BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label isteri solehah. Show all posts
Showing posts with label isteri solehah. Show all posts

Friday, 17 May 2013

Lelaki Prihatin Berhati Mulia.




Majlis akad nikah
Saya bukan nak puji, cuma nak cerita saja. Kisah lampau saya tak tahu tapi dalam kita suka menilai seseorang berdasarkan luaran, sebenarnya tersembunyi sesuatu yang luhur di sanubari.

Ada satu kisah, seorang gadis yang ternoda dengan lelaki lain. Konon diperkosa oleh teman lelaki sekuliah. Lepas tu tinggal begitu saja tanpa mengetahui dia turut meninggalkan benih dalam rahim gadis. Janin kian membesar tetapi tidak disedari oleh gadis itu sehinggalah usia janin mencapai 3 bulan dalam kandungan.

Bila tahu air mata jadi teman. Semangat hidup sirna bagai senja berlabuh. Menunggu matahari tenggelam. Kebetulan bertemu dengan seorang lelaki lain yang agak prihatin. Bertanya kenapa dia jadi begitu. Sigadis pun bercerita perihal diri yang telah ternoda dan sedang membawa janin didalam rahimnya.

Setelah 2 bulan memberi perhatian kepada gadis ini, menimbulkan rasa sayang, dan berhasrat untuk memperisterikannya. Sedia melindungi gadis secara halal dan sah disisi agama.

Namun hasrat hatinya ditolak keluarga gadis, dan gadis dihantar ke rumah perlindungan wanita Baitus Solehah semata-mata untuk menggelakkan malu dan menjauhkan sigadis dari lelaki yang baik itu.

Namun sigadis bertindak protes, mengisytiharkan mogok lapar sehingga diri berada dalam keadaan murung.

Dari maklumat bisu sigadis diberikan satu nombor telefon. Rupanya nombor telefon lelaki prihatin itu. Dari situ saya mendapat pencerahan hujung pangkal cerita kenapa dan mengapa sigadis bertindak sedemikian rupanya. Hasil perbincangan dengan lelaki prihatin inilah yang membawa berlangsungkan akad nikah. Walaupun asalnya terdapat beberapa halangan kecil , alhamdullilah dapat diharungi.

Lelaki prihatin ini berstatus duda kematian isteri. Isteri pertama telah meninggal dunia. Isteri pertama merupakan seorang orang asal Semenanjung yang dia Islamkan terlebih dahulu. Setelah memperolehi seorang seorang anak perempuan, kiranya baru berusia 1 tahun, isteri meninggal dunia kerana lukemia. Sejak itulah lelaki prihatin ini selalu mendermakan darahnya ke Hospital Tengku Afzan.

Dia menjadi penderma tetap setiap 3 bulan. Jika lewat datang derma darah, pihak Bank Darah akan menelefon mengingatkannya. Group darah AB memang group darah yang sukar diperolehi.

Orang lain infak harta, dia infak darah. Darah tidak boleh dibeli atau dijual. Bukan semua orang layak untuk menderma darah. Ada pemurah nak derma darah tetapi tak boleh derma kerana ada masalah lainya. Zauj saya pernah suatu ketika memberi markah 10 % untuk kerja kursus kemasyarakatan kepada mana-mana pelajarnya yang menderma darah.

Dan kini lelaki prihatin sanggup melindungi gadis yang telah terlanjur dengan mengambilnya sebagai
rasmilah mereka sebagai suami isteri
isteri. Betapa mulia hati orang begini. Bila saya melihat sejarah lalunya, saya yakin dia benar-benar berhasrat melindungi gadis ini. Bukan kerana simpati semata-mata, tetapi memilik hati yang luhur seperti mana dia mengambil isteri pertama seorang gadis asal semenanjung untuk dilindungi sebagai seorang muslim. Rupa paras , bentuk tubuh bukan ukuran dan penilaiannya. Di samping sentiasa membantu pihak hospital dengan menginfakkan darahnya demi kehidupan orang lain.

Berapa ramai orang yang bersifat seperti lelaki prihatin ini? Mulia hatinya dalam pandangan Allah, moga-moga dikurniakan nur dan hidayah untuk membimbing anak dan keluarga barunya ini dijalan yang Allah redha.

Marilah ramai-ramai kita mendoakan kebahagiaan untuk dia keluarganya didalam rahmat Allah Ta'ala. Moga-moga isterinya menjadi isteri yang baik, kerana perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Taubat isterinya menjadikan dirinya bersih dan suci, layak dikahwini oleh lelaki yang baik.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 9 December 2010

Anniversaryku ke 26

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته






Maha Suci Engkau Ya Allah,Dengan penuh kesyukuran ku panjatkan ke hadirat MU Ya Allah,Hari ini 9 Disember 2010, genap 26 tahun usia perkahwinanku. Tiada lafaz yang mampu aku ukirkan, selain rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah Ta'ala.


Jam 11:00 pagi , 9 Disember 1984 aku selamat di ijab kabulkan oleh abah di rumah tok cik, mak tiri abah. Aku dinikahkan oleh Tuan Guru Along Haji Ehsan bin Haji Basyuni.Maharku sebanyak RM80.


Sebaik sejurus diijab kabulkan, suamiku dibawa bertemu dengan ku di dalam bilik pengantin. Aku menanti penuh debaran, dengan berbaju songket kebaya hitam dan bersanggul lintang dihiasi bunga-bunga di kepala. Tidak ada sesiapa pun yang bukan mahram dibenarkan masuk kebilik itu.


Memang sengaja aku tidak memakai tudung kerana ingin mempersembahkan wajah asliku yang pertama kali dilihat oleh suamiku. Sebelum diijab kabulkan, aku dengan suamiku hanya bertemu beberapa kali sahaja. Itu pun pertemuan tanpa sengaja dari jarak jauh. Hanya sekali sahaja pertemun yang diatur,ia itu semasa berta'aruf kali pertama.


Sebelum taaruf, dan selepas taaruf,aku memang tidak pernah kenal langsung suamiku. Maklumat yang dikhabarkan pada kali pertama hanya nama,umur dan asal kampung halamannya sahaja.


2 minggu selepas taaruf, aku telah pun dipinang dan ditunangkan. Selepas bertunang sahaja,barulah suami ku mengutus surat,memaklumkan biodata diri. Sungguh formal bahasa di dalam surat-surat kami, teramat jauh bahasa ayat-ayat cinta.


2 bulan selepas bertunang,kami di ijabkabulkan. Alhamdullilah hari ini genap 26 tahun usia pernikahan kami.


Sebaik terjaga dari tidor, aku sudah teringatkan tarikh ini. Tak ada apa yang terlintas di dalam minda sebarang rancangan bakal dibuat pada hari ini. Jam 10:12 minit pagi,aku call zauj di pejabat,untuk wish anniversary kepadanya. Kelemahan zauj ku dari dulu ialah mengingati tarikh-tarikh penting. Tarikh lahir diri sendiri pun ,zauj tak pernah ingat,apatah lagi tarikh-tarikh penting yang lain. Sebab itu, aku sebagai Pembantu peribadi bertugas mengingat semua tarikh-tarikh penting kepadanya.


Ketawa zauj bila ku ucapakan "Selamat Ulang Tahun Pernikahan Yang Ke 26". Terus zauj tanya,"apa plan hari ni?" "Belum terlintas difikiran bang..."


Apa ya?....




Kiranya selepas bernikah, hubungan kami sangat intim penuh kasih sayang.Ibarat orang bercinta, dan cinta itu subur hingga hari ini. Indah dan mengasyikkan. Rumah tangga yang kami bina penuh dengan rahmat dan kasih sayang.

Dan memang ini doa yang selalu aku lafaz, panjatkan kehadirat Allah SWT;

Ya Allah,
Aku pohon pada MU,

Kurniakanlah
ke atas rumah tangga ku ini,

Kerukunan, kedamaian,
ketenangan,
Keselamatan,
Kesejahteraan, Kebahagiaan

di dalam redha MU,
rahmat MU
dan kasih sayang MU,

hingga akhir hayat ku,

di dunia dan di akhirat.


Kekalkan jodoh ku ini

hingga akhir hayatku
di dunia dan akhirat.

Satukan hati kami

dengan kasih sayangMU

Suburkan cinta kami
dengan
rahmat dari MU
Limpahkan hati kami berdua
dengan
ketenangan dan redha MU.

Ya Allah,
Kurniakan kepada aku,
zauj dan anak-anakku
Iman yang sempurna,
akhlak yang terpuji
Pekerti yang mulia
Satukan kami sekeluarga
dengan ikatan akidah
dan kasih sayangMU.

Ameen...

Inilah doa yang selalu terdetik dihati ummi tidak kira bila masanya. Asal teringat sahaja zauj, terus ummi berdoa di dalam hati samada ketika tengah malam, ketika masak, ketika memandu, ketika sakit atau ketika sihat. Pendek kata selalu berdoa begini di dalam hati.


Catatan pada 9 Disember 2009 : Ulangtahun ke 25 Usia Perkahwinanku

Kisah pernikahan ku  :  Pernikahan ku


Kisah Perjalanan Rumahtangga ku  :  Memori Indah Seorang Isteri





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.







Tuesday, 7 December 2010

Hijrah Dalam Membina Bahagia Rumahtangga

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Bagaimana hijrah di dalam keluarga dan rumahtangga anda? Adakah masih mahu membiarkan keadaan rumahtangga yang beku dan dingin kepada rumahtagga hangat dan membahagiakan? Hijrah ke arah itu perlu agar rahmat dan kasih sayang melimpah-limpah...


Jika selama ini keadaan rumahtangga selalu gersang, beku dan kaku,cuba berhijrah membentuk sebuah rumahtangga yang nyaman, bercahaya dan ceria. Selalu tersenyum, banyakkan bersedekah, rajin menjamu tetamu dengan makan minum. Rahmat dan berkat akan melimpah ke atas rumahtangga yang sering dikunjungi oleh tetamu.


Sebab itu jangan mengeluh atau merungut jika ada tetamu datang tidak kira masa dan ketika apa pun. Tetamu yang datang itu sebenar hadiah dari Allah. Allah yang menggerakkan hatinya untuk bertandang ke rumah kita. Setiap tetamu yang datang pasti bersama rezeki dari Allah,beriring dengan doa. (Bukan tetamu tu yang bawa rezeki).


Makanan yang kita hidang menjadi berkat. Meraikan mereka menjadi kesukaan Rasullulah. Sesuai dengan doa yang kerap ummi lafazkan mohon, "Ya Allah, tanamkan dalam hati ku ini rasa kasih sayang dan cinta kepada MU dan Rasul MU. Bantulah aku untuk mentaati MU dan Rasul MU."


Sunnah meraikan tetamu, jika Rasullulah suka meraikan tetamu,suka memberikan tetamu makan,maka itulah yang kita ikut. Di situ ada keberkatan dalam rumahtangga. Tambahan sekiranya tetamu yang datang mohon untuk tumpang bersolat. Itu juga satu keberkatan dan rahmat dari Allah. Jadi ini hijrah paling ringan untuk kita amalkan. Kita mulakan dengan kerap menjamu jiran,sahabat dan saudara dengan makan minum untuk mengeratkan ukhuwwah dan silaturahim. Hijrah yang lain-lain tu kita ansurkan secara perlahan-lahan.


Bagiamana kisah hijrah bermula? Ikuti seteruskan tulisan ringkas ummi ini di Laman Forum Halaqahnet.


Diawal berkembangnya agama Islam,setiap manusia yang mentauhidkan Allah wajib berhijrah.Hijrah dari menyembah berhala kepada menyembah Allah Yang ESA. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’


Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam hari ini ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari muka lebih baik dari hari sebelumnya.


Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat


Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.


Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya.


Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, merupakan suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masa depan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.


Kita hanya tahu menyebut perkataan hijrah, tetapi tahukah kita dari mana,bagaimana perkiraan hijrah itu bermula dan diambil?


Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, perpindahan dari Makkah ke Madinah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun dari semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.



Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara.


Walaupun Madinah kecil sahaja di waktu itu-kecil dari segi geografi, kecil dari segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu-Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.


Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza dari segi uslub dan perintah-perintahnya. Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar dari hijrah ini tercapai.


‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul...’



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 23 November 2010

Memori Indah Seorang Isteri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Suatu ketika dulu, dari sebelum berkahwin lagi ummi memang suka pada satu kisah isteri sahabat ini. Dan selalu ummi juga bercita-cita untuk menjadi seperti isteri sahabat ini.


Kisahnya adalah tentang seorang isteri yang merahsiakan anaknya telah meninggal dunia,  sedangkan ketika itu suaminya tiada di rumah. Apabila suaminya balik pada malam itu, dilayannya dahulu suaminya sehingga suaminya lena kepuasan, esoknya baru dikhabarkan akan kematian anaknya.



Kebetulan ummi terdengar sedutan ceramah Ustaz Mohd Khazim Elias, nostalgia lalu menyinggah di memori. Ingin benar  ummi menjadi seperti  isteri itu. Sebab  itu sepanjang 26 tahun kehidupan berumahtangga, sebelum  menyampaikan apa-apa khabar  pada suami,  akan ummi fikirkan apakah sesuai dan perlu disegerakan khabar  itu dimaklumkan, walaupun zaman ini  ada telefon  untuk  memudahkan berkomunikasi.  Ummi  akan lihat situasi kerja suami,  dimana dia ketika itu dan kewajaran  untuk diberitahu.  Semua  ini bergantung kepada kebijaksanaan seorang isteri. Jika perkara  itu boleh ditangguhkan, khabarkan saja bila suami telah balik ke  rumah. Jangan ketika suami bekerja di luar. Ikut seperti mana isteri sahabat  itu lakukan kepada suaminya.









Apabila ummi dipilih Allah untuk berkahwin awal, sedaya upaya, ummi berusaha mendidik diri untuk menjadi cahaya mata suami. Seorang isteri yang apabila suami melihat, hatinya rasa berbunga   dan  bahagia.


Ummi selalu menjadi tangan kanan suami di dalam apa jua urusan kehidupan. Menjadi seperti tongkat basikal. Menjadi penasihat peribadi, menjadi perancang ekonomi, pengurus kewangan, menjadi setiausaha sulit apabila ada borang-borang yang perlu diisi, menjadi tukang urut, menjadi tukang masak, menjadi cleaner dan paling utama menjadi pelayan yang dilanggani setiap malam.


Sejak berumah tangga, suami tidak pernah isi borang cukai pendapatan, isi borang Sasaran kerja Tahunan (SKT), bayar bil-bil bulanan, tidak pernah tahu bagaimana urusan pembelian rumah, bagaimana berhelai-helai  borang perlu di isi jika berhajat memohon pembiayaan samada melalui bank atau pembiayaan kerajaan untuk pembelian rumah  atau kereta. Hatta, isi borang untuk menunaikan haji. 


Seorang isteri  perlu memaklumkan kepada suaminya tarikh-tarikh penting didalam kehidupan berumahtangga. tarikh ulang tahun perkahwinan, tarikh kelahiran anak-anak, tarikh temujanji dengan doktor, hatta tarikh  jemputan walimah sahabat-sahabat suami juga. Cukup untuk seorang suami ingat tarikh dan masa untuk kelas yang dia  akan masuk mengajar, kelas pengajian Kitab-kitab, tarikh dan masa mesyuarat yang berkaitan kerjayanya. Begitu  juga dengan tarikh tamat lesen memandu, tarikh tamat cukai jalan dan takaful kenderaan. Semua itu isteri yang perlu ingatkan. Inilah yang dikatakan menjadi penasihat peribadi dan setiausaha suami.


Suami penat bekerja, selain tenaga, minda mereka juga penat memikirkan segala perkara yang berkaitan ummah. Seorang isteri hanya memikir di dalam skop yang kecil di dalam keluarganya. Maka kadar kepenatan minda itu berbeza.


Adakah ummi tidak penat? Sedangkan ummi juga bekerja, sebagai pendidik. Selain menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah.


Seorang isteri harus bijak membahagikan masa, antara kerjaya dan rumah tangga. Apabila keluar rumah untuk bekerja,gunakan sepenuh masa di waktu kerja menyelesaikan apa jua yang bersangkutan kerja di tempat kerja. Jika tidak perlu, jangan bawa balik ke rumah kerja itu.


Sepanjang ummi bertugas sebagai guru, ummi jarang bawa balik buku-buku untuk ditanda di rumah. Ummi gunakan sepenuh masa senggang ketika di sekolah untuk menyelesaikannya. Di sekolah, ummi tak ada masa nak borak kosong begitu sahaja. Masa ummi lebih berharga dari intan permata. Ummi hanya bawa balik buku rekod mengajar untuk ditulis catatan mengajar untuk hari esoknya. Itu pun akan ummi tulis ketika semua kerja rumah telah selesai, ummi curi masa tidur ummi sendiri di tengah malam.


Namun kejayaan seorang menjadi isteri solehah, bergantung kepada didikan suami juga. Kerjasama, sokongan dan bimbingan itu yang mendorong kejayaan seorang isteri mendidik dirinya sendiri menjadi solehah.


Dengarlah contoh yang ustaz Mohd Khazim sampaikan itu. Redha dan syukur seorang isteri dengan kehidupan bersama suami adalah buah kepada kebahagiaan. Redha dan syukur dengan kehidupan seadanya, walaupun tidak punya apa-apa, namun kasih sayang yang dibelai dan dibajai sedari akad nikah sudah cukup membina syurga dalam rumah tangga.


Apa yang dilihat hari ini di dalam rumah tangga ummi, adalah bermula dari zero, baik dari segi kasih sayang, material dan ilmu rumah tangga. Ummi tidak ada pengalaman dalam pengurusan rumah tangga, semasa bernikah tidak ada persediaan untuk berumah tangga. Dari selepas akad nikah berusaha belajar dan mencari pengalaman berumahtangga. Sentiasa berusaha membaca,memerhati dan bertanya.


Mencintai dan berkasih sayang dengan suami sebaik selepas di akad-nikahkan. Selepas bernikah,baru mengenali suami, baru berani memandang wajahnya.


Semasa akad nikah, kami tak punya sezarah pun harta. Tak ada apa-apa melainkan pakaian yang mak ayah belikan. Harta pertama ummi miliki ialah mahar sebanyak rm 80 yang suami berikan. Dengan wang itu,ummi bersama suami memulakan kehidupan. Ummi redha wang itu digunakan untuk kegunaan bersama. Alhamdullilah, dari saat itulah kehidupan ummi bermula, mendapat rahmat Allah dan keberkatan dariNYA.


Dan untuk menjadi kuat seperti hari ini,berbagai ujian, dugaan dan rintangan perlu dilalui. Allah tidak akan meningkatkan darjat seseorang melainkan dengan memberikan berbagai-bagai ujian. Kecik atau besar ujian itu, bergantung bagaimana kita menerimanya. Tabah,kuat dan sabar adalah adunan 3 serangkai untuk meningkatkan iman.


“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;“Kami telah beriman,” (“I am full of faith to Allah”) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” -Surah Al-Ankabut ayat 2-3



Jangan fikir, kehidupan ummi tidak pernah diuji. Hanya ujian setiap manusia itu berbeza antara satu sama lain. Dan Allah berikan ujian itu kerana Allah Maha Mengetahui yang dia mampu untuk menghadapinya. Allah tidak akan biarkan hambaNYA begitu sahaja jika hamba itu tetap sabar, redha dan bersyukur dengan apa yang dicubakan ke atas dirinya.


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. “
- Surah Al-Baqarah ayat 286


Dan perlu diingat juga,Allah datangkan ujian bukan sahaja untuk orang itu, tetapi juga untuk orang-orang yang berada di sekitarnya. Jika orang itu diuji dengan sakit, apakah keluarga,jiran tetangga akan membantu? Jika diuji dengan kematian, adakah keluarga redha?


Dan dari ujian-ujian itulah datangnya ganjaran dan bonus sebagai saham di akhirat nanti. Semoga semua kita berusaha untuk merebut dan membeli saham-saham itu sebagai bekal di sana nanti.


Sekian...entri nostalgia dari ummi. Semoga bermanafaat untuk kita menjalani kehidupan ini.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 12 January 2010

Bunga Cinta Seorang Isteri


Hati ini berdebar-debar , namun seperti terasa kepuasan sebagai seorang isteri apabila suami telah mengucapkan redhanya kepada ku sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya.

Tidak ada apa lagi cita-citaku sekarang ini selain mengharap redha, rahmat dan kasih sayang Allah sebelum, semasa dan selepas kematian ku. Impian ku menjadi isteri yang suami redhai telah tercapai apabila suami telah melafazkan.

Itulah bahagia seorang isteri.Apabila dimarahi isteri perlu diam, apabila ditanya, jawap secara berhemah. Bila berkata-kata selalu fikir adakah kata-kata ku lunak untuk didengar atau akan menyakitkan hatinya.

Untuk menjadi isteri yang suami redha, tidak semestinya perlu sambut di depan pintu apabila dia balik ke rumah atau mahu pergi bekerja. Memang sebaiknya begitu, tetapi kadang-kadang kala kita juga ada kelemahan,tanpa sedari, mungkin ketika dia balik ke rumah kita sedang di bilik air atau sedang bekerja. Tidak sama zaman dahulu lagi untuk mendapat redha suami dengan sambut suami depan pintu, sebab setiap orang dah ada kunci pagar dan rumah sendiri. Nak masuk pagar rumah tak payah nak minta orang bukakan pintu, boleh buka sendiri.

Yang penting seorang itu sentiasa menyenang dan memudahkan urusannya.Apabila kita selalu memudahkan urusannya, selalu menjadi tangan kanannya, selalu menjadi pembantu peribadinya, selalu jadi setiausahanya, maka apabila ketiadaan kita, dia akan terasa. Macamana nak tahu, mudah sahaja, minta ke pasar dan pesan barang-barang lebih dari 2 jenis. Pasti suami tak ingat, dan akan call tanya semula apa barang yang mahu dibeli.

Sebab itu jika suami selalu minta tolong isteri uruskan hantar dan ambik anak-anak dari sekolah, atau bayar bil atau isi borang income tax atau apa-apa borang, maka buatlah dan isilah borang dengan lapang dada walaupun kita sebuk. Banyak manafaatnya bila kita menjadi tangan kanannya. Dan jika ada tarikh-tarikh atau perkara penting selalu kita yang ingatkan kerana dia akan terasa kita ini ibarat pembantu peribadi dalam semua urusan.Jangan kita kata, suami tu manja, atau tidak pandai berdikari atau tidak perihatin terhadap tarikh-tarikh penting atau nombor akaun bank atau nombor kad pengenalan kita.

Ini kerana bila kita sakit atau kita tak ada, dia seperti terasa patah tangan, seperti kehilangan, dan bila ini menguasai dirinya, secara senyap dia menghargai kehadiran kita walaupun tidak pernah mengungkap melalui kata-kata.

Selalu perempuan bangga jika dapat suami yang tahu serba serbi, suami tahu segalanya, sangat berdikari,maka jika kita tiada dia tidak rasa apa-apa kekurangan,maka tak ada apalah yang mahu dia kenang dan ingat pada kita lagi.

Oleh itu, jadilah tangan kanan suami dalam apa jua urusan hidupnya. Kita jadi kaunselor, jadi setiausaha, jadi tukang urut, jadi tukang picit, jadi co-pilot, jadi perancang kewangan dan sebagainya. Lakukan dengan ikhlas, maka jiwa raga kita akan bahagia dan ceria. Begitulah jika mahu menjadi isteri yang suami redhai.

Tidak semestinya kita ini seorang yang waraq baru dapat title isteri solehah, kuat ibadah, kuat beramal,yang penting kita menjadi seorang isteri yang sabar di hati dan syukur pada wajah. Pakej lengkap untuk jadi isteri yang suami redha ialah Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki. Jika isteri itu waraq, kuat beramal ibadah dan berjariah itu lagi lah baik dan dikira bonus kepada seorang suami atas kejayaan mendidik isterinya.

Dan ini pakej lengkap untuk menjadi isteri solehah dan diredhai suami, yang baik untuk diikuti semua para isteri. Bukan mudah kerana suami juga ada hati dan perasaan. Inilah tugas utama seorang isteri untuk dapat title solehah apabila diredhai oleh suaminya.Ummi titipkan di sini untuk dijadikan ia panduan dan pedoman semua para isteri.


Ciri-ciri isteri solehah

- Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya.(boleh juga isteri yang mempunyai pendapatan share dengan suami, tanpa isteri ego dengan gajinya yang tinggi)

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab, suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).

- Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri.

- Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami.

- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan pelbagai hal yang tidak wajar.

- Berusaha menambah ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

- Mempunyai sifat redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah, "Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik. Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka, bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah menjadikan kebaikan yang banyak." (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain amat disenanginya. (Hadis sahih).

- Membantu dan menolong suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap kedua-dua ibu bapanya.

- Bersedia menjadi penyokong kuat kepada perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w., Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh kasih sayang.

- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti doa Nabi Daud a.s.: ``Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku dan urusan akhiratku.''

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri salehah, ingatlah hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.” (Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Begitulah, untuk menyediakan diri sebagai isteri solehah, hati kita hendaklah sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang rabbani.


"Dialah Allah dilangit dan dibumi.Dia mengetahui yang kamu rahsiakan dan yang kamu lahirkan dan mengetahui apa2 yang kamu usahakan" (Al- An'am: 3)



Impianku menjadi isteri solehah,mencintai,
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

Wednesday, 9 December 2009

Ulangtahun ke 25 Usia Perkahwinanku

Alhamdullilah ku panjatkan syukur, sampai juga tarikh ini 09/12/09 di dalam hidup ku. Masuk saja tarikh ini jam 12:00 tengah malam, terus aku menulis di sini. Sekian hari aku menunggu tarikh ini, genap usia perkahwinan ku yang ke 25 tahun.

Dari jam 10:30 malam aku terasa mengantuk, penat, aku rehat dan lelapkan mata sekejap dengan harapan nanti apabila menghampiri jam 12:00 tengah malam aku boleh terbangun. Nyata, jam 11:21, aku terjaga dan bangun duduk menghadap komputer ini. Sempat aku menerbitkan satu artikel bertajuk Manusia Unggul di Laman Utama Halaqah.net.

Entah kenapa tarikh ini ku nanti pada tahun ini. Pada tahun-tahun sebelumnya, tidak pula pernah aku nantikan. Aku tidak tahu kenapa pada tahun ini aku rasa suatu keistimewaan, mungkin juga angka 25 itu agaknya. Orang kata Jubli Perak. Bermakna aku menyambut Jubli Perak perkahwinan ku pada tahun ini.

Apa yang mahu aku buat malam ini? Muhasabah diri dan rumah tangga? Merenung kembali segala suka duka yang telah dilalui bersama zauj ku ini selama 25 tahun bersama dengan nya. Mengimbas kembali kenangan-kenangan hidup dari mula zauj bernikah dengan ku hingga saat ini dalam melayari bahtera rumah tangga.

9 Disember 1984, bersamaan 15 Rabiul Awal 1405 H , hari Ahad, jam 10 :30 pagi rasmilah sudah aku menjadi isteri apabila abah menikahkan aku di rumah sebelah( Rumah Tok Cik/isteri muda arwah atuk).

Selepas bernikah, zauj datang bertemu dengan aku di dalam bilik pengantin, aku hulur tangan untuk bersalam dan zauj mencium dahi ku. Pernikahan gadis zaman dulu tidak sama pernikahan gadis zaman sekarang. Aku tidak mendengar pun lafaz ijab dan kabul semasa akad nikah. Pengantin perempuan hanya duduk dalam bilik menanti pengantin lelaki datang menjenguk ke bilik apabila selesai akad nikah.

Mula awalnya, aku menanti di dalam bilik dengan berpakaian kebaya songket hitam , rambut disanggul tinggi serta bercucuk sanggul lintang. Aku berpakaian demikian kerana menanti zauj untuk melihat aku dalam keadaan tanpa tudung. Ya lah...untuk pertama kali zauj nak lihat wajah isteri tanpa tudung. Namun tidak pula aku bersolek tebal macam di andam. Aku cuma memakai bedak nipis, mencalit sedikit pewarna merah di bibir. Tak adalah aku pakai bulu mata palsu atau pemerah pipi atau pembayang mata biru.

Selepas saja zauj melihat wajah asliku , cepat-cepat zauj suruh pakai tudung hitam labuh kerana adik lelakinya sebagai jurugambar nak ambik gambar. Hari perkahwinan ku, tanpa ada pelamin, kami cuma bergambar berdua sebanyak 3 keping sahaja. Gambar itulah yang ku simpan hingga hari ini. Aku besarkan saiznya sedikit, dan ku gantung di tepi tangga laluan turun dan naik rumah.

Saja je gantung gambar tu di situ, buat kenangan kepada anak-anak. Melihat wajah ummi ayahnya ketika muda. Moga mereka boleh mengambil teladan keadaan rumah tangga ummi ayahnya yang tidak pernah berlaku sebarang pertengkaran atau pergaduhan. Ini yang aku ingat, sepanjang usia perkahwinan ku, aku tidak pernah bergaduh dengan zauj. Orang kata sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Antara aku dan zauj, tidak pernah tergigit lidah. Sentiasa manja dan harmoni. Apatah lagi jauh untuk bertengkar.

Masih ingat lagi, hiasan kamar pengantinku, baldu merah menyala. Simple saja hiasannya.Memang samada walimah dan persiapan kamar tidur, persiapan diri sebagai pengantin, sangat sederhana. Memang aku agak naif dan daif dari segi persiapan untuk berkahwin,maka aku tidak tahu apa-apa perlu disiapkan.

Mana tidaknya, 3 hari sebelum walimah untuk bernikah, aku baru habis peperiksaan akhir semester 1 ketika aku di tahun 2, UTM. Sebaik habis exam, terus aku balik ke rumah, ditemani sahabat baikku Norlida Ali. Sampai di rumah, terus aku di inai pada malamnya. Kiranya ketika aku sampai di rumah, semuanya telah siap, aku cuma perlu hulur tangan untuk diinaikan.(Sebenarnya betapa rapatnya aku dengan Norlida, sehingga aku pernah terniat untuk berpoligami dengannya. Rasa macam nak ajak dia bernikah juga bersama dengan ku ketika itu.)

Pada hari pernikahan tu, ramai sahabat-sahabat dari aku sekolah rendah, menengah hingga aku di universiti yang datang. Kiranya, antara kami semua, aku terawal bernikah.Sahabat pun suka, tambahan sahabat semasa di universiti, lagilah nak datang meraikan, kerana aku berkahwin dengan pensyarah mereka. Pensyarah subjek Pendidikan Islam, subjek wajib universiti dimana semua pelajar wajib ambil, tidak kira muslim atau non-muslim.

Mereka tertarik dengan cara perkahwinan ku yang tidak langsung bercinta. Aku dan zauj hanya mula berkenalan selepas bertunang dalam tempoh 3 bulan sahaja. Itu pun kami berkenalan melalui surat. Kiranya berutus suratlah. Cuma aku tidak ingat adakah surat ku itu melalui pos atau melalui tangan (by hand).

Langsung aku tidak ingat bagaimana cara kami berutus surat tu.Tapi tak banyak mana pun surat-surat yang aku terima, sekadar surat untuk mengenalkan diri sendiri sahaja. Tak ada surat-surat yang isinya meluahkan perasaan.Tapi surat begitu pun, sudah membuat dada ku berdebar tidak terkira disaat membacanya. Maklumlah surat dari seorang tunang. Yang membuat aku jadi berdebar ialah, cuma perkataan yang zauj guna bahasakan dirinya , sebagai 'abang'.

ihks..ikhs...memang berdebar. Hati mula bercambah sayang, tapi tidak terlahir dan terzahir. Rupanya itu hikmah bertunang.Walaupun tidak kenal, tidak jumpa melainkan masa berta'aruf sahaja, boleh membuai rasa dan menimbulkan perasaan kasih sayang.

Sebab itu sebaik bernikah, terus rasa nak peluk zauj dan zauj pun kata,kalau tidak ada orang di bilik pengantin ketika itu, mahu dikucupnya bibir sebab seumur hidupnya dia belum pernah menyentuh mana-mana perempuan,apatah lagi untuk mencium.

Kiranya selepas bernikah, hubungan kami sangat intim penuh kasih sayang.Ibarat orang bercinta, dan cinta itu subur hingga hari ini. Indah dan mengasyikkan.Rumah tangga yang kami bina penuh dengan kerukunan dan kebahagiaan.

Dan memang ini doa yang selalu aku lafaz, panjatkan kehadirat Allah SWT;

Ya Allah,
Aku pohon pada MU,

Kurniakanlah
ke atas rumah tangga ku ini,

Kerukunan, kedamaian,
ketenangan,
Keselamatan,
Kesejahteraan, Kebahagiaan

di dalam redha MU,
rahmat MU
dan kasih sayang MU,

hingga akhir hayat ku,

di dunia dan di akhirat.


Kekalkan jodoh ku ini

hingga akhir hayatku
di dunia dan akhirat.

Satukan hati kami

dengan kasih sayangMU

Suburkan cinta kami
dengan
rahmat dari MU
Limpahkan hati kami berdua
dengan
ketenangan dan redha MU.

Ya Allah,
Kurniakan kepada aku,
zauj dan anak-anakku
Iman yang sempurna,
akhlak yang terpuji
Pekerti yang mulia
Satukan kami sekeluarga
dengan ikatan akidah
dan kasih sayangMU.

Ameen...

Inilah doa yang selalu terdetik dihati ummi tidak kira bila masanya. Asal teringat sahaja zauj, terus ummi berdoa di dalam hati samada ketika tengah malam, ketika masak, ketika memandu, ketika sakit atau ketika sihat. Pendek kata selalu berdoa begini di dalam hati.




Impianku menjadi isteri solehah

Saturday, 19 September 2009

KELEBIHAN MENJADI ISTERI SOLEHAH

Mulianya seorang isteri disisi Allah…

Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri ini pada keluarga, suami dan anak-anak Rugi dan binasalah suami-suami yang tidak menghargai isteri mereka kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak.

Biarlah buruk mana isteri anda, sayangilah mereka…..

Beruntungnya seorang wanita yang ada rahim ini ialah dia bekerja dengan Tuhan… sebagai pengeluar manusia.

Tiap-tiap bulan diberi cuti bergaji penuh… 7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang tetapi Allah anggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya.

Cuti bersalin juga sehingga 60 hari. Cuti ini bukan cuti suka hati tapi cuti yang Allah beri sebab dia bekerja dengan Allah.

Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang...sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya.

Satu lagi berita gembira untuk wanita, Sepanjang dia mengandung Allah sentiasa mengampunkan dosanya, Lahir saja bayi seluruh dosanya habis.

Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita, jadi kenapa perlu takut nak melahirkan anak?

Marilah kita pegang kepada tali Allah. Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap mati syahid, Allah izinkan terus masuk Syurga. Untuk orang kafir dia tak dapat masuk Syurga.

Untuk peringatan semua wanita yang bersuami seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung.

Diakhirat nanti seorang wanita solehah akan terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia
terima di atas segala kebaikan suaminya yang tak disedari. Contohnya bila dia redho suaminya pergi berjemaah di masjid atau ke majlis ilmu, bersedekah.. ganjaran Allah ke atasnya jua..

Didunia lagi, kalau suami dalam kesusahan isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat.
Kalau seorang isteri asyik merungut,mulut selalu muncung terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini.

Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat di dalam dan di luar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik dia akan tanggung ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain..

Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat Allah agar tidak derhaka denganNya.

Sesungguhnya wanita dijadikan daripada rusuk kiri lelaki...

Dia bukan dicipta dari kepala ke kaki,juga bukan dari tapak kaki.Dia dicipta dari sebelah rusuk kiri lelaki supaya dia hampir kepada kamu(lelaki), lengan lelaki dicipta untuk mempertahankan wanita,dekat dengan hati lelaki untuk disayangi.


Impianku menjadi isteri solehah