BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 11 October 2012

Taman-Taman Syurga


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Muslimat yang hadir Kelas pengajian tauhid
 Lama tidak ikuti kelas pengajian tauhid sejak bersara dari perkhidmatan perguruan. Ingatkan bila sudah bersara, mempunyai banyak masa lapang di rumah dan banyak masa untuk ikuti kelas pengajian. Rupanya langsung takde masa lapang yang berlalu begitu saja.


Tak sempat perkataan bosan menyinggah di ruangan masa yang ada. Memanjang ada perkara dan pekerjaan mahu dilakukan dan diurus. Waktu siang langsung takde ruang untuk berehat, apatah lagi untuk tidor.


Baru-baru ini semasa menemankan zauj ke Melaka, sempat dibawa oleh seorang muridin ke kelas pengajian tauhid. Betapa rindu untuk mengulangi masa lalu, mengikuti kelas-kelas pengajian.


Lain suasananya, lain kedamaiannya bila kita berada dalam majlis ilmu. Serius saya sarankan sesiapa yang mahu ketenangan, selalulah hadir majlis ilmu. Di sana ada rahmat Allah kerana malaikat pun turut serta menghadirinya.


Sabda Rasullulah, "Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)” (Riwayat Tarmizi)


Rupanya majlis ilmu itu adalah merupakan taman-taman syurga. Bermakna kita pun boleh mengujudkan taman-taman syurga di rumah dengan menyediakan ruang diadakan majlis ilmu. MasyaAllah...



Suatu  hari  Nabi  Muhammad  s.a.w.  bertemu  dua  kumpulan   muslimin . Satu  kumpulan  sedang beribadah   sambil  bermohon  dan  berdoa  kepada  Allah s.w.t. , manakala  satu  kumpulan  lagi  sedang mengadakan  majlis  ilmu . Kedua-duanya  baik , tetapi  Nabi  memilih  yang  terlebih  baik .


Nabi  s.a.w.  memilih  majlis  ilmu  yang  sedang  berlangsung . Baginda  duduk  bersama-sama  kumpulan kaum  Muslimin  yang  hadir  dalam  majlis  tersebut . Walaupun  Baginda  seorang  Nabi  dan  orang  yang  alim  serta  paling   berilmu  di  kalangan  sekalian  manusia , Nabi  tetap  cinta  kepada  ilmu  pengetahuan .


Malah  pada  bulan  Ramadan , Nabi  s.a.w.  akan  bertadarus  al-Quran  dengan  Malaikat  Jibril  a.s.  Nabi   membaca   dan  Malaikat  Jibril  a.s.  mendengar  sambil  menyemak  bacaan  Nabi . Ia  juga termasuk  dalam  proses  belajar .


Nabi  s.a.w.  bersabda , " Ilmu  itu  merupakan  khazanah  ( perbendaharaan ) . Anak  kuncinya  ialah  bertanya . Kerana  itu  bertanyalah  kamu , kerana  dengan  bertanya  itu  akan  diberikan  ganjaran  empat  golongan . ( Iaitu ) orang  yang  bertanya , orang  yang  mengajar , orang  yang  mendengar  dan  orang  yang  mencintainya ."  ( Riwayat  Abu  Na'im  daripada  Sayidina  Ali )


Sebuah Hadith lain,
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)


Pengajaran hadith:

i) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

a) Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b) Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c) Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.


ii) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.


iii) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.


Kelebihan Ilmu:

Untuk mengetahui apa yang ditawarkan untuk penuntut ilmu, sangat elok kita merujuk terus kepada ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi S.A.W berkaitan dengannya.

Ilmu suatu nikmat dan kelebihan daripada Allah

Firman Allah S.W.T:
 "…..dan Dia telah menurunkan ke atas kamu al-Kitab dan al-Hikmah (kebijaksanaan/as-sunnah), seterusnya Dia mengajar kamu apa yang kamu belum ketahui, dan kelebihan yang Allah berikan kepadamu adalah besar sekali". (an-Nisa':113)

Orang berilmu diiringkan dengan para malaikat

Firman Allah S.W.T:
"Allah taala telah bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain daripada-Nya, demikian juga para malaikat-Nya serta orang-orang yang berilmu, berdiri dengan keadilan". (Ali 'Imran:18)

Ilmu mengangkat darjat pemiliknya

Firman Allah S.W.T:
"Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat". (al-Mujadilah:11)

Firman-Nya lagi:
"adakah sama di antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (az-Zumar:9)

Ilmu asas takut kepada Allah

Firman Allah:
"Hanyasanya orang yang takut kepada Allah ialah adalah dari kalangan hamba-Nya yang berilmu". (Fatir:28)

Ilmu kunci ke syurga

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Barangsiapa yang berjalan bagi mendapatkan ilmu, nescaya akan dipermudahkan oleh Allah jalan menuju ke syurga". (H.R Abu Daud dan Ibn Majah, hadis hasan)

Ilmu menyambung kebaikan amalan

Sabda Rasul S.A.W:
"Jika mati anak Adam, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya". (H.R Muslim)


Serangkai kata dari Ustaz Azhar Idrus,

Janganlah kamu meninggalkan majlis ilmu, walaupun kamu tidak berjaya meninggalkan maksiat, kerana jika seseorang meninggalkan majlis ilmu selama 3 hari,maka hatinya akan sakit, dan jika dia terus menerus meninggalkannya maka akhirnya hatinya menjadi mati,maka ketika itu segala nasihat sudah tidak manfaat lagi kerana hatinya sudah tidak dapat menerimanya lagi, dan janganlah kamu mengatakan tiada faedah duduk dalam majlis ilmu sedangkan maksiat tetap aku lakukannya bahkan teruskan hadir majlis ilmu, manalah tahu suatu hari nanti kamu mendapat limpahan berkat dari orang yang menyampaikan ilmu atau orang yang ikhlas yang hadir dalam majlis ilmu tersebut,atau sekurang2nya dapat duduk bersama dgn orang2 yang soleh di dalam majlis ilmu tersebut.

Bersama tuan rumah, Muhammad Nur Iman dan Ahmad Rabbani




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: