BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 9 December 2011

Simbolik Bubur Asyura diUlang Tahun ke 27

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ya Allah,
Aku pohon pada MU,
Kurniakanlah
ke atas rumah tangga ku ini,
Kerukunan, kedamaian,
ketenangan, Keselamatan,
Kesejahteraan, Kebahagiaan
di dalam redha MU,
rahmat MU
dan kasih sayang MU,
hingga akhir hayat ku,
di dunia dan di akhirat.

Kekalkan jodoh ku ini
hingga akhir hayatku
di dunia dan akhirat.
Satukan hati kami
dengan kasih sayangMU
Suburkan cinta kami
dengan rahmat dari MU
Limpahkan hati kami berdua
dengan ketenangan dan redha MU.

Ya Allah,
Kurniakan kepada aku,
zauj dan anak-anakku
Iman yang sempurna,
akhlak yang terpuji
Pekerti yang mulia
Satukan kami sekeluarga
dengan ikatan akidah
dan kasih sayangMU.

Ameen...



Apa yang lainnya masakan hari ini sempena ulang tahun yang ke 27? Ummi masak bubur asyura. Seperti bubur lambuk yang bahannya terdiri dari pelbagai jenis kekacang, ubi, dan sayur-sayuran.


Nampak menarik dan rasanya, memanglah sedap. Rupanya pun kelihatan menarik dengan warna hijau(sayur daun hijau), oren(karot), kekuningan (ubi keledek warna kuning) dan warna cream (kekacang).


Kenapa ummi masak bubur asyura hari ini? Analoginya seperti bahan yang terkandung di dalam bubur itu, begitulah juga dengan warna-warna perjalanan yang ummi tempuh selama 27 tahun ini di dalam rumah tangga.


Suka duka, pahit, manis, masin dan tawar. Semua dilalui dengan redha dan sabar. Senyum dan tangis itu saling berganti. Ianya sangat indah apabila disyukuri dengan nikmat yang Allah berikan.


Hidup seadanya (qanaah) menjadi penyeri di dalam perjalanan berumahtangga. Menerima segala kekurangan dan kelebihan pasangan adalah cara terbaik untuk menjadikan rumah tangga sentiasa harmoni dan murni.


Tidak perlu bantahan atau tengkingan ketika berbicara merupakan satu cara menghormati pasangan. Diam itu lebih indah apabila satu pihak berada di dalam keadaam marah atau keletihan. Jangan cari punca untuk pasangan merasa marah atau tidak puas hati.


Sebaliknya selalulah menjadi penawar dan pembantu yang meringankan keresahan pasangan. Jadikan rumah sebagai syurga yang mendatang manafaat bukan sahaja pada diri dan keluarga sebaliknya pada manusia lain juga.


Sedikit yang kita mempermudahkan urusan orang lain, berganda-ganda Allah memudahkan urusaan kita. Seperti mana Di dalam sohih Muslim tercatat : Firman Allah Ta'ala ( maksud ) : Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Dan sesiapa yang menghampiriKu sehasta maka aku kan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan maka Aku akan kepada dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemuiKu(selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.


Maka perbanyakkanlah melakukan perkara-perkara yang Allah redhai di dalam kehidupan ini bukan kerana mencari nama, kuasa atau harta sebaliknya kerana kasih sayang Allah kepada kita.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




0 comments: