BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 6 December 2013

Bekalan Untuk Bermusafir

Mak Mertua
Apabila bermusafir, kita memang selalu menyiapkan bekalan paling kurang beg berisi pakaian. Begitu juga ibu mertua saya ini. Kemana pergi, tak kiralah samada rumah anak pertama, anak kedua, anak ketiga , anak keempat , yang bongsu atau yang lain-lain, mak mertua saya tak pernah lupa membawa beg ini.

Beg ini mengandungi segala persiapan kematian. Dalamnya ada sepasang telekung untuk dipakaikan bersama kain kapan, ada kain batik panjang untuk dipakai ketika orang memandikannya, ada tuala untuk mengelap selepas mandi, ada tudung putih untuk tutup wajahnya sebaik roh berpisah dengan jasad.

Semua anak menantu telah dipesan, apabila meninggal saja dirinya, bukalah beg itu, semua perkakasan mandi, kapan sudah ada. Mak mertua saya tak mahu menyusahkan anak menantu mencari itu ini bila tiba saat kematiannya. Dimana dia meninggal, di situlah dia dikuburkan. Mak mertua saya ini sentiasa ingat mati, tidak pernah bila bercerita dia sesuatu yang tidak dikaitkan dengan kematian.

Mak mertua saya sentiasa menunggu-nunggu untuk kembali ke hadirat Allah Ta'ala. Menunggu Malaikat Izrail datang memberi salam. Dia sentiasa rindu untuk bertemu Allah Subhanahuwata'ala. Sebab itu tak pernah saya lihat jari berhenti dari mengentel tasbih, bibirnya melafaz zikir.

Setiap kali lepas solat saya peluk mohon ampun, dia juga memohon ampun kepada saya, dia akan kata, "mak dah redha semuanya, dah maafkan semua anak cucu cicit".

Memang jelas diwajahnya tergambar kerinduaan tak terucap untuk bertemu Khaliqnya yang Maha Agung dan Maha Perkasa.

Itulah mak mertua saya, semoga rahmat Allah melimpahi atasnya sebelum, semasa dan sesudah kematiannya.

Arwah suaminya pergi sangat mudah, sebelum berpisah roh dan jasad, siap berpesan, "maknya, saya nak pergi jauh ni, ni jam tangan saya, ni duit buat belanja awak, saya nak pergi sorang-sorang aja kali ni, awak tinggallah dengan anak-anak ya, saya redha dan maafkan segala salah silap awak. Saya pun minta maaf dengan awak ya."

Arwah suaminya pergi selepas salam solat isya' dipangkuannya. Itulah mak dan ayah zauj saya.


Beg mak mertua yang berisi persiapan kematian

Mereka sentiasa mempersiapkan bekalan untuk bermusafir. Mereka sudah menanam pohon-pohon dan sedang membina mahligai di sana untuk mereka kembali tinggal bersama-sama dibawah naungan panji Nabi Muhammad SAW. Adakah kita juga begitu?



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: