BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label Ibu. Show all posts
Showing posts with label Ibu. Show all posts

Wednesday, 8 October 2014

Jangan Halau Anak Keluar Rumah


Tazkirah Subuh
Dua hari lepas seorang remaja berusia 15 tahun dihantar abangnya ke Baitus Solehah. Oleh kerana remaja ini sudah hampir setahun menjadi gelandangan, tidor dimana suka, ibu dan ayah sudah tidak mahu ambik peduli.

Bila hamil, tidak tahu siapa punya benih kerana sepanjang tempoh beberapa bulan sebelum ini dia suka berganti tempat tidor antara 8 lelaki. Bila saya suruh buat laporan polis,lelaki terkini saja dicatatkan dalam laporan polis.

Sejak umur 13 tahun tidak bersekolah. Tidak belajar agama menyebabkan dia tidak rasa bersalah atau berdosa tidor dengan mana-mana lelaki yang dia suka. Dia merasa sangat bebas hidup begitu tanpa kongkongan dan buat apa saja. Nauzubillah...

Ibu bapa yang budiman, benci dengan kelakuan anak yang tidak dengar kata, yang keras kepala, suka melawan, jangan sampai halau anak dari rumah. Tambahan anak perempuan. Tindakan menghalau anak bukan satu jalan penyelesaian masalah, sebaliknya menimbulkan masalah lain yang lebih kronik. Kemana anak tu nak pergi? Itu sebab dia rela menumpang rumah mana-mana saja kawan lelaki yang sedia membenarkan dia tumpang tidor. Maka silih bergantilah dia menumpang tidor antara 8 orang kawannya itu.

Sekarang masalah bertambah kronik bila sudah hamil, umur baru 15 tahun. Bila buat laporan polis, polis tetap cari ibu bapa. Ibu bapa tetap kena hadir ke Balai Polis, kena bawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Nasib baik jika ada rumah perlindungan yang mahu menerima dan membimbing anak itu. Jika tidak, pasti remaja ini menjadi tidak ketahuan kerana kesemua lelaki itu tak mahu mengaku benih siapa dan tak mahu membenarkan lagi tumpang tidor apatah lagi nak bertanggungjawap. Inilah akhirnya timbul kes buang bayi, kita pun jumpa bayi ditinggalkan ditempat sampah atau bawah jambatan.

Apa punca anak-anak tidak dengar kata, keras kepala dan suka melawan? Adakah pengaruh kawan-kawan atau memang cermin sikap ibu bapa mendidik anak?

Oleh itu, janganlah biarkan anak-anak remaja yang suka keluar malam, apabila tak dapat mengawalnya, halau dari rumah. Kita halau dia keluar dari rumah, kemana kakinya nak melangkah? Apakah jika kita halau dia keluar dari rumah dia akan bermusafir mencari ilmu seperti Kisah Sunan? Apakah dia akan mencari masjid untuk tumpang bermalam? Sudah tentu tidak. Dia akan cari sesiapa sahaja rakan satu kepala dengannya untuk tumpang tidor. Dan ketika ini tidak ada lagi kawan baik yang sudi berduka. Yang ada cuma mereka yang sedia ambil peluang dan kesempatan untuk berseronok dan memusnahkannya.

Peranan kita pulak? Mahukah anda 20 tahun akan datang generasi yang memenuhi alam ini terdiri dari anak-anak yang lahir dari kepincangan institusi kekeluargaan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 15 September 2014

Jangan Pilih-Pilih Macam Pilih Ikan di Pasar

bayi Pramatang
Saya baru pulang dari menjemput bayi ini. Sebelum saya datang 5, 6 pasangan melihat bayi ini bila dimaklum ada bayi perempuan ingin diserahkan kepada keluarga angkat.

Bila datang dan menengok bayi semua membatalkan hasrat, tak jadi nak ambik. Ya ...tak cute, tak putih, tak comelkan.

Bila semalam ibu ni telefon bagitahu, "puan mahu anak?" kami terus datang. Temujanji tadi ambik di JPN tanpa banyak soal jawab. Rezeki...anak itu rezeki, terimalah walau apa jua keadaannya. Comelkah dia, cutekah dia, hitamkah dia and what ever pun, jika dia ditawarkan kepada kamu, maka itu rezeki kamu dan menjadi amanah kepada kamu untuk mencorakkannya. Tak payah pilih-pilih, macam pilih ikan di pasar.






 Bayi pramatang memang kulitnya gelap, kurus tak berisi, nampak cengkung dan tidak comel.



Pernah sepasang suami isteri hantar mesej kepada saya, "puan, boleh kami datang tengok bayi dan pilih yang mana untuk kami jafikan anak angkat. "

Terus saya jawab, "mohon maaf, kat sini tak boleh pilih-pilih, walaupun jantina, apabila tiba giliran menerima anak, kamu kena ambik, jika tidak menerima bayi ditawarkan, saya serah pada giliran seterusnya."

Ibarat anak yang dikandung, boleh pilih-pilih ke jantina anak tu? Jika Allah jadikan lelaki, kita berhajat perempuan, apa kita nak buat dengan anak tu? Tak jadi nak terima? Beri anak tu pada orang lain? Mengandung lagi sampailah 19 kali masih mengandungkan anak lelaki...tak dapat-dapat anak perempuan juga.

Sesungguhnya setiap yang Allah jadikan ada hikmahnya.

Caption gambar, bayi ini pramatang, lahir hanya dengan berat 1.1 kg. Sihat atau sakit, adalah ujian buat keluarga yang menerima. Memelihara anak ini, ibarat kita bersedekah. Anak ini sudah ada keluarga angkat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 19 February 2013

Kisah Seorang Ibu Dan Bayinya




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


"Hello, boleh saya bercakap dengan Nora?"
"Saya Nora. "
"Saya munaliza, dari Johor. Saya terbaca suatu komen nora dalam satu laman blog kata Nora nak beri anak pada orang. Anak dah beri pada orang ke?"
"Belum. Masih ada pada saya."
"Berapa umur anak tu?"
"14 hari, 4 Februari hari tu saya bersalin."
"Anak lelaki atau perempuan?"
"Perempuan."
"Berapa beratnya?"
"3.2 kg."
"Bersalin di mana?"
"Kat Hospital Swasta."
"Kenapa nak beri pada orang?"
"Saya nak anak saya dapat didikan sempurna, saya ni hidup pun tak tentu arah. "
"Nora kerja apa?"
"Saya kerja kerani kat syarikat pelancongan. Ni saya ambik cuti tanpa gaji 2 bulan. 1 Mac dah mula kerja, tak tahu nak letak mana anak ni. Jadi baik saya beri pada orang yang boleh dan mampu berikan pendidikan sempurna pada dia."
"Nora duduk dengan siapa sekarang ni?"
"Saya duduk sorang-sorang, beranak sorang, pembedahan pulak tu. Duit pun dah takde."
"Ok Nora, jaga diri baik-baik, nanti saya call Nora lagi ya."

Mula -mula yang terfikir nak usaha cari orang lain untuk ambik anak Nora. Lepas tu terfikir, kot lambat proses pencariannya. Saya bincang dengan zauj. Zauj kata, lambat-lambat nanti Nora stress dia lempar anaknya dari apartmen yang duduk tu.


Terus saya call semula, bagitahu, saya sanggup ambik anak dia. Saya nasihatkan Nora agar tenang, jangan stress atau berfikiran negatif. Sementara ni harap susukan anak tu dengan susu ibu.

Saya fikir daripada diluar kawalan Nora,dia lempar anak ke bawah, baik saya ambik dan selamatkan. Moga ada rahmat Allah kepada anak itu.

Ini saya post di status fesbuk pada 9.05 pagi pada 18 February 2013

Dan catatan di bawah saya post di status fesbuk jam 6.15 pagi 19 February 2013.

Selepas saya memaparkan perbualan di atas di laman fesbuk saya, ramai yang memberi respon, sehingga ada beberapa pasangan menawarkan diri untuk menziarahi nora. Untuk tidak menghilangkan kepercayaan Nora terhadap saya, saya hanya memberikan maklumat tempat tinggal Nora kepada sepasang  suami isteri untuk menziarahinya.


Tidak mahu menimbulkan rasa kebimbangan pada Nora kerana saling antara kami  saling tidak mengenali , sekadar berbual di telefon sahaja, maka saya berikan maklumat pasangan yang akan datang menziarahi Nora dan teman lelaki nora yang menjemput pasangan itu menuju rumah Nora tinggal.


Ikuti coretan yang saya sambung selepas dapat maklumat pasangan suami isteri ini ketika hadir menziarahi Nora. Mereka pergi pada malamnya , tarikh yang sama 18 February 2013.


Anak Nora sedang menyusu
Tentu ramai yang ingin mengetahui kisah seterusnya Nora dan anaknya. (Gambar menunjukkan bayi Nora dengan suami pasangan yang menziarahinya malam tadi, menyusu dalam dakapan hingga terlena)


Pendedahan kisah Nora semalam telah membukakan rasa kasihan, kasih sayang sesama saudara seagama terutama rakan-rakan fesbuk .


Ada antara yang ingin menghulurkan bantuan dan pertolongan segera. Dan sepasang suami isteri bersama anaknya telah sanggup meredah kesesakkan lalulintas di bandaraya Kuala Lumpur malam tadi yang kebetulan hujan pada petangnya. Sampai saja di rumah, mengerjakan solat maghrib dan mereka keluar semula menuju rumah Nora.


Mereka bawa sedikit keperluan bayi termasuk lampin pakai buang dan mandian bayi.


Mereka tiba di rumah Nora lebih kurang pukul 10.00 malam. Berada disebuah rumah flat kos rendah, rumah itu kosong tanpa perabut atau barang-barang kecuali sebuah peti sejuk lusuh yang mungkin ditinggalkan oleh penghuni sebelum nora masuk dan sebuah sofa.


Peralatan untuk bayi juga tiada. Sebab itu wajah Nora agak ceria bila ternampak lamping pakai buang dan mandian bayi ada bersama-sama barang keperluan lain.


Ketika tiba, bayi menagis dengan kuat kerana kelaparan. Saya di rumah juga mendengar dengan jelas suara bayi menangis. Pasangan suami isteri ini telah memasang loud speaker ketika bercakap dengan saya ditelefon sebaik mereka tiba di rumah Nora.


Memberikan sedikit panduan dan tunjuk ajar untuk merawat pusat bayi yang agak berair.


Sebaik tiba isteri, Mohamad Siss M Jamil, cik Kiah ( Zakiah Zakaria ) telah memangku anak tersebut. Tuan Siss pula terus memeluk bayi dan memberikan susu. Bayi itu benar-benar kelaparan, minum susu hingga sendawa dan lena.


Alhamdullilah saya dikurniakan ramai rakan-rakan yang prihatin terhadap permasalahan ummah.


Ini hanya secebis kisah dalam masyarakat yang kita tahu. Sebenarnya diluar sana masih banyak yang kita tidak tahu. Maka jadilah kita masyarakat yang peduli ummah. Jangan apabila telah terjadi sesuatu barulah kita sebuk nak menuding jari kesana kemari.


Setelah berbual dan memberi sokongan moral kepada Nora, Nora telah mengambil keputusan untuk memelihara sendiri anaknya. Maka kita kenalah juga ambik port untuk membantu Nora samada dari segi kewangan dan sokongan moral.


Sekiranya sesiapa yang ingin menziarahi Nora, nampaknya selepas pasangan suami isteri datang, Nora bersedia menerima kunjungan. Sebelum ini, Nora rasa keberatan takut didatangi oleh pihak berwajib yang mahu mengambil tindakan ke atasnnya.


Moga kita semua bersatu hati mendoakan yang baik-baik untuk ummah dan tunjukkan bahawa Islam itu bersaudara.


Persaudaraan Islam itu indah, saling ziarah menziarahi dan ambik tahu. Terima kasih kepada pasangan suami isteri yang telah datang menziarahi Nora , semoga hidup kalian sekeluarga sentiasa di rahmati Allah Ta'ala.


Sebenarnya saya tahu dan mendedahkan kisah Nora dan anaknya ini pun apabila saya menjumpai komen Nora di sebuah blog. Saya terpanggil untuk menelefon Nora untuk mengetahui keadaan anaknya. Rupanya ia telah menjadi asbab untuk kita membantu.


Alhamdullilah kerana Allah membuka rasa untuk kita peduli hal-hal ummah.


Ini coretan Nora yang saya terpanggil untuk menelefon dan ambik tahu kisah dirinya.

"MamaLuvBaby said...

Salam..Saya baru melahirkan seorg baby perempuan pada malam kelmarin.Saya ingin meminta jasa baik kepada pasangan yg masih belum mempunyai cahaya mata untuk mengambil anak saya sebagai anak angkat.Ini kerana saya merupakan wanita yg terlanjur dan melahirkan anak tidak sah taraf.Tetapi ada satu masalah yg ada pada bayi saya dimana dia dilahirkan cacat fizikal yg mana telinga dibahagian kirinya tidak mempunyai cuping dan juga lubang telinga dibahagian kanan sempurna.Tapi doktor mengesahkan yg telinga itu masih boleh disembuhkan sebelum baby ini membesar.Jadi kepada yg sudi mengambil bayi ini diharap dapat menjaga dan menolong untuk melakukan treatment utk bayi ini..Ini kerana saya sendiri tidak mampu utk menjaga kerana saya melahirkan bayi ini melalui kaedah pembedahan..Jika sudi menolong dgn ikhlas sila hubungi saya di nombor berikut 017-xxxxxxx.Saya Nora..
February 5, 2013 at 7:24 PM "


Betapa sedikit keprihatinan kita kepada Nora telah menyelamatkan anak Nora dari berpisah dengan ibunya. Nora sayang anaknya dan mengambil keputusan bijak tidak jadi beri anaknya pada orang lain.


Anak Nora



Hari  ini ramai yang menyatakan kesediaan untuk memberikan pertolongan pada Nora. Ada yang ingin menyumbang keperluan bayi dan keperluan ibu selepas bersalin. Alhamdullilah...


Ada yang telah merancang untuk menziarahi Nora untuk memberikan tunjukajar penyusuan bayi melalui payudara. Nora hanya memerah susunya ke dalam botol dan memberikan kepada bayi. Dia kata bayi tak mahu hisap payudaranya. Bagi saya kemukinan besar Nora tidak tahu teknik penyusuaan yang betul.


Hari ni, nora telah membawa anaknya bertemu doktor, dan doktor pakar telah menguji tahap pendengaran bayi berikutan kecacatan fizikal bayi tidak mempunyai cuping dan lubang telinga sebelah kiri. Pendengaran ditelinga sebelah kanan sempurna , sebelah kiri masih perlu dilakukan beberpa ujian lagi.


Saya memberikan nasihat agar Nora sabar hadapi ujian dan yang penting insaf, ambik iktibar dan bertaubat nasuha. Nora telah dapat menerima kunjungan dan pertolongan orang yang memang benar-benar ingin membantunya.


Semoga kita semua terus menjadi antara orang-orang yang peduli saudara dan masyarakat. Semua orang Islam adalah saudara kita, Sebesar mana kesilapan dan dosa yang dilakukan,  jika dia bertaubat. Allah tetap mengampunkan. Maka sebagai ummah seakidah kita harus bersaudara, saling ingat mengingati dan saling berpesan dengan kesabaran.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 27 November 2012

Syafaat Untuk Ibu Bapa



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


bayi Ibarat kain putih

Tertarik dengan slot Tanyalah Ustaz TV 9 pagi ini, (26/11/2012) bertajuk  Syafaat, ada disampaikan oleh seorang pendakwah , Ustaz Raihan bin Abdullah menyentuh orang-orang yang boleh memberi syafaat ketika di Mahsyar nanti.


Terdapat beberapa Golongan yang boleh memberikan syafaat dengan izin Allah ialah:-

· Malaikat,

· Quran(syafaat yang besar kerana ia adalah qalam Allah)

· Nabi Muhammad s.a.w.,

· Para ulama,

· Para wali,

· sidiqin (orang-orang jujur),

· Solehin (orang-orang soleh),

· Hafiz (yang hafal al-quran dan beramal dengannya). Hafiz yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya.

· Anak-anak kecil yang meninggal dunia ketika masih kecil.



Syafaat al-Uzma” ialah Syafaat yang terbesar yang ditentukan untuk Nabi Muhammad s.a.w. sahaja mengemukakannya ke hadhrat Allah ‘Azza wa Jalla agar disegerakan perbicaraan di Hari Kiamat.


Banyak kategori orang yang boleh memberi  syafaat kepada orang lain dengan izin Allah, antara anak yang meninggal dunia ketika masih kecil. Rupanya dalam kesedihan ibu bapa kehilangan anak, sepatutnya mereka bersyukur kerana telah ada saham di Mahsyaar nanti. Anak mereka itu boleh memberi syafaat kepada ibu bapanya. Walau siapa pun ibu bapanya, selagi masih beriman, tetap mereka akan cari dan memberikan syafaat.

Jadi mana-mana ibu bapa yang kematian anak ketika mereka belum akil baligh, usahlah terlalu berduka kerana anak itu bahagia di syurga Allah dan anak itu boleh memberikan syafaat kepada ibu bapanya pulak.Anak-anak ini menjadi penghuni syurga. Anak-anak itu akan menarik ibu bapa ke syurga.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 26 November 2012

Bila TM Naik Taraf




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته






Lebih 60 jam tanpa internet menyebabkan anak-anak seperti cacing kepanasan. Tidak keruan rasa dan tindakan. Generasi zaman Y memerlukan internet untuk member makna dalam kehidupan harian mereka.

Aktiviti harian anak-anak cuti sekolah menyediakan ruang masa rehat yang panjang. Bermula dari subuh, sebaik azan berkumandang, semuanya bangun dan membersihkan diri untuk solat subuh berjemaah.

Selesai doa, mereka akan mengaji quran. Paling kurang mesti 1 mukasurat. Selepas itu ada yang masuk dapur dan ada yang mula mengadap laptop. Laptop yang mereka bertiga, Omar Abdul Aziz, Abdullah Mubarak dan Muhammad Imran boleh guna cuma 2 buah. Jadi pandai-pandai mereka mengatur jadual giliran menggunakan laptop.

Bukanlaah sepenuh masa mereka duduk mengadap laptop, mereka tetap perlu membantu kerja rumah dan melakukan aktiviti lain. Memasak di dapur, membersihkan rumah dan persekitaran adalh rutin yang mereka kena buat.

Bila ummi mahu membersihkan rumah dan persekitaran, mencabut rumput, mengemaskan pasu bunga di luar, kerapnya Omar yang membantu. Di ruang dapur pula, Abdullah Mubarak yang menguruskan. Memasak apa-apa menu untuk kudapan pagi atau kudapan petang. Cuti ni jarang yang makan tengah hari sebab ikut stail nenek mereka .

Nenek mereka (mak mertua ummi) Cuma bersarapan pukul 8 .00 pagi dan makan malam pada pukul 5.00 petang.  Nenek mereka tidak ambik apa-apa makanan waktu tengah hari. Jadi mereka pun  makan tengah hari. Jika lapar, Abdullah lah yang akan membuat kudapan ringan seperti apa-apa kuih sementara menunggu makan pukul 5.00 nanti.

Walau dalam apa pun yang sedang dilakukan, apabila masuk waktu solat, mereka mesti bangun meninggalkan apa-apa yang sedang dilkerja untuk bersolat jemaah.  Sedang tidor, atau sedang leka di laptop, mesti bangun untuk solat dahulu selepas tu baru boleh teruskan lagi. Lepas solat mesti mengaji. Wajib mengaji setiap kali lepas solat. Ini untuk seimbangkan dengan masa yang mereka berteruskan mengadap laptop.

Mana berani, terutamanya Muhammad Imran untuk menggelat solat berjemaah kerana hukumannya ialah tidak boleh guna laptop untuk hari itu. Antara mereka bertiga bergilir iqamat. Muhammad Imran yang termuda, perlu berlatih iqamat dengan betul sebab dia pun tidak terkecuali.

Seterusnya kena laung azan bila tiba giliran. 4 anak ummi yang terakhir ni semuanya lelaki. Bila solat berjemaah, jika ayah mereka ada, ayah mereka yang jadi imam. Sekiranya ayah tak ada, antara Omar dengan Abdullah bergilir-gilir jadi imam. Begitulah rutin harian mereka ketika cuti sekolah.

Namun bila tiada internet, mereka seperti cacing kepanasan.  Ada laptop tanpa internet menyebabkan mereka mati kutu. Tak tahu kenapa line internet tidak ada.

Jumaat malam Sabtu, jam 11.14 malam, telefon rumah bordering. Baihaqi yang angkat ganggang telefon, katanya operator yang bercakap memaklum system dinaik taraf. Tidak pula dinyatakan sebab-sebab  berapa lama tempohnya dan bermula pukul berapa.

Oleh kerana ummi tidor awal sedikit malam itu, awal pun bukanya lepas solat maghrib, tetapi  jam 11.32 malam. Bila ummi bangun subuh tu, memang didapati line tenet dah tak ada. Selepas solat subuh Omar mengkhabarkan tepat jam 12.00 malam line internet dah tak ada.  Kiranya dah 6 jam line internet tak ada. Ummi fikir sekejap lagi adalah. Hingga jam 8 , masih tak ada line tenet, ummi pun membuat  panggilan ke angka 100 untuk mengetaui status .

Selepas  keterangan di ambil, TM menjanjikan line akan pulih dalam tempoh  24 jam. Namun masih belum pulih walaupun tempoh dah melebehi 48 jam. Apa sebanrnya berlaku? Naik taraf berapa tahap sehingga  lebih 48 jam?

Bil? Kot tak bayar bil. Ummi dah bayar sehingga  -RM45.00. Sentiasa bayar lebih dari bil yang dinyatakan  kerana serik dengan pemotongan line tanpa notis kerana terlewat membayar bil. Sedangkan saya  ada pelanggan setia yang memang sentiasa bayar bil. Tetapi oleh kerana sekarang ni semua computer urus berkaitan bil, maka tidak ada lagi budi bicara jika terlewat membayar kerana sebab yang  tidak terduga.

Bila diaju dan dilakukan, mesti  kakak atau abang manis yang menjawap, itu semua kerana setting kmluter. Ok, saya boleh terima.

Cuma satu yang tidak puas hati ialah sekatan pada hari tersebut , sudahlah tanpa notis dilakukan selepas jam 5 pada petang Jumaat. Saya hanya menyedari selepas jam 8.00 malam. Petang itu saya masih dapat menggunakan. Bila jam 8.00 malam, serta merta anak saya menjelaskan bayaran secara online. Malangnya bila dihubungi untuk memaklumkan bil telah dijelaskan, apa adik dan abang manis jawap? Kena tunggu pagi Isnin, pegawai berkenaan yang boleh melakukan sambungan, kami Cuma bahagian teknikal sahaja. Lihat.., alangkah mudahnya TM menyelesaikan masalah. Walaupun bil telah dijelaskan, bila mahu buat sambungan kena tunggu hari bekerja. Apakah bahagian teknikal tidak boleh membuat sambungan setelah menyemak pembayarn bil telah dijelaskan. Tidak bolehkah bahagian teknikal dilatih untuk mengaktifkan panggilan dilakukan sekatan?

Tetapi kes naik taraf ni, dah lebih 48 jam, tak boleh pulak computer tu boleh disetting supaya tidak mengambil masa yang lama. Masih juga bahagaian teknikal  TM tidak boleh selesaikan masalah pengguna sehingga 48 jam.

Wal hal sebenarnya, kali pertama membuat laporan, jurucakap yang membuat semakan, system naik taraf dah pun selesai pada malam itu juga. Saya tunggu lebih 24 jam untuk mengusul pertanyaan, pun masih jawapan kata juruteknik masih membuat semakan . Sehingga bila? Sebelum 24, kira-kira dha 20 jam saya usulkan pertanyaan, adik manis kata belum 24 jam kan, mohon tunggu sehingga 24 jam .

Setelah 36 jam saya hubungi masih kata laporan sudah dipanjangkan bahagian teknikal kawasan, dan mereka tidak catat apa-apa pesanan.

Setelah 60 jam tidak dapat melayari internet, pagi tadi call lagi 100, adik manis jawap, sistem TM down, nak buka report pun tak boleh... 3 pagi saya call 100, 24/11/2012 bercakap dengan abang manis Zaris, 25 /11/2012 bercakap abang manis Akmal, dan pagi tadi bercakap dengan adik manis bernama Aziah. Hari-hari update status report kenapa line internet masih belum pulih.

Sehingga bila masalah ni boleh diselesaikan?

Jika kelewatan oleh pengguna lewat bayar bil tak ada budi bicara, tetapi jika kelewatan dipihak TM menyelesaikan masalah banyak pulak alas an. Adik dan abang manis dilatih untuk menjawap dengan sopan berbagai alasan. Itulah kelebihan TM!!




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 23 July 2010

Pelihara Tutur Kata mu Ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



SERING kita mendengar dalam kehidupan seharian, seorang ibu sering memarahi anak mereka di atas kenakalan atau kesalahan yang dilakukan.


Lantas mereka melaknat dan menyumpah anak mereka itu baik dengan kata kotor ataupun doa yang tidak baik sehingga menjadi kebiasaan.








Ibu tidak pernah merasa bersalah atau berdosa atas perbuatannya itu. Sambil bersungut dan mengumpat, si ibu meninggalkan permata hatinya itu menangis.


Memang tugas sebagai ibu di rumah tangga mempunyai tugas yang sangat berat, ibarat pekerja ibu mempunyai jam kerja yang tidak terbatas berbanding bekerja di pejabat selama enam hingga lapan jam.Selepas itu dia boleh beristirahat dengan tenang.


Sedangkan bagi ibu yang memiliki anak menjaga mereka 24 jam, belum melayani suami, memasak, mengurus rumah, menggosok pakaian dan sebagainya.


Aduh kasihan sungguh kaum ibu. Beruntunglah ibu yang suaminya menyediakan pembantu di rumah untuk meringankan tugasnya.


Bagaimana pula apabila suami tidak mampu? Tentu isteri yang perlu menyelesaikan tugas itu bersendirian dan biasanya apabila ibu keletihan di tambah pula dengan kerenah anak sudah pasti ibu tidak dapat kawal emosi.


Maka keluarlah cercaan, cacian, makian, laknat dan sumpah yang tidak baik kepada anak mereka.


Biasanya seorang ayah yang mendengar kadang hanya berdiam diri saja. Lalu bagaimana sebenarnya Islam memandang hal ini?


Memang apabila seseorang jauh dari penghayatan Islam yang mulia ini akan menyeret mereka dalam dosa dan maksiat bahkan mereka secara tidak sedar menzalimi diri mereka.


Kerana itu wajiblah bagi semua Muslim dan juga Muslimah mempelajari agama agar mereka terhindar dari apa yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang di perintah-Nya.


Islam melarang ibu bapa melaknat anak mereka, bukan hanya itu kita pun dilarang menyumpah diri kita sendiri ketika kita marah.


Sesungguhnya kita tidak mengetahui bila waktu yang kita ucapkan perkataan itu menjadi doa dan di kabulkan.


Dari Jabir bin Abdullah, beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Janganlah kalian menyumpah diri kalian, dan jangan pula menyumpah anak-anak kalian dan harta kalian, anda tidak mengetahui saat anda menyebut itu menjadi (doa) dan dikabulkan sehingga Allah akan mengabulkan sumpah itu." (Hadis Riwayat Muslim)


Hadis di atas menjelaskan bahawa ada waktu baik yang di dalamnya akan dikabulkan doa. Demikian itu hadis berkenaan melarang kita untuk menyumpah diri, putera-puteri kita dan harta kekayaan kita supaya sumpah itu tidak bertepatan dengan waktu doa itu dikabulkan.


Tetapi sayangnya sebagaimana yang dipaparkan di atas, ramai kaum ibu sebenarnya yang melaknat dan menyumpah anak mereka, tetapi beralasan mereka sebenarnya tidak bermaksud melakukan sedemikian.


Sebagaimana kita ketahui, alasan itu tidak dapat diterima kerana larangannya jelas dan tegas.


Ada satu cerita di mana ada seorang anak lelaki berusia sembilan tahun tersambar petir. Maka ramailah orang datang untuk melihatnya. Tidak lama kemudian datanglah seorang ibu yang menangis teresak-esak dan menjerit kerana mendapat tahu anaknya sudah meninggal dunia.


Selepas beberapa waktu, rupanya kematian anaknya itu adalah akibat dari sumpah ibunya sendiri yang ketika itu sedang marah yang menyumpah agar anaknya disambar petir.


Akhirnya sumpahnya itu dikabulkan Allah dan ibu berkenaan terlalu menyesal. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.


Sungguh menyedihkan apabila seseorang jauh dari nilai agama sehingga membuatkan diri mereka terjerumus melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya.


Semoga Allah membimbing kita semua serta mengampuni segala dosa kita. Sebenarnya banyak tip yang boleh di pelajari oleh ibu agar mereka mampu boleh mengawal emosi ketika marah. Antaranya:


1. Ketika ibu marah, ingatlah bahawa Allah selalu mengawasi kita dan ingatlah bahawa anak tidaklah terus menjadi dewasa dan memahami kehendak kita.


Kita juga dulunya anak yang nakal dan menyakitkan orang tua kita.


2. Tarik nafas dalam-dalam dan santai (relaks).


3. Bila kedua-dua cara di atas belum boleh menguasai emosi segeralah beristighfar. Apabila ingin meninggikan suara maka lakukanlah sehingga anak mendengar suara kita.


4. Seseorang akan mudah marah akibat keletihan. Maka jangan memaksa diri dalam melakukan pekerjaan rumah sebaiknya tidurlah segera ketika anak tidur. Berbincanglah dengan suami berkenaan cara dan kaedah selain bacalah buku sebagai panduan.


5. Jangan lupa berdoalah kepada Allah agar hati ibu dalam genggaman-Nya. Insya-Allah, kita tidak akan membiasakan diri lagi menyumpah anak kita ketika marah.



Semoga menjadi pengajaran,iktibar dan teladan kepada ibu-ibu dan bakal-bakal ibu semua. Jika kita mahu menjadikan anak kita anak yang soleh,maka ia bermula dari diri kita, jadilah ibu mithali dan muslimah solehah terlebih dahulu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 9 May 2010

Gembirakan Ibumu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kisah buat  renungan dan teladan, kasih seorang anak terhadap ibunya, walupun telah mati, mengugat nyawanya sendiri, namun kerana kasih ia tetap menyelamatkan jenazah ibunya dari berkubur tanpa nisan.


Dan ummi juga ingin memilik anak-anak seperti ini, mengasihi mak ayah walaupun mak ayah telah  tiada di dunia ini. Masih ada yang sampai kepada ummi  dan ayah walau ummi ayah tiada di dunia, iaitu:




Sebuah Kisah Buat Renungan
Kasihnya seorang anak yang sanggup berenang selama 12 jam ditengah laut sambil mengheret mayat ibunya yang telah mati lemas. Itulah kisah Aqeel Qirqeel, 14 tahun satu-satunya mangsa yang terselamat dalam insiden bot karam di perairan Teluk Rumania, Johor. Insiden ini turut mengorbankan 6 orang anggota keluarga Aqeel.

Insiden dan peristiwa ini sangat menyentuh perasaan ummi dan tergambar di mata ummi bagaimana rasa kasihnya seorang anak yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kasihnya pada seorang ibu yang telah meninggal kerana lemas, kerana tidak mahu mayat ibunya terus hanyut dan hilang.

“Saya tahu ketika itu ibu saya sudah meninggal dunia tapi saya tidak mahu melepaskan mayat ibu. Saya bimbang ibu akan hilang atau tenggelam”.

Kasih Aqeel jadi ingatan kepada kita, bahawa tanggungjawab menyayangi kedua ibubapa bukan sahaja ketika mereka masih hidup, tetapi ia menjadi tanggungjawab wajib kepada setiap anak samada ibubapa masih hidup atau telah tiada. Ummi yakin, jika kita insaf dengan apa yang Aqeel lakukan, nescaya kita tidak tergolong dalam kelompok anak yang derhaka dan melupakan tanggungjawab kita kepada mereka, kerana itu tidak hairanlah bila dikatakan bahawa ‘syurga itu dibawah tapak kaki ibu.’Seorang ibu boleh menjaga 10 anak tapi 10 anak belum pasti boleh menjaga seorang ibu.Renungkanlah.

Hadith Nabi SAW

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"


Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.



‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:



“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya:



“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.”[1]



Berhijrah adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting. Malah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang munasabah. Firman Allah:


Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:

“Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”

Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.”

Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.


Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak,yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [al-Nisa’ 4:97-99]


Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah sebagaimana hadis di atas, dimana jika berhijrah akan menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka. (Kecuali hijrah kerana aqeedah,dari menyekutukan Allah kepada mengesakan Allah SWT)


Dalam hadis ini terkandung petunjuk bahawa menggembirakan ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan agama. Oleh itu janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia menyedihkan mereka. Tidak ada cara yang terhad untuk menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu yang dilarang oleh syari‘at.

Kerap kali menghubungi mereka, sering kali menziarahi mereka, membawa mereka bercuti, membelikan mereka hadiah adalah beberapa contoh cara kita boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka kesunyian, tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka, bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah beberapa contoh tindakan kita yang menyedihkan mereka.



Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan meraikan Mother’s Day dan Father’s Day? Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan Father’s Day. Hujah mereka adalah:

1. Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.

2. Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman baginda.

3. Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.

4. Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun.



Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka yang dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan Father’s Day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:



1. Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat. Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day, maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat manusia, sepertimana perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.



Perlu diingatkan bahawa dalam berinteraksi dengan persoalan bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga kumpulan:

*Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam. Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus hukumnya.


*Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang oleh Islam.


*Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu dianalisa secara mendalam.

2. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.



Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil meneruskan kehidupan sendiri. Meraikan ibubapa pada Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu daripada ruang tersebut.



3. Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain dalam ekspedisi jihadnya.



Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan, kita umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan Islam.



4. Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi ibubapa anda?”



Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan saya jelaskan seterusnya dalam buku ini, insya-Allah.



Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak. Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day, sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti sambutan Hari Jadi.





[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 4163 (Kitab al-Bai‘ah, Bab berbai‘ah untuk hijrah).




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 8 May 2010

Selamat Hari Ibu



Selamat Hari Ibu Buat Diri Ku sendiri




Seorang ibu tak mahu apa-apa daripada kita sebagai seorang anak, selain mahukan perhatian dan kasih sayang kita kepadanya.




Buat renungan kepada  semua anak-anak yang rajin membaca laman ummi ini...



Ibu Lebih Utama Berbanding Ayah.


Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]

Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:
“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas.

Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: “Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]


4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.


Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuhdan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.


Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:
“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;
mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:
“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):
“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui(yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]


5. Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.


Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5]




[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).
[2]  Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).
[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.
[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799


Derhaka Kepada Ibubapa Termasuk Dosa Besar.


Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali:

“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”


Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”

Baginda menjelaskan: Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.[1]


Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:



Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.[2]



Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.



‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:



Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).[3]



Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita, bahawa janganlah menderhakainya.






[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2654 (Kitab al-Syahadat, Bab apa yang diperkata berkenaan sumpah palsu).
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5975 (Kitab al-Adab, Bab derhaka kepada ibubapa termasuk dosa besar).
[3]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 8 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2898



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 11 April 2010

Hargai nilai ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kepada sesiapa yang punya mak, hargailah. 

Mak ummi telah 4 tahun kembali ke rahmatullah. Namun rasanya macam semalam saja perginya. Kasih sayangnya masih segar dalam ingatan. Sentuhan tangannya, belaian dipipi terasa masih panas. Masih terbayang lagi senyumannya. Mungkin juga rasa ini masih subur dan diharap tetap subur kerana kasih itu lahir di hati dan dibajai di hati juga.

Ditambah lagi mak sering hadir di dalam mimpi - mimpi yang mungkin dianggap mainan tidor, tetapi bagi ummi itu adalah anugerah Allah untuk ummi mengubat rindu. Tidak pernah ummi melupakan mak walaupun telah bertahun mak pergi.

Mak, bilakah muna akan menyusul mak? Duduk berdua dengan mak seperti dahulu, muna suka mak baring, letakkan kepala mak atas paha muna. Masih muna ingat mak, akhir- akhir waktu muna bersama mak. 2 minggu sebelum mak pergi,muna balikkampung untuk ziarah mak.

Kita tidur berdua, sambil berbual-bual menyingkap kisah lama. Mak ceritakan, macamana susah mak untuk besarkan muna dengan adik-adik. Dengan rumah kita di tepi sawah, orang kata pondok pisang sesikat, beratapkan nipah.

Masih muna ingat mak, kita perlu angkut air guna timba bawa naik ke rumah untuk kegunaan harian. Kita guna air hujan yang ditadah dalam tempayan untuk minuman harian. Tiap petang muna kena cari kayu api, kena angkut bawa naik atas rumah. Orang lain dah guna dapur masak gas, tapi kita masih guna kayu api. Orang lain guna air paip, kita masih guna air parit dan air hujan untuk minuman. Kita mandi guna air telaga, sejuknya tak terkira kala mandi di subuh hari. Basuh pakaian pun guna air parit sahaja.

Jalan untuk sampai ke rumah kita sejauh 3 km, perlu melalui taliair yang bila hujan sangat becak/berlumpur. Sedangkan ke rumah orang lain, dah ada jalan raya, paling kurang batu kelikir supaya tidak becak bila hujan.

Untuk ke sekolah muna perlu berjalan kaki sejauh 3 km untuk sampai sekolah. Pernah ada basikal, abah belikan tetapi kena berkongsi dengan kakak, kadang-kadang saja muna dapat gunakan sebab kakak nak periksa, mesti kena cepat sampai sekolah. Muna perlu beralah. Dan kadang-kadang (sebenarnya selalu) bila naik basikal, muna jatuh parit, hingga tenggelam dengan basikal, habis baju kuyup dan buku basah. Muna tak cekap naik basikal, lagi pun muna berbaju kurung, berkain,jadi payah nak kayuh, kadang tersangkut pada rantai basikal. Tambahan bila berselisih dengan orang-orang tua/lelaki yang tak mahu beralah bagi jalan pada muna.

Kekerapan jatuh parit hingga tenggelam, menyebabkan muna serik nak tunggang basikal ke sekolah. Rela muna berjalan kaki, supaya buku tidak basah. Bila buku basah muna tak dapat menulis, buku kena jemur, untuk beli buku baru, tidak mungkin sebab yuran RM 3.00 setahun pun abah sukar nak bayar,apatah lagi jika nak beli buku baru. Muna tahu, muna ada ramai adik-adik, sedangkan abah cuma kerja buat sawah padi orang saja. Duit cuma dapat bila musim tuai padi. Antara musim mana ada duit untuk abah biayai persekolahan kami adik beradik.Tambahan pula dari kakak sampai anak ke 5 semuanya perempuan, adik ke 6 baru lelaki. Mana boleh bantu abah cari duit. Kami yang perempuan cuma boleh bantu abah buat kerja sawah padi sahaja.

Namun begitu, kita tetap dapat makan nasi tiap hari sebab, kita ada padi,kita tampi dan tumbuk sendiri agar jadi beras. Kita boleh memancing, menjala dan memukat ikan, untuk buat lauk harian. Mak pula rajin tanam sayur, mak tanam atas batas sawah pokok terung, pokok cili,pokok kacang bendi, pokok ubi keledek dan pokok timun. Kat tepi parit pula, mak tanam pokok ubi kayu, pokok jagung , pokok betik dan pokok pisang. Itulah makanan harian kita sehinggalah muna dapat sambung belajar ke KL.

Masih muna ingat, masa sekolah menengah, dah tingkatan 3, bila nak belajar waktu malam, muna guna pelita minyak tanah. Kami adik beradik duduk belajar dekat-dekat sebab cuma ada satu pelita sahaja untuk menerangi kegelapan malam. Lagipun nak jimat minyak tanah. Muna tetap gigih juga buat siapkan kerja sekolah dan ulangkaji. Muna tekad pada masa itu, mahu keluar dari kepompong kemiskinan hidup. Satu caranya hanyalah dengan menuntut ilmu, sebab nak kaya dengan harta tak mungkin kerana kita memang tidak berharta walaupun sekangkang kera.

Idola muna masa itu ialah Mak Teh Azizah, Mak Teh Azizah rajin belajar, dapat masuk UKM. Ketika tahun 2, Mak Teh dilamar orang, dan Mak Teh kahwin juga. Masa tahun 3 Mak Teh dah dapat anak, tapi Mak Teh tetap juga teruskan belajar sampai tamat degree. Mak Teh berjaya bawa keluar keluarganya dari kepompong kemiskinan duduk di kampung. Itu yang muna jadi rajin juga. Muna fikir, kalau muna tak kerja, sapa nak berikan mak duit tiap bulan? Sapa nak bantu mak biaya adik-adik sekolah?

Dan bila adik-adik dah habis belajar, dah kahwin, Allah takdirkan mak sakit pula, maka dengan duit itulah pula mak guna untuk biayai perubatan. 20 tahun mak sakit, akhirnya mak meninggal hanya disebabkan oleh angin ahmar/stroke selama 24 jam sahaja. Begitu mudah mak pergi dihadapan muna seorang diri.

Ketika itu, adik telefon muna khabarkan mak sakit dan di bawa ke Hospital Ipoh kerana angin ahmar, ada pendarahan di dalam otak mak. Masa itu muna masih di rumah muna di Johor Bahru. Bila dengar berita itu, terus Othman hantar muna ke Hospital Ipoh. Semua orang, adik-adik, kakak, abah yang selalu bersama mak, tidak ada depan mak waktu mak pergi. Allah pilih muna sorang saja untuk melepaskan mak pergi. Mereka semua selalu bersama mak, sedangkan muna hanya dapat setahun paling kurang 2 kali saja jumpa mak sejak muna berkahwin. Muna duduk jauh di selatan/abah selalu kata, muna duduk sisi langit, perjalanan nak jumpa mak ambik masa lebih 10 jam ketika belum ada lebuh raya. Mak selalu sebut, agaknya kalau mak mati, muna seornag saja tak sempat mengadap mak. Muna sedih bila dengar mak kata macam tu.

Siang malam muna berdoa, "Ya Allah, berilah aku kesempatan agar dapat bertemu dengan mak, sebelum mak pergi jauh dari dunia ini." Dan itulah yang telah Allah takdirkan buat muna, akhir hidup mak dihadapan muna. Muna sempat bersama mak selama 10 jam sebelum mak pergi. Dari jam 12 malam itu, kita tidur bersama-sama, mak berbaring di katil wad, muna cuma duduk di kerusi, tangan kita bergengaman sepanjang malam itu. Muna tahu walaupun badan sebelah kanan mak telah mati (tak bergerak dan berfungsi), mata pejam, mulut membisu, tapi mak tak tidur. Sebab bila tangan kita terlepas dari gengaman, tangan kiri mak teraba-raba cari tangan muna. Dan bila muna berbisik di telinga mak, muna kata,kalau mak faham apa muna cakap, mak gengam tangan muna, mak buat.

Bila azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran, muna minta izin mak untuk berwuduk dan bersolat. Sambil tu, muna bisik kat mak, waktu subuh dah masuk. Kalau mak masih ingat,mak solatlah dalam hati. Selepas solat subuh, muna duduk tepi mak semula, muna buka surah yasin, tengah muna baca, muna dengar mak berdengkur 3 kali, muna ingat mak tidur...........

Tapi rupanya itu tanda mak kelemasan, tapi muna tak tahu, sehingga doktor tegur tanya , berapa lama mak berada di dalam keadaan begitu? Doktor bantu beri CPR pada mak, tapi jantung mak dah lemah sangat, doktor nak pasang mesin bantuan pernafasan, tapi muna tak beri izin, muna tanya , berapa lama masa dijangkakan mak akan pergi jika dipasang mesin itu, doktor jawap sekitar 2,3 jam sahaja. Muna cakap tak payah, sebab nanti akan menyakitkan mak, berikan masa yang ada ini untuk mua bersama dengan mak sahaja. Muna tak mahu mak sakit.

Bila tinggal berdua, mereka masih membiarkan wayar-wayar bersalut dibadan mak, wayar monitor untuk pantau jantung mak, muna lihat di monitor, graf masih tinggi julatnya. Muna gunakan masa itu dengan membisikkan khalimah syahadat di telinga mak. Tangan mak muna gengam, mak masih beri respon pada tangan muna, dan khalimah yang keberapa kali muna ulang-ulang ditelinga mak dengan harapan,hati mak ikut bacaan khalimah itu, akhirnya gengaman di tangan muna dengan mak jadi longgar, dan bahu muna di tepok oleh seorang doktor.

"Kakak, mak kakak sudah tak ada". Muna angkat kepala dari sisi telinga mak, memandang ke monitor, graf telah lurus. Muna pandang wajah mak, putih bersih tersenyum. Waktu itu, setitis air mata muna pun tidak mengalir, sebaliknya muna seakan merasa satu kepuasan yang membahagiaankan kerana dapat berbakti pada mak hingga akhir hayat mak. Rasa bahagia itu masih terpahat hingga hari ini. Mak mati dalam husnul khatimah. Sehingga mak di bawa ke kubur selepas di solatkan di rumah, muna tidak menangisi kematian mak. Muna dengan adik-adik yang mandikan mak, kapan kan mak. Terasa kami dah buat macam mak buat ketika kami baru dilahirkan dulu, mandikan dan pakaikan kami baju agar kami selesa. Begitu lemah lembut kami layan mak sebelum mak di bawa ke tempat persemadian akhir dunia ini.

Muna tak rasa sedih mak pergi, sebab macam dah tahu di mana tempat mak, namun untuk meringankan sekiranya masih ada dosa-dosa mak, muna suka meberikan hadiah pada mak setiap hari, agar keadaan mak aman di sana. Kesabaran mak hidup susah bersama abah, membesar dan mendidik muna dengan adik-adik telah mak dapat balasannya. Mak memang seorang muslimah yang qanaah dengan hidup ini. Dan itu yang mak didik pada muna dan adik-adik semua.Kami hidup seadanya , berusaha dengan gigih untuk hidup selesa pada hari ini. Kami tidak merungut dan merintih atas segala susah payah hidup dimasa lalu, sebaliknya berusaha dengan gigih untuk hari ini. Maka apa yang kami usaha, kami doa dan bertawakkal, itu yang Allah rancangkan buat kami adik beradik semua.

Walaupun tak ada adik-adik yang lepas muna, atau kakak yang berjaya ke Menara Gading, namum mereka berusaha dengan cara mereka untuk mencari rezeki. Ada yang berniaga cendol dan laksa, ada yang menjadi tukang jahit baju, ada yang buka taska, ada yang kerja kilang disamping meneruskan kegiatan mengusahakan sawah padi. Kakak sendiri pun untuk sara hidup hanya dengan membuat kuih sahaja. Namun kerana redha dengan apa yang telah Allah tetapkan , syukur dengan rezeki yang ada, bahagia tetap dapat diraih.

Begitulah sekadar perkongsian dan kenangan buat anak-anak semua...

Dibawah ini ummi ambik petikan dari akhbar, buat santapan.


Hargai nilai pengorbanan ibu


SAYA baru mengenali ibu gigih ini. Namun pautan kasih yang terjalin antara kami seakan-akan sudah lama. Hari pertama bertemu dengan wanita berusia 64 tahun itu, saya disajikan dengan paparan perit jerihnya membesarkan anak-anaknya.

Biar pun kami baru berkenalan, sentuhan kasih sayang keibuannya mudah menyerap, mengundang keselesaan untuk dia tanpa dipaksa mencurahkan rasa kepada insan yang baru beberapa jam hadir dalam hidupnya.

Rasa kagum saya terhadap kisah hidupnya bukan sedikit. Dia bersendirian -- biar pun ketika itu suaminya di sisi - untuk memastikan kesemua anaknya mendapat ilmu.

Bukan bermakna bapa kepada anak- anaknya tidak bertanggungjawab. Cuma dalam soal menentukan kepentingan ilmu, dia lebih peka dan berperanan.

Ketika anak-anaknya masih kecil iaitu sekitar tahun 1960-an dan awal 1970-an, ibu gigih ini berhijrah dari kampung asal bersama suami meneroka hutan membina sebuah dangau untuk berlindung daripada hujan dan panas.

Dangau tidak berbilik itu menjadi tempat mereka lapan beranak bernaung untuk tempoh yang agak lama. Kedudukan 'syurganya' itu juga terasing dan jauh daripada kediaman orang lain.

Dia dan teman hidupnya mengambil upah menoreh getah di kebun berhampiran dangaunya. Sambil merenung kisah silam, ibu yang telah kehilangan suami sejak lama dulu berkongsi kepayahannya.

Keadaan hidup yang sangat miskin sambil menyifatkan dia sekeluarga merempat di tempat orang, menyebabkan dia berhati-hati menjalani hidup.

Kasih ibu kepada anaknya

"Saya pernah membalut pokok-pokok getah dengan kain guni kerana bimbang anak-anak yang sedang nakal ketika itu merosakkan pokok tersebut," luahnya.

Kami bersembang mesra di dapur dan ketika bersama-sama memetik jantung pisang untuk dijadikan ulam hidangan makan tengah hari.

Keperitan hidupnya dirungkai dalam kemesraan itu. Betapa kesempitan hidup hampir saja menutup peluang anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sememangnya dia ibu bertuah kerana dikurniakan bukan sahaja anak-anak yang pintar malah memahami himpitan hidup ibu gigih ini.

Anak-anaknya hanya ada sehelai pakaian sekolah. Jika basah atau koyak, pakaian itulah yang mereka sarung setiap hari. Tiada rungutan jauh sekali memberontak. Kasut koyak juga dipakai mengharungi denai dan hutan berbasikal ke sekolah yang terletak jauh dari rumah.

Ada kalanya anak-anaknya tidak ke sekolah membantu ibu membanting tulang. Biar pun hidupnya kini semakin selesa, namun paparan perit jerih yang dilalui lebih 40 tahun lalu cukup untuk menggandakan kepercayaan saya tentang pengorbanan seorang insan bernama ibu.

Saya bertuah kerana dalam keadaan masih mempunyai ibu yang menatang saya umpama minyak penuh, saya dipertemukan pula dengan seorang lagi ibu yang sempat menumpahkan sedikit kasihnya kepada saya.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 26 July 2009

Pengalaman menjadi ibu

Ummi mulakan dengan pengalaman ummi sebagai ibu...

Ketika seorang ibu mahu melahirkan seorang insan ke dunia, kesakitan nya tiada terungkap dengan kata-kata. Menitis airmata menahan rasa sakit yang datang silih berganti. Sebab itu Allah berikan ganjaran syahid jika meninggal dunia kepada seorang ibu yang melahirkan seorang anak.

Walaupun begitu, tempoh masa kesakitan melahirkan seorang anak bagi setiap perempuan tidak sama. Ada yang sekejap ada yang berhari-hari. Ada yang mudah ada yang susah. Segala adalah kurniaan Allah.

Pengalaman ummi melahirkan 10 orang anak, berbeza antara satu sama lain. Kurniaan Allah, tempoh masa sakit hanya sekejap lebih kurang 2 jam. Tetapi rasa sakit itu tidak dapat digambarkan disini. Senang tulis, sangat sangat sakit.

Anak pertama, kedua dan ketiga semua dilahirkan di rumah, disambut oleh suami dan seorang bidan bersara. Masa tahun 80an masih belum ramai doktor wanita di hospital atau klinik swasta.

Mulai anak keempat, mula bersalin di hospital kerana abang kakak sudah besar dan mula sibuk ambil tahu, macamana adik dilahirkan. Dan mereka sibuk hendak tunggu dan tengok bagaimana proses kelahiran adik mereka. Anak nombor 4 ini, cuma sempat masuk 5 minit ke dewan bersalin, terus dilahirkan.

Anak kelima, bersalin pada hari Deepavali. Kebanyakan doktor bercuti, hanya ada doktor oncall sahaja. Oleh kerana pesakit tidak ramai, mereka bawa awal ke Dewan Bersalin ajak berbual takut saya keseorangan di bilik wad. Sedang berbual, rasa sakit terus nak bersalin, doktor baru nak pakai sarung tangan, bayi dah lahir.

Anak keenam, telah berdegup jantungnya, tetapi dijemput kerahmatullah kerana turun darah tanpa henti disebabkan tanggungjawab kerjaya yang dibuat tanpa rehat mencukupi.

Anak ketujuh, dari awal kandungan ada masalah, asyik dirawat oleh doktor pakar Hospital Besar, tapi akhirnya saya pergi bersalin di Hospital Daerah yang kecil sahaja. Rasa sakit sekejap sahaja, melahirkan anak ini di atas katil wad. Huru hara jadinya doktor dengan ururawat, kerana cadar dan selimut berlumuran darah. Mujur saya ditempatkan dalam bilik satu orang.

Anak kelapan, pengalaman anak ketujuh bersalin di katil, jadi awal-awal bila rasa sakit makin kuat terus beritahu jururawat, sampai dewan Bersalin, tetapi baby dah keluar atas troli.

Anak kesembilan tidak sempat ditiup roh oleh Allah, dijemput kembali ke rahmatullah, kerana saya diserang denggi berdarah yang kritikal.

Anak kesepuluh, dugaan yang hebat, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, baby dikeluarkan secara pembedahan kecemasan demi menyelamat nyawa seorang ibu yang kelemasan. Bertarung antara hidup dengan mati, namun Allah Maha Pengasih, saya masih ada hingga hari ini.

Bermula hari ini, hospital telah menjadi rumah kedua saya yang mengalami berbagai masalah kesihatan. Syukur dengan kurniaan Allah ini,kerana Dia begitu hampir dengan saya dan sentiasa dihati saya. Disinilah saya sangat merasai bahawa Allah sangat sayang pada saya, saya dapat melihat keadilan Allah pada manusia,Allah Maha Gagah dan Perkasa dan dengan KemurahanNya saya menikmati hidup penuh rasa cinta hanya padaNya.

Inilah pengalaman yang saya ingin kongsi bersama.
"Pengalaman menjadi ibu"