بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Simpang menuju ke Renggam dari Johor Bahru |
Catatan harian berdasarkan pengalaman yang dilalui dalam alam ini kadang-kadang membuat kita berfikirkan sesuatu. Benarlah seperti yang Ustaz Pahrol Mohd Juoi kata , bahawa "Alam ini adalah sebuah ‘universiti’ yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud “tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Hari ini dalam kesibukkan saya mahu menyediakan draf kertas kerja penubuhan Baitus Solehah, saya, zauj dan anak-anak sempatkan juga pergi jemputan walimah anak seorang jemaah umrah zauj tahun lepas di Renggam,Johor. Masa pergi melalui lebuhraya PLUS Utara Selatan. Susur keluar persimpangan Simpang Renggam, bayar tol sebanyak RM 6.20 dan terus melalui Penjara Malaysia menuju rumahnya di Kampung Jalan Tengah , Renggam.
Ambik masa Cuma 1 jam 10 minit saja. Rumahnya jauh dalam ladang sawit. Melalui jalan tar yang sempit. Walaupun jauh di tengah ladang sawit, rumah yang dimiliki oleh jemaah ini ialah sebuah banglo. Sampai sana jumpa tuan rumah bertanya khabar dan makan makanan yang disediakan.
Kg Tengah Renggam |
Ketika hampir selesai makan, tuan rumah datang ke meja, meraikan kami yang datang dari jauh, berbual-bual mesra. Walaupun orang ramai masih sempat tuan rumah memuliakan kami sebagai tetamu jauh. Kebanyakkan tetamu majlis walimahnya adalah terdiri orang-orang kampung sekitar situ sahaja.
Menurut zauj, tuan rumah ini seorang yang rajin berusaha, Dulu dia hanya memiliki seekar tanah kebun saja. Namun usaha empat kerat, dia membuka tanah terbiar atau tanah pinggiran, membersihkan dan membajak, menanam pokok sawit bersama -sama isterinya. Apabila tanah bersih dan telah dibuka, mohon di Pejabat Tanah, dan pejabat tanah memberikan kebenaran untuk diusahakan.
Apabila tanaman telah menjadi, dikawasan ladang yang luas, diusahakan pula ternakan lembu dan kambing. Alhamdullilah semua yang diusahakan berhasil.
" Man jadda wajada, wa man zara’a hasada, wa man yajtahid yanjah " adalah prinsip meraih kejayaan dan keuntungan yang berasaskan kepada usaha yang bersungguh-sungguh oleh seseorang Muslimin dan Muslimat di dalam hidupnya dengan berpandukan kepada ajaran Islam.
مَنْ جَدَّ وَجَدَ - Man jadda wajada bermakna "sesiapa yang berusaha (Inshallah) akan mendapat apa yang diusahakannya".
مَنْ زَرَعَ حَصَدَ - Man zara'a hasada pula bermaksud "sesiapa yang bercucuk tanam (Inshallah) akan menuai hasilnya."
مَنْ يَجْتَهِدْ يَنْجَحْ - Man yajtahid yanjah pula bererti "sesiapa yang berusaha (Inshallah) akan beroleh kejayaan."
Berusaha, bekerja dan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh adalah dituntut dalam agama Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." (Surah Yunus, 26)
Sesungguhnya ruang kebaikan, rezeki, ilmu, kebahagian, kekayaan dan pahala itu sangatlah luas. Tanpa usaha yang teliti dan bersungguh-sungguh maka seseorang itu tidak akan berjaya meraihnya.
Ibaratkan kalau tak dipecahkah ruyung manakan dapat sagunya!
Sabda Rasulullah saw: "Kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya (yang melaksanakannya) sedikit." (HR. Abu Hanifah)
Nak lalu jalan dalam ladang ni kena bayar tol RM 1.00 |
Dari Bandar Renggam (terpegun juga kenapa dipanggil bandar sedangkan cuma sebuah pekan lama, dengan struktur bangunan lama, dan hanya terdapat beberapa buah premis perniagaan, stesen KTM, pejabat pos, taman permainan) melalui jalan di Mahamurni Plantation hingga keluar di Ladang Sedenak, Kelapa Sawit, Kulai hingga ke rumah ambik masa 2 jam. Rupanya kami telah mengambil jalan rentas dari Renggam ke Sedenak.
Jauh sungguh tersasarnya.
Laluan tanah merah dan berbatu kerikil antara Renggam ke Sedenak |
Apabila sudah jauh tersesat tu, saya bersuara, orang kata jika tersesat jalan, kembali ke pangkal jalan. Saya ajak zauj berpatah balik semula tetapi zauj tidak mahu. Katanya jauh jika nak berpatah balik. Nampaknya zauj dah tahu tersesat jauh tetap teruskan perjalanan dan menempuh beberapa laluan yang penuh ranjau tetapi akhirnya selamat tiba di jalan yang benar dan lurus.
Ini yang membuat saya terfikir, boleh aplikasi ke cara zauj ni di dalam kehidupan? Jika sudah tersasar teruskan juga sehingga bertemu beberapa ujian sebelum bertemu jalan yang benar dan lurus?
Pada hari ini, sebenarnya ramai yang bertindak begitu. Bila dah tahu tersasar tetap meneruskan langkah hingga akhir tersungkur dan tersandung. Apabila sudah tersandung, tidak berdaya untuk bertindak dan berbuat apa-apa, barulah menyua tangan minta dikasihani . Alhamdullilah jika bertemu dengan orang yang sudi membimbing, bagaimana jika bertemu orang yang ambik kesempatan atas kelemahan itu?
Itu yang dikatakan keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Sudah jatuh ditimpa tangga. Maka jika apabila sudah tersasar bersegeralah mencari ilmu, jangan biarkan tersungkur, tersandung dan membiarkan orang lain ambik kesempatan atas diri kita. Tuhan masih ada, al-quran masih ada untuk dijadikan panduan. maka berdoalah minta dibimbing dijalan yang lurus. InsyaAllah , Allah akan tunjukkan jalan dan memudahkan urusan.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment