Kebumikan jenazah |
Dalam kereta dia bercerita, hari ini ada kursus pengurusan jenazah. Ustaz cerita, di sebuah kampung ada seorang yang suka sangat membantu orang memandikan jenazah. Dia bukan memandikan tetapi menyediakan air untuk memandikan jenazah.
Di kampung itu, belum ada bekalan air paip. Jadi sumber air dari telaga atau sungai. Dia akan membantu mengangkut air-air dengan baldi ke dalam rumah. Dimana-mana pun ada orang meninggal, dia akan datang membantu menyediakan air mandi untuk jenazah. Tidak kira jauh atau dekat.
Suatu masa, di kampung telah berlaku musim kemarau. Banyak air dalam telaga telah kering. Kematian tetap berlaku tidak kira musim. Jadi orang ini sanggup mengangkut air dari sebatang sungai yang jauh dari kampung. Tidak ada sesiapa yang sudi menolong.
Ada yang menganggap dia ni tiga suku kerana suka sangat buat kerja macam tu tanpa di suruh. Dia melakukan kerja mengangkat air ini kerana Allah semata-mata. Tidak pernah dia meminta upah walau pun kadang sehari tu berlaku 3 kematian dan mengangkat air begitu jauh sekali.
Ikut ikhlas orang sahaja, jika sudi memberikan sedikit wang saguhati atau sedikit makanan untuk hari itu.
Suatu hari dia pula meninggal dunia. Musim itu musim kemarau juga. Tak ada sesiapa yang sudi nak mengangkat air untuk memandikan dia. Orang kampung buat tak tahu saja akan jenazahnya dan dibiarkan terlantar hingga malam di dalam pondoknya.
Tiba-tiba ditengah malam, orang kampung melihat cahaya yang terang di rumahnya yang cuma seperti pondok. Cahaya terang itu seperti beralur dari sungai yang jauh hingga ke pondoknya. Apabila melihat cahaya terang, orang kampung merasa takut-takut berani untuk melihat apa ke bendanya yang terang benderang itu. Mereka menunggu hari siang.
Apabila siang mereka tidak melihat apa-apa pun yang pelik seperti waktu malam. Cuma mereka terus pergi menuju ke pondok yang menempat jenazah lelaki yang suka mengangkat air mandi untuk sesiapa yang meninggal dunia. Mereka ingat aluran cahaya terang itu dari sungai hingga ke pondok itu.
Sampai di pondok, mereka menjenguk ke dalam, mereka dapati jenazah lelaki itu telah siap dikapan seperti lepas dimandikan. Mereka berasa hairan, siapakah yang telah memandi dan mengkafankan jenazah lelaki itu?
Imam pun datang dan menyuruh jenazah yang telah dikafan, dibawa ke masjid untuk disolat dan dikuburkan. Jenazah itu ringan dan harum. Semua orang tertanya-tanya tetapi tidak siapa dapat memberikan jawapan, siapa yang memandi dan mengkafankan jenazah sebab tidak ada orang yang mahu mengangkat air.
Kita sendirilah fikirkan kerana tidak ada sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk mengurniakan rahmatNYA ketika kematian dan sesudah kematian hamba-hambaNYA yang ikhlas berbuat kebajikan kerana Allah Ta'ala.
Sebenarnya sekecil mana pun usaha yang dilakukan semata-mata kerana Allah, mungkin kecil di mata manusia tetapi besar dalam pandangan Allah, ia tetap dirahmati. Sebab itu Allah sebut se'zarah'...dalam surah Al- Zalzalah, ayat 7 dan 8..." Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) (8)
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment