BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 13 December 2013

Jihad Keselesaan

Keselesaan tidor
Jihad utama kita dizaman ini ialah keselesaan. Hidup selesa dalam rumah yang sempurna, tidor selesa di atas tilam yang empuk, berpakaian selesa terhindar dari kesejukan , selesa kemana sahaja tanpa merasa bimbang ditembak atau diserang. Selesa menaiki kenderaan yang melindungi kepanasan dan kehujanan.

Keselesaan boleh melalaikan kita dari mengimbau saudara kita yang sedang kesusahan. Keselesaan tidor menghalang kita untuk untuk bangun menghadap Allah dinihari yang sepi.

Keselesaan dapat menjamah makanan membuatkan kita lupa untuk menginfak sedikit wang kepada fakir miskin. Keselesaan hidup tanpa kesakitan dan masalah menyebabkan kita jauh dari Allah, dan inilah yang kita takuti.

Kita lalai dari mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.

Keselesaan menyebabkan kita lupa untuk nengabdikan diri kepada yang menjadikan kita. Keselesaan menyebabkan kita gagal mentaati Allah dalam nikmat yang melimpah.

Bangun sahabatku, jihad kita zaman ini ialah berada di zon selesa. Keselesaan boleh membunuh sifat kemanusiaan kita.

Bangunlah wahai orang yang berselimut, rasailah kedinginan banyu malam yang segar ini untuk menghadapkan wajah kamu dengan tuhan yang menciptakan kamu. Mohon ampunlah...Berdoalah untuk saudara kita di Syria, di Myanmar dan di merata benua yang dianiaya, ditindas dan perhamba.


Mereka berjihad untuk syahid, kita berjihad untuk membunuh keselesaan yang melalaikan kita dari mengingati Allah dengan sebaik-baiknya.


Maha Suci Allah, bantulah kami agar tidak terus berada didalam keselesaan yang membunuh rasa kehambaan kepadaMU.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday 7 December 2013

Menyantuni Mak Mertua


Mak Mertua saya
Setiap tahun ibu mertua akan bergilir-gilir tinggal bersama anak-anak menantu. Dia akan tinggal disemua rumah anak-anak mengikut giliran yang dia sendiri tentukan. Lama mana tempoh pun atas dirinya juga yang tentukan. Mak mertua saya menyenangi semua anak menantunya yang berjumlah 9 orang. Mak mertua saya mempunyai 10 orang anak, seorang meninggal dunia ketika masih kecil. Sudah ada permata hatinya menunggu di pintu syurga.

Bila bercakap , menasihati anak menantu cucu cicit, ibu mertua akan sebut, "nenek tak pernah sekolah, tetapi nenek sentiasa ingat apa yang arwah atuk ajar dulu, apa yang tuan guru selalu bacakan kitab."

Tahun ini 2013, saya jemput mak mertua datang ke rumah pada 6 Oktober 2013 lalu. Saya dan zauj pergi ambik, ketika itu dia berada di rumah adik zauj yang bongsu, dia sebut pada adik bongsu zauj, "teringat nak pergi Johor, nak sambut raya korban di sana." Bila adik bongsu bagitahu saja, terus kami pergi ambik di Selangor, bawa ke Johor.

Genap 2 bulan saya menyantuni mak mertua saya. Melayan bagaikan permaisuri. Semua makan minum dihidangkan. Kudrat seorang wargaemas berusia 88 tahun, walaupun bagaimana pun masih mampu menguruskan diri sendiri. Sentiasa berusaha mengerjakan solat fardhu berjemaah diawal waktu bersama-sama anak cucu. Suka mak mertua mendengar apabila cucu-cucu mengalunkan bacaan ayat-ayat quran. Gembira dia melihat cucu - cucu mampu menjadi imam. Lagi suka apabila setiap pagi ada majlis ilmu selepas zikir dan doa solat subuh.

Selalu dia bersangka baik pada semua orang. Semua orang yang tinggal bersama saya atau yang datang berziarah akan disampaikan pesan dan nasihat. Banyak nasihat-nasihat dipesannya agar menjaga diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak kira lelaki atau perempuan. Usah tergoda dengan dunia yang cuma sementara sahaja.

Senyumannya tak pernah pudar walaupun telah berusia menghampiri 1 abad, lagi 12 tahun.

Sebenarnya semua anak -anaknya mahu berbakti sementara roh dan jasad masih bersama dengannya ketika di dunia ini. Sebab itu dia membuat giliran dan pusingan supaya semua anak merasai nikmat berbakti kepadanya ketika usia semakin senja. Pusingan dan giliran ini dia sendiri yang tentukan. Adil dan saksama antara semua anak-anak menantunya. Tidak ada anak menantu yang tidak disenanginya, bahkan amat dia sayangi.

Disetiap hari pagi Jumaat, saya perhatikan dia akan panggil salah seorang cucunya, "nenek nak kirim, tolong masukkan dalam tabung masjid ya."

Siapa saja kanak-kanak yang datang ke rumah saya, pasti dia akan memberikan sesuatu dalam sampul duit raya. Sampul duit raya dia sepanjang tahun, sentiasa ada untuk diberikan kepada kanak-kanak. Jika ibu tunggal yang ada pelihara anak yatim, lagilah dia suka memberikan sampul duit rayanya.

Saya memang sentiasa menyediakan masa untuk berbual-bual dengannya. Duduk disebelah dan picit tangan kakinya secara perlahan-lahan.

Dikuburan arwah bapa mertua
Mak mertua ini sangat berdisplin dalam jadual makan ubat. Rutinnya setiap hari jika tidak berpuasa, makan nasi pukul 8.00 pagi dan pukul 5.00 petang. Dia cuma makan nasi 2 kali sehari. Katanya, "perut yang penuh menyebabkan kita mengantuk dan berat lidah nak berzikir." Jika berpuasa, dia makan ubat pada waktu sahur dan selepas berbuka puasa. Sangat menjaga waktu solat dan waktu makan ubat sebagai ikhtiar agar dia selalu sihat untuk beribadah menyembah Allah.

Bangunnya awal, lebih kurang jam 2.30 - 3.00 pagi setiap hari. Mengamalkan zikir kautharan di waktu subuh sebelum masuk waktu solat subuh, katanya, "berzikir dan berdoa waktu sunyi sepi." Itu arwah suaminya berpesan, jangan tinggal zikir di waktu subuh dikala semua orang sedang lena diulit mimpi.

Doanya tidak pernah putus mendoakan agar anak menantu cucu serta seluruh zuriatnya sentiasa dipelihara dari godaan syaitan durjana dan mendapat kebahagiaan dunia akhirat didalam rahmat Allah Ta'ala.

Petang tadi saat sudah didalam kereta pun, ketika cucunya, Omar Abdul Aziz bersalam dan
memeluk cium pipinya, dia berpesan, " Omar, kalau ada perempuan panggil 'hai', jangan kau sombong tetapi ucap kepada perempuan itu, ingatlah Allah."

Terasa sekejap sangat giliran saya berbakti kepadanya dalam tempoh 2 bulan ini. Minggu lepas dia sudah berucap kepada zauj, terasa nak pergi rumah anak yang lain pulak. Nak ke rumah anak di Kuala Selangor , katanya. Jadi zauj pun bersedia menghantar bondanya ke Selangor petang tadi.

Ya Allah, sekejap sangat masa berlalu, semakin pendek umur kita, semakin hampir kita kepada kematian. Terasa lama masa berlalu apabila kita menunggu-nunggu, seperti menunggu masuknya waktu solat dan menunggu dijemput kembali kehadirat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 6 December 2013

Bekalan Untuk Bermusafir

Mak Mertua
Apabila bermusafir, kita memang selalu menyiapkan bekalan paling kurang beg berisi pakaian. Begitu juga ibu mertua saya ini. Kemana pergi, tak kiralah samada rumah anak pertama, anak kedua, anak ketiga , anak keempat , yang bongsu atau yang lain-lain, mak mertua saya tak pernah lupa membawa beg ini.

Beg ini mengandungi segala persiapan kematian. Dalamnya ada sepasang telekung untuk dipakaikan bersama kain kapan, ada kain batik panjang untuk dipakai ketika orang memandikannya, ada tuala untuk mengelap selepas mandi, ada tudung putih untuk tutup wajahnya sebaik roh berpisah dengan jasad.

Semua anak menantu telah dipesan, apabila meninggal saja dirinya, bukalah beg itu, semua perkakasan mandi, kapan sudah ada. Mak mertua saya tak mahu menyusahkan anak menantu mencari itu ini bila tiba saat kematiannya. Dimana dia meninggal, di situlah dia dikuburkan. Mak mertua saya ini sentiasa ingat mati, tidak pernah bila bercerita dia sesuatu yang tidak dikaitkan dengan kematian.

Mak mertua saya sentiasa menunggu-nunggu untuk kembali ke hadirat Allah Ta'ala. Menunggu Malaikat Izrail datang memberi salam. Dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Sebab itu tak pernah saya lihat jari berhenti dari mengentel tasbih, bibirnya melafaz zikir.

Setiap kali lepas solat saya peluk mohon ampun, dia juga memohon ampun kepada saya, dia akan kata, "mak dah redha semuanya, dah maafkan semua anak cucu cicit".

Memang jelas diwajahnya tergambar kerinduaan tak terucap untuk bertemu Khaliqnya yang Maha Agung dan Maha Perkasa.

Itulah mak mertua saya, semoga rahmat Allah melimpahi atasnya sebelum, semasa dan sesudah kematiannya.

Arwah suaminya pergi sangat mudah, sebelum berpisah roh dan jasad, siap berpesan, "maknya, saya nak pergi jauh ni, ni jam tangan saya, ni duit buat belanja awak, saya nak pergi sorang-sorang aja kali ni, awak tinggallah dengan anak-anak ya, saya redha dan maafkan segala salah silap awak. Saya pun minta maaf dengan awak ya."

Arwah suaminya pergi selepas salam solat isya' dipangkuannya. Itulah mak dan ayah zauj saya.


Beg mak mertua yang berisi persiapan kematian

Mereka sentiasa mempersiapkan bekalan untuk bermusafir. Mereka sudah menanam pohon-pohon dan sedang membina mahligai di sana untuk mereka kembali tinggal bersama-sama dibawah naungan panji Nabi Muhammad SAW. Adakah kita juga begitu?



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 2 December 2013

Menyelamatkan Dua Jiwa

Penyerahan
Selamatkan dua jiwa. Menyelamatkan ibu agar mampu meneruskan kehidupan dengan berusaha memperbaiki diri, menyambung pelajaran, menuntut ilmu dan bayinya diserahkan kepada keluarga yang mampu mendidik mengikut ajaran agama. Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana sayangkan anaknya , tidak mahu emosi anak tercedera.

Betapa sedihnya anak itu apabila bersekolah nanti, anak itu mengetahui status dirinya melalui Sijil Kelahiran. Kita tidak mampu merahsiakan jika anak itu terbaca status dirinya di sijil kelahiran. Maka, dengan menyerahkan kepada keluarga angkat, sijil kelahiran dapat ditukar kepada sijil pengangkatan setelah bayi dipelihara lebih 2 tahun oleh keluarga angkat.

Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan bermakna terputus hubungan antara ibu kandung dengan anaknya. Ini kerana jika keluarga angkat memohon melalui Baitus Solehah, keluarga angkat perlu bersetuju dengan akujanji ini.

AKUJANJI:

Saya berjanji sedia bekerjasama membenarkan ibu kandung atau keluarga ibu kandung untuk mendapatkan maklumat perkembangan anak dan mengizinkan ibu kandung dan keluarga ibu kandung untuk belawat dan bertemu pada bila-bila masa setelah perbincangan dipersetujui.

Ini bermakna keluarga angkat sewajarnya menganggap ibu kandung anak angkat mereka adalah sebagaian keluarga juga. Berkongsi kasih sayang terhadap anak itu.

Walaupun anak diserahkan kepada keluarga angkat, nasab anak dengan ibunya tetap sampai akhirat. Tidak ada sesiapa berhak menapikan hak ibu kandung keatas anaknya. Hanya di dalam perundangan, apabila telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung tidak boleh menuntut semula anaknya itu. Ibu kandung memang sedia maklum hal ini ketika penyerahan di lakukan. Namun di dalam Islam, nasab dan hak pewarisan harta anak kekal dengan ibunya.

Semalam seorang bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Kepiluan menyelubungi hati saya dan hati seluruh keluarga Baitus Solehah, apatah lagi hati ibu kandungnya.


Anak ini perlu berjalan jauh lagi , maka berilah kehidupan sempurna , mempunyai ibu dan ayah walaupun cuma ayah angkat. Dia berhak mendapat kesempurnaan dalam institusi kekeluargaan. Ibu kandung masih boleh bersama-sama anaknya bila -bila masa yang dia mahu.

Selalu saya menyarankan kepada keluarga angkat, anggaplah kamu sedang melaburkan saham akhirat. Kos penjagaan dan pendidikan anak angkat ini ibarat kamu bersedekah. Jika diberikan didikan yang sempurna, anak ini tetap mengenang jasa ibu bapa angkatnya sampai bila-bila dan menjadi bekalan di barzakh sana. Didiklah anak angkat dengan didikan agama yang sempurna. Tidak ada anak yang tidak boleh didik, jadikan kisah ibunya sebagai iktibar dan teladan.

Semoga usaha awal Baitus Solehah dalam menyelamatkan 2 jiwa berterusan dengan sokongan masyarakat sekitarnya. Jangan kita hina, herdik dan cerca mereka. Anak tidak bersalah, dan ibu sudah bertaubat. Kita pun belum tahu bagaimana akhir hayat kita nanti, semoga kita meninggal dalam husnol khatimah juga, sentiasa bertaubat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday 1 December 2013

Sekali Tersilap Bukan Gagal Selamanya

Pelatih bersama anaknya
Setelah seminggu melahirkan bayi, keluarga /waris menjemput pelatih pulang. Pelatih ini tidak mempunyai ibu dan ayah.

Seminggu selepas ibunya menghantar ke Baitus Solehah, setelah pulang ke kampung, meninggal dunia. Terasa tergiang lagi pesanan ibunya kepada saya saat meninggalkan anak bawah jagaan saya.

"ummi, jagalah anak saya seperti anak ummi ya, nasihati dia, marahi dia, berilah tunjuk ajar pada dia."

Sebak hati saya mendengar pesanan seorang ibu. Makin sebak saya apabila dimaklumkan ibu itu telah meninggal dunia. Makan yaatim piatulah gadis itu. Yang ada cuma adik beradik saja lagi.

Sepanjang di Baitus Solehah, tidak pernah sekalipun adik beradiknya datang melawat. Khabaran ibu meninggal dunia pun hanya diketahui 4 hari selepas dikebumikan. Adik beradik tidak mahu dia balik ke rumah melihat jenazah ibu buat kali terakhir dimana nanti aib dan maruah ibu tercemar. Ketika kandungan gadis ini sudah 7 bulan, sudah kelihatan.

Begitulah hukuman kecil kepada gadis terlanjur. Hukuman kecil yang terpaksa dilalui. Hinggakan ibu meninggal dunia pun tidak boleh untuk hadir menziarahi, apatah memberi ciuman terakhir sebelum dikuburkan.

Bukan Baitus Solehah yang melarang, tetapi keluarga sendiri yang menahan. Bukan setakat itu, banyak lagi hukuman-hukuman kecil yang terpaksa dijalani sepanjang berada dimana-mana rumah perlindungan. Ingin keluar bersiar-siar, ingin menggunakan media komunikasi , menonton siaran tv yang hasrat itu perlu diketepikan.

Tarbiyah yang dijalani menyebabkan kekangan masa untuk bersantai-santai.

Cerita pelatih ini, dia tidak berhasrat memberikan anaknya kepada sesiapa pun,walaupun keputusan SPMnya bagus. Sementelah pulak, ada seorang kakaknya yang telah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak. InsyaAllah mereka berjanji akan menjaga adik dan bayi itu. Saya menggalakkan dia menyambung pelajaran ke IPT.

Moga-moga saudara perempuannya yang ramai sudi membantu dia memelihara anaknya disamping meneruskan penggajian. Pelatih dibenarkan untuk memelihara sendiri anak mereka sekiranya mendapat sokongan dan bantuan dari ahli keluarga.

Satu kesilapan yang dilakukan bukan bermakna kegagalan. Peluang bertaubat yang Allah berikan, tarbiyah yang dijalani selama berada di Baitus Solehah, moga-moga menjadikan dia matang dalam membuat pilihan dan terpimpin melangkah di jalan yang lurus.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.