Tahun 2000, saya dimasukkan ke wad HSAJB dan menjalani biopsy hati.Karsinoma hepatoseluler atau heptoma adalah nama asing bagi saya. 88% Pesakit hepatoma terinfeksi dari virus hepatitis B atau C. Virus ini mempunyai hubungan yang erat dengan timbulnya hepatoma. Hepatoma seringkali tidak terdiagnosis karena gejala karsinoma tertutup oleh penyakit yang mendasari iaitu sirosis hati atau hepatitis kronik.
"Hati adalah organ penting untuk menapis bahan berbahaya dari dalam darah dan membuangnya dari badan. Hati juga penting untuk penghadaman dan metabolisme protein serta karbohidrat."
Antara sakit hati dan rosak hati berbeza. Sakit hati adalah istilah orang ramai yang biasanya merujuk kepada sakit di bahagian hati yang mana puncanya adalah berbagai seperti jangkitan virus hepatitis. Ianya juga boleh disebabkan oleh hati yang bernanah (abscess) atau masalah batu hempedu.
Kerosakan hati pula melibatkan radang atau kebengkakan pada hati disebabkan oleh penyakit kronik seperti virus hepatitis B atau C, yang boleh membawa kepada sirosis hati dan kegagalannya untuk berfungsi. Perlu difahami bahawa kerosakan hati boleh berlaku tanpa pesakit merasai sebarang kesakitan.
"Hepatitis boleh membawa kepada sirosis (pengerasan hati) dan juga kanser hati!"
Hepatitis boleh membentuk sirosis iaitu pembentukan tisu parut pada hati bagi menggantikan sel hati yang mati akibat jangkitan virus, atau bahan kimia tertentu. Sirosis pula boleh membawa kepada kanser hati!
"Hepatitis sememangnya menggerunkan. Saya pernah berjumpa pesakit yang menangis tiba-tiba, ketakutan akibat terlalu banyak maklumat, dan mungkin telah salah faham mengenai situasi yang dihadapinya.
"Radang hati melibatkan virus hepatitis jenis A, B, C, D, E, F dan G. Namun, virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) merupakan yang paling menggerunkan,"
Sirosis terbentuk daripada hepatitis kronik setelah bertahun-tahun dijangkiti virus tersebut. Di bawah mikroskop elektron, virus hepatitis kelihatan seperti bunga bulat tetapi sangat bahaya.
Kala di wad, di fail saya, yang tertulis diluarnya jelas perkataan Hep B +ve. Saya redha. Hasil pembacaan mendalam membuat kita tenang dan bersedia. Walaupun saya mengambil masa hampir satu tahun untuk menerima hakikat saya masih ada masa selama 12 tahun untuk bersama-sama keluarga.
Zauj kata, "ramai je orang mati tak bersebab atau kerana-kerana yang dijadikan asbab seperti, mati kemalangan, mati kena bunuh, mati lemas dan sebagainya. Ada juga yang mati dalam tidor. Nak mati tak kira masa, bila-bila pun boleh mati, jadi tak usah dok risau sangat nak mati."
Sejak itu, saya memulakan persediaan untuk mati walaupun adakala tewas dengan bisikan dan rayuan syaitan. Namun Allah sentiasa membuka pintu taubat, sentiasa memberi ampunan dan menunjukkan jalan yang lurus.
Doa adalah senjata orang mukmin. Rahmat Allah lebih luas dari murkaNYA. Allah sentiasa membuka jalan untuk sesiapa yang mahu melakukan amal kebajikan.
Dalam pada itu ujian tetap datang, penyakit dak kesakitan sudah sinonim, hospital menjadi penginapan kedua selain rumah kediaman. Anak-anak meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain. Mereka tidak perlu tahu apa yang ummi mereka sedang alami.
Rawatan zikir dilakukan disamping rawatan alternatif. Pernah tahun awal tahun 2009, sebuah mesin canggih di pusat perubatan alternatif mendiagnos tahap kerosakkan hati sehingga 90%. Mak aii...tingginya.
Seorang doktor juga pernah berkata, semua manusia mempunyai 2 paru-paru, 2 buah pinggang, tapi cuma ada satu hati. Jika salah satu organ buah pinggang atau paru-paru rosak, masih ada sebuah lagi untuk digunakan. Hati, walaupun cuma satu tetap berfungsi baik sehinggalah cuma tinggal 1% saja lagi elok.
Setiap 6 bulan saya menjalani ujian fungsi hati. 5 tahun pertama, saya masih rajin menjalani ujian rutin itu. Lama-lama saya jemu sebab saya tak ada menjalani sebarang rawatan pemulihan hati, bagaimanakah hati saya akan bertambah baik? Keputusan yang saya dapati setiap 6 bulan menjalani ujian fungsi hati merupakan satu keputusan yang akan menyebabkan saya jadi lagi susah hati. Bacaan yang tak cantik.
Lebih baik saya tak tahu apa-apa lagi perkembangan fungsi hati saya sehinggalah saya jalani ujian menggunakan mesin canggih di pusat rawatan alternatif. Mereka menggunakan sample rambut dan darah saya untuk menganalisa. Keputusan akhir, perawat itu jadi heran bagaimana keputusan dari analisis oleh mesin canggih menunjukkan kroniknya keadaan semua organ dalam tubuh saya, tetapi saya masih segar bugar, ceria senyum ketawa.
Tahun 2007 saya mula mengalami kerosakan sendi. Mr.Masjudin ( pakar orthopedik yang merawat sejak Januari 2008) kata kerosakkan sendi ini adalah "Severe Tricompartmental Osteoarthiritis of Knee Joint" bahasa melayu nya "kerosakkan sendi lutut yang teruk" level 4.
Beberapa siri pembedahan berkaitan sendi dilakukan sehingga tahun 2010. Dalam pada itu, pada 13/1/2010 menerima rawatan angiogram rawatan untuk jantung, di wad kardiologi HSAJB.
Oleh kerana tahun 2012 makin hampir, masa yang berbaki pun tak lama (12 tahun selepas tahun 2000), baki masa yang ada saya peruntukkan dengan keluarga dan ummah, memperhebatkan pelaburan dan membuat bekalan. Rayuan bersara awal telah diluluskan mulai Jun 2010. Mana-mana anak yang sudah sampai masa layak bernikah, dinikahkan. 5 Jun 2010 diadakan walimah serentak untuk 3 orang anak. Sebaik selesai majlis, hati rasa lega.
Baki masa fokus untuk buat bekalan , simpanan dan pelaburan tak kira dalam apa jua bentuk pun. Semua baki hutang sama ada kad kredit, kereta kecuali rumah diselesaikan. Simpanan wang yang ada habis dibelanjakan. Berpegang kepada, "yang jadi milik kita ialah apa yang kita belanjakan" yang kita simpan belum tentu jadi hak kita. Menunggu tahun 2012 dengan penuh debar.
Mulai awal tahun 2012, tak kira apa bentuk peluang dan ruang yang ada untuk buat bekalan saya kaut. Bantuan anak yatim, bantuan ibu tunggal, OKU, pelarian Rohingya disantuni. Projek Saham Akhirat dilancarkan. Baitus Solehah mula beroperasi secara diam. Diteruskan dan dijalankan sambil melatih anak-anak supaya meneruskan sekiranya ibu mereka telah dijemput Tuhan.
Berlalu tahun 2012, menjenguk tahun 2013. MasyaAllah, Subhanallah...aku masih berupaya melihat matahari. Masih bernafas dalam keadaan segar. Masih berupaya berjalan di bumi Allah. Alhamdullilah...
Doktor memaklumakan berdasarkan ilmu, saya hormati pemaklumannya kerana menjadikan saya sentiasa berfikiran positif, bersedia mati, menjadikan hidup saya ceria, tanpa gundah gulana dan seronok melalui jalan kehidupan dijalan yang Allah redha.
Laporan ujian darah terkini (full blood test) membuat doktor yang merawat saya terkesima. Semua analisis bacaan berada dalam julat. Kehairanan lebih kepada ketaajuban dengan kekuasaan Allah. Bahawa rahmat Allah itu sangat luas.
Sebagai tanda syukur kepada kurniaan Allah atas rahmat usia ini, usaha kebajikan diteruskan. Ziarah Anak Yatim, Ziarah Warga emas, Baitus Solehah di war-warkan untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan bimbingan dan pertolongan kembali ke jalan Allah.
Saya menganggap usia yang Allah berikan selepas tahun 2012 adalah bonus. Bonus untuk memberi peluang dan ruang menambah bekal didalam RahmatNYA. Bekal di barzakh dan bekal di mahsyar nanti. Jika diberi peluang mahu merebut masuk syurga tanpa hisab. Bagaimana? Kita kena usaha ...
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.