BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 13 July 2020

Hidup Berstatus Bukan Warganegara





Hidup Berstatus Tanpa Warganegara
.

Ini kes 2014. Seorang kanak kanak berusia 4 tahun telah dihantar ke Baitus Solehah tanpa sebarang dokumen. Dihantar bersama kanak kanak ini adalah satu laporan polis orang yang menghantar bahawa ia tidak ada sebarang hubungan apa apa dengan kanak kanak itu. Kanak kanak tanpa dokumen itu dipelihara setelah ditinggalkan oleh seorang perempuan melayu tanpa diketahui warganegara di sebuah rumah sewa.

Setelah hampir 4 tahun memelihara anak itu, barulah dia sedar bahawa kanak kanak itu perlu bersekolah. Mahu disekolahkan, tidak punya sebarang dokumen. Kerana buntu, orang itu menghantar ke Baitus Solehah. Sifat ihsan, saya terima.

Daftar Lewat Kelahiran
==================

Saya usahakan mendapatkan sijil kelahiran anak ini melalui pendaftaran lewat. Bukan mudah urusannya. 2 tahun usaha saya mendapatkan sijil kelahiran. Dalam tempoh itu, kanak kanak ini saya hantar ke Tadika Swasta yang boleh bertoleransi menerima kanak kanak tanpa dokumen. Kena bayar mahal tau supaya kanak kanak ini dapat belajar seperti kanak kanak lain.

Saya minta identiti kanak kanak ini dirahsiakan. Alhamdulillah guru guru faham.

Setelah 2 tahun baru memperolehi sijil kelahiran, saya membuat permohonan pengangkatan ke atas kanak kanak ini. Selepas 2 tahun memperolehi sijil kelahiran, baru saya berjaya memperolehi sijil pengangkatan ke atas kanak kanak ini.

Pendidikan
=========

Sekarang kanak kanak ini sudah berusia 11 tahun. Belajar di sebuah madrasah tahfiz. Sudah berjaya menghafal beberapa juzuk al quran. Saya sedang berusaha membuat permohonan kewarganegaraan. Proses bukan setahun dua, bertahun tahun baru diluluskan.

Dalam tempoh ini, sebelum ke Madrasah Tahfiz,  ada sekolah yang dipohon menolak permohonan belajar. Berurusan di Jabatan Pendidikan lagi pening kepala kerana perlu berurusan dengan pihak imigresen. Pihak imigresen mahukan salinan pasport sebab berstatus bukan warganegara. Bila saya katakan kanak kanak ini bukan warganegara mana mana negara, tidak memiliki pasport, permohonan ditolak. Habis tu tak kan kanak kanak ini tidak bersekolah? Ada akta, kanak kanak berumur 7 tahun mesti bersekolah, penjaga boleh didakwa jika tidak menyekolahkannya.

Nak sekolah macamana jika urusannya rumit dan payah. Swasta bayar mahal. Nak tak nak kena bayar juga.

Kesihatan
========

Sakit pun kena pergi klinik swasta. Tidak pergi ke klinik atau hospital kerajaan. Itu jika penjaga ada duit, takde duit, terbiarlah anak itu.

Sekarang pun di Baitus Solehah ada pelatih berstatus bukan warganegara bawah umur yang telah melahirkan anak. Oleh kerana ibu bukan warganegara, maka anaknya juga berstatus bukan warganegara. (kes ini ibu telah dilahirkan oleh pasangan suami isteri bernikah di luar negara tetapi pernikahan tidak didaftarkan di Malaysia.) Apabila anak sakit dan di masukkan ke hospital, deposit perlu dibayar sebanyak RM 1400.00. Ini baru deposit ya tuan tuan. Belum bil keseluruhan rawatan sewaktu discaj. Beribu ribu bil yang Baitus Solehah kena bayar. Bayi ini pula kerap sakit, telah 2 kali masuk wad. Jumlah bil yang telah dijelaskan hampir RM 6000.00

Imunisasi
========

Setiap kali pemeriksaan bulanan dan imunisasi di Klinik Kesihatan kena bayar RM 80.00. Pesakit luar kena bayar bukan RM 1.00 ya seperti kita.

Setakat ini saya kongsikan cerita apa yang telah saya lalui. Ramai tak tahu, ramai yang baru follow. Viralkan cerita ini supaya masyarakat tahu kesan bayi yang ditinggalkan atau dibuang atau diletakkan di babyhatch tanpa dokumen akan menyusahkan bayi itu sendiri.

Ada Penjaga yang ambik bayi tanpa dokumen tidak buat dokumen sebab urusan rumit inilah. Akhirnya bayi yang membesar menjadi kanak kanak tidak di sekolahkan. Remaja dan menjadi dewasa tanpa dokumen, tak dapat bekerja dan tidak dapat berkahwin. Berapa ramai yang hidup susah kerana tak punya dokumen.

.

Semoga ambil iktibar akan cerita benar yang saya lalui ini. Saya yang menghadapinya. Susah payah saya merasainya. Ada siapa nak ambil peduli anak anak tanpa dokumen?

.

Opah Cucu Seribu,

Mak Liza


Impianku menjadi isteri solehah,
 selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: