BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 17 September 2009

Dugaan Itu Anugerah menguji keimanan hambaNYA

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Inilah yang telah aku lalui 16 tahun dahulu. Ketika itu anakku yang nombor 5, Ahmad Baihaqi ditimpa sakit. Mula asalnya, aku mengikuti rehlah yang dianjurkan oleh HIzbi Islami.Mereka buat perkhemahan di Desaru.Salah satu slot, zauj terlibat untuk menyampaikan Tazkirah, maka zauj bawa aku dan anak-anak bersama. Khemah untuk kami disediakan di tepi pantai di atas pasir. Memang seronok berkhemah ni terutama anak-anak.Suka benar mereka dapat berlari-lari di tepi pantai sambil bermain ombak. Ketika itu umur Ahmad Baihaqi baru 8 bulan, tengah montel, comel dan lasak. Baru belajar bertatih.

Malam itu, hujan turun dengan lebat. Air melimpah masuk ke dalam khemah, menyebabkan semua tempat tidor basah. Zauj terus carikan chalet untuk aku , Baihaqi dan anak-anak yang perempuan tidor. Keesokkan harinya, Baihaqi demam dan petangnya selesai program rehlah, kami terus beredar balik ke rumah.

Baihaqi yang demam terus di bawa ke Klinik Penawar yang berhampiran dengan rumah. Setelah 3 hari demam, masih tidak kebah, aku bawa sekali lagi ke Klinik. Masuk hari ke 8, Baihaqi tidak sembuh juga demamnya, maka pagi Jumaat ituselepa sahaja solat subuh , terus aku berjalan ke Klinik Penawar lagi sekali membawa Baihaqi. Di pahanya ada setompok titik merah, aku tunjukkan pada doktor, dan doktor merujuk Baihaqi ke hospital besar di Johor Bahru.

Sebaik sampai di unit kecemasan, terus mereka mengambil darah dan buat analisa di makmal. 1 jam kemudian keputusan keluar, didapati dalam darah Baihaqi mengandungi kuman. Dan di masukkan ke dalam wad atas sebab "septicimia".Sehari selepas di masukan wad, keesokkannya Baihaqi telah tidak sedarkan diri dan 'koma' . Kemudian Baihaqi ditempatkan di 'NICU', wad unit rawatan rapi untuk kanak-kanak. Selama seminggu berada di unit ini, aku sentiasa berada di sisi Baihaqi kecuali waktu solat dan waktu makan. Aku mendapat kebenaran untuk berada di unit rawatan rapi selama 24 jam. Apa yang aku buat sepanjang berada di sisi Baihaqi yang koma itu ialah, mengaji, berzikir dan bercakap-cakap dengan Baihaqi.

Setelah 3 hari, keadaan Baihaqi yang koma makin parah, apabila kulit-kulitnya mula tertanggal sehingga menampakkan isi yang berwarna merah. Sebagai ibu, tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan berdoa, disamping menangis. Masih ingat aku, air mata ku terus-menerus mengalir selama 5 hari tanpa henti.Di tambah dengan kata-kata seorang doktor cina " kakak, kita dah usaha sedaya upaya untuk membantu menyelamatkan anak kakak, kita gunakan teknologi perubatan yang kita ada, kes anak kakak adalah kes yang jarang berlaku, kuman yang ada di dalam tubuh anak kakak ini, kuman yang sangat ganas, aktif, dan kita dapati kuman ini tidak resisten dengan antibiotik yang terkuat dimiliki oleh hospital. Saya harap kakak jangan tinggalkan anak kakak, sebab kemungkinan dia meninggal bila-bila masa sahaja.Sekarang pun dia menggunakan bantuan pernafasana sahaja. Saya tengok kakak kuat mengaji, kakak berdoalah dengan 'tuhan' kakak, mana tahu berlaku satu keajaiban terhadap anak kakak ini."

Ibu mana yang tidak menangis bila mendengar kata-kata dari seorang doktor pakar kanak-kanak. Seramai 7 orang doktor pakar yang berbagai jabatan menangani kes sakit Baihaqi. Pakar Kanak-kanak seramai 3 orang, pakar kulit, pakar kaji penyakit, pakar neurologi dan pakar orthopedik. Ketika itu semua organ dalaman Baihaqi telah tidak berfungsi lagi kecuali jantung dan otak. Buah pinggang, hati sudah membengkak dan warna kulit badan Baihaqi telah bertukar ke hitam-hitaman.Bibirnya telah pecah-pecah menerbitkan darah, begitu juga mana-mana kulit yang tertanggal telah menerbitkan darah. Aku memang benar-benar pasrah melihatkan keadaan Baihaqi.

Setiap saat aku berdoa dan selepas solat fardhu aku akan lakukan solat hajat mohon "Ya Allah, hidupkanlah anakku ini sekiranya kehidupan itu baik untuknya, dan matikanlah dia sekiranya kematian itu baik untuknya..., jika hidup itu lebih baik , hidupkan dia dalam rahmatMU dan sembuhkan penyakitnya”

Dan zauj juga telah berusaha membuat bacaan zikir dari ayat al-Quran sebanyak seribu kali. Surah dan ayat yang diberikan oleh seorang tuan guru ialah surah Al-Imran ayat 1 -6.

سُوۡرَةُ آل عِمرَان
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) مِن قَبۡلُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلۡفُرۡقَانَ‌ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٤) إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخۡفَىٰ عَلَيۡهِ شَىۡءٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٥) هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُ‌ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (3) Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah). (4) Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit. (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (6)



Zikir ini dibacakan pada sebotol air mineral dan dititiskan air itu ke mulut Baihaqi yang koma. Disamping itu, terdapat beberapa masjid dan surau serta kumpulan-kumpulan tertentu yang telah membuat bacaan yasin beramai-ramai memohon pertolongan pada Allah untuk Baihaqi. Oleh kerana fikiran aku yang mungkin kurang stabil, bila aku dengar orang ramai membaca yasin untuk Baihaqi, aku fikirkan bahawa tidak lama lagi Baihaqi akan meninggal dunia. Ini kerana, aku selalu melihat di kampung-kampung masa aku kecil, jika orang nazak dibacakan yasin, sehari dua selepas itu akan meninggal dunia. Sekali zauj berkata "ummi, bukan semestinya, bila baca yasin orang nazak akan mati, kita baca yasin mohon pertolongan Allah, jika mati itu lebih baik, maka dia akan mati dengan mudah, dan jika hidup itu lebih baik, maka Allah akan berikan petunjuk untuk dia sembuh dan sihat."

Barulah aku faham kedudukan perkara. Selama 8 hari Baihaqi koma, orang yang boleh melawat Baihaqi cuma ibu bapa sahaja yang dapat masuk ke NICU. Pelawat lain terutama saudara mara dan kawan-kawan hanya dapat melihat dari jauh melalui tingkap sahaja. Untuk masuk ke bilik ini,aku dan zauj kena buka kasut, cuci tangan dan pakai overcoat. Hanya dibenarkan menggunakan selipar khas yang disediakan. Sebarang makan minum juga dilarang bawa masuk.

Masuk hari ke 10, aku terus berbual-bual dengan Baihaqi dengan ucapan pertamaku ialah memberi salam padanya. hari itu, selepas sahaja solat subuh, aku bersama Baihaqi, kuletakkan jari ku dalam tapak tangannya, dia telah memberikan respon dengan mengenggam jari aku. aku jari terkejut dan ku lihat bila aku bercakap dengannya, walaupun matanya pejam, aku nampak biji matanya seseolah bergerak- gerak mencari arah suaraku. Aku jadi teruja dan memanggil doktor di situ. Doktor juga gembira dengan respon itu. Dan aku mohon kebenaran doktor untuk meletakkan puting susu dadaku ke bibirnya untuk melihat tindakbalasnya. Oleh kerana darurat, aku pun memberikan puting tetekku ke mulut Baihaqi, walaupun di depan doktor, tanpa dijangka Baihaqi memberikan respon mahu menghisap susuku, padahal matanya masih lagi belum terbuka, kemungkinan dia telah sedar. dari tindakbalas itu, telah memberikan harapan pada doktor bahawa Baihaqi akan sembuh. Mesin bantuan pernafasan dibuka dan kebanyakkan wayar-wayar yang berselirat dibadan Baihaqi juga ditanggalkan kecuali yang masih diperlukan seperti saluran urin dan saluran makanan yang dipasang melalui hidung untuk tujuan memberikan susu terus ke perut dan menyedut lendir di paru-paru.

Dua hari selepas itu, Baihaqi benar-benar telah sedar dan mula menangis. Bila dia boleh membuka mata, kesedihan ku datang semula kerana Baihaqi tidak mengenal aku ibunya. Doktor menasihati aku, bahawa, ingatannya masih lemah lagi kerana lama berada dalam keadaan 'koma' , maka perlukan masa untuk mengembalikan ingatannya.

Seminggu selepas itu, Baihaqi dipindahkan ke wad biasa kanak-kanak,namun sesuatu yang pelik pula kelihatan. Oleh kerana semasa Baihaqi 'koma', aku tidaklah membelek badanya, bila dia sedar, Baihaqi dipakaikan lampin pakai buang, aku terlihat tompok merah di paha sebelum masuk wad hari itu telah bertukar kepada warna hitam dan kelihatan seperti terkena minyak panas, mengelembung.Aku maklumkan pada doktor, dan doktor telah membuat biopsy pada paha Biahaqi, didapati kuman yang terdapat di dalam darah baihaqi telah bertindak memakan daging paha Baihaqi. Daging paha Baihaqi menjadi keras dan tidak boleh dibiarkan lama sebelum kuman itu masuk kedalam tulang. Maka doktor memaklumkan pada aku , pembedahan pembuangan daging di paha perlu dijalankan.

Aku akur dengan kehendak doktor, maka Baihaqi dipindahkan ke wad orthopedik kanak-kanak pula. Disana baihaqi dibawah rawatan doktor orthopedik dan doktor kulit. Pembedahan pembuangan daging paha dilakukan di dewan bedah selama 3 jam. Luka nya agak besar juga dan 'dressing' perlu dibuat setiap hari bagi mempastikan tiada kuman di kawasan luka itu. 2 hari selepas pemdehana baru bahagian yang dibedah di buka dan didapati masih ada kuman lagi. tetapi untuk dibedah sekali lagi di dewan bedah secara membuat 'general anestatik' adalah berisiko tinggi kepada seorang kanak-kanak berumur 8 bulan. Maka doktor mohon kebenaran untuk melakukan pembedahan tanpa bius ke atas Baihaqi. Aku yang memang dari awal pasrah, setuju sahaja dengan rawatan doktor. Kali ini cuma dilakukan di bilik rawatan dalam wad. Baihaqi cuma diberikan ubat tidur sahaja, tetapi kesakitan daging disiat dengan pisau lebih sakit dari dia tidur. Aku lihat sendiri, sebab aku memengan Baihaqi di kepalanya, doktor menyiat daging di paha Baihaqi sama seperti kita melapah daging lembu yang disembelih itu. Torehan dan siatan daging itu mesti dibuat hingga ke bahagian daging yang menerbitkan darah.

Kenapa kena sampai bahagian itu? Selagi daging tidak mengeluarkan darah, bermakna, bahagian daging itu telah mati, urat saraf darah telah tidak berfungsi, jika dibiarkan lama-lama, akan bernanah dan busuk. Aku hanya mampu melihatkan keadaan Baihaqi yang meronta-ronta kesakitan, dalam hati berkata, biarlah dia puas menangis hari ini, asalkan esok dia sembuh. Tak ada orang mati kerana menangis. Aku hanya berdoa dan redha dengan ketentuan yang Allah catatkan buat perjalanan Baihaqi.

Hampir sebulan telah aku dan Baihaqi berada di hospital, aku mohon kebenaran untuk balik ke rumah, dengan aku janji akan datang setiap hari ke hospital untuk membuat rawatan Baihaqi. Aku sudah terasa penat tidur duduk selama ini. Kami idbenarkan balik ke rumah. Hampir 4 bulan Baihaqi menjalani rawatan di hospital dan pusat rawatan UTM. Selepas 4 bulan perlu menemui doktor setiap bulan untuk rawatan susulan dan melihat perkembangan diirnya.

Doktor pakar kanak-kanak yang pernah berkata kepada aku, minta menunggu Baihaqi yang akan meninggal bila-bila masa itu, merasa seprti satu keajaiban bila Baihaqi boleh sembuh. Doktor itu kata, Baihaqi bayi ajaib "miracle baby". Dan doktor itu akui, yang Baihaqi boleh sembuh kerana doa dan keyakinan ibunya pada Allah. Itu kata doktor tu. Doktor itu meminta aku jadi rujukan dan memberikan kaunseling pada ibu-ibu lain yang menghadapi masalah anak sakit. Doktor tu kata, sebenarnya bila anak sakit, doktor selalu menghadapi masalah dengan karenah ibu bapa, kerana kadang mereka tidak memberikan kebenaran doktor merawat anak mereka jika terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius. Dan ada ibu bapa suka menyalahkan doktor bila anak mereka meninggal , cacat dan sebagainya. Banyak karenah ibu bapa yang tidak sabar dengan kesusahan dan kesakitan anak-anak. Bagi ibu bapa, anak tidak boleh sakit atau menangis. Sedangkan doktor bukan tuhan, doktor cuma boleh membantu merawat sahaja. Yang menyembuhkan sakit dan penyakit adalah tuhan.

Sehingga kini, Baihaqi telah berusia 16 tahun, masih lagi bila aku pergi ke hospital ( dah pasti aku selalu ke hospital sekarang kerana aku yang menjalani rawatan berbagai penyakit) aku terjumpa staf yang lama-lama, yang masih ingat aku, akan bertanya, "apa khabar Baihaqi, hidup ke dia?" Ini menunjukkan bahawa ketika Baihaqi sakit dulu, ramai orang menyangka Baihaqi akan meninggal dunia. Namun kuasa dan kehendak Allah tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Keadaan Baihaqi sakit dahulu memang benar-benar menguji kesabaran aku dan keluarga. Kesabaran aku berhadapan dengan situasi Baihaqi yang begitu, menguji zauj yang terpaksa berulang alik setiap hari rumah , hospital dan tempat kerja. Zauj yang kena menjaga anak-anak lain di rumah (masa ni aku belum ada pembantu lagi), menguruskan anak-anak untuk ke sekolah, dan masuk kuliah untuk mengajar. Aku pula terus bercuti dari kerja .Aku tidak tahu status cuti menjaga anak sakit di wad itu, cuti apanya, samada cuti bergaji atau cuti tidak bergaji.

Dan aku dan zauj sedar bahawa ujian menjaga anak sakit ini hanyalah anugerah Allah bagi melihat keimanan kami berdua, samada sabar dan redha. Syukur, ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ kami dapat melaluinya dengan penuh redha dan sabar tanpa rintihan dan keluhan.

Maka di nasihatkan pada sesiapa sahaja, jangan sekali-kali berputus asa dalam menghadapi ujian sakit, penyakit dan kesakitan. Kalau bukan kita sakit pun, kita tidak boleh berdoa untuk orang yang kita jaga, mengaharpkan orang itu mati cepat. Apatah lagi diri kita sendiri. Yang di tuntut hanyalah mengingati mati sahaja.

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikkan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.” (Riwayat Ahmad, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :

Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”[1]


[1] Imam Sayuti mendatangkan hadis ini di dalam kitabnya, al-Jami’ al-Saghir, hadis ini bertaraf sangat dhaif.

Monday, 14 September 2009

Berhadapan dengan kematian

4 kali pengalaman ummi bersama dengan orang sakit, rohnya dijemput dihadapannku cukup menginsafkan diri ini. Tapi entri ini hanya 2 cerita pengalaman saja ummi paparkan. Kisah yang 2 lagi ummi tulis pada masa akan datang , insyaAllah.

Kali pertama, ketika di hospital menjaga Najdah sakit, tiba-tiba seorang wanita di sebelah katil merayu di berikan air, ummi yang tiada pengalaman apa, tidak berani memberikan apa-apa, takut memudaratkan pesakit. Sekadar duduk di sebelah dan memicit tangannya sahaja, sambil mulut perempuan itu berkata " cuba lihat di atas tu, ramainya orang datang" sambil jarinya menunjuk ke atas. Ummi turut memandang tempat yang ditunjukannya, tapi tiada apa yang ummi lihat.Bila datang seorang sister( ketua jururawat) dia terus bertanya ummi, "dia ada minta apa?" "Dia minta air". "Berikan sahaja" kata sister. "Ajar dia mengucap." sambung sister itu sambil berlalu pergi.

Ummi pun memberikan air minuman ( air biasa) , setelah itu terus mengajar dia mengucap. Selepas dia minum air, mulutnya terus senyap dan hanya gerak anak matanya sahaja yang mengikuti ucapan syahadah yang ummi bacakan. Beberapa kali ummi ulang hingga akhirnya nafas terhenti dan matanya kaku.
Subhanallah...kali pertama aku berhadapan dengan orang yang rohnya di cabut di depan ku.

Kali ke2, berhadapan kematian dengan ibu sendiri. Hari itu hari raya haji yang ke dua. Hari Tasyrik. Semalamnya hari raya Aidil Adha, ummi menguruskan korban 2 ekor lembu di rumah ummi Johor Bahru. Selesai urusan pengagihan daging-daging di sekitar taman perumahan, bakinya tulang-tulang, ummi masak sup dan buat daging goreng kunyit untuk menjamu pelajar-pelajar UTM yang tidak pulang berhari raya di kampung halaman.

Mereka tidak pulang kerana, selalunya apabila hari raya haji, cuti umum hanya satu hari sahaja, maka terlalu singkat untuk pulang, tambahan kali ini cuti hari raya aidil adha jatuh pada hari Selasa. Jadi cutinya memang satu hari sahaja. Keesokan nya hari Rabu, sepatutnya ummi bekerja juga, tetapi malam itu, mungkin keletihan, ummi demam dan migrain. Pagi-pagi ummi terus ke Klinik Norila untuk mengambil ubat dan diberikan sijil cuti sakit selama 2 hari, untuk hari Rabu dan Khamis.


Ummi pun berehat saja di rumah sambil melayan pelajar-pelajar UTM yang datang menjamu selera. Kebanyakkan pelajar tahu, bila ada jemputan rumah terbuka di rumah ummi, mereka perlu layan diri, makan kena ambil sendiri dari periuk besar yang memang tersedia di depan rumah, dan pinggan pun mereka kena cuci selepas makan. Semua makanan dan minuman sudah disediakan dalam bekas besar, cuma perlu ambik dan cuci semula. Memang tidak ada sesiapa untuk melayan mereka makan kecuali ummi sahaja.


Tiba-tiba ummi mendapat panggilan telefon dari adik Na di Perak, mengkhabarkan mak jatuh pengsan di bilik air pada jam 8:30 pagi. Bukan mak tidak sedar, cuma mak rasa lemah dan tidak boleh bergerak. Badan mak sebelah kanan tiba-tiba mati sebelah. Terus adik Na menjerit panggil tok Ngah Dah untuk membantu adik Na. Waktu tu adik Na tengah hamil 5 bulan, mana larat nak angkat mak sorang-sorang. Bila Aie, suami adik Na balik, terus mereka bawa mak ke hospital Parit Buntar.

Di sana pemeriksaan dibuat,tetapi mereka tiada kepakaran, sebab hospital Parit Buntar cuma hospital daerah sahaja, maka mak dihantar dengan ambulance ke Hospital Taiping. Adik Suhana yang menemankan mak di dalam ambulance itu.
Sampai di Hospital Taiping, setelah pemeriksaan lengkap dijalankan ke atas mak, mereka dapati terdapat pendarahan di otak mak. Ada 3 spot tempat pendarahan terjadi. Mereka juga tidak ada kepakaran dalam merawat orang yang kena storke/angin ahmar, jadi mereka pun menghantar mak ke Hospital Besar Ipoh. Oleh kerana adik Suhana tiada anak kecik, maka sekali lagi dia yang temankan mak dalam ambulance ke Hospital Ipoh.

Abah, mak muda, kakak dan adik-adik yang lain seramai 7 orang pergi menaiki kereta masing-masing mengiringi ambulance ke Hospital Ipoh. Mereka menyampaikan khabaran pada ummi yang mak ada di Hospital Ipoh ,maka ummi tidak perlulah ke Parit Buntar. Ummi masih di rumah ketika itu, sebelum ummi bergerak memulakan perjalanan, ummi perlu ke sekolah dahulu untuk ambik surat jaminan untuk mak(GL), perlu maklumkan pada pengetua tentang cuti.

Terdetik di hati ummi ketika itu, sebab kebiasaannya, orang yang sakit angin ahmar akan mengambil masa yang lama untuk sedar atau sembuh, maka ummi terus memaklumkan pada pengetua, hasrat ingin bercuti panjang kerana mahu menjaga mak yang sakit di hospital.
Mulanya ummi mahu naik bas sahaja, kerana ummi nak balik lama jaga mak sakit, tapi zauj tak beri izin naik bas, maka zauj yang hantar ummi ke Ipoh.

