BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 3 March 2013

Baitus Solehah :Mengorak Selangkah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ada sebuah rumah kosong untuk disewa. Ada seorang pekerja baru berpindah tempat kerja. Nampak iklan rumah untuk disewa. Ambik nombor telefon dan telefon tuan punya rumah. Runding harga sewa dan tarikh masuk rumah. Mudah sajakan. Lepas itu bawa pindah perabot lama dan ahli keluarga. Susun atur perabot, kemaskan barang-barang dan tinggal dengan selesa. Ia seperti rumah tempat tinggal biasa. Dan sewa sebuah rumah untuk menempatkan wanita atau gadis hamil pun sebenarnya lebih kurang begitu juga, cuma insan yang tinggal di dalamnya berbeza. Ia dihuni oleh gadis-gadis yang telah terlanjur, sedang hamil dan perlu dibimbing.


Lebih kurang juga seperti anak gadis atau anak bujang sewa rumah, berkongsi tinggal ramai-ramai supaya jimat kos sewa apabila tidak tinggal bersama keluarga kerana telah bekerja atau masih belajar. Maka digelar housemate atau room mate. itu saja. Mudah saja urusannya. Katakan seorang gadis dapat sebuah rumah sewa, anggaran kos RM 500 sebulan, tentulah terlalu tinggi biayanya jika tinggal seorang diri, amat merugikan duit habis di situ saja, maka gadis tu pun letak iklan, rumah untuk disewa, lokasi di Pulai Saujana, muslimat sahaja, RM 150 atau RM 200 sebulan, sila hubungi nombor terpapar . Mudahkan...


Tapi apabila rumah itu mahu dijadikan sebuah rumah kebajikan, dimana penghuninya teraniya dengan kerakusan dunia, tidak mempunyai tempat untuk berlindung dengan kekangan kewangan, ia menjadi rumit untuk direalisisikan. Saya pun heran kenapa jadi begitu. Perlu ada kelulusan sana sini, perlu ada pendaftaran dan berbagai-bagai perkara lain.


Namun itu bukan menjadi halangan kepada saya, akan saya cuba selangkah demi selangkah untuk menjadikan ia kenyataan yang sah dari segi undang-undang. Saya bukan menjaga kepentingan diri sendiri tetapi kepentingan dan kemaslahatan ramai orang. Rumah ini mempunyai banyak akta perundangan jika ia dibina tanpa kelulusan. Saya tak kisah jika saya seorang yang didakwa kerana kerja saya lakukan cuma melindungi mereka, membimbing dan menyediakan santapan harian dan santapan rohani.  Tetapi yang terlibat sama nanti ialah ahli keluarga saya dan penghuninya. Kemana mereka hendak tuju jika ia telah ditutup atas perintah mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang.


Ini yang saya tidak mahu berlaku. Maka dengan semangat waja, saya bertanya sana sini meminta tunjuk ajar dan nasihat agar hasrat saya ini dihasilkan dibawah undang-undang yang sah. Saya cari maklumat dan bertemu dengan orang yang sepatutnya agar urusan saya dipermudahkan.


Bertemu dengan orang yang betul memang memudahkan urusan. Selain mendapatkan maklumat dan penerang segala procedur, perbincangan akan berlanjutan kepada perkara berbangkit.

Seronok berurusan dengan orang yang faham dengan tujuan yang ingin kita laksanakan. Memang setiap apa yang kita hajatkan akan bertemu masalah, namun itu semua ada jalan keluarnya. Disinilah Allah mahu melihat kesungguhan kita.

Sekiranya ada masalah , ia bukan penghalang usaha untuk meneruskan perancangan dan projek sebaliknya mahukan ia adalah untuk meminimakan kelemahan dan kesalahan.

Perlu ada langkah berhati-hati dan langkah-langkah keselamatan yang bukan untuk melindungi diri sendiri sahaja tetapi untuk kemaslahatan umum.

Hari ini saya bertemu dengan ketua Jabatan Perlesenan Penguasa Tempatan. Diterang dengan jelas segala tatacara dan procedur untuk membuka Rumah Perlindungan. Memang secara peribadi ramai yang menyokong namun, ia perlu memenuhi peraturan-peraturan pihak berkuasa tempatan.



Moga-moga segala halangan hanya ujian kecil yang mampu dilalui dengan pertolongan Allah Ta'ala jua. Segala yang berlaku adalah dengan qudrat dan iradat Allah Ta'ala. Tanpa izinNYA mudah mana pun urusannya tetap tidak akan terhasil dan tercapai.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

ساريده سنين said...

Salam...

Semoga mendapat redha Allah SWT...

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Amin...moga dipermudahkan di dalam rahmat Allah Ta'ala.