BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 8 December 2011

Aniversary ke 27

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



“ Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayangMu, bertemu di atas ketaatan kepadaMu, bersatu di jalan dakwahMu dan berjanji menegakkan AgamaMu... Maha Suci Engkau, perteguhkanlah tali ikatan antara kami ini, limpahkanlah kasih sayang di dalam hati kami ini. Engkau tunjukkanlah kami jalan hidayahMu, sesungguhnya padaMu kami berserah dan tempat kami memohon pertolongan “
~ Amin Ya Rabbal Alamin ~


Esok Jumaat, tiba lagi 9 Disember, (13 Muharam 1433 H) tarikh aku di ijab kabulkan 27 tahun lalu. 9 Disember 1984, bersamaan 16 Rabiul Awal 1405 H jatuh pada hari Ahad.

Aku selamat diijabkabulkan oleh wali dengan mahar sebanyak RM 125 tunai. Tamat sahaja kertas terakhir peperiksaan semester 1 tahun 2 di UTM, terus aku balik ke rumah, 3 hari sebelum majlis akad nikah dan walimah berlangsung.

Segala urusan untuk bernikah tidak aku ketahui prosedurnya. Zaman dulu mana ada kursus bersijil apabila ingin berkahwin. Begitu juga dengan urusan walimah. Aku balik Khamis malam Jumaat, subuh Jumaat tiba di rumah.


Sudah ramai saudara mara datang berkumpul untuk mengadakan kenduri kahwin. Orang kampung suka gotong royong bila ada kenduri kahwin. Buat kerisik, giling rempah,kukus pulut dan macam-macam kerja lagi dibuat secara gotong royong.

Segala persiapan mak abah yang uruskan. Zaman dulu mudah, mana ada warna tema atau protokol yang kena patuhi selain yang syariat tetapkan. Yang ada cuma berinai saja. Sampai rumah, aku cuma suai jari untuk diinai oleh saudara mara.

Tidak ada andam mengandam, atau bersolek. Aku cuma memakai baju kebaya songket berwarna hitam ditenun emas yang longgar kepunyaan nenek muda sebelah abah, dan bertudung labuh warna hitam. Sangat simple dan ringkas. Zauj pulak cuma memakai baju melayu warna krim dan bersamping songket hitam tenun emas. Kiranya sedondong dengan baju sokngket yang aku pakai tu.

Lepas nikah, suami masuk bilik, bersalam dan seingat aku cuma ada 3 keping gambar sahaja kenangan perkahwinan aku. Itu pun gambar selepas nikah dan di dalam bilik. Tak ada sessi bergambar, pelamin apatah lagi bersanding.


Langsung tidak bertemu tetamu lelaki, cuma duduk atas rumah menyalami tetamu perempuan. Alhamdullilah, segalanya dipelihara oleh Allah dari awal-awal lagi.

Selepas majlis selesai, tetamu dah balik, sebuk mengemaskan segala peralatan yang digunakan. Di kampung, walaupun kenduri tak besar mana, tetapi ramai tetamu yang datang. Maklumlah kampung sebelah menyebelah, jiran tetangga, saudara mara dekat-dekat. Tumbang juga lembu seekor buat lauk menjamu tetamu.


Seminggu di kampung , berziarah sana sini rumah saudara mara dekat jauh, barulah kami berangkat balik ke rumah sewa zauj di Kuala Lumpur. Masa itu, tak ada apa pun yang dirancang, segalanya seperti berlangsung secara alami.

Genap 40 minggu selepas ijab kabul, pada 23 September 1985 lahir anak sulong kami di Kuala Lumpur.Orang kata bunting pelamin padahal kami tidak ada pelamin untuk bersanding.


Kini nostalgia lalu terimbas kembali. Petang tadi aku ingatkan zauj tarikh ini. Zauj tersenyum saja. Walaupun sudah 27 tahun, kami memang tidak pernah buat apa-apa sambutan istimewa melainkan hanya bacaan doa dan sujud syukur.


Sepanjang usia perkahwinan, ujian-ujian yang datang dihadapi dengan penuh sabar dan redha membuahkan keintiman di dalam hubungan kasih sayang.


Saling percayai mempercayai, tidak ada cemburu yang keterlaluan, lebih banyak diam apabila salah seorang marah, bertolak ansur adalah rahsia di dalam memelihara kerukunan di dalam rumah tangga. Tidak ada manusia yang sempurna, maka terima segala kekurangan dan kelebihan pasangan dengan redha. Anggapkan suami atau isteri yang telah kita nikahi itu sebagai hadiah Allah. Kebahagiaan itu menjelma apabila kita hormat menghormati pasangan masing-masing dan menjaga hak-hak peribadi pasangan. Paling utama menjaga kerahsiaan rumah tangga.

Apabila hak Allah dijaga dengan baik dan sempurna , maka Allah akan menjaga hak kita juga. Allah yang memelihara rumah tangga dari fitnah dan hasad dengki manusia. Allah akan memelihara kasih sayang walaupun diuji dengan pelbagai ujian kesihatan.

Syukur kepada MU Ya Allah...

Catatan memori ulangtahun ke 25 >>>  Ulangtahun ke 25 Usia PerkahwinankuMemori Indah Seorang Isteri


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

Anonymous said...

tahniah

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Terima kasih... alhamdullilah.