BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 31 January 2013

Bila Adap dan Agama Seiring


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Jabatan Imigresen Kulaijaya
Hari ni saya sempatkan juga pergi sekali lagi ke Pejabat Imigresen Kulaijaya untuk membuat passport. Semalam pergi dah hampir tengah hari, nombor giliran dah habis, kaunter nombor suruh datang petang. Terus saya balik ke rumah.




Awal saya dan zauj pergi ambil nombor. Jam 7.58 dah terpacak depan kaunter nombor di Pejabat Imigresen. Tunggu giliran dipanggil untuk diberikan dokumen.

Alhamdullilah 30 minit selepas menunggu, giliran saya tiba. Mula-mula nombor giliran dipanggil ke kaunter 3. Di kaunter 3, pegawai bertugas tu lelaki. Bila dia lihat saya, terus dia minta saya tunggu sebentar dan menyerahkan nombor saya ke jiran kaunter sebelah yang pegawai bertugas adalah perempuan.


Bila saya ke kaunter pegawai perempuan, dengan sopan berkata " puan nak buka niqab di sini atau dalam bilik?"

memakai niqab bukan ganjil
"Silakan ke bilik hujung ya puan"


Masya Allah, bersopan sungguh pegawai bertugas tu. Hormat hak individu. Walaupun berhadapan dengan pelbagai karenah manusia yang berurusan, masih mampu tersenyum dan berkata dengan sopan.


Memang procedurnya, pegawai bertugas menerima dokumen akan memastikan tuan diri yang datang untuk membuat passport. Kaedah dan tindakan mereka adalah betul supaya tidak berlaku penipuan. Pegawai mesti nak lihat wajah orang dengan gambar adalah sama.


Alhamdullilah...adap dan agama seiringan membentuk pekerti dan akhlak mulia. Syabas pegawai Imigresen Kulaijaya.

Sekarang ini, untuk membuat passport tidak lagi mengambil masa berhari-hari. 7.58 pagi ambil nombor giliran. 8.28 sudah dipanggil untuk serahan dokumen.  30 selepas itu, pembayaran dilakukan.

Selepas pembayaran dilakukan, pegawai juruwang menyerahkan resit bayaran dan berpesan, nanti lagi 1 jam serahkan resit pada kaunter sebelah untuk serahan passport yang sudah siap.


Sementara menunggu passport siap, saya dengan zauj pergi cari gerai atau warung untuk bersarapan. Ruang Jabatan Imigeresn Kulaijaya ini terletak dalam kompleks membeli belah KULAIUTAMA. Saya dan zauj bersantap di warung berdekatan. Duduk berhadap ibarat pengantin baru.


Siap makan, hampir jam 10.00 pagi, pergi semula ke ruang jabatan Imigresen untuk menerima serahan passport. Tunggu 30 minit, mereka pun menyerahkan passport yang sudah siap. Terus jalan , beredar mahu pulang ke rumah.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wajarkah Sedekah Jariah Diwar-warkan?



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Perjuangan perlu kepada pengorbanan
Saya terpanggil untuk memberikan penjelasan supaya kita telus dan amanah di dalam melakukan sesuatu pekerjaan.


Amanah itu berat, bukan boleh dipandang mudah atau dikhianati.


Saya tak melatah, tidak marah sebaliknya saya anggap ini sebagai peringatan supaya saya lebih berhati-hati didalam setiap perkara yang melibatkan hak orang lain.


Namun saya perlu menjelaskan kenapa mesti diwar-warkan setiap sedekah yang kita mahu sampai atau berikan kepada pihak lain.


Setiap projek, program atau aktiviti yang menggunakan duit sumbangan orang ramai (sedekah) perlu dibelanjakan dengan jalan yang betul. Setelah kutipan dilakukan, dikira dalam buku lajer, sebagai pendapatan, maka mesti ada pengeluaran yang dibelanjakan.


Akaun mesti seimbang. Kemana duit tu dikeluarkan. Jika masa mohon kita war-warkan, maka bila dibelanjakan pun mesti diwar-warkan.

Itu rasional kenapa perlu setiap sen yang dikutip kena bagitahu semula kepada orang ramai kemana ia dibelanjakan.


Allah tidak melarang kita mewar-warkan sedekah, firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 271,
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan."


Memang sebaik-baiknya disembunyikan , itu jika duit kita sendiri dan kita lakukan sedekah atau amal jariah sendirian. Berbeza keadaannya, apabila masa mohon bantuan kita war-warkan maka , masa dibelanjakan pun kena war-warkan juga. AMANAH ITU BERAT.


Jika diberikan pilihan, saya pun tak mahu pegang amanah ini, tetapi bagaimana mahu melakukan sesuatu kerja amal jika tidak sanggup memikul amanah. Memang kerja ini sunat, suka, lakukan, tak suka jangan lakukan, jika begitu bagaimana yang dikatakan amal solih atau amal jariah jika tak ada sorang pun sanggup menggerakkan?

Moga-moga ALlah menetapkan hati-hati kita dijalan yang benar.




Photo di atas ni adalah satu peringatan yang baik untuk saya. Terima kasih kerana sudi mengingatkan.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Wednesday 30 January 2013

Projek Kain Pelikat Untuk Pelarian Rohingya



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kain pelikat ini dibeli hasil sumbangan orangramai
Projek Sumbangan Kain Pelikat Kepada Pelarian Rohingya yang berada di Pusat Perlindungan. Projek  ini adalaah hasil sumbangan orang ramai. Kain pelikat ini akan diberikan kepada pelarian lelaki Rohingya yang ditempatkan di Pusat Perlindungan, Depoh Imigresen Pekan Nanas. Semoga semua yang memberikan sumbangan  dipandang Allah sebagai amal jariah.


Mungkin kerja-kerja ini nampak kecil di sisi pandangan manusia, apalah sangat cuma sehelai kain pelikat. Tapi tidak dalam pandangan Allah. Sedekah ikhlas yang disumbangkan tetap besar nilainya di sisi Allah, dan janji Allah satu yang kita beri akan Allah ganda-gandakan.



Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.


Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amat amati ayat al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijanjikan dengan kehidupan yang mudah:

Allah Ta’ala berfirman: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Al Baqarah (2) : 261)


Allah Lipat-gandakan Ganjaran orang yang Bersedekah.


“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)

Rezeki dimurahkan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)


Kain pelikat
Di dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya: “Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan jalinkanlah hubungan di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya (berzikir) dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)


[Alhamdulillah....semoga susah payah ummi usahakan semua ni pun dipandang oleh Allah SWT] quote seorang forumer halaqah.

Jawapan saya:

Tak ada susah payah pun jika kita melakukan sesuatu kerana mahu pandangan Allah, bukan pandangan manusia. Allah yang memberikan ilham, dan Allah yang memudahkan.

Kerja kita cuma tulis, klik. Selebihnya Allah yang mengerakkan hati-hati manusia lain untuk bertindak. Pagi tadi dalam perjalanan ke Pejabat Imigresen, saya buat panggilan telefon ke kedai kain yang saya dah tinjau semalam. Buat pesanan kain pelikat dan sebentar tadi dia sendiri yang datang hantar ke rumah.


130 helai x RM7.50 = RM 975.00
Dalam masa satu hari saja dana dapat dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai. Sedikit atau banyak bukan ukuran, yang penting ada usaha membantu. Dalam masa tidak sampai 24 jam , jumlah yang diperlukan saya catatkan semalam 130 helai kain pelikat x RM 7.50 sehelai = RM 975.00 dapat dikumpul . Siapa yang mengerakkan hati-hati untuk mereka bersedekah jika bukan Allah Ta'ala.


Mudah bukan, kita menyeru orang melakukan kebaikkan, selebihnya Allah yang membantu dan membuka hati orang-orang lain untuk bersedekah.


Maha Suci Allah, sangat mudah urusannya. Tak ada sedikit pun saya susah nak angkut atau nak pergi kedai pilih-pilih. Tak ada migrain kepala saya.

Peniaga tu sendiri hantar ke rumah dan angkat bawa ke dalam pagar.



Jom sertai Projek Saham Akhirat ini. Sangat mudah. Ini pun sebenarnya jihad, jihad untuk melawan sifat bakhil, jihad keluar rumah, jihad keselesaan bersantai dalam rumah .



Sekiranya anda tak punya masa, anda boleh bantu untuk mempromosi, atau memberi sokongan dengan menghulur sedikit dana apabila ada projek yang memerlukan perbelanjaan.


Anda buat anda dapat.

Esok petang , insya Allah nak hantar kepada mereka di pusat perlindungan tu agar cepat mereka dapat gunakan.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday 29 January 2013

Bantuan Kemanusiaan Untuk Pelarian Rohingya




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Berita yang menyedihkan tentang Pelarian Rohingya.

Depot Imigresen Pekan Nanas
Pagi tadi saya ke Depo Imigresen Pekan Nanas untuk menyerahkan pakaian kepada pelarian Rohingya yang terdampar di Langkawi 4 minggu lepas. Sebanyak 4 bundle pakaian terpakai ada kot lebih kurang 100 helai baju t yang dapat saya kumpulkan bersama seluar. Jumlah pelarian Rohingya yang dihantar ke situ lebih kurang 130 orang.

Berita tahanan mereka di sini, Sinar Harian.

Apa yang menyedihkan, menurut pegawai yang menerima sumbangan pakaian itu menyatakan, mereka tidak mempunyai sebarang pakaian langsung kecuali pakaian yang mereka pakai ketika di tahan tempoh hari.

MasyaAllah, bayangkan dah seminggu mereka dalam pusat perlindungan, mereka masih memakai pakaian yang sama dari hari mereka meninggalkaan Myanmar.

Mereka buka , cuci, dan pakai semula.Itu baju, kalau seluar macamana? Nak cuci, tukar dengan apa?

Menurut pegawai tu, "kesian mereka, nak solat pun payah sebab itu saja pakaian yang mereka ada."

Ayoh kawan-kawan, usahalah bantu mereka. Tadi bila saya dengar pegawai tu kata, mereka tak de apa-apa pakaian lain, terdetik nak belikan saja kain pelikat untuk mereka.

Saya pergi tinjau ke Pasar Harian kebetulan dibuka di Pekan Nanas, saya dah dapat anggaran jika sehelai kain pelikat, RM 7.50 x 130 = RM 975.00.

Jom kawan-kawan, bantu saya sumbang kain pelikat kat mereka, agar mereka dapat solat dengan sempurna. Tidaklah mereka terpaksa pakaian yang sama sepanjang masa siang malam. Sekurang-kurangnya kain pelikat tu boleh jadi kain untuk mereka tukar dengan sehelai seluar yang mereka pakai sementara dicuci.

Saya nak pergi beli kain pelikat ni esok secara borong. Sesiapa nak sumbang masukkan dalam Akaun No: CIMB 01180004462058 atas naman Halaqah Net Service. Sila maklumkan jumlah melalui sms di 0197799682.

Menyerahkan pakaian untuk pelarian Rohingya di Depot Imigresen


Jika pelarian lelaki di Pusat Perlindungan Depo Imigresen Pekan Nanas ini hanya mempunyai sehelai pakaian, maka bermakna di tempat lain-lain pun sama. Saya belum tahu di mana pelarian wanita di letakkan. Mereka juga tentu perlukan pakaian supaya dapat ditukar sekurang2 untuk mengerjakan solat.

Mereka datang naik bot panjang, bersesak, berhari-hari di laut tanpa membawa sebarang beg pakaian, bermakna mereka tak punyai pakaian lain untuk ditukar dan cuci. Bayangkan berapa lama mereka tak tukar pakaian.


LANGKAWI - Seramai 452 pendatang tanpa izin Rohingya yang memasuki perairan Langkawi ditahan di Kawasan Pantai Teluk Burau di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Harrith Kam Abdullah berkata dari jumlah itu seramai 431 adalah lelaki, 13 wanita dan 8 kanak-kanak.

Katanya, menurut saksi kejadian, bot kayu sepanjang 30 meter secara tiba-tiba menghampiri kawasan pantai pada jam 1.30 petang dan dengan pantas kelihatan beberapa pelarian terjun dan meluru ke kawasan pantai untuk meminta air.

Mereka difahamkan telah belayar dari Myanmar selama 12 hari dengan dikenakan bayaran setiap seorang sebanyak AS$300 oleh ejen yang tidak dikenali, katanya.

Agen berkenaan tidak memaklumkan lokasi yang akan dituju namun mereka telah diminta untuk terjun ke laut setelah menghampiri kawasan pantai.

Harrith Kam berkata, mereka kini ditempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi dan akan diserahkan kepada pusat tahanan imigresen untuk siasatan lanjut. - Bernama 


Bukan payah pun kita nak bantu, buka almari pakaian kat rumah, selongkar stor, kumpulkan yang masih elok, hantar ke mana-mana Pusat Perlindungan untuk orang Rohingya yang baru tiba tu.

Berurusan dengan Pegawai Pusat Perlindungan tu tak sukar mana, bila kita sebut nak serahakan bantuan pakaian untuk mereka. Mereka ambik dan periksa dan seterusnya mereka agihkan.

Jom kawan-kawan bantu mereka.

Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

“Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba’ – 39).

Pelarian di  tempatkan sementara waktu di perkarangan pejabat   APMM, Bukit Malut, Langkawi.


Baru sebentar tadi saya dapat bercakap dengan pegawai yang bertugas di AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA, WILAYAH MARITIM UTARA, menurut pegawai bertugas berhubung dengan pelarian Rohingya yang masih berada di pengkarangan Pejabat Maritim, Bukit Malut, Langkawi.

Pelarian seramai 424 orang tu memerlukan makanan buat masa ini. Sudah 2 minggu mereka ditempatkan di sana. Status mereka masih belum diketahui jadi belum dihantar kemana-mana pusat perlindungan.

Sebelum ini aktivis Sani Araby Al-Kahery, NGO  MAPIM telah meninjau keadaan di sana dan memberikan sumbangan makanan dari pelbagai pihak.


Sapa berdekatan, hantarlah biskut, beras atau apa saja, tapi makanan yang mengeyangkan. Pakaian jangan hantar ke sana sebab nanti apabila mereka ditempatkan mana-mana Pusat Perlindungan, mereka tak boleh bawa pakaian-pakaian tu.

Pakaian hanya boleh dihantar ke Pusat Perlindungan seperti Depoh Imigresen saja yang berhampiran tempat anda.

Ini tinjauan oleh aktivis Sani Araby Al-Kahery di bawah NGO  MAPIM, video kapal yang mereka gunakan untuk belayar dari Myanmar ke sini.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Monday 28 January 2013

Model Tudung Menyerupai Rambut




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Tudung yang sewajar dipakai oleh muslimah

Menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.


Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.




Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)



Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab, ayat 59).


Sekaranga apa jadi dengan fesyen tudung?




Asthagfirullahaladzhim...model kerudung yang menyerupai rambut .

Tudung begini tidak menepati syariat Islam yang menyuruh melabuhkan hingga ke dada.


Jika setan gagal menggoda muslimah membuka AURATnya, maka ia akan ganti strategi untuk memakai HIJAB yang tidak sesuai dengan syariat ISLAM.Asthagfirullahaladzhim...model kerudung yang menyerupai rambut .

Jika setan gagal menggoda muslimah membuka AURATnya, maka ia akan ganti strategi untuk memakai HIJAB yang tidak sesuai dengan syariat ISLAM...

Berbagai fesyen direka untuk nampak lawa tetapi tidak mengikut syariat Islam.



Hijab bukan pengganti rambut dan untuk berfesyen melampaui batas. Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Takut sangat-sangat nanti tudung fesyen begini dikatakan salah satu busana Muslimah juga.


Na'udzubillaah..





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Sunday 27 January 2013

Ujian Adalah Tarbiyyah Terbaik Menjadi Kental


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ahmad Baihaqi sebelum sakit
Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Inilah yang telah aku lalui 19 tahun dahulu. Ketika itu anakku yang nombor 5, Ahmad Baihaqi ditimpa sakit. Mula asalnya, aku mengikuti rehlah yang dianjurkan oleh Hizbi Islami. Mereka buat perkhemahan di Desaru. Salah satu slot, zauj terlibat untuk menyampaikan Tazkirah, maka zauj bawa aku dan anak-anak bersama. Khemah untuk kami disediakan di tepi pantai di atas pasir. Memang seronok berkhemah ni terutama anak-anak.Suka benar mereka dapat berlari-lari di tepi pantai sambil bermain ombak. Ketika itu umur Ahmad Baihaqi baru 8 bulan, tengah montel, comel dan lasak. Baru belajar bertatih.

Malam itu, hujan turun dengan lebat. Air melimpah masuk ke dalam khemah, menyebabkan semua tempat tidor basah. Zauj terus carikan chalet untuk aku , Baihaqi dan anak-anak yang perempuan tidor. Keesokkan harinya, Baihaqi demam dan petangnya selesai program rehlah, kami terus beredar balik ke rumah.

Baihaqi yang demam terus di bawa ke Klinik Penawar yang berhampiran dengan rumah. Setelah 3 hari demam, masih tidak kebah, aku bawa sekali lagi ke Klinik. Masuk hari ke 8, Baihaqi tidak sembuh juga demamnya, maka pagi Jumaat itu selepas sahaja solat subuh , terus aku berjalan ke Klinik Penawar lagi sekali membawa Baihaqi. Di pahanya ada setompok titik merah, aku tunjukkan pada doktor, dan doktor merujuk Baihaqi ke Hospital Sultanah Aminah  di Johor Bahru.

Sebaik sampai di unit kecemasan, terus mereka mengambil darah dan buat analisa di makmal. 1 jam kemudian keputusan keluar, didapati dalam darah Baihaqi mengandungi kuman. Dan di masukkan ke dalam wad atas sebab "septicimia". Sehari selepas di masukan wad, keesokkan harinya Baihaqi telah tidak sedarkan diri dan 'koma' . Kemudian Baihaqi ditempatkan di 'NICU', wad unit rawatan rapi untuk kanak-kanak. Selama seminggu berada di unit ini, aku sentiasa berada di sisi Baihaqi kecuali waktu solat dan waktu makan. Aku mendapat kebenaran untuk berada di unit rawatan rapi sepanjang hari. Apa yang aku buat sepanjang berada di sisi Baihaqi yang koma itu ialah, mengaji, berzikir dan bercakap-cakap dengan Baihaqi.

Setelah 3 hari, keadaan Baihaqi yang koma makin parah, apabila kulit-kulitnya mula tertanggal sehingga menampakkan isi yang berwarna merah. Sebagai ibu, tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan berdoa, disamping menangis. Masih ingat aku, air mata ku terus-menerus mengalir selama 5 hari tanpa henti. Di tambah dengan kata-kata seorang doktor cina  " kakak, kita dah usaha sedaya upaya untuk membantu menyelamatkan anak kakak, kita gunakan teknologi perubatan yang kita ada, kes anak kakak adalah kes yang jarang berlaku, kuman yang ada di dalam tubuh anak kakak ini, kuman yang sangat ganas, aktif, dan kita dapati kuman ini tidak resistan dengan antibiotik yang terbaik dimiliki oleh hospital. Saya harap kakak jangan tinggalkan anak kakak, sebab kemungkinan dia meninggal bila-bila masa sahaja. Sekarang pun dia menggunakan bantuan pernafasana sahaja. Saya tengok kakak kuat mengaji, kakak berdoalah dengan 'tuhan' kakak, mana tahu berlaku satu keajaiban terhadap anak kakak ini."

Di NICU


Ibu mana yang tidak menangis bila mendengar kata-kata dari seorang doktor pakar kanak-kanak. Seramai 7 orang doktor pakar yang berbagai jabatan menangani kes sakit Baihaqi. Pakar Kanak-kanak seramai 3 orang, pakar kulit, pakar kaji penyakit, pakar neurologi dan pakar orthopedik. Ketika itu semua organ dalaman Baihaqi telah tidak berfungsi lagi kecuali jantung dan otak. Buah pinggang, hati sudah membengkak dan warna kulit badan Baihaqi telah bertukar ke hitam-hitaman. Bibirnya telah pecah-pecah menerbitkan darah, begitu juga mana-mana kulit yang tertanggal telah menerbitkan darah. Aku memang benar-benar pasrah melihatkan keadaan Baihaqi.

Setiap saat aku berdoa dan selepas solat fardhu aku akan lakukan solat hajat mohon "Ya Allah, sekiranya panjang umur itu baik untuk Baihaqi, hidupkanlah anakku ini didalam rahmat MU, sembuhkan penyakitnya dan matikanlah dia sekiranya kematian itu baik untuknya..."

Dan zauj juga telah berusaha membuat bacaan zikir dari ayat al-Quran sebanyak seribu kali. Surah dan ayat yang diberikan oleh seorang tuan guru ialah surah Al-Imran ayat 1 -6.

سُوۡرَةُ آل عِمرَان
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) مِن قَبۡلُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلۡفُرۡقَانَ‌ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٤) إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخۡفَىٰ عَلَيۡهِ شَىۡءٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٥) هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُ‌ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (3) Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah). (4) Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit. (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (6)


Zikir ini dibacakan pada sebotol air mineral dan dititiskan air itu ke mulut Baihaqi yang koma. Disamping itu, terdapat beberapa masjid dan surau serta kumpulan-kumpulan tertentu yang telah membuat bacaan yasin beramai-ramai memohon pertolongan pada Allah untuk Baihaqi. Oleh kerana fikiran aku yang mungkin kurang stabil, bila aku dengar orang ramai membaca yasin untuk Baihaqi, aku fikirkan bahawa tidak lama lagi Baihaqi akan meninggal dunia. Ini kerana, aku selalu melihat di kampung-kampung masa aku kecil, jika orang nazak dibacakan yasin, sehari dua selepas itu akan meninggal dunia. Sekali zauj berkata "Muna, bukan semestinya, bila baca yasin orang nazak akan mati, kita baca yasin mohon pertolongan Allah, jika mati itu lebih baik, maka dia akan mati dengan mudah, dan jika hidup itu lebih baik, maka Allah akan berikan petunjuk untuk dia sembuh dan sihat."

Ahmad Baihaqi berumur 5 tahun
Barulah aku faham kedudukan perkara. Selama 8 hari Baihaqi koma, orang yang boleh melawat Baihaqi cuma ibu bapa sahaja yang dapat masuk ke NICU. Pelawat lain terutama saudara mara dan kawan-kawan hanya dapat melihat dari jauh melalui tingkap sahaja. Untuk masuk ke bilik ini,aku dan zauj kena buka kasut, cuci tangan dan pakai overcoat. Hanya dibenarkan menggunakan selipar khas yang disediakan. Sebarang makan minum juga dilarang bawa masuk.

Masuk hari ke 10, aku terus berbual-bual dengan Baihaqi dengan ucapan pertamaku ialah memberi salam padanya. Hari itu, selepas sahaja solat subuh, aku bersama Baihaqi, kuletakkan jari ku dalam tapak tangannya, dia telah memberikan respon dengan mengenggam jari aku. Aku jadi terkejut dan aku lihat bila aku bercakap dengannya, walaupun matanya terpejam, aku nampak biji matanya seseolah bergerak- gerak mencari arah suaraku. Aku jadi teruja dan memanggil doktor di situ. Doktor juga gembira dengan respon itu. Dan aku mohon kebenaran doktor untuk meletakkan puting susu dadaku ke bibirnya untuk melihat tindakbalasnya. Oleh kerana darurat, aku pun memberikan puting tetekku ke mulut Baihaqi, walaupun di depan doktor, tanpa dijangka Baihaqi memberikan respon mahu menghisap susuku, padahal matanya masih lagi belum terbuka, kemungkinan dia telah sedar. Dari tindakbalas itu, telah memberikan harapan pada doktor bahawa Baihaqi akan sembuh. Mesin bantuan pernafasan dibuka dan kebanyakkan wayar-wayar yang berselirat dibadan Baihaqi juga ditanggalkan kecuali yang masih diperlukan seperti saluran urine dan saluran makanan yang dipasang melalui hidung untuk tujuan memberikan susu terus ke perut dan menyedut lendir di paru-paru.

Dua hari selepas itu, Baihaqi benar-benar telah sedar dan mula menangis. Bila dia boleh membuka mata, kesedihan ku datang semula kerana Baihaqi tidak mengenal aku ibunya. Doktor menasihati aku, bahawa, ingatannya masih lemah lagi kerana lama berada dalam keadaan 'koma' , maka perlukan masa untuk mengembalikan ingatannya.


Seminggu selepas itu, Baihaqi dipindahkan ke wad biasa kanak-kanak,namun sesuatu yang pelik pula kelihatan. Oleh kerana semasa Baihaqi 'koma', aku tidaklah membelek badanya, bila dia sedar, Baihaqi dipakaikan lampin pakai buang, aku terlihat tompok merah di paha sebelum masuk wad hari itu telah bertukar kepada warna hitam dan kelihatan seperti terkena minyak panas, mengelembung. Aku maklumkan pada doktor, dan doktor telah membuat biopsy pada paha Baihaqi, didapati kuman yang terdapat di dalam darah baihaqi telah bertindak memakan daging paha Baihaqi. Daging paha Baihaqi menjadi keras dan tidak boleh dibiarkan lama sebelum kuman itu masuk kedalam tulang. Maka doktor memaklumkan pada aku , pembedahan pembuangan daging di paha perlu dijalankan.

Aku akur dengan kehendak doktor, maka Baihaqi dipindahkan ke wad orthopedik kanak-kanak pula. Disana Baihaqi diletakkan bawah rawatan doktor orthopedik dan doktor kulit. Pembedahan pembuangan daging paha dilakukan di dewan bedah selama 3 jam. Luka nya agak besar juga dan 'dressing' perlu dibuat setiap hari bagi mempastikan tiada kuman di kawasan luka itu. 2 hari selepas pembedahan baru bahagian yang dibedah di buka dan didapati masih ada kuman lagi. Tetapi untuk dibedah sekali lagi di dewan bedah secara membuat 'general anestatik' adalah berisiko tinggi kepada seorang kanak-kanak berumur 8 bulan. Maka doktor mohon kebenaran untuk melakukan pembedahan tanpa bius ke atas Baihaqi.

Aku yang memang dari awal pasrah, setuju sahaja dengan rawatan doktor. Kali ini cuma dilakukan di bilik rawatan dalam wad. Baihaqi cuma diberikan ubat tidur sahaja, tetapi kesakitan daging disiat dengan pisau lebih sakit dari dia tidur. Aku lihat sendiri, sebab aku memengan Baihaqi di kepalanya, doktor menyiat daging di paha Baihaqi sama seperti kita melapah daging lembu yang disembelih itu. Torehan dan siatan daging itu mesti dibuat hingga ke bahagian daging yang menerbitkan darah.

Kenapa kena sampai bahagian itu? Selagi daging tidak mengeluarkan darah, bermakna, bahagian daging itu telah mati, urat saraf darah telah tidak berfungsi, jika dibiarkan lama-lama, akan bernanah dan busuk. Aku hanya mampu melihatkan keadaan Baihaqi yang meronta-ronta kesakitan, dalam hati berkata, biarlah dia puas menangis hari ini, asalkan esok dia sembuh. Tak ada orang mati kerana menangis. Aku hanya berdoa dan redha dengan ketentuan yang Allah catatkan buat perjalanan hidup Baihaqi.

Hampir sebulan telah berlalu , aku dan Baihaqi berada di hospital, aku mohon kebenaran untuk balik ke rumah, dengan aku janji akan datang setiap hari ke hospital untuk membuat rawatan susulan Baihaqi. Aku sudah terasa penat tidur duduk selama ini. Kami dibenarkan balik ke rumah. Hampir 4 bulan selepas itu Baihaqi menjalani rawatan di hospital dan pusat rawatan UTM. Selepas tempoh 4 bulan pula,Baihaqi  perlu menemui doktor setiap bulan untuk rawatan susulan dan melihat perkembangan dirinya.

Selama sebulan di wad, aku benar-benar berumah di sana. Langsung tidak pernah balik ke rumah menjenguk anak-anak yang lain. Tak terfikir untuk sekali atau sekejab pun nak balik rumah kot-kot nak berehat atau mandi manda. Tak mampu untuk aku berpisah walaupun sekejab meninggalkan Baihaqi keseorangan di wad. Dia buah hati dia permata ketika itu.


Ujian ini benar-benar telah mentarbiyah aku menjadi seorang yang tabah, redha dan sabar. Sangat besar nilainya pentarbiyah ini. Mana-mana ibu yang pernah dapat pengalaman ini akan menjadi tegal hatinya, tidak rapuh sebaliknya menjadi kuat. Melalui detik-detik dengan penuh debaran dan kekuatan.


Doktor pakar kanak-kanak yang pernah berkata kepada aku, minta menunggu Baihaqi yang akan meninggal bila-bila masa itu, merasa seprti satu keajaiban bila Baihaqi boleh sembuh. Doktor itu kata, Baihaqi bayi ajaib "miracle baby". Dan doktor itu akui, yang Baihaqi boleh sembuh kerana doa dan keyakinan ibunya pada Allah. Itu kata doktor tu. Doktor itu meminta aku dijadi rujukan dan memberikan kaunseling pada ibu-ibu lain yang menghadapi masalah anak sakit. Doktor tu kata, sebenarnya bila anak sakit, doktor selalu menghadapi masalah dengan karenah ibu bapa, kerana kadang mereka tidak memberikan kebenaran doktor merawat anak mereka jika terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius. Dan ada ibu bapa suka menyalahkan doktor bila anak mereka meninggal , cacat dan sebagainya. Banyak karenah ibu bapa yang tidak sabar dengan kesusahan dan kesakitan anak-anak. Bagi ibu bapa, anak tidak boleh sakit atau menangis. Sedangkan doktor bukan tuhan, doktor cuma boleh membantu merawat sahaja. Yang menyembuhkan sakit dan penyakit adalah tuhan. Semasa Baihaqi 'koma' aku memberi keizinan kepada  doktor untuk mengambil cecair tulang belakang Baihaqi bagi tujuan mengkaji jenis kuman dan tahap kuman itu telah bertindak ke atas dirinya. Ujian ini yang jarang ibu bapa mahu mengizinkan untuk doktor bertindak menyelamatkan anak mereka yang dijangkiti kuman. Jika selepas diambil cecair tulang belakang dan anak itu menjadi cacat, mereka menyalahkan doktor,sedangkan kecacatan itu terjadi disebabkan oleh kuman yang telah menyerang otak.


Dah 19 tahun
Sehingga kini, Baihaqi telah berusia 19 tahun, masih lagi bila aku pergi ke hospital ( dah pasti aku selalu ke hospital sekarang kerana aku yang menjalani rawatan berbagai penyakit) aku terjumpa staf yang lama-lama, yang masih ingat aku, akan bertanya, "apa khabar Baihaqi, hidup ke dia?" Ini menunjukkan bahawa ketika Baihaqi sakit dulu, ramai orang menyangka Baihaqi akan meninggal dunia. Namun kuasa dan kehendak Allah tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Keadaan Baihaqi sakit dahulu memang benar-benar menguji kesabaran aku dan keluarga. Kesabaran aku berhadapan dengan situasi Baihaqi yang begitu, menguji zauj yang terpaksa berulang alik setiap hari rumah , hospital dan tempat kerja. Zauj yang kena menjaga anak-anak lain di rumah (masa ni aku belum ada pembantu lagi), menguruskan anak-anak untuk ke sekolah, dan masuk kuliah untuk mengajar. Aku pula terus bercuti dari kerja .Aku tidak tahu status cuti menjaga anak sakit di wad itu, cuti apanya, samada cuti bergaji atau cuti tidak bergaji.



Dan aku dan zauj sedar bahawa ujian menjaga anak sakit ini hanyalah anugerah Allah bagi melihat keimanan kami berdua, samada sabar dan redha. Syukur, ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ kami dapat melaluinya dengan penuh redha dan sabar tanpa rintihan dan keluhan.

Maka di nasihatkan pada sesiapa sahaja, jangan sekali-kali berputus asa dalam menghadapi ujian sakit, penyakit dan kesakitan. Kalau bukan kita sakit pun, kita tidak boleh berdoa untuk orang yang kita jaga, mengaharpkan orang itu mati cepat. Apatah lagi diri kita sendiri. Yang di tuntut hanyalah mengingati mati sahaja.

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikkan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.” (Riwayat Ahmad, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :

Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”[1]

[1] Imam Sayuti mendatangkan hadis ini di dalam kitabnya, al-Jami’ al-Saghir, hadis ini bertaraf sangat dhaif.



Tamat...(Dairi seorang ibu yang menjaga anak yang sakit)


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Saturday 26 January 2013

Hijrah Kerana Allah



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Bersama pelajar kelas pondok Melaka
Kadang-kadang kita tak tau cara mana untuk berdakwah pada sesuatu kaum tu. Kita tidak ada ilmu dan tidak ada skill dalam berdakwah. Terutama cara mana berdakwah pada masyarakat di Peribumi di Sabah Sarawak.


Maka bila Allah berikan satu peluang , saya rebut dan genggam peluang tu sebaik-baiknya.


Pada tahun awal tahun 2010, seorang anak muda kaum Bidayuh menghubungi saya dan bertanya tentang Islam. Saya melayan emailnya dan menjawap setiap pertanyaan, sehingga akhir November 2010 beliau, beliau bersyahadah di saksikan oleh anak menantu angkat saya di Masjid Bintulu.



Sebulan selepas itu, apabila keluarga telah membuangnya, dan bapanya sendiri telah menelefon saya ,

"puan, saya mohon tolonglah saya."
"tolong apa, encik Duke?"
"tolong suruh dia keluar Islam semula"
"maaf en.Duke, saya tak de suruh dia menganut Islam, dia yang rela hati nak masuk Islam, saya cuma menjawap soalan-soalan yang dia tanya tentang Islam, memang kewajiban saya menerangkan bila ada orang tanya."


Marah benar bapanya. Lalu bapanya berkata, "kalau mau Islam, Islam betul-betul, duduk sini, mana boleh, belajar pun takde."


Memang benar, anak muda itu tinggal di Hutan Bintulu, tinggal di kalangan bukan Islam, nak keluar belajar cuma seminggu sekali. Memang sukar dan payah untuk dia belajar mendalami asas-asas fardhu ain. Maka saya jawap...


"en.Duke mahu dia belajar tentang Islam ke?"
"Ya la, kalau mahu Islam, betul-betul belajar la. Saya sudah tak mahu itu anak lagi. Puan mahu ke?"


Terkedu saya bila ditanya soalan begitu.


"oh..kalau en.Duke tak mahu, saya mahu dengan satu syarat. Dia mesti berhijrah, mesti datang Semenanjung, supaya dia boleh belajar Islam betul-betul."


"Apa pun en.Duke, anak encik tu baik, dia anak yang taat, walaupun dia sudah Islam, hubungan encik dengan anak tidak putus, dia tetap anak encik. Saya sudi terima dia sebab mahu dia betul-betul belajar tentang Islam, nanti suatu hari, dia tetap akan balik semula ke Sarawak."


Dari saat itu, saya berbincang dengan anak muda itu, merancang penghijrahannya ke Semenanjung. Walaupun dia memang telah ada komitmen seperti bayaran bulanan kereta dan hutang pinjaman ASB di Maybank, dan kerjaya sebagai Designer dengan Perbadanan Hutan Sarawak dia memilih untuk berhijrah. Dia sanggup berhenti kerja, menjual kereta dan membatalkan perjanjian pinjaman ASB .


Dengan pertolongan rakan-rakan, saya uruskan pembelian tiket penerbangan dari Sibu ke Johor Bahru (disponsor oleh seorang forumer halaqah.net). 27 Disember 2010, anak muda itu tiba di rumah saya.


Tarikh dia bersyahadah 27 November 2010, bermakna genap sebulan dia telah bersama-sama Islam, namun ujian Allah terhadapnya besar dan banyak. Rupanya di sebalik segala musibah, kedukaan ada hikmat terbesar. Dia dapat datang ke Semananjung dan dapat meneruskan pembelajaran dari asas tentang Islam.


Saya tekad untuk berusaha membantu dia belajar sejauh mana yang dia mampu dengan harapan, apabila dia mempunyai ilmu, maka mudah untuk dia berdakwah kaumnya suatu hari nanti bila dia pulang semula ke Sarawak.


Seperti mana, nabi yang diutuskan untuk berdakwah kepada manusia adalah dari kalangan manusia juga, maka saya berpendapat, adalah lebih mudah untuk diterima oleh kaumnya, bila dia sendiri yang mendakwah mereka.
Bersama Tuan Guru Mohd Saleh , Ahmad Rabbani dan Hj Mat


Kini, dia masih belajar. Pada bulan April ini, dia dan beberapa orang kawan-kawan akan pergi ke perkampungan peribumi untuk berdakwah dan menetap di sana dalam tempoh sebulan.

Setiap kali cuti penggal, atau cuit hari raya, saya sudah nampak ketaatannya dalam melaksanakan suruhan Allah. Komited dalam mengerjakan solat berjemaah, sanggup berjalan kaki untuk ke surau tiap waktu dengan jarak surau ke rumah dalam 1 km. Telah berkursus penyembelihan haiwan ternakan dan pengurusan jenazah.


Marilah kita sama-sama bantu untuk pembiyaaan sara hidup selagi masih belajar.


Semenjak berhijrah dan datang ke rumah saya, saya menghantar dia belajar di Pusat Asuhan Saudara Baru, di Kedah selama 1 tahun. Tamat di sana, tahun ke dua menyambung penggajian di Institute Latihan Dakwah Selangor, di Sg Lang, Sabak Bernam.


Selama belajar di sana, saya berusaha menubuhkan tabung untuk dia belajar. Menghubungi badan korporat dari kalangan sahabat saya agar penyumbang zakat kepada tabung ini.


Sebaik sampai rumah saya pada akhir 2010 tu, kami (saya dan anak muda itu) terus berurusan dengan Maybank untuk membatalkan perjanjian pinjaman ASB. Oleh kerana pinjaman itu belum sampai tempoh satu tahun, dia dikena penalti. Memang banyak nilainya lebih kurang RM 1400, sedangkan dia langsung tak ada sumber kewangan lagi. Berhenti kerja dengan notis sebulan (ada staf bahagian H&R bantu uruskan). Maka saya usahalah korek dari mana -mana sumber untuk bantu bayar penalti. Lepas tu biaya untuk belajar dan sara hidup selama dalam Pusat Asuhan dan di ILDAS.


APA tujuan saya ceritakan? Saya nak mengajak sesiapa yang sudi memberikan pembiayaan untuk tujuan dakwah. Kita nak dakwah orang supaya menganut Islam tak ada peluang dan skill,tambahan penduduk peribumi di Sarawak sana, maka apa salahnya kita membantu dia. Miskipun sedikit yang kita keluarkan Allah akan pandang dan akan melimpahkan lagi rezeki berganda-ganda dari khazanah ALlah yang tidak kita ketahui. Alalh ada berbagai-bagai cara untuk mengurniakan rezeki kepada kita.


Mula-mula saya ragu-ragu untuk mewar-warkan kerja kebajikan ini, tetapi bila saya baca dalam satu surah al-Baqarah ayat 271,


Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. (271)


Maka tidak salah saya mengajak rakan-rakan membantu seorang anak muda yang bercita-cita untuk menjadi pendakwah. Kalau saya tak cerita, ada ke orang nak percaya pada saya jika saya terus minta begitu saja?



Gambar saya bersama anak muda itu dan seorang muridin. Anak muda kaum Bidayuh yang ditengah-tengah.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Disetiap kepayahan ada kemudahan



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ketika di wad
Setiap manusia,sama ada dia suka atau tidak, sama ada dia berjaga-jaga atau tidak, sama ada dia seorang yang taat kepada Allah atau tidak, pasti ditimpa sakit.Sakit itu adakalanya berupa peringatan dan ada kalanya berupa hadiah daripada Allah. Kita tetap perlu bersyukur kepada Allah, kerana itu menunjukkan kita sedang dalam perhatian Allah,walaupun sakit yang kita alami itu amat menyusahkan dan membebankan kita.


Tak boleh lakukan itu, tak boleh lakukan ini dan sebagainya. Disetiap kepayahan ada kemudahan.


Siapa duga, siapa sangka, Janji-janji Allah itu Benar jika kita beriman dan menyakininya. Maka banyak-banyak bersabar dan berusaha. Disetiap kesakitan ada penawarnya, disetiap kelemahan ada kelebihan.


Di hujung kedukaan ada tawanya, jika menyakini keESAan Allah dan beriman dengan NYA.


Suatu ketika dulu, hanya mampu duduk di kerusi roda. Bergerak dengan bantuan ahli keluarga. Siapa menduga, Qudrat dan Iradat Allah, keadaan itu telah memberikan suatu pengalaman amat berharga untuk dirasai nikmatnya.

Omar bantu ummi

Manisnya, ia telah menjadikan kita bila melihat apa saja , di situ ada kebesaran dan kekuasaan Allah Ta'ala. Mahu nangis kalau cerita lebih-lebih ni. Ni pun air mata dah bertakung...

Satu saja nak kongsi, jika sakit jangan mengeluh atau merintih, anggap hadiah, bonus dari Allah... tarbiyah untuk redha dan akhirnya hidup jadi bahagia.


Selagi kita hidup di dunia ini, dugaan sentiasa ada dan ujian tidak pernah berakhir sehinggalah malaikat Izrail datang memberi salam, maka banyaklah cerita dan banyak pengalaman. Segala paparan di sini bukanlah meraih simpati tapi sekadar berkongsi kisah dan pengalaman, agar bila kita rasa di uji, kita akan melihat ada orang lain yang lebih hebat ujiannya dan dia tetap tabah, sabar dan kuat serta redha .


Jadikan kesakitan dan penyakit yang didatangkan pada kita itu sebagai anugerah, untuk mentarbiyah kita menjadi redha dan sabar. Jangan sesekali kita merintih dan mengeluh, sebaliknya berdoalah agar Allah jadikan kita hamba yang redha di atas segala apa yang ditakdirkan kepada oleh Allah itu.


Sebenarnya ujian-ujian yang diberikan adalah untuk meningkatkan prestasi iman dan Allah mahu mengangkat darjat seseorang di sisiNYA.


Kini zauj berikhtiar dengan terapi di rumah, kesembuhan tetap dengan izin Allah Ta'ala sebagai manusia kita berusaha mencari penawarnya. Jika kaedah ini tidak menunjukkan kesan, kita guna kaedah lain.


Moga Allah tetap mengurniakan kami keampunan di dalam rahmatNYA menghadapi ujian ini.
 






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Jangan Kamu Lemah



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


banyakkan berdoa
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman.” [ Surah Al-Imran : 139 ]


Tiada manusia sempurna. Selain Rasul dan Nabi, tiada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.


Namun, sebaik-baik pembuat dosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.


Memang, orang akan hina kita, orang akan perli kita, orang akan kata pada kita itu dan ini. Memang sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun kita kena tabah.


“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sematkan dalam diri kita bahawa, semua kritikan, perlian, hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita kena bersabar melalui balasan yang Allah beri itu, di samping kita juga bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir untuk membalas hinaan mereka dengan hinaan, atau berfikir untuk berhenti dari perubahan kepada kebaikan.


Kalau kita berhenti, maka kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tiada manusia sempurna, bila berbuat dosa itu adalah lumrah sebagai manusia.

Namun, apabila kita ini sedar dan berusaha bangkit dari dosa kita, maka kita sebenarnya adalah yang terbaik dari kalangan manusia. Hal ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT.


“Sesungguhya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.


Dan sedikit kepada yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa anda juga tidak sempurna, dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Maka, apa kata dari anda menghina-sisih orang-orang berdosa, anda bersama-sama mereka berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sketsa Kehidupan , Jangan Pandang Luaran



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Pesakit dikelilingi pelawat


Suatu petang yang damai, saya pergi menziarahi seorang pesakit yang baru dikenali paginya melalui seorang halaqian. Dia ditempatkan di wad neuorologi, HSAJB. Kiranya pagi tu datang bukan waktu melawat, datang sekadar untuk berkenalan sahaja. Jadi saya datang semula waktu melawat, pukul 5.00 petang.



Petang itu, ketika waktu melawat, katil pesakit yang saya ziarahi dipenuhi oleh beberapa kawan-kawan sekerjanya. Maka saya menjauh sedikit dari katil itu untuk memberi ruang dan keselesaan mereka berbual-bual menanya khabar pesakit.



Sambil tu saya menanya khabar pesakit lain dikatil berhampiran saya berdiri. Saya datang ditemani oleh seorang anak angkat saya bernama 'Ariffah Husna. Oleh kerana saiz dan ketinggiannya seperti kanak-kanak, ramai yang bertanya, "ni sekolah darjah berapa?" Sorang lagi bertanya, "sekolah rendah atau sekolah menengah?"



Sikit punya bengang 'Ariffah Husna dengan pertanyaan mereka. Dia cuma mampu jawap, "haah, masih sekolah." Kemudian mereka tanya lagi," sekolah dimana?" Husna jawab, " sekolah di Universiti Utara Malaysia, dah habis pun, tinggal jalani praktikal." Terkejutlah makcik-makcik tu.



'Ariffah Husna
Memang pun saiz dan ketinggian Husna seperti kanak-kanak berusia 12 tahun. Dah la muka putih macam cina. Hari tu ketika saya berjalan berdua, ada yang cakap cina dengan dia. Ada yang bertanya, "baru convert ke?"



Iskh..macam-macam pertanyaan bila saya jalan berdua. Tapi yang paling tak boleh tahan, ada yang bertanya pada zauj, "ustaz, ni anak angkat yang keberapa?" Zauj jawab selamba je, "anak angkat Muna yang ke 300."



"Mak iih ustaz,  ramainya anak angkat muna."



Zauj jawab lagi, "itu yang dia bawa tinggal bersama, yang di alam maya, agaknya beribu-ribu."





Begitulah manusia menilai seseorang dari rupa luaran. Lihat wajah, lihat kulit dan lihat saiz tubuh.



Dalam hati siapa yang tahu? Hati kotor atau hati bersih, hanya Allah yang tahu. Tetapi dalam ilmu tasawuf telah mengambarkan bahawa hati yang bersih itu ibarat cermin.



Apabila hati bersih dari titik-titik hitam, maka hatinya laksana kaca, apa saja yang datang dari hatinya, meskipun yang datang itu tipu daya syaitan, maka hati akan melihat semuanya.



Sebab itu hati yang bersih akan terpancar melalui adap dan akhlak. Ini saja yang terzahir dari tindakan hati yang jauh dari dendam kesumat atau hasad dan khianat.



Beradap sopan dan berakhlak mulia tidak akan terpancar jika tidak ada iman dalam hati. Pantulan  hati yang bersih akan tersuluh pada akhlak terpuji dan pekerti mulia.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Friday 25 January 2013

Hikmah Disebalik Peristiwa




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dengan zauj menunaikan haji tahun 2008
Ramai yang bertanya apa saya nak buat bila dah bersara. Nanti tak bosankah tinggal dalam rumah. Sebenarnay tak ada istilah bosan dalam hidup saya ni. Nak bersenang lenang pun takde masa.



Memang kawan-kawan yang mengenali, terfikir bagaimana sebelum ini saya seorang yang aktif dan bermotivasi tinggi dalam kerjaya boleh membuat pilihan untuk bersara dan tinggal di dalam rumah.



Ada yang bertanya, adakah saya ingin berkecimpung di dalam dunia perniagaan kerana memang saya berwibawa dan berkarisma di dalam perniagaan.



Saya jawap, "saya memang akan mengamanahkan seluruh hidup saya di dalam perniagaan apabila bersara nanti, tetapi perniagaan saya bukan berasaskan keuntungan dunia." Ramai terpinga-pinga pula, apakah jenis pernigaaan itu.



Biar terus menjadi teka teki kepada semua apakah yang dikatakan perniagaan tanpa keuntungan dunia. Nak dapat apakan?




Semasa itu tidak ada sesiapa menjangka apakah hikmahnya saya bersara awal. Yang mereka nampak, saya dah tak punya banyak duit, tak luas berinteraksi dalam komuniti dan kebosanan tinggal di dalam rumah, sementelah anak-anak telah pun besar dan tinggal di asrama.



Siapa dapat menduga ya, apa yang telah Allah rancang akan kehidupan kita ini.



3 tahun terakhir sebelum saya bersara, setiap tahun saya terpaksa mengambil cuti sakit sebanyak 180 hari berikutan beberapa siri pembedahan TKR yang saya jalani. 180 hari tu lebih kurang 6 bulan. Lamakan...



Saya fikir dan semua orang fikir, saya dah uzur, selalu sakit, eloklah pun bersara.



Saya pun bersara mulai 1 Jun 2010.


Inilah dunia saya, laptop, katil, dapur

Selepas itu apa berlaku? Adakah saya selalu sakit dan keluar masuk wad lagi? Sebelum tu sepanjang 10 tahun terakhir, memang tiap tahun saya sakit dan tinggal di wad. Berbagai-bagai penyakit yang saya tanggung dan saya jalani rawatan.



Sesiapa pun akan jangka lepas bersara pun saya akan kerap masuk wad, dan tak payah lagi diberikan sijil cuti sakit.



Takdirnya, selepas bersara, saya cuma membuat rawatan susulan setahun sekali, belum pernah kena masuk wad. Jantung saya juga baik, hati saya pulih dan fibroid saya mengecut dengan sendirinya. Harian saya sibuk dengan pelbagai urusan ummah. Walaupun saya tak perlu keluar rumah, dunia saya amat luas. Saya berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyakarat diseluruh dunia.



6 bulan pertama selepas saya bersara, saya sibuk menziarahi saudara mara yang jauh dan dekat. Dengan berziarah, ukhuwwah sesama saudara semakin mesra dan rapat.



6 bulan kedua, saya boleh menemani anak menantu yang bersalin dan masa yang sama menduduki peperiksaan akhir. Bayangkan , 4 hari selepas bersalin, dah kena menduduki peperiksaan akhir di universiti. 10 hari selepas menantu bersalin, anak sorang lagi bersalin. Mujur mereka tinggal serumah, maka mudah untuk mengurus dan menemankan mereka untuk memberi tunjuk ajar penjagaan diri dan bayi selepas bersalin.



Sebulan tinggal bersama mereka, saya balik rumah. Allah menguji zauj dengan penyakit gejala parkinson.  MasyaAllah...



Terapi harian 
Mungkin orang akan merintih atau mengeluh dengan keadaan penyakit ini. Zauj pulak, jika dia tidak berjaya melakukan sesuatu yang telah menjadi kebiasaan (disebabkan penghantaran arahan di otak tidak dapat diterjemah dan dilaksanakan oleh otot), zauj hanya tersenyum dan berkata alhamdullilah. Masih lagi boleh berjalan pun. Masih boleh bergerak.



Ini memberikan peluang untuk saya mendapat bonus berganda-ganda. Ketika makan, semua dihidangkan. Bukan setakat hidang, sendukkan nasi dalam pinggan, sendukkan lauk pauk letak dalam pinggan. Ikan dibersihkan dari tulang. Kuah disiramkan atas nasi. Kena sentiasa ada disisi sehingga zauj selesai makan.



Bila nak pergi kerja, baju dibutangkan. Kuku dijari dipotongkan. Dari awal perkahwinan, zauj tidak mahu menyusahkan isteri kerana memahami isteri yang sentias sibuk dengan anak-anak. Sebaliknya selama ini zauj yang banyak membantu dalam urusan rumah tangga. Dari memasak, menyediakan makanan hingga mengosok pakaian bukan saja untuk diri sendiri tetapi anak-anak yang masih kecil.



Kini, zauj mendapat peluang untuk isteri berbakti sepenuhnya kepada dia. Walaupun begitu zauj masih tetap tidak pandai berdiam diri, masih rajin untuk menyapu dan mengemop lantai setiap hari sebelum pergi dan balik kerja. (ntah la, kenapa rumah saya ni mudah ada sampah, tak tahu dari mana datangnya. Jika masa dulu-dulu, ketika anak-anak masih kecik, suka keluar masuk rumah, saya kata sampah tu keluar dari hujung kaki mereka, tapi kini dah tak ramai yang tinggal di dalam rumah, masih ada sampah juga).



Membaca Al-Quran
Zauj punya banyak masa untuk mengaji quran. Membaca Al-Quran telah menjadi rutin harian setiap ada lowongan masa.  Dan itulah aktiviti hariannya selain membaca dan menulis buku. Sejak 2 tahun ini, zauj sudah payah untuk menulis buku kerana keadaan jari yang sentiasa bergetar, tidak boleh meng'klik' tetikus  dan menekan huruf-huruf di papan kekunci. Masih ada buku yang dalam proses penerbitan dan masih dalam pengolahan. Dah tidak seperti dulu lagi. Tapi hikmah disebaliknya paling besar yang tidak kita duga.




Memancing udang di sungai



Kadang-kadang zauj memenuhi hobi dia dengan memancing samada di sungai atau kolam. Jika di kolam, zauj lakukan bila banyak skrip jawapan peperiksaan pelajar mahu ditanda. Supaya tidak bosan, tidak mengantuk, zauj menanda di tepi kolam ikan sambil memancing.


Zauj telah beberapa kali dijemput untuk menjadi pembimbing jemaah mengerjakan umrah di Makkah. Disebalik kepayahan zauj untuk melakukan sesuatu yang rutin telah Allah gantikan dengan yang lain. Subhanallah...




Membawa jemaah nampak mudah pekerjaannya, tetapi memerlukan kesabaran di dalam pengurusan berkomunikasi dengan  para petugas di Arab Saudi yang memerlukan kemahiran berbahasa Arab. Sebagai mutawiff, bukan mudah untuk mengendalikan jemaah yang pergi umrah tanpa berkursus sebelum berangkat ke sana. Ditambah dengan kurang ambik tahu hal-hal selok belok ketika berada di masjidil Haram. Kadang tu tengah -tengah malam dipanggil kerana ada jemaah sesat, tak jumpa jalan nak balik ke tempat pengginapan. Semua tu memerlukan kemahiran mengenali peta kawasan Kota Makkah.

Di Masjidil Haram


Saya sangat terharu dengan peluang yang Allah kurniakan ini, peluang untuk berbakti sepenuhnya dengan zauj. Menguruskan zauj dari makan minum dan pakaian. Walaupun saya tak berduit lagi, tetapi rezeki Allah tidak pernah putus dari sumber yang tidak diduga. Ada saja caranya Allah kurniakan rezeki kepada saya .



Kadang-kadang saya merancang untuk menyertai beberapa program  tetapi oleh kerana kekangan kewangan, sering saya mengundurkan diri namun bila tiba masanya ada saja  rezeki yang datang tanpa diduga.



Maka wahai sahabat sekelian, sering-seringlah berniat akan perkara yang baik, insyaAllah dengan Qudrat dan Iradat Allah, apa yang kita niat akan disampaikan Allah samada cepat atau lambat. Disetiap kesukaran dan kesulitan pasti ada kemudahan. Sebab itu 2 kali Allah ulang ayat yang sama dalam firmanNYA , surah Insyirah ayat 5 dan 6 ,  "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6)"





Sudah banyak yang terjadi dalam kehidupan ini. paling tidak di duga, ialah saya menjadi tetamu Allah  dengan pemergian saya ke sana melalui pakej.RM 35,000 bukan nilai yang kecik (bagi saya lah yang kerja makan gaji ). Saya tak pernah ada simpanan sebanyak itu, tetapi dari mana datangnya wang yang boleh memenuhi akaun simpanan tabung haji, maka saya dapat pergi bersama Andalusia dibawah bimbingan ustaz Dato' Daud  Che Ngah.



Maka berbuat sebanyak-banyak kebaikkan dan kebajikan di dalam hidup ini, insyaAllah perjalanan hidup dan kehidupan di dunia ini akan mudah walaupun sebesar mana ujian diberikan. Jangan sekali-kali mengeluh, merintih atau berputus asa. Jangan  menganiaya, khianat dan menfitnah sesiapa pun. Dan jangan  berbuat zalim terhadap makhluk Allah walaupun seekor haiwan.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Thursday 24 January 2013

Meraikan Bulan Kelahiran Rasullulah



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Perarakkan diringi selawat

Bagaimana sebaiknya kita nak meraikan Hari kelahiran Rasullulah? Adakah dengan berarak dan melaungkan selawat di jalan-jalan raya?






Atau mengadakan majlis sambutan maulid dan lepas dengar Kisah Rasullulah dilahirkan yang disampaikan oleh penceramah undangan dan lepas tu makan-makan. Buat majlis sambutan sekampung datang ramai-ramai seperti ada majlis walimah dengan menyembelih lembu kerbau.

Ada kesan yang meresap dalam hati? Ada ambil ibrah dari kisah periwayatan tentang Rasullulah?  Ada perubahan dalam amal perbuatan hasil dari sambutan begitu?


Adakah dengan cara itu kita lebih kenal dan sayang Rasullulah?



Mendengar ceramah 
Bagi saya cara terbaik ialah, seperti mana kita mengimarahkan bulan Ramadhan dengan membaca Al-Quran, dan kita  berusaha mengkhatamkan bacaan al-quran disepanjang Ramadhan.






Jadi apa kata sepanjang bulan Rabiul Awal ini yang dikatakan bulan maulid, kita khatam baca Sirah Rasullulah. Khatam baca Sirah Nabawiyyah. Rasanya itu lebih berkesan untuk kita mengenali Rasullulah dan mengambil pelajaran di dalamnya.




Sirah Nabawiyyah: Insan Teladan Sepanjang Zaman






Sirah Nabawiyyah: Insan Teladan Sepanjang Zaman
by Nik Abdul Aziz Nik Mat
Published November 2008 by Nufair Street Sdn Bhd (first published 2004)
ISBN 9833172024
edition language :Malay
















Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Monday 21 January 2013

Segumpal Harapan Semurni Impian



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Titis-titis Harapan
Saya tak pasti adakah wajar saya menulis perkara ini. tetapi ia sangat bermain dalam jiwa saya bila mengenangkan jika itu adalah nenek saya atau atok saya, uzur , tua  tinggal di Pusat Jagaan yang dikendalikan orang bukan Islam.

Memang yang mengasaskan adalah seorang muslim, hatinya mulia menubuhkan Pusat Jagaan Wargaemas yang tidak mempunyai dana , hanya dari sumbangan orang ramai. Maka untuk mengupah orang lain mengendali dan mengurus memerlukan sejumlah peruntukan kewangan sedang Pusat Jagaan tidak ada peruntukan itu, maka mereka mengajak anggota keluarga membantu.

Usaha ini bagus, cuma dibenak saya, jauh dalam hati sanubari saya terfikir, bagaimanakah keadaannya wargaemas dihujung usia ini menghembusnafas terakhir. Siapakah yang membantu mengalunkan syahadah ditelinga mereka.

Bagaimana keadaan seharian mereka di Pusat Jagaan, dalam keadaan uzur tidak berdaya siapa yang mengingatkan akan kewajiban solat dan membantu mereka berwudhuk dan mengerjakan solat?

Pengurus Pusat Jagaan ini dan pekerjanya bukan muslim, (beragama Kristian) bagaimana mungkin mereka dapat membantu di dalam hal ehwal kewajiban solat?

Begini keadaannya
Saya tak mahu kacau atas usaha murni mereka, tetapi saya mahu kita sama fikirkan untuk penambahbaikkan atas usaha murni ini. Bagaimana usaha kita membantu supaya nenek-nenek , atok-atok di sini untuk diberikan pengisian rohani dihujung usia. Saya amat takut jika mereka ini tidak dapat mengucap syahadah.

Paling saya takut kenapa kita boleh membiarkan mereka tanpa ada usaha memukminkan mereka dihujung usia. Masih belum terlewat selagi nyawa belum sampai di tenggorok untuk bertaubat.

Usah kita selidiki salah silap siapa, atau atas kisah silam mereka tetapi kita bantu yang telah ada di depan mata (sebab anda baca dan dah tahu hal ini) dan tempoh beberapa hari lagi roh dan jasad mereka masih bersama.

Harapan saya, jangan ada pula antara kita yang mengaggu Pusat Jagaan itu sehingga ia menjadi isu kontrovesi kerana pengendalinya berbeza agama. Fikirkan bagaimana untuk kita membantu atok-atok nenek-nenek di sana supaya dihujung usia dapat menlafaz syahadah.

Bayangkan jika itu atok nenek kita atau mak ayah kita .





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.