بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Maha suci Allah, aku mohon petunjuk MU di dalam penulisan ini. Telah lama perkara ini bermain dibenak fikiran. Adakah patut ditulis atau disimpan. Atas niat yang satu Lillahi Ta'ala aku tulis hari ini dengan tujuan mendidik. Mendidik siapa? Bukan mendidik siapa-siapa tetapi mendidik anak sendiri kerana jika anak-anak tersilap langkah dan terjatuh, bukan dia jatuh sendirian tetapi kemungkinan dia turut menarik orang disekitar untuk terjunam ke bawah juga.
Aku mahu mendidik anak-anakku menjadi insan yang pandai mengenang budi dan jasa. Bagaimana caranya. Adat manusia sering lupa bila sudah dapat apa yang dihajati dan bila sedang diulit selesa. Mungkin kita kena cerita semula, kena ungkit kembali peristiwa lalu.
Jika ikut bicara ikhlas, tidak boleh diceritakan dan diungkit apa yang telah seseorang itu buat. Iya, betul sekiranya dengan orang lain. Apakah dibenarkan kepada anak sendiri? Lihatlah apa yang hendak kita ungkit dan cerita tu.
Saya berikan contoh, anak-anak ni bila dia sudah selesa dengan apa yang didapat , dia selalu lupa. Tiap pagi, bila bangun, turun ke bawah terus buka tudung saji. Jika tidak ada makanan kegemaran dihidangkan , dia akan tanya, "ibu tak masak hari ni?" Kadang-kadang siibu tidak sediakan kerana tidak ada bahan untuk dimasak, ibu gantikan dengan makanan lain, bukan sengaja pun.
Esoknya sebelum tidor ibu sudah rancang dalam kepala, apa bahan yang ada untuk disediakan sarapan. Awal-awal pagi siibu sudah sediakan makanan di bawah tudung saji. Si anak turun, terus buka tudung saji, ambik pinggan dan makan.
Suatu hari siibu minta tolong buat sesuatu, dia buat endah tak endah saja. Orang kata buat tak kisah apa yang ibu tu suruh. Hmm... sekali dua kali dibiarkan saja tingkah sianak yang buat tak kisah percakapan si ibu. Adakah mahu dibiarkan berterusan begitu melihat perangai sianak tadi?
Kalau dibiarkan lama-lama jadi tabiat. Lagi lama, lagi payah untuk dibentuk dan didik. Jadi caranya kena ingatkan, kena ungkit dan kena tegur.
"O...semalam kalau ibu ni tak masak , kau orang tanya kenapa,kenapa takde makanan. Tapi hari ni, ibu minta tolong kau orang tak de kisah pun, ibu segera buat apa yang kau orang nak, tapi kamu takde pun nak buat apa yang ibu cakap, usahkan nak segera bertindak, buat pun tidak."
Siibu terpaksa ungkit semula cerita semalam agar anak tu ingat. Supaya anak tu tidak lupa, dan berfikir " bila aku nak , ibu segera buat, bila ibu minta tolong, aku buat tak kisah."
Dan mesti diingatkan kepada para ibu, bahawa perkara yang diungkit tu bukan perkara wajib atau tanggungjawap. Contohnya jangan ungkit air susu yang telah disusukan semasa bayi, atau perbelanjaan ketika persekolahan mereka kerana itu memang tanggungjawap ibu bapa. Mereka tak minta pun tetapi ibu bapa memang wajib berikan.
Seperti contoh di atas, menyediakan hidangan kegemaran bukan kewajiban siibu,kerana ada gantian makanan lain, tetapi kerana anak tu suka, maka siibu sediakan juga walaupun orang lain dah jemu nak makan.
Terkenang kepada seorang adik yang jauh di utara sana. Setelah arwah mak meninggal dunia, mak tiri sering datang ke rumahnya membantu ketika dia bersalin. Ada juga kadang-kadang terdesak, pengasuh ada urusan, mak tiri tolong menjaga anak-anaknya ketika dia keluar bekerja.
Suatu hari, setelah arwah abah meninggal dunia, sebaik habis eddah, mak tiri telah dilamar orang. Ada anak-anak yang kurang memahami perasaan, mulalah berkata yang tidak enak dan ketika majlis akad nikah mak tiri ada yang tidak datang meraikan. Sedangkan aku pula, memang awal-awal lagi, setelah 3 hari arwah abang meninggal dunia dan berpesan kepada mak tiri, "makcik, nanti jika habis eddah ada orang datang meminang, makcik kahwinlah ya, janganlah makcik segan dengan kami, ini untuk kebaikkan makcik dan kehidupan makcik."
"Saya faham kehidupan seorang balu yang tinggal di kampung, penuh ranjau dan fitnah tambahan makcik orang berniaga, sering keluar rumah, nanti banyak yang berprasangka negatif walaupun sebenar makcik keluar mencari rzeki."
Memang sedih makcik dengar saya kata begitu, seolah-olah dah tak sayang dengan dia tapi sebenarnya rasa sayang tu melimpah cumanya lagi kesian sekiranya nanti hidupnya penuh dengan umpat keji masyarakat sekeliling. Alhamdullilah, cukup saja eddah memang ada yang datang meminang makcik dan seminggu selepas itu terus bernikah.
Ada adik beradik yang kurang setuju, ada yang setuju. Pro dan kontra ni memang lumrah dalam memberikan pandangan dan pendapat. Mana yang kontra, tak hadir semasa majlis pernikahan makcik. Berbeza dengan adik sorang ni, dia awal-awal lagi dah rancang, ambik cuti. Datang anak beranak.
Bila ada adik beradik yang kontra pendapat tanya, dia jawap, "aku kenang jasa makcik, waktu aku susah, dia mai tolong, waktu aku beranak, dia mai sini tengok-tengok apa yang patut." Hangpa tak mau pi takpe lah, aku kenang juga jasa makcik jaga abah lepas mak takde walaupun tu memang tanggungjawap makcik jaga suami dia."
Alhamdullilah aku ada seorang adik yang tegas pendirian menjawap walaupun adik aku sorang ni cuma seorang perempuan lembut yang pengasih dan penyayang.
Aku nasihat adik beradik lain, apa yang adik tu buat betul, dan memang sifat dia jenis mengenang jasa dan budi orang. Kita pun patut jadi macam tu, selalu mengenang jasa dan budi orang. Jangan bila kita dah senang, bila dah dapat apa yang kita nak, kita dah buat tak kisah.
"kakak ni, masa sekolah dulu terpaksa duduk dengan tokcik di Pulau Pinang sebab tak dapat duduk asrama, sampai la ni pun, kakak masih pi ziarah tokcik. Kakak kenang jasa tokcik bagi tempat tinggal masa kakak sekolah dulu, sampai mati kakak akan kenang jasa orang. Hangpa pun kena jadi macam tu jugak"
Adakah bila kita ungkit pertolongan dan budi pada seseorang tu dikira hilang ikhlas? Iya, jika niat kita ungkit tu kerana mahu balasan. Berbeza kita ungkit cerita dengan anak-anak, niat kita adalah untuk menyedarkan si anak , tujuan kita mendidik supaya dia menjadi seorang hamba Allah yang tahu bersyukur. Bukan mudah untuk melahirkan perasaan syukur atas apa yang ada jika tidak ditarbiyah dari kecil.
Tidak hairan orang dulu-dulu boleh buat perumpamaan, seperti kacang lupakan kulit. Peribahasa Melayu 'seperti kacang lupakan kulit' memberi nasihat supaya jangan melupakan budi insan yang pernah berjasa. Atau adakah kacang ingin mempertahankan diri bahawa dia tak bersalah?
"Hai nama saya kacang. ada perumpamaan melibatkan saya, sebiji kacang. "Seperti kacang lupakan kulit". kenapa saya yang dikaitkan. saya tak pernah melupakan kulit saya, tapi manusia yang buat saya lupa kat mana kulit saya sebab lepas dia orang makan saya dia orang akan buang kulit saya entah ke mana. Jadi adakah itu masih jugak salah saya?"
Demikian luahan hati sebiji kacang yang boleh difahami maksud yang dia nak sampaikan "Aku tak bersalah"
Adakah kita rasa tak bersalah melupakan akan jasa dan budi orang kepada kita dengan berkata, "tu tak ikhlaslah masa tolong dulu, sebab sekarang ni sebok dok ungkit semula." Sebab itu saya tegaskan, kita cuma boleh ungkit dalam menasihati anak-anak kita sendiri saja dengan tujuan mendidik mereka. Bermula dari rumah untuk pandai mengenang jasa adik beradik ibu bapa sebelum anak-anak tu melangkah keluar dalam masyarakat.
Semoga penulisan ini bermanafaat untuk ibu-ibu dalam mendidik anak-anak dalam dunia yang makin besar dugaan dan cabarannya masa kini.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment