BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 8 October 2012

Baraqah Sebuah Rumah




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Perkongsian rasa di dalam perjalanan menuju Allah. Subuh Sabtu, seawal jam 5.00 pagi aku dijemput oleh seorang muridin untuk menghadiri kuliah subuh. Ketika itu aku berada di D'Village Resort, Ayer Keroh , Melaka menemani suami yang ada kerja di sana. Aku dibawa tanpa aku tanya di mana tempatnya. Niat cuma satu untuk menuju kepada Allah melalui jalan yang DIA redha.


Tiba destinasi, rupanya aku dibawa ke sebuah rumah. Sebaik tiba azan subuh berkumandang.Aku dipersilakan masuk. Di ruang tamu , aku melihat telah hadir beberapa jemaah sedang mengerjakan solat sunat subuh.


Aku dibawa ke sebuah bilik bersebelahan ruang tamu. Aku masuk dan duduk menghadap kiblat. Aku sedang uzur dan tidak mengerjakan solat. Sambil memejamkan mata, yang terhimpun dalam minda ialah monolog dengan Allah SWT.


"YA Allah, berilah aku petunjuk"

Dan diteruskan dengan doa moga diampun segala dosa, diri, ibu bapa, suami, anak menantu,beberapa nama anak angkatku dan seluruh umat ISlam didalam rahmat Allah.


Selesai berdoa, aku buka mata sambil terus berharap diberikan suatu petunjuk yang aku tidak ketahui apa yang sedang aku lalui ketika itu.


Tiba-tiba rasa yang aku alami bertukar sedikit demi sedikit. Aku merasa seperti berada di Tanah Haram. Rasa tenang dan disekelilingiku seperti suasana di sana sedangkan ketika itu cuma ada seorang perempuan berjubah hitam datang menyalami aku dibilik itu. Menitis air mataku dengan petunjuk yang Allah berikan. Semoga tuan rumah  dan rumah ini mendapat baraqah dari Allah Ta'ala. Sungguh aku tidak menyangka begitu sekali keberkahannya tempat pertama kali aku kunjungi sedangkan aku belum mengetahui dimana dan siapa yang empunya rumah ini.


Rupanya aku berada di Serkam, disebuah rumah yang  menyediakan ruang untuk diadakan majlis ilmu.


Selesai iqamat, para jemaah lelaki terus bersolat. Jam 6.25 kuliah subuh tauhid bermula. Disampai oleh Tuan Guru Hj Salleh. Bab berdakwah orang kafir, antara berfikir dan beriman, mana yang diutamakan. Halus huraian yang mudah difahami walaupun Tuan Guru menggunakan kitab kuning zaman dahulu.


Syukur kepada Allah yang memberikan aku peluag untuk menghadiri majlis ilmu ini walaupun jauh. Betapa rahmat Allah turun di dalam mana-mana majlis ilmu hingga mampu memberikan keberkatan pada rezeki yang dihidangkan. Walaupun sedikit tetapi mencukup untuk semua orang.


Wahai anak-anakku,  kunjungilah mana-mana majlis ilmu yang memperingat dan mendekatkan kita kepada Allah dan RasulNYA. Ketahuilah, disetiap majlis ilmu itu rahmat Allah melimpahi kepada mereka yang berada di situ.Dan ambillah kesempatan itu untuk berdoa dan bermunajat.


Dimana pun majlis ilmu itu, tidak kira tempat , kunjungilah. Surau, masjid atau rumah. Selagi majlis itu merupakaan majlis yang mengagungkan Allah dan memperingakan kita kepada Rasullulah.


Rumah yang sering diadakan majlis ilmu, majlis silaturahim dan solat berjemaah merupakan rumah-rumah yang sentiasa diberkati Allah Ta'ala.


Terkenang aku kepada sahabat-sahabat yang suka menyediakan rumah mereka kepada aktiviti keagamaan. Rumah mereka tenang, damai dan segar. Bukan kecil besar ukuran rumah, tetapi baraqah yang dilimpahkan Allah ke atas rumah itu. Maka manafaatkan rumah kita sebaik-baiknya di jalan yang Allah redha. Jika tidak mampu dengan menjariahkan sesuatu, maka jariahkan ruang yang ada untuk agama Allah.


Terkenang kisah para sahabat dahulu, yang berlumba-lumba mahu menjariahkan rumah mereka kepada puak muhajirin ketika hijrah Rasullulah. Dan para sahabat suka menyediakan rumah mereka untuk dijadikan tempat majlis-majlis ilmu.


Carilah sahabat yang selalu mengingatkan kita kepada Allah, ziarahi rumah yang mendatang ketenangan jiwa bila kita kunjungi. Ada rahmat dan baraqah di dalam rumah itu, dan moga-moga kita yang berkunjung mendapat tempiasnya juga. Seperti kata orang, berkawan dengan penjual minyak wangi, pakaian kita turut berbau harum.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: