BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 29 November 2014

Ramainya Gadis Di Rumah Perlindungan Kerana Adanya Lelaki Berhati Syaitan



Team Amal Suzuki Biker
 Hari ini, 29/11/14, Baitus Solehah menerima kunjungan dari Team Amal SBCM seramai 70 orang. Mereka datang bermotosikal dari Shah Alam, Selangor. Ada juga ahli mereka dari negeri-negeri lain termasuk Johor.

Mereka singgah ke Baitus Solehah bagi menyampai sumbangan dari beberapa pihak seperti SBCM, Hi-Rev, Suzuki Motor, Kulit-Kraf, Syarikat Air Selangor dan Muslim Care. (Maaf jika saya tertinggal nama yang menyumbang).

Saya amat berbesar hati menerima kunjungan ziarah mereka. Dan inilah pertama kali saya berpeluang bercakap di khalayak umum yang pesertanya lelaki sahaja. Ada juga yang datang berkeluarga menaiki kereta.

Peluang dapat bercakap di hadapan ramai pemuda diambil kesempatan untuk meluahkan apa yang tersirat di hati selama. Saya berucap sungguh dari hati sehingga tanpa sedar air mata mengalir.

Saya luahkan kekesalan, bahawa kenapa ramai lahirnya anak zina, perempuan-perempuan hamil tanpa suami kerana pelakunya adalah lelaki yang tidak bertanggungjawap dan mengenepi hukum syariat Islam yang menghalalkan persetubuhan melalui ijab dan kabul.

Ramainya gadis berada di rumah perlindungan kerana sikap tidak bertanggungjawapnya lelaki yang berzina dengan mereka samada memperkosa secara paksa atau suka sama suka. Dah buat suka sama suka, tetapi bila perempuan itu mengandung, mereka ditinggalkan begitu saja. Yang memperkosa sudah pasti selepas perempuan itu dianiya, mereka menghilangkan diri agar tidak dapat dikesan.

Pelaku-pelaku ini terlupa, jika mereka terlepas hukum dan tanggungjawap kat dunia, mereka tidak akan terlepas perbicaraan di Padang Mahsyar nanti. Azab yang pedih sedang menanti mereka jika mereka tidak bertaubat , tidak mohon ampun kepada Allah dan memohon maaf atas penganiyaan mereka terhadap perempuan-perempuan yang mereka zinai.

Setakat hari ini, dalam ramai perempuan yang Baitus Solehah lindungi, belum ada yang bertanggungjawap atas perbuatan mereka. Pelaku lepas bebas bersuka-suka meneruskan kehidupan sedangkan perempuan yang menanggung akibat berduka nestapa menanggung azab pedih mengandung tanpa suami dan melahirkan bayi tanpa ayahnya.

"Cuba lihat wajah bayi-bayi ini, comel semuanya, bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan mereka apabila melihat maklumat bapa di sijil lahir, maklumat bapa tidak diperolehi. Apa perasaan mereka?"

"Cuba letak diri kita pada kedudukan mereka dimana suatu hari nanti mereka akan bersekolah, tahu membaca dan bertanya, siapa bapa saya?"

"Fitrah seorang anak mendambakan kasih sayang ibu dan bapa, mereka ada ibu, tak ada bapa, tetapi mereka tak tahu apa-apa dan mengharap kekurangan itu terisi dengan memanjakan diri dengan anak menantu saya. Bagi mereka asal lelaki, mereka kejar minta dipeluk cium, didukung dan ketawa mengekeh-ngekeh manja, tanpa mengetahui siapa lelaki itu yang pada fikir mereka mungkin bapa mereka."

"Saya berharap semua anda di sini tidak tergolong orang-orang yang menganiya perempuan, ambik kesempatan atas kelemahan mereka dan tidak tergolong orang -orang yang menzalimi diri sendiri. Jauhi zina, jangan bercouple."

Semoga semua peserta yang hadir dipelihara keselamatan dan kesejahteraan diri dan perjalanan pergi dalam balik rahmat Allah Ta'ala. Kepada para penyumbang yang menyumbang berbagai barangan, diucapkan terima kasih.

Semoga Allah mengurniakan rezeki yang halal dan tidak terhingga dari sumber yang tidak diketahui, memudahkan segala urusan di dunia dan akhirat kepada semua penyumbang dan keluarga.

Moga semua penyumbang dan keluarga dikurniakan kekayaan iman, kekayaan harta dan kekayaan jiwa di dalam rahmat Allah Ta'ala.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 7 November 2014

Jauhi Zina Kerana Taat Larangan Allah


Pertemuan dengan peserta UMP
Indahnya menjadi gadis, pelihara maruah diri, sekali ia tercemar, tidak mungkin dapat dikembalikan lagi. Jangan cuba-cuba menghampiri jalan-jalan zina. Allah larang sekeras-kerasnya. Jaga Solat, Jaga hubungan dengan Allah, Tutup Aurat dan Berakhlak Mulia, maka Allah memelihara iman, maruah dan keselamatan diri kita.

Jadi jangan hampiri zina bukan kerana kesan dan keburukannya, tetapi kerana taat perintah Allah dan RasulNYA.




Jangan Hampiri Zina

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)" (Al-Isra, :32)

Tafsiran Ringkas :

Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).

Ayat di atas melarang kita untuk mendekati zina. Ia bermaksud segala hal yang merupakan jalan menuju perzinaan wajib kita jauhi apa lagi zina itu sendiri tentunya lebih wajib kita jauhi. Perlu juga kita sedari bahawa segala keterbukaan dan kebebasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita ini pasti menimbulkan akibat yg buruk pada masyarakat kita. Suatu keburukan akan lebih cepat merebak dibanding kebaikan.

Maksud daripada amaran Allah Ta'ala "jangan hampiri zina" ini adalah ditujukan kepada segala perkara yang mendorong kepada perlakuan zina. Seperti berdua-duan, bercakap-cakap atau berhubungan dengan cara-cara yang boleh menaikkan nafsu kejahatan, berpegangan tangan atau apa saja perkataan, perbuatan, isyarat yang boleh mencetuskan perasaan kepada perbuatan zina adalah termasuk didalam amaran ini.

Rahsia mengapa Allah s.w.t menggunakan kalimah ‘janganlah engkau mendekati zina’, bukan ‘janganlah engkau berbuat zina’, telah disampaikan Syeikh As-Sa’di dalam tafsirnya.

Kata beliau: “Larangan untuk sekadar mendekati zina lebih bermakna mendalam dari melarang perbuatannya. Sebab, ia bererti meliputi larangan terhadap seluruh pendahuluan dan pencetusnya. Orang yang berada di sekitar daerah yang terlarang, dikhuatiri terjebak di dalamnya. Terutama dalam masalah ini (zina), yang didorongnya sangat besar pada sebahagian orang.”

Imam Ahmad berkata: “Aku tidak mengetahui dosa yang lebih besar daripada dosa zina setelah (dosa) membunuh nyawa manusia.”

Bagi membendung perbuatan zina, Islam amat melarang pergaulan bebas bukan mahram . Pergaulan bebas akan mendorong lelaki dan perempuan berada dalam suasana yang mencurigakan, bersembunyi dan ini dimulakan dengan khalwat. Menghias diri dengan wangian dan bersolek turut dilarang jika ia dilakukan untuk tontonan umum. Seorang wanita amat dan hanya digalakkan agar menghias diri dan bersolek semasa berada dengan suaminya, kerana bakal membangkitkan rasa ghairah dalam keadaan yang halal.

Berhias dan kelihatan anggun menawan dalam kelompok bukan mahram, akan mejerumuskan wanita dalam pelbagai masalah. Keinginan lelaki kepada wanita seksi, memukau hiasan dirinya akan menjadikan gelora semangat tidak terkawal dan mendorong perbuatan rogol atau percubaan menggoda, dan akhirnya tergodam naluri seks pula, iaini zina.

Islam menggalakkan perkahwinan kepada yang mampu, dan berpuasa kepada yang tidak mampu, dan melarang mengadakan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan seperti meletakkan mas kahwin yang terlalu tinggi. Islam menafikan ketakutan kepada kemiskinan dan kepapaan kerana mempunyai anak-anak yang ramai.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)

Seseorang yang melakukan zina Muhsan (telah berkahwin), sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsan wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.

Dua penegasan tentang zina yang dinyatakan dalam ayat yang dibincangkan ialah :

1. Zina adalah perbuatan yang keji.

2. Zina membuka jalan kepada pelakuan buruk yang lain.

Pelakuan Zina sememangnya suatu perbuatan yang keji yang dimurkai oleh Allah dan rasul-Nya. Masyarakat akan memandang hina akan si pelakunya. Ibu bapa akan merasa begitu hina jika anak-anak mereka mengandung tanpa nikah. Adakah kita rela ibu, adik perempuan, isteri kita berzina dengan orang lain?.

Sering terjadi pelakuan seksual terhadap anak-anak remaja dan wanita dewasa yang merupakan kesan dari nafsu berahi yang terpancing dari "mukadimmah zina" yang tidak dijauhi. Betapa banyak rumah tangga yang hancur berantakan gara-gara zina yang tidak hanya mendatangkan keburukan kepada hubungan suami isteri tetapi juga anak-anak mereka. Mangsa-mangsa zina dan perkosaan akan membawa aib seumur hidup.

Keburukannya kerana zina juga berlaku atas sifat manusia yang tidak dapat mengawal nafsu. Keserakahan nafsu inilah yang menjadikan nilai kehidupan semakin tidak selamat. Apabila dikuasa oleh nafsu, manusia sangat mudah berkonflik, berbalah, dan seterusnya berperang. Telah banyak tragedi berdarah yang berlaku kerana disebabkan oleh perbuatan zina, termasuk berbunuh-bunuhan sesama manusia.

Sa’ad bin Ubadah berkata, “Seandainya aku melihat seorang laki-laki berzina dengan isteriku, maka akan aku penggal leher laki-laki itu dengan pedang”, ucapnya.

Kesan perlakuan zina, terutamanya dalam kalangan anak gadis atau wanita paling berat menanggung bahana. Apabila didapati dirinya mengandung, dia hanya mempunyai dua pilihan sama ada meneruskan kandungan tersebut atau menggugurkannya dengan pelbagai cara, sama ada menemui dukun tradisional, doktor, cuba melakukan sesuatu termasuk membunuh diri. Bagi yang merasakan kandungan itu adalah darah dagingnya, turut menghadapi persoalan dan kebimbangan, setelah kelahirannya di manakah akan disorokkan bayi itu. Akibatnya bayi dibuang atau ditinggalkan dimerata-rata tempat. Di Malaysia, kisah pembuangan bayi telah berlaku sekian lama, tetapi akhir-akhir ini ia telah menjadi semacam satu kegilaan yang paling kejam.

Kemudian Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain dari Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar,dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya Dia mendapat (pembalasan) dosanya, akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh;maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan.Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Furqan: 68-70)

Di sini jelaslah bahawa Allah s.w.t mengandingkan perbuatan zina dengan syirik dan membunuh nyawa manusia. Dan menjadikan balasannya ialah kekal dalam siksaan yang berlipat ganda, selama seorang hamba (pelaku) tidak menghapuskan faktor penyebab seksaan tersebut dengan taubat, beriman dan berbuat amal solih.

Sunnah Allah berlaku pada makhluk-Nya, di mana jika perzinaan merajalela, maka Allah murka kepada mereka. Jika kemurkaan Allah terus berlangsung, maka ia akan menurunkan hukuman-Nya ke bumi. Abdullah bin Mas’ud, berkata, “Tidaklah muncul perzinaan di sebuah negeri, kecuali Allah mengumumkan kehancurannya".

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday 6 November 2014

Selesakan Ibu Kamu


Mak Lijah
Pagi tadi selepas sarapan pagi, terus menghantar 2 orang pelatih baru ke Klinik Kesihatan untuk buka Buku Merah rawatan ibu hamil. Balik dari situ, menghantar anak pelatih yang telah dapat kerja ke rumah pengasuh. 3 orang pelatih telah mendapat pekerjaan dan berpindah keluar dari Baitus solehah bersama bayi mereka. Mereka berusaha berdiri untuk memulakan hidup baru bersama bayi masing-masing.

Selepas itu saya ke rumah pengajar sekolah memandu untuk mendaftarkan seorang pelatih untuk belajar memandu. Apabila singgah di rumah itu, saya teringat kepada seorang warga emas yang sering saya ziarahi ketika tinggal di taman itu.

"Mak cik Lijah apa khabar?"
"Oh..mak ya, mak baik, tak berapa sihat."
"Boleh saya ziarah dia?"
"Silakan masuk."

Saya masuk dan dibawa menuju ke katil mak cik Lijah. Makcik Lijah mengadu sakit dada. Anak makcik Lijah berkata, "mak kata sakit dada, ajak pergi klinik jumpa doktor tak mahu, suruh beli ubat aja mana boleh, kita tak tahu apaa pemyakitnya."

Saya memujuk untuk bawa makcik ke klinik berhampiran. puas dipujuk-pujuk, barulah makcik bangun dan bersetuju pergi ke klinik.

Sampai di klinik, diperiksa oleh doktor. Doktor memaklumkan, perlu kepada pemeriksaan lanjut terutama ECG kerana ia berkaitaan dengan sakit dada yang melibatkan jantung.

Dari Klinik di Taman Sri Pulai, saya bawa ke Pusat Kesihatan UTM yang menyediakan pelbagai peralatan perubatan seperti hospital.

Tiba di sana, terus dibawa masuk ke ruang pemeriksaan dan rawatan. Doktor memeriksa dengan teliti. Makcik Lijah menangis. Doktor memujuk agar bertenang.

Kemudian doktor memanggil saya dan anak mak cik Lijah masuk di ruang perbincangan yang agak jauh dari mak cik Lijah.

Sungguh beralas bahasa doktor. (Doktor sangka dia ibu saya). "Jaga ibu ni baik-baik, keadaan jantungnya lemah, injap jantungnya tidak berfungsi dengan sempurna lagi, paru-paru berair, dan banyak masalah lain, penuhi kehendaknya, temankan dia selalu, selesakan dia. Mana-mana bahagian yang sakit tu, kamu gosok dan usap agar dia lega. Ajal maut kita tidak tahu bila, tapi Allah beri peringatan agar kita selalu bersedia."

Dari klinik, saya hantar semula ke rumahnya. Sebelum saya balik, saya peluk dan cium dia dan berpesan, "mak cik, selalu istigfar dan ucap La ilaha illallah ya, moga Allah merahmati mak cik. Jangan lupa Allah dalam apa jua keadaan pun."

Mak cik ni rupanya dah tak ingat siapa saya. Berkali-kali dia ucap, "terima kasih ya, terima kasih ya..." sambil menangis. Mak cik Lijah juga memeluk saya sekali lagi.

Umurnya sudah 77 tahun, ingatannya sudah lemah, "Ya Allah, ampuni dia, rahmati dia sebelum, semasa dan sesudah kematiannya."

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday 5 November 2014

Kewajiban Solat Tidak Mengira Status Insan

Kewajiban Solat Tidak Mengira Status Insan
Orang kata jauh berjalan luas pandangan dan banyak pelajaran yang diperolehi bagi mereka yang sentiasa berfikir. Seringkali apabila saya kemana-mana saya akan memerhati dan mencatat dalam minda apa yang saya lihat untuk dijadikan pelajaran dan iktibar. Ia juga boleh jadi sebagai peringatan dan bahan dakwah berkesan.

Walaupun hanya sekadar menunggu di ruang menunggu atau di mana-mana termasuk surau. Semua tempat dimana kita berada ada pelajaran yang diperolehi bagi yang sentiasa berfikir.

Suatu petang, ketika saya berada di surau hospital kerana menunggu pelatih yang menjalani pemeriksaan di Bilik Saringan, saya memerhatikan beberapa orang pekerja pembersihan bangunan masuk ke surau. Walaupun mereka hanyalah pekerja pembersihan, mereka tetap menunaikan solat. Dari Pukul 3.00 petang hingga waktu isya' saya berada di surau menunggu pelatih yang menjalani pemeriksaan di Bilik Saringan, silih berganti pekerja pembersihan berpakaian seragam merah ini mengerjakan solat. Mereka mengerjakan solat di awal waktu. Beberapa minit masuk waktu solat mereka sudah pun berada di surau untuk berwudhuk.

Ketika saya istirehat di situ juga menjelang asar, masuk 3 orang wanita vogue berbincang hal-hal kebajikan dan kemudahan sebuah pusat kesihatan. Pemerhatian saya , seorang adalah doktor senior di bahagian pengurusan tertinggi, seorang arkitek dan seorang jurutera. Sedang mereka rancak berbincang, terdengar laungan azan. Segera mereka berhenti, mengambil wudhuk dan mengerjakan solat.

MasyaAllah, tidak kira apa status pun, apabila benar-benar mengaku diri seorang muslim, tidak ada yang lebih besar hanyalah Allah. Segera berhenti, untuk menyahut seruan azan bagi mengerjakan solat. inilah yang Allah pandang, keimanan dan takwa bukan status diri antara pekerja pembersih atau pegawai tinggi.

Seruan mengerjakan solat sebenarnya mampu untuk membuat kita yang sedang masak, makan, bershopping, berehat, tidor, atau apa-apa aja untuk bangun berwudhuk dan bersolat. Ini sepatutnya kerana Allah lebih besar dari segala-galanya di dunia ini. namun ramai juga yang merasa solat itu berat.

Ada yang mempunyai kemudahan tempat, kelapangan masa tetapi masih degil untuk bersegera mengerjakan solat. Masih melewat-lewatkan solat semata-mata sayang nak tinggalkan drama, cerekarama. tengok cerita di Alam Barzakh tetapi masih tidak mengambil iktibar dan pelajaran.

Diri kita pula bagaimana? Adakah masih lalai, cuai untuk bersegera menyahut seruan azan? Mati itu pasti, tidak ada amaran dan tanda. Peringatan Allah sentiasa ada untuk kita mengutamakan solat. Samada ikhlas atau tidak, solat wajib dikerjakan kerana ia perintah dari Allah. Jangan tunggu ikhlas, jangan tunggu masa lapang, jangan tunggu rajin, solat tetap wajib dikerjakan dimana berada dalam apa jua keadaan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Ummi Awak Garang


Menunggu di Bilik Saringan
Dari pagi sebuk ke sana kemari. Ingat selepas pulang dari menziarahi warga emas, saya dapat rehat dan lelapkan mata seketika. ketika pelatih turun membeli air kelapa di pasar, saya terlelap seketika di dalam kereta. tapi tidak lama kerana bising hon kenderaan.

Tiba di rumah, seorang pelatih yang sarat memaklumkan dia sakit dan ada keluar tanda untuk melahirkan bayi. Saya tak jadi nak baring untuk melenakan mata. saya tunggu dia mengerjakan solat zohor dahulu, barulah bergerak pergi ke hospital.

Dari pukul 3.00 petang menunggu di lobby Bilik Saringan, pukul 7.00 malam baru diputuskan pelatih perlu ditempatkan di wad dahulu untuk menunggu bukaan jalan lebih besar. 2 orang Pelatih yang menemankan pergi membuat pendaftaran di kaunter pendaftaran masuk wad.

Staf di kaunter, "awak dari mana? RS ke?"
"bukan, kami dari Baitus Solehah."
"Oooo... ummi awak yang pakai niqab tu ya?"
" haah ya."
"ummi awak tu garang ya."
"ha... ummi garang? takde lah, mana ada ummi garang, Ummi marah sapa yang buat salah, yang tak ikut peraturan dan yang buat kerja ikut kepala batu tanpa hati dan perasaan."

Itulah persepsi orang yang melihat dari jauh tetapi tidak pernah datang dekat untuk mengenali apatah lagi untuk tinggal sehari bersama pelatih.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 4 November 2014

Bukan Saja-Saja Dan Bukan Sia-sia

Bukan saja-saja dan bukan sia-sia
Dalam usaha kita melakukan kerja-kerja kebajikan ini, mesti menghadapi rintangan , halangan dan dugaan. bukan semua orang faham apa yang kita fikir dan apa yang kita buat. Orang hanya baca apa yang kita tulis dan banding dengan apa yang kita lakukan.

Jika kita lakukan itu terkeluar dari garis yang kita telah tulis, akan ada persoalan. Walaupun yang terkeluar itu masih lagi kerja kebajikan dan patuh syariah.

Saya cuma ingat satu saja pesanan zauj, kayu ukur dalam kita melakukan sesuatu kebaikan itu ialah, 'adakah Allah redha atau tidak.' "Kenapa masalah ini diajukan kepada aku, kenapa dia bercerita kepada aku dan kenapa dia minta tolong dengan aku."

Bukankah semua itu atas rencana Allah. Allah yang menghendaki begitu. Allah mahu melihat kesungguhan hambaNya dalam mentaati Allah dan rasul. Semua kerja-kerja kebajikan yang Allah redha ada dinyatakan dalam al-quran. Cuma ia tidak dispecifikkan kerja yang bagaimana. Sebab itu zauj beri panduan, lihat kerja itu patuh syariat atau tidak.

Pagi tadi kami tadabur Surah Al-Imran ayat 160.

سُوۡرَةُ آل عِمرَان
إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡ‌ۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦ‌ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١٦٠)

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."

Kita rancanglah apa pun, jika Allah tiak izinkan terjadi, tidak berlaku apa yang kita rancang itu. Dan jika Allah berkehendak, walaupun kita tidak suka, ia tetap terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang apa-apa jua yang Allah kehendaki.

Janji Allah adalah benar.

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِ

" Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (159)

Allah mengasihi orang-orang bertawakkal kepadaNYA setelah ada usaha dan ikhtiar.

Jangan rasa rugi buat baik dengan orang, jangan ada rasa kesal menolong orang, jangan kedekut untuk bersedekah dan jangan rasa masa rehat kamu telah singkat kerena menolong orang lain. Allah itu Maha Adil dan Allah yang merencana perjalanan hidup kita ini.

Jika datang suatu masalah, jika datang seseorang meminta pertolongan, jangan fikir banyak dan bertangguh nak menolong atau pilih-pilih pertolongan yang nak diberi.

Sebenarnya, apabila ada orang mengadu masalah, selalu fikir, "kenapa dengan aku dia mengadu, kenapa dengan aku dia minta tolong kenapa tidak dengan orang lain?" Tahukah kamu bahawa dia membuka mulut mengadu dan minta tolong itu adalah atas kehendak Allah. Allah merencana untuk meningkatkan kualiti iman, Allah mahu melihat kesungguhan kamu untuk mentaati Allah dan kesungguhan kamu untuk melakukan kebaikkan.

Bukan saja-saja...dan bukan sia-sia.


Sekali kita memudahkan urusan orang lain, berkali-kali Allah memudahkan urusan kita. Subhanallah, MasyaAllah....

Ada aliran sendu di hujung mata yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Semoga Allah merahmati semua penyumbang yang membantu Baitus Solehah dan penghuni. Hanya Iman dan Takwa orang ramai yang prihatin sahaja menjadi dana Baitus Solehah.

Kita bantu agama Allah, Allah bantu kita di dalam semua urusan di dunia dan akhirat.


Impianku menjadi isteri solehah,
 selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 3 November 2014

Selamat Jalan Adam...


Adam dan Ibu Susuannya
Lagi 10 hari lagi Adam berusia 4 bulan. Selama itulah Adam bersama kami di Baitus Solehah. Banyak moment - moment indah mengasuh Adam.

Adam dilahirkan pada 15 Julai 2014, bersamaan dengan 17 Ramadhan 1435 H, pukul 6.10 minit pagi hari Selasa. Sejak Adam dibawa pulang ke rumah dari hospital, hanya 2 malam saja Adam dapat tidor bersama ibu kandung, sebelum ibu Adam dijemput pulang oleh keluarga ke kampungnya. Tinggallah Adam bersama kami di Baitus Solehah siang dan malam.

Bersama tangis dan senyum Adam setiap siang dan malam. Ke klinik untuk menerima rawatan dan suntikan imunisasi.

Malam-malam Adam merenggek minta dipangku, dipeluk dan didakap. Adam sejuk, Adam selsema, Adam kembong perut, ibu susuan Adamlah yang bersengkang mata , tidak baring dan tidak tidor. Didodoi Adam dengan selawat syifa' dan Bismillah 5. Di oles-oles perut , tapak kaki dan ubun-ubun Adam dengan minyak telon agar Adam selesa.

Pagi-pagi Adam dimandikan dengan air suam, agar Adam rasa segar. Di urut, dibedak tubuh Adam supaya harum dan wangi. Setiap 2 jam Adam disusukan agar Adam cepat membesar. Namun Adam tetap rindukan ibu kandungnya. Dalam bola matanya selalu berkaca dengan air mata. Tangisan Adam mendayu-dayu. Hiba hati mendengarnya.

Semalam ibu kandung Adam datang ziarah Adam, dan hari ini Adam dibawa pulang bersama. Tinggallah kenangan mengasuh Adam, moment -moment indah yang terus mekar dan mewangi. Hati kami merelakan agar Adam dapat bersama ibu kandungnya. Tangisan kami cuma hari ini, saat berpisah dengan Adam, apalah sangat jika dibandingkan tangis sayu Adam setiap hari.





Wajah bersih...sebutir bintik pun tak ada, apatah lagi gigitan nyamuk. Bagai menatang kaca, agar tidak jatuh. Kalau ada pun cuma tanda biru, tanda lahir sejak dalam kandungan.








 Pandai senyum, kenal namanya apabila dipanggil dan berkolam air matanya apabila sedih. Suka dilayan dan diagah..argha..argha...bunyi si Adam.



Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Moga bertemu di syurga nanti...




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Program 'Indahnya menjadi Gadis'


Program Motivasi dan Kaunseling UMP di Baitus Solehah
Pada 1 dan 2 hb November 2014 lalu, sekumpulan pelajar UMP telah sudi datang berkunjung ke Baitus Solehah untuk program motivasi dan Kaunseling. Mereka datang bagi mengambil pelajaran dan pengajaran bagi slot 'Indahnya menjadi Gadis.'

Program 2 hari 1 malam ini melibatkan 25 orang peserta. Bermula dengan Ice Breaking kepada aktiviti kreatif telah menumbuh dan menyemai bibit kemesraan bersama pelatih. Secara tidak langsung, ia telah membuka minda pelatih bahawa mereka tidak disisih masyarakat. Masih ada yang sudi untuk berinteraksi dan mendengar suara hati mereka.

Malamnya acara BBQ yang menambah ruang kepercayaan dalam hati pelatih kepada orang lain. Selepas titik hitam yang pelatih lalui, mereka merasa rendah diri dan tidak mahu berkongsi kisah mereka dengan orang luar kerana tidak ada keyakinan terhadap masyarakat lagi. Mereka tidak mahu terus merasa terhina dan dicemuh. Mereka rela hidup terasing dari menerima kejian dan hinaan. Mereka sudah bertaubat, sudah berubah tetapi masih ada sebahagian masyarakat tidak menerima mereka, masih memulaukan mereka.

Di pihak pelajar UMP pula, mereka mengikuti aktiviti harian pelatih di Baitus Solehah. Solat berjemaah, usrah dan tazkirah asar dan zikir taubat (zikir khausaran) selepas maghrib. Pintu Taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin mentaati Allah dan RasulNYA.

Pada hari kedua, pelajar UMP dan pelatih bersama-sama menyediakan makanan. Ada yang bermain bersama bayi-bayi. Seterusnya pelatih diasing dengan pelajar UMP untuk slot kaunseling kelompok. Pelatih bersama kaunselor UMP yang turut serta, pelajar UMP bersama saya dalam Slot 'Jangan Hampiri Zina'. Jika sudi terjadi, tidak boleh diundur dan tidak boleh dipadam lagi memori hamil tanpa suami di dalam sejarah kehidupan. Ia merupakan suatu pengalaman paling kejam yang sukar untuk diterima dan redha.

Walaupun ada 2 kategori mereka yang hamil tanpa suami ini, satu kategori yang teraniya kerana dirogol atau disihir, kategori kedua adalah kerana masalah sosial. Namun apabila sudah terjadi ia tetap tidak direlakan berlaku pada diri mereka. Untuk bangun semula bukan semudah kanak-kanak belajar berjalan.

Banyak yang saya nasihat dan sentuh akibat, iktibar apabila sudah terlanjur. Maka sebelum terjadi, jauhilah jalan-jalan menghampiri zina. Jika boleh tutup jalan itu serapat-rapatnya. Jaga solat, jaga hubungan dengan Allah, jaga hati, jaga akhlak, insyaAllah Allah yang menjaga keselamatan iman, diri dan hubungan kita dengan manusia di dalam rahmatNYA.




Bukan mudah untuk mereka berada di dalam kelompok masyarakat yang sedia menerima mereka seadanya. Mereka merasa rendah diri, tidak yakin dan percaya kepada sesiapa pun lagi.

Dan inilah masanya kita memainkan peranan untuk menyakinkan mereka bahawa bukan semua orang merasa jijik atas dosa lalu mereka. Allah Maha Pengampun, pintu taubat sentiasa terbuka, apabila taubat mereka diterima Allah, mereka ibarat kain yang telah direndam clorox. Menjadi putih berseri semula.

Antara tanda-tanda taubat diterima, mereka taat menjunjung perintah Allah dan Rasul. Mereka berhati-hati di dalam melangkah meneruskan kehidupan. Menjaga hati agar tidak berpenyakit dan berakhlak mulia. Selalu mengerjakan amal soleh tanpa berkira kerana hanya keredhaan Allah yang dicari.

Alhamdulillah...



Terima kasih tidak terhingga kepada pelajar UMP yang sudi menziarahi Baitus Solehah dalam program Motivasi dan Kaunseling ini.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.