BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Sunday, 10 July 2016

Bukan Terlanjur Jika Berkali Kali


Bukan Terlanjur Jika berkali kali
 Duduk santai berbual dengan tetamu, telefon saya berbunyi.

"Hello, Assalamualaikum."

"Assalamualaikum puan"

"W'salam, siapa ya?"

"Saya En Nor dari Sebuyau."

"Ada apa yang boleh saya bantu en Nor?"

"Saya ada masalah dengan anak perempuan saya ni. Umur baru 17 tahun, malam tadi saya tangkap anak saya sedang berdua duaan dengan botfrennya. Mereka dah terlanjur."

"Terlanjur dah berapa kali , adakah anak en Nor mengandung?"

"Dah banyak kali saya tertangkap mereka terlanjur, saya dah beri amaran, mereka buat lagi, boleh ke saya hantar anak saya ke pusat pemulihan akhlak?"

"En Nor, saya cadangkan en. Nor nikah aja mereka, itu lebih baik. Nikah segera. Nanti mengandung lagi payah. Sekali dua terlepas, kalau banyak kali ada juga benih yang sangkut."

"Mereka sekolah lagi."

"Sekolah pun takpe lah, nikahkan, lepas tu biar mereka teruskan kehidupan mereka secara halal. Nanti baru mereka tahu langit ni tinggi atau rendah. Jika jodoh tak panjang, tak pelah, takde beza status anak En samada janda bernikah atau anak dara yang tidak berdara."

"Masukkan anak En ke rumah perlindungan tetapi tidak mengandung, tidak akan membuahkan apa apa hasil, sebaliknya jiwa memberontak kerana terkurung melainkan jika dia nak masuk secara sukarela, sedar, insaf dan mahu bertaubat. Jika dipaksa, dia akan melarikan diri."

"Baiklah, saya akan uruskan segera, lagi pun saya nak beri peluang dua dua menduduki peperiksaan SPM. Jadi lepas SPM biarlah dia terus kehidupan berdua, bagi peluang nak hidup sendiri walaupun belum tiba masanya."

Semoga ada ibu bapa yang terbuka fikirannya, apabila anak telah pernah tertangkap berzina, segera menikahkan mereka supaya keinginan mereka mengulangi telah halal. Jadi takde dah istilah terlanjur berkali kali . Terlanjur tu sepatutnya sekali sahaja sebab 'TER' bukan berkali kali. Berkali kali tu maknanya mengangkang bukan terkangkang.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 5 July 2016

Apakah Mahu Dibiarkan Terus Mengulangi Kesalahan ini?


Terus Mengulangi Kesalahan ini?

Tidak semua faham apa yang kita lakukan dalam menyelamatkan dua jiwa. Apabila kita bertegas dalam sesuatu hal, ada yang menganggap kita memayahkan urusan yang mudah. Benar, kita boleh memudahkan urusan jika kemaslahatan itu lebih besar dari mudarat. Sekiranya mudarat dan kesan buruk lebih besar, biarlah urusan itu dilenggahkan dan orang merasa kita telah menyusahkan.

Orang tidak nampak apa yang telah kita nampak, walaupun bukan kasyaf, tetapi melalui pengalaman yang dilalui. Jauh kedepan, kesan yang perlu dilihat.

Akan ada pulak yang kata, "sejak bila pulak boleh meramal akan nasib dan takdir seseorang?"

2 tahun lepas, sudah melahirkan seorang anak. Bapa telah membantu uruskan supaya maruah keluarga terjaga, aib terpelihara. Bapa sudah usaha menutup sebaik baiknya, menasihati agar tidak mengulangi perbuatan ini. Diberi peringatan bertaubat, berubah dan jaga diri. Bapa sudah beri amaran,jangan berani berani mengulangi perbuatan zina ini.

Tetapi, 2 tahun selepas itu telah melarikan diri dari rumah kerana mahu kebebasan, bertindak mengikut nafsu akhirnya kecundang lagi. Untuk kali ini, mula berbohong dan mencari perlindungan jauh dari pengetahuan keluarga. Merahsiakan identiti diri supaya keluarga tidak dapat mengesan keberadaan diri.

Kebenaran tetap kebenaran. Pembohongan akhirnya terbongkar. Apabila terbongkar diri sendiri yang malu, dan mula merasa tidak selesa berada dengan kawan kawan.

Dan beralih ketempat lain untuk meraih simpati baru dengan memburuk yang lama. Berbohong lagi. Sampai bila?

Memang apabila seseorang mentarbiyah pada jalan agama akan dikecam, dikata tidak adil, pilih kasih, mendera dan tidak membantu. Kenapa dia rasa macam tu? Sebabnya apabila dia buat perkara itu jelas salah, takkan kita masih nak menyokong dan menyorokkan.

Saya dikecam kerana memberitahu waris akan kehamilan kali kedua ini. Saya dikecam apabila tidak mahu menguruskan discaj keluar wad sebalik saya menyerahkan kepada keluarga semula menguruskan.

Untuk pengetahuan semua, matlamat saya menyelamatkan jiwa , bukan sekadar menyelamatkan ketika di dunia ini tetapi menyelamatkan di akhirat juga. Saya tidak mahu bersubahat menyorokkan kesalahan yang kamu lakukan ini dari keluarga kerana saya tidak ada kuasa apa apa. Nasihat saya sudah beri, tarbiyah telah saya jalankan berbulan bulan, tetapi kamu masih tidak berubah. Masih berbohong dan menganggap saya salah , kamu juga yang betul.

Konon tindakan saya akan membuatkan emak terkejut, takut emak kena serangan jantung, takut bapa kena stroke sebab darah tinggi naik. Habis tu kalau kau tahu emak bapa ada penyakit, kenapa kau ulang lagi perbuatan yang boleh mengakibatkan mereka kena serangan jantung dan storke. Kau yang buat lepas tu kau takut pulak. Apakah kesalahan kau ini mahu dibiarkan saja?

Dalam bapa sudah beri amaran kau berani buat lagi, apatah lagi saya yang bukan siapa siapa, menasihati lepas ni jangan ulang, adakah kau nak dengar? Nak ikut tarbiyah sedangkan masa dalam proses tarbiyah pun kau masih berani berbohong dan masih berani bertindak tanpa kebenaran.

Dan tindakan paling berani, kamu meraih simpati orang baru, menyuruh mengaku sebagai emak angkat yang akan menjaga kamu selepas beranak, meminta menguruskan discaj wad. Kamu ajar emak angkat kamu supaya mendesak emak kandung memberi izin untuk kamu tinggal bersamanya, mendesak saya tanda tangan discaj keluar wad. Lepas keluar wad, merancang terus tinggal dengan emak angkat baru dengan penuh kebebasan.

JIka saya bersetuju, kamu akan rasa, "oh takpe mengandung lagi, sebabnya mudah aja, masuk rumah perlindung, rumah perlindung akan urus discaj wad lepas beranak" Lepas itu buat peragai, langgar peraturan rumah perlindungan supaya boleh diarah keluar dari rumah perlindungan, dan bebas semula.

Saya tak mahu perkara ini berulang sekali lagi apabila disorokkan dari keluarga. Saya tidak mahu membantu begitu mudah dia keluar wad selepas beranak dan tinggal dengan selesa selepas mendapat simpati orang baru. Bermakna akan datang pun boleh ulang kerana mudah nampak jalan keluar masalah.

Saya setuju peraturan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital yang hanya membenarkan waris atau pengurus Rumah Perlindungan yang ada surat kebenaran waris boleh discaj wad ibu ibu tidak bernikah selepas beranak. Jika jabatan ini tidak bertegas, akan berleluasa zina, beranak tanpa nikah. Mereka terus merasa tidak bersalah untuk mengandung sebelum bernikah.

Saya tidak sanggup khianat pada amanah. Apabila saya menanda tangani surat jaminan keluar wad, saya yang bertanggungjawap sepenuhnya penjagaan kepada ibu dan bayi sehingga dijemput waris pulang ke rumah.

Sebaliknya, saya didesak untuk tandatangan sebagai penjamin bawa keluar, tetapi sebaik dapat keluar wad, tidak mahu ikut saya pulang ke rumah perlindung, mahu pulang ke rumah emak angkat yang baru. Bermakna bukan saya yang menjaga dan melindungi selepas keluar dari wad.

Maka jika berlaku sesuatu tragedi kepada ibu dan bayi, yang akan dicari adalah siapa yang menandatangani dan bertanggungjawap selepas keluar wad. Tidak ada rekod juga yang menunjukkan pulang kepada waris.

Bukan mudah apabila kita dipertanggungjawapkan dengan sesuatu amanah untuk menjaganya.

Ibarat seorang lelaki yang menikahi seorang perempuan, selepas akad nikah, dia akan dipertanggungjawapkan segala galanya. Mengabaikan bererti telah khianat pada amanah.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 3 July 2016

Buang Takabur , Isi dengan Tawaduk.


Buang Takabur , Isi dengan Tawaduk.

Kuliah Hikam , 26 Ramadhan 1437 H bersamaan 01/07/16

Lagi berat sesuatu amalan, lagi besar pandangan Allah. Sesiapa yang bersungguh sungguh melakukan perkara yang Allah suka, maka terimalah keredhaan Allah yang membahagiakan.

 
Selain suruhan yang wajib, amalan sunat juga bagus dilakukan. Amalan sunat ini ibarat barang aksesori yang mencantikkan amalan wajib agar nampak lebih menawan. Pandangan siapa yang mahu kita tawan? Pandangan Allah atau pandangan manusia? 


Ibarat kita berhias hias rumah, pandangan siapa yang kita harap apabila rumah kita cantik?

Solat awabbin
Solat tasbih
Solat istiharah
Solat fajar
Solat tahajud
Solat dhuha

Mintalah apa apa yang berkaitan urusan dunia ditentukan oleh Allah dijalan yang diredhai. Kita minta pimpinan Allah kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Mohon jalan yang benar agak tidak tersilap langkah. Jangan apabila sudah tersilap langkah, bila ditegur tidak mahu ikut, tidak mahu dengar, padahal tidak pekak. Orang yang degil dari taat perintah Allah akan menderita di dunia , menderita di akhirat.

Buang takabur , isi dengan tawaduk.

Apabila kita ingin menjadi orang baik di sisi Allah s.w.t , tugas pertama kita ialah buang sifat tercela, tugas kedua kita Isi sifat terpuji.

Mengisi Sifat terpuji yakni mengisi diri, jiwa dan hati dengan sifat sifat kemanusiaan yang baik dan sifat sifat yang membawa dekat dengan Allah. Murnikan hati kamu dengan cara pembersihan diri dan penyucian jiwa.

Insya Allah wa bi idznillah, amin.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 28 June 2016

Kenapa Tidak boleh Papar Alamat Baitus Solehah di Internet




Larangan Papar Alamat Baitus Solehah
Suatu pagi selepas solat subuh, tiba tiba seorang remaja umur 17 tahun yang sedang sarat mengandung turun dengan beg pakaian. Ketika itu pelatih pelatih lain sedang duduk di majlis ilmu mendengar tazkirah subuh.

"Ummi, saya nak keluar dari sini?"

"Kamu nak kemana?"

"Nak balik rumah?"

"Dengan siapa? Kamu boleh keluar bila ada waris yang ambik"

"Pak we saya dah datang ambik."

"Pakwe bukan waris, hanya waris saja boleh bawa keluar kamu dari sini."

"Dia dah datang ummi, ada kat depan tu."

"Macamana pakwe kamu boleh datang, kamu beri alamat pada dia ke?"

Bila saya keluar, memang ada sebuah kereta nombor pendafatran luar Johor menunggu di hujung jalan. Didalamnya ada 2 lelaki, seorang dewasa dan seorang remaja."

Pakwe remaja perempuan ini ialah remaja lelaki itu. Berumur 16 tahun. Sanggup datang dari jauh, bersama lelaki dewasa yang subahat mahu membawa keluar mak we yang sedang sarat mengandung.

Ketika remaja perempuan ini datang ke Baitus Solehah, Remaja perempuan ini datang sendirian, saya menjemputnya di Terminal Bas Johor Bahru pada pukul 4.00 pagi. Remaja ini datang tanpa pengetahuan ibu bapa.

Apabila datang ke Baitus Solehah, semua pelatih perlu mengisi borang profile. Saya mendapatkan maklumat ibu bapa remaja ini dalam borang profile. Ada dicatatkan nombor telefon. Saya memberi pilihan samada mahu memaklumkan sendiri atau saya memaklumkan kepada ibu bapa tentang kehamilannya, dan keberadaannya. Setelah memberi tempoh sebulan, tanpa pengetahuannya saya menghubungi ibu bapanya.

Memanglah ibu bapanya terkejut dengan berita kehamilannya, lebih terperanjat apabila tahu dia berada di Baitus Solehah, jauh dari bandar tempat tinggal mereka. Sebelum ini ibu bapa tahu dia selalu tumpang di rumah kawan disekitar bandar tempat tinggalnya, cuma tidak tahu rumah kawan yang mana kerana bila ditanya , tidak mahu bagitahu alamat. Mereka masih berhubung seperti biasa melalui telefon, cuma remaja ini tidak mahu pulang ke rumah. Jika dia pulang pun, waktu ibu bapa keluar bekerja. Ibu bapa sudah tidak tahu cara untuk memaksa remaja ini supaya tidak keluar rumah. Mereka hanya bersangka baik, tahu anak mereka selamat. Tetapi mereka tidak tahu yang remaja menyembunyikan kehamilannya dari diketahui oleh mereka berdua.

Namun ibu bapa bersyukur kerana remaja itu datang ke Baitus Solehah, bukan ke tempat lain. Tanpa pengetahuan remaja ini, ibunya telah datang menaiki bas ke Baitus Solehah pada malam sebelumnya dia mahu pergi bersama pakwe. Saya tidak tahu betapa bagusnya rancangan Allah untuk memberi peluang kebaikkan kepada remaja ini. Tanda Allah masih sayang. Allah gerakkan hati ibunya datang pada malam itu, dan tidor di Baitus Solehah. Saya jemput ibunya di terminal bas. Oleh kerana sudah lewat malam, ibu itu tidak mahu menggangu remaja itu tidor. Jadi remaja itu tidak tahu akan kedatangan ibunya pada malam itu.

Sedang elok dia juga merancang mahu lari ikut pakwenya. Dia menghubungi pakwe melalui telefon dan pakwe berjanji datang menjemput. Remaja ini telah memberikan alamat Baitus Solehah kepada pakwenya. Melalui telefon, mereka berjanji.

"Kamu boleh keluar jika waris setuju bawa kamu keluar dari sini."

"Suka sayalah, saya datang sendiri tanpa waris, keluar pun suka sayalah."

"Tidak boleh, sesiapa boleh datang sendiri tetapi apabila keluar mesti ada waris yang jemput, ini peraturan Baitus Solehah."

"Tapi pakwe saya dah datang."

"Tidak boleh keluar tanpa kebenaran waris."

"Waris saya mana ada untuk saya minta izin."

"Itu siapa?"

"Ibu. Bila ibu sampai?"

"Malam tadi."

"Buat apa ibu datang sini?" Kasar bunyi suara remaja ini kepada ibunya.

"Nak tengok kamu, selama ini ibu tak tahu dimana kamu berada, ibu tanya kamu tidak pernah bagitahu, kamu cuma hubungi ibu bila duit kamu habis." Jawap ibu dengan suara perlahan.

Wajah remaja itu berubah bila tahu ibunya datang mencarinya. Lagi masam mencuka apabila ibu melarang dia dari keluar dari Baitus Solehah, melarang ikut pakwenya lari dari Baitus Solehah.

"Kenapa ibu nak campur urusan saya, saya dah besarlah ibu." Remaja itu menengking dengan suara yang tinggi.

"Kalau dah besar, kamu boleh fikir apa yang kamu buat ini betul atau salah. Bertaubatlah, zina tu dosa, melawan cakap ibu juga dosa, cukup cukuplah dosa kamu yang kamu lakukan selama ini, dah macam ni keadaan kamu, masih lagi nak buat maksiat." Jawap ibu dengan suara yang sayu sambil mengesat air mata.

Dengan kekuasaan dan kehendak Allah, remaja ini tidak dapat melarikan diri bersama pakwenya kerana kehadiran ibu pada tepat masanya. Semua ini adalah perancangan Allah.

Sejak itu bermulanya larangan memiliki telefon , Ipad atau tablet persendirian di Baitus Solehah. Sejak itu saya berhati hati pendedahan alamat Baitus Solehah di internet.

Ramai pelatih yang datang sendiri adalah sukarela untuk berubah. Niat mahu bertaubat dengan menjauhkan diri dari teman lelaki. Apabila diri telah mengandung, mereka tersentak dan mula memikirkan tentang diri , ibu bapa dan anak dalam kandungan. Mula memikir tentang aib dan maruah diri dan keluarga. Mula memikir masa depan, memikir keselamatan, memikir dimana mahu beranak dan berbagai bagai lagi. Akhirnya mereka mencari maklumat untuk ke rumah perlindungan. Mereka tidak mahu pulang ke rumah, kerana ia akan mengaibkan ibu bapa dan menimbulkan kemarahan ibu bapa. Mereka selalu pergi senyap senyap tanpa pengetahuan teman lelaki.

Teman lelaki pulak apabila kehilangan teman wanita, berusaha mencari kerana benda free yang enak telah hilang untuk dipeluk. Teman lelaki akan cuba berbagai usaha mencari samada di rumah sewa, dikampung atau ditempat kerja. Apabila tidak menemui, mereka mencari di rumah rumah perlindungan dengan menyamar sebagai bapa saudara, abang saudara, sepupu dan berbagai cara. Mereka bertanyakan nama teman wanita dan alamat. Setakat hari ini, penyamaran melalui telefon atau akaun fb palsu masih belum berjaya. Tetapi sekiranya mengoogle, ada alamat, pasti mereka berani datang dan menanggangu kedamaian di sini. Bermula dari satu kes, ia menjadi pelajaran untuk kemaslahatan Baitus Solehah akan datang.

Saya berharap semua faham akan menjaga keselematan dan privacy Baitus Solehah. Kami bersedia menerima tetamu yang berniat jujur dan baik. Terbuka dan selalu menerima tetamu.

Semalam saya mendapat panggilan permohon masuk remaja 15 tahun yang baru melahirkan anak. Mahu dihantar oleh ibu saudara setelah ibu bapa kandung tidak mahu ambil peduli hal anak yang terlalu liar.

"Puan, adakah anak saudara puan mahu tinggal di sini secara sukarela?"

"Tidak, kami paksa masuk, tak kan nak biar dia jadi makin teruk setelah ibu bapa tak nak ambil tahu hal anak."

"Puan, rumah kami di tepi jalan, tidak jauh dari bandar, rumah kami di sini, gate tak pernah kunci, pengawal keselamatan pun takde, agak agak puan dia lari tak jika puan hantar dia ke sini?"

" hah! Tak berkunci? Saya hantar pintu depan, dia keluar pintu belakang lah gitu."

"Ya puan, pelatih di sini datang secara sukarela, mereka bertahan kerana niat mahu berubah, jika mahu keluar pun mereka akan maklumkan, minta izin juga. Puan rasa rasa anak saudara puan mahu ke tinggal di sini?"

"Dia memang tak mahu pun, dia nak ikut pakwe dia, anak pun dia kata nak jaga, kita tak nak biarkan gitu tanpa nikah. Tu saya usaha nak masukkan ke rumah perlindungan."

"Kalau gitu puan, puan mohon masuk rumah perlindungan lain yang ada pagar tinggi, ada pengawal supaya dapat memantau dia dari melarikan diri. Boleh rujuk JKM juga kerwna bawah umur lagi."

"Baik puan, terima kasih atas penerangan dan nasihat."

Sementara emak saudara nak buat urusan masuk rumah perlindungan, sudah pasti remaja ni sempat hantar mesej kepada pakwe bagitahu dia dihantar kemana, dan nantinya pakwe akan cari alamat tempat tu, dan subahat bawa keluar. Ada berbagai teknik, lakonan dan cara mereka mahu melarikan diri jika tidak ada niat untuk bertaubat dan berubah.

Inilah secebis kisah yang membuat sesuatu peraturan berubah ubah dan bertambah ketat. Untuk kemaslahatan semua. Utamakan kemaslahatan. Jika kemudarat itu lebih besar.  
 
 
Darah kita sama merah, rambut kita sama hitam, hati kita lainlian, hanya Allah Yang Esa.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 20 June 2016

Bayi Menangis Saat Berpisah Dengan Ibu


Bayi Menangis Saat Berpisah Dengan Ibu
Jika suatu hari nanti anak bertanya, "ibu, kenapa ibu beri Zulaikha kepada mama?"

Agak agak apa jawapan yang mahu diberikan kepada anak itu?

Sebab itu setelah melalui pengalaman memelihara ibu ibu mengandung, menjaga mereka ketika mengandung, melihat betapa payah mengandung tanpa orang yang disayang di sisi mereka sebagai tempat untuk bermanja manja, meluah rasa, mereka jadi orang yang memendam rasa, apabila sunyi mereka bicara berdua dengan anak dalam kandungan.

Bicara bicara sayu mengetar jiwa raga, kedengaran apabila malam menjelma. Waktu siang kita boleh lihat bicara mata mereka yang kerinduan pada keluargà dan orang orang disayang. Apakan daya mereka tidak berupaya. Bukan semua memahami keadaan mereka, kehendak mereka yang susah payah dan sukar membawa perut ke sana sini.

Keadaan ini membuat mereka sayang pada anak dalam kandungan. Tujuan keluarga menghantar mereka ke rumah perlindungan agar mereka dibimbing untuk bertaubat dan berubah. Tetapi lain pula yang mereka rasa. Dalam keadaan sukar, payah mereka sendirian, jauh dari keluarga, dan ini membuat mereka rasa terbuang. Tujuan keluarga agar mereka insaf, serik dan berubah. Selepas ini tidak lagi terjebak dan tersasar oleh hasutan syaitan iblis.

Dan apabila mula sakit sakit, ada tanda nak beranak, naluri dan fitrah mahu orang disayang berada disamping mereka. Betapa azab emosi dan rasa yang mereka lalui. Sebaik anak lahir, anak diletakan didada mereka, fitrah semulajadi Allah hadirkan kasih sayang kepada anak. Mereka ingin berkongsi kegembiraan selamat melahirkan anak dengan orang disayang. Namun semua itu cuma angan angan. Selepas melahirkan betapa payah dan susah berjaga, menjaga anak yang baru lahir dengan kudrat yang ada. Mereka kena berusaha sendiri untuk bangun mengurus diri dan anak.

Inilah pengajaran dan pelajaran. Sekiranya yang insaf dan sedar, mereka berusaha menjauhkan diri dari maksiat, mencari ilmu dan menjaga amalan supaya Allah memandang mereka dengan pandangan keampunan dan menerima taubat mereka.

Namun...ada yang menerima zuriat dan ada yang menafikan hak nasab. Sekali lagi ibu terpaksa melalui kegetiran emosi, rasa dan jiwa apabila anak itu dipaksa menyerahkan kepada keluarga angkat. Kebanyakkan ibu bapa menyokong anak itu diplihara sendiri dengan bantuan keluarga lainnya terutama kakak atau abang , paling tidak emak saudara menumpangkan sementara di rumah mereka selepas keluar dari Baitus Solehah. Ada juga yang membuat lakonan, dengan skrip drama swasta. Samada anak pulang dulu atau ibu pulang dulu. Skrip ini direka awal awal, dengan bercerita kepada saudara mara dan jiran tetangga ingin mencari anak angkat yang baru lahir. Jadi apabil bayi dibawa pulang dahulu, dihebahkanlah bahawa sudah dapat anak angkat. Dibuat kenduri doa selamat dan majlis cukur rambut bagi meraikan kehadiran anak angkat yang masih bayi.

Ada juga setengah ibu bapa berpindah rumah kekawasan baru, berjiran baru. Dikawasan rumah baru, jiran belum kenal dan tahu hal hal keluarga, jadi bila bawa pulang ibu dan bayi seseolah, anak itu sudah berkahwin dan pulang berpantang di rumah ibu. Suaminya kerja luar dan tidak sempat menguruskan isteri baru beranak. Lihat betapa payah, bukan sahaja diri sendiri tetapi keluarga yang terpaksa berlakon dan berbohong.

Sedarlah semua menyelamatkan ummah bukan tugas individu, semua pihak perlu mengambil peranan, dengan mengambil berat hal jiran, bertanya khabar , berziarah sekiranya lama tidak kelihatan.

Sebelum ini, sungguh sayu melihat apabila emak dan ayah yang datang hanya mahu membawa anak mereka saja dan bayi dipaksa ditinggalkan. Sekali anak diuji, jiwa raga dan emosi...antara anak atau emak? Nenek yang datang, usahkan nak memeluk, menyentuh, tengok pun taknak. Kasihan... Bayi tu langsung tidak bersalah, tidak ada kena mengena dengan dosa ibu ayahnyà, tetapi tidak mendapat hak untuk dipeluk, dikasihi dari keluarga kandung.

Petang tadi pun begitu, kerana maruah keluarga lebih utama, ketaatan kepada ibu bapa, bayi yang berusia satu bulan ini dipaksa tinggal di Baitus Solehah. Ketika ibunya mahu berangkat, menciumnya, terbit air dipenjuru mata. Meleleh perlahan lahan walaupun sedang tidor. Bayi ini sedar, dia tidak dibawa pulang bersama ibu, maka terputuslah air susu dia dengan ibunya. Sebulan bayi ini dibelai sayang dan kasih oleh ibunya, sepenuh penyusuan susu ibu, tiba hari ini dia terpaksa dipisahkan. Ibu dibawa pergi oleh nenek pulang ke rumah. Alangkah hiba apabila mengetahui keadaan sebenar.

Saya pun tidak berupaya menyedarkan mereka yang sangat berpegang apa orang kata, nak letak maruah ni kat mana. Saya sangat malu, macamana nak sorok pipi, rasa muka disalut taik lembu. Kalau dah gitu, berlakon tak mahu, takde daya upaya nak memaksa pelihara cucu sendiri.

Akhirnya berpisahlah ibu dan anak. "Jika kau sayang anak, begitulah ibu juga, sangat sayangkan kau." Si anak kembali ke rumah keluarga tanpa bayi yang sangat dikasihi.

"Kau baru satu bulan dah rasa sangat sayang pada anak, emak ini dah 20 tahun mengasuh engkau, bandingkanlah banyak mana kasih sayang emak kepada engkau." Sambil mengesat air mata dengan hujung lengan baju.

La haw lawala quwata illah billah....



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 3 April 2015

Sedekah, Biar Sedikit Tetapi Berterusan


Sedekah, Biar sedikit asalkan Istiqomah
Satu yang saya nak kongsikan dengan semua, amalan kecil yang boleh kita amalkan. Kita takde harta berjuta, tak mampu nak bina masjid, kita juga tak de ilmu yang nak disampaikan, tapi kita ada duit rm 1 dan rm 1 dalam dompet. Ini duit yang selalu kita ada dalam dompet atau dalam poket.

Amalan Almarhumah mak mertua saya ialah suka bersedekah dengan duit rm 1 ni dimana dan kepada sesiapa sahaja. Walaupun almarhumah mak mertua saya ni bukan orang kaya, tapi dia kaya budi. Suka mengembirakan kanak kanak. Jumpa kanak kanak mana pun tak kira anak orang kaya atau miskin, dia akan sedekah rm 1. Kalau masjid atau rumah anak yatim tak usah ceritalah, jumpa masjid, masukkan rm 1, ada orang minta derma untuk anak yatim , tetap rm 1.

Almarhumah selalu ingat pesan dengan pesanan almarhum suaminya,"sedekah biar sikit tetapi berterusan. Selalu gembirakan orang biarpun kita sedih."

Kalau nak tunggu kita ada rm 50 dan rm100 baru nak sedekah, sampai bila bila pun kita tak mampu bersedekah. Akhirnya kita langsung tak bersedekah. Ada orang malu nak sedekah rm 1, pasal apa? Kita bukan nak bagitahu orang kita bersedekah tu.

Selalu dalam fb, orang muda, ada kerja pulak tu, berkira kira nak beri duit raya kat budak budak, bukan banyak pun, rm 1 saja, bubuh dalam sampul, pun merungut, budaya tak bagus katanya. Padahal budaya tu mendidik kita bersedekah dan budaya mengembirakan kanak kanak.

Kalau almarhumah, duit raya rm 1 bubuh dalam sampul tu yang diutamakan dulu. Bukan setakat hari raya, bah kan sepanjang masa ada duit rm 1 dalam sampul untuk diberikan kepada sapa saja kanak kanak yang dia jumpa atau yang datang ziarahi dia. Kanak kanak takde dosa, bagus kita gembirakan dia.

Setiap kita ada peluang dan ruang untuk bertaubat, membaiki iman, jiwa dan akhlak ke arah mulia. Samada kita nak berubah atau tidak. Kematian akan tiba bila bila masa tanpa kita duga dan bersedia.

Kita akan tinggalkan segala apa yang kita ada, milik kita di dunia ini. Yang kita bawa cuma amalan. Jika kita sudah sediakan tabungan untuk hidup selepas kematian, alhamdulillah. Sementara umur masih ada ni, selalulah ingat mati. Buat pelaburan, banyak banyak beli saham.

Lebih 20 tahun almarhumah mak mertua saya menyedia kain kapannya sendiri. Itu tanda almarhumah sentiasa mengingati mati. Benar benar dia bersedia. Ini cara almarhumah mak mertua saya.

Kita pun boleh membuat sesuatu perkara yang mengingatkan kematian. Bila mahu buat sesuatu fikirkan Allah redha atau tidak. Kit kot mati apa jadi. Setiap kali nak lakukan sesuatu, terus ingat jika aku mati waktu ni, macamana?

Istigfar jadikan senandung rindu di lisan. Kumandangkan setiap masa alunan selawat. Hati akan selalu tenang. Istiqomah bersedekah. Bila malam muhasabah, aku ada bersedekah atau tidak hari ini.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 28 December 2014

Tutuplah Aurat Dengan Sempurna

Tutuplah aurat dengan sempurna
Sketsa di satu pagi. Isteri berbaju lengan pendek, dengan tuala kecil tutup kepala. Lalu depan suami...

"Ayang nak kemana tu pakai macam tu?"
"Nak sidai pakaian kat luar."
"Kenapa pakai macam ni?"
"Ala..sekejap aja."
"Berbaloi ke, dedah aurat sekejap aja, nanti lama menanggung azab di neraka?"

Isteri pun masuk semula ke bilik dan memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna.

Sanggupkah kita langgar perintah Allah untuk menerima azab siksa di neraka nanti. Nak test azab siksa neraka, celup hujung jari kat minyak panas. Kalau mampu menahannya 5 minit, anda memang hebat.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 27 December 2014

Solat Boleh Mencegah Perbuatan Mungkar


Solat Boleh mencegah perbuatan mungkar
Zaman ini zaman fitnah, fitnah berleluasa, dimana-mana. Ia bermula apabila solat ditinggalkan. Ramai zaman ini orang tidak menegrjakan solat 5 waktu. Malas, tidak tahu, sebuk, leka, tidak penting, ambil mudah dan tidak takut pada hukum dan azab Allah diakhirat nanti menyebabkan mudah sahaja solat ditinggalkan.

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain.

Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.

Menurut satu kajian, 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit.

Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek

Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam.

Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak.

Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak.

Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Apakah punca sebenar ramai yang tidak mendirikan solat?

Tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan solat, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan solat. Manusia lebih peka menumpukan kepada mencari keperluan dunia sehingga mengabaikan keperluan akhirat sedangkan Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah Allah Ta'ala.

Maka didiklah anak untuk mengerjakan solat sejak masih kanak-kanak lagi. Masih belum terlewat jika ada ibu bapa yang tidak pernah mengerjakan solat untuk diri sendiri belajar mendirikan solat. Carilah sesiapa sahaja yang boleh mengajar mendirikan solat asalkan tidak ada malu untuk bertanya dan belajar.

Tidak ada apa yang dapat menyelamatkan kita di dunia dari sebarang fitnah dan perkara mungkar melainkan dengan mendirikan solat. Solat menjadi benteng pertahanan kepada dirinya dari terjebak dalam kancah maksiat. Solat juga melindungi diri dari tipudaya syaitan dan manusia berhati syaitan.

Dalam surah Al-Ankabut, ayat 45,


ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)
Bermakna, 
 "Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."







Dengan mengerjakan solat berterusan, iman kita terpelihara, maruah kita terjaga, jiwa kita tenang dan lapang. Tidak ada orang yang mendirikan solat dengan sempurna akan merasa gundah gulana memikir akan kesusahannya ketika di dunia ini. Semuanya yang dilalui redha belaka.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 26 December 2014

Mengetuk Pintu Rahmat


Kuliah Hikam di Baitus Solehah
Kuliah Hikam, 26/12/14, subuh ini. Segala kurniaaan zahir digunakan untuk mencari keredhaan Allah. Semakin dekat seseorang dengan Allah Ta'ala, makin banyak kurniaan Allah kepada. Kurniaan terbesar ialah ilmu pengetahuan.p

Kita buat perbandingan ulama' silam dengan ulama' kini. Ulama' silam mampu menulis kitab berjilid-jilid sedangkan komputer pun tidak ada. Mereka menggunakan memori yang Allah kurniaan , menulis menggunakan pen dan dakwat.

Ramai orang soleh, ramai orang yang melakukan kebajikan, adalah sebahagian yang Allah kurniakan kepada orang orang beriman. Melakukan sesuatu semata mata mencari keredhaan Allah.

Apabila ada yang berbuat mungkar, tidak ada sebahagian antara kita yang mencegah, maka apabila bala diturunkan ia menjadi hak semua orang. Semua orang akan menerima musibah. Bezanya, ada orang apabila didatangkan musibah menjadi lebih takwa dan ada sebahagian makin kufur dengan Allah. Lebih takwa apabila menerima musibah dengan redha dan sabar. Yang kufur makin marah, menuduh Allah tidak adil, menyatakan Allah zalim kerana membiarkan segala kekayaannya diragut dalam musibah yang melanda.


 Mengetuk pintu rahmat Allah Ta'ala dengan melakukan ketaatan terhadap perintahNya. Orang yang mendapat keredhaan Allah apabila setiap tindakannya menurut syariat dengan teliti.

Di dunia lagi darjatnya telah diangkat oleh Allah, maka jalan jalan rahmat sentiasa terbuka untuknya. Hatinya sentiasa berzikir, mengingati Allah dalam apa jua keadaan. Barakah hidupnya tersebar dengan orang orang yang bersamanya.

Walaupun berzikir tetapi hati masih lalai, itu lebih baik dari langsung tidak berzikir dan hati langsung tidak ingat Allah. Berzikir di lidah dengan selalu menyebut nama Allah, telah mengetuk pintu rahmat Allah.

Kalam Hikmah Al Imam Ibnu Athaillah Askandary yang ke 47, "Berkekalanlah Dalam Menyebut Allah Dan MengingatiNya."

‪#‎Kuliah‬ Hikam paa 26/12/14 di Rumah Ustaz Othman.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 24 December 2014

Hakikat Sedekah Mneyelamatkan Diri Sendiri

Sedekah Menyelamatkan Diri Sendiri
Tahukah sahabat semua bahawa kita memberikan sedekah atau sumbangan kepada insan lain seperti orang fakir, miskin, orang yang ditimpa musibah itu sebenarnya untuk menyelamat diri kita sendiri sebenarnya. Bukan sahaja kita menolong orang susah, menyelamatkan orang, hakikatnya untuk menyelamatkan diri sendiri dari sifat tamak, bakhil,loba dan membersihkan hati dari sifat tercela.





Berikut ini beberapa dalil yang menyatakan dengan bersedekah, hidup seseorang itu diberkati dan dimurahkan rezekinya.

Sedekah Menjadi Sebab Allah Membuka Pintu Rezeki

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Diberikan pahala yang banyak, menyelamatan kita dari terjerumus ke neraka.

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Qs. Al Hadid: 18)

Firman Allah s.w.t.: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, pasti akan ditunjuki kepada mereka jalan keluar. Dan diberi rezeki kepada mereka daripada jalan yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi baginya”. (At-Talaq:2-3)

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman ‘Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?’ Nabi Ayub mejawab ‘Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu’. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Kekayaan bukanlah sesuatu yang harus diidam-idamkan oleh seseorang Islam kerana kekayaan boleh membawa kerosakan kepada seseorang sekiranya tidak menurut jalan yang betul. Islam lebih melihat kekayaan dari segi kekayaan jiwa. Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa. (Sahih Muslim.)

Hadis berikut ini pula menyeru kita agar rajin bersedekah kerana Allah akan memberi kita rezeki dan kesenangan melalui bersedekah. “Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah, sebelum kamu mati. Bersegeralah melakukan amalan amalan salih sebelum kamu kesibukan dan hubungilah antara kamu dengan Tuhan kamu dengan membanyakkan sebutan (zikir) kamu kepadaNya dan banyak bersedekah dalam bersembunyi dan terang-terangan, nanti kamu akan diberi rezeki, ditolong dan diberi kesenangan.” H.R Ibnu Majah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 23 December 2014

Musibah Menyelamatkan Iman


tazkirah Subuh
Tazkirah Subuh hari ini, 23/12/14,yang disampaikan oleh saudara Muhammad Nur Iman,  musibah yang didatangkan oleh Allah ada hikmahnya sekiranya musibah itu telah menyelamatkan iman dan memberikan impak untuk bertaubat. Contohnya, sekiranya selama ini selalu berzina berterusan dengan teman lelaki, tiba-tiba hasil perbuatan zina itu telah menyebabkan perempuan itu mengadong. Dengan sebab mengandong itu telah menimbulkan ketakutan.

Takut dengan hukum Allah, takut dengan manusia, maruah, malu , semua bercampur aduk sehingga menimbulkan kebingungan dan kekeliruan. Tidak tahu kemana arah apabila dengan mudah teman lelaki say good bye dengan menapikan sperma yang tersenyawa itu darinya. Boleh lagi berkata, "awak berzina bukan dengan saya seorangkan?"

Sudahlah tidak mahu mengaku itu spermanya, boleh lagi menuduh perempuan itu telah berzina banyak lelaki. Perempuan itu sedang sedih disebabkan mengandong, bertambah terluka lelaki itu tidak mahu mengaku dan bertambah parah apabila dituduh berzina dengan lelaki lain sedangkan perempuan itu hanya berzina dengan lelaki itu sahaja selama ini.

Maka dengan kebingungan, menyedarkan diri akan kesilapan, takut, insaf mula mencari jalan keluar. Dengan taufik dan hidayah Allah, tidak bertindak melakukan dosa-dosa seterusnya dengan mengugurkan kandungan atau buang bayi. Sebaliknya mencari jalan untuk bertaubat. Mencari tempat untuk dibimbing bertaubat dan berhijrah.

Muhasabah diri atas kesilapan lalu dan berusaha memperbaiki diri dengan mentaati Allah dan Rasul. Kembali melakukan perkara-perkara yang Allah redha.

Jangan pulak ada yang berfikiran, bagus juga gitu, buat dosa lepas tu taubat, ada rumah perlindungan.

Jangan fikir jika kamu sengaja melakukan dosa, kamu tahu itu dosa besar, sengaja buat, sengaja mencari alasan terlanjur. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terdetik dalam hati kamu. Jika Allah tidak izinkan peluang taubat, peluang ke rumah perlindungan bagaimana? Berapa ramai yang Allah buka aib, terberanak dalam semak, terberanak dalam bas, terberanak dalam bilik air dan sebagainya.

Pengalaman Baitus Solehah sendiri, beberapa ramai yang memohon masuk ditolak kerana tiada kekosongan, yang telah datang tetapi tidak sampai kerana terberanak pramatang dipertengahan jalan. Ada yang sempat sampai ke hospital negeri lain sehari sebelum ke Baitus Solehah , ada yang terberanak di bilik air sehari sebelum tiba di Baitus Solehah. Apabila sudah terberanak, maka waris dicari , wartawan pun mula menulis cerita, lengkap dengan nama penuh, alamat dan gambar. Bukankah itu tanda Allah telah membuka aib seseorang kerana kelalaian dan kecuaian atas niat. Boleh lagi bertaubat jika mahu kerana Allah itu Maha Pengampun dan Penerima Taubat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 3 November 2014

Program 'Indahnya menjadi Gadis'


Program Motivasi dan Kaunseling UMP di Baitus Solehah
Pada 1 dan 2 hb November 2014 lalu, sekumpulan pelajar UMP telah sudi datang berkunjung ke Baitus Solehah untuk program motivasi dan Kaunseling. Mereka datang bagi mengambil pelajaran dan pengajaran bagi slot 'Indahnya menjadi Gadis.'

Program 2 hari 1 malam ini melibatkan 25 orang peserta. Bermula dengan Ice Breaking kepada aktiviti kreatif telah menumbuh dan menyemai bibit kemesraan bersama pelatih. Secara tidak langsung, ia telah membuka minda pelatih bahawa mereka tidak disisih masyarakat. Masih ada yang sudi untuk berinteraksi dan mendengar suara hati mereka.

Malamnya acara BBQ yang menambah ruang kepercayaan dalam hati pelatih kepada orang lain. Selepas titik hitam yang pelatih lalui, mereka merasa rendah diri dan tidak mahu berkongsi kisah mereka dengan orang luar kerana tidak ada keyakinan terhadap masyarakat lagi. Mereka tidak mahu terus merasa terhina dan dicemuh. Mereka rela hidup terasing dari menerima kejian dan hinaan. Mereka sudah bertaubat, sudah berubah tetapi masih ada sebahagian masyarakat tidak menerima mereka, masih memulaukan mereka.

Di pihak pelajar UMP pula, mereka mengikuti aktiviti harian pelatih di Baitus Solehah. Solat berjemaah, usrah dan tazkirah asar dan zikir taubat (zikir khausaran) selepas maghrib. Pintu Taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin mentaati Allah dan RasulNYA.

Pada hari kedua, pelajar UMP dan pelatih bersama-sama menyediakan makanan. Ada yang bermain bersama bayi-bayi. Seterusnya pelatih diasing dengan pelajar UMP untuk slot kaunseling kelompok. Pelatih bersama kaunselor UMP yang turut serta, pelajar UMP bersama saya dalam Slot 'Jangan Hampiri Zina'. Jika sudi terjadi, tidak boleh diundur dan tidak boleh dipadam lagi memori hamil tanpa suami di dalam sejarah kehidupan. Ia merupakan suatu pengalaman paling kejam yang sukar untuk diterima dan redha.

Walaupun ada 2 kategori mereka yang hamil tanpa suami ini, satu kategori yang teraniya kerana dirogol atau disihir, kategori kedua adalah kerana masalah sosial. Namun apabila sudah terjadi ia tetap tidak direlakan berlaku pada diri mereka. Untuk bangun semula bukan semudah kanak-kanak belajar berjalan.

Banyak yang saya nasihat dan sentuh akibat, iktibar apabila sudah terlanjur. Maka sebelum terjadi, jauhilah jalan-jalan menghampiri zina. Jika boleh tutup jalan itu serapat-rapatnya. Jaga solat, jaga hubungan dengan Allah, jaga hati, jaga akhlak, insyaAllah Allah yang menjaga keselamatan iman, diri dan hubungan kita dengan manusia di dalam rahmatNYA.




Bukan mudah untuk mereka berada di dalam kelompok masyarakat yang sedia menerima mereka seadanya. Mereka merasa rendah diri, tidak yakin dan percaya kepada sesiapa pun lagi.

Dan inilah masanya kita memainkan peranan untuk menyakinkan mereka bahawa bukan semua orang merasa jijik atas dosa lalu mereka. Allah Maha Pengampun, pintu taubat sentiasa terbuka, apabila taubat mereka diterima Allah, mereka ibarat kain yang telah direndam clorox. Menjadi putih berseri semula.

Antara tanda-tanda taubat diterima, mereka taat menjunjung perintah Allah dan Rasul. Mereka berhati-hati di dalam melangkah meneruskan kehidupan. Menjaga hati agar tidak berpenyakit dan berakhlak mulia. Selalu mengerjakan amal soleh tanpa berkira kerana hanya keredhaan Allah yang dicari.

Alhamdulillah...



Terima kasih tidak terhingga kepada pelajar UMP yang sudi menziarahi Baitus Solehah dalam program Motivasi dan Kaunseling ini.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 3 June 2014

Mengingati Mati

Tazkirah subuh ini, 03/06/14, mengingati mati yang disampaikan oleh Muhammad Nur Iman.

Sebelum  'Malaikat Maut' datang bertamu di sisi kita untuk mencabut nyawa, adakah kita mempunyai impian pada saat akhir kehidupan seperti merancang untuk menikmati kematian dengan tenteram, meninggalkan orang tersayang dengan reda dan paling penting kerinduan untuk bertemu Allah.

Mustahil bagi manusia mengetahui empat hal ghaib, kelahiran dan kematian; rezeki; amal dan kesudahan hidupnya sama ada celaka atau bahagia yang termeteri di luh mahfuz. Empat rahsia itu tersimpan di bank data ciptaan Allah Yang Maha Mengetahui dengan pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa kerana manusia dicipta dengan akal fikiran yang terbatas.

Penerokaan akal kita tak akan dapat menjawab persoalan bilakah kelahiran dan kematian berlaku, supaya ketakutan dan pengharapan kepada Allah sentiasa hadir pada nalurinya yang paling tajam. Supaya kekuatan iradah menerusi elemen akal, jasmani dan rohani terus bergejolak menyahut seruan Yang Maha Mencipta memandangkan adalah dunia tempat bermujahadah untuk memenangi akhirat.


Dengan mengingati mati, hati akan tenang. Kita akan beramal dengan amalan yang mendatangkan rahmat Allah. Tidak ada rasa takut apabila kita berdepan dengan tanda-tanda kematian.

Umpamanya ada sekatan jalan raya oleh polis trafik. Jika kita tidak melakukan apa2 kesalahan adakah kita ada rasa takut? Kita telah memenuhi segala spec keselamatan, kita telah mematuhi segala peraturan , adakah kita rasa takut disaman? Tentu kita melalui sekatan itu dengan tenang.

Begitu juga apabila kita mematuhi segala peraturan Allah, mentaati Allah dan Rasul, jiwa kita tenang. Kita selalu rasa syukur dan bersabar. Tidak ada rasa resah gelisah atau rintihan apabila didatangkan ujian-ujian.

Dengan mengingati mati, kita akan rasa memaafkan sesama insan. Kita akan sering bertaubat dan kita akan bersabar untuk tidak melakukan samada perkara haram atau syubhah.

Orang yang tidak ingat mati akan malas beribadah, selalu melakukan perkara menurut nafsu, dan tidak kisah dengan perbuatan yang melanggar larangan Allah dan Rasul.

Bagaimana untuk kekal mengingati mati? DENGAN ILMU!

Dengan ilmu, kita mampu menahan nafsu, kita boleh bersabar dalam melakukan amal soleh kerana kita tahu dan sedar rasional setiap perlakuan dan tindakan kita.

Maka menangislah mata-mata yang tak pernah menangis (kerana takut pada Allah) dan ketakutan hati-hati yang tak pernah takut. Menggigil sekujur badan yang akan menanggung salah lakunya sendiri. Tidak pernah dalam satu hari pun kecuali pada hari itu ia berasa begitu menyesal dan berputus asa dengan keadaannya, malangnya peluang kedua sudah tiada lagi.

Sebahagian Intipati tazkirah subuh ini. Mulai hari-hari kita dengan tenang dengan mengingati Allah dalam apa jua keadaan.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 8 September 2013

Kenapa Solat Tidak Boleh Mencegah Perbuatan Mungkar?


Solat mencegah perbuatan mungkar
Semalam saya dikunjungi oleh sebuah keluarga yang saudara mereka telah terlanjur. Kini telah hamil 7 bulan. Saudara-saudara gadis itu berhasrat gadis itu ditarbiyah agar bertaubat, dan berubah.

Ini kerana keterlanjuran gadis itu adalah kali ke dua dengan pasangan yang sama. Bermakna kali pertama gadis itu tertangkap oleh saudara besarnya, dia berjanji mahu berubah. Tetapi sekadar lafaz dimulut tanpa ada usaha dan bimbingan bertaubat. Hukuman 'buang daerah' yang keluarga mampu lakukan tidak dibuat maka gadis itu masih selesa dengan perbuatanya.

Ia menjadi ketagihan bila lama tidak dilakukan. Kali ini ia hamil dan tak mampu disorok lagi. Saudara besar marah. Marah mereka sudah terlewat bila mana usaha hukuman ke atas kesalahan pertama tidak dilaksanakan.

Ketika saudara besar menceritakan, "payah nak percaya adik buat gitu lagi sebab adik taat mengerjakan perintah Allah, seperti sentiasa mengerjakan solat 5 waktu, menutup aurat dan berpuasa ramadhan. Adik pun jarang keluar berfoya-foya dengan kawan-kawan, keluar rumah sekali sekala saja."

"Adik tinggal bersama mak dan ayah saja di rumah, jadi mak ayah memang ambik berat dengan adik. Tetapi tak sangka macamana adik boleh terlanjur lagi sehingga hamil."

"Masa semua saudara balik berhari raya baru-baru ini, semua kami tak tahu keadaan adik. Kami tahu baru-baru ini, bilamana kami tanya, bila adik akan mendaftar masuk kolej."

"barulah mak bagitahu keadaan adik yang sebenarnya. Mak tak beritahu masa semua saudara pulang beraya hari tu kerana 'tak nak hilangkan mood raya' kami semua yang sedang berkumpul ramai-ramai."

Saya pun takde nak cakap banyak. Saya cuma jawap," walaupun masih mentaati Allah, mengerjakan solat fardhu 5 waktu tetapi dalam masa yang sama masih melakukan zina, bermakna solat yang dikerjakan tidak dapat mencegah perbuatan mungkar."

Firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud, "sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."

"jadi kena periksa semula solat, bermula dari mandi wajib, cara berwudhuk dan bersolat, adakah sempurna rukun-rukunnya. InsyaAllah jika sempurna segala rukun, dan solat itu sempurna, janji Allah benar, solat itu akan mampu mencegah perbuatan mungkar."

"Solat menjadi pengawal kepada kita dari melakukan perbuatan mungkar, bila tergerak nak buat, ada saja halangan untuk tidak kita melakukan maksiat dan perbuatan mungkar."

Oleh itu wahai sahabat, wahai saudara-saudara ku, marilah kita periksa diri dan amalan harian kita, adakah kita masih degil taknak tutup aurat, masih degil taknak mengerjakan solat, tak nak berpuasa, masih nak bercouple dan nak melawa.

Syurga neraka adalah pilihan kita, kita buat kita dapat.


Menyambung perihal solat boleh mencegah kemungkaran seperti Firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud, "sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar."

"jadi kena periksa semula solat, bermula dari mandi wajib, cara berwudhuk dan bersolat, adakah sempurna rukun-rukunnya. InsyaAllah jika sempurna segala rukun, dan solat itu sempurna, janji Allah benar, solat itu akan mampu mencegah perbuatan mungkar."

Ada yang tertinggal untuk diterangkan. Saya selalu memerhatikan perempuan termasuklah isteri atau ibu atau gadis atau remaja yang bila nak mengerjakan solat terus berwudhuk tanpa bersuci terlebih dahulu.

Maksud saya bersuci ialah, membersihkan kemaluan sebelum berwudhuk. Fitrah semulajadi kemaluan perempuan sering mengeluarkan lelehan tak kira lendir warna jernih atau kental pekat. Ini adalah kebiasaan. Semua lelehan yang keluar dari faraj perempuan adalah najis kecuali air mani. Maka sewajarnya sebelum ambik wudhuk sucikan diri dari najis. Dan 'pakaian dalam' yang telah terkena najis TIDAk boleh dibawa bersolat.

Hanya dirinya yang tahu tahap kesuburan dan kebersihan diri sendiri. Maka sebelum mengambil wudhuk baik periksa dahulu pakaian dalam, samada bersih atau kotor. Cuci kemaluan terlebih dahulu, kemudian barulah berwudhuk.

Jadikan amalan cuci kemaluan sebagai rutin untuk menghindari diri ada najis ketika mengerjakan solat. Selalu saya perhatikan, dah banyak berjalan, bershopping,buat kerja apabila masuk surau terus ambik wudhuk, dan mengerjakan solat tanpa memeriksa pakaian dalam itu bersih atau kotor. Jika kotor, jangan pakai pakaian dalam itu ketika mengerjakan solat. Dikhuatiri terdapat najis dari lelehan yang keluar tanpa sedar. Kalau air mani ia keluar dalam keadaan disedari, jadi pasti akan mandi wajib.

Lelehan yang keluar dari faraj perempuan apabila mula akil baligh terdiri dari wadi, mazi dan keputihan. Ada juga yang darah istihadah. Semua ini najis dan perlu dibersihkan. Pakaian yang terkena lelehan ini dikira bernajis dan tidak dibawa bersolat. Maka bersihkan dulu kemaluan dan jangan pakai pakaian dalam ketika bersolat untuk mengelakkan solat tidak sah.

Solat yang sempurna mampu mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Janji Allah benar. Maka sila pastikan hal yang kecil, remeh tetapi membawa impak besar dalam mengerjakan solat.

Ramai orang malu nak bertanya, bolehkah solat pakai seluar dalam? Boleh sekiranya seluar dalam itu bersih. Jadi sebelum solat periksa seluar dalam anda, mana tahu ada kesan air kencing atau keputihan. Cium dan periksa, jika kotor, jangan pakai, cuci kemaluan dan berwudhuk, solat.

Nah... saya bawakan peringatan ni semula:

Syarat Sah Solat

Syarat-syarat sah solat ialah:-
• 1. Sesudah masuk waktu solat.
• 2. Menghadap ke arah Kiblat.
• 3. Suci dari hadas kecil dan hadas besar (sudah berwuduk dan sudah mandi wajib jika ada sebabnya).
• 4. Suci pakaian, tempat dan badan dari najis.
• 5. Menutup Aurat, menutupi tubuh dengan pakaian sekurang-kurangnya dari pusat ke lutut (lelaki).

Menutup semua badan kecuali dua tapak tangan dan muka (perempuan). Berpakaianlah dengan pakaian yang bersih sempurna dan indah kerana kita akan menyembah Allah.


Hal ini diperincikan dan dijelaskan supaya kita ambik langkah berhati-hati. Semua ibu-ibu wajar bagitahu anak gadis masing-masing perihal mencuci kemaluan sebelum berwudhuk.


Periksaan kebersihan pakaian, tempat solat, cara berwudhuk, air yang digunakan untuk berwudhuk, mandi wajib dan beristinjak supaya disebabkan perkara asas tidak sempurna mengakibatkan solat itu Allah tidak terima.


Sembahyang merupakan ibadat yang boleh menghalang pelakunya daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan salah dan terlarang. Termasuk dalam kemungkaran itu dosa besar contohnya membunuh, berzina, memakan harta anak yatim dan juga dosa-dosa kecil yang dilakukan terus menerus.

Allah s.w.t menegaskan bahawa sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh menegah diri pelakunya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran. Walau bagaimanapun, banyak orang yang melakukan ibadah sembahyang, tetapi tetap melakukan kemungkaran dan dosa-dosa lain yang disengajakan, yang tidak seharusnya berlaku.

Allah s.w.t menegaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Maka sesiapa yang masih melakukan kemungkaran, melanggar larangan Allah dan meninggalkan suruhan Allah, masih buat khianat, mengumpat, bermakna sembahyang yang didirikan itu tidak dapat menghalang dirinya dari buat jahat. Periksalah sembahyang kita.

Periksaan kebersihan pakaian, tempat solat, cara berwudhuk, air yang digunakan untuk berwudhuk, mandi wajib dan beristinjak supaya disebabkan perkara asas tidak sempurna mengakibatkan solat itu Allah tidak terima.

Seseorang itu juga perlu memahami kesan sembahyang terhadap pembentukan peribadi. Sembahyang juga memberi ketenangan jiwa, tidak kira sama ada ketika seseorang itu perlu memahami makna sesuatu yang dibaca ketika bersembahyang, sama ada dengan cara ijmali (menyeluruh) atau tafsili (satu persatu/terperinci) dengan tujuan untuk memperoleh rasa khusyuk dalam solat berupaya membentuk diri orang yang berkenaan.

Manusia perlulah berusaha mencari jalan supaya dapat khusyuk dan memahami solat agar dapat menegah kita daripada melakukan kemungkaran dan juga maksiat. Orang yang sembahyang kerana malu pada jiran-jiran akan melakukannya ketika dorongan tersebut wujud. Apabila pendorong itu tidak wujud, ia tidak akan sembahyang atau melakukannya tetapi dalam keadaan sambil lewa. Orang yang melakukan ibadah tanpa ikhlas mudah ditipu iblis ( al-Hijr : 36-40).

Apabila adanya kehadiran iblis di dalam jiwa seseorang itu, maka mudahlah untuk mereka ditipu dengan senang oleh iblis. Disebabkan itulah, mereka bersolat namun tidak mendapat faedah selain mendapat penat sahaja. Allah s.w.t memerintahkan sembahyang kepada manusia untuk kebaikan manusia sendiri kerana tujuan sembahyang itu agar dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 19 June 2013

Kisah Pakcik Jual Laksa Beras

Laksa beras utara
Suatu hari sedang saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual laksa beras, menaiki motorsikal mengelilingi kampung. Oleh kerana matahari telah makin merendah selepas asar,saya pun berhenti rehat. Apabila nampak penjual laksa beras lalu, saya pun memanggil untuk merasa laksa berasnya. Baru kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah ke kampung ini, bertugas sebagai inspektor menjaga parit dan saliran.

Saya melaung bertanya kepada isteri dan anak-anak, adakah mereka juga turut ingin makan laksa beras. Isteri dan anak-anak 4 orang juga inginkan laksa beras. Bermakna saya pesan 6 pinggan laksa beras. Dengan menggunakan ukuran mangkuk standardnya laksa dihidang dalam mangkuknya dahulu sebelum dituang ke pinggan yang pelanggan sediakan.

Zaman ini, kebanyakkan penjual laksa beras bermotorsikal tidak perlu bawa banyak mangkuk atau plastik bungkus. Cukup sebuah mangkuk yang dibawanya untuk jadi ukuran yang sama setiap pinggan yang dipesan pelanggan. Semua yang membeli laksa beras perlu membawa pinggan atau mangkuk sendiri ke motor pakcik jual laksa itu berhenti.

Setelah membeli laksa beras,pelanggan akan makan di dalam rumah masing-masing bersama keluarga. Cara ini telah menyelamatkan alam sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau pembaziran bekas.

Setelah membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya melihat penjual itu membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu di bahagi 3, 1/3 ke dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke dalam bekas seperti tabung.

Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa duit-duit itu diasingkan. Maka terus saya bertanya, “pak cik kenapa pakcik asing-asingkan duit tersebut?”

Pakcik itu pun menjawap, duit yang masuk dompet digunakan untuk perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung untuk simpanan penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak.

Dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang lain juga. Walaupun sikit, kita wajar berbagi sama. Saya mengilirkan wang itu antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk rumah anak yatim juga. Selama lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari berbasikal, sekarang sudah bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan ibadah korban walaupun cuma 1 ekor kambing yang sederhana besar. Alhamdullilah, saranan agama, walaupun sunat, ia dapat dilakukan. Setiap hari saya mula berniaga dari pukul 11.00 pagi. Apabila tiba dimana-mana kampung, menjelang waktu solat samada zohor atau asar, saya akan berhenti untuk solat berjemaah di mana –mana surau kampung berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit hasil jualan laksa beras ini walaupun sedikit.

Walaupun cuma menjual laksa beras, saya tetap dapat mengerjakan solat di awal waktu secara berjemaah . Dapat menginfak wang hasil jualan laksa beras untuk dikongsi dengan orang lain. Saya suka berniaga menggelilingi kampung dan berhenti solat di mana-mana surau atau masjid yang ditemui menjelang waktu solat.Saya pernah dengar tuan guru kata, nanti di mahkamah akhirat, bumi dan hari akan menjadi saksi. Maka nanti bumi akan berkata, si polan pernah solat di sini, disini, di sini. Hari Isnin sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si polan solat di surau ini.Dan seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang banyak untuk melaksanakan zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut rezeki yang Allah berikan kepada saya setiap hari.

Duit dalam tabung pula sebagai simpanan untuk menyempurnakan rukun Islam. Islam terdiri dari 5 rukun, mengerjakan haji adalah rukun ke 5. Adakah solat itu sempurna jika rukunnya tidak sempurna? Saya merasakan islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya saya tidak sempurnakan. Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam ke 5 iaiatu mengerjakan haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat mengerjakan haji kerana ia memerlukan biaya yang besar.

Terpegun saya dengan jawapan yang diberikan oleh seorang penjual laksa beras ini. Seorang penjual laksa beras, mempunyai misi dan visi yang jelas sebagai seorang islam.

“Pakcik, bukankah mengerjakan haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak dituntut untuk mengerjakannya.”

“Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha menuju ke arah mampu. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu mengerjakan haji suatu hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah selamanya kamu mahu hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan menabung sedikit-sedikit mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?”

MasyaAllah, begitu jelas sekali fikirannya tentang maksud mampu. Tersentap hingga hujung hati bila membanding diri ini dengan pakcik yang hanya menjual laksa beras bermotosikal menggelilingi kampung. Muka saya bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi tidak beramal.

Siapa yang sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran pakcik dalam melaksanakan syariat agama Islam ini.

Kisah ini saya abadikan bagi mengingatkan keenakkan laksa beras yang selalu saya beli dari seorang penjual laksa beras yang bermotosikal menggelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik ini masih hidup atau telah meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.

Kisah ini tidak ada kaitan dengan pakcik jual laksa beras di kampung saya tu. Ini hanyalah tulisan fiksyen saya.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 18 June 2013

Rezeki Kita Dalam Jaminan Allah


Usah risau hal rezeki
Saya tidak pernah risau hati terhadap apa yang dijamin oleh Allah s.w.t. dalam urusan rezeki.

Memang rezeki kita Allah yang menentukan. Hari ni, bila dapat saja panggilan telefon dari Pusat Kesihatan, terus saya capai beg sandang yang mengandungi fail dokumen anak-anak BS dan beg tangan. Saya tak de pernah periksa berapa duit yang ada dalam beg tangan tu.

Last saya berbelanja membeli barang keperluan harian minggu lepas. Stok susu ibu hamil, horlick, coklat, bijirin sentiasa cukup untuk anak-anak BS. Pemakanan mereka memang saya jaga, dan memastikan mereka mengambil makanan berkhasiat setiap hari. Jika saya tak keluar rumah bermakna, saya tak perlu keluarkan duit. Makan makanan stok yang sedia ada di dalam rumah. Alhamdullilah, rezeki Allah sentiasa ada.

Pagi Jumaat lepas, jiran rumah anak yatim hantar nasi ayam penyet dan pizza lebihan majlis tahlil malam tu. Hari Sabtu masak soto. Hari Ahad pergi kursus, petang ziarah jiran buat aqiqah. Jiran tu bekalkan lauk dan nasi. Hari Isnin, makan nasi berlauk ayam dan daging yang jiran bekalkan. Apa saya makan, semua anak-anak BS dan ahli keluarga makan. Tak ada yang memilih milih.

Hari ni, masa saya nak bayar pendaftaran masuk wad, baru terkebil-kebil selongkar beg tangan dan dompet. Cuma jumpa RM 2 saja. Syiling pun cuma ada 70 sen. Hahaha...camana nak bayar deposit RM 15 ni. Melihat saya nak mencari mesin ATM, staf pendaftaran kata tak apalah, nanti nak waktu discaj aja bayar.

Rupanya beg tangan saya ni cuma berat dengan buku, cermin mata dan dompet. Duit takde. Namun tetap Allah mempermudahkan urusan. Ketika saat lapar, ada orang lain tolong bayarkan masa di cafe JAIJ tadi tu.

Ketika di wad, saya nak turun beli keperluan, anak BS hulur duit RM 100, katanya, "hari tu, kakak WM datang ziarah, dia berikan duit ni untuk beli keperluan diri. Ummi gunakan lah duit ni beli apa-apa yang perlu." Macam dia tahu pulak, yang saya sedang tak ada duit, padahal saya tak beritahu apa-apa pun. Itulah rezeki namanya.

Saya yakin setiap sumbangan ikhlas penyumbang kepada BS sentiasa dirahmati Allah, selalu digunakan waktu yang benar-benar diperlukan. Moga sumbangan itu menjadi bekalan ketika di barzakh nanti.


Terungkap kata-kata seorang sahabat , " Muna Liza hang dah masuk golongan Tajrid.."

Oleh kerana ada kawan tulis perkataan tajrid, saya pun dah lama tak buka kitab, saya lupa maksud tajrid. Sebagai perkongsian, sapa-sapa yang nak tahu apa maksud tajrid, disini saya kongsikan ilmu.

Tajrid secara bahasa adalah mengosongkan sesuatu daripada yang lain. Maksud tajrid dalam pemahaman tasawuf bahwa jika kita sedang menghadap Allah, maka penuhkanlah perhatian hanya kepada Allah dan kosongkan perhatian daripada yang lain.

Demikianlah juga jika kita sedang mengerjakan sesuatu maka penuhkanlah perhatian kepada pekerjaan tersebut dengan niat kepada Allah dan kosongkan daripada yang lain. Kosongkan daripada yang lain dan hanya menghadapkan diri kepada Allah.

Ayat ke 5, surah Al-fatihah, bermaksud, " hanya ENGKAU yang kami sembah dan kepada ENGKAU kami mohon pertolongan." Patutnya masa baca ayat ni, kita kena fokus betul-betul. Begitu juga di saat kita sangat memerlukan pertolongan, kena fokus doa ni. Itu maksud mengosongkan hati selain hanya meminta pertolongan dari Allah Ta'ala.

Huraian detail tidak perlu dinyatakan di sini, cukup paling mudah nak faham maksud mengosongkan hati dari perkara lain melainkan kebergantungan kepada Allah semata-mata. Walau bagaimana pun asbab dan ikhtiar tetap ada dalam kita melakukan sesuatu pekerjaan. Harap jangan tafsir mudah dan salah, ilmu mesti ada supaya syaitan tak ambik kesempatan membolak balik hati.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Ambulance oh Ambulance



Bilik Saringan Ibu Bersalin HSAJB
Tak sangka hari ni saya pergi  Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru naik ambulance. Minggu lepas, 2 kali pergi Hospital Sultanah Aminah naik teksi. Jika pergi zauj hantar, baliknya naik teksi. Jika pergi naik teksi, baliknya  zauj yang jemput. Tapi hari ni, pergi naik ambulance, baliknya naik teksi sampai ke rumah.

Rutin harian berjalan seperti biasa. Selepas solat jemaah, ada Ta'alim subuh yang menyentuh kisah orang bertaubat. Tetap pengisian tentang iman. Selesai ta'alim, anak-anak BS bersarapan nasi goreng.

Saya meneruskan operasi mengemas rumah. Hari ni tergerak hati nak mengemas awal tanpa bersarapan terlebih dahulu. Meng'vakum' ruang utama dan mencuci pakaian. Sementara mesin cuci menjalankan tugas, saya keluar membantu zauj mencuci karpet. 2 helai karpet di cuci dan disental bersih.

Jam 8.00 pagi, sempatkan keluar seketika menghantar anak-anak BS ke Pusat Kesihatan untuk menjalani cek up antenatal dwimingguan. Bergilir-gilir. Minggu lepas orang lain,minggu ni orang lain. Jika bukan kes baru, saya tidak menemani mereka. Kebanyakkan staf sudah sedia maklum mereka anak buah BS.

Balik rumah, meneruskan operasi kemas rumah. Tak terasa masa berjalan, jam 10.12 minit dapat panggilan telefon dari salah seorang anak BS di Pusat Kesihatan, staff nurse minta saya datang ke sana, kerana salah seorang kena admit wad.

Kebetulan sebuah kereta pun tak ada di rumah ketika ni. Naza zauj guna untuk pergi kerja, hilux, anak sulong bawa ke KLIA, ada urusan, kancil Baihaqi bawak pi kolej, myvi menantu guna bawa pergi sekolahnya. Telefon jiran, jiran pun perlukan kereta untuk jemput anak yatim balik sekolah sebentar lagi. Telefon kawan pun sama juga, semua kereta sedang digunakan.

Tak ada pilihan, telefon zauj di tempat kerja, minta tolong jemput saya di rumah dan hantar ke Pusat Kesihatan.

Sampai di Pusat Kesihatan, rupanya ambulance dah standby untuk berlepas ke HSAJB. Menunggu saya tiba saja. Tak sangka pulak, saya naik ambulance hari ni ke JB. dalam ambulance cuma saya , pesakit dan seorang jururawat. 10 .53 pagi dah mula berlepas dan tiba di HSAJB jam 11.13 pagi. Terus di bawa ke bilik Saringan Bersalin untuk terima rawatan lanjut sebelum dihantar ke wad.

Selesai urusan pendaftaran wad, jururawat dan ambulance pulang semula ke Pusat Kesihatan TU. Tinggallah saya seorang menunggu di ruang menunggu. Sementara menunggu inilah baru saya rasa lapaar dan mengantuk. Baru teringat yang saya belum bersarapan apa-apa lagi pagi ni.

Doa-doa sampai terlelap. Perut yang lapar berirama minta diisi. SMS seorang anak halaqah, "salam Ti, ummi kat tingkat satu , bangunan wad kelas satu, kebulur ni, jom makan."

"ok, tunggu sana, saya ambik kereta."

Pergi makan kat cafe JAIJ. Kiranya waktu tu 12.25 tengahari. Makan tengahari. Oleh kerana lapar dan

Selesai makan, jam 1.35 tengahari, Ti hantar saya semula ke bangunan wad kelas satu. Pesakit sudah di letakkan di wad kelas 3 Timur bangunan induk.

Menapaklah saya ke Bangunan Induk, naik ke tingkat 3 menuju ke timur. Mencari katil nombor 24. Rupanya masa untuk makan tengahari dah berlalu. Turun semula saya ke tingkat bawah untuk membeli keperluan kebersihan diri. Pesakit juga lapar, menanti makan malam, lambat lagi.

Shower cream, shampoo, ubat gigi dan berus gigi. Air mineral, roti, biskut dan diapers new born. Pakaian lain dah memang ready dalam beg, maka masa saya nak datang ke Pusat kesihatan, saya tinggal capai saja lagi.

Alhamdullilah, dalam beberapa tempoh sebelum ni, saya dah banyak berpesan bagaimana mengerjakan solat di atas katil. Tak perlu jalan jauh ke surau, solat saja atas katil asalkan mengadap kiblat.Solat secara duduk seperti di rumah. Dah sarat ni pun kebanyakan solat dikerjakan secara duduk saja, maka mudahlah solat di atas katil asalkan menghadap kiblat. Sempat juga tadi saya capaikan al-quran terjemahan dan telekung agar selagi belum bersalin, dapat membaca quran.

Moga Allah mempermudahkan segala urusan dan hidayahNYA berterusan hingga hujung nyawa.
Dalam ambulance



dahaga, minum sampai dua gelas teh ais. Sambil minum selepas makan, kedengaran laungan azan. Hati sakit sebab tengok ramai lelaki dalam cafe buat tak dengar laungan azan yang berkemundang dari Masjid Sultan Abu Bakar yang jauhnya cuma sepelaung saja. Dah la tak pergi sahut seruan azan, bersembang gelak ketawa. Inikah imej sebuah jabatan agama? ok tak pe, mungkin orang luar yang datang berurusan, sangka baik, mereka tu musafir, tu yang tak nak solat zohor secara berjemaah. Agaknya kebulur seperti saya jugak.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 13 June 2013

Usah Ambil Hak Orang


Rentetan kisah yang saya bawakan semalam, maka ramai yang tanya apakah dalil dilarang ambik hak orang lain. Bagi saya, apa yang saya utarakan adalah hal akhlak dan adap. Memang jelas, kita tidak boleh ambik sesuatu yang bukan hak kita. Namun bagi memuaskan hati beberapa insan yang bertanya, saya bawakan beberapa hadith yang melarang kita mengambil atau menggunakan hak orang lain tanpa izin.

jangan bungkus dalam tisu bawa balik rumah tanpa izin


Sabda Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya maka sesungguhnya Allah s.w.t telah memastikan neraka untuknya dan mengharamkan untuknya syurga.” Seseorang bertanya baginda: “Walaupun benda itu sedikit wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Walaupun sebatang kayu sugi.” ( Imam Muslim)

Hadith ini amat mengerikan kerana walaupun hanya mengambil sebatang kayu sugi yang tidak bernilai pun akan menghumbankan seseorang itu ke dalam neraka dan haram memasuki syurga...

Cuma sebatang kayu sugi yang Rasullulah ibaratkan. Kayu sugi cuma di gunakan unutk bersihkan mulut. Bagaimana dengan makanan, yang akan menjadi darah daging melibatkan hati?

Usah ambil hak orang

BAGI mengingatkan umat Islam mengenai hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 188)

Imam ibn Al-Arabi menegaskan, ini adalah satu daripada kaedah utama dalam muamalat Islam dan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ dalam ayat itu ialah penerimaan pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan’ sebagai perumpamaan saja.

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi: “Apa saja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat (buat Islam).”

Imam Al-Qurtubi pula memasukkan perjudian, pertaruhan, penipuan, rampasan, khianat, mengingkari hak orang lain yang sebenar, mengambil hak orang lain tanpa direstuinya, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi serta yang memang jelas menyalahi hukum Islam adalah tergolong dalam makanan harta secara batil.


Ini sebagaimana dinyatakan beliau: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, dia makan secara batil.”


Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘batil’ kepada apa saja bentuk bayaran yang tidak mempunyai nilai timbal balik pada pandangan syarak yang sebenar.

Begitupun, mungkin ada yang akan bertanya mengenai hukum terhadap hak ke atas harta yang dimenangi membabitkan proses kehakiman di mahkamah dengan alasan harta berkenaan disahkan oleh hakim.

Mengenai hal ini, Imam Al-Qurtubi menjelaskan: “Barang siapa memakan secara batil, walaupun jika seorang hakim memutuskan kemenangan kepadamu, sedang kamu sesungguhnya tahu kamu (hakikatnya) bersalah (menipu), yang haram tidak akan sesekali menjadi halal dengan keputusan hakim itu, dia hanya memberikan hukum berdasarkan zahir dan bukti, dan inilah (hukum yang) ijma.” (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/338)

Pandangan ini jelas sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku hanya manusia dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja.

“Barang siapa yang ku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi)

Kesimpulannya, umat Islam perlu mengambil berat mengenai perihal pendapatan mereka kerana dibimbangi mereka lupa mengenai objektif dalam mendapatkan harta serta pendapatan secara halal sehingga menganiaya pihak lain.

Secara ringkasnya, setiap kita perlu mengelak terbabit dalam mengambil hak orang lain (batil) seperti:

1) Menjual sesuatu yang memudaratkan masyarakat seperti menjual ubat dan makanan yang tamat tempoh, kesan buruk akibat tercemar atau mempunyai aib tapi disembunyikan.

2)Mendapatkan pendapatan daripada upah menjampi yang bercanggah dengan Islam.

3)Mengadakan kursus motivasi dengan ilmu karut dan meragukan seperti sandaran ramal masa depan sama ada melalui tarikh lahir, rupa paras dan yang sepertinya.

4)Menyalahgunakan pekerja sehingga mereka disuruh melakukan tugasan yang tidak dibayar setimpal serta dizalimi dari sebarang kenaikan walau mempunyai merit tinggi dan baik.

5)Mengambil upah hiburan (entertainment cost) daripada syarikat sebagai pra syarat untuk memastikan peluang kontrak dan tender sentiasa baik.

6)Sengaja berhutang dengan niat untuk tidak membayar semula dan sentiasa beralasan untuk melepaskan diri daripada pembayaran semula hutangnya walau dalam keadaan mampu.

7)Individu yang tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat tetapi menerima wang zakat. Mereka juga ialah pemakan harta secara batil.

8)Individu yang mengambil dan menikmati harta wakaf secara peribadi dan menjadikannya sebagai hak miliknya secara tetap. Ini juga ditegah dan termasuk dalam harta batil.

9)Memakan dan menyalahgunakan harta anak yatim piatu.

10)Hadiah yang diberi oleh pelanggan atas alasan kononnya berterima kasih atas kecekapan dan bantuan kita selaku pekerja yang menyiapkan kerja tepat waktunya atau segera. Ia dinamakan wang ‘ghulul’ atau ‘khianat’ oleh Nabi SAW.

11)Mencipta dan menghasilkan filem, novel, penulisan majalah, artikel, kartun, animasi, drama, buku, cerpen dan sepertinya yang meraikan nafsu manusia, bertemakan nafsu dan hiburan bagi meraih keuntungan. Keuntungan yang diperoleh hasil daripada kerja ‘seni’ yang merosakkan jatidiri kemanusiaan.

12)Mencuri dan mengambil kesempatan di atas musibah yang menimpa orang lain.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Ibnu Abbas RA mendengar baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia memiliki dua lembah yang penuh dengan harta, nescaya dia mencari (lembah harta) yang ketiga. Tiada yang memenuhi isi perut manusia, kecuali tanah. Dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”

Na’uzubillah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.