BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 22 March 2011

Boleh Makan Kuah Kari Ayam?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Entah kali keberapa dah ummi menulis bab hati, masih tak jemu dan masih ada lagi peringatan-peringatan yang ingin dikongsikan bersama. Kali ini tajuk entri langsung tidak menampak apa yang ummi ingin kongsikan ini berkaitan dengan hati. Mungkin pembaca fikir ummi nak kongsi resepi masakan...


Selain menyajikan bacaan untuk orang lain, sebenarnya apabila sendiri menulis, ia secara tidak langsung menyampaikan peringatan buat diri sendiri. Bukan mudah untuk mensucikan hati dan bukan mudah menjaga hati tanpa usaha, ikhtiar , doa dan tawakkal.


Keikhlasan melakukan apa saja bermula dari hati. Niat yang selalu orang sebutkan berkata dan berbisik di hati. Jadi untuk melakukan apa sahaja dengan ikhlas mesti memiliki hati yang bersih. Dan siapa yang menilai keikhlasan itu? Hanya Allah Ta'ala. Sebab itu apa yang kita lakukan hanya kerana Allah sahaja.



Bersabda Rasulullah SAW :
“Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Al Bukhari & Muslim)


Bagaimana menjaga hati agar selalu bersih?



Firman Allah :
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.” (Al Maidah : 88)



Rasulullah SAW bersabda,
“ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)”


Itu adalah sabda Rasulullah SAW mengenai sesiapa yang mengambil sesuatu yang haram dan memasukkan ke dalam tubuhnya.


Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sedar bahawa benda yang kita makan itu haram maka kita akan berdosa dan hati kita akan gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubhat itu kita makan, tanpa diketahui bahawa benda itu haram dan syubhat maka kita tidak berdosa tetapi hati kita yang dibina dari makanan itu tetap akan gelap.


Atas dasar itulah Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah-muntah, setelah dia mengetahui bahwa makanan itu sumbernya adalah syubhat. Amirul Mukminin itu merasa cukup takut bila makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa, "Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku."


Hal ini menunjukkan betapa, perkara haram itu memberikan bahana yang besar terhadap seorang mu’min. Samada kita tahu atau tidak tahu perkara itu haram, maka yang haram tetap haram, tetap memberikan kesan terhadap hati kita. Kita tidak berdosa jika memakan makanan haram tanpa kita ketahui keharamannya, tetapi hati kita tetap terbina dari perkara yang haram itu.


Hari ini, manusia menjalani kehidupan tanpa menitik beratkan perkara ini. Manusia berjalan tanpa memandang akan besarnya perkara ini. Mereka makan apa yang mereka mahu, mereka mengambil duit dari segala sumber tanpa mempunyai sensitiviti dalam perkara halal haram.


Bagi mereka, sapa ada kisah? Mereka pun tak kisah sebab yang lapar aku, anak-anak aku. Aku susah, ada sapa nak tolong? Lagi pun kubur masing-masing.


Hakikatnya mereka tidak sedar, memasukkan perkara-perkara haram, seperti makanan, mahupun membeli makanan dari sumber duit yang haram, akan memberikan kesan kepada hati kita.



Rasulullah SAW bersabda, “Hati itu dibina dengan apa yang dimakan.”


Maka sumber makanan kita juga perlu dijaga kerana makanan yang bersumberkan dari sumber yang haram sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada hati kita.


Imam As-Syafi’e Rahimullah ‘alaihi pernah berkata, “Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap.”


Justeru, penjagaan hati ini adalah perkara yang utama. Hati kita adalah segumpal darah yang mengandung sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu berasal dari makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih dan halal mengikut syariat Islam, maka sel dan zat itu juga bersih sehingga hati kita juga akan bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor, haram dan syubhat, baik benda itu haram atau wang yang digunakan untuk membelinya haram, maka sel dan zat-zat besi, atau zat-zat yang membina hati kita itu kotor, busuk dan gelap.


Hati seperti wadah yang terbuka. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik dari Allah sebab Allah tidak akan memberi taufik dan hidayah kepada hati yang kotor. Sama halnya kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam piring yang kotor. Apalagi taufik dan hidayah dari Allah itu sangat tinggi harganya.


Bila hati tidak dapat melihat kebenaran maka tidak akan terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang dan didikan dari Allah, tidak terasa anugerah, penjagaan, pengawasan dan pembelaan Allah. Kalau hati tidak mendapat hidayah dan taufik lagi maka kita akan menjadi orang yang sesat dan selalu terlibat melakukan maksiat dan mungkar.


Kalau kita pergi ke pasaraya, bahan masakan atau makanan yang ingin kita beli tiada tanda halal, tiada pula kawasan yang menyatakan tidak halal dan sebagainya, maka kita perlu lebih sensitif mengenai penjagaan halal haram ini. Sebaiknya jika tiada keperluan ataupun darurat, maka lebih digalakkan untuk kita memasak di rumah. Apabila memasak pula , pastikan bahan masakan itu dari sumber yang halal. Hal ini kerana, keadaan itu sudah jatuh kepada keadaan syubhah. Menjaga diri dari syubah adalah amat dituntut.


Memastikan kehalalan bahan itu bukan sahaja isi kandungan tetapi kaedah juga perlu diambil kira. Contoh ayam. Memang ayam dan daging lembu orang Islam boleh makan,tetapi jika penyembelihan tidak ikut syariat,haram juga. Daging burger,sosej, bebola daging dan lain-lain yang berasaskan ayam dan lembu.


Pernah ummi ditanya oleh salah seorang anak angkat mualaf ummi yang mengikuti delegasi sukan ke India. Semua atlet yang datang adalah bukan Islam. Hanya dia seorang Islam, tetapi tidak ada sesiapa pun yang tahu dia Islam. Dibawa oleh penganjur untuk makan di sebuah restoren. Sudah semestinya tidak ada label atau logo halal. Dalam hidangan yang disajikan terdapat kari ayam. Memang dia ragu-ragu dengan ayam itu, dikhuatiri tidak disembelih ikut syariat Islam, jadi dia tidak ambil ayam. Dia hanya ambik roti dan kuah kari. Namun terdetik hatinya rasa ragu-ragu.


Segera dia telefon ummi di Malaysia bertanyakan hal ini. "Boleh kah makan kuah kari ayam? Ayam tu saya ragu-ragu penyembelihannya, jadi saya tidak ambik, kuahnya boleh makan? Saya nak cicah roti."


Mudah saja ummi jawap,"ayam tidak disembelih ikut syariat ibarat bangkai. Kuah itu adalah kuah bangkai ayam. Lalukah nak makan?" Hujungnya baru ummi jawap,tak boleh.


Maka sepanjang dia di sana dia cuma makan roti dengan jem yang dibawa dari Malaysia. Begitu prihatin dia menjaga makan minumnya walaupun masih baru mengenal agama Islam.


Alasan tidak pandai memasak bukanlah satu alasan yang kukuh untuk dijadikan sebagai keadaan darurat. Untuk mengejar redha ALLAH SWT, kita sendiri perlu berusaha keras mengikuti perintahNya. Allah SWT tidak ingin sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Justeru kita sendiri perlu berusaha mengikuti apa yang diaturkan olehNya.


Jika kita tidak pandai memasak, maka berusahalah belajar memasak. Moga usaha kita itu, untuk menjaga kebersihan hati kita bagi memudahkan taqarrub kita kepada ALLAH akan diterima sebagai salah satu amal ibadah. Sesungguhnya ALLAH amat mengasihi hamba-hambaNya.


Mengenai penjagaan dari perkara-perkara syubhah ini, Rasulullah SAW ada bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram..." (H.Riw Bukhari dan Muslim).


Namun ramai yang ambil mudah kepada hadith ini, lalu menutup sebelah mata dan tetap juga memasukkan perkara-perkara syubhah dalam kehidupan mereka. Sedangkan keadaan ketika itu lebih cenderung kepada yang haram, kerana kita bukan di negara Islam, tambah pula yang memasaknya bukan Islam, itu belum lagi termasuk dengan bahan yang digunakan.


Akhirnya alasan darurat juga digunakan. Semua mengambil contoh dibolehkan memakan babi oleh Islam untuk membolehkan mereka makan di tempat-tempat syubhah.


Tetapi tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan darurat di dalam Islam? Darurat itu membawa maksud, jika tidak melakukan perkara itu, maka kita tidak akan dapat melakukan perkara lain. Contoh, kalau tidak makan babi itu ketika itu, maka kita akan mati. Maka bolehlah kita memakan makanan tersebut. Kalau sentuh air ketika itu, maka tubuh kita akan tumbuh gatal-gatal yang memeritkan. Maka bolehlah bertayammum.


Adakah kita sudah mencapai tahap sedemikian untuk mengambil perkara-perkara yang syubhah, sedangkan perkara yang jelas halal masih banyak di sekeliling kita?



Allah SWT berfirman, "(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Al-A'laa : 16-17)


Itulah sebenarnya yang ada dalam hati dan jiwa kita. Langsung tidak ada kekuatan dan kesungguhn untuk berusaha mendapatkan makanan yang halal.


Makanan kita membina hati kita. Kita sepatutnya sensitif dalam menjaga hati kita. Hati adalah bejana keimanan, hati juga adalah ibu kepada pemikiran kita. Kalau rosak hati kita, maka rosaklah segala kehidupan kita dalam menjadi hamba yang baik kepada ALLAH SWT.


Sesungguhnya, kesukaran yang kita hadapi dalam menjauhi perkara-perkara haram dan syubhah, akan Allah bayar atas kesungguhan ketaatan kita kepadaNya. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli dari orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.” (At Taubah : 111)

Kesukaran kita akan dibayar oleh ALLAH SWT. Itu adalah sesuatu yang pasti.

Maka jagalah hati kita dengan menjaga diri kita dari dimasukkan sesuatu yang sumbernya haram atau syubhah.


Hidup ini untuk mendapat keredhaan Allah SWT!


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: