BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 6 February 2013

Usahawan Akhirat


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Rebutlah peluang ini
Semakin meningkat usia, semakin banyak yang kita temui. Pengalaman sendiri dan pengalaman orang lain yang disantap melalui pembacaan.


Adakala pengalaman orang lain boleh menerbitkan sesuatu azam untuk terus melangkah dilaluan yang Allah redha. Ada azam dan cita-cita untuk menjadi usahawan akhirat.


Untuk menjadi usahawan akhirat, perlu menjalankan perniagaan ketika di dunia ini. Bagaimanakah caranya?


Dalam minggu ini didatangi  permintaan dari 2 orang gadis hamil luar nikah. Memohon perlindungan sehingga melahirkan anak. Sedangkan kemampuan cuma dapat memberikan perlindungan hanya  seorang dalam 1 masa.


Saya hadapkan kepada Allah, memohon diberikan jalan dan petunjuk kerana hajat dihati mahu memberikan perlindungan kepada semua yang datang memohon pertolongan. Masing-masing ada sebab tersendiri untuk tidak memaklumkan kepada keluarga dan tidak mahu bersalin di kawasan kediaman sendiri. Mungkin juga atas keinginan mereka bertaubat nasuha, maka Allah tutup aib mereka dari diketahui oleh saudara mara dan jiran tetangga. Jika Allah sudah tutup aib mereka, siapa yang berhak untuk membukanya.


Bagi saya tidak perlu untuk memberikan jalan dengan mencarikan rumah perlindungan lain. Memang prinsip yang bertunjang dalam diri, kenapa hadiah yang Allah hadirkan kepada kita , mahu dilencongkan kepada orang lain. Peluang ini bukan Allah berikan pada semua orang. Kenapa dalam jutaan manusia, saya yang terpilih untuk mereka jadikan perkongsian masalah. Pastinya mereka pun diberikan petunjuk melalui gerak hati oleh Allah Ta'ala.


Saya tidak pernah mengenali mereka, mereka juga tidak pernah tahu tentang saya, tetapi bagaimana boleh berlakunya pertemuan walaupun permulaannya di alam maya. Siapa yang mengerakkan hati mereka dan siapa yang memberikan petunjuk kepada mereka.


Masih ramai manusia yang baik-baik, ramai juga yang kaunselor bertauliah, ramai orang kaya-kaya, tetapi kenapa saya yang terpilih. Maka semua persoalan ini dikembalikan semula kepada Allah Ta'ala. Dia yang Maha Mengetahui, Dia yang Maha Agung, atas Qudrat dan IradatNYA pertemuan ini terjadi.


Jarang saya mahu berkongsi cerita hal-hal yang belum ada jalan keluarnya dengan sesiapa pun, saya diamkan dahulu, saya hadapkan permasalahan atau apa jua kepada Allah Ta'ala. Allah yang Maha Mengetahui isi hati saya, maka kepadaNYA saya mohon petunjuk dan jalan keluar.


Mampukah melihat bayi comel dibuang?
Hajat saya tetap mahu membantu semua orang, mahu melindungi semua orang yang berada di dalam kesukaran, kepayahan dan kebuntuan. Tidak mampu rasanya telinga mendengar, mata memandang sekiranya anak-anak gadis ini mengambil jalan mudah dengan melontar anak yang baru dilahirkan ke dalam tong sampah jika tidak dibantu. Apa mahu dijawab dihadapan Allah nanti jika ditanya, "suatu ketika dulu, sipolan binti sipolan telah datang kepada kamu memohon bantuan, apa yang kamu lakukan kepada dia?"


Sehingga catatan ini ditulis,  saya belum ada jalan dan caranya. Tetap mengharap pertolongan dari Allah kerana Allah yang akan mendatang ilham melalui gerak hati. Ada air bening dipenjuru mata bila mengenangkan mereka yang kebuntuan mengharapkan pertolongan.


Tidak mungkin untuk saya menolak. Tidak mungkin juga untuk saya tunjukkan laluan ini kepada orang lain. "Maha Suci  Engkau Ya Allah, berilah aku jalan, susunkan laluan ini dalam kebijaksanaMU agar perjalanannya baik dan teratur."


Memang pun  saya  sering berdoa, "Ya Allah berilah aku peluang untuk melakukan sebanyak-banyak kebaikkan dan kebajikan selama mana aku masih bernyawa di dalam kesejahteraan MU"


Maka sejak itu, berbagai peluang didatangkan jalannya oleh Allah Ta'ala. Tidak ada satu pun saya tolak. Mungkin pada pandangan orang ianya suatu yang kecil dan remeh, tetapi tidak pada saya. Ini kerana apa yang kita lakukan ada mencari pandangan Allah bukan pandangan manusia.


Kayu ukur dari dulu tetap sama, buatlah apa saja selagi perkara itu Allah redha.


Dalam perjalanan kemana-mana, nampak perempuan berjalan kaki, akan saya berhentikan kenderaan, tanya mau pergi mana? Samada jauh atau dekat, saya akan hantar ke tempat tujuannya.


Singgah surau atau masjid, nampak tisu atau apa-apa kotoran samada di dalam tandas atau tempat solat, dikutip dan dibersihkan. Kadang tu terdetik dalam hati, ahh biarlah, ada je nanti tukang cuci bersihkan. Tetapi sesuatu dalam hati akan menyapa, kenapa tak kutip buang?  atau kenapa tak bersihkan? Allah nampak apa yang kamu buat tu, biarkan orang tidak nampak. Maka sapaan dalam hati ni membuat ada rasa untuk membersih dan mengutip buang segala kotoran yang kelihatan.


Rupanya itu tarbiyah, mendidik jiwa untuk ikhlas  dan tidak menunjuk-nunjuk kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Memang pun, siapa tahu apa yang kita buat ketika dalam bilik tandas atau ketika berseorangan dalam masjid atau surau. Hanya Allah yang tahu.


Dan itu juga dikatakan lintasan hati. Masih terpahat dalam minda, zauj kata, "apa-apa lintasan yang baik disegerakan." Ini kerana lintasan yang baik itu datang dari Allah. Dan juga lintasan baik itu jika diabaikan tidak akan datang buat kali kedua atau ketiga.


Analoginya seperti seseorang meminta  pertolongan, kita tak mahu beri pertolongan tu, adakah dia akan datang lagi untuk meminta pertolongan? Pasti dia serik dan tak mahu. Berbeza, jika sekali mohon dapat, lain kali dia tidak lagi segan untuk minta pertolongan kerana dia tahu kita pasti akan menolongnya lagi.


Jadi rebutlah segala peluang untuk melakukan kebaikkan dan kebajikan di dunia ini sebaik-baiknya. Semoga kita sentiasa diberikan keampunan di dalam rahmat Allah Ta'ala.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: