بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Korban bukan semata-mata mengorbankan seekor haiwan tetapi mengorbankan masa,tenaga, harta benda semata-mata kerana Allah Ta'ala.
Gerakkan mengendalikan ibadah korban bukan bermula tahun lalu. Sudah lama saya suka usaha mengendalikan program korban sempena Aidil Adha. Sudah lebih 10 tahun. Paling kurang seekor lembu. Kadang-kadang saya tidak pun turut serta dalam bahagian korban, hanya mengendalikan amanah orang saja.
Permulaannya bila kawan-kawan rapat bertanya, sapa nak kendalikan korban. Masa tu belum lagi ada program korban di Kemboja atau lain-lain tempat di luar negara. Jadi sapa nak korban mereka kena mendaftar di masjid atau surau berhampiran. Ada yang mahu melakukan dikalangan sendiri tetapi tidak ada pengalaman. Saya pun tak ada pengalaman tetapi ingin mencuba dan mencari pengalaman.
Saya mula mengendalikan program korban di rumah saja. Kebetulan depan rumah ada kawasan lapang untuk memudahkan kerja-kerja melapah kulit lembu yang telah disembelih. Kerja saya cuma cari atau bertanya siapa yang ingin turut serta. Lepas tu saya deal dengan penternak lembu. Saya hanya menggunakan telefon untuk berhubung.
Alhamdullilah, kerja yang baik selalu dipermudahkan Allah Ta'ala. Bermula saya mengenali seorang staf di Ladang Ternak YPJ (Yayasan Pelajaran Johor) telah membuka ruang untuk saya mendapatkan lembu atau kambing bagi program korban dan akikah.
Bila kita saling percaya mempercayai, mudah untuk mengendalikan apa-apa program pun. Menempah lembu pun tak perlu bayar deposit. Saya cuma perlu bayar sebelum lembu disembelih pada hari berkenaan. Jurusembelih pun saya tak sukar untuk mendapatkan kerana zauj sendiri yang akan sembelih lembu atau kambing. tenaga melapah pula mudah dapat dari kalangan pelajar.
Kalau dulu-dulu pelajar sekolah saya atau pelajar UTM yang akan membantu melapah kulit dan daging lembu. Selepas melapah, 1/3 bahagian akan dimasak untuk dimakan beramai-ramai. Tulangnya buat sop dan daging dimasak goreng kunyit. Sebahagian mereka ada yang membantu masak di dapur dan sebahagian membantu kerja melapah, memotong, menimbang dan membungkus daging.
Selepas kerja-kerja membungkus, daging akan diagihkan ke kawasan perumahan kos rendah. Selesai kerja pengagihan, makanan pun siap dan makan beramai-ramai daging segar tadi tu.
Alhamdullilah, perngorbanan tenaga, masa dan harta benda semua yang terlibat dipandang Allah di sana nanti.
Bermula tahun lepas, program korban saya telah beralih ke tempat lain. Tidak lagi saya buat di rumah Pulai Utama. Ini kerana sejak saya bersara, saya sudah tidak ada pelajar untuk membantu dalam hal-hal melapah daging lembu.
Dengan keadaan tubuh yang tidak mempunyai qudrat seperti dahulu. Dan yang terutama, jurusembelih juga telah tidak berupaya memengang parang sembelihan. Sejak zauj mengalami minor parkinson ditangan kanan, urusan menyembelih lembu telah diberikan kepada anak kedua, Ahmad Ali Mahfuz. Sebelum tu sudah tanya anak sulong, mahukah menerima ilmu sembelihan. Dia kelihatan tidak sanggup, maka beralih kepada anak kedua.
Dan sejak tahun lalu juga saya terfikir untuk mengajak lebih ramai melaksanakan ibadah korban dikalangan pelayar website Halaqahnet. Selain itu dapat membina ukhuwwah dan mengeratkan silaturahim.
Alhamdullilah, penyertaan mengalakkan dari pelayar halaqahnet. Program dijalankan di Setia Alam, kawasan Pangsapuri Semarak. Ini kerana jurusembelih tinggal di sana dan menjadi kariah surau Semarak. Urusan menjadi lebih mudah kerana mendapat kerjasama penduduk di kawasan itu.
Penduduk yang tinggal di situ bukan semuanya warga tempatan, ada juga terdiri dari warga asing yang bekerja di Malaysia untuk mencari rezeki buat keluarga. Rata-rata penduduk yang tinggal di sini bukan dari golongan berada. Dan mereka memang sangat layak untuk menerima daging korban. Jadi saya tidak perlu fikirkan kemana daging itu hendak diagihkan.
Bila kita lakukan sesuatu semata-mata mencari redha Allah, walaupun penat, tapi hati gembira. Tidak ada rungutan atau sungutan. Mana-mana program atau kerja pun mesti ada kekurangan dan kelemahan.
Kalau kita mahu dedahkan kepincangan, kekurangan dan kelemahan di dalam sesuatu program memang banyak, tetapi adakah usaha dan iktibar disebalik semua itu diperhalusi dan dibaiki?
Jadi dengan kita lakukan sesuatu kerana mencari redha Allah, kekurangan dan kelemahan itu tertutup dengan sendirinya. Kepincangan itu boleh diperbaiki dan dijadikan panduan untuk bermuhasabah di tahun-tahun akan datang.
Dalam setiap program pun, kerjasama, bantu membantu memang diutamakan. Itulah tujuan kita bermasyarakat. Dan itulah disebalik pengendalian ibadah Korban.
Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.
Hikmah ibadah korban yang dianjurkan kepada orang Islam. Yang kaya dan mempunyai wang menyediakan haiwan untuk dijadikan korban, yang lain-lain membantu urusan penyembelihan.
Firman ALLAH S.W.T:
"Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." – Surah al-Haj: 36-37.
Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:
1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.
2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.
4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.
5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.
Semasa program Ibadah Korban dilaksanakan di Surau Semarak , Setia Alam, kebanyakkan yang membantu adalah penduduk warga asing. Dari kerja melapah kulit, memotong tulang , daging hingga membersihkan isi perut dan kulit. Tidak ada bahagian yang dibuang atau disia-siakan. Semuanya dibersihkan dan dimanafaatkan oleh mereka.
Kebanyakkannya berasal dari luar bandar memang mahir dalam kerja-kerja begitu. Selesai kerja-kerja pembungkusan, mereka dijamu makan nasi berlauk sup tulang dan gulai kawah. Kita yang melihat ni pun tersentuh hati. Mereka memang selayaknya menerima agihan daging korban walaupun tinggal di kawasan elit kerana mereka bekerja di bahagian pembinaan bangunan. Buruh yang pendapatan tidak seberapa dibandingkan kudrat yang mereka kerahkan demi menyara keluarga di kampung.
Kemiskinan hidup di tanah air, mendesak mereka berhijrah ke negara luar demi mencari rezeki buat anak isteri. Makanan harian mereka cuma tempe, tauhu dan cili api. Untuk menjamah daging segar yang mahal tidak mungkin dengan wang sendiri. Jadi dengan adanya daging korban sekurang-kurangnya dapat mereka merasainya walaupun sedikit dan setahun sekali.
Dan inilah yang Islam anjurkan sebenarnya.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment