BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 28 February 2011

Cuba Renungkan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Tidak ada sesuatu yang Allah ciptakan itu sia-sia. Setiap satu kejadian ada hikmahnya. Setiap makhluk yang dijadikan ada tuntutan yang perlu dilaksanakan. Begitu juga tuntutan manusia diciptakan.


Terdapat 3 tugas sahaja yang dituntut Allah terhadap penciptaan manusia di alam dunia ini. Tuntutan yang diciptakan pun tidak mendatang sebarang kemegahan atau kemudaratan kepada Allah jika manusia itu melaksanakan atau mengabaikan.


3 tugas manusia di alam dunia ini...


1. sebagai hamba Allah
2. sebagai khalifah
3. mengimarahkan bumi


Memang kita tidak boleh lari dari melaksanakan  tugas ini. Kalau kita degil pun, yang rugi dan mendatangkan kemudaratan serta kerugiaan adalah diri sendiri, bukannya sesiapa.


Sebabnya...


Kita berada di alam dunia ini bukanlah lama mana, masih ada 3 alam yang perlu kita tempuh walaupun tidak pasti bila akan berakhirnya kita hidup di alam dunia ini.


Sebaik berakhirnya hidup kita di alam dunia,kita mula melangkah ke alam barzakh. Kita berada di sini hinggalah kiamat terjadi. Lama mana di sini, tak ada sapa yang tahu. Sama seperti saat kita dilahirkan di alam dunia selepas berasa di alam rahim, tidak kita ketahui hingga usia berapa baru kita akan meninggalkan alam dunia.


Selepas kiamat terjadi, kita dibangkitkan semula dari alam barzakh dan merasai hidup semula di Padang Mahsyar. Menanti saat di hisab dan mizan. Apa yang dihisab dan apa yang ditimbang?


Segala apa yang kita buat semasa di alam dunia. Hmmm...apa ya? OOO...rupanya apa saja yang kita lakukan di alam dunia ini walaupun sezarah, tidak terlepas dari catatan dan timbangan...


Rasakan...


Selepas selesai perhitungan, selesai perkiraaan barulah kita tahu kemasa akan kita pergi melangkah. Ke kanan atau ke kiri? Semua berdasarkan apa yang dilakukan smasa di dunia ini.


Mengharapa syafaat Rasullulah SAW, Nabi Muhammad? Bagaimana hubungan kita dengan Rasullulah semasa di Alam Dunia? Mengharap rahmat Allah? Bagaimana hubungan kita dengan Allah Ta'ala semasa di alam dunia?


Maka...


Sedarlah anak-anak ummi, kita hidup alam dunia tak lama, kejar dunia seadanya, utamakan yang utama.


Apa dia yang utama?


Pelihara iman, tingkatkan iman , berakhlak terpuji dan bepekerti mulia. Itu saja. Taati Allah dan RasulNYA.


Sekian entri ummi, peringkatan buat yang ingin hidup dan mati dalam iman yang sempurna.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Friday 25 February 2011

Maaf, Email Anda Belum Dijawab

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Sejak akhir-akhir ni dirasakan masa begitu pantas berlalu. Tidak terkejar dengan masa sehingga bertubi-tubi email masuk belum sempat untuk dibaca dan dibalas.


Itu belum lagi mengemas kini inbox yahoo. Kalau sehari tidak buka email yahoo, mahu capai "300 Recent Unread Emails from Contacts". Kadang-kadang tu lebih ...


Jadi jika ada email yang lambat diambil tindakan,harap maaf kepada semua penghantar email.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday 19 February 2011

Disangka Musibah, Rupanya Rezeki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.




Selalu kita silap dalam menilai. Selalu kita bersangka begini, rupanya jadi begini. Kita sebenarnya tak tahu apa yang Allah rancangkan untuk kita, maka janganlah cepat merungut dan berkeluh kesah atas ujian yang datang.


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216


Contohnya, rumah terbakar disangka akan mengalami kerugian beribu ringit apabila semua harta musnah dan yang tinggal cuma sehelai sepinggang. Tapi apa yang Allah berikan selepas itu?


Masih teringat ummi, suatu ketika dulu, tahun 1987, rumah abah terbakar di kampung. Rumah papan 2 tingkat. Ketika itu musim menuai padi,angin bertiup kencang jadi sekejap sahaja api marak menyala, memakan kayu-kayu dan papan yang sudah usang. Rumah itu adalah rumah pusaka yang telah uzur. Kayu-kayu telah dimakan anai-anai.


Dalam masa tidak sampai 1 jam, habis musnah rumah itu. Kaca-kaca pada daun tingkap melelah cair kerana suhu yang tinggi. Oleh kerana rumah pusaka itu jauh di dalam kampung, jalan raya pun tak ada, yang ada cuma jalan tanah merah yang becak bila hujan turun. Kereta bomba ambil masa hampir 2 jam baru dapat sampai ke tempat kebakaran.


Bomba datang sekadar memadamkan bara-bara api dari tunggul-tunggul tiang kayu cengal. Dengan masalah tak ada paip bomba, yang ada cuma air dari parit sahaja. Tapi air parit pun kering ketika itu kerana musim menuai. Penduduk kampung ketika itu menggunakan air parit sahaja untuk mandi dan air hujan untuk bekalan minuman.


Kebakaran berlaku waktu petang sekitar jam 5.00, orang ramai datang berpusu-pusu dari berbagai kampung, jauh dan dekat. Menjelang malam masih ramai yang datang apabila mendengar musibah yang menimpa abah sekeluarga. Malangnya sesiapa yang datang waktu malam tak dapat melihat apa-apa kerana elektrik masih belum ada di kampung ummi. Tahun 1987, bukan lah lama sangat pun,  sekitar 23 tahun lalu, tapi masih belum ada kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan eletrik dan air paip.


Sedangkan kampung-kampung lain dah lama menikmati kemudahan itu. Kampung ummi seseolah tercicir dari pembangunan, padahal bukannya jauh di pendalaman.


Namun dengan musibah yang menimpa keluarga ummi, telah mendapat liputan media. Tak sampai 3 bulan sudah ada tiang eletrik dihantar. Sudah mula batu kerikil ditabur ke atas laluan tanah merah. Batang-batang paip mula di tanam dalam tanah.


Tahun 1988, Jalan tanah merah yang selalu becak bila hujan sudah berturap, lampu dah gunakan elektrik dan air sudah keluar dari paip.


Rumah abah yang terbakar juga dapat didirikan semula dari batu bata hasil dari sumbangan orang ramai. Tanaman padi menjadi dan menghasilkan pendapat lumayan untuk membolehkan rumah batu setingkat di bina.


Sebelum ni arwah mak sering uzur, tak berdaya untuk turun naik tangga rumah kayu 2 tingkat. Jadi abah bina rumah ini setingkat sahaja, supaya tidak menyusahkan mak yang uzur ketika itu. Dan bila bina rumah baru,bilik air juga dapat dapat dibina dalam rumah beserta tandas duduk kerana keuzuran arwah mak untuk duduk mencangkuk di bilik air. Arwah mak sakit sendi yang kronik disebab penyakit psirosis yang dihidapinya bertahun-tahun sehingga meninggal dunia.


Itulah hikmah musibah yang menimpa kepada keluarga ummi. Disangka musibah itu adalah bala tetapi merupakan rezeki,bukan sahaja kepada keluarga ummi tetapi seluruh penduduk di kampung juga.


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200


Maka bila kita ditimpa sesuatu petaka atau musibah jangan cepat merungut dan berkeluh kesah,mesti ada kebaikan dan hikmat Allah disebalik kejadian. Segala itu merupakan ujian Allah untuk melihat sejauh mana keimanan kita terhadapNYA.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Oleh itu, bersabarlah apabila diuji dan redha dengan ujian yang tiba. Bersyukur di atas segala nikmat dari NYA.


Satu keajaiban yang terjadi ketika kebakaran rumah abah ialah, semua benda musnah lebur jadi debu kecuali  mushaf Al-Quran. Elok terletak atas tunggul-tunggul kayu yang terbakar.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Thursday 17 February 2011

Tangan Yang Menghayun Buaian


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.



Dunia seorang isteri dan ibu di dalam rumah tangga bukan terbatas di dapur sahaja. Bah lebih luas dari lingkungan itu. Sebab itu terdapat perumpamaan,

"TANGAN YANG MENGHAYUN BUAIAN AKAN MENGGONCANG DUNIA"

Apa ertinya?


Tangan Yang Menghayun Buaian...Boleh Menggoncang Dunia. Tentulah ianya dikhususkan untuk insan yang kita sayangi...iaitu Ibu. Menggambarkan betapa besarnya peranan dan tanggungjawab mereka.


Ungkapan ini memang tepat dan menggambarkan pengaruh kuat seorang ibu terhadap perkembangan dan pendidikan anak-anaknya.


Malah begitu besar peranan seorang ibu dalam menentukan corak masa hadapan anaknya bertepatan kata-kata seorang penyair ;


Sang ibu itu samalah dengan sekolah,jika ibu pandai menguli tepung dan meletakkan dalam acuan yang bagus, seumpama dia membangunkan umat yang baik keturunannya.


Tugas seorang ibu bukanlah mudah, sepanjang hayatnya dikorbankan untuk kebahagiaan anak.


Setiap perkara yang dilakukannya dalam membesarkan anaknya akan meninggalkan kesan ke atas pribadi anak itu.


Semestinya seorang ibu melengkapkan dirinya dengan;

* iman yang mendalam

* ilmu yang luas

* ketaqwaan yang tinggi.



Semua ini mesti IKHLAS dan semata-mata mengharapkan KEREDHAAN ALLAH.


Di sinilah tersimpan rahsia kejayaan dalam membentuk anak menjadi individu cemerlang dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan.


Seorang penyair Arab ada mengungkapkan dalam bait-bait syairnya;


TIDAK SAMA TUMBUHAN SUBUR DALAM TAMAN, DENGAN TUMBUHAN YANG TUMBUH LIAR DI PADANG YANG TERBIAR.


BOLEHKAH DIHARAPKAN SIANAK MENCAPAI KESEMPURNAAN, JIKA MENYUSU DARIPADA WANITA YANG RENDAH AKHLAK DAN PEKERTINYA.



Setiap ibu menjadi lambang wanita yang mewah dengan naluri kelembutan dan kasih sayang.


Fitrah kelembutan dan kasih sayang ini berkekalan sepanjang hayat dan besar peranannya dalam menjamin kesejahteraan hidup insan.


Kehidupan seorang anak tidak lengkap dan sempurna tanpa wujud kasih seorang ibu.


Sekadar pelukan dan ciuman seorang ibu, sudah cukup membawa erti yang besar dan mendalam kepada diri seorang anak.


Berilah contoh siapa sahaja lelaki yang berjaya mengembangkan empayar dunia kecuali Nabi Adam A.S dan Nabi Muhammad S.A.W, semuanya atas acuan dan adunan seorang perempuan.


Kenapa bukan dua insan mulia ini? Nabi Adam A.S adalah manusia pertama diciptakan tanpa ibu dan Nabi Muhammad S.A.W pula, ibu nya wafat ketika berusia 6 tahun. Nabi Muhammad ditarbiyah secara langsung oleh Jibrail A.S dibawah lindungan rahmat Allah Ta'ala.


Itu bezanya dengan manusia-manusia lain.


Semoga kita menjadi ibu-ibu yang mampu mendidik anak-anak menjadi insan yang mukmin untuk kebahagiaan di dunia dan diakhirat.


Hmmm...itu perumpamaan zaman lalu ketika menggunakan buaian untuk menidurkan anak. Zaman ini masih adakah buaian? Mampukah ibu-ibu zaman ini mendidik anak mereka sehingga anak itu mampu menggegarkan dunia?






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 14 February 2011

Manisnya Ukhuwwah


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Usia sudah menghampiri setengah abad dalam 4 tahun lagi,masih sambut hari jadi? Masih ada buat upacara tiup lilin dan potong kek?


Jika kita melakukan tanpa niat untuk mengikut budaya orang kafir, sebaliknya menghargai ukhuwwah sahabat-sahabat, maka teruskanlah. Jangan dikecikkan hati sahabat yang datang secara mengejut untuk buat 'suprise' pada kita.


Ummi pun tak sangka, setelah bersara dari dunia pendidikan, sudah jarang bertemu sahabat-sahabat seperjuangan, tapi diri ini rupanya masih dingati.


Walaupun lewat 1 minggu kerana 4 Februari jatuh pada perayaan sambutah tahun baru cina, ramai sahabat-sahabat mengambil kesempatan cuti sekolah untuk balik menziarahi ibu bapa, mereka masih lagi ingat tarikh itu.


Hari Jumaat, masih hari yang sama cuma tarikhnya 11 Februari, sahabat seperjuangan telah datang ke rumah dengan kek yang cantik. Bukan upacara itu yang utama, tetapi jalinan ukhuwwah itu yang membuat ummi terharu.


Sahabat-sahabat ku, rupanya aku masih dalam kenanganmu. Ku fikir hanya dalam doa sahaja ingatan itu bertandang rupanya lebih dari itu. Manisnya ukhuwwah antara kita.


Ada jalur airmata ketika aku dicium dan disapa. Wajah-wajah sahabat seperjuangan yang aku rindu. 20 tahun, bukan lah suatu masa yang singkat kita selalu senyum dan tawa.


Sebaliknya ada duka nestapa dikala kita sama-sama mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Nostalgia...


Biar berlalu dan maafkan sahabat-sahabat, aku tidak mahu menoleh kebelakang semula. Di sana telah menjadi nisan segala-galanya.


Aku seorang guru, tetapi dalam masa yang sama aku menjadi tukang masak, mencangkul tanah, berkebun, menyapu, membersih kolam ikan, menjadi juru teknik, menjadi juru audit, menjadi penjual, menjadi juru foto dan menjadi berbagai-bagai jenis pekerjaan manusia lain.


Ya , itu lah guru, sememangnya perlu tahu semua kerana kita mendidik insan menjadi manusia berguna. Guru perlu tahu semua perkara...


Salahkah sambut hari lahir? Dengarlah ceramah dari ustaz Azhar ini. Semuanya bergantung kepada niat.

Ustaz Azhar - Hukum Sambut Hari Lahir




Semoga apa yang kita lakukan mendapat redha dan rahmat dari Allah.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday 13 February 2011

Bicara Cemburu Dalam Hatiku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Serangkai kasih dalam limpahan budi,
menguntum segar dalam kenangan.


Benarkah cemburu tanda sayang? Atau cemburu itu minta perhatian?


Jom kita buka minda melihat erti cemburu dalam skop yang lebih luas. Cemburu bukan sahaja terjadi dalam hubungan pasangan kekasih, suami isteri tetapi dalam hubungan yang lain-lain.




Aku sangat mencemburui zaujku yang sangat rajin mengaji quran setiap masa santainya. Aku cemburu pada zaujku kerana masakannya sangat enak. Aku cemburukan zaujku kerana wajahnya yang sentiasa tenang dan tersenyum walaupun ketika musibah datang.




Cemburu juga tidak harus dipersempitkan kepada terjejasnya perasaan kasih dan sayang antara pasangan kekasih atau suami isteri sahaja. Ini kerana selain kekasih, suami atau isteri, banyak lagi yang disayangi oleh manusia dalam hidupnya.


Sejajar dengan ini Imam Fudhail ‘Iyadh r.m. mentakrifkan cemburu itu sebagai perubahan bentuk kata-kata seseorang akibat berubahnya suasana hati yang bergelegak kerana marah. Ini disebabkan ikut sertanya orang lain dalam sesuatu yang dirasakan khusus milik dirinya.


Sesuatu yang menjadi hak milik dan kepunyaan seseorang tidak terhad kepada pasangan hidupnya sahaja. Ia termasuk juga harta benda, kemuliaan dan nama baik, keharmonian rumah tangga, ketaatan anak-anak, keakraban kaum keluarga yang dimiliki.


Sebenarnya bukan semua cemburu itu tidak baik. Ada cemburu yang baik dan terpuji malah disukai Allah. Nabi s.a.w. ada bersabda: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Adapun yang disukai Allah ialah cemburu yang berisi keraguan, sedangkan yang dibenci Allah ialah cemburu yang tiada ragu-ragu lagi.” (Riwayat Abu Daud)


Cemburu yang tiada lagi asas untuk ragu dan sangsi inilah yang dikatakan cemburu buta. Bagi cemburu sedemikian, pintu kemungkinan berlakunya kesilapan atau salah sangka sudah tertutup rapat. Sesuatu yang dicemburukan itu diyakini benar berlaku tanpa selidik dan usul periksa. Sebaliknya cemburu yang baik itu ada asasnya dan disusuli dengan usul periksa.


Meluahkan rasa cemburu juga perlu secara kasih dan sayang, bukannya dengan melulu. Justeru cemburu yang baik itu harus dipandu oleh akal, bukan dengan semata-mata emosi.


Demikian juga kemurahan rezeki, keupayaan istiqamah, berbuat baik, bersedekah jariah, berakhlak mulia seterusnya segala kelebihan anugerah Ilahi yang sedang dinikmati secara peribadi. Pastinya semua ini akan disayangi kerana tinggi nilaiannya dan sukar diperolehi. Justeru setiap yang disayangi ini akan dicemburui pula. Kerana tidak mahu ia luput atau pudar.


Memang ada kebenarannya cemburu itu tanda sayang. Jikalau tiada perasaan sayang di dalam hati maka tiadalah luahan rasa cemburu di bibir mulut dan wajah. Oleh itu bagi sebuah keluarga dan rumah tangga bahagia, maka cemburu itu merupakan suatu keperluan.


Keharmonian rumah tangga juga harus diwarnai dengan cemburu terutama oleh suami atau bapa selaku ketua keluarga. Keharmonian amat mahal harganya dan wajar disayangi dengan menghindari segala yang boleh mencacat-celakannya. Demikian juga terhadap kesefahaman, kemurahan rezeki, keberkatan hidup berkeluarga dan seumpamanya; semua itu merupakan nikmat anugerah Ilahi yang tiada tolok bandingnya.


Tidak sempurna cemburu itu jika hanya sebagai tanda adanya sayang. Cemburu juga perlu kerana sayang. Persoalannya, sayang yang bagaimana? Sebagai contoh, tidak cukup sayangkan isteri kerana kecantikan rupa parasnya. Jika demikian, apabila kecantikan itu hilang dimamah usia maka akan pudar jugalah rasa cemburu suami terhadap isterinya. Sayang tidak akan kekal dan cemburu tidak akan berterusan jika diikat dengan suatu yang tidak abadi dan hakiki kerana mengalami perubahan.



Sebaliknya...



Cemburui isteri mu kerana dia sentiasa bangun malam. Cemburui dia kerana kesukaannya melakukan amal soleh. Cemburui isteri mu kerana dia suka berjariah. Cemburui isterimu kerana ketaatanya, bukan taat kepada mu sahaja, tetapi kepada Allah dan rasulNYA...


Bukan sahaja isteri harus mencemburui suaminya, malah suami juga harus cemburu kepada isterinya. Demikian juga ibu bapa harus cemburu pada anak-anak. Kecemburuan ini bersumberkan ikatan kasih sayang yang sedia terjalin.



Oleh itu mutu kasih dan sayang harus dipertingkatkan. Sayang dan cemburu seorang suami atau bapa kepada isteri dan anaknya haruslah sampai ke pintu syurga. Ini kerana syurga itu hakiki dan salah satu makhluk yang kekal abadi. Firman Allah s.w.t.: “Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab seksa api neraka.” (At-Tahrim: 6) Dalam melaksanakan perintah pemeliharaan ini maka ketua keluarga perlu memiliki sifat cemburu.

Tuntutan sayang pada anak dan isteri harus juga kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta pada Allah. Dialah sumber ikatan kasih sayang yang paling utama, sejati dan abadi. Jangan tergadai ikatan kasih sayang pada Ilahi kerana sayangkan anak, isteri, harta benda dan lain-lain.


Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan selainnya maka perhatikanlah firman Allah s.w.t. ini: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri rugi dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (At-Taubah: 24)


Justeru, cemburulah apabila suami atau isteri mahupun anak yang memaparkan tanda-tanda lalai dan leka serta melencong daripada landasan hidup orang yang dicintai Allah. Peka dan cemburulah terhadap kehalalan dan keberkatan punca rezeki. Cemburulah dengan masa dan makanan yang terbazir. Sesungguhnya orang yang mubazir itu saudara syaitan yang mendapat kutukan Allah.


Jadi memang benar cemburu itu tanda sayang dan kerana sayang. Sayangilah apa juga, asalkan dihubungkan dengan kasih sayang kepada Allah yang empunya segala-galanya. Cemburu itu adalah pengimbang dan pengimbas kasih sayang. Ia merupakan satu keperluan rumah tangga bahagia. Asalkan neraca dan teropong yang menjadi asas kecemburuan itu selari dengan kehendak Allah s.w.t.


Oleh itu, sentiasalah peka dengan apa-apa yang Allah marah dan benci serta cemburu. Cemburu kerana sayangkan Allah itu dengan memelihara rahmat dan nikmat kurniaan-Nya, kerana mahu bersyukur dan bimbang kehilangan pandangan kasihan belas dari Allah. Juga kerana takut hilang keberkatan hidup dan petunjuk-Nya.


Mudah-mudahan dengan cemburu itu terbuka pintu pengampunan Allah dan seisi keluarga tidak kempunan nikmat syurga milik-Nya. AMIN!


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday 12 February 2011

Enaknya Buah Markisa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Musim berganti menggamit memori
Membuai seuntai kenangan

Pohon markisa di depan rumah

Tanda cinta dan kasih zauj, cinta yang mendalam terhadap tumbuhan, kali ini zauj menanam pohon markisa untuk ummi.


Depan belakang rumah ummi dihiasi dengan pohon markisa. Di depan rumah pohon markisa tumbuh di luar pagar dan memanjat tiang dan menjalar ke pargola. Di belakang, pohon markisa tumbuh di dalam petak yang berisi tanah dan mejalar memanjat kayu yang disediakan dan tinggi mencapai pagar besi hingga ke wayar telefon.





Rimbunan pohon markisa di belakang rumah



Rimbun menghijau sehingga menjadi teduh dan sejuk dibahagian depan dan belakang rumah. Sekarang pohon markisa ini sedang berbuah. Lebat dan cantik berjuntai-juntaian buahnya.








Buah markisa yang belum ranum

Pokok Markisa atau juga dikenali sebagai buah susu, merupakan sejenis pokok yang menjalar bagi mendapatkan cahaya matahari. Buahnya yang rasa sedikit masam dan manis boleh dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan minuman. Kini terdapat jus markisa dijual di pasar raya atau kedai-kedai.


Pokok markisa ini terdapat di kebanyakan negara-negara tropika dan sub-tropika terutama di Australia, India, Kenya, New Zealand dan Hawaii. Markisa ditanam secara komersil di negara-negara berkenaan. Dua varieti yang biasa ditanam untuk tujuan ini ialah markisa berkulit warna kuning (Passiflora edulis f.flvicarpa) dan buah markisa berkulit warna ungu (Passiflora edulis sim).



Terdapat dua jenis markisa, satu berwarna kuning yang tumbuh di dataran tinggi dan satu lagi berwarna ungu. Walau bagaimanapun, rasa kedua-dua jenis ini adalah sama sahaja. Varieti kuning didapati lebih sesuai ditanam di Malaysia kerana boleh mengeluarkan hasil yang lebih tinggi berbanding varieti ungu. Varieti kuning ini telah dibawa ke Malaysia dari Australia dan Hawaii pada tahun 1960-an. Markisa ialah tanaman saka yang menjalar. Buah markisa mengeluarkan sulur paut dari pangkal daun. Bentuk daunnya bulat membujur dan rata di tepi.


Buah markisa yang ranum dan isinya boleh dimakan


Di Malaysia, markisa dari varieti meroon mula menghasilkan buah dalam jangka masa 5-6 bulan selepas tempoh penanaman dan jangka hayat pokok adalah lebih kurang 3 tahun. Lebih kurang 74 hari selepas pendebungaan, bunga akan menjadi buah yang bujur berukuran kira-kira 7 cm dan 6 cm, berwarna hijau dan mempunyai berat dalam lingkungan 8 g. Buah ini manis serta mempunyai rasa dan bau yang sedap apabila ranum. Buah ranum berwarna meroon.


Pokok markisa tumbuh menjalar di mana sebatang pokok boleh menjangkau dan meliputi kawasan bulatan seluas 50 kaki. Berbuah sepanjang musim dan boleh hidup tujuh hingga lapan tahun tetapi usia produktif ialah sehingga empat tahun sahaja.



Juntaian buah markisa di tingkap dapur


Markisa merupakan buah yang berkhasiat. Buah markisa mempunyai khasiat yang tinggi dengan kandungan vitamin C dan A serta amat baik untuk kesihatan dan sistem pertahanan badan. Perubatan tradisional turut menggunakan buah ini bagi rawatan menurunkan kadar darah tinggi, kencing manis dan asma.


Sekarang ini, markisa sedang lebat berbuah di depan dan belakang rumah ummi,  sapa-sapa yang melihat buahnya, pasti tertarik sebab kelihatan segar dan bersinar.




Ummi memang gemar buah markisa kerana  khasiatnya yang memberikan vitamin C  yang tinggi. Kalau boleh hari-hari nak makan buah markisa. Sejuk mata memandang rimbunan pohon markisa  ini.  Yang paling best, rimbunan pepohon markisa yang terdapat di tingkap dapur rumah ummi.



Daun-daun dan pucuk pohon markisa menjulur masuk ke ruang dapur memenuhi penjuru syiling dapur. Ummi  tak matikan pun pokok tu, sebaliknya ummi tarik pucuknya keluar tingkap supaya dapat cahaya matahari. Bagi ummi setiap pokok sentiasa bertasbih. Maka dengan membiarkan pohon markisa hidup menumpang dan menjalar melalui tingkap dapur, sekurang-kurangnya ada keberkatan di situ. Patutlah sejuk sahaja ruangan  ini sebab  pohon markisa ini sentiasa bertasbih.



وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ يَسْجُدَانِ

“Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepada-Nya.” (Q.S Ar-Rahman [55]: 6)


Dalam Al-Quran, masih banyak ayat seperti di atas yang menyebut tentang tanaman dan pepohonan bertasbih dan bersujud kepada Allah. Selama ini, ayat-ayat tersebut ditafsirkan hanya sebagai kiasan. Artinya, tumbuhan bersujud dan bertasbih dengan cara tunduk pada hukum alam (sunnatullah).


تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا (٤٤)


“ Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (QS. Al-Isra’: 44)



Jika ingin membca lebih lanjut berkaitan penemuan atau bukti tumbuhan bertasbih, sila baca di sini TUMBUHAN PUN BERTASBIH MEMUJI ALLAH


Selain makan begitu sahaja, markisa enak dibuat jus. Untuk membuat jus, tidak perlu banyak buah untuk satu jag 1.5 liter, memadai 2 biji buah markisa  dicampur gula dan air. Hmmm...enak minum begitu saja...


Kini  ada kajian dalam bidang kosmetik tentang buah markisa. Buah markisa mengandungi nutrien seperti vitamin A dan C. Vitamin A merupakan sumber penting anti oksidan yang bertindak menghapuskan radikal bebas. Buah ini juga dapat memperbaiki tisu dan menghalang pelbagai masalah kulit. Kandungan AHA buah markisa bagus sebagai agen pengelupasan yang menjadikan kulit lebih bersih dan cerah.


Wah...tak rugikan, tanam markisa di kawsan rumah. Tanam dalam pasu dan pacak kayu ditengah pasu untuk pokok memanjat sebelum dipautkan ke pagar atau grill tingkap. Ada hasil yang bermanafaat.




Pohon yang sentiasa bertasbih kepada pencipta


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Friday 4 February 2011

Kasih dan Cemburu Umpama Garam

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Serangkai kasih dalam limpahan budi,
menguntum segar dalam kenangan.

Hari ini berulang lagi tarikh 4 Februari. Kalau tahun lepas, 4 Februari jatuh pada hari Khamis, tahun ini, 4 Februari jatuh pada hari Jumaat.






Rupanya genap setahun hari ini ummi menjalani pembedahan. Alhamdullilah, kaki ini telah sihat dan mampu untuk melakukan pergerakan. Walaupun terhad pergerakknnya, tetap disyukuri kerana tidak perlu sekarang ini menggunakan kerusi roda. Kerusi roda? (terkenang saat ini, dimana sebelah lagi tayar kerusi roda tu?)



Setahun lalu, ummi sambut hari kelahiran tarikh 4 Februari di dalam Dewan Bedah. Hari itu, yang ummi ingat hanyalah kesakitan disuntik epidural di bahagian tulang belakang. Amat sakit tusukan jarum yang halus itu. Meleleh air mata kerana sakitnya tusukan jarum itu betul-betul di celah - celah antara tulang belakang agar cecair bius memasuki spinal.Kaedah pembiusan setempat memerlukan sejenis ubat yang dikenali sebagai "Local Anaesthetic".


Selama dalam dewan Bedah, semasa pembedahan, ummi berada di dalam keadaan sedar, boleh bercakap, mendengar dan boleh melihat sendiri bagaimana pembedahan dijalankan tanpa berasa sakit. Namun, pembedahan kali ini, ada hijab yang menghalang pandangan mata ummi dari melihat procedur pembedahan.


Jadi mata ummi hanya terkebil-kebil memandang ke langit-langit dewan pembedahan. Fikiran menerawang berfikir, bermunajat dan bermonolog. Kiranya makin panjang usia, makin banyak pengalaman ditimba sehingga ada ketikanya menyambut hari lahir di dewan pembedahan.


Namun ummi tidak sia-siakan waktu itu, waktu mustajab doa. Ummi masuk dewan bedah dari pukul 11.05 pagi dan keluar dari dewan bedah pada pukul 4.15 petang. Tidak ada apa dalam ingatan ummi ketika itu melainkan berdoa mohon Allah merahmati anak-anak, anak angkat dan keluarga ummi.


Meleleh airmata saat terkenang anak-anak dan anak angkat yang masih bergantung harap kepada ummi. Terkenang akan saat-saat akhir anak angkat ummi masih berhubung melalui yahoo mesengger dengan ummi. Anak-anak masih sempat menelefon memberikan kata semangat pada ummi.


Hari ini, hari 4 Februari jatuh pada hari Jumaat. Ummi berada di rumah bersama anak-anak, menantu yang kebetulan cuti tahun baru cina. Dengan masakan ringkas, ikan keli bakar air asam, sayur campur, sambal belacan dan ulam kacang kelisa dan ayam sambal. Itu saja hidangan untuk anak-anak sempena hari lahir ummi. Anak-anak dapat menjamah makan masakan air tangan ummi.


Malamnya baru zauj ajak semuanya keluar makan di warung. Zauj belanja makan sekali sekala di luar. Makan di luar bukan menjadi kebiasaan ummi sekeluarga kecuali pada hari-hari tertentu sahaja.


Dalam ramai-ramai, ada anak yang hadiahkan ummi sesuatu yang tetap menjadi nostalgia sepanjang hayat. Nazihah dan suaminya menghadiahkan ummi 18 paket garam. 18 sempena usia Nazihah, dan katanya "kasih umpama garam".


Ummi, kasih sayang kami terhadap ummi ayah tidak dapat dinilai dengan banyaknya harta, tidak dapat diukur dengan apa pun jua. Namun, jika perlu dinyatakan jua banyaknya, kasih sayang kami pada ummi ayah, diumpamakan seperti garam dalam masakan ...



Apakah nilai garam kepada manusia. Apalah ertinya lauk atau makanan tanpa garam. Semahal manapun lauk atau makanan itu, jika tanpa garam yang murah, tidak akan dijamah orang. Begitulah kasih sayang kepada ummi ayah. Seperti garam dalam makanan. Tidak pernah tiada. Jika tiada, tawarlah jawabnya.Bagaimana lengkapnya rempah-rempah di dalam masakan, tanpa garam sama sekali hilang ke enakkan makanan itu.


Awas jangan berlebihan pulak letak garam tu...terlebih masin, tak ada sesiapa yang mahu menyentuhnya kecuali ikan kering,udang kering dan sotong kering.


Dan ummi tukar pula ayat kasih umpama garam kepada cemburu umpama garam di dalam kehidupan berumah tangga. JIka sedikit, ia menambah keenakkan dalam makanan, namun jika diletakkan berlebih-lebihan, makanan jadi tidak enak dan akan mengakibatkan kemudaratan di dalam tubuh badan manusia . Maka berawas semasa meletakkan garam di dalam makanan.


Begitulah sedikit catatan peringatan sempenan hari lahir ummi ke 46 tahun. Ummi dilahirkan di negri Perak, didaftarkan di Balai Polis Simpang 5, dengan nama yang unik, Muna Liza.


Mendapat pendidikan bermula di Tadika Batu 8, Sekolah Kebangsaan Jalan Bahru, Sekolah Menengah Seri Perak, Sekolah Menengah Perempuan St.George dan akhirnya di UTM, Jalan Gurney,Kuala Lumpur.


Bernikah ketika berusia 19 tahun dan kini telah mempunai 10 orang anak kandung,25 orang anak angkat, mempunyai 8 orang cucu. Semoga kehidupan ini terus dirahmati Allah di dunia dan akhirat terutama disaat kematianku.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Wednesday 2 February 2011

Mana Tongkat, Stokin Pakai

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Iklan ini sudah sering kedengaran di dalam radio dan TV. Ummi jadi tahu sebab cucu ummi Naimah selalu sebut. Lepas tu pandai pulak tukar untuk merealisasikan pada dirinya. Bila tanya sebaik lepas mandi, "mana spender, pampers pakai". Itulah, budak berumur 3 tahun pun sudah bijak untuk mengadaptasikan sesuatu yang didengar dan dilihatnya.


Frasa kata tu adalah sebalik dari makna peribahasa "Tiada rotan,akar pun berguna" bermakna "Kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga." Sedangkan maksud tongkat adalah membantu untuk orang tua berjalan, namun dengan adanya teknologi yang membuat stokin bagi membantu kekuatan otot agar mampu berjalan tanpa bantuan tongkat. dah pakai stokin, tak ada tongkat pun tak apa.


Begitu juga dengan frasa kata yang Naimah buat, dah pakai pampers, tak pakai spender pun tak apa.


Cuba kita yang dewasa ni buat satu frasa kata yang seerti dengan "mana tongkat,stokin pakai", adakah kita masih mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif?


Kalau mampu membina frasa kata yang lebih baik, maka minda anda masih tajam dan neutron-neutron masih bercambah. Tak perlu minum susu Dugro  1,2, 3 lagi...


Selamat mencuba... 


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday 1 February 2011

Dokumen Oh Dokumen

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kad Pengenalan zaman sebelum tahun 1980
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Rentetan kehilangan beg tangan yang di dalamnya mengadungi dokumen-dokumen penting, maka banyaklah perkara perlu diuruskan bagi mendapatkan semula dokumen-dokumen tersebut.


MasyaAllah, hanya kesabaran yang perlu dijunjung demi mendapatkan dokumen itu. Perlu bijak untuk menguruskan mana yang utama dan diperlukan terlebih dahulu.


Untuk mendapatkan dokumen itu, sudah hampir seminggu ummi berurusan ke sana kemari. Bermula dengan langkah pertama sebaik mengetahui kehilangan kad-kad ATM dan kad-kad kredit ialah menelefon pihak bank untuk menyekat transaksi pengeluaran melalui kad itu.


Apabila kad-kad itu disekat transaksinya, kad baru perlu dibuat. Sebelum membuat kad-kad atau apa-apa urusan, laporan kehilangan mesti dibuat di Balai Polis berhampiran. Kronologinya ...


24 Januari,Isnin ~ membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti.


25 Januari,Selasa ~ Ke CIMB Bank cawangan UTM, dimaklumkan bagaimana cara untuk mendapatkan semula buku akaun dan kad ATM. Ummi amat perlukan kad ATMuntuk membuat transaksi melalui CIMB Cliks. Tanpa kad, CIMB Cliks tidak dapat dilakukan apabila kad ATM telah disekat transaksinya. Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan tanpa ada pengenalan diri.


Selepas itu pergi ke Bank Rakyat untuk mendapatkan surat akaun kehilangan Buku Akaun. Ada borang yang perlu di isi, ditampal stem hasil berharga RM 10 dan dimatikan stem tersebut di Pejabat Hasil Dalam Negeri. Ada 3 buku akuan yang hilang, maka 3 borang X Rm 10 untuk stem hasil = RM 30.00. Tidak juga selesai sebab tak boleh ke Pejabat Hasil Dalam Negeri di Menara Jati , Tampoi sendirian.

26 Januari, Rabu ~ Tidak dapat keluar kemana-mana sebab zauj ada mesyuarat dari pagi sampai ke petang. Duduk rumah, menggosokkan pakaian kerja zauj untuk satu minggu, mengemas rumah, masak dan mencuci pakaian.


27 Januari, Khamis ~ selepas zauj habis kuliah pagi di Masjid Sultan Ismail,zauj jemput ummi dan bawa ke pejabat Pendaftaran Negara di Kulaijaya untuk membuat kad pengenalan dan Sijil Kelahiran ummi. Oleh kerana ada laporan polis, maka penalti kehilangan kad pengenalan dukurangkan sebanyak 50%. Jadi ummi hanya perlu bayar RM 60 sahaja untuk membuat kad pengenalan baru dan RM 5 untuk Sijil Kelahiran.


Perlu tunggu 1 bulan untuk mendapat kad pengenalan baru dan Sijil kelahiran. Ummi diberikan kad Pengenalan Sementara yang sah laku sehingga 3 bulan sahaja. Kad ini boleh digunakan untuk urusan membuat buku akaun yang hilang dengan disertakan salah satu dokumen sokongan. Dokumen sokongan itu adalah salah satu antara 3 yang berikut :

1. Sijil Kelahiran
2. Lesen Memandu
3. Kad Pekerja


Sedangkan semua dokumen sokongan ini juga turut lesap bersama-sama dengan beg tangan yang hilang itu.

Dari Kulaijaya, ummi singgah Pejabat Tabung Haji di Bandar Kulai untuk mengambil borang akuan kehilangan buku akaun Tabung Haji. Borang ini juga perlu ditampal stem hasil RM 10 dan dimatikan stem di Pejabat Hasil Dalam Negeri. Tak selesai juga urusan berkaitan akaun Tabung Haji.


Balik dari Kulaijaya dah hampir jam 11.00 pagi, terus zauj hantar ke CIMB Bank, cawangan UTM. Ingatkan boleh dapatkan buku akaun hari ini dan pengeluaran wang dilakukan untuk membayar bil-bil.


Sampai di CIMB Bank cawangan UTM, pegawai yang bertugas melihat rekod-rekod, masih tidak boleh dilakukan pengeluaran kerana ketiadaan dokumen sokongan dan buku akaun hanya boleh dibuat dicawangan asal semasa akaun dibuka. MasyaAllah,akaun peribadi CIMB ini dibuka di Bank CIMB cawangan Kulaijaya. Adoiii..baru balik dari Kulaijaya, tak kan nak kesana lagi? Kesian zauj...


Sudahlah selepas zauj hantar tadi, dijangka akan selesai urusn sekitar 12.00 tengah hari. Rupanya masih tak boleh buat apa-apa juga. Keluar bank, nak minta zauj jemput. Tengok-tengok,telefon pula tak bawa. Tertinggal di rumah, sedang di'charge' baterinya.



Duduk merenung ditembok memikirkan apa nak dibuat, tiba-tiba datang seorang anak murid kelas tasawuf zauj lalu. Terus minta tolong,telefon zauj, minta jemput ummi. 5 minit zauj jemput, terus balik rumah. sampai rumah masak makanan tengah hari, cuci pakaian dan kemas rumah.


28 Januari, Jumaat ~ masak, mengemas rumah dan menyediakan pakaian untuk bermusafir pada malam ini. Jadi tidak buat sebarang urusan untuk mendapatkan dokumen-dokumen.



Malam,jam 8.30 malam mula bermusafir ke Setia Alam hingga hari Isnin, 31 Januari baru balik ke rumah. Tiba di rumah pada pukul 12.12 malam.


1 Februari,Selasa ~ pukul 11 .00 pagi keluar rumah untuk mencetak gambar lama ukuran lesen memandu. Pukul 12.00 tengah hari, pergi ke JPJ Taman Daya, Johor Bahru untuk membuat lesen memandu semula. Alhamdullilah,dengan adanya salinan laporan polis, tidak dikenakan denda.



Dari JPJ Taman Daya, terus menuju CIMB Bank Kulaijaya. MasyaAllah, lebih 20 tahun ummi tidak pernah pergi bank ini selepas membuka akuan dahulu. Akaun CIMB dibuka di sini kerana ketika itu ummi mengajar di SMK Kulai Besar dan tinggal di Saleng. Selepas berpindah ke SMK Taman Universiti dan tinggal pula di Skudai, maka langsung ummi tidak menjenguk lagi CIMB Bank Kulaijaya.


Ummi tiba di bank pada pukul 2.12 petang. Setelah mengambil nombor dan menunggu giliran, pada pukul 4.09 petang baru selesai. Banyak borang perlu di isi, dokumen yang dikehendaki. Rekod pembukaan akaun tahun 1989 di keluarkan untuk menyemak tanda tangan dan cap ibu jari. Oh..padanlah kenapa perlu ke cawangan asal akaun dibuka kerana hanya cawangan asal sahaja yang menyipan rekod lama bukan dalam bentuk digital. Kad tanda tangan hanya disimpan di cawangan asal akaun dibuka. Setelah ditanya itu ini, sebab dan membaca laporan polis,barulah dibenarkan membuat buku akaun baru yang dilabelkan 'duplicate'.



Bukan mudah urusannya jika buku akaun bank hilang beserta kad ATM bank. Sangat cerewet dan rumit. Ini baru satu buku akaun yang ummi dapat buat semula. Dokumen sokongan untuk membolehkan akaun dibuka selain kad pengenalan diri sementara ialah lesen memandu. Itu sahaja dokumen sokongan yang mudah dibuat dibandingkan untuk mendapatkan salinan Sijil Kelahiran atau kad pekerja ummi.



Setakat hari ini,setelah 10 hari kehilangan beg tangan, ummi baru berjaya mendapatkan semula buku akaun bank peribadi. Ummi masih ada 1 akaun CIMB yang mesti dibuka sekatan transkasinya. Akaun CIMB atas nama Halaqahnet Services, belum dapat diaktikan transaksinya sebab kad ATM belum dapat dibuat. Akaun ini dibuka di CIMB Bank cawangan UTM. Lepas itu ada 3 akaun Bank rakyat juga perlu dibuat baru setelah ketiga-tiga buku akaun nya hilang.Belumlagi buku akaun Tabung Haji.


Ummi perlu utamankan yang perlu dahulu. Selepas ini perlu hantar laporan kehilangan kepada SSPN dan JPA kerana kehilangan kad simpanan SSPN atas nama Najdah,Amiratun Nazihah dan Ahmad Baihaqi. Laporan ke JPA kerana kehilangan kad Pesara.


Itu pun ketika perjalanan ke Kulaijaya, ummi sempat singgah ke EON Bank untuk hantar laporan polis kehilangan beg tangan. Tujuannya adalah menyekat terus kad kredit yang hilang dan mengantikan kad baru. Jika tidak disertakan laporan polis, penati RM 50 dikenakan atas penggantian kad. Belum lagi ummibuat urusan dengan bank islam untuk penggantian kad kredit Bank Islam lagi. mesti cerewet macam ini juga.


Ambillah iktibar, berhati-hati menjaga dokumen peribadi. Jika sudah ketentuannya, maka hadapi dengan tenang dan sabar walaupun cerewet dan rumit urusannya. Hanya kesabaran yang membantu kita tenang dan redha menerima ujian begini.



Semoga mendapat manafaat entri ummi kali ini.Bila berurusan sesuatu, mohon bersabar dan bertenang. Redha dengan segala ketentuanNYA. Tidak perlu merungut  atau berkeluh kesah dengan urusan yang rumit dengan cerewet. Di sini tujuannya hanya untuk Allah melihatkan bagaimanakah kita menerima ujian dari NYA. Melihat keimanan kita.


Dalam hal ini, Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).



DALAM sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani daripada Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikat-Nya bermaksud : "Pergilah kepada hambaKu. Lalu timpalah bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya."


Banyak berdoa apabila ditimpakan kesukaran dan musibah. Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Bukan maksudnya  "aku mahu mendengar suaranya" itu dengan merungut, berkeluh kesah, marah dan memaki hamun kerana cerewet urusan-urusan mendapatkan dokumen itu semula.



Hadis di atas menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan malaikatNya yang tidak pernah menderhaka dan tetap melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan kepada mereka untuk melakukan pelbagai ujian dan dugaan terhadap hamba-hambaNya. Dengan dugaan dan ujian ini, diharapkan akan terkeluarlah suara hamba itu. Namun begitu, sekiranya tidak terkeluar suara hamba itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi dalam hati hambaNya. Sesungguhnya kehidupan ini tidak sunyi daripada kesenangan dan kesusahan, kesukaan dan kedukaan yang silih berganti. Oleh itu, barang sesiapa yang beranggapan kehidupan ini adalah kesenangan, kemewahan semata-mata atau penuh dengan kesukaran dan kesusahan selama-lamanya, itu adalah salah.

Melalui hadis di atas, Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Oleh itu, kehidupan ini dipenuhi dengan ujian dan dugaan daripada Allah. Ini kerana sesuatu yang tidak diuji, tidak akan kelihatan keasliannya. Umpama manusia gagal untuk menentukan emas tulen dengan tiruan. Maka, untuk menentukan emas itu tulen, maka perlulah dinilai ketulenannya. Demikianlah halnya manusia, di mana mereka telah mengaku diri beriman, tentulah Allah SWT akan menguji sejauh mana keimanan mereka terhadapNya.



Sayyid Qutb (1327-1386 Hijrah) menafsirkan sesungguhnya iman itu bukanlah hanya sebuah kata-kata yang diucap, malah iman adalah suatu hakikat yang mempunyai tugasnya, suatu amanah yang mempunyai beban tanggungjawabnya, suatu jihad yang memerlukan kesabaran dan suatu perjuangan yang memerlukan ketabahan. Manusia tidak cukup dengan hanya berkata: "Kami telah beriman..." Mereka tidak dibiarkan membuat dakwaan seperti itu hingga terdedah kepada ujian dan membuktikan kebenaran dakwaan mereka. Mereka juga perlu keluar daripada ujian itu dengan hati bersih sebagaimana api menguji emas untuk memisahkan unsur logam yang murah melekat padanya. Inilah makna asal kata-kata ujian dari segi bahasa. Ia mempunyai tujuannya, bayangannya dan saranannya. Begitulah juga ujian itu bertindak terhadap hati manusia.


Dalam ayat lain, Allah SWT menerangkan secara jelas bahawa hubungan manusia dengan kehidupan adalah hubungan ujian dan dugaan. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik amal perbuatannya." (QS Al-Kahfi:7-8). Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT mendatangkan pelbagai ujian ke atas hambaNya adalah untuk menilai siapakah di antara hamba-hambaNya yang terbaik. Yang terbaik amalnya itulah adalah orang terbaik di sisi Allah. Ujian yang Allah datangkan kepada hamba-Nya tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan semata-mata. Malah, manusia perlu berwaspada kerana ujian dan dugaan akan datang kepada mereka dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Ini secara terang difirmankan olehNya bermaksud: "Dan kami akan uji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (QS al-Anbiya:35).




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.