Buat Donat dan Pau Pintal |
Perlu diingat dan diberi perhatian, bahawa mereka bukan seorang diri lagi. Apabila menawarkan pekerjaan atau kursus kemahiran, fikirkan tempat pengasuhan bayi, fikirkan tempat tinggal ibu dan bayi, fikirkan pengangkutan dan keselamatan ibu dan bayi. Mereka telah melalui kehidupan sukar masa lalu sehingga tersasar. Mereka trauma dengan kehidupan luar yang telah menjerumuskan mereka. Kita kena tolong fikirkan. kalau mereka boleh fikir, mereka tidak tersungkur.
Lainlah jika ada saudara-mara nak bantu memulakan kehidupan baru. Semua langkah apabila keluar saja dari Baitus Solehah, memerlukan sumber kewangan. Bagaimana mereka nak memulakan kehidupan baru jika wang 1 sen pun tak ada untuk biaya permulaan kehidupan seperti sewa tempat tinggal (kalau seorang diri boleh sewa bilik, atau kongsi bilik, kini mereka ada bayi kecil yang kadang2 menangis waktu malam), tempat untuk bayi ditinggalkan waktu bekerja atau mengikuti kelas kemahiran, jika jauh bagaimana pengangkutan, makan minum dan biaya bayi. Gaji yang diterima hanya hujung bulan setelah bekerja.
Pada sahabat yang ingin membantu mereka, tolong fikirkan hal ini juga. Jangan samakan mereka dengan anda, anda ada suami untuk bantu, ada teman untuk bercerita, mereka adalah mangsa lelaki yang tidak bertanggungjawap atas kelalaian diri sendiri juga.
Bukan mereka tak mahu berdikari, bukan mereka tak mahu hidup seperti orang lain, tetapi orang kata sekali tersilap langkah, adakah mahu kedua kalinya jika kita biarkan mereka bersendirian mengharungi kehidupan? Mereka memerlukan masa untuk membina diri, membina iman dan kekuatan jiwa.
Apa peranan jemaah? Apa peranan ummah? Mereka inilah yang perlu dibantu, pilihan Allah untuk mereka kembali ke jalan lurus dan pilihan Allah membuka ruang taubat untuk mereka. Masih ramai diluar sana yang kita tak tahu bagaimana langkah mereka, masih ramai yang menelefon saya setiap hari mohon dibimbing untuk bertaubat dan berubah, apakan daya saya tak punya kemampuan dari segi ruang dan tempat.
Saya melakukan ini dengan konsep kekeluargaan. Mereka dilindungi dengan kasih sayang dalam lingkungan keluarga. Mereka diberikan santapan rohani lebih dari santapan jasmani. Mereka bekerjasama melakukan apa saja, mereka bersama menyelami lubuk hati masing-masing , sokong menyokong agar dapat bangun semula.
Jadi fikirkan jika diri kita ditempat mereka. Apakah mampu melangkah keluar tanpa pedoman , belayar dalam perahu tanpa pendayung?
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment