بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setinggi Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.
Syukur ke hadirat Allah Ta'al yang memberikan limpah kurnia NYA kepada kita semua. Semalam ummi tuliskan Amiratun Nazihah telah pergi ke hospital pada jam 2.30 pagi kerana mengalami tanda-tanda untuk melahirkan anak.
ALhamdullilah, Amiratun Nazihah selamat melahirkan anak pada jam 11.30 pagi pada 4 Mei 2011 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1432 H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Jadi anak negeri Selangor. Mak lhair di Johor, ayah lahir di Perak.
Bertambah seorang lagi ahli keluarga Othman. Tahun lepas bertambah 3 orang, perkahwinan 3 orang anak, membawa 3 orang menantu. Tahun ini, sehingga dipertengahan tahun telah bertambah 2 orang cucu. Semoga keluarga ini telus mendapat hidayah, inayah, rahmat dan kurnia dari Allah hingga akhir hayat di dunia dan akhirat.
Dengan kelahiran cucu perempuan ini, ada perkara yang ingin ummi ingatkan kepada semua pihak. Memang anak-anak yang dilahirkan sedikit sebanyak akan mengambil iras wajah ibu ayah, datok atau neneknya. Jika seorang anak perempuan, ayah anak itu perlu berhati-hati dalam mengungkapkan kata-katanya. Takut sangat berlaku kesilapan atau kesalahan tanpa sedar. Terzihar isteri tanpa niat kerana tidak tahu.
Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan mahram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman (Surah Al-Mujadalah : ayat 2)yang maksudnya:
"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"
"Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri."
Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun:
1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang sudah tertalak tetapi masih dalam talak raji iaitu isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (mahram suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.
Siapa mahram suami? Sila rujuk di sini : Mahram Suami
Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika melafazkan kata-kata kepada isteri.
Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri, amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa disedari terkeluarlah kata-kata, Muka Ayang ni saling tak tumpah macam muka ibu abang. Isteri yang jahil tersenyum bangga menerima pujian suami.
Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.
Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah bertanya kepada suaminya, Bang, bang, betulkah rupa saya ni macam rupa anak kita? "Ya", Jawab suami ringkas. Sepatah perkataan, "Ya" sudah cukup menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.
Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu atau muhramnya.
Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar dari suami.
Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya.
Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku ini macam hidung anaknya.
Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri. Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan dengan mulut.
Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz yang nyata.
Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata, kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut, pusat, kaki dan sebagainya.
Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut, bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam lafaz zihar.
Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan, satu dosa dan kemungkaran.
Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu, ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari, masuk nerakalah kita.
Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau sekiranya suami tidak menyedari tentang telah berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang
dikatakan dosa yang bersambung-sambung.
Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu. Firman Allah swt dalam surah Al-Mujadalah : ayat 3,4 yang bermaksud:
"orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."
Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata lagi:
"Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum Allah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih."
Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.
Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.
Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.
Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.
Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa, dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya. Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.
Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.
Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.
Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu.
Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat, seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri.
Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.
Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan, muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi muhramnya.
Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.
Untuk lebih jelas , boleh di rujuk di sini : Hukum Zihar Bukan Soal Remeh
Kenapa ummi bangkitkan isu ini hari ini? Ini kerana ummi sendiri melihat anak yang dilahirkan oleh Amiratun Nazihah, persis seperti ketika Amiratun Nazihah ketika bayi. Ummi amat takut sekiranya suaminya mengiakan bila dia melihat wajah anaknya itu. dan secara tak sengaja berkata wajah anak mereka sangat serupa wajah isterinya. Memang pun wajah puteri mereka persis wajah Amiratun Nazihah, ibu bayi itu.
Entri ini adalah peringatan untuk semua.Ramai orang yang tidak tahu hal ini,maka kewajiban ummi untuk menyampaikan dan memperingatkan. Semoga kita terhindar dosa-dosa yang tidak disedari dan disengajakan.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
3 comments:
Assalamualaikum. sgt penting ilmu ni. mohon copy link ini ke facebook utk pngetahuan semua.
Assalamualaikum Ummi,
Alhamdulillah saya dapati lelaman Ummi ini.
Dulu saya cuba amalkan islam sepenuhnya dalam hidup saya tapi semenjak ada anak, saya tidak ambil beratkan sunnahnya & sifat2 murni.
Lelaman Ummi memberi saya semangat yg menjadi Muslimah & ibu yg solehah. Semoga Allah berikan saya kekuatan ini.
:: Nur
assalamualaikum...
erm gerak hati saya slpas membaca artikal saudari..rasa berat..ssguhnya islam itu mudah..tidak semudah yg saudari cakap kan utk menjatuhkan hukum zihar,,ada lafaz2nya jelas atau kinayah,syarat2nya,bhagian2nya dll..rujuk http://qawanitadanperkahwinan.blogspot.com/2009/01/anggota-yang-sabit-dengan-zihar.html wsalam..
Post a Comment