BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 19 September 2009

Sifat terpuji: Belas Kasihan

Bila kita bertanya orang di sekeliling; "apa makna belas kasihan?" atau; "boleh tolong beri maksud belas kasihan?" Kita kemungkinan besar akan menerima berbagai-bagai jawapan dan olahan. Orang lain menyifatkan pekerti yang mulia itu sebagai perhatian dan keikhlasan yang ditunjukan oleh sanak saudara kepada mereka apabila sakit. Yang lain pula menganggap seorang kawan yang menangisi seseorang yang sudah mati sebagai satu "tanda kasihan'. Definasi tersebut sebahagian besarnya mempunyai persamaan antara satu sama lain. Namun tiada satu pun yang memberikan definasi belas kasihan dalam maksudnya yang sebenar.

Asas kepada sifat belas kasihan yang sejati ialah kasih terhadap Allah. Kasih seorang individu terhadap Allah membimbingnya ke arah merasai satu hubungan yang amat rapat dengan semua makhluk ciptaanNya; bersimpati dan kasihan terhadap mereka. Bertolak daripada sifat kasih dan cinta yang mendalam kepada Allah yang mencipta mereka dan juga sesama manusia lain, maka kelakuannya terhadap orang lain selaras dengan akhlaq yang murni seperti yang digariskan di dalam Al-Qur'an. Dengan mematuhi suruhan Allah dalam mengamalkan sifat mulia ini.

Al-Quran Surah Al A'raaf ayat 151, yang bermaksud:

سُوۡرَةُ الاٴعرَاف
قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِى وَلِأَخِى وَأَدۡخِلۡنَا فِى رَحۡمَتِكَ‌ۖ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّٲحِمِينَ (١٥١)
Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani. (151)

Melalui sifat belas kasihan ini maka akan melahirkan juga sifat pemurah, sifat sentiasa ingin bantu membantu dan sifat-sifat terpuji yang lain. Sebenar, Allah kadang-kadang memberikan ujian kepada orang lain, tetapi ia juga memberikan kesempatan kepada kita untuk menguji sifat-sifat terpuji yang kita miliki. Jangan kita fikirkan orang lain yang mendapat dugaan, kita yang melihat tidak terkena tidak dapat apa-apa. Adakah jika orang lain terkena ujian kita ini hanya sekadar melihat sehaja, tanpa ada sifat belas kasihan ingin membantu dan jika perlu turut berkorban wang, masa dan harta benda?

Musim itu, musim orang kena demam denggi. Seluruh keluarga ku, telah mendapat demam itu. Yang paling teruk akulah, dua kali aku kena demam denggi berdarah. Kali pertama aku kena demam denggi hingga membunuh janin dalam kandunganku.Kali kedua, aku kena selepas melahirkan Muhammad Imran. Zauj juga pernah kena demam denggi, tapi zauj tidak teruk sangat, sebab bila zauj demam menggigil saja, zauj terus pergi ke pusat kesihatan UTM minta dimasukkan air dan berehat di wad. Hari tu, yang temankan zauj ialah Nazihah, anak ke empat ku. Nazihah baru berusia 12 tahun, tapi sudah diajar untuk bertanggung jawap. Mujur masa itu pembantu rumah Raudatul Jannah ada ,untuk menjaga Muhammad Imran yang baru berusia 25 hari. Aku pula telah ditempatkan di wad kelas 1 atas bukit di HSAJB. Keadaan aku memang agak parah hingga terpaksa dimasukkan platlet.

Walaupun masih demam, zauj tidak lupa bila waktu malam, datang ke wad untuk melihat aku yang sakit, dan zauj datang membawa Imran yang masih bayi untuk menyusu payudaraku. Payudaraku telah membengkak sebab dah satu hari Imran tidak menyusu sejak aku dimasukkan ke wad. Zauj memang tidak mampu memandu, jadi minta tolong jiran sebelah memandukan kereta datang ke hospital. Mujur ada jiran yang simpati dan belas kasihan melihatkan kami suami isteri sakit.

Selepas seminggu aku sihat dan dibenarkan balik, aku tetap kena terus kan 'dressing' luka dari pembedahan melahirkan Imran. Luka pembedahan itu telah terbuka semula, sehari selepas aku balik ke rumah. Maka aku terpaksa jalani 'dressing' luka itu agar tidak bernanah selama 45 hari. Itulah dalam tempoh berpantang , aku terkena demam denggi. Masa aku pergi hospital, platlet aku memang dah menurun sehingga 26000 saja lagi,jadi bila ada pula bahagian yang luka, darah yang keluar amat laku sebab tidak ada pembeku darah kesan dari kekurangan platlet dalam darah.

7 bulan kemudian, Raudatul Jannah demam. Aku ingatkan Jannah cuma demam biasa. Bila kakinya membengkak, dan dia rasa sakit bila nak berjalan, aku membawa Jannah ke klinik Norila. Doktor kata kaki Jannah mengalami pendarahan sebab demam denggi. Doktor merujuk Jannah ke hospital untuk rawatan lanjut. Memikirkan Jannah warga asing, kos yang dikenakan baik di hospital kerajaan dan swasta sama saja, maka aku bertindak bawa Jannah ke Puteri Specilist Centre Johor Bahru.

Sehari selepas Jannah dimasukkan ke wad, doktor telah memanggil aku untuk berbincang. Doktor memberikan penerangan bahawa penyakit Jannah lambat sembuh, mereka dapat mengesan sesuatu yang abnormal dalam darahnya. Tapi mereka tidak dapat menentukan dengan tepat, hanya menyebut SLE. Doktor meminta aku memindahkan Jannah ke hospital kerajaan, kerana jika terus dirawat di situ, kosnya amat tinggi.

Setelah proses pembayaran bil sebanyak RM 4500 untuk rawatan dalam tempoh 4 hari di Puteri Specilist Centre dan dokumentasi rujukan ke hospital kerajaan selesai, aku bawa Jannah ke HSAJB. Semua bayaran bil rawatan aku yang kena settlekan sebab, Jannah memang tidak ada duit. Duit gajinya telah dihantar ke kampung untuk membantu kelurganya di Pulau Boyan. Jannah warga asing, di hospital kerajaan pun Jannah tetap kena bayar. Untuk daftar masuk wad, aku kena letak wang pendahuluan (deposit) RM 400. Kos wad pula dikenakan kos bayaran wad kelas 1, tapi Jannah hanya ditempatkan di wad kelas 3.

Bila masuk wad, aku pergi melawat Jannah setiap hari. Di hospital ini, barulah doktor dapat mengesan kuman sebenar yang ada dalam darah Jannah. Kaki Jannah yang membengkak telah menjadi 'gangrin'. Istilah biasa, sel saraf telah mati, dan daging mula membusuk dan tanggal. Setelah doktor dapat mengesan kuman itu dan mengesahkan dengan tepat, doktor menaggil aku datang untuk mendengar penerangannya.

Jannah disahkan mengidap laprocy.Bahasa melayunya ialah kusta.Bila mendengar berita itu, aku rasa seperti dihempap seketul batu dikepalaku. Sudahlah hari itu, aku pergi jumpa doktor sendirian, aku jadi terpingga-pingga. Selepas jumpa doktor , aku berjalan semula ke wad Jannah, dalam perjalanan ke wad Jannah, aku menangis teringat kata-kata doktor, bahawa keluarga aku aku jalani kurantin selama 3 tahun. Keluarga aku yang selalu berhubung secara langsung dengan Jannah perlu diperiksa seluruh tubuh setiap 3 bulan selama 3 tahun. Pemeriksaan ini wajib dilalui kerana Malaysia telah diistiharkan bebas kusta, jadi bila kes terpencil ini ada, Kementerian kesihatan Malaysia amat memberikan perhatian dan prihatin kepada kami sekeluarga.

Sambil menangis, aku terus berjalan ke wad Jannah, tiba-tiba aku terjumpa seekor burung di tepi longkang yang kelihatan lemah, aku berasa kasihan dan memegang burung itu,mat burung merenung ke mata ku, seseolah minta dikasihani, aku pun tak tahu bagaimana nak menyelamatkan burung, sekadar meletakkan di tapak tangan, sambil mengusap-usap bulu dibelakang lehernya. Mungkin kerana selesa, burung itu senyap dan seperti mahu berbaring. Aku fikir burung itu tidur, namun, bila melebehi 15 minit tidak bergerak-gerak, rupanya burung itu mati ditapak tangan ku. MasyaAllah, dalam aku kesedihan, didatangkan suatu petunjuk yang aku sendiri tidak dapat mentafsirkannya. Burung tu dah mati, aku nak berterusan simpati pun , taka da gunanya, aku cuma tk mahu jasad burung itu dimakan kucing, aku buang jasad burung ke dalam tong sampah. Cuma aku fikir, sekurang-kurangnya burung itu mati dalam keadaan selesa.

Aku terus ke wada Jannah dan menceritakan apa yang doktor katakan padaku. Dia perlu jalani pembedahan plastik (plastic surgery)ke atas kakinya yang membusuk itu agar nyawanya dapat diselematkan. Dia setuju. Seminggu selepas itu, Jannah telah jalani 'plastic surgery' pada kedua-dua kakinya, dari paras lutut hingga ke buku lali. Semua bahagian yang gangrin dibuang dan ditampal dengan kulit dari pahanya. Untuk proses pemulihan ini mengambil masa yang agak lama juga.

Setelah luka dari kesan plastic surgery agak pulih, doktor telah menyampaikan berita bahawa kementerian kesihatan meminta Jannah dihantar terus pulang ke Indonesia. Aku tidak dibenarkan membawa Jannah pulang ke rumah, alasannya Malaysia sudah menutup pusat Kawalan Kusta dan diistiharkan bebas kusta. Sedihnya aku dengar berita ini, bagi aku walaupun Jannah hanyalah pembantu rumah, namun dia sakit, aku tetap mahu membantu rawatannya di sini. Aku tahu , jika Jannah dihantar pulang, dia tidak akan dapat menerima rawatan sewajarnya seperti yang di dapati di Malaysia. Lagipun, di Indonesia, rawatan umum pesakit dikenakan bayaran yang tinggi. Siapa yang boleh membantu Jannah menanggung kos rawatan di sana. Namun aku tetap kena akur dengan perintah arahan menghantar pulang Jannah. Setelah semua dokumentasi perjalanan siap, Jannah dibawa ke jeti Stulang. Terus aku beruursan dengan imegrasition, dan menyerahkan semua dokumen-dokumen yang diperlukan.

Pihak imegrasition yang bertanggungjawap menjaga keperluan Jannah sepanjang perjalanan ke Tangjung Pinang dan meminta pihak imegrasition di sana menghantar Jannah terus ke hospital. Sebenarnya kepulangan Jannah turut di iringi oleh seorang saudara sepupunya, untuk membawa barang-barang Jannah. Semua kos pengahntaran pulang aku tanggung dan kuberikan juga sedikit wang bekalan buat Jannah, walaupun selama 2 bulan Jannah sakit ini, tidak bekerja di rumah aku.

Jumlah hari Jannah dirawat di hospital ialah selama 56 hari, jika di darap dengan kos rawatan sehari RM100 dan kos pembedahan, ubatan bil yang perlu aku jelaskan mungkin mencecah RM8000. Bil hospital putri dahulu sebanyak RM 4500. Namun segala rezeki ditentukan oleh Allah jua. Untuk membayar bil hospital putri, aku diberikan pinjaman oleh seorang kawan baik, dia menggunakan kad kreditnya untuk membayarkan bil itu, dan aku membayar sedikit-sedikit selepas itu. Bil hospital kerajaan ini pula, aku telah dinasihatka oleh doktor yang merawat Jannah memohon rayuan dari kerajaan untuk pelepasan kerana kusta adalah penyakit yang dibawah kawalah WHO. Sesiapa yang kena penyakit ini, mesti diberikan rawatan secara percuma tidak kira dia warga negara mana sebab itu diletakkan di bawah WHO. WHO ialah World Health Organization.


The World Health Organization (WHO) is a specialized agency of the United Nations (UN) that acts as a coordinating authority on international public health. Established on 7 April 1948, and headquartered in Geneva, Switzerland, the agency inherited the mandate and resources of its predecessor, the Health Organization, which had been an agency of the League of Nations.

Setelah Jannah ku hantar pulang, aku dan keluarga dikehendaki pula menjalani pemeriksaan kesihatan di jabatan Pakar Kulit HSAJB. Kami diperiksa secara menyeluruh, setiap inci badan kami diperiksa untuk mencari gejala awal penyakit ini. yang paling dibimbangi ialah Muhamad Imran, sebab masa Imran lahir, masih bayi, Jannah dah mula batuk-batuk dan demam. Kata doktor, ketika itu kuman Jannah sangat aktif dan mudah tersebar melalui udara dan sentuhan. Sedihnya aku dengar berita ini. Setelah 3 tahun kami menjalani pemeriksaan secara regular setiap 6 bulan, kami telah diistiharkan bebas kusta. Cuma tinggal Imran sahaja yang masih perlu diteruskan menjalani rawatan dan pemeriksaan. Walaupun kini Imran telah berusia 7 tahun, Imran tetap kena dibawa untuk pemeriksaan setiap 6 bulan. Yang boleh mengenal tanda -tanda awal kusta hanyalah doktor sahaja. Kita orang biasa tidak tahupun gejala penyakit ini.

Apakah kusta?

Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan Mycobacterium leprae. Nama penyakit Hansen datang daripada orang yang menjumpai Mycobacterium leprae, G. A. Hansen. Pengidap penyakit Hansen biasanya dipanggil pesakit kusta atau dalam bahasa Inggeris lepers, walaupun penggunaan istilah lepers semakin ditinggalkan kerana jumlah pesakit yang berkurangan dan sebagai mengelak stigma buruk yang dikaitkan dengan pesakit kusta.

Kusta dahulunya tidak dapat diubati dan amat mencacatkan. Pesakit kusta akan disingkir dan dikurung di penempatan kusta. Pada masa kini, kusta mudah dirawat dengan menggunakan terapi pelbagai antibiotik. Cabaran utama bagi usaha menghapuskan penyakit kusta adalah untuk sampai kepada penduduk yang masih belum menerima perkhidmatan terapi pelbagai dadah, memperbaiki pengesanan penyakit, dan membekalkan pesakit dengan perkhidmatan berkualiti tinggi dan dadah yang murah.

Selain manusia, haiwan lain yang diketahui mengidap kusta adalah armadillo.

Sejarahnya:

Penyakit kusta telah dikenali sebagai masalah semenjak permulaan sejarah bertulis. Pesakit kusta sering tinggal dipinggir masyarakat, dan penyakit sering dipercayai disebabkan oleh sumpuhan tuhan (atau shaitan) atau hukuman.

Kitab Injil mengandungi banyak rujukan kepada "pesakit kusta", yang tidak semestinya berkaitan dengan penyakit Hansen. Perkataan ini telah digunakan bagi merangkumi pelbagai masalah kulit yang berlainan etiologi dan keparahan ( severity ).

Di bawah hukum Yahudi silam, rabai dikehendaki mampu mengenalpasti pesakit kusta. Kaum Yahudi menggunakan kuarantin untuk menghalang penyebarannya.

Minoriti seperti agote Navarrese sering dituduh sebagai pesakit kusta.

Ciri-ciri klinikal:

Penyakit ini disebabkan oleh basilus yang membiak amat perlahan dan kebanyakkannya menjejaskan kulit, saraf, dan membran mukus. Organisma ini tidak pernah dibiakkan dalam media bakteriologi atau kultur sel, tetapu telah dibiakkan dalam tapak kaki tikus. Ia berkait dengan M. tuberculosis, basilus yang menyebabkan batuk kering.

Kaedah penularan kusta kekal tidak jelas. Kebanyakan penyiasat merasakan bahawa M. leprae disebarkan daro seseorang ke seseorang dalam titisan pernafasan. Apa yang diketahui adalah kadar penularan adalah amat perlahan.

Penyakit jangkitan kronik ini biasanya memberi kesan kepada kulit dan saraf pinggir tetapi mempunyai manifastasi klinikal yang luas. Pesakit dikelaskan sebagai mempunyai penyakit kusta pausibakilari atau multibakilari. Penyakit pausibakilari adalah serdahana dan bercirikan satu atau lebih makules kulit hipopigment. Penyakit kusta multibakilari dikaitkan dengan lesion kulit sekata, nodule, lendir (plaques), kulit menebal, dan peningkatan lendir hidung menyebabkan hidung tersumbat dan epistaxis (hidung berdarah).

Insiden:

Seluruh dunia, 1-2 juta orang mengalami kecacatan kekal disebabkan kusta. Bagaimanapun, pesakit yang sedang menerima rawatan antibiotik atau selesai menerima rawatan dianggap bebas dari jangkitan aktif.

Penyakit kusta merupakan salah satu penyakit yang dijejak secara pasif oleh Pusat kawalan dan Penghalang Penyakit. Taburannya di Amerika Syarikat kekal rendah dan stabil. Terdapat pengurangan jumlah kes seluruh dunia, sungguhpun kes setempat dikawasan tertentu terus muncul di kawasan seperti Pasifik timur.

Kumpulan berisiko:

Mereka yang berhubung rapat dengan pesakit yang tidak penyakit kebanyakannya multibasilari aktif, tanpa rawatan, dan mereka yng tinggal di negara dengan penyakit kusta asal (endemik) berisiko mengidap kusta. Penyelidikan terkini menunjukkan variasi genetik menyumbang kepada kecenderungan penyakit ini. Kawasan DNA bertanggung jawab bagi variasi ini turut terbabit dengan penyakit Parkinson, menimbulkan jangkaan bahawa kedua penyakit ini berkait pada aras biokimia.

Inilah ujian untuk orang lain tetapi kita juga turut bersama-sama menghadapinya. Selama Jannah di hospital, akulah yang paling sering bersama-samanya. 8 bulan selepas Jannah dihantar pulang, aku mendapat khabar, Jannah telah meninggal dunia kerana sakit kusta yang dideritainya ini. Walaupun sedih dengan berita itu, namum aku teringat yang aku telah berusaha membantu sedaya upayaku atas rasa belas kasihan , simpati dan kasih sayang sesama Islam kepada Jannah kerana Allah. Jika bukan rasa kasih sayang dan belas kasihan, keperimanusiaan, mana ada orang saja-saja mahu menyusahkan diri merawat Jannah dan menaggung kos rawatannya. Jannah bukan tiada saudara di sini, ramai... bukan mereka tidak ada wang, namun sifat belas kasihan itu hanya lahir melalui ungkapan kata dibibir sahaja.

Semoga usahaku ini mendapat redha dariNYA.

catatan: anak-anak ummi, tujuan ummi menulis cerita ini adalah untuk ingatan kepada kamu semua, bahawa jangan berkira dengan wang ringgit, tanamkan sifat belas kasihan dalam jiwa tidak kira pada siapa pun manusia atau binatang. Sesungguhnya segala perbuatan yang baik,balasan Allah tidak menunggu di akhirat, di dunia pun Allah sudah berikan ganjarannya.

Doa ummi buat anak-anak:

Wahai Allah, dengan nama-namaMU yang Maha Suci dan Mulia dan sifat-sifatMU yang tinggi,bersihkanlah hati kami daripada segala keadaan yang menjauhkan kami untuk memandang kebesaran dan belas kasih sayang MU, terangkan hati kami dengan ilmu pengetahuan MU dan pergunakan tubuh badan kami untuk mentaati MU, bersihkan hati kami daripada fitnah dan sibukkan diri kanlah fikiran kami untuk mengambil iktibar. Peliharalah kami daripada was-was syaitan dan keluarkan kami dari bahayanya, wahai tuhan yang Maha Pengasih.


0 comments: