بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Apa aset yang tinggal pada diri bila mana kasih sayang turut berkubur bersama jasad si ibu perawat hati. Bertahun membina jati diri mencari nur penyuluh hati. Namun tanpa ilmu dan agama akhir tersungkur dikaki sidurjana berduri.
Dengan secebis iman dihati, dia bangkit menagih kasih ilahi... mohon diberikan sinar buat suluh kaki melangkah pergi.
Pergi menyerah diri kepada yang sudi menghulur tangan agar tidak gelincir ditebing bergerigi.
Seorang bapa sewajibnya mempertahan dan melindungi anak gadisnya bukan menghalau kerana termakan fitnah si ibu tiri.
Bapa jenis apakah yang sanggup menghalau anak gadis jam 2.00 pagi kerana rantai emas yang tercicir bawah katil tidak dijumpai dalam beg pakaian si anak gadis.
Sudahlah rumah jauh di pendalaman, tidak ada kelip cahaya untuk dijadikan panduan, terpaksa meraba -raba batu jalan dikelam malam hitam.
Dihujung jalan, disapa insan mulia, bertugas menjaga kampung (ahli RELA) bertanya, "mahu kemana?"
"Mahu ke terminal bas" kerana buntu fikiran, itu jawapanya.
"Anak, malam begini di terminal bas pun bukan ada sesiapa, lagi bahaya, mari pak cik hantar anak ke lobby hospital sementara tunggu hari siang."
Menunggulah dia di lobby hospital daerah sehingga terbir fajar. Dalam balam subuh tu berjalan kaki menuju terminal bas, dan menuju ke ibu kota.
"kemana kaki mahu melangkah, kemana arah mahu di tuju"
Burung pun ada tujuan terbang di awal pagi, tapi aku?
Abang adik sepatutnya apabila mak telah kembali ke rahmatullah, ikatan dan tautan makin kuat, tetapi mereka sebaliknya. Ikatan itu relai bersama jasab mak yang dikuburkan.
Ada rumah digadai ke ceti oleh sibapa durjana kerana tamakkan dunia dan memenuhi sarakah nafsu iblis.
Ada anak disia-siakan hidupnya.
Seteguh mana kaki nak melangkah tanpa arah tujuan?
Dua hari selepas dihalau si bapa, si anak masih lagi bertanya khabar di telefon dengan jiran sebelah rumah sibapa. Maka jiran tetangga sibapa berceritalah rupanya rantai emas tu cuma terjatuh bawah katil saja, tersilap menuduh dan tersilap hukum kepada sianak tadi.
Masih tergiang di subuh itu sibapa menjerit,"pergi kau dari sini, aku haramkan kau balik lagi ke rumah ini."
Apakah hanyah rantai emas emak tiri, bapanya sanggup mengusir dia pergi dan mengharamkan dia memijak kaki ke rumah itu lagi?
Apakah nilai rantai emas emak tiri lebih berharga dari maruah si anak gadis?
Menangis si gadis tanpa suara mengenang nasib diri.
Abang, adik bolehkah aku menumpang kasih kepada kamu? Aku faham kamu semua sudah punya keluarga, tak mahu kakak hina, miskin ini menganggu.
Kemana kaki kakak nak melangkah dik?
Kelam suasana dingin bayu dinihari mengenang nasib diri.
Sikitpun tidak sigadis tu bercerita dengan saya kebangsatan bagaimana jenis bapanya sehingga hutang berpuluh ribu, rumah tergadai ke ceti haram. Kesengsaraan hidup meragut nyawa ibu tanpa diberikan rawatan.
Masih ada hormat pada bapanya, "buruk bagaimana pun, dia tetap yang akan jadi wali pernikahan saya nanti, (jika adalah insan yang sudi ambik saya jadi isteri)"
Masih terbayang dimatanya, saat emaknya sakit secara tiba-tiba, tak mampu nak melangkah kaki ke bilik air, bapanya boleh berkata, "lantak kaulah, terkencing mana suka"
Dia yang ketika itu masih sunti, memapah emak ke hospital dengan bantuan jiran tetangga. Sampai di hospital, doktor tidak terawat kerana keadaan makin tenat. Tak sampai 24 jam, kuasa Allah mengatasi segalanya.
Emaknya pergi menghadap ilahi.
Sepatutnya ada kesal dan insaf dihati sibapa.
Namun bila iblis telah beraja di hati, kematian tu memberi rahmat kepadanya, kerana yang datang menziarahi musibah memberikan derma untuk dia bergelak ketawa.
Setelah emak meninggal tinggallah dia 5 beradik membawa haluan diri. Abang berkahwin kerja sendiri. Adik selepasnya berkahwin menjauhkan diri.
Adik seterusnya diugut ketika menjelang akad nikah oleh sibapa. "Kalau kau mahu aku jadi wali, beri aku 10 ribu"
MasyaAllah, bapa jenis apa ni, mengugut kerana kuasa yang ada pada dirinya.
Sadiskan? Ada rupanya kat dunia ni, bapa jenis macam ni. Persiapan semua sudah di atur, kad jemputan telah diedarkan. Tetapi tiba hari pernikahan, tempat ijab kabul dan walimah bertukar negeri kerana ugutan sibapa tadi.
Kakak yang berada di tempat itu menerima tempelak tetamu yang datang bertanya mana majlis, mana pengantin.
Parah! parah kemanusiaan dan tanggungjawab yang telah sirna di hati.
Setelah adik dua lagi bawahnya selamat bernikah di rumah mertua walaupun si bapa mengugut agar dibayar 10K supaya dia setuju menjadi wali, si kakak terus menyendiri.
Tinggal si kakak ini , adik bongsu lelaki dan bapanya.
Suatu malam bapanya mengajak lari pindah malam dari rumah kediaman ke pusat bandar kerana hutang pada ramai ceti tidak mampu dibayar.
Hutang dengan seorang ceti agak besar dalam lingkungan puluhan ribu. Ceti tu memengang geran rumah. Ceti-ceti lain tidak ada cagaran mula berkeliaran mencari tubuh.
Terpaksa bawa si kakak dan si adik bongsu ikut bapa lari dari rumah sendiri.
Sampai di Pusat Bandar, si kakak bekerja kilang. Si adik masih bersekolah. Si bapa tidor berlengkar di rumah. Sumber kewangan nak berhutang sudah tak ada lagi.
Si kakak ambik langkah berhati-hati, tidak mahu tinggal serumah dengan si bapa bila mana adik bongsu telah dibawa pergi oleh siabang sulong untuk meneruskan persekolahan dengan tinggal di asrama kilang.
Sibapa tadinya, bila tidak ada punca wang, sewa rumah tak mampu bayar, terpaksa keluar dari rumah tu.
Ntah apa punya ilmu, terpikat pulak seorang perempuan dan berkahwin. Jadilah dia ibu tiri.
Rupanya dia memang ibu tiri dalam kisah Lela Manja.Sibapa tadi kerana seperti terhutang budi, tidak bekerja, hanya makan hasil nafkah isteri, anak-anak sendiri dimusuhi.
Sebab itu anak-anak tak mahu balik menjeguk si bapa yang menumpang rumah isteri.
Tapi sikakak yang belum berkahwin, kemana mahu dituju melainkan balik sekali sekala ke rumah ibu tiri. Sebab itu jika berlaku sesuatu orang pertama dituduh ialah sikakak walaupun sikakak tidak melakukan apa-apa.
Bila hidup tanpa ilmu, hinaan dan makian menjadi makanan harian. Terkontang kanting tanpa arah tujuan.
Bila mana ada seseorang menunjukkan keprihatinan sudah merasakan diri disayangi. Maka dengan sedikit pujuk rayu maka tergadai lembah madu.
Sangat lesu rupanya hidup tanpa kasih sayang sesiapa, tanpa ilmu agama, rohani menjadi gersang dan kontang.
Benar-benar lelaki durjana itu hanya mengambil kesempatan atas kelemahan perempuan. Habis manis sepah dibuang.
Mula membuat ugutan untuk menamatkan riwayat sekiranya pandai-pandai membuat laporan dan menjejaskan kerjayanya.
Namun, dengan tekad yang ada, keberanian secebis jua, ke balai polis dia melangkah kaki untuk membuat aduan.
Malangnya...orang yang diamanahkan melakukan kerja pun tidak melaksanakan sewajarnya, sebaliknya hinaan dan cacian dilemparkan pula.
Durjana orang yang diberi amanah sebaliknya mempermainkan. Bila mana aduan dibuat,sepatutnya laporan perlu diambil dan disiasat. Adakah dakwaan itu benar atau fitnah.
Inilah apabila hukum Syariat Islam tidak dilaksanakan. Pelaku jenayah bebas begitu saja. Faktor pertama laporan tidak direkodkan bilamana sipengadu menyatakan kerjaya sipelaku jenayah ialah seorang tentera.
Nampak sangat double standard dalam hal ini. Mentang-mentang dipengadu cuma kerja kilang, dia dicerca dan dihina pula. Si pelaku jenayah dilepaskan begitu saja tanpa sebarang siasatan apatah lagi dakwaan di mahkamah dan dihukum.
Tidak mustahil dia akan mengulangi perbuatan kejinya itu dengan perempuan lain. Akan ramai lagi yang menjadi mangsa kerakusan nafsu sarakah binatangnya.
Minggu beranjak ke bulan... sigadis sangat buntu. Murung dan menyendiri, hingga syaitan mula berbisik, tamatkan saja riwayatnya...
Mencari maklumat untuk membunuh. Tak kira sapa yang tamat riwayatnya dahulu.
Iman dan nur sudah malap dari hati. Ketakutan saja yang beraja di hati.
Usaha demi usaha dilakukan, Qudrat dan Iradat Allah tidak sesiapa dapat mengatasi.
Seribu usaha dilakukan untuk dibunuh jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. Tiada manusia mampu untuk menghalang apa -apa yang telah Allah tetapkan.
Segala buruk dan baik datangnya dari Allah.
Makan nanas, makan apa saja pun tetap tidak menjejaskan jiwa yang bernyawa.
Roh itu bukan ciptaan manusia. Manusia tidak mempunyai hak dan kuasa untuk menghalang tiupan roh dalam jasad yang diciptakan.
Oleh kerana iman yang lemah, maka tindakan dilakukan mengkhinzir buta.
Suatu malam, dia terjaga...
Ada nur menyirami hati. Ingin bertaubat dan mengasihi anak dalam kandungan. Mencari maklumat siapa yang boleh membantu. Akhirnya Allah tunjukkan dia jalan kembali melalui insan-insan yang mempunyai nurani.
Sejak hari itu, dia berhijrah, meninggalkan segala yang hitam menuju kepada Allah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment