masih lagi berlopak sana sini kerana keadaan struktur tanah yang mudah mendap. Jika kereta nak berselisih, sebuah kereta kena berhenti dahulu di mana-mana laman rumah orang, tunggu kereta di hadapan melepasi laluan.
jambatan merentasi tali air menghubungkan orang hujung dengan orang pangkal


Perhubungan telefon dah ada tapi lebih kepada telefon tangan saja. Sebabnya vadalisme pulak. Sekejab ketika arwah mak masih ada, boleh guna line telefon ke rumah. Lepas tu  kabel telefon asyik kena curi, Telekom dan malas nak sambung mana-mana kabel yang dicuri. Pasal depa tak nak curi kabel eletrik ya?


berkubang dalam tali air
Baru-baru ni balik kampung, seronok anak-anak tengok taliair penuh dengan air. Apa lagi berkubang lah jawapnya. Dari situlah juga kenapa aku cekap berenang dan anak-anak juga mahir berenang. Berenang di tali air. Tak payah berbayar. Terjun aja. Kuak lentang, kuak kupu-kupu atau mengapungkan diri, semuanya reti. Memang pun anak-anak dari usia 2 tahun dah biasa mandi di talir air dan di ajar berenang.

Berenang berbagai gaya



seronok tak terkira dapat berkubang dalam tali air

Anak bongsu tu, lebih cekap berenang dari naik basikal. Imran dah berusia 10 tahun, tapi masih tak reti berbasikal. Berenang? Sangatlah mahir.


anak ayam jadi mangsa buat mainan


Bila balik kampung, anak-anak tak pernah rasa jemu. duduk sebulan pun mereka takde rasa bosan walaupun takde TV. Sebabnya aktiviti harian mereka ialah tangkap belut, pancing ikan,  kejar ayam , main layang-layang atau main kejar-kejar di sawah padi. Anak-anak dah biasa survival hidup di kampung. memancing tak kira tempat bukan kolam berbayar sebaliknya di sungai, di sawah padi, di tepi telaga atau parit. Pendek kata, asal ada air je mereka terus tahan unjun atau pancing.


ayah yang ajar anak-anak memancing

Amat jauh berbeza dengan kehidupan kanak-kanak zaman ini. Duduk dalam rumah, hanya lakukan senaman jari. Lagi canggih yang guna touch screen, hanya guna satu jari saja. Langsung tak de aktiviti yang menyihatkan tubuh badan supaya keluar peluh.  Rasa tak best langsung jadi kanak-kanak zaman ini.

petang-petang boleh rehat dalam buai bawah pokok

Itulah sedikit catatan dari orang kampung. Anak-anak masih merasai kehidupan cara kampung hingga kini. Kampung aku masih tidak jauh berubah walaupun zaman berubah sekian dekad.


1972 hingga 1977 bersekolah kebangsaan. 1978 - 1982 bersekolah menengah. 1983 dapat masuk IPTA. 1984 bertemu jodoh, kahwin. Masa kahwin tu masih lagi tiada perhubungan jalan raya di kampung, masih guna bekalan air hujan untuk masak dan minum, masih lagi gunakan pelita untuk menerangi waktu malam. 1987 , rumah pusaka arwah mak abah terbakar, tinggal sehelai sepinggang saja lagi.  Rumah kayu beratap zink buruk yang reput dan  atap nipah. Mudah sangat terbakar ketika musim kering yang berangin. Hilang lenyap segala kenangan bila semua benda terbakar hangus kecuali al-quran yang elok terletak atas tunggul-tunggul kayu yang telah jadi arang.


Macamana tak habis terbakar, macamana jentera bomba nak datang  sampai ke rumah ,  lalaun jalan untuk kereta pun tak ada, cuma boleh lalu  atas ban taliair saja, ahli bomba berjalan kaki angkut jentera pam air , dan pam air secara manual. Kesukaran lagi ketika itu musim kering, aras air dalam parit cetek,  nak ambik sumber air dari mana  nak dipancut padamkan api? Tengok ajalah sampai rumah tu habis terbakar jadi arang. Bomba cuma boleh buat laporan saja datang tengok api dan mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain. Nak merebak apanya, rumah di kampung sebuah-sebuah, jauh pulak jaraknya. Takdelah sempat api tu nak merebak ke rumah lain.



menikmati keindahan alam  di tepi sawah padi


Oh..banyak kenangan nak ditulis buat bacaan anak cucu, tunggulah opah ada idea nak menulis lagi. Kemiskinan bukan untuk diwarisi bagi yang sentiasa rajin berusaha, doa,  yakin dan tawakal pada rahmat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 28 December 2012

Mendidik Anak Secara Fitrah



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Terbaca ayat ini di status seorang rakan facebook, Pendidikan Anak Menurut Fitrah Islami.


"Seorang ibu perlu mendidik anak-anaknya dengan ilmu terutamanya ilmu fardhu ain dan pengurusan rumah tangga agar mereka mempunyai cukup persiapan untuk menghadapi alam berumah tangga apabila dewasa kelak."


Walau apa  pun,  seorang ibu wajar mentarbiyah perkara pengurusan diri terlebih dahulu kepada anak-anak sebelum perkara fadhu ain dan pengurusan rumah tangga searas usia mereka.


Apa yang pertama nak ajar mereka lakukan? Mandi sendiri, ambik pakaian sendiri, pakai pakaian sendiri, lepas mandi sidai tuala mandi, masukkan pakaian kotor dalam bakul. Bila usia meningkat sedikit, ajar mereka menggunakan bilik air dengan betul supaya bab taharah terjaga dan terpelihara.


Seingat ummi, memang sejak anak mumaiz lagi, seawal usia 4 tahun sudah dididik dengan pendidikan fardhu ain dan pengurusan rumah tangga. Didik anak adap sopan dan hal-hal aurat.


Sebab itu mana-mana anak yang lidahnya agak tajam /laser boleh terungkap perkataan ini, bila suatu hari jiran yang berusia dalam 30an datang bertandang ketika waktu tengah hari,  "ummi kata,  waktu tengah hari tak boleh datang rumah orang." Terkesima saya dan jiran tu. Terus jiran tu minta diri balik rumah semula. Anak-anak pulak, mereka ingat setiap adap peraturan yang telah kita tetapkan.  Larangan ini saya katakan pada anak-anak supaya mereka tahu adap berziarah ke rumah jiran atau kawan untuk bermain.



Waktu tengah hari , waktu sebuk nak sediakan makanan, nak hidang makanan, nak makan dan lepas tu nak solat bersama keluarga.  Jadi saya larang mereka ke rumah jiran , tak mahu jiran rasa kurang selesa dengan kehadiran anak-anak kita yang asyik nak bermain saja. Sekalinya sedap aja anak ni aplikasikan dalam kehidupannya dengan menasihati orang lain. Cumanya anak ni tak tahu kepada siapa patut dikatakan ayat larangan itu samada rakan sebaya atau orang tua.


Najdah dan Amiratun berusia 4 dan 6 tahun ketika dalam keretapi

Yang kedua, ayat laser seorang anak bila mana, seorang perempuan tidak menutup aurat dengan sempurna datang ke rumah, masih saya ingat masa itu umur anak saya tu 6 tahun, "dah besar kenapa tak pakai tudung?"  Adoiii... teguran ikhlas seorang budak! Kesannya, esoknya terus perempuan itu memakai tudung. Tidak pernah lagi saya melihat perempuan itu samada di rumah atau keluar rumah tidak bertudung. Agaknya hidayah Allah untuk dia berubah melalui seorang anak kecil.

cari pengalaman naik keretapi dengan ayah di Perak

Memang kita ajar anak perempuan tentang aurat seawal usia 4 tahun pun. Ajar pakai seluar panjang, ajar pakai tudung, ajar malu mandi tak tutup pintu. Zaman dulu ketika saya mendidik anak-anak memakai tudung ikut keadaan ketika tu. Mana ada tudung comel macam zaman ini. Tetapi anak-anak tetap mahu pakai dan mereka sendiri cari tudung apabila nak keluar rumah.

Usia najdah 8 tahun dan Amiratun 6 tahun di Terengganu

Usia Najdah 3 tahun

Belakang sekali, Amiratun berusia 7 tahun
Najdah berusia 7 tahun
Ini adalah antara gambar lama zaman anak-anak kecil dulu, bertudung ikut zaman itu. Bermakna walau zaman berubah, tudung tetap bertudung, aurat tetap ditutup.


Begitu juga dalam bab bersuci, menggunakan air mutlak untuk berwudhuk dan berintinjak. Tidak boleh buang air di lantai bilik air, takut tidak bersih cuci kaki, akan menyebabkan najis di bawa merata-rata dalam rumah. Saya didik mereka buang air di dalam mangkuk tandas. Jika tandas duduk, saya sediakan bangku kecil untuk mereka pijak berdiri dan duduk di mangkuk tandas.  Mesti cuci kami sebelum keluar tandas. Semua ini perlukan kesabaran dan tunjuk ajar yang betul.


Ajar anak beristinjak sendiri menggunakan paip getah supaya bersih


Bila bab bersuci telah diamalkan, barulah masuk bab wudhuk. Tunjuk ajar cara berwudhuk. Ada ibu bapa kata, tunggu nanti dah sekolah cikgu ajar la. Bagi saya, sapa yang ajar, dia dapat saham. Ilmu yang diajar jika digunakan akan jadi ilmu bermanafaat dan sampai dibarzakh nanti. Jadi kenapa nak tunggu ustazah sekolah ajar? atau ustaz ajar? Kitalah guru pertama yang patut ajar. Duduk sama-sama dalam bilik air, tunjuk cara berwudhuk yang betul. Hari ni tak ingat, esok ulang lagi. Lama-lama dia ingatlah. Bila bab berwudhuk lepas, barulah masuk bab solat.


Pernah kamu sebagai ibu bapa duduk dibelakang anak, ketika anak sedang solat untuk mempastikan pergerakkan tangan , kaki  dan cara yang betul rokok, sujud, tama'ninah, duduk antara 2 sujud dan duduk tahiyat akhir?


Semua ni kena didik dan pastikan betul seawal usia ketika memperkenalkan solat. Dan dari masa ke semasa kena cek dan lihat adakah betul atau tidak kedudukan kaki, jari dan sebagainya. Ada orang belikan buku, ada orang tayangkan cd atau video, tapi jika tidak ada pemantauan tak jadi juga. Kena lihat sama-sama, baca sama-sama dan perhatikan bila mereka melakukan.


 Alhamdullilah... anak menurut didikan cara tu.


Bila bab fadhu ain lepas, barulah masuk dalam urusan rumah tangga. Bila dan bagaimana? Kemas rumah, sapu lantai, sidai pakaian, angkat dari jemuran, lipat dan susun pakaian dengan kemas. Kena sabar sebab sambil kita ajar, mereka tetap dengan naluri nak bermain. Macam-macam idea mereka dapat ketika kita sama-sama melakukan kerja tu.


Saya ajar anak memasak nasi ketika itu saya sedang berpantang. Selepas melahirkan anak ke 6, Omar Abdul Azin. Amiratun Nazihah baru berusia 6 tahun. Saya ajar dia dari mula menyukat beras, cuci beras dan menyukat air. Selepas itu cara menggunakan periuk elektrik untuk masak nasi. Tunjukkan satu persatu dengan anak tu yang melakukan.


Ini kira kerja praktikal terus bukan ada teori. Sejauh manalah anak kecik 6 tahun boleh ingat jika ajar masak nasi secara teori. Ajar masak nasi secara prkatikal lebih berkesan. Cepat dapat dan ingat. Sama seperti kita ajar anak-anak solat, terus kepada praktikal lebih berkesan dari teori dahulu.


Sebelum-sebelum tu, telah tunjuk juga dan ajar buat minuman. Paling asas, cara membuat minuman coklat sendiri. Ajar cara makan sendiri, supaya tidak bersepah atau bertarabur.


Oh...jika mahu ditulis teliti banyak  yang ingin dikongsi. Nanti-nantilah pulak saya sambung ya...




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Wednesday, 26 December 2012

Pemuda Unik Dan Istimewa



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



airmata yang bukan sia-sia
Pemuda unik ialah pemuda istimewa yang Allah angkat darjatnya apabila mampu bangun di malam hari untuk mengerjakan solat 2 rakaat. Pemuda yang mampu mengalirkan air mata di kala sujud yang panjang menghadap Ilahi.


Pemuda yang cinta kepada solat berjemaah, mengutamakan solat berjemaah di surau atau masjid. Pemuda yang mampu menghadap TuhanNYA di awal waktu dengan mengenepikan apa jua pekerjaan di ketika itu.


Sebaik mendengar seruan dari TuhanNYA, pemuda itu mampu bangkit dan bersegera melangkah ke masjid atau surau. Pemuda yang bersiap sedia awal -awal untuk bertemu kekasihnya jika jauh dari masjid. Pemuda yang sanggup merempuh panas dan dingin untuk menemui Tuhannya.


Dan lebih unik dan dicemburu jika mendengar  suara esakkan ketika solat dan mampu menangis ketika sujud. Alangkah indah rasa itu.


Ini bermakna airmatanya bukan airmata yang sia-sia. Pastinya airmata itu mampu mendinginkan tubuhnya dari bahang panas ketika di mahsyar nanti. Saya juga bercita-cita moga-moga ada zuriat saya menjadi seperti pemuda ini. Pemuda unik yang istimewa. Mungkin tidak perlu tahu ketika hidup, tetapi saya merasi nikmatnya di barzakh sana.


Pemuda Unik yang Istimewa
Masih adakah pemuda yang begini zaman ini. Ya , masih ramai dari jutaan makhluk Allah. Disebabkan adanya pemuda ini, maka bumi masih makmur dan mujahidin yang mencintai syahid sentiasa ada. Allahu Akbar!


Tertarik dengan catatan Dr Zainur Rasyid ketika dia bermusafir ke Scodland, saya kongsikan catatannya di sini. Catatn ini ditulis ketika Dr Zainur Rasyid diberikan peluang berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan lebih dekat bersama 160 orang anak muda mahasiswa Malaysia yang belajar di Eropah di dalam program Jalinan Musim Sejuk (JUMS 2012) di Edinburgh.




Pemuda yang ku hormati, pemuda yang ku cemburui...

Aku mengambil keputusan untuk menuruti kehendak sang mata yang tidak mampu ku lawan lagi. Apatah lagi suhu sejuk semakin mencengkam tubuhku yang telah biasa dengan kenikmatan cuaca di bumi Malaysia yang begitu merehatkan.


Aku tidur dengan agak lena miski pun kedinginan udara bumi Scotland masih tetap dirasa. Ketika lampu masjid dipadamkan satu persatu untuk memberikan ruang kepada para pemuda ini merehatkan tubuh dan mindanya, aku dikejutkan dengan rasa hangat yang menyelimuti tubuhku. Rupa-rupanya ada seorang anak muda yang menyelimutkanku dengan ‘dovet’ (selimut tebal). Alhamdulillah, nikmat sunnguh beradu dalam kesejukan dan diselimutkan pula dengan kelengkapan sedemikian. Cuma yang menjadi pertanyaan di kepalaku ialah ‘siapakah anak muda’ yang begitu baik hati ini. Ya, aku sangat menghormatimu  wahai anak muda dengan ukhuwah yang kau tunjukkan…..


Aku meneruskan kehendak sang mata sehinggalah ianya segar kembali. Tidak mengejutkanku apabila secara tiba-tiba sang mata mula terjaga seawal pukul 3.30 pagi dan berdegil tidak mahu meneruskan sesi ‘beradu’. Apa peliknya, sistem biologi ini masih mencintai jam di bumi yang telah menunjukkan pukul 11.30 pagi. (8 jam perbezaan waktu Malaysia dengan UK).


Sang mata bertegas untuk bertugas miski pun masih berbaki 3 jam sebelum masuk waktu subuh di Scotland ini. Ada baiknya untuk aku memanfaatkan masa keemasan ini untuk bersolat malam dan mendampingi naskhah al Qur’an yang ku bawa bersama dari Malaysia.


Dalam kesamaran penghujung malam yang dinginnya mencengkam, ku dapati beberapa anak muda bangkit meredahi  kesejukan bagi mendambakan dirinya kepada Rabbul Izzati. Subhanallah, hebatnya beberapa pemuda istimewa yang terpilih ini.


Aku meneruskan tugasanku untuk menghayati keindahan pengajaran daripada surah ar Rahman, di antara surah dalam al Quran yang kerap aku damping. Sayu hatiku dan sebak dadaku ketika menghayati inti pati daripada surah ar Rahman ini. Lelehan air mata hangat mengalir sedikit demi sedikit bersama keinsafan diri.


Saat paling hampir dengan Allah
Hati yang syahdu ini dikejutkan oleh suara seorang anak muda yang sedang menahan tangisannya di dalam solatnya. Namun tangisan derasnya semakin sukar dibendung ketika dia bersujud merendahkan diri kepada Ilahi. Entah mengapa secara tiba-tiba lelehan hangat air mataku berjurai deras membasahi pipi ini.


Subhanallah, inilah di antara saat-saat manis yang sangat aku cemburui dalam hidup ini.


Apakah rahsianya apabila seorang pemuda ini mampu untuk bangkit di awal pagi sambil meredahi kedinginannya yang mencengkam tulang untuk bersolat tahajjud? Apakah rahsia hatinya apabila pemuda ini mampu menyatakan rasa cinta yang tidak berbelah bagi bersama ‘Kekasih’nya ketika insan-insan lain sedang memenuhi keperluan diri?


Subhanallah, aku menghormati dan sangat mencemburuimu wahai pemuda...


Semoga Allah mengurniakan kita zuriat dan pewaris yang sentiasa menyejukkan hati dengan kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada perjuanganNya dan sentiasa berkorban untukNya.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.