BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 4 November 2012

Mak Mertuaku




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Mak mertuaku
Mak mertuaku. Paparan kisah ini adalah buat teladan, panduan dan pedoman. Bukan bertujuan riak, ujub atau sombong. Perkongsian untuk panduan anak cucu di zaman akan datang.


Sudah 10 tahun, ayah mertuku meninggal dunia. Masih aku ingat, tanggal 10 Februari 2002, ayah mertuaku meninggal selepas solat Isya'.


2 malam sebelum ayah mertua meninggal dunia, zauj telah bermimpi. Datang seorang tua berjubah putih mengkhabarkan kepada zauj akan keberangkatan kerahmatullah ayahandanya. Tetapi zauj tidak bercerita kepada sesiapa pun. Selepas seminggu ayah mertua meninggal barulah zauj bercerita.


Bila ada panggilan telefon pada malam itu, zauj sudah dapat mengagak khabar yang disampaikan. Abang zauj menyampaikan khabar, ayahanda mereka baru saja berlepas ke rahmatullah. Kami terus bersiap-siap, capai apa yang patut dan berangkat balik ke Selangor.


Mak mertua bercerita, selepas saja solat maghrib, ayah mertua memanggilnya untuk datang mendekat. Ayah menyerahkan sebuah jam tangan dan sedikit wang belanja. Ayah kata, "sekejab lagi saya  nak pergi jauh, ini ada sedikit duit buat belanja awak, jagalah diri baik-baik." Mak terpinga-pinga, kenapa ayah cakap gitu. Mak kata "kita ni nak pergi mana lagi, dah elok kita duduk rumah Mat" (panggilan mak ayah kepada abang zauj nombor 2 ,abang Muhammad).


Selepas itu ayah hulur tangan nak bersalam dengan mak, mak sambut. Selalunya jarang lepas solat maghrib mereka bersalam kerana nak menunggu solat Isya. Ini ayah dah hulur tangan , untuk bermaafan, mak pun sambut. Lepas tu mak pergi ke bilik air untuk ambil wudhuk. Sementara mak ke bilik air, ayah batuk-batuk hingga keluar sedikit darah. Bila azan Isya' berkumandang, segera abang Muhammad membantu ayah berwudhuk di atas sejadah. Nampak seperti ayah tak berdaya nak bangun ke bilik air.

Abang Muhammad menjadi imam, bermakmumkan mak dan ayah. Sebaik lepas salam, ayah terus batuk sambil mulutnya masih berzikir 'Subhanallah'. Akhirnya lafaznya 'Allah', dan ayah telah berangkat ke rahmatullah di pangkuan abang Muhammad.


Sejak itu, mak mertuaku terus tinggal bersama anak-anak. Bergilir rumah yang dia tinggal. Dia sendiri yang pilih rumah mana dia nak tinggal. Selalunya 2 bulan sekali atau sebulan sekali dia akan bertukar rumah.


Mak mertuaku mempunyai 9 orang anak. 3 perempuan dan 6 lelaki. Mak mertuaku tidak tinggal bersama anak perempuan, jika ke rumah mereka sekadar berziarah sahaja seminggu dua. Mak mertua memilih untuk tinggal bersama anak lelaki.


Anak-anak lelaki mak mertuaku sangat baik dan patuh. Sangat taat dan menjaga mak mertua dengan baik. Layanan first class. Begitu juga dengan menantu-menantu perempuan. Walaupun menantu perempuan mak terdiri dari berbagai suku kaum tetapi semuanya sangat menghormati mak dan melayan mak melebehi ibu kandung sendiri. Ada banjar, jawa, melayu laut, dan melayu.


Kini usianya sudah meningkat 80 tahun. Jalan pun dah bongkok. Rutin mak mertua sama setiap hari. Bangun pagi seawal jam 4.00. Ketika arwah ayah masih hidup pun, mak mertua dan ayah mertua bangun awal. Ayah mertua akan mengaji selepas mengerjakan solat-solat malam dan menanti waktu suboh.  Sementara menunggu azan subuh, jarang mak mertua tidor. Dia akan terus berzikir hingga azan suboh berkumandang. Bukan bilangan zikir yang diberatkan tetapi istiqomah berzikir mengingati Allah setiap saat dan detik yang berlalu.


Selepas solat pun, mak mertua tidak akan bangun dari sejadah. Teruskan dengan zikir hingga habis waktu solat suboh untuk mengerjakan solat syuruk. Selepas solat syuruk barulah mak mertua bangun meninggalkan sejadah untuk bersarapan. Sekitar jam 8.00 pagi mak mertua duduk di meja makan nasi dan minum. Selepas makan nasi barulah makan ubat. Mak langsung tak memilih lauk apa pun yang disediakan, asalkan ada nasi. Mak mertua makan cuma 2 kali sehari. Pagi dan petang. Nanti jam 5.00 dia makan nasi lagi. Bila aku ajak makan tengah hari, dia kata belum lapar. Dia makan cuma ketika lapar saja. Makan pun  bukannya mana, sejemput nasi, lauk seperti seekor ikan dan sayur.


Lepas makan pagi, mak mertua akan perbaharui wudhuk. Duduk berzikir dan mengerjakan solat dhuha. Akan lakukan sedikit riadah kaki. Menanti masuk waktu zohor, mak mertua akan tidor sebentar. 30 minit sebelum masuk waktu dia sudah ready di sejadah menunggu masuk waktu. Hari-hari dia menunggu masuknya waktu solat, seakan dia rindu saja untuk bertemu Tuhannya.


Aku memang sentiasa meluangkan masa untuk berbual-bual dengan mertua. Duduk sebelahnya, bercakap-cakap apa saja. Jika ada anak cucu, anak cucu pun suka duduk dekat dengan dia . Dia akan bercerita memberi nasihat itu ini kepada anak cucu. Mana-mana yang perlu ditegur jika dia melihat anak cucu melakukan sesuatu yang tidak kena dengan syarak, dia akan tegur. Dia akan nasihat dengan lemah lembut.


Kemana mak mertua pergi dan menetap, dia akan bawa sebuah beg besar yang isi dalamnya adalah 3 helai kain batik panjang, telekong, kain ihram, kain tudung, tuala. Dia selalu pesan, kalau dia meninggal , cari saja apapun dalam beg tu, semua perkakasan dah lengkap. Mak mertua  sentiasa ingat mati, sebab tu dia buat segala persiapan dan bekalan.


Tiap kali aku bertemu dan akan berpisah dengan mak, (sekiranya dia tinggal di rumah anak yang lain dan kami datang ziarah) dia akan minta maaf dengan anak -anak. Aku pun selalu minta maaf seperti itu pertemuan terakhir dengannya.


Bila saya mohon doa, dia akan kata memang dia sentiasa doakan anak-anak menantu cucu-cicitnya bahagia dunia akhirat. Dia tak pernah lupa dari muda sampai sekarang ni untuk mendoakan anak-anak menantu cucu-cicitnya.


Mak mertua tak pernah sekolah, tak kenal huruf rumi atau jawi atau ayat al-quran. Tetapi tak sekolah, tak kenal ayat al-quran bukan bermakna mak mertua tak reti mengaji. Tak bermakna mak mertua tak baca ayat-ayat quran. Dengan kekurangannya, dia berusaha untuk dekat dengan Allah. Ayah  mertua ajar mengaji secara hafalan. Membaca quran secara menghafal. Sebab tu walaupun mak mertua orang miskin, dulu cuma mengerjakan sawah padi, tetapi semua anak-anaknya disekolahkan. Tak kira anak lelaki atau perempuan. Mak mertua selalu menjadikan  dirinya contoh jika tidak bersekolah, buta huruf tak kenal alif seperti batang tiang. Tak bersekolah bukan bermakna mak mertua takde ilmu. Ayah mertua banyak mengajar ilmu fardhu ain. dan ayah mertua mengizinkan mak pergi ke mana-mana majlis pengajian di surau atau masjid untuk menuntut ilmu.


Cumanya, anak perempuan awal berkahwin. Bila ada saja yang datang melamar, mak mertua terima lamaran. Jadi mereka sekolah cuma setakat darjah 6. Berlainan dengan anak lelaki, dia akan suruh belajar semampu mereka. Walaupun miskin, masing-masing pandai cari duit untuk masing-masing biaya sekolah. Seperti zauj, zauj gembala kambing. Zauj cari orang kampung yang ada kambing, dan ambik upah gembala kambing secara pawah. Bila kambing beranak, dapat 2 ekor anak, seekor tuan punya, seekor zauj punya. Lama-lama kambing yang zauj gembala makin banyak. zauj gembala kambing sampai dia masuk pengajian tinggi.


Apabila diterima masuk ke pengajian tinggi, perlukan duit banyak, barulah zauj jual semua kambingnya untuk biaya di sana. Masa di Mesir zauj dapat biasiswa Yayasan Selangor.


Mak mertua sangat berdisplin dalam pengurusan waktunya. Dia tidak suka berbual perkara lagha dan sia-sia. Menghormati tetamu yang datang dan meraikan. Menjaga kesihatan diri agar mudah dan tidak bergantung dengan orang lain dalam pengurusan diri. Mak mertua tetap sihat walaupun usia makin meningkat.


Dalam satu perbualan dengan dia, dia kata, "arwah ayahmu pesan, jika nak bersedekah jangan banyak-banyak supaya kita lupa. Kalau banyak, kita akan selalu terkenang dan ingat. Takut hilang ikhlas. Biar sedikit tetapi berterusan ." Itulah pesanan yang sangat bermakna.


Inilah ibu yang melahirkan zaujku. Zaujku yang sangat taat dan mengutamakan ibunya dalam apa-apa urusan pun. Sudah berapa kali zauj bawa ibunya pergi mengerjakan umrah sedangkan saya sendiri tidak pernah pergi mengerjakan umrah. Zauj kata, mengerjakan umrah tu sunat untuk ummi, menjaga anak ketika dia tiada tu wajib, maka bila bertembung perkara wajib dan sunat, utamakan yang wajib. Bagaimana zauj ku melayan ibunya begitu juga zauj melayan mak kandungku, kiranya ibu mertua zauj. Kami berdua melayan mak-mak ini seperti permaisuri.


Mak mertua tidak bersuara tinggi bila bercakap dengan anak-anaknya. Mak mertua tidak pernah jemu menyediakan makan minum suaminya ketika hayat masih ada. Walaupun hidup susah mak mertua tidak pernah mengeluh. Hidup qanaah dengan ayah mertua. Tidak hairanlah zuriat yang dilahirkan merupakan anak-anak yang mendengar kata.


Semalam cucuku, Nurul Naimah bertanyakan moyang (mak mertuaku), "Oyang, sapa yang beranakkan atuk?"

Mak mertuaku, "oyang la, sebab tu atuk panggil oyang, mak."

Nurul Naimah, "atuk tu garang la"

Mak mertuaku, "atuk tak pernah garang dekat adik-adik atuk, atuk mana ada cakap banyak."

Nurul Naimah,"habis tu kenapa atuk garang dengan kakak?"

Mak mertuaku, "adik-adik atuk baik-baik sebab tu atuk takde garang dengan adik, kenapa atuk garang dengan kakak (gelaran panggilan Nurul Naimah di rumah)?

Nurul Naimah, "sebab kakak taknak dengar kata atuk"

Opah (saya) , "ha... tahu pun"


Nu'man pulak pernah bertanya, "kenapa oyang pakai cincin, oyang nak kahwin ke?"

Nak tergelak aku dan mak mertua dengar soalan Nu'man yang berusia 3 tahun tu. Sebijak tu dia mengaitkan sesuatu pengalaman dalam perjalanan hidupnya.


Aku lihat, hari-hari Nurul Naimah bersembang dengan mak mertuaku, macam-macam yang Nurul Naimah tanyakan. Sampai dia pernah tanya,

Nurul Naimah, "suami oyang mana?"

Mak mertuaku, "suami oyang dah meninggal dunia."

Nurul Naimah, "macamana rupa suami oyang?"

Mak mertuaku,"pergi tanya opah, ada simpan gambar suami oyang ke?"

Nurul Naimah, "opah, mana gambar suami oyang?"

Terpaksalah saya mendaki tangga naik ketingkat atas untuk membelek album gambar keluarga. Terjumpa gambar lama ketika arwah ayah mertua datang berziarah ke rumah pada tahun 1992. Tunjuk pada Nurul Naimah untuk dia kenal.

Nurul Naimah, " rupa suami nenek macam atuk la."

Mak mertuaku, "dah ayah anak oyang, mestilah rupanya macam atuk."

Arwah Ayah dan Mak mertua


Begitulah antara perbualan Nurul Naimah dengan mak mertuaku. Ada je benda dan perkara yang dibualkan. Mak mertua tidak lupa akan menyelitkan kata-kata nasihat. Walaupun umur Nurul Naimah baru 5 tahun, insyaAllah dia akan ingat sampai bilapun.


Begitulah sedikit catatan tentang mak mertuaku. Mak mertua yang tidak pernah mahu bercerita keburukan anak menantu, tidak mahu menyusahkan anak menantu atau pun membebankan anak menantu. Selalunya orang tua, tak suka tinggal dengan anak cucu, tetapi berbeza dengan mak mertuaku ini. Dia kata, kalau dia degil, selepas arwah suaminya meninggal, dia nak terus tinggal di rumah, ini akan menyusahkan anak-anak. Semua anak-anak sudah ada rumah sendiri, tinggal di rumah yang berhampiran tempat mencari rezeki. Jika dia tinggal di rumah di kampung, tentu tak ada siapa yang boleh temankan. Jika dia mahu tinggal seorang diri, tentu anak tidak izinkan. Nanti tentu anak susah hati. sedangkan anak-anak mahu mencari rezeki buat menanggung anak isteri.

Begitu sekali memahaminya mak mertuaku dengan keadaan anak-anaknya. Dia kata tinggal dimana pun sama je, tetap kita buat ibadah yang sama, rutin yang sama. Bukannya tinggal dengan anak cucu dia tidak boleh melakukan rutin hariannya. Sama saja. Syukurnya kami anak menantu mendapat mak mertua yang begini. Baik dan memahami keadaan anak menantunya.


Tidak heranlah zaujku baik dan tawadhuk orangnya, kerana dilahirkan oleh ibu yang begini.Iman memang tidak diwarisi tetapi boleh dididik dan ditarbiyah sejak dari dalam kandungan lagi. Diasuh dan dibesarkan dengan jati diri mengenal Allah dan Rasullulah.


Satu yang ayah mertua pesan pernah pesan, jangan tinggal zikir walau dalam keadaan apa pun, walaupun ketika anak masih kecil atau ketika anak masih menyusu. Zikirkanlah anak-anak tu sebelum tidor dan ketika mahu menidorkan mereka agar mengenal syahadah sejak dalam buaian lagi.



Semoga catatan ini mendatangkan manafaat buat generasi akan datang untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah. Menjadi panduan dan pedoman bagi ibu-ibu muda yang merasa lelah mempunyai ramai anak kecil dan para isteri yang mempunyai ibu mertua.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

1 comments:

Anonymous said...

very inspiring true story. InsyaALLAH sy juga bercita2 untuk jadi isteri solehah Amin.. Masih baaaaaaaaaaaaaaaanyakkkk yang perlu saya baiki.