بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dugaan dan ujian Allah tidak pernah berhenti selagi nyawa masih dikandung badan. Ujian di dunia bagi menguji keimanan masing-masing.
Maha suci Allah, keredhaan MU yang aku harapkan. Jadikan aku manusia yang redha dan syukur dengan segala apa yang telah ENGKAU takdirkan buat aku.Jadikan aku hamba MU yang sentiasa rindu untuk bertemu dengan MU.
Semalam ummi pergi lagi memenuhi temujanji minggu lepas dengan doktor pakar orthopedik di HSAJB. Masalah kali ini berkaitan jari ummi. Ummi pelik dengan keadaan jari manis ummi yang tidak boleh diluruskan. Tetapi ummi yakin tidak ada yang mustahil bagi Allah.
Telah di ambil ujian darah, telah dibuat x-ray, memang tidak nampak punca kenapa jari ini crame, kaku, tidak boleh diluruskan. Hanya semalam bila seorang doktor perempuan india tu lihat, terus dia tahu masalah jari ummi ini.
Sekadar gambar hiasan: Ini bukan tangan ummi.
Terdapat tendon di tapak tangan yang berpintal dan tersepit menyebabkan ketegangan. Sebelum ini, ummi memang sudah lama mengalami kesakitan dan kesukaran untuk menggerakkan jari itu. Rawatan: perlu dilakukan pembedahan ke atas tapak tangan untuk dibetulkan tendon itu. Tapak tangan akan ditoreh.Lagi satu episod untuk ummi mendapat rawatan di HSAJB. Antara takut dan harapan sentiasa ada dalam diri. Namun yakin dengan janji Allah, segala rasa yang berbaur itu lenyap hilang bagai ditiup angin. Sesungguhnya Janji Allah itu benar.
Semoga aku terus diberikan kekuatan, ketabahan, kesabaran dan keimanan yang mantap dengan segala ujian-ujian hidup dan kehidupan ini.
Setiap manusia di uji, namum ujiannya adalah berbeza-beza mengikut tahap keimanan masing-masing. Lagi pun janji Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286...
سُوۡرَةُ البَقَرَةلَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ (٢٨٦)
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (286)
Allah hanya memberikan ujian mengikut kemampuan yang hambaNYA mampu tanggung. Maka aku yakin bahawa apa yang Allah uji ini, memang mampu untuk aku hadapi. Moga rahmat dan kasih sayang Allah melimpahi kepada aku, anak-anakku dan semua orang yang aku kasih.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
0 comments:
Post a Comment