BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �
Showing posts with label penyakit hati. Show all posts
Showing posts with label penyakit hati. Show all posts

Saturday, 27 December 2014

Solat Boleh Mencegah Perbuatan Mungkar


Solat Boleh mencegah perbuatan mungkar
Zaman ini zaman fitnah, fitnah berleluasa, dimana-mana. Ia bermula apabila solat ditinggalkan. Ramai zaman ini orang tidak menegrjakan solat 5 waktu. Malas, tidak tahu, sebuk, leka, tidak penting, ambil mudah dan tidak takut pada hukum dan azab Allah diakhirat nanti menyebabkan mudah sahaja solat ditinggalkan.

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain.

Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.

Menurut satu kajian, 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit.

Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek

Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam.

Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak.

Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak.

Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Apakah punca sebenar ramai yang tidak mendirikan solat?

Tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan solat, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan solat. Manusia lebih peka menumpukan kepada mencari keperluan dunia sehingga mengabaikan keperluan akhirat sedangkan Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah Allah Ta'ala.

Maka didiklah anak untuk mengerjakan solat sejak masih kanak-kanak lagi. Masih belum terlewat jika ada ibu bapa yang tidak pernah mengerjakan solat untuk diri sendiri belajar mendirikan solat. Carilah sesiapa sahaja yang boleh mengajar mendirikan solat asalkan tidak ada malu untuk bertanya dan belajar.

Tidak ada apa yang dapat menyelamatkan kita di dunia dari sebarang fitnah dan perkara mungkar melainkan dengan mendirikan solat. Solat menjadi benteng pertahanan kepada dirinya dari terjebak dalam kancah maksiat. Solat juga melindungi diri dari tipudaya syaitan dan manusia berhati syaitan.

Dalam surah Al-Ankabut, ayat 45,


ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)
Bermakna, 
 "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."







Dengan mengerjakan solat berterusan, iman kita terpelihara, maruah kita terjaga, jiwa kita tenang dan lapang. Tidak ada orang yang mendirikan solat dengan sempurna akan merasa gundah gulana memikir akan kesusahannya ketika di dunia ini. Semuanya yang dilalui redha belaka.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 24 December 2014

Hakikat Sedekah Mneyelamatkan Diri Sendiri

Sedekah Menyelamatkan Diri Sendiri
Tahukah sahabat semua bahawa kita memberikan sedekah atau sumbangan kepada insan lain seperti orang fakir, miskin, orang yang ditimpa musibah itu sebenarnya untuk menyelamat diri kita sendiri sebenarnya. Bukan sahaja kita menolong orang susah, menyelamatkan orang, hakikatnya untuk menyelamatkan diri sendiri dari sifat tamak, bakhil,loba dan membersihkan hati dari sifat tercela.





Berikut ini beberapa dalil yang menyatakan dengan bersedekah, hidup seseorang itu diberkati dan dimurahkan rezekinya.

Sedekah Menjadi Sebab Allah Membuka Pintu Rezeki

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Diberikan pahala yang banyak, menyelamatan kita dari terjerumus ke neraka.

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)

Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman ‘Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?’ Nabi Ayub mejawab ‘Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu’. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Kekayaan bukanlah sesuatu yang harus diidam-idamkan oleh seseorang Islam kerana kekayaan boleh membawa kerosakan kepada seseorang sekiranya tidak menurut jalan yang betul. Islam lebih melihat kekayaan dari segi kekayaan jiwa. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa. (Sahih Muslim.)

Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 13 February 2013

Hati Putih Dan Hati Hitam




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hati putih hati bersih

Ada hati putih ada hati hitam.

Hati putih adalah hati yang sihat, dipenuhi sifat terpuji dan kebaikkan.

Hati hitam adalah hati yang disaluti dengan sifat tercela dan kekotoran. Boleh juga sebut hati mati.

Sebab yang membawa kepada matinya hati ialah :

Cintakan dunia
Lalai daripada mengingati Allah
Menggunakan anggota untuk melakukan maksiat.


Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia, berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya, kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan bakhil dengan harta dunia.


Untuk dapat hati putih kena selalu bersihkan, apabila sudah bersih, kena selalu gilap dan beri supleman. Salah satunya ialah sifat pemaaf akan membersihkan hati, memberi ketenangan Jiwa.


Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan.



Memaafkan Ketika Mampu Balas Dendam

Allah berfirman dalam Hadits Qudsi:

Nabi Musa telah bertanya kepada ALLAH: "Ya Rabbi! Siapakah di antara hambaMu yg lebih mulia menurut pandanganMu?" ALLAH berfirman: "Ialah orang yg apabila berkuasa (menguasai musuhnya),dpt segera memaafkan". (HQR Kharaithi dari Abu Hurairah R.A)


Dalam perperangan Uhud. Nabi SAW mendapat luka pada muka dan juga patah beberapa giginya. Berkata salah seorang sahabat: "Cubalah Tuan Berdoa agar mereka celaka".


