BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 7 September 2011

Mengasuh Ikhlas Dalam Diri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.




Ramai orang selalu berkata, nak buat sesuatu mestilah ikhlas. Kalau tak ikhlas, rugi saja buat kerja sebab tak dapat apa-apa.


Nak tolong orang, sumbang tenaga, sumbang duit, kena ikhlas. Nak tunggu ikhlas tu bila datangnya?


Ikhlas tu bukannya boleh datang begitu saja. Ikhlas mesti dipupuk, mesti diasuh , mesti dibimbing dengan prakatikal yang dimulai dari perkara yang kecik.


Cakap "ambik ni, saya ikhlas beri", memang mudah tapi dalam hati mengharapkan balasan. Atau "saya tolong dengan ikhlas, terimalah". Lepas tu ungkit.


Apa-apa yang kita buat selepas itu diungkit, hangus semua keikhlasan itu.


Jadi bagaimana nak berbuat sesuatu itu dengan ikhlas? Adakah perlu tunggu ikhlas baru mahu bersedekah, baru mahu tolong orang atau apa saja?


Begitu juga dengan solat, mahu tunggu ikhlas dan kusyuk datang baru mahu buat? Kalau begitu, sampai bila pun tak akan dapat melakukan amal soleh dan beribadat sebab nak tunggu ikhlas.


Dalam satu kelas pemurnian hati yang ummi hadiri, dalam membicarakan bab ikhlas ini, tuan guru berkata, " ikhlas itu perlu dipupuk, perlu diasuh, perlu dididik dan dibimbing. Caranya? Kita memulakan dari perkara kecik seperti sedekah 10 sen. Tak ada rasa apa-apa pada nilai 10 sen, jadi kita masukkanlah dalam tabung masjid setiap minggu.


Dari masa ke semasa nilai 10 sen tu,di tambah. Buat dengan berterusan, lama-lama jadi amalan. Lepas tu kita tidak akan ada rasa apa-apa lagi untuk mengharapkan balasan apabila kita beri dalam nilai besar dan beri pada sesiapa saja. Itulah ikhlas...melakukan kerana Allah Redha.


Begitu juga dalam pekerjaan lain seperti menolong orang. Sentiasa berusaha membantu orang walaupun pada mulanya hanya dengan separuh hati. Kita bimbing hati kita untuk terus membantu orang tidak kira apa bentuk pun. Bila berterusan, akan jadi amalan dan kebiasaan. Akhirnya ikhlas akan tiba juga.


Macam kita belajar memasak. Mula -mula tak reti. Dan selalu kita dengar orang kata, makanan beli saja, sebab tak reti memasak. Sampai bila nak reti  memasak, kalau tidak dimulakan. Kenalah mulakan, kena belajar dan berterusan. Masa mula-mula masak, memang tak suka atau buat dengan separuh hati sebab bila masak tak sedap rasanya  dan letih nak berkemas selepas memasak. Tetapi jika berterusan, dari masa kesemasa diperbaiki kesalahan, kesilapan ketika memasak, lama-lama makanan yang dimasak jadi sedap.


Sebenarnya apa juga pun, perlu kepada pentarbiyahan.Sebelum tarbiyah orang lain, tarbiyah diri sendiri dahulu, jadi pengalaman yang pernah kita rasai dan lalui, akan membantu orang lain. Kita akan mudah merasai apa yang dirasai oleh orang lain.


Jadi apa yang ummi tulis ini, adalah dari pengalaman ummi sendiri bagaimana melahirkan rasa ikhlas dalam diri dalam melakukan apa juga pekerjaan seharian samada memberikan sumbangan dalam bentuk buah fikiran, tenaga atau kewangan.


Ummi juga masih dalam proses yang sama untuk memperbaiki diri menjadi HAMBA ALLAH dalam erti yang dikehendaki oleh Allah dan RAsulNYA.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 10 July 2011

Ketika Degupan Jantung Makin Laju

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Maha suci Allah,
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setinggi Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.




Semalam, jam 10.14 malam dah shutdown laptop. Selalunya kalau mata belum nak lena, ummi tak shutdown awal laptop ni. Tetapi semalam, tiba-tiba dada di bahagian kiri rasa sakit , degupan jantung dan nafas laju. Rasa berdebar-debar.


Bila keadaan ini terjadi, pantas ummi shutdown laptop dan bawa diri ke katil, rehat dan berbaring. Tangan kiri sudah mula lenguh dan jari-jari rasa macam kebas. Simpton apa tu?


Bagi yang pernah mengalami, tahulah itu adalah simpton serangan jantung. Memang datangnya secara tiba-tiba tanpa amaran. Ummi ambik langkah awal dengan merehatkan diri agar tidak menjadi lebih teruk.


Kenapa?


Aku tak mahu mati ketika suami tak ada di sisi. Walaupun semua tahu jika ajal sudah tiba, malaikat Izrail sudah beri salam, walaupun sesaat tidak akan berubah masanya. Ini cuma permohonan yang sering terdetik dalam hati, memohon kepada Allah, jika tiba masa roh dan jasad terpisah, ambiklah ketika aku dipangkuan zaujku.


Padahal, sebelum suami berangkat ke Masjidil Haram Jumaat minggu lepas (1 Julai 2011) ummi sudah mohon zauj ampunkan segala dosa dan keredhaannya sebagai isteri. Ummi masih mengharap juga untuk mati dipangkuannya , nanti dia yang memandikan, mengkafan, mengsolatkan dan mengkebumikan.



Berbaring dalam keadaan relax, sambil jari kanan menaip sms kepada seorang doktor untuk kepastian. Walaupun ketika itu, debar makin kuat, dengup jantung , makin laju. Ya, dah lebih satu tahun selepas ummi buat angiogram pada 12 januari 2010.


Dan juga dipenjuru mata sudah terbit air mata , teringatkan seorang anak yang masih mendambakan perhatian dan kasih sayang secara maya. Ikatan yang tak ada tali tetap terjerut kukuh di sanubari. Sukar untuk dirungkai ikatan ini.


Mungkin memerlukan pertolongan, ummi sms juga seseorang itu teman tidor disebelah, mana tahu ada kecemasan, tapi tiada respon. Hampir terlelap Abdullah yang turun untuk minum air datang menyelimutkan ummi yang tak sempat berselimut dan dia baring disebelah hingga pagi menemankan ummi, mana tahu keadaan ummi makin teruk. Alhamdullilah, keadaan stabil dan ummi dapat juga bangun dan berjalan pada pukul 2.30 pagi.


Syukur Ya Allah, masih lagi memanjang usiaku, memberikan aku peluang untuk bangun mengabdikan diri kepada MU.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Saturday, 9 July 2011

Bila Jatuh Tersungkur

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Maha suci Allah,
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setinggi Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.



Lebih 2 bulan laman ini tidak kirim apa-apa penulisan. Kesibukan berlari di dunia di dalam mengejar kehidupan akhrat melupakan laman ini seketika. Mentarbiyah anak-anak di dalam pengurusaan rumah tangga, pengurusan bayi dan pengurusan masa memerlukan komitmen yang tinggi.


Bukan bermakna apabila anak-anak telah dikahwinkan, ibu bapa boleh melepaskan mereka begitu sahaja. Sebagai ibu bapa, masih perlu memantaau perjalanan rumah tangga mereka dan sekiranya memerlukan nasihat, tunjuk ajar dan bimbingan, perlu segera dihulurkan.


Mentarbiyah anak-anak untuk membentuk masyarakat muslim bermula dari sebelum kelahiran mereka dan berterusan sepanjang masa. Walaupun telah beranak pinak. Ziarah menziarahi, saling berkunjungan adalah kaedah mentarbiyaah paling mudah. Tidak semestinya mengharap anak-anak kerap balik menziarahi ibu bapa. Ibu bapa juga boleh menziarahi mereka, dimana kita boleh melihat cara kehidupan mereka selepas berumah tangga. Ini mudah untuk memberikan tunjuk ajar dan bimbingan. Bukan bermakna kita mengawal rumahtangga mereka. Kita hanya memberikan garis panduan  dan nasihat  yang berlandakan syariat  agar sering dipatuhi.


Dan di dalam kita berlari mengejar akhirat, ada kala dan ketika kaki tersandung, adakala tersungkur dan adakala terduduk. Bila sudah tersungkur, terjatuh atau terduduk, mesti berusaha untuk bangun. Jangan sekali-kali biarkan diri, bila dah jatuh tu terus terlantar tanpa usaha untuk duduk dan berdiri.


Allah kurniakan akal untuk berfikir, doa untuk bermunajat, memohon pertolongan Allah menunjukkan jalan keluar segala permasalahan kehidupan. Selalulah berdoa dengan penuh yakin bahawa Allah akan berikan apa yang kita hajat pada masa dan ketika yang Allah kehendaki, bukan pada masa dan ketika kita kehendaki.


Apabila diberikan nasihat, jangan buat tak hirau, jika diberikan panduan jangan ambil mudah. Sebaliknya berfikir dalam keadaan tenang, jangan sekali-kali membuat sesuatu keputusan dengan terburu-buru dan tidak berbincang. Jika tidak tahu, bertanya. Ini adalah satu pentarbiyahan yang paling mudah dalam membina rumah tangga harmoni dan bahagia di landasan agama. InsyaAllah...



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.






Thursday, 5 May 2011

Berhati-hati Dengan Lafaz Zihar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Maha suci Allah,
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setinggi Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.



Syukur ke hadirat Allah Ta'al yang memberikan limpah kurnia NYA kepada kita semua. Semalam ummi tuliskan Amiratun Nazihah telah pergi ke hospital pada jam 2.30 pagi kerana mengalami tanda-tanda untuk melahirkan anak.


ALhamdullilah, Amiratun Nazihah selamat melahirkan anak pada jam 11.30 pagi pada 4 Mei 2011 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1432 H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Jadi anak negeri Selangor. Mak lhair di Johor, ayah lahir di Perak.


Bertambah seorang lagi ahli keluarga Othman. Tahun lepas bertambah 3 orang, perkahwinan 3 orang anak, membawa 3 orang menantu. Tahun ini, sehingga dipertengahan tahun telah bertambah 2 orang cucu. Semoga keluarga ini telus mendapat hidayah, inayah, rahmat dan kurnia dari Allah hingga akhir hayat di dunia dan akhirat.


Dengan kelahiran cucu perempuan ini, ada perkara yang ingin ummi ingatkan kepada semua pihak. Memang anak-anak yang dilahirkan sedikit sebanyak akan mengambil iras wajah ibu ayah, datok atau neneknya. Jika seorang anak perempuan, ayah anak itu perlu berhati-hati dalam mengungkapkan kata-katanya. Takut sangat berlaku kesilapan atau kesalahan tanpa sedar. Terzihar isteri tanpa niat kerana tidak tahu.



Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan mahram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman (Surah Al-Mujadalah : ayat 2)yang maksudnya:


"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"


"Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri."



Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang sudah tertalak tetapi masih dalam talak raji iaitu isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (mahram suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.


Siapa mahram suami? Sila rujuk di sini : Mahram Suami


Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika melafazkan kata-kata kepada isteri.

Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri, amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa disedari terkeluarlah kata-kata, Muka Ayang ni saling tak tumpah macam muka ibu abang. Isteri yang jahil tersenyum bangga menerima pujian suami.

Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.

Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah bertanya kepada suaminya, Bang, bang, betulkah rupa saya ni macam rupa anak kita? "Ya", Jawab suami ringkas. Sepatah perkataan, "Ya" sudah cukup menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.


Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu atau muhramnya.

Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar dari suami.

Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya.

Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku ini macam hidung anaknya.


Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri. Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan dengan mulut.

Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz yang nyata.

Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata, kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut, pusat, kaki dan sebagainya.

Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut, bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam lafaz zihar.


Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan, satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu, ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari, masuk nerakalah kita.

Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau sekiranya suami tidak menyedari tentang telah berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang
dikatakan dosa yang bersambung-sambung.


Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu. Firman Allah swt dalam surah Al-Mujadalah : ayat 3,4 yang bermaksud:


"orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata lagi:


"Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum Allah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih."


Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.

Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.

Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.

Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa, dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya. Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.

Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.

Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.


Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu.

Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat, seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri.

Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.

Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan, muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi muhramnya.

Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.


Untuk lebih jelas , boleh di rujuk di sini : Hukum Zihar Bukan Soal Remeh


Kenapa ummi bangkitkan isu ini hari ini? Ini kerana ummi sendiri melihat anak yang dilahirkan oleh Amiratun Nazihah, persis seperti ketika Amiratun Nazihah ketika bayi. Ummi amat takut sekiranya suaminya mengiakan  bila dia melihat wajah anaknya itu. dan secara tak sengaja berkata wajah anak mereka sangat serupa wajah isterinya. Memang pun wajah puteri mereka persis wajah Amiratun Nazihah, ibu bayi itu.


Entri ini adalah peringatan untuk semua.Ramai orang yang tidak tahu hal ini,maka kewajiban ummi untuk menyampaikan dan memperingatkan. Semoga kita terhindar dosa-dosa yang tidak disedari dan disengajakan.









Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday, 4 May 2011

Bila Rindu Makin Membukit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Hari ini, mak ayah Ali Abdul Jabbar pergi menduduki peperiksaan akhir. Rutin ummi, selepas solat subuh, jerang air yang mengandungi daun-daun herba untuk dijadikan mandian orang lepas bersalin. Masak beras untuk diberikan kepada perempuan lepas bersalin makan nasi panas di pagi hari. Tujuannya supaya angin tidak masuk dalam badan.


Selepas angah dan isterinya pergi, tinggallah ummi berdua saja. Jam 2.45 pagi subuh tadi, Nazihah mengadu sakit dan ada tanda-tanda untuk bersalin. Selesai solat, mereka (Nazihah dan suaminya) terus bergerak pergi ke Hospital Klang.


Setakat ini, belum ada khabar berita lagi tentang Nazihah. Ummi di rumah hanya menunggu khabar saja.


Bila Ali terjaga dari tidornya, ummi terus susukan dahulu sementara menunggu air masak. Lepas menyusukan Ali, barulah mandikan Ali dengan air suam. Suka benar Ali mandi. Langsung tak ada bunyi apa-apa. Memang Ali suka air. Sekejab nanti lepas mandi, perutnya sudah kenyang, pasti Ali tidor lagi.



Ini lah masanya opah sempat untuk menulis. Letak Ali di riba, opah menaip,menekan papan kekunci. Sebab itu opah tak pernah rasa sunyi berseorangan diri.

Lena Ali pangkuan opahnya.


Tak ada perkara yang serabut untuk difikirkan, tak ada ruang untuk rasa kesunyian. Ada saja perkara mahu dibuat dan ditulis. Agaknya makin usia meningkat makin banyak perkara yang dilupakan.



Cuma satu yang tak pernah Ummi lupa, berdoa. Ummi sentiasa ingat pada anak-anak, terutama 'my beloved son' yang jauh di mata, dekat di hati. Biar pun terasa lama tidak berhubung tetapi kasih sayang pada dia subur segar di hati.


Ummi bukan jenis suka mendesak, walaupun rindu, tetapi dibiarkan masa menawarkan rindu itu. Mak mana tidak rindu pada anaknya, tambahan anak yang duduk istimewa dan indah di dalam hatinya. Moga Allah akan memberikan masa dan peluang untuk bertemu juga suatu hari nanti. Maknya faham perasaan, situasi dan emosi anaknya. Maka dibiarkan saja rindu itu membukit dikalbu.

Semoga Allah sentiasa memelihara iman kami dan merahmati kami semua  di dunia  dan akhirat.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Tuesday, 3 May 2011

Arabic Food


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Setelah sekian lama tinggal di Setia Alam, hari ini baru ummi berkesempatan keluar rumah untuk membayar beberapa bil di bank. Itu pun keluar membayar kerana staf bank yang rajin-rajin belaka menuntut penjelasan beberapa hutang pembiayaan yang sepatutnya ummi jelaskan sebelum 30 haribulan pada setiap bulan.


Memang ummi amat malas untuk keluar kemana-mana. Faktor utama ialah kena turun tangga dan baliknya nanti kena daki tangga pula untuk sampai ke rumah.


Faktor lain,zauj tak ada, hati tak ceria dan gembira untuk kemana-mana seorang diri walaupun kereta kesayangan ummi, ford linx ada dan keizinan zauj memang diperolehi.


Hari ini terpaksa keluar juga, mujur Nazihah yang  sarat hamil  telah balik awal dari Klinik Ibu Hamil masih larat untuk turun tangga  untuk  menemankan ummi.


Shah Alam bukan tempat kebiasaaan ummi. Kalau sendirian mungkin saja ummi sesat, tambahan jalan di sini kebanyakkan sehala. Sampai di Seksyen 9 Shah ALam, ummi mencari-cari lokasi Bank Rakyat. Sambil memandu, memandang kiri kanan melihat-lihat kedudukan bank. Tiba-tiba ternampak satu papan tanda besar "Arabic Food". Terdetik di hati ingin singgah selepas selesai urusan bank.


Hampir satu jam di Bank Rakyat, jam menunjukkan hampir pukul 1.00 tengah hari. Sedang molek lah untuk ummi cari semula bangunan yang bertulis "Arabic Food" tadi tu. Nak tengok apa makanan yang dihidangkan di situ. Terkenang ummi saat bersama zauj ketika di Arab Saudi.


Seperti orang berbulan madu, semasa di Arab Saudi, untuk mengerjakan haji, kami sentiasa jalan berdua-duaan kemana sahaja. Tambahan ketika di sana, orang ramai dan sesak, bila berjalan dengan zauj sentiasa berpegangan tangan atau berkepit. Langsung tidak boleh berenggang atau berjauhan.


Walaupun makanan di sediakan oleh pihak pengurusan Tabung Haji,  kami masih mencari makanan di restoren-restoren Arab dan Turki. Zauj nak bagi ummi merasai makanan arab yang dia selalu makan ketika dia belajar di Mesir dahulu. Selepas tamat belajar, zauj sempat mengembara ke beberapa negara Arab hingga ke Turki.


Seronoknya ummi ketika itu, tidak dapat digambarkan. Hingga sekali lagi Allah jemput ummi dan zauj dan berpeluang pergi sekali lagi ke Arab Saudi . Puas kami berbulan madu berdua-duaan. Sama-sama mendaki Jabal Rahmah. Melihat tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa. Itulah anugerah kasih sayang dan cinta yang Allah letakkan di dalam hati kami. Bersaing untuk mencari redha Allah. Sama-sama melangkah untuk ke menuju Allah bersama keluarga.

Suasana dalam restoren 'Arabic Food'

 



Eh...jauh pulak bercerita.  Nostalgia terimbau bila lihat papan tanda "Arabic Food".


Yang ummi nak ceritakan ialah,selepas selesai urusan di Bank Rakyat, ummi dengan Nazihah yang sarat hamil pergi ke restoren Arabic Food tu. Nak lihat jenis makanan dan suasana dalam restoren tu.




Semangkuk Zaitun hijau


Pergi tengah hari, penuh juga dengan pelanggan. Ada berbagai menu makanan dari Timur Tengah. Ummi teringat nasi arab dengan ayam panggang. Nazihah order kambing bakar. Selain nasi arab, ummi order juga buah zaitun dan arabian coctail. Buah zaitun memang kegemaran ummi  sekeluarga.Semua anak beranak pandai makan buah ini. Buah ini memang mahal,  tetapi kerana enak dan lazat, beli juga.



15 minit menunggu, hidangan sampai. Makan berdua saja. Betul-betul nostalgia, kenangan masa di Arab Saudi terimbas kembali. Berdua menikmati hidangan yang mahal. Heehehe... nak tahu harga sepinggan nasi Arab tu, RM 25.00 , arabian coctail segelas RM 12.00, sepinggan kebab RM 20.00 dan semangkuk buah zaitun RM 6.00. Dah masuk restoren tu,tak kan nak keluar lagi. Lagi pun ummi bawa orang sarat hamil... kena duduk dan order juga makanan walaupun mahal.




Kambing panggang



Itulah kenangan bersama Nazihah, menikmati makanan arab di restoren Arab. Cuma sayangnya pekerja restoren itu kebanyakkannya orang luar, orang Myanmar selain orang arab, agaknya kaum kerabat pemilik restoren.


Moga-moga suatu hari nanti, nak ajak zauj pergi berdua makan di restoren ni...






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 1 May 2011

Mati itu Pasti


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



1 Mei, Ahad, ketika semua orang sedang bersantai-santai cuti hujung minggu,   selepas solat subuh, sedang ummi duduk mengadap laptop, telefon berbunyi. Panggilan dari zauj mengkhabarkan ibu saudara sepupu sebelah mak zauj meninggal dunia di Tanjong Karang,Selangor.


Oleh kerana ummi berada di Setia Alam, zauj minta ummi pergi berziarah ke sana. Ummi ajak Nazihah dan suaminya pergi. Nak ajak angah, angah perlu berada di rumah untuk menguruskan isteri yang baru bersalin dan bayinya.


Seawal pukul 7.30 pagi, kami mula bergerak menuju ke Tanjong Karang. Melalui Pekan Meru, Kapar, Jeram dan Kuala Selangor sebelum tiba di Tanjong Karang. Tiba di Pekan Tanjong Karang, kami singgah dahulu di pekan pagi untuk bersarapan. Memang kami belum bersarapan apa-apa lagi sejak subuh lagi di rumah.


Rezeki kami, singgah di pekan pagi Isnin, bertemu dengan makanan tradisional jawa. Soto dan pecal. Sedapnya makan makanan yang dibuat oleh orang jawa. Pecal ni susah nak dapat, sebab menggunakan tauge ekor pendek yang dibuat sendiri.


Lepas bersarapan barulah kami meneruskan perjalanan ke Sg Sireh. Jenazah telah dimandikan dan masa kaim tiba sedang dikapan. Arwah meninggal pada petang sebelumnya kerana sesak nafas. Selamas sebelummeninggal arwah hanya tinggal berdua beranak dengan anaknya OKU, down sindrom. Suami arwah meninggal 2 tahun lalu kerana sakit tua.


Ummi bertanya pada anaknya yang down sindrom, kini berusia 28 tahun, memang kenal ummi sebab sebelum ini, ummi dan zauj serta anak-anak sering menziarahi mereka se keluarga.

"zakiah, mak kenapa?"

"mak dah meninggal, " kata Zakiah dengan loghat yang sukar difahami.

"Zakiah nak tinggal dengan sapa lepas ni? Jomikut kakak balik Johor, tinggal dengan kakak,mahu?"

"nanti pakat-pakat", kata Zakiah.

Hmm... cerdik juga dia menjawab soalan. Mungkin ada yang tolong bagitahu dia,nanti pakat-pakat dengan abang kakaknya.


Hari ni,mungkin Zakiah tak tahu makna meninggal tu, dia kelihatan gembira dan ceria sebab lihat ramai orang datang seseolah hari raya.Tambahan semua yang datang berikan duit pada dia. Esok lusa, mesti dia cari maknya.


Semua yang hidup pasti mati. Cuma tidak tahu bila masa dan ketikanya.Sama seperti melahirkan anak, tak tahu bila masa dan ketika bayi dalam kandungan akan dilahirkan. Tarikh yang doktor beri hanyalah sebagai panduan dari kajian dan tafsiran al-quran.


Begitu juga dengan jodoh dan rezeki. Semuanya adalah dalam urusan Allah, tak ada seorang manusia pun yang tahu apa yang terbaik Allah rancangkan buat hambaNYA. Sebagai hamba,kita hanya diperintah untuk taat dan mengabdikan diri kepada NYA.


Ntah esok atau lusa, kita akan menyusul pula menuju ke alam kubur. Selalunya kalau kita bermusafir, kita buat persediaan dan persiapan. Ada bekalan...


Bagaimana persiapan kita menuju kepada Allah yang perlu melalui beberapa alam. Selepas alam roh, alam rahim, alam dunia , alam kubur (alam barzakh) alam akhirat untuk bicara di Padang Mahsyar, barulah kita ditempatkan alam yang kekal abadi, samada syurga atau neraka. Selagi tidak syirik,masih beriman walaupun senipis kulit bawang, selepas menerima hukuman di neraka, akhirnya akan dibawa ke syurga juga.

Syurgalah tempat yang kekal abadi. Adakah masuk syurga kerana amal ibadah atau kerana rahmat Allah? Boleh rujuk dan baca di sini . Mengingati Mati dan Masuk Syurga Dengan Rahmat Allah?




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Tuesday, 26 April 2011

Ingatkan Nak Berziarah Saja...

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



Lama cuti dari menulis entri di mana-mana website dan laman blog disebabkan oleh keadaan tapak tangan dan jari yang belum pulih sepenuhnya. Selepas pembedahan A 1 Pulley release, tapak tangan berbalut dan luka jahitan belum sembuh sepenuhnya. Jari juga masih belum boleh diaktifkan untuk menaip aksara di papan kekunci laptop ini.


Tapi hari ni tergerak hati kerana rindu untuk menulis sesuatu. Rasanya banyak sangat perkara yang tersimpan di minda ini, takut semuanya lupa akhirnya. Memang pun sejak usia makin bertambah bilangannya, space memory makin berkurang dan mudah lupa. Dan untuk recall semula amatlah payah.


Untuk menulis perkara yang sudah berlalu perlu kena pada masa dan ketika yang sesuai dengan entri. Entri hari ini cuma sedikit perkongsian berita gembira. Kelahiran seorang lagi umat Nabi Muhammad SAW.


Bulan April ini saja setiap minggu ummi dengan zauj datang ke Setia Alam. Kebetulan zauj ada kelas dengan pelajar PJJ UTM berpusat di Klang. Menyelia PSM pelajar SPI. Maka selalu zauj datang bertemu mereka.


Baru ini kebetulan anak saudara zauj berkahwin di Dewan Kem Wendiburn,Setapak. Anak saudara zauj seorang tentera darat. Kami sampai malam Jumaat malam Sabtu. Sabtu walimahnya. Ummi pergi bersama anak menantu. Najdah dengan anak-anak, Nazihah, angah dan Afifah(menantu).


Selepas majlis walimah, kami berkumpul di rumah anak saudara tu. Ramai adik beradik zauj yang jauh-jauh datang. Berkumpul mengeratkan hubungan persaudaraan.


Menjelang maghrib sampai di rumah. Lepas solat maghrib, ummi dengan anak-anak penyediakan makan malam dan makan bersama.


Selepas itu , berehat. Tiba-tiba Nur Afifah rasa seperti tidak selesa perutnya. Rasa sakit dan contraction di rahim sudah dirasai dari pagi lagi. Malam tu, jam 10, ummi suruh suaminya (angah, anak ummi ) bawa Nur Afifah ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah , Klang. Sekadar untuk pengesahan, adakah sudah tiba masa untuk melahirkan anak-anak atau tanda-tanda palsu sahaja.


Jam 11.00 malam sampai di Hospital Klang, diperiksa dan disahkan akan melahirkan anak dalam masa beberapa jam lagi. Terus Nur Afifah di bawa masuk ke Dewan Bersalin. Jam 1.32 pagi, Ali Abdul Jabbar selamat dilahirkan.


Selepas di bersihkan, jururawat memanggil angah, untuk mengazankan anaknya. Diazan pada telinga kanan dan diiqamatkan ditelinga kiri. Bayi diberikan kepada ibunya, untuk di susukan dengan susu awal ibu. Susu awal ibu yang di panggil kolestrum.


Apa kolestrum tu? Kolestrum ialah susu awalan yang dihasilkan oleh ibu-ibu dalam 2 hingga 3 hari selepas melahirkan anak yang berkuantiti kecil (20-30 ml) bagi setiap susuan. Warnanya, pekat dan kuning . Kolestrum ni sangat baik untuk baiki usus kecil bayi, cegah cirit-birit dan kuatkan lagi sistem imunisasi bayi yang baru lahir. Walaupun tak banyak, tapi janganlah risau sebab ia cukup untuk keperluan bayi kita. Sudahlah kaya dengan zat makanan ditambah lagi dengan antibodi. Rugi tak bagi,kan?



Ali Abdul Jabbar selamat dilahirkan pada pukul 1.32 pagi Ahad, 24 April 2011 bersamaan 21 Jamadil Awal 1432H dengan berat 2.4 kg. Selepas dilahirkan ramai yang datang menziarahi sibayi dengan doa-doa yang baik.


Bayi ibarat kain putih yang bersih. Mulutnya harum. Kulitnya halus dan lembut. Ummi memang gemar mencium bau mulut bayi. Harum, ada orang tua-tua berkata ibarat bau syurga. (sapa pernah cium bau syurga?)


Niat di hati ingin membuat aqiqah pada hari ke 7, tetapi disebabkan Nazihah masih belum bersalin, maka ditunggu untuk mengadakan aqiqah bersama-sama anaknya nanti.


Jadi pada hari ke 7,(Sabtu, 30 April 2011) diberikan nama, dicukur rambut dan mak mertua angah buat pulut kuning dengan kari daging. Menjamu sesiapa yang datang berziarah. Alhamdullilah,ramai yang datang.


Hari Ahad, 4 orang Al-Hafiz datang berziarah. Moga barakah mereka  melimpahi kepada bayi  ini. Mereka Mendoakan yang baik-baik, antaranya "Semoga Cucu Ummi menjadi anak yang soleh, dan dapat berjuang untuk agama Allah... Amin....


Begitulah kisah,yang membawa ummi tinggal semestara di Setia Alam. Allah memudahkan urusan, asalnya ummi datang ke Setia Alam untuk menghadiri walimah anak saudara zauj, tiba menantu ummi bersalin awal dari jangkaan doktor.


Oleh kerana anak dan menantu akan menduduki peperiksaan akhir , pada hari ke 5 selepas melahirkan anak, maka zauj minta ummi tinggal di sini menemankan mereka disamping memberikan tunjuk ajar bagaimana menguruskan bayi baru lahir. Ummi ajar angah cara-cara memandikan bayi, termasuk membedong bayi.


Alhamdullilah, bayi kecik ini mudah diuruskan. Tidak banyak ragam dan masalah. Sihat dan cepat membesar. Moga menjadi anak yang soleh.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Tuesday, 19 April 2011

Mengetuk Pintu RahmatNYA

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sedikit perkongsian yang bagus ummi dapat dari laman Al-Fanshuri. Ummi terpegun dengn ayat ini yang sangat berkesan untukkita ubah sikap kepada manusia yang bersyukur. “Barang siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, yang banyak tidak akan datang kepadanya.”


Memang benar, jika apa-apa yang Allah kurniakan pada usaha kita di dalam mencari rezeki batau apa-apa yang dihadiahkan oleh seseorang walaupun sedikit, terimalah dengan rasa redha dan syukur. Sedikit atau banyak ia tetap rezeki yang diberkati. Baca lah seterusnya...


Allah Ta’ala berfirman seketika kalian meminta tolong kepada Allah Ta’ala dan Allah Ta’ala menjawab doa kalian. Malah semalam sebelum turunnya ayat ini Rasulullah SAW tidak bisa tidur, Beliau bermunajah dalam tahajudnya, “Ya Hayyu Ya Qoyyum”. Beliau banyak menangis. Beliau banyak memohon kepada Allah Ta’ala. Maka Sayidina Abu Bakar Ash Shiddiq رضي الله عنه yang bersama Nabi ikut menangis dan memeluk Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan berkata , “Cukup ya Rasulullah, Allah Ta’ala pasti akan mengabulkan doamu”. Dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah mengajarkan kepada kita bagaimana caranya mengetuk pintunya Allah Ta’ala dan memohon kepada Allah Ta’ala.


Sebaik-baiknya hal yang ada di dalam hati kita pada saat Allah Ta’ala sedang menatap hati dan bathin kita adalah bagi Allah menemukan dalam hati kita penyesalan atas kesalahan dan dosa-dosa kita. Dan sesungguhnya sebagaimana dalam hadits, orang mukmin; dia memandang dosa yang dia lakukan, dosa peribadinya itu bagai gunung yang ada di atas kepalanya yang sewaktu-waktu boleh menimpa dirinya dan membinasakannya. Adapun seorang munafik; menganggap dosa yang dia lakukan itu bagaikan lalat yang hinggap dihidungnya yang boleh dia usir bila-bala sahaja.


Ketika Imam Hasan al-Bashri melewati sekelompok kaum sedang berbahas tentang masalah qadho dan qadar tanpa didasari ilmu, mereka berbincang-bincang dalam masalah yang mereka tidak mengerti, maka Imam Hasan al-Bashri mengatakan: Jika mereka masih memikirkan dosa-dosa mereka nescaya mereka tidak akan ada waktu untuk membicarakan hal-hal semacam ini. Bagaimana halnya dengan seseorang yang setiap hari dan malam harinya dia habis waktunya dalam pandangan yang diharamkan oleh Allah Ta’ala?


Bagaimana dengan seseorang yang habis waktunya dalam memburuk-burukkan orang-orang sholeh, sahabat Nabi dan keluarganya? Bagaimana dengan keadaan seseorang yang ingin mengatur, menganggap orang lain dari para pendahulunya, orang-orang besar, mau diatur dengan hukumnya dan mau menghakimi mereka seenak perutnya sendiri, menganggap mereka itu orang biasa dan kecil. Seandainya mereka memikirkan dosa mereka, nescaya mereka tidak akan tenggelam sibuk dalam hal-hal semacam begini.


Ini bukan sikap orang-orang yang memikirkan dosa-dosa mereka. Ini adalah yang di firmankan Allah Ta’ala, dalam al-Qur’an yakni sifat-sifat yang mulia, dalam hal ini adalah orang-orang yang apabila datang kepada Nabi setelah mereka, yakni yang mengatakan 'Rabbanafirlana' ampuni kami sekalian dan juga dosa orang-orang sebelum kami pendahulu-pendahulu kami. Dan jangan jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap orang-orang yeng beriman. Sesungguhnya Kau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


Syekh Abu Bakar bin Salim, beliau mencari pengampunan dari Allah Ta’ala untuk diri beliau dan orang-orang di zaman beliau. Dengan susah payah beliau meminta kepada Allah Ta’ala. Beliau setiap malam menangis untuk Allah Ta’ala. Beliau apabila disampaikan kepada beliau atau mendengar dari orang lain kalau ada orang lain yang menjelek-jelekan dan menghinakan beliau, beliau langsung berdoa dan mendoakan orang tersebut dan memohonkan ampunan kurnia Allah Ta’ala untuk orang itu.


Dan sesungguhnya itu apabila ada orang yang mengganggu beliau dalam waktu cepat dekat disusul musibah menimpa orang yang mengganggunya. Ditanya Syekh Abu Bakar bin Salim: “Apakah kamu menyumpah orang-orang yang mengganggumu?. Dijawabnya: Tidak aku sama sekali tidak pernah menyumpah orang islam, akan tetapi Allah Ta’ala yang murka terlebih dahulu, kecemburuanNya terhadap para auliya`Nya tanpa sebelum aku tahu, maka dibinasakan Allah Ta’ala, kalau aku tahu aku akan minta tolong terlebih dahulu”.


Warisan dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, yang mana sifat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم tentang kaum munafikin ketika Baginda صلى الله عليه وآله وسلم mengatakan: “Seandainya aku tahu kalau aku beristighfar untuk mereka lebih dari 70 kali akan diampuni Allah untuk mereka, maka aku akan beristghfar lebih dari 70 kali agar mereka diampuni”.


Syekh Abu Bakar bin Salim, beliau membentuk majlis-majlis ilmu dan majlis zikir untuk orang awam dan orang khusus. Datang pada beliau murid-murid dari jauh, dari Syam, dari Mesir, dari Haramain (Makkah dan Madinah) dan dari tempat pelosok yang jauh untuk menimba ilmu kepadanya. Beliau mendidik murid-muridnya, mendidik sekalian manusia untuk bersikap adab yang patut kepada Allah Ta’ala. Sebagaimana kita dengar bahwasanya didapur beliau dimasak setiap harinya 700 sampai 1,000 potong roti.


Suatu hari datang ke rumah Syekh Abu Bakar bin Salim seorang wanita dengan membawa sedikit makanan yakni sekitar setengah liter atau setengah mud dengan niat ingin menghadiahkan kepada Syekh Abu Bakar bin Salim. Ketika sampai wanita tersebut kepada pembantu Syekh Abu Bakar Bin Salim, pembantu itu berkata: “Apalah ertinya hadiah yang kau berikan ini? Tidakkah kau tahu setiap hari kami memasak hingga seribu potong roti untuk para tamu-tamu kami?” Maka tidak disangka-sangka datang Syekh Abu Bakar bin Salim, beliau turun dari tangga menemui wanita itu setelah terdengar suara wanita tersebut. Langsung beliau berkata kepada wanita tersebut: “Engkau datang ketempat ini wahai ibu kerana Allah, dan engkau bermaksud kepada saya, engkau menuju kepada saya kerana Allah Ta’ala. Berapa banyak langkah yang engkau langkah dalam perjalananmu menuju kemari, semuanya adalah pahala dari Allah. Dan engkau menyiapkan hadiah yang mulia ini. Berapa butir dari gandum yang engkau hadiahkan kepada saya, tiap butirnya betapa besar pahalanya disisi Allah Ta’ala.” Maka diangkat dan diterima hadiah tersebut oleh Syekh Abu Bakar bin Salim, menjamu dan menghormati wanita tersebut. Dan dia keluar dari rumahnya dalam keadaan gembira.


Dan beliau pun menegur pembantunya dan berkata: “Jangan sekali lagi kau berucap kalimat seperti tadi kepada siapa pun. Ketahuilah bahwasanya kami tidak menyaksikan yang memberi kepada kami semata-mata hanya Allah Ta’ala. Apa pun yang sampai kepada kami melalui tangan hamba-Nya banyak ataupun sedikit pada hakikatnya pemberinya adalah Allah Ta’ala. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada mereka sesuai dengan niat mereka, apabila ikhlas kerana Allah Ta’ala”. Beliau juga mengatakan: “Barang siapa yang tidak mensyukuri yang sedikit, yang banyak tidak akan datang kepadanya.” Dan ini adalah lambang, warisan yang beliau bawa dari Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.


Disebutkan dalam riwayat hidup beliau, bahwasanya beliau mengagungkan, menghormati nikmat Allah yang diberikan walaupun sedikit. Suatu ketika beliau melihat ada sedikit makanan terjatuh dilantai, dibiarkan begitu saja, beliau angkat dan beliau berkata kepada isterinya: “Hendaknya engkau mensyukuri menjaga nikmat yang dikurniakan Allah Ta’ala, sebab apabila nikmat tersebut diambil oleh Allah Ta’ala akhirnya tidak kembali lagi.”

 Semoga perkongsian ini bermanafaat untuk mengetuk pintu hati kita  akan segala rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala kepada kita.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday, 13 April 2011

Tangan Kiri Ke? Macamana...

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Dugaan dan ujian Allah tidak pernah berhenti selagi nyawa masih dikandung badan. Ujian di dunia bagi menguji keimanan masing-masing.

Maha suci Allah, keredhaan MU yang aku harapkan. Jadikan aku manusia yang redha dan syukur dengan segala apa yang telah ENGKAU takdirkan buat aku.Jadikan aku hamba MU yang sentiasa rindu untuk bertemu dengan MU.


Belum selesai kisah pembedahan jari di tangan kiriku ini. Semalam, selepas balik dari hospital, terus ambik gambar tangan yang berbalut ini menggunakan Cyberlink You Cam laptop ini. Lepas itu upload gambar tangan di fesbuk.

Stail Ambik gambar macam nak baca ikrar...
Ramailah yang memberikan respon. Dalam banyak-banyak respon,ada satu respon yang berbunyia begini "tangan kiri ke? aiyo...macamana nak basuh bila buang air besar ni....". Boleh ini yang dia fikirkan dahulu bila lihat gambar tangan yang berbalut dan sudah pasti balutan itu tidak boleh kena air. Tidakpulak dia tanya soalan ini " camana nak berwudhuk?"


Sedangkan ummi yang melalui pembedahan ini pun tidak terfikir dan berfikir hingga ke situ. Bagi ummi setiap permasalahan pasti ada jalan keluarnya. Bila masanya? Ketika kita telah berhadapan dengan masalah itu.


Berbalik balik kepada soalan dan ummi merenungnya, dalam benak ummi berfikir,setakat tangan berbalut apalah yang sukar sangat, masih ada tangan kanan. Bagaimana mereka yang cacat anggota, tangan kena potong atau tidak mempunyai tangan langsung. Pasti mereka lagi sukar untuk melakukan apa saja bukan setakat mahu cuci selepas buang air besar.


Walaupun sebelah tangan ini berbalut, ummi tidak rasa apa-apa kekurangan. Ummi masih boleh buat kerja, masih boleh masak, kemas rumah,  vakum lantai dan sidai kain dengan tangan yang sebelah lagi ini. Hujung-hujung jari masih berfungsi membantu untuk menaip entri hari ini dan semalam.


Bagi ummi, setiap ujian,dugaan dan masalah yang Allah berikan kepada manusia, mesti diiringi dengan jalan penyelesaian. Kita perlu bertenang supaya minda kita dapat berfikir. Yang selalunya,seseorang itu memandang besar kepada ujian dan masalah apabila fikirannya selalu buntu. Tidak mampu berfikir dengan tenang dan dalam diri sentiasa kelam kabut. Bila begini,keadaan jadi serabut dan menjadikan ujian dan masalah yang datang kelihatan berat.Jangan sekali-kali merungut dengan masalah yang dihadapi dan ujian yang datang.


Sebenarnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah sangat adil kepada hambaNYA. Dan Allah berada di dalam apa yang kita sangka. Sebab itu sebagai hambaNYA kita wajib ada rasa redha dan syukur. Segala apa yang diuji,diterima dengan redha dan syukur. Bila 2 serangkai ini ada dalam diri,pasti kita akan merasa ujian itu nikmat sebenarnya. Kita merasakan ujian itu adalah anugerah Allah kepada kita.


Kita terpilih untuk menerima ujian, maka kita ini berada di dalam pandangan Allah. Ibarat seorang gadis ayu yang sentiasa dipandang oleh seorang kekasihnya. Pasti kekasihnya suka merenung wajahnya,ambik berat hal dirinya dan berbagai-bagai perhatian diberikan. Maka begitulah keadaan orang yang sering diuji.


Apabila sering diuji, didatang berbagai-bagai masalah,bilakita tenang dan terima dengan redha dan sabar, pasti ada jalan keluar yang Allah datangkan. Jiwa akan tenang dan lapang. Tidak ada resah dan gelisah apatah lagi rasa serabut.


Maka belajarlah hadapi sesuatu ujian dan dugaaan itu dengan tenang dan terima dengan redha. Redha ini memang mudah disebut sukar untuk diterima. Belajarlah, lama-lama didikan untuk menjadi redha dan sabar akan jadi perhiasan diri. Sekian entri kali ini, semoga bermanafaat.



Ada juga yang bertanya "Camana ummi nak sujud nanti nih?"

Dalam hati terfikir kenapa tak tanya soalan begini, " camana nak berwudhuk?" Ini akan ummi tulis dalam entri lain pulak.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.