BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 30 January 2013

Projek Kain Pelikat Untuk Pelarian Rohingya



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kain pelikat ini dibeli hasil sumbangan orangramai
Projek Sumbangan Kain Pelikat Kepada Pelarian Rohingya yang berada di Pusat Perlindungan. Projek  ini adalaah hasil sumbangan orang ramai. Kain pelikat ini akan diberikan kepada pelarian lelaki Rohingya yang ditempatkan di Pusat Perlindungan, Depoh Imigresen Pekan Nanas. Semoga semua yang memberikan sumbangan  dipandang Allah sebagai amal jariah.


Mungkin kerja-kerja ini nampak kecil di sisi pandangan manusia, apalah sangat cuma sehelai kain pelikat. Tapi tidak dalam pandangan Allah. Sedekah ikhlas yang disumbangkan tetap besar nilainya di sisi Allah, dan janji Allah satu yang kita beri akan Allah ganda-gandakan.



Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.


Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amat amati ayat al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah:

Allah Ta’ala berfirman: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)


Allah Lipat-gandakan Ganjaran orang yang Bersedekah.


“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)

Rezeki dimurahkan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)


Kain pelikat
Di dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya: “Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan jalinkanlah hubungan di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya (berzikir) dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


[Alhamdulillah....semoga susah payah ummi usahakan semua ni pun dipandang oleh Allah SWT] quote seorang forumer halaqah.

Jawapan saya:

Tak ada susah payah pun jika kita melakukan sesuatu kerana mahu pandangan Allah, bukan pandangan manusia. Allah yang memberikan ilham, dan Allah yang memudahkan.

Kerja kita cuma tulis, klik. Selebihnya Allah yang mengerakkan hati-hati manusia lain untuk bertindak. Pagi tadi dalam perjalanan ke Pejabat Imigresen, saya buat panggilan telefon ke kedai kain yang saya dah tinjau semalam. Buat pesanan kain pelikat dan sebentar tadi dia sendiri yang datang hantar ke rumah.


130 helai x RM7.50 = RM 975.00
Dalam masa satu hari saja dana dapat dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai. Sedikit atau banyak bukan ukuran, yang penting ada usaha membantu. Dalam masa tidak sampai 24 jam , jumlah yang diperlukan saya catatkan semalam 130 helai kain pelikat x RM 7.50 sehelai = RM 975.00 dapat dikumpul . Siapa yang mengerakkan hati-hati untuk mereka bersedekah jika bukan Allah Ta'ala.


Mudah bukan, kita menyeru orang melakukan kebaikkan, selebihnya Allah yang membantu dan membuka hati orang-orang lain untuk bersedekah.


Maha Suci Allah, sangat mudah urusannya. Tak ada sedikit pun saya susah nak angkut atau nak pergi kedai pilih-pilih. Tak ada migrain kepala saya.

Peniaga tu sendiri hantar ke rumah dan angkat bawa ke dalam pagar.



Jom sertai Projek Saham Akhirat ini. Sangat mudah. Ini pun sebenarnya jihad, jihad untuk melawan sifat bakhil, jihad keluar rumah, jihad keselesaan bersantai dalam rumah .



Sekiranya anda tak punya masa, anda boleh bantu untuk mempromosi, atau memberi sokongan dengan menghulur sedikit dana apabila ada projek yang memerlukan perbelanjaan.


Anda buat anda dapat.

Esok petang , insya Allah nak hantar kepada mereka di pusat perlindungan tu agar cepat mereka dapat gunakan.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



2 comments:

Karisma Izzah said...

Ada tak yang perempuan dalam kalangan pelarian tu?

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Yang masih terdampar di Langkawi ada. Yang ada di Pusat Perlindungan sini tak ada.