Nabi Muhammad menjawab:"Aku tidak diutuskan untuk melaknat seseorang,tetapi aku diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan sebagai rahmat". Lalu beliau menadah tangannya kepada ALLAH Yg Maha Mulia dan berdoa: "Ya ALLAH,Ampunilah kaumku kerana mereka tidak mengetahui."



"sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada segumpal darah, jika baik baiklah seluruhnya,jika tidak tidaklah seluruhnya. Ianya tidak lain tidak bukan adalah hati" (HR Bukhari dan Muslim)







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 22 March 2011

Boleh Makan Kuah Kari Ayam?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Entah kali keberapa dah ummi menulis bab hati, masih tak jemu dan masih ada lagi peringatan-peringatan yang ingin dikongsikan bersama. Kali ini tajuk entri langsung tidak menampak apa yang ummi ingin kongsikan ini berkaitan dengan hati. Mungkin pembaca fikir ummi nak kongsi resepi masakan...


Selain menyajikan bacaan untuk orang lain, sebenarnya apabila sendiri menulis, ia secara tidak langsung menyampaikan peringatan buat diri sendiri. Bukan mudah untuk mensucikan hati dan bukan mudah menjaga hati tanpa usaha, ikhtiar , doa dan tawakkal.


Keikhlasan melakukan apa saja bermula dari hati. Niat yang selalu orang sebutkan berkata dan berbisik di hati. Jadi untuk melakukan apa sahaja dengan ikhlas mesti memiliki hati yang bersih. Dan siapa yang menilai keikhlasan itu? Hanya Allah Ta'ala. Sebab itu apa yang kita lakukan hanya kerana Allah sahaja.



Bersabda Rasulullah SAW :
“Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Al Bukhari & Muslim)


Bagaimana menjaga hati agar selalu bersih?



Firman Allah :
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.” (Al Maidah : 88)



Rasulullah SAW bersabda,
“ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)”


Itu adalah sabda Rasulullah SAW mengenai sesiapa yang mengambil sesuatu yang haram dan memasukkan ke dalam tubuhnya.


Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sedar bahawa benda yang kita makan itu haram maka kita akan berdosa dan hati kita akan gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubhat itu kita makan, tanpa diketahui bahawa benda itu haram dan syubhat maka kita tidak berdosa tetapi hati kita yang dibina dari makanan itu tetap akan gelap.


Atas dasar itulah Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah-muntah, setelah dia mengetahui bahwa makanan itu sumbernya adalah syubhat. Amirul Mukminin itu merasa cukup takut bila makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa, "Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku."


Hal ini menunjukkan betapa, perkara haram itu memberikan bahana yang besar terhadap seorang mu’min. Samada kita tahu atau tidak tahu perkara itu haram, maka yang haram tetap haram, tetap memberikan kesan terhadap hati kita. Kita tidak berdosa jika memakan makanan haram tanpa kita ketahui keharamannya, tetapi hati kita tetap terbina dari perkara yang haram itu.


Hari ini, manusia menjalani kehidupan tanpa menitik beratkan perkara ini. Manusia berjalan tanpa memandang akan besarnya perkara ini. Mereka makan apa yang mereka mahu, mereka mengambil duit dari segala sumber tanpa mempunyai sensitiviti dalam perkara halal haram.


Bagi mereka, sapa ada kisah? Mereka pun tak kisah sebab yang lapar aku, anak-anak aku. Aku susah, ada sapa nak tolong? Lagi pun kubur masing-masing.


Hakikatnya mereka tidak sedar, memasukkan perkara-perkara haram, seperti makanan, mahupun membeli makanan dari sumber duit yang haram, akan memberikan kesan kepada hati kita.



Rasulullah SAW bersabda, “Hati itu dibina dengan apa yang dimakan.”


Maka sumber makanan kita juga perlu dijaga kerana makanan yang bersumberkan dari sumber yang haram sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada hati kita.


Imam As-Syafi’e Rahimullah ‘alaihi pernah berkata, “Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap.”


Justeru, penjagaan hati ini adalah perkara yang utama. Hati kita adalah segumpal darah yang mengandung sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu berasal dari makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih dan halal mengikut syariat Islam, maka sel dan zat itu juga bersih sehingga hati kita juga akan bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor, haram dan syubhat, baik benda itu haram atau wang yang digunakan untuk membelinya haram, maka sel dan zat-zat besi, atau zat-zat yang membina hati kita itu kotor, busuk dan gelap.


Hati seperti wadah yang terbuka. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik dari Allah sebab Allah tidak akan memberi taufik dan hidayah kepada hati yang kotor. Sama halnya kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam piring yang kotor. Apalagi taufik dan hidayah dari Allah itu sangat tinggi harganya.


Bila hati tidak dapat melihat kebenaran maka tidak akan terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang dan didikan dari Allah, tidak terasa anugerah, penjagaan, pengawasan dan pembelaan Allah. Kalau hati tidak mendapat hidayah dan taufik lagi maka kita akan menjadi orang yang sesat dan selalu terlibat melakukan maksiat dan mungkar.


Kalau kita pergi ke pasaraya, bahan masakan atau makanan yang ingin kita beli tiada tanda halal, tiada pula kawasan yang menyatakan tidak halal dan sebagainya, maka kita perlu lebih sensitif mengenai penjagaan halal haram ini. Sebaiknya jika tiada keperluan ataupun darurat, maka lebih digalakkan untuk kita memasak di rumah. Apabila memasak pula , pastikan bahan masakan itu dari sumber yang halal. Hal ini kerana, keadaan itu sudah jatuh kepada keadaan syubhah. Menjaga diri dari syubah adalah amat dituntut.


Memastikan kehalalan bahan itu bukan sahaja isi kandungan tetapi kaedah juga perlu diambil kira. Contoh ayam. Memang ayam dan daging lembu orang Islam boleh makan,tetapi jika penyembelihan tidak ikut syariat,haram juga. Daging burger,sosej, bebola daging dan lain-lain yang berasaskan ayam dan lembu.


Pernah ummi ditanya oleh salah seorang anak angkat mualaf ummi yang mengikuti delegasi sukan ke India. Semua atlet yang datang adalah bukan Islam. Hanya dia seorang Islam, tetapi tidak ada sesiapa pun yang tahu dia Islam. Dibawa oleh penganjur untuk makan di sebuah restoren. Sudah semestinya tidak ada label atau logo halal. Dalam hidangan yang disajikan terdapat kari ayam. Memang dia ragu-ragu dengan ayam itu, dikhuatiri tidak disembelih ikut syariat Islam, jadi dia tidak ambil ayam. Dia hanya ambik roti dan kuah kari. Namun terdetik hatinya rasa ragu-ragu.


Segera dia telefon ummi di Malaysia bertanyakan hal ini. "Boleh kah makan kuah kari ayam? Ayam tu saya ragu-ragu penyembelihannya, jadi saya tidak ambik, kuahnya boleh makan? Saya nak cicah roti."


Mudah saja ummi jawap,"ayam tidak disembelih ikut syariat ibarat bangkai. Kuah itu adalah kuah bangkai ayam. Lalukah nak makan?" Hujungnya baru ummi jawap,tak boleh.


Maka sepanjang dia di sana dia cuma makan roti dengan jem yang dibawa dari Malaysia. Begitu prihatin dia menjaga makan minumnya walaupun masih baru mengenal agama Islam.


Alasan tidak pandai memasak bukanlah satu alasan yang kukuh untuk dijadikan sebagai keadaan darurat. Untuk mengejar redha ALLAH SWT, kita sendiri perlu berusaha keras mengikuti perintahNya. Allah SWT tidak ingin sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Justeru kita sendiri perlu berusaha mengikuti apa yang diaturkan olehNya.


Jika kita tidak pandai memasak, maka berusahalah belajar memasak. Moga usaha kita itu, untuk menjaga kebersihan hati kita bagi memudahkan taqarrub kita kepada ALLAH akan diterima sebagai salah satu amal ibadah. Sesungguhnya ALLAH amat mengasihi hamba-hambaNya.


Mengenai penjagaan dari perkara-perkara syubhah ini, Rasulullah SAW ada bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram..." (H.Riw Bukhari dan Muslim).


Namun ramai yang ambil mudah kepada hadith ini, lalu menutup sebelah mata dan tetap juga memasukkan perkara-perkara syubhah dalam kehidupan mereka. Sedangkan keadaan ketika itu lebih cenderung kepada yang haram, kerana kita bukan di negara Islam, tambah pula yang memasaknya bukan Islam, itu belum lagi termasuk dengan bahan yang digunakan.


Akhirnya alasan darurat juga digunakan. Semua mengambil contoh dibolehkan memakan babi oleh Islam untuk membolehkan mereka makan di tempat-tempat syubhah.


Tetapi tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan darurat di dalam Islam? Darurat itu membawa maksud, jika tidak melakukan perkara itu, maka kita tidak akan dapat melakukan perkara lain. Contoh, kalau tidak makan babi itu ketika itu, maka kita akan mati. Maka bolehlah kita memakan makanan tersebut. Kalau sentuh air ketika itu, maka tubuh kita akan tumbuh gatal-gatal yang memeritkan. Maka bolehlah bertayammum.


Adakah kita sudah mencapai tahap sedemikian untuk mengambil perkara-perkara yang syubhah, sedangkan perkara yang jelas halal masih banyak di sekeliling kita?



Allah SWT berfirman, "(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Al-A'laa : 16-17)


Itulah sebenarnya yang ada dalam hati dan jiwa kita. Langsung tidak ada kekuatan dan kesungguhn untuk berusaha mendapatkan makanan yang halal.


Makanan kita membina hati kita. Kita sepatutnya sensitif dalam menjaga hati kita. Hati adalah bejana keimanan, hati juga adalah ibu kepada pemikiran kita. Kalau rosak hati kita, maka rosaklah segala kehidupan kita dalam menjadi hamba yang baik kepada ALLAH SWT.


Sesungguhnya, kesukaran yang kita hadapi dalam menjauhi perkara-perkara haram dan syubhah, akan Allah bayar atas kesungguhan ketaatan kita kepadaNya. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli dari orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.” (At Taubah : 111)

Kesukaran kita akan dibayar oleh ALLAH SWT. Itu adalah sesuatu yang pasti.

Maka jagalah hati kita dengan menjaga diri kita dari dimasukkan sesuatu yang sumbernya haram atau syubhah.


Hidup ini untuk mendapat keredhaan Allah SWT!


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 6 March 2011

Secebis Ingatan Di Jalan Dakwah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات




Benar, jalan dakwah walaupun luas, namun bukan semudah itu untuk kita menarik, mengajak yang benar-benar tulus untuk ikut sama berdakwah. Walaupun ditunjukkan jalan, diberikan bimbingan tetapi masih juga dengan berbagai-bagai alasan untuk menolak.


Itulah perjuangan. Perjuangan yang kecil pun perlukan mujahadah. Ramai orang pandai bercakap, pandai menulis, tetapi pelaksanaan? Hampeh... Akan ada berbagai-bagai alasan.


Terkenang ummi, kisah burung kecil yang membantu memadamkan api takkala api membakar Nabi Allah Ibrahim.


Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.




Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.




Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”



Kita? Apa yang kita lakukan untuk dakwah dalam menyebarkan agama Allah? Menyebarkan agama Allah bukan semestinya mengajak orang bukan Islam memeluk Islam, tetapi mengajak orang yang sudah dilahirkan Islam mengenal agama Islam dan mengamalkannya.


Betapa ramainya yang mengaku beragama Islam tetapi cara hidup jauh dari amalan yang disyariatkan oleh agama Islam.


Islam itu dagang dan akan kembali dagang. Islam itu datangnya membawa perbezaan dan kalau Islam itu diamalkan kembali, ia juga akan membawa perbezaan. Islam itu lain daripada yang lain. Ketika awalnya dahulu, Islam itu terpinggir, jauh tersisih dari cara hidup orang-orang Arab jahiliah. Di akhir zaman juga ia terpinggir. Cara hidup Islam yang sebenar jauh tersisih dari cara hidup umat Islam di zaman jahiliah moden ini.



Al-Quran itu dinamakan Al furqan atau “yang membezakan”. Siapa yang mengamalkan Al Quran, cara hidupnya akan berbeza dengan orang yang tidak mengamalkan Al Quran. Siapa yang banyak meninggalkan Al Quran, maka Islamnya tidak syumul.


Dan inilah dakwah, mengajak mereka-mereka yang jauh tersasar dari jalan yang lurus untuk kembali mengamalkan syariat Islam. Melaksanakan rukun Islam dan berakhlak mulia. Memurnikan hati agar apa-apa yang dilakukan ada nilai dan kualiti di sisi Allah Ta'ala.


Ramai juga insan yang dikelilingi kemewahan hidup namun hatinya bagaikan gersangnya dipadang pasir. Kosong, hambar, tawar, panas dan pelbagai lagi keresahan yang mencengkam jiwa. Wang berjuta, pakaian mewah, kereta mewah berderet, isteri-isteri yang jelita, anak-anak yang ramai dan pelbagai lagi tidak menjamin dapat rasa bahagia dan tenang. Justeru apakah nilai sebenar yang mampu menyejukkan hati dan menyamankan jiwa?



Nilai yang dapat mengisi jiwa manusia hakikatnya tidak terpahat pada kilauan berlian, kerlipan emas, kejelitaan wajah dan lain-lain. Oleh itu dimanakah kita dapat mencarinya? Apakah nilai yang membahagiakan itu sebenarnya tidak wujud atau ia sengaja disembunyikan kerana takutkan sesuatu?



Lantaran itu jangan lah kita tertipu ibarat seorang yang sedang kehausan dipadang pasir dengan kilauan Fatarmorgana yang disangkakan air.



Fatamorgana itu dihidangkan kepada rakyat dengan semakin hebat oleh media massa hari ini. Semakin mendekati kiamat, semakin galak media massa cetak, elektronik dan maya menonjolkan fatamorgana untuk menghilangkan ‘dahaga’ ruh masyarakat. Nilai yang hakiki disembunyikan atau sekadar dijadikan kosmetik buat mengelabui mata rakyat.






Fatamorgana terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia mengenai kebaya bertatah berlian dan permata yang bakal masuk senarai Guinness World of Records. Ia diperagakan oleh penyanyi Datuk Sheila Majid.






Dalam laporan tersebut, Datuk Sheila Majid menyatakan perasaannya, "Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya".






Sepatutnya kenyataan tersebut mengungkapkan, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini kerana terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat. Meskipun ia mahal namun aurat saya jauh lebih berharga dari nilai baju jutaan ringgit itu. Aurat saya adalah rahsia serta maruah saya sebagai wanita muslim. Sekali-kali saya tidak akan tukarkannya dengan sedikit nilai duniawi yang tidak mendapat tempat di sisi Allah”.






Ungkapan itu jika diluahkan dari hati berjiwa hamba kepada Allah akan memberi nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang berjuta sekalipun. Inilah hati yang mewah dengan iman. Inilah jiwa taqwa yang bernilai ekslusif di sisi Allah swt. Sepatutnya kenyataan seperti ini lah yang diucapkan apabila beliau menghubung kaitkan dengan nama Allah. Sedihkan...






Apalah sangat kebaya jutaan ringgit jika disebalik kilauan permata dan berlian itu hanya terdapat murka Allah. Kemurkaan itu bukan setakat fesyen pakaian yang mendedahkan aurat bahkan juga pada pembaziran yang dibuat semata-mata untuk sepasang baju! Baju itu tetap juga namanya kebaya, apa guna jika nyawa terancam. Kalau rasa nyawa tak terancam kenapa harus ada polis mengawalnya, ini bermakna nyawanya senilai harga kebaya itu sahaja .



Jika ditanya siapa yang mahu bertemankan syaitan, saya percaya ramai yang tidak sanggup. Tapi siapa yang mahu berdekat dan berbaik dengan Allah, pasti ramai yang mahu. Namun sekadar berteori di lidah tidak bertulang, tiada maknanya. Sedangkan perbuatan kita menurut apa yang syaitan suka.



Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai adik-beradik syaitan. Wah... hebat... bukan setakat bersahabat, bahkan sudah ada ikatan silaturrahim secara rasmi sebagai adik - beradik.




Allah berkata dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27,
"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing serta janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."


Alangkah baiknya jika nilai jutaan ringgit itu dibelanjakan buat golongan fakir dan miskin yang masih ramai tidak memiliki kediaman.


Lihat, ramaikan yang bijak berkata-kata walaupun mereka tidak tahu dan tidak melakukan apa yang mereka kata. Ibarat tin kosong, makin kuat bunyinya bila disepak atau ditendang.


Bila disarankan, diberikan jalan untuk melakukan kebaikan, kebajikan, bijak memberikan alasan untuk menolak. Bila diminta membantu, bukan sendiri yang ingin merebutnya, tetapi menuding jari supaya berikan orang lain membuatnya. Pelikkan? Nak diberikan hadiah, tetapi menyuruh berikan hadiah itu kepada orang lain.


Tidakkan terfikir di dalam benak kepala, bahawa setiap apa yang dilakukan dengan tulus, ada nilai di sisi Allah, walaupun usaha yang sedikit. Jika tidak mampu untuk menyumbang sesuatu yang besar, sedikit pun cukuplah. Apa yang mahu dijawap di sisi Allah nanti, jika ditanya, sekian haribulan, ada seseorang minta pertolongan, tetapi kamu menolak dengan berbagai-bagai alasan. Paling sadis, ada yang jawap tak sempat nak buat sebab nak menonton TV ShinChan. Umur dah menjelang 20 tahun, masih berfikiran kanak-kanak seusia 5 tahun!


Bilakan akan tersedar anak-anakku? Rebutlah peluang yang kecil ini,walaupun ganjaran nya kecil, tapi di sisi Allah amatlah bernilai. Masih ingat kisah seorang yang bakhil, hanya pernah sedekah secebis kain kepada seorang fakir, sedangkan dia mempunyai berpasang-pasang pakaian cantik dan kain yang secebis itulah yang menyelamatkan dia dari bakaran api neraka.


Ini kisahnya...

Gadis yang terbakar tangannya
PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.


"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.


Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"


"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.


Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."


"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.


"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.


"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.


"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.


"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.


"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.


Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.


Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.


Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.


Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".


Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."


Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.


”Dakwah dusta!” Dakwah dusta. Dakwah dusta. Di jalan cinta para pejuang, mari kita hati-hati terhadap jebakan syaitan. Karena yang tampak indah selalu harus diperiksa dengan ukuran kebenaran. Bangunlah wahai anak-anak, jangan lah selesa dengan apa yang dirasai sekarang.



Kisah Teladan di Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Sumber kisah Burung: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 4 July 2010

Erti Bahagia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




 
Keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.




Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.


Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.



Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!


Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.


Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.


Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.


Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.


Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.






Erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “


Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.


Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.








Perkongsian sumber dari Genta Rasa

Friday, 2 October 2009

Menguruskan masa yang berharga

Hari ini tidor ku cuma sekitar 3 jam sahaja. Ada tempahan mutabak daging sebanyak 300 keping untuk jamuan Hari Raya staf UTM. Intinya daging kisar telah dimasak tengah hari semalam. Tugas aku cuma memasukkan bahan-bahan ramuan masakan.

Sekira menggunakan serai, lengkuas, bawang merah, bawang putih, halia, rempah-rempah, cili kisar, maka tugas aku yang mengadunnya, menentukan kuantiti banyak mana perlu dimasukkan. Begitu juga asam dan garamnya. Pembantu, anak-anak cuma perlu menyediakan bahan dan memasak sahaja lagi setelah semua bahan tumisan dan ramuan telah aku masukkan. Sedap atau tidak sesuatu makanan bergantung kepada bahan-bahan ini, kuantiti yang sepatutnya di masukkan ke dalam masakan.

Zauj menebar murtabak, Mahfuz tolong memasak di atas plat. Mereka mula menebar dari jam 2:00 pagi. Jam 8:00 pagi baru siap menebarnya. langsung diambik oleh staf FTI yang lain untuk di hidangkan kepada tetamu. Kuahdalnya aku buat pada jam 2:30, sambil merebus kacang dal, aku boleh bersolat dan memantau halaqahnet.

Tadi jam 9:30 aku dapat panggilan telefon dari staf FTI, makanan pertama yang dapat sambutan dan habis ialah murtabak. 40 minit sahaja murtabak dah habis. Jamuan hari raya ini melibatkan semua fakulti di UTM dan dihadiri oleh semua staf UTM.

Aku memang minat memasak. Dari kanak-kanak seawal usia 9 tahun lagi aku telah belajar memasak melalui pemerhatian dan suka menolong mak di dapur. Bila remaja, aku mula memasak sendirisambil bertanya itu ini agar apa yang aku masak betul bahan dan caranya.Kesukaan aku ialah memasak lauk pauk dan kuih tradisional.Sebutlah kuih apa pun, lopez, seri muka, tepung talam, bingka ubi,pulut panggang, lempeng, kasui, kasturi dan macam lagi kuih tradisional.Yang peliknya, kenapa aku tidak berminat untuk belajar dan membuat biskut modern dan kek. Memang aku surendder untuk memasak kuih modern ini.

Memang sejak dari kahwin, aku tidak suka membeli makanan yang dah di masak. Masa aku tahun 2, dah terpaksa tinggal menyewa di luar(tahun satu di UTM, makanan disediakan di dewan makan dan wajib tinggal di asrama)aku membeli dapur minyak tanah dan peralatan memasak seperti periuk kecik, kuali kecik dan segala yang kecik-kecik. Aku masak untuk makan sendiri. Kadang-kadang kawan serumah pelik tengok jenis masakan yang aku masak, walaupun ringkas tetapi tradisional. Aku sanggup bangun awal untuk masak dan makan sebelum ke kuliah.

Bila dah kahwin, dapat pula zauj yang juga pandai memasak, maka lagilah kami tidak suka membeli makanan yang telah dimasak. Kadang-kadang tu, dah penat balik kuliah, sampai rumah, takada makanan, aku masak ringkas sahaja, goreng ikan bilis bersama bawang dan cili api. Itupun zauj berselere sangat makan. Katanya yang penting masakan air tangan isteri, ringkas pun sedap.Memang benar, petua orang tua-tua,untuk menambat hati suami adalah melalui perutnya. Walau berada dimana, pasti suami akan teringat masakan isteri di rumah jika memang dari awal perkahwinan, isteri dah tambat tekak suami dengan masakan air tangan isteri.

Walaupun saban tahun aku bergilir antara hamil dengan menyusukan anak, aku tetap ada masa untuk memasak. Sehingga mempunyi lima orang anak, aku masih tidak mempunyai pembantu rumah. Semua kerja rumah, memasak, mengasuh dan mendidik anak-anak aku dan zauj saja yang buat. Zauj memang banyak membantu meringan kerja aku. Balik saja sekolah, sudah pasti anak akan menuntut haknya, menyusu susu ibu. Maka apabila sampai rumah, aku akan pastikan bersolat zuhor dulu, sebelum aku berbaring untuk menyusukan anak yang telah diambil dari rumah penjaga.Maka zauj yang akan tolong aku memasak dan menyediakan makanan keluarga.

Dalam menguruskan rumah tangga,aku akan atur masa dan jadual sebaik mungkin. Aku akan bangun seawal jam 4:00 pagi untuk menguruskan kain baju yang akan dicuci,sementara menuggu mesin basuh siap mencuci, aku menyediakan sarapan dan bekal untuk anak-anak bawa ke sekolah. Ketika anak-anak tidur, aku dapat buat kerja dengan pantas. Setelah menyediakan makanan, aku akan sidai kain, kemas tempat tidor dan menyiapkan diri pula. Jam 6:00 baru aku kejutkan anak-anak untuk bersiap pergi sekolah. zauj akan hantar aku dan anak-anak ke sekolah. Sejak anak sulong hingga kini, kami tidak pernah menggunakan perkhidmatan bas sekolah. Pernah juga aku bertanya, "kenapa tidak dicarikan bas sahaja untuk anak-anak ke sekolah?" Zauj jawap, "sebab ayah dia dulu, hari-hari hantar dia ke sekolah naik basikal. Kalau basikal rosak, dia jalan kaki. Ada keberkatan bila ayah yang hantar anak ke sekolah."

Begitu juga dalam bab memohon sesuatu. Sekarang zaman kerja yang dibuat mesti dicatatkan dan ditunjukkan kepada orang atasan untuk menilai kenaikkan gaji. Kalau nak jawatan professor madya, perlu isi borang mencalonkan diri. walau dipujuk oleh kawan-kawan dan ketua jabatan,a\zauj tetap tidak mahu isi. Bila aku tanya, zauj jawap, "selama hidup dia tidak pernah meminta apa-apa pun dari ayahnya, dia malu.Kalau nak apa-apa minta dengan tuhan. "Jadi begitu juga dengan pencalonan kenaikan pangkat yang perlu di isi borangnya, seseolah dia meminta dari manusia.Zauj kata dia malu dengan tuhan". Pernah,masa untuk dilantik menjadi Ketua Jabatan Pengajian Luar, PP jabatan minta dari untuk mengisi maklumat borang.Aku yang mengisi borang itu berdasarkan surat-surat jemputan ceramah, seminar, bengkel dan aku menyenaraikan semua kertas kerja ,penglibatan dalam kemasyarakatan.Pendek kata tugas aku bukan sekadar isteri dan ibu, tapi sebagai setiausaha peribadinya dalam urusan kerjaya.Sampaikan zauj tidak tahu untuk isi borang income tax, borang pinjaman perumahan atau pinjaman kenderaan.

Begitu juga, apabila mahu ke pasar, pasti zauj ajak aku pergi bersama-sama.Tidak kira aku sarat hamil atau pun lepas bersalin.Bila habis saja tempoh berpantang, bayi kecil akan aku kendong secara ikatan jawa guna kain batik panjang, agar mudah aku bergerak di kawasan pasar.Memang banyak hal-hal aku lakukan berdua. Sebab itu,walupun cuti sekolah lama dan panjang tempohnya, aku tidak pernah balik kampong untuk meninggalkan zauj berseorangan di rumah.Zauj tidak pernah mahu berjauhan dengan aku sejak berkahwin lagi. Maka sebab itulah dari anak sulong hingga ke 10, aku tidak pernah balik kampung bila tiba waktu bersalin dan berpantang. Zauj akan merawat dan menjaga aku sepanjang tempoh berpantang itu.zauj yang akan mandikan bayi baru lahir hingga berusia sebulan,zauj menyediakan makanan aku dan anak-anak,mengemas rumah dan semuanya. Kalau waktu tempoh aku dalam pantang, memang zauj pula yang kena bangun awal untuk mengambil alih tugas-tugas aku sebelum pergi bekerja.Selesai melakukan semua kerja, memandikan bayi dan memnyediakan makanan untuk aku yang baru lepas bersalin.

Bila anak-anak dah besar,semasa tinggal di Taman Sri Pulai, jiran belakang rumah telah mengadakan majlis perkahwinan. Kami baru pindah dan hadir untuk rewang. Oleh kerana kami berdua suka memasak, maka kami rewang di dapur bersama tukang masak. Berkenalan lah kami denga tukang masak ini sambil membantu apa yang patut. Mula-mula kami cuma memerhatikan sahaja tukang masak ini menyediakan bahan dan masak nasi dan lauk brayani.Mungkin tukang masak itu menyedari keprihatinan kami, maka sambil di menumis, dia bercerita tentang ramuan dan kaedah memasak nasi brayani, daging brayani, ayam masak osthmoth(merah),dalca dan acar.Dia mengajar dan menunjukkan langkah demi langkah kepada aku dan zauj. Selepas majlis perkahwinan hari itu, bila ada saja majlis perkahwinan di tempat lain, beliau akan mengajak kami bersama-sama untuk rewang. Satelah beberapa tahun kami membantu beliau memasak, hingga kami juga pandai memasak nasi dan lauk brayani.

Sudah 3 kali Ramadhan, aku berniaga di Bazaar Ramdhan UTM menjual nasi brayani, nasi tomato dan nasi jagung. Resepinya aku ubah suai saja dari nasi minyak.Menang sambutan luar dugaan. Mungkin niat kami juga, berniaga dan beramal untuk membantu pelajar -pelajar berbuka puasa.Makanan yang kami jual habis sebelum azan maghrib.Ada suatu masa aku dan zauj ambik 2 tapak lot niga di Bazaar Ramadhan. Zauj berniaga murtabak , aku berniaga nasi brayani. Kami ambik 3 orang pelajar UTM menjadi pembantu. Memang berniaga ini meyeronokkan dan rezekinya sentiasa ada. Itulah kelebihan jika mepunyai kemahiran dibidang lain selain kerjaya hakiki.Semasa kami berniaga, waktu kerja hakiki tidak kami ganggu. Perniagaan bermula jam 5:00 petang setelah habis waktu pejabat.

Aku mula memasak sebaik waktu balik sekolah jam 1:00 tengah hari. Sebelumm itu pembantu rumah sudah menyediakan bahan-bahan untuk aku memasak.Zauj akan uli tepung gandum untuk jadikan doh, selepas sahur. Jadi penyediaan bahan, memasak dan berniaga tidak mengambil masa kerjaya hakiki. Sebab itu dalam diri manusia perlu ada sifat amanah dan jujur. Sebenar tidak ada siapa pun yang tahu samada kita jujur atau amanah dengan masa kerjaya hakiki kita melainkan Allah.Satu lagi kenapa zauj tertarik untuk berniaga murtabak ialah, rasa kasihan terhadap pembeli yang membeli murtabak dari peniaga yang tidak membasuh telor terlebih dahulu.Dalam kuliah harian, setiap pagi zauj ada kelas tazkirah hadith, zauj selalu tegaskan peri pentingnya menjaga makanan samada dari kehalalan sumber dan juga kebersihan penyediaan makanan dan masakan. Apa yang kita makan akan menjadi darah daging dalam diri kita.Zat makanan meresap dalam darah dan hati menjadi saringan semua zat-zat makanan. Sebab itu ada hadith rasullulah yang bermaksud “ Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging, daging itu baik maka baiklah seluruh anggota, jika daging itu rosak, rosaklah seluruh anggota” Riwayat Bukhari.

PENYAKIT HATI DAN TIPS RAWATAN

Penyakit hati ialah satu penyakit yang akan melahirkan sifat tercela, sekiranya tidak dirawat ia akan merosakkan sifat-sifat kemanusiaan dalam dirinya dan akan memudaratkan orang lain.

سُوۡرَةُ البَقَرَة
فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ۬ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضً۬ا‌ۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمُۢ بِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ (١٠)

Surah Al-Baqarah , ayat 10 yang bermaksud:
"Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)."

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, budi pekerti yang keji itu adalah penyakit hati dan jiwa, penyakit yang menghilangkan kehidupan abadi yang akan terhalang daripada memperoleh keredaan Allah azzawajalla.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh resah”. (Al-Ma’aarij: 19). “Dan adalah manusia itu bersifat terburu nafsu.” (Al-Isra’: 11). “Dan manusia itu banyak membantah.” (Al-Kahfi : 4)

Alangkah banyaknya orang yang berpenyakit hati tetapi tidak ramai orang yang mencari ubat untuk menyembuhkannya.

Penderitaan penyakit zahir jika tidak diubat akan semakin parah, akhirnya membawa kematian jasad. Penderitaan penyakit batin jika tidak diubat juga akan semakin parah, akhirnya akan membawa kepada mati hati.

Orang yang mati jasad, tamatlah hubungannya dengan manusia yang lain, tetapi orang yang mati hati, akan tetap berjalan, bertemu manusia, mempengaruhi manusia lain dan akan terus menderita dengan sakitnya.

Mudah-mudahan kita terus dibimbing untuk menjadi hambaNya yang soleh dan solehah.