Bergerak dari rumah jam 4 petang, perjalanan agak lambat kerana bertembung dengan hari raya aidil adha yang ke2, maka banyak kereta di lebuh raya. Ummi berhenti solat asar di R&R Ayer Keroh dan berhenti solat jamak takhir maghrib Isyak di R&R Tapah. Ummi sampai di Hospital Ipoh jam 11:30 malam dan jumpa adik-adik sebentar sambil bermesyurat pendek, dan memutuskan menyuruh semua adik-adik dan kakak balik berehat kerana mereka telah seharian di hospital bersama-sama mak .

Kini tiba giliran ummi, dan ummi memutuskan buat permulaan , ummi yang akan teman mak di wad.
Tepat jam 12:00 malam baru ummi dapat naik ke wad, kawalan dan peraturan hospital Ipoh agak ketat juga,maka perlu melalui beberapa prosedur untuk dapat kebenaran menemankan mak di wad. Masa ummi nak ke Ipoh dari JB, ummi dah bawa segala kelengkapan untuk menjaga mak dalam jangka masa yang panjang. Tiba di katil ibu, jam 12 tengah malam, bersalam dengan mak dan berbisik di telinganya, " mak, kalau mak dengar dan faham apa yang muna cakap, mak genggam ya,tangan muna." Mak memberi respon dan mengenggam tangan kiri yang masih boleh bergerak itu. Seluruh badan di sebelah kanan mak telah tidak bergerak lagi.(mati sebelah). Mata mak sentiasa terpejam, jadi tidak pasti adakah mak tidor atau sedar.

Sepanjang setengah malam itu, mak genggam tangan ummi, hingga masuk waktu subuh. Bila terdengar azan, ummi berbisik ke telinga mak, "mak, subuh dah masuk". Tujuan ummi beritahu agar, mak mengerjakan solat di dalam hati sahaja kerana dia masih boleh memahami dan mendengar suara ummi melalui respon gengaman tangan.
Selepas solat subuh, ummi kembali ke tepi katil, tiba-tiba ummi terdengar seperti bunyi berdenguran sebanyak 3 kali. Ummi ingat mak tidur. Ummi pun teruskan membaca surah Yasin berseorangan diri.

Kebetulan lalu seorang doktor, dan menyapa, sudah lamakah perempuan ini berkeadaan begini?
Ummi jawap,"baru sekitar 10 minit". Terus doktor memanggil petugas lain memberitahu bahawa mak tenat dan perlukan bantuan pernafasan. Memang ummi tidak tahu keadaan mak tenat kerana dipenglihatan ummi , mak dalam keadaan tenang sahaja, dan wajahnya seperti orang tidor.

Mereka berusaha selama satu jam, untuk memberikan bantuan kecemasan, kemudian doktor memanggil ummi dan memaklumkan bahawa keadaan mak sangat lemah, mereka mahu memasang mesin pernafasan bagi membantu menyambung hayat mak, tetapi ummi bertanya doktor, "berapa lamakah mesin itu boleh membantu memanjangkan
hayat mak?" Doktor pun menjawap "tidak pasti". "Oh...jika doktor sendiri kata tidak pasti,tak payah lah doktor, beri masa yang ada ini, untuk saya berdua dengan mak saya.". kata ummi. Monitor masih menunjukkan hayat mak masih ada, yang lemah cuma dengupan jantung sahaja. Doktor pun membenarkan ummi berada berdua dengan mak tanpa gangguan sesiapa, ummi genggam tangan mak (masa ini mak masih memberi respon pada genggaman tangan ummi ) dan sambil berbisik di telinganya, menyebut khalimah syahadah. Ummi dapat mengulangi beberapa kali khalimah syahadah sehingga badan ummi dipegang oleh doktor, "kakak, mak kakak telah tiada". Ummi pandang pada monitor dan skrin....semuanya telah berhenti dan garisan lurus yang terpapar. Genggaman di tangan ummi sudah longgar dan terkulai.

Ummi hanya terdiam. Sedari mula ummi tidak menitiskan setitik airmata pun. Semua situasi saat itu ummi hadapi sendirian sahaja. Hati ummi berbisik, mudahnya makku pergi. Tanpa menyusahkan kami, walaupun
sedikit. Kiranya mak meninggal dalam tempoh 24 jam serangan angin ahmar. Ketika itu jam menunjukkan 8:34 pagi. Wajah mak sangat tenang, putih bersih seperti wajah orang tidor sahaja. Sedangkan dari awal berita menyatakan mak sakit, ummi telah tekad untuk menjaga mak, sebagai bakti seorang anak. Namun Allah telah memudahkan segala urusan.

Disaat mak di bawa balik ke rumah, hanya ummi berdua dengan jenazah mak saja di dalam kereta jenazah.
Sampai di rumah, adik-adik telah menyiapkan semua peralatan memandikan jenazah, ummi bersama adik adik memandikan mak, kemudian mengkapan, seterus selesai di sembahyangkan. Selepas jenazah di bawa ke tanah perkuburan, barulah ummi menangis sendiri mengenangkan anugerah Allah kepada ummi.

Ummi seorang sahaja anaknya yang tinggal jauh dari mak (mak selalu kata ummi tinggal di hujung dunia, sebab jauh ke selatan ), ummi selalu bermonolog pada Allah, "aku tinggal jauh dari rumah mak, adakah disaat akhir hayat mak, aku dapat bersama dengannya?" Sedangkan semua adik beradik yang lain tinggal dekat dengan mak kecuali Saleha di Perlis dan Salbiah di Selangor. Ummi memang rapat dengan mak sejak kecik lagi. Walaupun ummi kahwin awal tapi hubungan ummi dengan mak tetap rapat sebab hari-hari ummi telefon mak untuk berbual-bual macam berada di rumah.
Rupanya Allah maha mengetahui isi hati ummi, dikurniakan kenangan indah ummi untuk bersama mak di kala rohnya dijemput Ilahi. Saat dan kenangan itu masih tergambar hingga hari ini, seeolah baru semalam berlaku sedangkan peristiwa ini 4 tahun telah berlalu. Mak pergi pada 12 Zulhijjah 1426 H.

Selepas mak meninggal, baru adik-adik bercerita keadaan akhir hayat mak untuk makluman ummi. Kami menyingkap kenangan apa yang mak pernah kata sebaik dia balik dari mengerjakan umrah,mak ada berkata, " kumpul lah duit , pergi Makkah, seronok di sana, mak dah tak mahu pergi lagi."

Sebulan sebelum itu , ummi buatkan kad ATM mak, supaya mudah mak nak keluarkan duit, mak kata "dah tak payah muna masukkan duit lagi, dah tak payah beri mak duit lagi lepas ni". Ummi pun tidak lah ambik kisah sangat kenapa mak cakap macam tu, sebab cara mak cakap, bukan cara orang kecik hati atau apa-apa ke. Lagipun ummi dengan mak tidak pernah bergaduh atau berbahasa yang kurang enak. Masa ini ummi balik rumah mak, ummi tidur berdua dengan mak. Tak tahu, jarang ummi balik rumah mak lebih dari 2 kali setahun, kali ini ummi balik bersama zauj sahaja, tanpa anak-anak kerana ikut zauj kerja luar.

Dan memang tidak pernah pun sejak kahwin ummi tidor dengan mak, tapi kali itu ummi tidor berdua dengan mak sahaja selama 3 malam berturut -turut. Kebetulan pula giliran abah berada di rumah mak muda.
Seminggu sebelum itu mak ada berkata pada adik Kamal, "tanamlah pokok sawit ini, mak tak sempat makan hasilnya , bila dapat hasilnya nanti beri kat mak sikit ya." Pun adik kamal tak faham apa maksud mak cakap begitu, buat tak kisah saja dengan kata-kata mak tu.

3 hari sebelum itu, datang seorang perempuan menziarahi mak, bertanya bagaimana penyakit kulit psorisis mak boleh sembuh dan kulit mak sangat licin dan putih bersih. Mak jawap "muna, yang tolong belikan ubatnya, tapi ubatnya dah habis, ini penghabisan stok nak makan, habis ni dah tak payah makan ubat lagi"


Sehari sebelum meninggal mak berkata pada tetamu yang datang menziarahi mak pada hari raya korban tu, "jemputlah makan tengah hari, ini penghabisan makan nasi tau, lepas ni dah tak makan lagi."

Pagi esoknya , belum pun bersarapan, jam 8:30 pagi ketika mak nak mandi, mak terkena serangan angin ahmar dan terus meninggal dunia keesokkannya.
Itu sahaja tanda-tanda mak mahu meninggal dunia yang kami sedari tentang ucap-ucapannya. Tentang pengabdiannya pada Allah, semasa akhir-akhir hayatnya, dia kerap bangun malam dan sentiasa lidahnya berzikir dan membaca Al-Quran.

Mak meninggal 6 bulan selepas kembali dari mengerjakan umrah. Ummi pernah cakap selepas adik bongsu kahwin, nak ajak mak pergi umrah, namun bila tiba masa zauj pergi bawa mak mentua dan angah (anak kedua ummi) ke Makkah, bila ummi khabarkan mak tentang nak pergi umrah ni, mak jawap, "mak tak cukup duit, sebab duit mak dah guna untuk adik kahwin hari tu, muna pergi sajalah"
Bila ummi dengar mak cakap macam tu, ummi pun cakap pada zauj, " abang boleh bawa mak?, muna tak payah pergi, bawa mak dulu, jadi duit perbelanjaan ummi tu berikan pada mak saja."

Zauj pun setuju bawa mak, dan bila khabar itu disampaikan pada mak, mak sangat suka dan gembira. Tahun 2006 tu, zauj pergi umrah bawa mak, mak mertua dan angah. Ummi tidak jadi ikut. Tapi ummi tahu, walau tidak mengerjakan umrah, ummi juga dapat sesuatu buat bekalan di alam barzakh nanti. Kegembiraan mak dapat pergi umrah mengatasi segalanya buat ummi.
Semoga roh mak sentiasa di dalam rahmat Allah, dan mak, "muna tidak pernah lupa untuk memberi hadiah buat mak setiap hari. Muna harap, anak-anak muna pun begitu jua nanti."

Friday, 11 September 2009

Melayan tetamu

"wah! hari ini saya dapat banyak hadiah. Gembiranya hati ini dengan hadiah yang Allah kurniakan. Mungkin Allah ingin memberi peluang kepada aku untuk menebus dosa-dosa silam.

Sejak aku berpindah rumah ini,tetamu tidak henti datang menumpang rehat dan bermalam. Selain menziarahi aku yang selalu uzur ini, tetamu tetap datang terutama apabila UTM ada konvokesyen atau pendaftaran pelajar baru.
Memang menjadi kelaziman rumah ini, setiap tahun juga akan mengadakan rumah terbuka tidak kira masa aidil fitri, aidil adha dan ramadhan. Memang aku suka dan memberatkan agar tiap tahun di bulan ramadhan menjemput pelajar atau sesiapa sahaja datang berbuka puasa dirumah.Selalu aku berpesan pada anak-anak, Rasullulah suka jika kita selalu menjamu orang makan.

Untuk menjamu makan, tidak semestinya perlu kita berbelanja besar .Sekadar kemampuan kita dalam meraikan tetamu makan, kita menjamu ala kadar mengikut kebiasaan sahaja. Nasi dengan lauk pauk seimbang pun sudah memadai. Yang penting adalah keikhlasan kita menjamu kerana ini juga merupakan ibadah yang Allah redha dan Rasullulah sukai.

Pernah suatu ketika, aku masih dalam rawatan didalam wad di hospital kerana menjalani rawatan sakit organ hati,zauj datang membawa khabar yang ibu saudaranya dari Selangor mahu datang ke rumah kerana adik ipar anak tirinya akan mendaftar sebagai pelajar baru di UTM.

Aku tanya, "bila mereka nak datang bang?"
"Hari Jumaat ini."
"Tak pe, nanti muna cakap dengan doktor minta cuti hari Sabtu Ahad ni, balik rumah sekejab, hari Isnin masuk semula wad untuk teruskan rawatan."

"boleh kah macam tu?"

"nantilah muna cuba tanya doktor."

Bila pagi esoknya (Jumaat) doktor datang membuat pemeriksaan kesihatan, aku ajukan permohonan untuk balik ke rumah dengan alasan, mahu bersama-sama anak semasa hujung minggu. Setelah pujuk rayu dan ikrar aku janji, akhirnya doktor membenarkan balik selama 2 hari dengan syarat hanya berehat tanpa melakukan sebarang aktiviti yang memudaratkan diri, walaupun berjalan atau menaiki tangga.


Aku pun dengan gembira, terus pada malamnya meminta zauj ambik, dan pulang ke rumah. Esoknya pada petang sabtu, tetamu pun tiba. Rupanya bukan satu keluarga ini sahaja yang datang menumpang bermalam untuk urusan pendaftaran pelajar baru UTM, tetapi 2 keluarga lain sama. Aku dengan senang hati menerima mereka. Aku memang mempunyai pembantu rumah, maka zauj dan pembantu yang menyediakan makanan untuk mereka. Zauj memang pandai dan rajin memasak.

Masakan zauj memang sedap dan anak-anak pun suka.
Setiap kali zauj berkunjung mana-mana restoren atau jemputan, zauj akan memerhatikan makanan yang dihidangkan. Sekiranya makanan itu lain dari kebiasaan aku masak , maka dia akan 'merasa-rasa' apakah bahan yang terkandung dalam makanan itu. Atau jika restoren atau gerai, zauj akan memerhatikan cara makanan itu dimasak. Apabila zauj balik saja ke rumah, zauj akan mencuba dan masak makanan itu untuk dijamu kepada isteri dan anak-anak.

Sebab itu resepi makanan arab pun aku jadi pandai kerana zauj dah ajar cara masak menggunakan 'tahinah', laban dan buah zaitun.
Buah zaitun pula menjadi kegemaran anak-anak ketika makan nasi. Tiap kali ke Makkah, buah yang banyak dibawa balik selain kurma ialah buah zaitun. Kalau nak beli di Malaysia, harga buah zaitun sangat mahal. Cuma boleh beli sekali sekala saja. Selama kami berada di Makkah kami kerap makan 'to'miah' (entah betul ke ejaan ni) yang diperbuat dari roti pitadan dalamnya diisi dengan kuih dal, terung goreng,kentang,daging kisar dan salad. Letakkan sos cili dan makan ketika panas. Memang menyelerakan...minum pula dengan asyir sejuk...

Kembali kepada melayan tetamu, aku memang tiada masalah bila menerima tetamu datang. Sebab aku memang suka sangat menerima tetamu. Bagi aku samada tetamu diundang atau tidak diundang, layanan aku sama sahaja. Jika tetamu datang sebentar , sekurang-kurangnya air minuman akan dijamu, jika mereka tiada urusan penting untuk segera beredar, maka aku akan menjamu mereka makan, dan jika mereka ada urusan dan perlu bermalam, maka aku akan sediakan tempat untuk mereka tidur. Sebab itu, ada hikmahnya Allah memberikan aku rezeki sehingga mampu memiliki rumah ini, agar aku dapat menumpangkan tetamu dan bermalam dengan selesa.


Pernah juga suatu ketika aku mendapat panggilan telefon dari seseorang remaja, pernah berkawan dengan anak ku Ali Mahfuz semasa belajar tahfiz di Kubang Bujok,minta di jemput dari terminal bas Johor Bahru. Aku fikirkan dia datang seorang diri, maka aku minta zauj yang jemput. Bila zauj balik ke rumah, zauj bawa 5 orang remaja berumur dari 13 tahun - 17 tahun, 4 remaja lelaki dan 1 orang remaja perempuan.

Terkejut aku. "Siapa mereka , bang?"

"muna , tanyalah, abang pun tak tahu siapa, katanya kawan-kawan yang menelefon tadi."

Aku pun bertanya setiap mereka, rupanya mereka ini semuanya remaja lari dari rumah di Kelantan datang ke Johor Bahru,konon nak cari kerja tetapi tidak ada kenalan. Salah seorang yang aku kata kawan anakku itu, pun rupanya telah dibuang dari Maahd tahfiz kerana masalah displin.

Rupanya masa dia berada di maahad, anakku Ali Mahfuz perbah buat promote, "kalau kau orang ada masalah, pergi saja jumpa mak aku, mak aku suka tolong orang. Ini nombor phone mak aku." Adoi!, rupanya si Ali Mahfuz yang berikan nombor phone tu.

Maka aku pun menumpangkan mereka bermalam sambil menyiasat latar belakang setiap orang dari mereka.
Oleh kerana mereka ini remaja bawah umur, terutama yang perempuan, maka aku cari maklumat dengan pertolongan kawan yang berada di Kelantan. Selama mereka berada di rumah aku, aku layan mereka dengan baik , menganggap mereka ini tetamu kurniaan Allah. Setelah 4 hari, maklumat yang aku perlukan diperolehi, 4 remaja ini aku berikan pilihan samada mahu pulang ke rumah mereka semula atau tinggal dengan aku tetapi bersyarat. Syarat aku mudah sahaja, sesiapa pun boleh tinggal bersama aku, asalkan mahu bersekolah semula.

Remaja lelaki tidak mahu tinggal bersama aku kerana displin untuk tinggal di rumah aku sangat ketat. Mereka tidak boleh bebas kemana-mana. Memang pun, aku memang sentiasa memantau kemana jua anak-anak mahu pergi termasuk mereka. Jadi mereka tidak tahan, lalu minta dihantar pulang.


Yang remaja perempuan, setelah disiasat , rupanya telah lari dari rumah sebanyak 3 kali. Aku mendapat tahu, bapanya telah membuat report polis. Maka aku pun berhubung dengan balai polis berkenaan minta dimaklumkan kepada warisnya.

Apabila waris remaja ini tahu, terus datang ke rumah aku dari Kelantan. Bila tiba di rumah aku, bukan bapanya nak jemput pulang, bahkan, ditinggalkan kad pengenalan dan surat beranak kepada aku, dan katanya
"cikgu, saya tak nak bawa anak saya balik rumah dah, ini kali ke 3 dia lari, umur baru 13 tahun, tiap kali dia lari saya kena cari, sebab itu tanggungjawap saya, kali ini dia lari hingga sejauh ini, saya tetap datang juga. Mujur cikgu jumpa, nanti kalau saya bawa balik dia lari, entah kemana pula, macamana saya nak cari. Kalau cikgu sudi, cikgu ambiklah dia jadi anak cikgu, didiklah dia, saya dah tidak mampu lagi nak didik anak macam ni. saya tidak tahu apa masalah dia yang tak suka belajar dan tak suka duduk di rumah."

Maka aku pun dengan rela hati memelihara dia bagai anak sendiri dengan syarat perlu ke sekolah. Alhamdullilah dia mahu ke sekolah ditempat aku mengajar dan akhirnya menjadi pelajar yang baik. Walaupun tinggal di rumah aku agak terkongkong kerana aku memang tidak membenarkan anak-anak keluar rumah tanpa kawalan,namun dia tetap mampu bertahan dan betah. Memang aku mendidik dia bagai anak sendiri. Dan ketika itu, aku memang sudah ada 2 orang anak angkat perempuan lain yang tinggal bersama. Cuma bezanya anak angkat yang ini memang diberikan oleh ibu mereka kepada aku ,minta di sekolah kan. Mereka diberikan kepada aku kerana masalah kewangan.

Syukur, sekarang semua anak-anak ini berjaya melanjutkan pelajaran ke institute pengajian tinggi.
Samada mereka masih ingat atau tidak kepada aku, aku tidak kisah, aku telah melaksanakan tanggung jawap aku walau sebagai ibu angkat, agar mereka menjadi manusia, cumanya setelah bertahun -tahun tinggal bersama aku, pasti aku rindu pada mereka...



Keutamaan menjamu tetamu dan adabnya


"Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan oleh seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang dibelanjakan kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada mereka, maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya."


"Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya."


"Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan."


Buat renungan aku sendiri, bagaimana Rasullulah memuliakan tetamunya, bagaimana sahabat sanggup berlapar semata-mata mengutamakan tetamu makan.


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku sangat menderita kebuluran. Rasulullah s.a.w menghantarkannya kepada salah seorang isteri baginda, tetapi dia (isteri baginda) berkata: Demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku hanya mempunyai air. Rasulullah s.a.w menyuruh menanyakan kepada isteri baginda yang lain, tetapi mendapat jawapan yang sama. Kesemua isteri baginda memberikan jawapan yang sama: Tidak, demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku tidak mempunyai satu apapun kecuali air. Rasulullah s.a.w lalu berkata: Sesiapa yang memberi makan orang ini, Allah akan merahmatinya. Seorang lelaki dari golongan Ansar berdiri dan berkata: Aku, wahai Rasulullah. Lalu diajaknya orang itu ke rumah beliau. Lelaki itu menanyakan kepada isterinya: Adakah kamu mempunyai sesuatu (dimakan)? Jawab isterinya: Tidak ada! Kecuali makanan untuk anak-anak sahaja. Dia berkata lagi: Sibukkanlah mereka dengan sesuatu. Apabila tetamu kita masuk, padamkanlah lampu dan tunjukkanlah yang kita seolah-olah sedang menghadapi makanan. Apabila dia hendak makan, maka hampirilah lampu dan matikanlah. Merekapun duduk, sementara tetamu mereka makan. Pada keesokan harinya mereka bertemu dengan Nabi s.a.w dan baginda bersabda: Allah benar-benar bangga terhadap perbuatan kamu berdua terhadap tetamu kamu malam tadi."

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3829

Wednesday, 9 September 2009

Doaku pada yang Esa

Wahai Tuhan ku yang Maha Pengasih,
Wahai Tuhan ku yang maha penyayang,
kasihanilah hamba MU ini,
yang tiada lain tempat untuk mengadu,
melainkan pada MU jua,
ringanlah rasa sakit ini ya Allah...
Bisanya terasa ...
Dan air mata ku tumpah jua...

Wahai Tuhan ku,
Pada malam yang penuh barakah ini,
ku pohon pada Mu,
kurniakan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran,
menghadapi ujian MU ini...

Jadikan aku hamba yang taat pada perintahMU,
jadikan aku hamba yang redha atas segala apa yang Engkau takdirkan buatku,
Kurniakan lah aku keyakinan yang benar-benar mantap...


Wahai Tuhanku,
Sesungguhnya aku memohon dikurniakan iman yang sempurna,
Keyakinan yang sebenar-benarnya,
Rezeki yang luas,
hati yang khusyuk,
Lidah yang sentiasa berzikir,
Taubat yang sebenar sebelum mati,
keampunan dan rahmat sesudah mati,
kemaafan ketika dihisap amalan,
Tambahkan ilmu pengetahuan kepada ku
dan tempatkan aku, suami dan anak-anakku bersama hamba2MU yang soleh...

Amin...

Monday, 7 September 2009

Kadang aku berniqab, kadang-kadang tidak?


Semasa di Masjid Nabawi, Madinah Al-Munawarah

1985, seluruh pusat pengajian tinggi awam Malaysia telah gempar dengan kejutan pengantungan pelajar-pelajar berpurdah. Salah seorangnya adalah aku. Ketika itu aku sedang cuti bersalin di rumah selepas melahirkan anak sulungku, Ahmad Ali Akbar. Yang paling gempar adalah pelajar UTM, aku bersama 15 orang lain digantung dari meneruskan penggajian kecuali sanggup membuka purdah. Kebanyakkan mereka yang berpurdah adalah dari jemaah Al-Arqam, hanya aku sahaja yang bukan dari jemaah Al-Arqam. Aku mula berpurdah sebaik selepas bernikah.

Selepas saja bernikah, aku amat gemar sekali bersolek, dengan memakai lipstik merah dan eyeshadow. Seusai solat subuh, aku akan berdandan serapinya, kerana zauj aku suka jika bibir ku sentiasa merah dan mataku ada pembayang warna. Maka hari-hari aku bersolek. Mula-mulanya lepas kahwin, lepas bersolek, cuma duduk dalam bilik, jadi tak kisah la, tak ada sapa yang tengok selain zauj, tapi bila nak keluar rumah, aku terpaksa membasuh semua mekap di muka. Pertama kali aku keluar dengan bibir merah, zauj terus tegur, "amboi, merahnya bibir, nak tunjuk kat sapa?" Lepas tu, dah tak berani aku keluar terus dari rumah dengan bibir merah bak delima merekah macam tu.

Suatu hari aku ternampak ramai pelajar kumpulan Al-Arqam berpurdah, dan aku teringat sebenarnya aku pun ada juga purdah, tapi tak ingat dah, dimana aku simpan. Purdah ni aku pernah pakai ketika aku pergi menghadiri kuliah mingguan Al-Arqam di Sg Pencala. Masa sebelum bernikah, aku memang rajin mengikuti dimana-mana jua kelas pengajian ilmu, tidak kira jemaah mana yang anjurkan. Bagi aku, ilmu boleh dituntut dari ustaz mana-mana pun. Kalau hari Ahad , aku pergi kuliah pemurnian hati menggunakan buka Minhajul Abidin (karangan Imam Al-Ghazali)di Kg Baru, KL (rumah Pak Yazid) dan kuliah Feqah Islam. Aku juga mengikut usrah di bawah JIM. Namun kini sebaik lepas bernikah, atas didikan zauj, fikrah ku bersama-samanya...secara tidak langsung aku aktif di sana pula sehingga bertahun-tahun aku terlibat dalam dewan muslimat terutama menggerakkan Dewan Muslimat kawasan Gelang Patah yang dikuasai oleh pihak pemerintah. (peritnya kami bergerak di dalam kawasan yang dikuasai UMNO)

Kembali ke cerita purdah tadi tu, aku mula pakai purdah semula tujuan untuk menutup wajah aku yang sentiasa bersolek dengan bibir merah. Lagi pun lepas bernikah, kau tidak lagi tinggal bersama-sama kawan-kawan, aku tinggal dengan zauj dan pergi kuliah naik kereta.

Jadi selama aku hamil, aku amat senang berpurdah ke sana ke mari. Namun ketika aku dikehendaki menjalani latihan mengajar, aku ditempat di sekolah berhampiran rumah ku, iaitu SMK Titiwangsa, KL. Masa itu memang tidak ada apa-apa peraturan yang dikeluarkan mengenai etika perpakaian, cuma kami dimaklumkan bahawa, kakitangan kerajaan tidak dibenarkan berpurdah semasa sessi taklmat di UTM oleh Fakulti Sains. Maka aku pun pergi mendaftar diri di sekolah itu, bil masuk saja pagar sekolah, aku pun bukalah purdah. Kebetulan pula aku rupanya ditempatkan mengajar di sekolah itu bersama 2 orang lagi pelajar pendidik dari jamaah Al-Arqam. Mereka ni, bila dah sampai pejabat baru buka purdah dan pengetua sekolah sempat tengok. Masa terima kehadiran kami tu, pengetua tu tak cakap apa-apa, kami dialu-alukan sebagai orang pelatih baru, penolong kanan pun berikan kami jadual mengajar.

Namun keesokan nya aku mendapat "surat segera" arahan ditukarkan 24 jam , kena mengajar di sekolah lain yang jauh. Mula-mula aku terpinga-pinga, kenapa jadi begitu? Kami dipanggil oleh dekan dan diberikan penerangan, bahawa pengetua SMK Titiwangsa tidak mahu menerima kami sebagai guru pelatih kerana kami berpurdah! Maka sebagai timun, kami akur akan keputusan ditukarkan tempat menjalani latihan mengajar d isekolah yang lebih jauh dan dipisahkan antara satu sama lain . Sebenarnya tidak pun dirancang, yang sekolah itu akan menerima sampai 3 orang berpurdah, pihak fakulti pun tidak sangka, kerana mereka menempatkan guru pelatih berdasarkan nama, bukan pakaian, jadi secara kebetulan sekolah itu menerima hingga 3 orang yang berpurdah. (Padahal, waktu mengajar , tak pakai pun. Mungkin pengetua takut, bila 3 orang , kami nanti akan berjaya mempengaruhi ramai anak murid atau guru-guru lain agar berpurdah!, singkat punya akal pengetua tu, ingat orang nak berpurdah ni sesenang nak pakai seluar jeans atau berbaju kebaya terbelah dada?)

Setelah selesai, menjalani latihan mengajar, cuti semester, dan bila mula kuliah semester berikutnya, aku pun hadir kuliah macam biasa juga, berpurdah dengan keadaan diri sarat hamil. Pergi kuliah, turun naik tangga dengan perut memboyot, tapi tak ketara sangat kelihatannya kerana aku berjubah dan tudung pula labuh. Cumanya, kerusi dibilik kuliah , aku dah tak boleh nak lipat mejanya sebab sangkut dengan perut!

2 bulan berkuliah aku bersalin, bersalin di rumah sahaja dengan bidan sebab masa tu hospital kurang doktor perempuan, dan zauj tak mahu yang yang sambut anaknya adalah orang kafir. Mudahlah urusan bersalin aku ni. (ceritanya panjang, sessi tulisan lain akan diceritakan). Dalam aku berehat dalam pantang tu, tiba-tiba zauj balik rumah bawa surat dari HEP, mengatakan digantung pengajian. Bersama tu aku lihat surat tu juga di cc kepada kawan-kawan lain yang berjumlah 15 orang. (yang 15 orang ni semuanya dari jemaah Al-Arqam, dan hanya 3 orang saja dari Fakulti Sains dan Ppendidikan, yang lain2 tu dari kursus lain).

Maka aku serahkan pada zauj untuk berfikir bagi pihak aku. Tapi zauj tanya aku, "muna , nak sambung belajar atau berhenti?" Kalau nak sambung belajar, kena buka purdah, kalau nak berenti memang tak ada masalah pun...

Aku dah la, baru 2 minggu lepas bersalin, berfikirlah siang-malan, pro dan kontra dan sambil zauj juga buka kitab merujuk semula hukum berpurdah. Kalau belum pakai, senang, tak yah buka kitab, ini dah pakai, tak kan nak buka purdah begitu sahaja, mestilah aku tak mahu....

Setelah puas merujuk kitab, cari sana sini hukum dan berbincang dengan beberapa ustaz lain, maka zauj memutuskan, aku boleh buka purdah semula untuk meneruskan pengajian. Dan aku pun jawap surat penggantungan dengan memberi tunjuk sebab kenapa aku tidak boleh digantung dengan mencabar pihak HEP semula. Apa aku buat? Mula-mula aku hantar surat permohonan cuti 1 semester kepada fakulti, alasan bersalin, bila fakuti keluarkan surat kelulusan cuti, aku pun hantar salinan ke HEP mengatakan penggantungan ke atas aku tidak sah kerana ketika itu aku dalam cuti. Jadi semester berikutnya kau boleh terus penggajian. Of course lah, bila semester bermula aku hadiri kuliah dengan tidak berpurdah lagi. Aku tidak dapat menghubungi kawan -kawan dari jemaah Al-Arqam kerana tidak tahu siapakah yang membela dan mempertahankan hak mereka dan mereka senyap sahaja membawa haluan masing-masing.

Hari ini , aku baru terjumpa artikel tulisan ustaz Nazrul berkaitan niqab, dah lama aku nak tahu hal ni, sebab masa zuj benarkan buka, zauj cuma kata khilaf ulama' tapi tidak pula tunjukkan pada aku ni mana nasnya. ya lah...masa tu bukan aku nak ambik tahu juga, sebab teruja dengan baby comel baru lahir. Ikut saja apa zauj kata... (isteri solehah cita-citaku)
Terima kasih ustaz Nazrul atas artikelnya dan mohon izin nak letak kat sini, buat rujukan anak cucu saya bila tahu opahnya pernah berpurdah dan terpaksa buka semula.

Kini, kadang-kadang aku berpurdah, kadang-kadang tidak ...mengikut situasi dan keadaan...
Masa di Arab Saudi, setelah 2 kali ,menjadi tetamu Allah di musim haji disana, hanya masa berihram saja aku tidak berpurdah, dan aku selesa berpurdah selama berada di sana. Paling syahdu semasa di Masjid Nabawi, terasa seperti hidup di zaman Rasululah, kerana apabila kita menziarahi makam rasullulah, seseolah kita menziarahi Rasullulah ketika hidupnya...





Di hadapan Masjid Quba'

Di hadapan masjid Qiblatain( masjid dua kubah , sejarahnya terungkap adalam Al-Quran surah Al Baqarah ayat 142)


PERBAHASAN BERKENAAN NIQAB(PURDAH)

Oleh Ustaz Mohd Nazrul Nasir

Saya diminta untuk membahaskan tentang niqab oleh salah seorang sahabat kita. Terima kasih diucapkan kepada beliau. Kalau saya menerangkan ketika sedang mengajar memang agak mudah kerana saya cuma memberikan pendapat ulama tanpa perlu memberitahu mukasurat dan sebagainya. Tetapi bila menulis , kita perlu terangkan semua perkara termasuk mukasurat dan cetakan kitab . Ini merupakan amanah ilmu. Zaman sekarang bukanlah seperti zaman Syeikh al-Imam Anwar al-Kashmiri rahimahullah yang tidak perlu lagi melihat kepada rujukan . Pada zaman tersebut , jika para ulama seperti al-Imam menyampaikan fatwa maka itu sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kepada penuntut ilmu melihat kepada kitab-kitab.

Sebelum kita membahaskan tentang niqab dan hukum pemakaiannya, elok kiranya kita membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan niqab.

Niqab ialah sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutup bahagian wajah mereka.Cuma yang dipamerkan hanya bahagian mata sahaja.Terdapat lagi istilah-istilah yang ada kaitan dengan niqab.Antaranya ialah khimar, burqa’ , hijab, dan litham. Saya akan terangkan secara ringkas satu persatu kaitan antara istilah-istilah tersebut dengan niqab.

1. الخمار : ini ialah nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala bagi wanita.Ini berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran surah al-Nur ayat 31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Kaitan di antara niqab dan khimar ialah niqab digunakan untuk menutup wajah,manakala khimar digunakan untuk menutup kepala.Kedua-duanya merupakan pakaian muslimah.

2. الحجاب: Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wanita tersebut.

3. البُرقَع : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup keseluruhan wajah wanita.Menurut Ibn Manzhur ,pengarang kitab Lisan al-Arab: Terdapat sedikit ruang untuk memperlihatkan mata bagi burqa’. Jika kita mengambil dengan takrif yang diberikan oleh Ibn Manzhur maka ianya sama maksud dengan niqab.

4. اللِثام : Ini merupakan nama bagi kain yang digunakan untuk menutup bahagian mulut.Kaitan di antara niqab dan al-Litham ialah , niqab digunakan untuk menutup keseluruhan wajah kecuali kedua mata. Manakala al-Litham pula digunakan untuk menutup bahagian mulut dan ke bawah. Bilamana niqab digunakan untuk menutup bahagian wajah wanita maka ianya mempunyai kaitan rapat dengan aurat. Ini kerana, aurat adalah merupakan anggota yang wajib ditutup. Maka para ulama berbeza pendapat, adakah wajah termasuk di dalam aurat bagi wanita?

Jumhur para ulama iaitu Hanafiyah, Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah berpendapat mengatakan bahawa wajah wanita bukanlah aurat. Ini bermakna, diharuskan bagi wanita untuk menutup wajahnya dan dibenarkan juga baginya untuk membuka wajahnya.

Menurut para ulama bermazhab Hanafi: Wanita muda dilarang mempamerkan wajahnya di hadapan lelaki yang ajnabi . Larangan di sini bukanlah disebabkan wajah mereka aurat. Tetapi adalah untuk mengelakkan fitnah.Ini juga merupakan pendapat al-Imam Ibn Abidin rahimahullah, salah seorang ulama Hanafi.

Manakala para ulama bermazhab Maliki pula berpendapat: Makruh bagi wanita untuk memakai niqab( yang dimaksudkan dengan niqab oleh para ulama Maliki ialah yang menutup keseluruhan wajah termasuk mata)sama ada semasa solat atau selainnya.Ini kerana ianya terlalu berlebih-lebihan. Maka berdasarkan pendapat ini, golongan lelaki adalah lebih utama tidak memakai niqab, kecuali jika ianya menjadi adat bagi tempat tersebut.

Para ulama Maliki juga menyebutkan bahawa: Jika wanita tersebut muda dan cantik serta dibimbangi ianya akan menimbulkan fitnah, maka wajib baginya memakai niqab(purdah), serta menutup kedua tapak tangannya(dengan memakai sarung tangan).

Para ulama bermazhab Syafie pula berbeza pendapat didalam masalah niqab ini.Sebahagian ulama bermazhab Syafie berpendapat wajib bagi wanita memakai niqab,sebahagian lagi mengatakan ianya sunnah manakala sebahagian lagi mengatakan ianya merupakan Khilaf al-Aula.

Didalam hadis baginda sallallahu alaihi wasallam disebutkan:

عن سيدنا ابن عمر رضى الله عنهما أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: لا تنتقب المرأة المحرمة و لا تلبس القفازين

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Umar radhiyallahu anhuma, Sesungguhnya Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang wanita tersebut memakai niqab dan memakai sarung tangan ketika dalam keadaan ihram.


Disebutkan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah : Hadis ini menjadi dalil bahawa wanita pada zaman Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai niqab dan sarung tangan. Oleh sebab itulah baginda sallallahu alaihi wasallam melarang pemakaian tersebut pada ketika waktu menunaikan ibadah haji.


KESIMPULAN


Jika kita menilai dengan baik pendapat para ulama tersebut, maka jelas menunjukkan bahawa niqab adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam. Cuma perlu difahami, bukanlah saya bertujuan untuk menyuruh semua wanita memakai niqab secara total. Amalkan berdasarkan kemampuan kita. Jika wanita tersebut merasakan bahawa jika dia tidak memakai niqab maka ianya akan menjadi lebih bahaya dan fitnah(manusia akan memandang kepadanya dengan syahwat),maka wajib baginya memakai niqab. Tetapi jika dia merasakan bahawa tiada masalah jika dia tidak memakai niqab, maka tidaklah menjadi dosa jika dia tidak memakai niqab sekalipun. Mereka boleh mengunakan sebahagian pendapat yang dipegang oleh ulama bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa ianya merupakan Sunnah.

Wallahu a’lam


Rujukan:

Mausu’ah Kuwaitiyah jilid 41 mukasurat 134

Mausu’ah Yusufiyah oleh Syiekh Doktor Yussuf Khattar hafizahullah mukasurat 605-610

Mohd Nazrul Abd Nasir
Rumah Kedah Hayyu 10,

Sunday, 6 September 2009

Hukum Tarikan

Berdebar hati ku suatu hari bila menerima surat rasmi dari Tabung Haji Malaysia. Eh..surat apa ya? Segera aku buka surat itu, dan alangkah bahagianya hati apabila isi kandungan berbunyi "Tawaran mengerjakan haji pada tahun 1420 H bersamaan musim haji tahun 2000 masihi." Tidak ku duga secepat ini aku dipanggil untuk menjadi tetamu Allah. Terus aku bersujud kesyukuran dengan berita itu, dan aku panjatkan doa agar aku dapat sampai ke sana dalam keadaan sihat, baik dan selamat. "Ya Allah, permudahkan lah urusan ku ini, kuserah diri, hati dan jiwa ragaku pada MU, maka Kau tentukan lah yang terbaik buat diriku ini."

Maka aku mula mengatur rancangan, menyusun jadual agar urusan ku mudah dilaksanakan. Siapa yang akan menjaga anak-anak, menjaga rumah dan menguruskan perbelanjaan. Ketika itu anak yang sulong, Ali Akbar baru berusia 14 tahun, dan yang ke dua Ali Mahfuz berusia 12 tahun berada di Madrasatul Quran Kubang Bujuk Terengganu. Yang kecik sekali ialah Abdullah Mubarak yang berusia 5 bulan, masih menyusu ibu. Pada siapa nak ku titip anak-anak ini?


Fikiran ku terlayang jauh, bila teringat 10 tahun dahulu, ketika aku diterima bekerja sebagai guru dan dihantar mengajar di Kulai Besar ,Johor, Di kala aku mula dibayar gaji setelah 8bulan berkhidmat, baru aku dibayar gaji (masa tu perkhidmatan perkeranian kurang efisyen, gaji guru lambat dapat). Mujurlah aku dah berkahwin,maka ada lah zauj beri makan, kalau orang bujang, maknanya puaslah meminjam sana sini nak hidup 8 bulan tidak bergaji.

Bila dapat duit tunggakan 8 bulan gaji, terus hatiku terdetik, kalau macam ni rezeki ku, 10 tahun kerja kau mesti pergi haji. Terdetik saja begitu, ku pinta zauj bawa aku ke Tabung Haji untuk buka akaun supaya mudah aku membuat potongan gaji melalui tabung haji.
3 Tahun selepas itu, zauj bawa aku sekali lagi ke tabung haji, "jom daftar haji..." Aku pun apa lagi, bergegas siap untuk pergi daftar haji. sekadar daftar saja lepas tu dah tidak fikir apa-apa. Ya lah tika itu baru kerja, duit pun tak banyak mana, sekadar potongan yg dibuat setiap bulan tu, banyak manalah jumlahnya, lepas tu dengan anak-anak yang masih kecik-kecik, maka aku pun sibuk dengan urusan dunia dan jamaah.

Ke sana-sini ada program, oleh kerana tidak ada pembantu, anak-anak diangkut bersama.
Tiba-tiba, masa yang berlalu tidak terasa, aku sudah dipanggil untuk pergi menjadi tetamu Allah, dan bila aku lihat semula tarikh aku berkata 10 tahun kerja aku nak pergi haji, dengan tarikh penerbangan, genap 10 tahun. MasyaAllah, kebetulan kah ini? Sebelum tu aku teringat semula, saat aku menerima tawaran belajar di UTM, bila aku terima tawaran terus ku lafazkan, aku ke UTM bukan saja menuntut ilmu dunia, aku akan mencari Islam untuk ku jadi cara hidupku.

Itu lah lafaz niat ku ketika surat tawaran ku terima. Apa yang Allah berikan pada ku? Seorang muslimin yang sukar untuk bercakap dengan perempuan dan memandang perempuan untuk dijadikan suami. Berkali-kali aku bersujud syukur atas anugerahnya. Aku teringat masa aku di tingkatan 5, aku pernah melafazkan pada seorang kawan, kiranya tahun itu sekitar 1982, "kawan tanya, muna, kau dah ada pak we?" sedangkan aku bersekolah perempuan sahaja, boleh kawan tu tanya aku macam tu. Aku pun dengan nada gurauan jawap , " ada, sekarang kat Mesir, belajar , beza umur aku dengan dia 7 tahun, 2 tahun lagi dia balik la." ( Padahal tak ada pun, aku tidak kenal sapa-sapa pun, sekadar cakap saja.) Rupanya benar, bila tanya zauj selepas bernikah, masa tahun 1982 dia ada di mana, jawap zauj "masa tahun tu baru pergi Mesir, 1984 baru balik." MasyaAllah betul seperti yang aku pernah katakan. Dan beza umur aku dengan zauj pun memang 7 tahun. Kiranya masa bernikah dengan zauj umur aku 19 tahun, umur zauj 26 tahun, bulan Februari 1984 zauj balik ke Malaysia, bulan September terjumpa aku dan bulan Disember kami bernikah, mudah benar urusannya.

Bila mana aku sentiasa berfikiran positif, maka apa yang aku hajatkan rupanya Allah sampaikan...
Suatu hari, semasa aku menyelongkar di google, aku terjumpa satu artikel yang menarik dan membuat aku berfikir banyak kali, melihat, muhasabah diri... Apakah benar ini? Kenapa kajian ini dilakukan oleh orang kafir, sedangkan ia telah terjadi sejak azali lagi. Dalam buku The Secret (karya Rhonda Byrne) dan Law of Attraction (karya M. J. Losier) ada menerangkan mengenai hukum tarikan. Satu ilmu yang ajaib . Ajaran yang terdapat dalam kedua-dua buku itu sebenarnya diajarkan Allah dan Rasulullah beberapa abad yang lalu.

Malah, sekiranya kita perhatikan dan fahami Quran serta sunah nabi, kita tentu dapat menemukan banyak Hukum Tarikan di dalamnya. Penjelasan dan bukti-bukti Hukum Tarikan dalam Quran jauh lebih baik, lebih sempurna dan tidak menyesatkan. Quran juga membimbing kita memanfaatkan Hukum Tarikan dengan baik dan sederhana. Semua orang dapat mempraktikkannya. Sekiranya kita berjaya mencapai tahap ini, saya yakin kita terbimbing menuju ‘stesen’ kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Apakah sebenarnya Hukum Tarikan itu? Segala perkara yang kita fikirkan dengan seluruh perhatian, tenaga dan fikiran samada perkara positif ataupun negetif, akan datang dalam kehidupan kita. Itulah definisi Hukum Tarikan.
Hukum Tarikan memberi tindak balas pada segala perkara yang kita pancarkan dengan menghasilkan getaran (fikiran dan perasaan) yang lebih banyak, samada positif mahupun negetif. Hukum itu hanya bertindak balas dengan getaran kita. Dengan perkataan lain, ‘ketika kita memikirkan sesuatu’ hukum itu mengatakan 'kita sedang menarik sesuatu kearah diri kita.' Melalui Hukum Tarikan, kita menarik apa yang sering kita fikirkan, samada kita menginginkan atau pun tidak.

Jadi, jika kita selalu memikirkan perkara-perkara yang kita suka, kehidupan kita akan dipenuhi dengan perkara-perkara itu. Sebaliknya, apabila jika kita memikirkan perkara yang tidak kita sukai, perkara itu bakal memenuhi kehidupan kita.
Justeru, kita mesti berhati-hati ketika memikirkan mengenai kehidupan. Jika kita fikir yang kita tidak mungkin mendapat kebahagiaan dalam kehidupan hanya kerana kita dilahirkan dalam keluarga miskin, persekitaran kita bertindak balas pada ucapan kita itu. Tanpa disedari, kita mengundang tenaga negetif memasuki alam ketidaksedaran kita. Akibatnya, kehidupan kita tidak mengalami apa-apa perubahan dan kita terus hidup dalam kemiskinan. Kita tidak mahu perkara ini berterusan dalam hidup kita, bukan?

Saya mahu memberi satu contoh yang dapat menunjukkan Hukum Tarikan itu wujud dan nyata. Mungkin ada di antara kita yang pernah mengalami kejadian seluk saku di pasar ataupun di pusat-pusat membeli belah. Selalunya kejadian ini berlaku kepada kaum wanita. Ini kerana, sebelum keluar dari rumah, kita selalu membayangkan dan fikiran kita dihantui bayangan penyeluk saku. Tanpa disedari, kita mengundang penyeluk saku mendekati kita dan akhirnya kita pun menjadi mangsa penyeluk saku itu. (Semuanya ini atas kehendak Allah jua).

Aku juga pernah merasakan proses Hukum Tarikan berlaku dalam kehidupan nyata. Seperti yang aku ceritakan di awalnya, masa kali pertama menerima gaji, yang terungkap dimulut dan hati ialah, genap 10 tahun kerja, nak pergi haji, maka ianya terjadi . Dan yang paling aku syukurkan, dan hingga kini aku amat merasakan bahawa aku disayangi Allah kerana setiap kali aku teringin mendapat anak, sebelum ada tanda hamil, aku telah pun berdoa setiap detik (seseolah memikir) aku nak anak lelaki. Maka dari mula bersama dengan zauj, selagi belum disahkan hamil, doa aku ialah "Ya Allah. kurniakan aku anak lelaki." Aku akan terus berdoa begini hingga anak ku lahir, dan aku memang yakin seseolah tahu, jantina anak yang lahir itu lelaki sebelum diberitahu oleh zauj. Begitulah anak-anak seterusnya.

Dan dari semua 8 yang lahir hidup doaku bertepatan dengan rancangan Allah. Bagai disusun, aku mahu ramai anak lelaki, dan aku hanya mahu 2 anak perempuan, maka itu yang Allah berikan. Perkara ini memang pernah aku fikirkan sebelum lagi aku mempunyai anak.
Begitu juga selepas kelahiran Baihaqi, anak ke 5, aku bertekad mahu anak lagi setelah berehat selama 3 tahun, aku pernah lafazkan, lepas ni nak anak berturut tahun, kerapkan hamil supaya tak sakit sangat masa bersalin kerana jarak tak jauh. Benar, lepas tu aku hamil kan Omar Abdul Aziz, genap setahun penyusuan, aku hamil lagi dan tak sempat selang tahun hanya beza 1 tahun 9 bulan, Abdullah Mubarak lahir dengan mudah sekali.(apa tak mudahnya, bersalin atas troli saja, masa nurse2 sedang menyorong masukke Dewan Bersalin, kalau Omar Abdul Aziz dulu bersalin di katil wad saja.)

Selepas saja aku mendapat Najdah dan Nazihah, memang aku cuma mahu anak lelaki sahaja selepas itu. Hingglah yang hamil yang ke 10, anakku lelaki juga, Muhamad Imran.
Selepas itu, Hukum tarikan nyata yang aku alami ialah, tentang perkahwinan Najdah. Aku merasakan yang Najdah akan kahwin dalam usia muda sahaja, memang tak sangka, betul Najdah berkahwin masa usia 17 tahun sebaik habis paper SPM Syariah Islamiah.

Masa aku menghantar kad jemputan kahwin, selanjur nak jemput najdah balik ke rumah dari asrama, pengetua SMKA tu tanya, anak belajar di sini tahun bila dan sekarang sambung belajar di mana? Bila aku jawap, anak saya sedang ambik SPM kat Dewan tu, SPM tahun nilah....mak ai..terkejut pengetua tu, dan pengetua tu hadir masa walimah Najdah. Masa walimah Najdah musim hujan, banjir besar merata alam, hinggakan Kota Tinggi dilanda gelombang kedua...
tapi Skudai tenang sahaja. Masa sebelum hari walimah memang hujan setiap hari, namun doaku siang malam, memang aku sebut minta hari-hari tertentu tidak hujan, maka itu yang terjadi.

Selepas aku jumpa artikel tentang Hukum Tarikan ini, baru aku imbas semula, Hukum Tarikan ini benar dan ia memang telah ada diajar oleh Allah kepada Rasullulah. Sebab itu aku selalu menasihati anak-anak atau siapa sahaja selalulah berdoa dan berfikiran positif, Allah hampir dengan kita dan mendengar permohonan kita.
Sebab itu bila aku selalu sakit, aku tidak pernah mengeluh atau merintih , sebaliknya aku anggapkan ini adalah anugerah Allah kerana jika dibandingkan nikmat dan permintaanku yang selari dengan ketetapan Tuhan , nikmat itu lebih banyak lagi aku dapat.

Dan aku tahu kerana kasih sayang Allah jua aku diberikan berbagai ujian kesakitan dan penyakit agar aku selalu dekat denganNYA. Mana mungkin kita bila terlalu sakit nak sebut perkataan lain selain "
لا إله إلاَّ الله " secara tak langsung hati dan lidah kita sentiasa berzikir.

Ketika sakit, hati kita memang bulat menumpukan kepada Allah sahaja, minta dikurangkan rasa sakit itu, sebab memang tiada siapa dapat mengurangkan rasa sakit yang datang berbisa melainkan Allah.
Doa minta sembuh kan penyakit? Ketika di hadapan Kaabah pun aku tidak berdoa begitu, hanya doa ku, "Ya Allah ringankan kesakitan ini dan kurniakan aku kesabaran, ketabahan dan kekuatan menghadapi ujianMU kepada ku." Rasa malu nak mohon bila teringatkan banyak nikmat Allah kepada ku.

Aku telah memiliki segala yang diimpikan oleh manusia, zauj yang baik,anak-anak permata hati,keluarga bahagia, harta seadanya, kerjaya yang bermanafaat buat aku dan sahabat-sahabat yang menceriakan , mengingatkan kematian bukan sahabat yang melalaikan. Jadi , apa lagi yang aku mahu? Makanya ujian yang ini, sakit dan penyakit aku anggap adalah anugerah Allah kepada aku, tanda sayangNYA Allah kepada ku...


Moga aku terus kuat, tabah dan sabar dengan segala ujiannya...

Penawar hati ku
...

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286


Saturday, 5 September 2009

Ketabahan, kecekalan dan Kesabaran

Kadang aku ada idea untuk menulis, kekadang masa pula yang cemburu, berebut dengan keutamaan lain memantau perjalanan Halaqah.net. Bila idea datang, banyak pula soalan melalui YM, kadang aku abaikan salam di YM, kadang aku jawap mana tahu mereka ada perkara ingin ditanya dan diluahkan. Aku dah jariahkan masa dan diri aku sebagai bekalan di alam akhirat maka aku tetap melayan setiap pertanyaan. cuma aku akan lihat keperluan dan keutamaan untuk dilayan dan diberikan perhatian terhadap luahan hati dan masalah mereka.

Bagi aku hanya ini saja lagi jalan dakwah yang mampu aku buat selain dari duduk berjam-jam menghadap pc ini. Memang pc ini teman sejati aku... disini lah aku ketawa, tersenyum, menangis,mengaji, mendengar bacaan quran yang sayu mendayu menusuk kalbu, menziarahi rumah-rumah di alam maya, membaca dan menyelongkar khazanah ilmiah.

Terasa hati berbunga dan berseri walau dalam tangisan, terasa aku memiliki ramai teman dan kawan, namun hakikatnya aku hanya berinteraksi dengan pc ini sahaja.

Semalam aku terkedu mendengar luahan hati seorang isteri yang berada jauh di Jazirah Arab. Kasihan dia yang mengahdapi konflik dalam kelurga suami yang baru dikahwini. Aku pandang diri, oh...alangkah bersyukurnya aku memiliki suami ku ini, memiliki anak-anak yang menyayangi dan mengasihi aku, walaupun aku sudah lemah dan uzur. Kasihan dia yang dipulaukan oleh anak-anak yang tidak menghormati ayah ibu...
Salah siapakah itu? Hampir sebelas tahun usia anak, tapi masih lagi diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa...kasihan dia , berusaha untuk mendidik namun disalah ertikan oleh anak-anak.

"ummi, usia berapa sepatutnya kita patut latih, anak berpuasa?"

"oh...anak ummi, umur 5,6 tahun ajar puasa separuh hari, apabila 7 tahun, ummi galakkan dia puasa penuh."

"ya ke ummi?, sian anak-anak saya ni, 3 orang ni, belum boleh berpuasa lagi, saya tidak sediakan makanan, tapi ayahnya yang sediakan makanan."

"Bila saya tegur, nanti akhirnya saya akan bergaduh pula, camana, ummi?"

Kesian aku bila mendengar masalah keluarga dia, dengan dia kata anak sulung pun dah tak hormati ayahnya, boleh panggil ayah dengan perkataan 'bodoh' tapi ayahnya masih mendiamkan diri. Jadi apa yang patut dia lakukan? Saat dia YM tu katanya, ingin saja dia terbang balik Malaysia untuk menangis di bahu mak dia...

Apa yang boleh aku nasihati adalah dengan berkata sabar, tabah, kuat dan cekal...
Dia kata hatinya kosong kini, aku nasihati kembali semula zaman remaja dulu yang rajin bertahajud, berdhuha, kemanisan iman bagai madu... kini jiwa jadi kosong, hati jadi tidak sabar kerana kemanisan iman telah hilang apabila amalan membersihkan hati ditinggalkan.

Inilah saja nasihat yang mampu aku nyatakan, suburkan hati semula dengan zikrullah, munajat kepada Allah, bermujahadah dalam menangani masalah kerana ilmu masa remaja sebagai naqibah perlu digunakan sekarang. kalau dulu ilmu itu di bacakan dalam usrah secara teori, hari ini Allah mahu ilmu itu diamalkan. Kerana kesenangan , kemewahan yang sedikit, hati jadi lalai dan jauh dari Allah. maka sekarang didatangkan dugaan, ujian dan cubaan.

Semoga dia mampu untuk menghadapi ujian dan dugaan rumahtangga dan keluarga...
Akhir nasihat ku, jadilah isteri solehah...

Aku sendiri, kadang-kadang kaki ini tidak berdaya untuk melangkah, namun isteri solehah, ibu sejati yang aku cita-citakan, aku gagah perlahan-lahan bergerak untuk menyediakan makanan pada suami dan anak-anak dikala berbuka dan bersahur. Kerana cita-cita ini, aku pohon selalu dengan yang esa, untuk beri aku kekuatan bangun seawal jam 2 :00 pagi untuk aku ada masa bermunajat dan berkasih denganNYA. Aku berhajat agar kekuatan dalaman dari sanubari ku terus memancarkan aura supaya aku terus kuat dan berada dalam keadaan sihat. Aku sentiasa rasa bahagia kerana diri ini sentiasa terasa berada dalam kasih sayangNYA maka aku kuat dan mampu untuk hadapi semua ujian dan dugaan kesakitan yang tiada penghujungnya lagi disaat ini.

" Maha Suci Allah, Engkau mengetahui apa yang aku rahsia dan apa yang aku nyatakan, Engkau mengetahui hajat yang ada di dalam hati ku ini, maka perkenankanlah, Engkau mengetahui dosa-dosa yang ada dalam diri ini, maka ampunkan lah, Jadikan lah aku hambaMU yang redha atas semua yang telah Engkau takdirkan buatku ini...."

Berziarah dengan rasa cinta

Umat Islam digalak ziarah, hulur bantuan ringankan beban orang sakit

SETIAP penyakit yang didatangkan Allah kepada kita umat Islam semuanya adalah ujian terhadap keimanan kita kepada-Nya. Ujian itu sama ada besar atau kecil bertujuan menghapuskan dosa jika kita bersabar.

Semua penyakit yang didatangkan Allah mempunyai ubat kecuali penyakit tua dan mati atau sampai ajal seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Mereka bertanya: Ya Rasulullah, apakah kami berubat? Baginda menjawab; Ya Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah meletakkan penyakit dan diletakkan pula penyembuhannya, kecuali satu penyakit iaitu penyakit ketuaan."
(Riwayat Abu Sunnah)

Sementara itu, Allah juga memberi ganjaran kepada orang yang menziarahi orang sakit. Daripada Thauban, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Orang yang menziarahi orang sakit sentiasa berpeluang 'memungut' ganjaran dari syurga sehinggalah ia pulang." (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudaranya yang seagama, maka memanggil akan dia oleh malaikat: Baik engkau dan baik perjalanan engkau dan sesungguhnya engkau telah menempatkan dalam syurga suatu tempat yang baik."

Dalam keadaan pesakit terlantar di katil hospital atau rumah, mereka akan rasa dihormati jika ada saudaranya, kaum kerabatnya dan kawan serta kenalannya datang menziarah. Kunjungan itu akan mengurangkan bebanan perasaan serta mengurangkan rasa sakitnya.

Tetapi seandainya tidak ada keluarga dan kawan menziarahi, dia akan berasa terasing, sedih dan pilu. Ini akan menambahkan lagi bebanan rasa sakitnya. Oleh itu, menziarahi orang sakit sangat digalakkan oleh Islam.

Cegahlah segala penyakit, sebab itu lebih utama daripada mengubatinya. Dalam kehidupan umat Islam, sesudah nikmat iman, tidak ada pemberian Allah yang lebih baik daripada nikmat kesihatan.

Oleh itu, jika menghidap penyakit segeralah diubati supaya tidak melarat dan mendatangkan lebih banyak mudarat.

Jangan sesekali meminta kepada orang biasa atau dukun pengamal mistik yang mengaku mempunyai ilmu ghaib. Barang siapa mendatangi mereka maka Allah tidak akan menerima sembahyangnya selama 40 hari.

Sementara itu, jangan berubat dengan benda haram, misalnya alkohol, binatang atau benda lain yang diharamkan Allah kerana Allah yang menciptakan penyakit tidak menjadikan yang haram sebagai penyembuh.

Uthman bin Abu al-Ass mengadu kepada Rasulullah SAW akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
"Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit dan katakanlah: Dengan nama Allah, sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada keburukan yang aku dapat dan aku berwaspada." (Hadis riwayat Muslim)

Sementara itu, Rasulullah SAW juga mengajar doa menziarahi orang sakit. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang menziarahi pesakit yang belum tiba saat kematiannya, lalu ia berkata di sisinya, sebanyak tujuh kali: Aku bermohon kepada Allah Yang Maha Besar, Tuhan 'Arasy yang Agung, agar menyembuhkan engkau. Nescaya Allah akan menyelamatkannya daripada penyakit itu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Jelaslah sakit dan penyakit adalah ujian Tuhan kepada hambanya. Setiap orang akan merasa sakit sama ada sakit berat atau ringan. Setiap penyakit ada ubatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuhan untuknya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apabila anda sedang sakit, bersabar dan bertawakal sambil berikhtiar untuk berubat. Penyakit datang dengan tiba-tiba, sedangkan penyembuhannya memerlukan waktu yang lama. Harus diingat, doktor hanya mampu mengubati sedangkan yang menyembuhkan adalah Allah.

Bagi mengelakkan penyakit, selalu bersenam, jangan makan terlalu kenyang ini kerana terlalu banyak makan mengakibatkan timbulnya penyakit jantung, darah tinggi, hati dan paras kolesterol tinggi.

Umat Islam juga diingatkan mengelakkan penyakit yang mengaibkan dan berbahaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit yang berbahaya."

Dan dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada mati sebab jatuh ke dalam telaga, mati akibat runtuhan, tenggelam, kebakaran dan aku berlindung daripada dibinasakan oleh syaitan ketika hendak mati, aku berlindung kepada-Mu, dan aku berlindung daripada mati kerana sengatan binatang yang bisa." (Hadis riwayat al-Nasai dan al-Hakim)

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul memang dipelihara Allah daripada sebarang penyakit jelik. Bahkan Baginda mengingatkan kepada umatnya supaya berusaha mengelakkan dan menjauhi penyakit yang mengaibkan dan perkara buruk lain.

Sakit adalah takdir Allah yang menimpa kepada sesiapa dikehendakinya. Tidak ada orang yang meminta untuk mendapat penyakit. Tetapi apabila penyakit menimpa, maka hendaklah kita bersabar menerima takdir Allah dan berusaha supaya disembuhkan daripada penyakit itu.