BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label anak istimewa. Show all posts
Showing posts with label anak istimewa. Show all posts

Monday, 3 November 2014

Selamat Jalan Adam...


Adam dan Ibu Susuannya
Lagi 10 hari lagi Adam berusia 4 bulan. Selama itulah Adam bersama kami di Baitus Solehah. Banyak moment - moment indah mengasuh Adam.

Adam dilahirkan pada 15 Julai 2014, bersamaan dengan 17 Ramadhan 1435 H, pukul 6.10 minit pagi hari Selasa. Sejak Adam dibawa pulang ke rumah dari hospital, hanya 2 malam saja Adam dapat tidor bersama ibu kandung, sebelum ibu Adam dijemput pulang oleh keluarga ke kampungnya. Tinggallah Adam bersama kami di Baitus Solehah siang dan malam.

Bersama tangis dan senyum Adam setiap siang dan malam. Ke klinik untuk menerima rawatan dan suntikan imunisasi.

Malam-malam Adam merenggek minta dipangku, dipeluk dan didakap. Adam sejuk, Adam selsema, Adam kembong perut, ibu susuan Adamlah yang bersengkang mata , tidak baring dan tidak tidor. Didodoi Adam dengan selawat syifa' dan Bismillah 5. Di oles-oles perut , tapak kaki dan ubun-ubun Adam dengan minyak telon agar Adam selesa.

Pagi-pagi Adam dimandikan dengan air suam, agar Adam rasa segar. Di urut, dibedak tubuh Adam supaya harum dan wangi. Setiap 2 jam Adam disusukan agar Adam cepat membesar. Namun Adam tetap rindukan ibu kandungnya. Dalam bola matanya selalu berkaca dengan air mata. Tangisan Adam mendayu-dayu. Hiba hati mendengarnya.

Semalam ibu kandung Adam datang ziarah Adam, dan hari ini Adam dibawa pulang bersama. Tinggallah kenangan mengasuh Adam, moment -moment indah yang terus mekar dan mewangi. Hati kami merelakan agar Adam dapat bersama ibu kandungnya. Tangisan kami cuma hari ini, saat berpisah dengan Adam, apalah sangat jika dibandingkan tangis sayu Adam setiap hari.





Wajah bersih...sebutir bintik pun tak ada, apatah lagi gigitan nyamuk. Bagai menatang kaca, agar tidak jatuh. Kalau ada pun cuma tanda biru, tanda lahir sejak dalam kandungan.








 Pandai senyum, kenal namanya apabila dipanggil dan berkolam air matanya apabila sedih. Suka dilayan dan diagah..argha..argha...bunyi si Adam.



Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Moga bertemu di syurga nanti...




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 21 October 2014

Selamat Jalan Latifah

Selamat Jalan Latifah
Selamat jalan Latifah, semoga Allah merahmati kamu dan seluruh keluarga kamu. Hubungan yang baik antaŕa keluarga kandung dan keluarga angkat akan menjadikan kehidupan seluruhnya harmoni. Saling berkasih sayang, hormat menghormati dan bertoleransi.

Keluarga kita bertambah besar. Ruang dalam hati kita juga menjadi sarat dengan kasih sayang. Memelihara dan mengasuh anak angkat samalah seperti kita bersedekah jariah berpanjangan.

Anak ini menjadi aset untuk kita ke syurga atau neraka. Kita yang mencorak dan mewarnakan anak ini. Anak ini merupakan amanah kepada yang sedia mengasuh dan bertanggungjawap ke atasnya samada keluarga kandung atau keluarga angkat.

Semua orang sayangkan anak. Apatah lagi ibu yang mengadung dan melahirkan. Namun atas beberapa kekangan untuk memperolehi suatu situasi yang harmoni kepada semua pihak ia redha diserahkan kepada keluarga angkat yang sedia berkongsi kasih sayang. Keluarga angkat yang tidak tamak dan tidak ingin memiliki menjadi hak asasi dan peribadi.

Bila kita sentiasa bersikap terbuka dan positif, maka perkara baik yang datang, kasih sayang dan rahmat Allah melimpahi kita.

Ingat ! Selagi apa yang kita lakukan untuk mencapai redha Allah, maka jalan-jalan menuju arah itu juga akan diredhai dan dipermudahkan Allah.

Keluarga yang menerima Latifah ini telah memohon anak angkat sebelum Baitus Solehah dibuka kepada umum lagi. Sebelum Baitus Solehah diwartakan di dalam blog dan facebook. Jadi jangan ada yang bertanya dan timbulkan provokasi, "ummi kata dah takde penyerahan anak angkat di Baitus Solehah", "ummi kata permohonan dah tutup" , "ummi kata tahun 2014, jika ambik anak, ambik emaknya sekali".

Ingat ya, anak adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki pada masa yang Allah tetapkan, bukan pada masa yang kita pilih dan suka.

 
Sebelum Latifah diserahkan kepada keluarga angkat, 3 hari Latifah diletakkan di Baitus Solehah selepas ibu kandungnya dijemput keluarga pulang ke kampung.


 Perjalanan hidup yang masih jauh. Semoga anak ini sentiasa ditemani malaikat kecil yang menjaganya, menemani walaupun dimana dia berada.

Sayu, pilu... 3 malam opah tidor bertemankan Latifah. Saya namakan Latifah, yang lemah lembut kerana suka dengan alunan zikir Ya Latif.


Mohon maaf ya, permohonan anak angkat telah ditutup pada Disember 2013 lagi. Permohonan baru belum dibuka. Jadi jangan tanya apa procedur dan syarat permohonan anak angkat sekarang ini. Jika nak tahu , google saja syarat JKM.

Sekian, Assalam mualaikum dan terima kasih yang bekerjasama.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 2 December 2013

Menyelamatkan Dua Jiwa

Penyerahan
Selamatkan dua jiwa. Menyelamatkan ibu agar mampu meneruskan kehidupan dengan berusaha memperbaiki diri, menyambung pelajaran, menuntut ilmu dan bayinya diserahkan kepada keluarga yang mampu mendidik mengikut ajaran agama. Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana sayangkan anaknya , tidak mahu emosi anak tercedera.

Betapa sedihnya anak itu apabila bersekolah nanti, anak itu mengetahui status dirinya melalui Sijil Kelahiran. Kita tidak mampu merahsiakan jika anak itu terbaca status dirinya di sijil kelahiran. Maka, dengan menyerahkan kepada keluarga angkat, sijil kelahiran dapat ditukar kepada sijil pengangkatan setelah bayi dipelihara lebih 2 tahun oleh keluarga angkat.

Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan bermakna terputus hubungan antara ibu kandung dengan anaknya. Ini kerana jika keluarga angkat memohon melalui Baitus Solehah, keluarga angkat perlu bersetuju dengan akujanji ini.

AKUJANJI:

Saya berjanji sedia bekerjasama membenarkan ibu kandung atau keluarga ibu kandung untuk mendapatkan maklumat perkembangan anak dan mengizinkan ibu kandung dan keluarga ibu kandung untuk belawat dan bertemu pada bila-bila masa setelah perbincangan dipersetujui.

Ini bermakna keluarga angkat sewajarnya menganggap ibu kandung anak angkat mereka adalah sebagaian keluarga juga. Berkongsi kasih sayang terhadap anak itu.

Walaupun anak diserahkan kepada keluarga angkat, nasab anak dengan ibunya tetap sampai akhirat. Tidak ada sesiapa berhak menapikan hak ibu kandung keatas anaknya. Hanya di dalam perundangan, apabila telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung tidak boleh menuntut semula anaknya itu. Ibu kandung memang sedia maklum hal ini ketika penyerahan di lakukan. Namun di dalam Islam, nasab dan hak pewarisan harta anak kekal dengan ibunya.

Semalam seorang bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Kepiluan menyelubungi hati saya dan hati seluruh keluarga Baitus Solehah, apatah lagi hati ibu kandungnya.


Anak ini perlu berjalan jauh lagi , maka berilah kehidupan sempurna , mempunyai ibu dan ayah walaupun cuma ayah angkat. Dia berhak mendapat kesempurnaan dalam institusi kekeluargaan. Ibu kandung masih boleh bersama-sama anaknya bila -bila masa yang dia mahu.

Selalu saya menyarankan kepada keluarga angkat, anggaplah kamu sedang melaburkan saham akhirat. Kos penjagaan dan pendidikan anak angkat ini ibarat kamu bersedekah. Jika diberikan didikan yang sempurna, anak ini tetap mengenang jasa ibu bapa angkatnya sampai bila-bila dan menjadi bekalan di barzakh sana. Didiklah anak angkat dengan didikan agama yang sempurna. Tidak ada anak yang tidak boleh didik, jadikan kisah ibunya sebagai iktibar dan teladan.

Semoga usaha awal Baitus Solehah dalam menyelamatkan 2 jiwa berterusan dengan sokongan masyarakat sekitarnya. Jangan kita hina, herdik dan cerca mereka. Anak tidak bersalah, dan ibu sudah bertaubat. Kita pun belum tahu bagaimana akhir hayat kita nanti, semoga kita meninggal dalam husnol khatimah juga, sentiasa bertaubat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 1 December 2013

Sekali Tersilap Bukan Gagal Selamanya

Pelatih bersama anaknya
Setelah seminggu melahirkan bayi, keluarga /waris menjemput pelatih pulang. Pelatih ini tidak mempunyai ibu dan ayah.

Seminggu selepas ibunya menghantar ke Baitus Solehah, setelah pulang ke kampung, meninggal dunia. Terasa tergiang lagi pesanan ibunya kepada saya saat meninggalkan anak bawah jagaan saya.

"ummi, jagalah anak saya seperti anak ummi ya, nasihati dia, marahi dia, berilah tunjuk ajar pada dia."

Sebak hati saya mendengar pesanan seorang ibu. Makin sebak saya apabila dimaklumkan ibu itu telah meninggal dunia. Makan yaatim piatulah gadis itu. Yang ada cuma adik beradik saja lagi.

Sepanjang di Baitus Solehah, tidak pernah sekalipun adik beradiknya datang melawat. Khabaran ibu meninggal dunia pun hanya diketahui 4 hari selepas dikebumikan. Adik beradik tidak mahu dia balik ke rumah melihat jenazah ibu buat kali terakhir dimana nanti aib dan maruah ibu tercemar. Ketika kandungan gadis ini sudah 7 bulan, sudah kelihatan.

Begitulah hukuman kecil kepada gadis terlanjur. Hukuman kecil yang terpaksa dilalui. Hinggakan ibu meninggal dunia pun tidak boleh untuk hadir menziarahi, apatah memberi ciuman terakhir sebelum dikuburkan.

Bukan Baitus Solehah yang melarang, tetapi keluarga sendiri yang menahan. Bukan setakat itu, banyak lagi hukuman-hukuman kecil yang terpaksa dijalani sepanjang berada dimana-mana rumah perlindungan. Ingin keluar bersiar-siar, ingin menggunakan media komunikasi , menonton siaran tv yang hasrat itu perlu diketepikan.

Tarbiyah yang dijalani menyebabkan kekangan masa untuk bersantai-santai.

Cerita pelatih ini, dia tidak berhasrat memberikan anaknya kepada sesiapa pun,walaupun keputusan SPMnya bagus. Sementelah pulak, ada seorang kakaknya yang telah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak. InsyaAllah mereka berjanji akan menjaga adik dan bayi itu. Saya menggalakkan dia menyambung pelajaran ke IPT.

Moga-moga saudara perempuannya yang ramai sudi membantu dia memelihara anaknya disamping meneruskan penggajian. Pelatih dibenarkan untuk memelihara sendiri anak mereka sekiranya mendapat sokongan dan bantuan dari ahli keluarga.

Satu kesilapan yang dilakukan bukan bermakna kegagalan. Peluang bertaubat yang Allah berikan, tarbiyah yang dijalani selama berada di Baitus Solehah, moga-moga menjadikan dia matang dalam membuat pilihan dan terpimpin melangkah di jalan yang lurus.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 7 May 2013

Procedur Pengambilan Anak Angkat


Pengambilan Anak Angkat


Prosedur pengambilan anak angkat bagi mengelak sebarang masalah di kemudian hari. Tolong ya. Butir terperinci boleh rujuk di sini :

Procedur Pengambilan Anak Angkat oleh JPN

Dokumen yang penting:

1. Surat Akuan Berkanun atau Surat Keizinan Pengangkatan JPN.AA07 oleh ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal;

2. Satu (1) salinan Kad Pengenalan atau pasport ibu dan bapa kandung kanak-kanak seperti yang tercatat pada Sijil Kelahiran kanak-kanak;

3. Akuan Berkanun oleh ibu bapa angkat

4. Sijil Kelahiran atau dokumen pengenalan diri kanak-kanak.

Surat Akuan Berkanun boleh didapati dari Pesuruhjaya Sumpah. Proses pengangkatan perlu dibuat Pejabat Pesuruhjaya Sumpah.

Sekiranya umur ibu bayi bawah dari 18 tahun, pastikan semasa membuat Surat Akuan Berkanun, atuk dan nenek atau waris si ibu hadir.

Ingat. Buat betul betul. Jangan ambil mudah. Kelak ada masalah tanggung sendiri.

http://www.jpn.gov.my/perkhidmatananakangkatwww.jpn.gov.my

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 24 March 2013

Baitus Solehah: Dapat Keluarga Baru



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
tapak kaki bayi

Alhamdullilah, Allah gantikan suatu yang lebih baik. Sudah bertemu dan berkenalan dengan sepasang keluarga angkat dari Taiping.


Apabila pasangan dari Kedah telah memungiri janji, maka saya mengeluarkan mereka dari senarai pasangan yang inginkan anak. Saya menghubungi senarai pasangan lain yang saya letak dalam senarai menunggu. Prinsip saya, yang awal didahulukan, dan jika dibatlkan barulah ikut turutan.


Sebelum tu, malamnya telah datang satu pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin dibawa oleh sepupu saya
tetapi tidak mempunyai anak. Apabila telah berkenalan dan berbasa basi terus saya nyatakan status anak yang saya carikan keluarga angkat ini. Bila mereka mendengar, mereka telah mengurungkan hasrat kerana mereka berharap nak anak yang sah taraf. Kot-kot ada pasangan suami isteri tak nak anak. Entahla...ada lagi ke zaman ini orang tak nak anak atau tak sanggup pelihara anak sendiri. Secara automatiknya, mereka terkeluar dari senarai.


Kembali semula pasangan dari Taiping ini, yang nampaknya memang bersungguh-sungguh dan berusaha. Teruja mereka mendengar kisah pasangan suami isteri yang menganggap anak begitu sebagai anak istimewa. Saya mahu mana-mana pasangan yang menerima anak tidak sah taraf disebut anak istimewa. Anak istimewa ni bukan maksudnya anak kelainan upaya (OKU).


Saya ceritakan konsep sadaqah dalam mendidik anak istimewa ini. Ibu sudah rasa berdebar-debar menanti saat kelahiran anak. Saya sudah terangkan bagaimana cara mula mendapat maklumat untuk menyusukan anak istimewa ini.


Memelihara anak orang seperti anak sendiri, mengasuh, membesarkan, membimbing, mendidik anak orang ini, jadikan ia sebagai sadaqah. Jika baik asuhan dan didikan maka baiklah hasilnya bukan saja di dunia tetap hingga ke akhirat. Anak-anak ini fitrahnya suci. Ibu bapa yang mengasuhlah mencorakkan anak ini kepada pelbagai warna. Selalulah berharap lindungan di dalam rahmat Allah Ta'ala apabila mengasuh dan mendidik anak-anak.


Moga dapat menyusukan anak supaya menjadi anak susuan nanti.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 5 November 2009

Anak istimewa- Hyperaktif

Minggu ini asyik melatih anak-anak istimewa bernasyid lagu "Doa Perpisahan". Mereka diminta untuk buat persembahan di majlis persaraan pengetua sekolah.Memanglah irama nasyid ini mendayu, sayu dan pilu. Sesuai sangatlah. Hati orang yang melatih ni,tak ada siapa yang tahu.Setiap kali melatih mereka, saya yang menangis tak berhenti...

Menangis bukan kerana lirik dan irama lagu, tapi menangis melihat kesungguhan mereka untuk menyanyi di dalam kekurangan, mereka tidak pandai membaca, tapi pegang kertas senikata seseolah mereka boleh membaca, ada yang pelat,bila bercakap suku kata yang hujung sahaja disebut.Mereka menyanyi denagn penuh keasyikkan, dan penghayatan.Sambil jadi konduktor, airmata ni tak henti mengalir...

Melihat anak-anak istimewa ini cuba untuk menyempurnakan diri seperti insan lain. Bukan mereka pinta lahir kedunia seperti ini.



Setiap hari mesti memikirkan apa kemahiran yang nak ummi berikan kepada mereka selepas tamat sekolah nanti. Bukan ummi mengharapkan mereka berjaya di dalam pelajaran dengan boleh lulus cemerlang di dalam peperiksaan, tapi ummi lebih mementingkan sekurang-kurangnya, apa bila tamat sekolah ini, mereka boleh hidup sendiri di rumah, menguruskan diri sekiranya mak ayah mereka telah tiada.

Sekarang ini, mak ayah mereka masih ada, mereka disayangi dan banyak dibantu untuk pengurusan diri, tetapi bagaimana keadaan mereka sekiranya mak ayah dah tak ada? Nak tinggal dengan adik beradik pun, mungkin adik beradik sedarah sedaging, boleh terima mereka, menyayangi seperti mana mak ayah dulu, tetapi bagaimana dengan pasangan adik beradik tadi tu? Kakak ipar, abang ipar?

Sebab itu ummi selalu berharap mereka dapat sesuatu bila tamat sekolah nanti. Sekurang-kurangnya, mereka boleh buat makanan sendiri, masak yang paling asas untuk diri sendiri, bancuh minuman sendiri, kemas tempat tidur, cuci pakaian sendiri. Mereka tak perlu untuk melakukan untuk orang lain. Melainkan jika mereka mahu buat dan rajin, itu dikira kelebihan mereka.

Yang selalu ummi ajar ialah memasak. Paling asas , ummi mulakan dengan masak air. Gunakan cerek elektrik. Ajar macamana cabut , pasang soket dan wayar. Tekan suis.Lepas tu ajar masak air guna dapur gas. Ajar cabut dan pasang kepala gas. Sambil tu mulut tak berenti juga cerita langkah-langkah keselamatan menggunakan peralatan tu.

Ajar bancuh air secawan, bancuh air seteko untuk bilangan beberapa orang. Semua kena tunjuk dan sukatan yang betul, tak boleh main agak-agak macam orang normal buat. Macamana nak bancuh air teh, sirap, susu dan milo.

Lepas tu ajar cara menghidang mengunakan cawan berlapik untuk minuman panas, gelas untuk minuman sejuk. Tahu, berapa lama baru mereka boleh ingat untuk buat dengan betul? paling kurang 3 bulan...

Selepas mereka dah boleh kendalilakn dapur memasak, barulah ummi mula mengajar memasak makanan. Ummi mulakan juga dengan masak nasi dengan sukatan satu cawan. Mudah mereka ingat, sebab satu cawan beras bersamaan 11/2 cawan air. Mesti tunjuk cara cuci beras, toskan beras dan masukkan beras dalam periuk nasi, dan tekan suis elektrik.

Peringkat demi peringkat ummi ajar mereka, rebus telor, goreng telor, goreng kentang, goreng bilis dan sebagainay masakkan yang mudah-mudah sahaja. Untuk goreng telor saja, ada cara yang berbeza goreng telor dadar dan telor mata lembu. Kalau untuk goreng ikan bilis, kelas dimulakan dengan seminggu sebelum itu dengan kelas menyiang ikan bilis. Mesti ajar cara buang najis ikan bilis, belah dua dan tunjukan apa yang perlu dibuang. Jika tidak tunjukkan, habis dengan tulang-tulang dibuangnya. dan seperkara lagi, kena tunggu sebab, nanti ikan bilis yang kita bri 10 ekor, tapi yang tinggal 3,4 ekor saja lagi. Yang lain-lain tu dia telan. Dimakannya ikan bilis mentah!

Mereka ini anak-anak hyperaktif, mana mahu duduk lama-lama dalam satu pekerjaan . Penumuan mereka tidak lama , tu yang memang perlu beri perhatian sepenuhnya bila nak mendidik mereka. Kalau kelas memasak kentang goreng, lagilah lama masanya. Dari jam 8:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari baru selesai. Apa tak lamanya, dimulakan dengan mengupas kentang, cuci kentang, potong kentang dan menggoreng kentang. Nka tahu mcamana, tengoklah gambar bawah ni, betapa perlunya kesabaran dalam mendidik mereka itu.












Beginilah kaedah dan caranya untuk mengajar anak-anak istimewa memasak. Ini belum lagi dengan sifat hayperaktif mereka yang perlu dikawal agar semasa kelas , mereka boleh memberikan tumpuan dan perhatian. Perlu ada teknik dan kedah flexible untuk menarik minat mereka agar mahu memberi tumpuan.

Apakah "Hiperaktif " ADHD dan ADD?

ADHD (Attention-Deficit Hyperactive Disorder). Secara biologikal, takrif bagi "hyper-active' adalah pengambilan gula yang berlebihan. Kanak-kanak adalah lebih cenderung kerana pada peringkat usia ini mereka lebih gemarkan makanan rapu, gula-gula dan makanan ruji. Tanpa pengawasan yang sewajarnya kadar gula akan melebihi daripada kapasiti yang sepatutnya. Sememangnya gula amat penting untuk pembekalan tenaga tetapi gula yang di perlukan untuk perkembangan otak adalah gula asli yang mempunyai unsur glukosa iaitu daripada sumber asli seperti sayuran, ubi kentang, ikan dan sumber lain. Namun, gula yang ada di pasaran sekarang adalah gula yang diproses melalui proses pengeringan dan tidak begitu sesuai dengan komposisi tubuh kanak-kanak.

Pengambilan gula yang berlebihan oleh kanak-kanak boleh menyebabkan peningkatan suhu badan dan memberi tekanan pada perjalanan darah. Ini akan menyebabkan kanak-kanak hilang tumpuan dan kegagalan untuk memfokus kepada sesuatu perkara. Antara simptom perubahan kimia yang sering di hadapi kanak-kanak ialah:

* mata memfokus terlalu cepat,
* badan kerap berpeluh,
* jari kaki dan tangan bergerak-gerak serta lutut meregang menyebabkan mereka kelihatan aktif dan tidak duduk diam.
* Faktor lain yang menyebabkan kanak-kanak bersikap aktif selain pengambilan gula yang berlebihan ialah faktor genetik ibu bapa, cuaca dan alam sekitar.

Antara ciri-ciri kanak-kanak "hyper-active" ialah kurang penumpuan iaitu:

* tidak dapat memfokus kepada pelajaran atau tidak berminat kepada sesuatu perkara yang penting.
* Yang kedua terlalu agresif, dimana mereka kelihatan tidak berdisplin, tidak memberi perhatian dan mengabaikan tugasan yang di berikan serta lebih suka kepada bermain dan mengusik rakan-rakan lain.
* Faktor ketiga ialah cepat terpengaruh. Mereka lebih suka meniru gaya atau perwatakan orang yang lebih besar, biasanya ianya berlaku pada peringkat usia 2 tahun keatas.

Kebiasaannya pada usia 9 tahun sikap "hyper-active" mulai kurang kerana pada peringkat ini mereka sudah mulai berfikir dan ada sesetengahnya sudah mencapai akal baligh (dewasa). Namun jika masalah ini masih berterusan kemungkinan mereka menghadapi sindrom ADHD atau ADD. Kadangkala sindrom ini sukar di kesan di peringkat awal dan guru atau ibu bapa mengambil langkah mudah sekiranya masalah seperti menumbuk kawan, memukul haiwan, mengusik rakan dan perangai yang pelik di lakukan.

Keadaan seperti Attention Deficit Hyperactive Disorderi yang mana kanak-kanak tersebut bukan sahaja hyperaktif dan menunjukkan sifat degil, malah kurang daya tumpuan dan impulsif dan ini dikaitkan dengan kandungan Asid Dokosaheksanoik yang rendah dalam darah mereka. Kanak-kanak ini biasanya turut mempamerkan tahap pembelajaran yang rendah berbanding dengan rakan seumur mereka.

Apakah tanda-tanda ADHD

Kanak-kanak ADHD haruslah menunjukkan tingkah laku yang terdapat dalam tiga kategori utama yang sering berlaku dalam beberapa persekitaran seperti:

* di rumah,
* di sekolah dan sebagainya

1. Hiperaktiviti

* Kerap menggerakkan tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk.
* Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
* Selalu berlari ke sana ke mari atau suka memanjat dan pada kebanyakan masa kelihatan kekok
* Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
* Banyak bercakap
* Sering bergerak cergas atau kerap bertindak seolah-olah digerakkan oleh motor.

2. Tempoh tumpuan yang singkat

* Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan
semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
* Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
* Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
* Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
* Selalu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya)
* Tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lain
* Mudah lupa walaupun tidak sepatutnya jika mengikut usia dan keupayaan.

3. Tingkah laku impulsif

* Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
* Kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran
* Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
* Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan

Ini lah yang guru-guru selalu hadapi, apabila penumpuan pembelajaran mereka sangat singkat. Seorang guru itu dikira berjaya apabila dia boleh membimbing anak hyper aktif boleh duduk dan memberi tumpuan terhadap pelajaran hari itu jika melebehi 5 minit. Sebab itu anak-anak hyper aktif langsung tidak berminat untuk menonton cerita kartun.

Jadi pada ibu bapa boleh bezakan samada mereka itu hanya setakat hyper aktif atau tergolong dalam ADHD dengan menyuruh melihat kartun. Sekiranya mereka terlalu aktif pun, jika masih boleh dan suka menonton kartun, itu telah dikira baik dan mereka tidak tergolong dalam OKU.

Moralnya : jangan marah pada anak-anak yang suka tengok kartun.

Walaupun usia mereka sudah melebehi 15 tahun, sifat hyperaktif mereka tetap sama dengan tahap usia kanak-kanak normal yang berumur 4 ke 5 tahun. Sebab itu, perlukan kesabaran dalam mendidik mereka. Yang amat perlu bersabar ialah semasa mengawal tingkah laku mereka yang terlalu aktif , tidak boleh duduk diam, tidak boleh memberikan tumpuan terhadap pembelajaran dan sering mengusik kawan-kawan. Jadi , anda dianggap berjaya mendidik sekiranya anak-anak hyperaktif ini, boleh duduk mendengar dan mengikuti kelas anda selama 30 minit. Mahu mencuba? Serahkan diri ke kelas pendidikan khas sebagai guru relief selama 1 masa mengajar pun dah cukup. Cikgu tak payah mengajar, cikgu duduk sahaja untuk menarik perhatian dia mendengar cikgu bercerita.

Sekian entri kali ini, renungkan lah ini...

Firman ALLAH dalam Hadith Qudsi:

"Wahai hamba-hamba-KU! Aku telah berikan kurnia kepada kalian dan Aku telah meminta hutang,pinjaman dari kalian. Barangsiapa yg teLah memberikan sesuatu kepadaKU dari apa yg telah AKU kurniakan itu dengan taat,nescaya Kusegerakan(membalasnya) dalam waktu singkat(dunia) dan Kusimpan baginya untuk waktu mendatang(akhirat). Tetapi barangsiapa Kuberikan itu secara paksa ,namun ia bersabar dan berusha dengan ikhlas kerana ALLAH,nescaya Kuwajibkan pemberian hadiah dan rahmatKU baginya,dan KUcatatkan bahawa termasuk org yg dpt petunjuk dan Ku perbolehkan dia mendapat nikmati pandangan kepadaKu."
(H.R Rafi`i dari Abu Hurairah R.A.)


Impianku menjadi isteri solehah

Saturday, 31 October 2009

Anak Istimewa - Autisme

Entri hari ini berkaitan dengan mendidik anak-anak istimewa, autisme. Selama 5 tahun ummi bersama mereka di SMKTUN. Kerana rasa ingin melakukan sesuatu buat bekal di akhirat nanti, ummi telah membuat keputusan mengejut dalam diri ummi sendiri.

Sebenarnya memang tidak pernah terlintas difikiran yang suatu hari nanti ummi akan mengajar dan mendidik insan-insan istimewa ini. Bersama mereka, ummi dapat merasai kebahagiaan dan kasih sayang yang tulus dihati mereka.

Selepas peperiksaan SPM diumumkan, ummi terus memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Memang cita-cita dari kecik suka menjadi guru, maka ummi memohon kursus pendidikan di dua buah universiti tempatan. Aku pilih UTM dan UPM. Kedua-dua permohonan ini, ummi sempat dipanggil untuk melalui temuduga. Namun akhirnya ummi memilih untuk melanjutkan pelajaran di UTM, Jalan Gurney,Kuala Lumpur dalam bidang Integrasi Sains Serta Pendidikan, pengkhususan Fizik, Kimia dan Matematik.

Setelah tamat pengajian dengan memperolehi diploma , ummi ditawarkan untuk meneruskan hingga ke sarjana muda, tetapi ummi menolak kerana sedang hamil anak kedua. Setelah 3 tahun menganggur, barulah ummi dipostingkan ke sebuah sekolah di Kulai, Johor. Ummi berada di sekolah pertama ini selama 5 tahun, sebelum bertukar ke sekolah kedua di Taman Universiti, Skudai.

Ummi berada di sekolah SMKTUN ini selama 15 tahun. 10 tahun pertama berada di sini, ummi dilantik mengetuai organisasi pusat sumber sekolah. Semua yang berkaitan buku, peralatan ABM, APD, multimedia dan alat siar raya sekolah di bawah kawalan dan penyeliaan ummi. Subjek yang ummi ajar selama berada di sekolah ini hanyalah geografi tingkatan 3. Ramai juga tertanya-tanya bagaimana seorang guru geografi mampu mengendalikan alat siar raya sekolah. Sebaiknya yang mengendalikan alat siar raya ini adalah guru Fizik dan paling kurang guru sains.

Sebenarnya mereka tidak tahu kelulusan asal ummi di universiti dulu disebabkan ummi lebih banyak masa mengajar geografi. Bila dimaklumkan pengkhususan ummi semasa di universiti, barulah mereka faham. Memang bidang yang ummi ceburi ini berbeza dari ilmu yang dituntut semasa di universiti. Namun kerana minat dan merasakan ia satu tanggungjawap, maka segala berkaitan pusat sumber, buku, peralatan multi media, siar raya dan juga subjek geografi ummi belajar dari A-Z. Pengetahuan ummi zero, namun dengan kesungguhan ummi untuk menunaikan amanah, ummi pelajari tiap perkara dengan lapang dada dan hati terbuka.

Ummi jalani berbagai kursus, ummi pergi ke sekolah lain untuk bertanya, menuntut ilmu untuk menguruskan sebuah perpustakaan dan pusat sumber. Langsung ummi tidak malu untuk belajar dan bertanya pada sesiapa sahaja yang sudi untuk memberi tunjuk ajar. Ummi sering membuat lawatan ke sekolah-sekolah contoh dan pusat sumber negeri.

Memang tidak ummi sangka, dengan minat yang tinggi, dan sokongan zauj terhadap kerjaya ini, komitment ummi sendiri terhadap pusat sumber dan perpustakaan, ummi merasai kepuasan. Ummi lebih banyak berinteraksi dengan benda tidak bernyawa disamping pustakawan yang rajin membantu, sehingga hubungan ummi dengan mereka erat dan mesra.

Di ketika kemuncak ummi berada di organisasi pusat sumber sekolah, dan ummi sendiri telah di berikan kursus sehingga peringkat kebangsaan , pernah menghadiri kursus Literasi Maklumat oleh KPM, tiba -tiba ummi menukar haluan ke arah pendidikan khas.

Suatu hari, selepas solat zohor, tiba-tiba ada lintasan hati datang, menyebut pendidikan khas. Mulanya ummi tidak ambik hirau, tetapi suara hati menyebut pendidikan khas ini makin kerap, maka dalam diam , ummi pergi berjumpa dengan PK 1 sekolah, mohon dihantar berkursus pendidikan khas. (Ingatlah, bila datangnya lintasan atau suara hati menyuruh kearah kebaikan, maka bersegeralah ambil perhatian dan bertindak, ia cuma datang sekali sahaja.)

Sebulan selepas itu, ummi dipanggil menjalani kursus asas untuk mendidik anak-anak istimewa. Dalam kursus itu, ummi didedahkan dengan teknik dan kaedah , mengenalpasti anak-anak istimewa. Namun semua itu teori sahaja. Pengalaman sebagai guru biasa di kelas normal banyak membantu ummi dalam mendidik anak-anak istimewa ini .

Pada tahun berikutnya, 1 Januari 2005, ummi dilantik menjadi guru Pendidikan Khas untuk mengajar anak-anak istimewa. Rupanya kebahagiaan yang ummi temui bila berada disini. Walaupun perlu kesabaran yang tinggi bila bersama mereka tetapi hati ummi sentiasa lapang dan tenang. Bahagia mendidik makhluk Allah yang bertaraf wali, kerana mereka diturunkan ke dunia tanpa dosa hanya untuk menguji para keluarga,guru, sahabat, jiran tetangga dan saudara mara. Pendek kata mereka dijadikan untuk menguji insan sempurna seperti kita.

Ada berbagai kategori anak-anak istimewa ini, down sindrom, autisme, hyperaktif, william sindrom, mental retanded, palsy celebral dan slow leaner. Entri ini ummi khaskan bercerita berkaitan anak autisme. Anak-anak istimewa ini semuanya sangat rapat dengan guru-guru.

Mendidik anak istimewa autisme memang memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.Kita sukar untuk berkomunikasi dengan mereka. Mereka tidak memiliki perasaan,hidup dalam dunia tersendiri yang mereka cipta. Kita perlu memperuntukkan masa yang banyak untuk memahami kehendak mereka.Perlu membuat pemerhatian bagaimana untuk tackle mereka agar mahu menurut didikan yang ingin kita ajar.

Kadang kala mereka bertindak diluar dugaan kita,bertindak spontan dan tingkah laku jadi aggerasif apabila mereka diganggu oleh pelajar lain.Perlu memberi tumpuan individu apabila mendidik mereka untuk menulis dan menurut apa yang hendak kita ajar.


Mengajar anak-anak istimewa membuat croshtich,
satu kumpulan cuma 5 orang sahaja.


Disamping itu kita juga perlu memerhatikan bakat yang mereka miliki, apa yang mereka minat,agar mudah mengajar dan mendidik mereka. Contohnya, seorang pelajar autisme ummi mempunyai bakat dalam kerja seni,samada jahitan croshtich atau menggulung kertas untuk dibuat bakul atau kraf tangan. Cuma kita perlu memperuntukkan masa yang lama untuk mengajar mereka membuatnya.Kerja yang mereka buat sangat teliti dan kemas.


Ada antara anak autisme yang ummi ajar mempunyai keistimewaan boleh menyebut nama hari yang betul jika kita sebut suatu tarikh. Kita boleh pilih apa saja tarikh kedepan atau kebelakang dalam tempoh 50 tahun. Setiap tarikh yg kita beri,jawapan hari yang dia sebut mesti betul. Dia bukan ada jadual atau pun kiraan matematik pun.bila ditanya pada pakar,rupanya memang ada autisme memiliki keistimewaan ini. Jadi jangan kita pandang rendah kekurangan mereka kerana dalam kekurangan itu mereka dikurniaan keistimewaan oleh Yang Maha Perkasa.

Yang seorang lagi anak istimewa yang ummi didik mempunyai kelebihan dalam pengiraan umur. Dia ni rajin bertanya setiap orang yang ditemui,bilakah tarikh lahir. Lepas tu dengan pantas dia sebut umur orang tu dalam masa tak sampai 5 saat. Dah ramai orang yang menguji dia, termasuk ahli matematik.Pakar pun kata keistimewaan ini anugerah Tuhan. Rupanya dalam kekurangan ada kelebihan...

Teringat 4 tahun lepas, masa hari lahir 4 Februari 2005,bila kawan-kawan dari bilik guru buat surprised,datang ke kelas pendidikan khas bawa kek dalam kotak,coklat ,bunga dan hadiah.

Masa tu ada seorang anak autisme yang baru seminggu masuk daftar.Ummi pun belum lagi dapat mengenali perwatakan nya secara dekat lagi.Pelajarnya tidak berkomunikasi dengan sesiapa pun,tidak mahu berkawan, pendiam kerana tidak boleh bercakap, dan suka menyendiri.

Tiba-tiba bila nampak kek dan hadiah yang dibawa oleh kawan-kawan ummi, dia melompat dan bertepuk tangan,terus merampas hadiah dan dikoyakkan pembalut hadiah tersebut. Bunga dihancurkan. Lepas tu dia nak kek pulak, oleh kerana takut dia hancurkan kek tu, seperti bunga, ada pelajar lain larikan kek tu bawa keluar kelas. Dia mengamuk dan meronta-ronta menghentakkan kepalanya ke dinding sambil meraung-raung tanpa butiran perkataan.Dia mengamuk mencederakan diri sendiri.

Terkejutnya ummi, itulah pertama kali berhadapan anak autisme yang kronik.Di pujuk tak mahu, ummi peluk,tapi rupanya,walau pun perempuan, dia lagi kuat dari ummi. Masa tu ummi pakai gelang kristal pun direntapnya sampai putus. Kerana tak dapat mengawal keadaan dia,ibu bapa terpaksa dipanggil.

Diceritakan pada ibu bapanya, baru tahu bahawa anak ini tidak boleh lihat benda dalam kotak dan berbungkus. Bila nampak dia akan jadi aggesif. Tak tahu kenapa jadi begitu, mungkin ada sejarah masa lalunya. Tapi ibu bapanya tak mahu cerita punca dia jadi begitu. Selepas tu ibu bapanya bertindak memberhentikan nya dari sekolah.Sebagai guru, kami tidak mampu berbuat apa-apa jika itu tindakan ibu bapa. Kalau dilihat pada rupa paras,tak siapa tahu kekurangannya kerana rupanya sangat cantik,ayu dengan wajah kacukan. Tapi tiada siapa tahu rahsia Allah.

Semalam seorang anak autisme + hyperaktif,bernama Muaz Umair berusia 16 tahun,asyik bertanya;

" cikgu, mahram tu apa?"

" Muaz Umair, mahram tu mcm mak,kakak,nenek dan untie".

"Boleh pegang, ye cikgu"

" ye, muaz"

"muaz tak boleh pegang dan salam cikgu tau,
kita bukan mahram."


" cikgu, anjing tu haram ye?"

" ye, Muaz"

"boleh pegang anjing?"

"tak boleh, Muaz, anjing haram"

"pegang manusia,boleh tak cikgu?"

"manusia boleh pegang,manusia halal"

"Oooo...macamtu saya boleh la pegang cikgu,cikgu kan manusia,halal"

"yang haram, anjing"

"????"

apa ummi nak cakap lagi?
cara bercakap dgn mereka mesti lembut,
kena panggil nama penuh...
cuba baca dan panggil nama mereka dengan lembut,ada tona...
begitu lah cara mendidik mereka...
walaupun mereka ada kekurangan, mereka juga ada kelebihan untuk berfikir.
tapi mereka berfikir ikut logik.
Itulah kekurangan dan itu lah juga kelebihan.

Sekian untuk kali ini...


Sedang mengajar anak-anak istimewa memasang langsir yang telah dicuci. Mereka juga diajar cara membasuh pakaian menggunakan mesin basuh, menyidai pakaian dan mengosok menggunakan sterika. Mereka juga diajar memsak makanan yang simple dan mudah disediakan seperti masak nasi, membuat sandwich dan mengoreng telor.


Impianku menjadi isteri solehah