BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 30 March 2011

Jangan Mudah Lupakan Kebaikkan Orang

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:


“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)



Berbaur rasa bergumpal dalam dada ini. Sedih, sayu, syukur pada apa jua yang dilalui hingga saat ini. Namun di penjuru mata sudah bertakung sejumlah air mata yang menunggu saat empangan pecah agar dapat mengalir laju.


Segagah mana pun insan, akan ada saat jiwanya rapuh dan lemah. Seperti iman, ada saat tinggi ada saat rendah. Ditambah keadaan diri yang letih ,cepat penat,emosi juga dalam keaadan mudah terguris.


Rentetan dari jari yang sakit, walaupun hanya sebatang jari manis, telah menyebabkan kotak fikiran tidak dapat berfikir dengan sebaiknya. Minda tidak dapat menjana produktivi dengan berkualiti.


Jam 8.20 pagi, sebaik siap menyidai pakaian, mengemas rumah seadanya, terus ummi pergi ke Pusat Kesihatan UTM. Bertemu doktor yang merawat ummi pada hari Isnin lalu untuk menunjukkan jari yang tidak ada progress pulihnya. Doktor membuat surat rujukkan ke HSAJB, Pakar Ortho.


Oleh kerana kesukaran untuk mengubah gear, menarik brek tangan, ummi tidak berani memandu jauh hingga ke hospital di Johor Bharu. Ummi letakkan kereta di Stesen Petrol Petronas, depan Jusco dan naik bas ke Johor Bahru. Tambang bas ke Johor Bahru dari Jusco Taman Universiti cuma RM 3.20. Lama sungguh ummi tidak naik bas.


Naik bas,dengan aircond yang nyaman buat ummi terlena. Mujur ummi berpesan pada penumpang sebelah, minta dikejutkan jika telah tiba di Hospital Sultanah Aminah. Kebetulan dia pun mahu ke tempat yang sama dengan ummi.


Memang lena ummi tidor sehingga bas sudah berhenti, baru ummi terjaga dikejutkan oleh penumpang sebelah yang telah pun berdiri untuk turun. Bergegas ummi bangun untuk turun. Rupa cuma 30 minit saja masa perjalanan. Dan 2o minit ummi tidor dengan lena.


Turun bas,terus berjalan menuju ke Jabatan orthopedik. Bawa surat rujukan dan bersama gambar x-ray. Tapi bukan mudah untuk bertemu pakar. Walaupun kita dah tiba depan pintu, kalau tidak ada temu janji, pasti mereka tak ingin bertemu apatah lagi merawat. Ummi cuma boleh buat tarikh temu janji saja.


Walaupun ummi nampak doktor itu, ketika menjenguk ke dalam bilik tidak ada pesakit, mereka tidak akan mahu bertemu walaupun sedetik. Ntah la...itu peraturan yang telah dibuat oleh manusia.


Dalam hati ku, berdoa jangan ada sifat ini di dalam keturunan ku. Biarlah kita mudahkan urusan orang lain, agar Allah akan mempermudahkan urusan kita.


Namun ummi tidak ada rasa kesal atau kecik hati, kerana memikirkan betapa kebaikkan dia selama ini terhadap ummi. Merawat kaki ummi sehingga ummi mampu berjalan semula.


Lagipun dalam hidup ini kita mesti mengingati kebaikkan orang pada kita dan melupakan kebaikan kita pada orang. Kita mesti melupakan kejahatan orang pada kita dan mengingati kejahatan kita pada orang. Dengan itu, tidak ada rasa sakit hati atau dendam pada sesiapa. Kita akan jadi manusia pemaaf.


Dengan menjadi manusia pemaaf, kita Mudah untuk memaafkan orang dan mudah memohon maaf jika sedar ada salah faham dan silap dengan sesiapa sahaja. Tidak akan terasa sakit hati atau kecik hati pada apa juga kejadian yang berlaku di dalam hidup dan kehidupan ini. Hati kita pun akan sentiasa rasa tenang.


Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi kematian yang datang tanpa diundang. Tiada siapa tahu bilakah saat ajalnya berakhir. Maka selalulah memaafkan sesiapa sahaja, dan selalulah memohon maaf agar bicara kita ketika dipengadilan nanti tidak terlalu lama.


Sekian entri kali ini, berusaha juga melakar minda walaupun terpaksa menaip dengan 2 jari sahaja. 6 April, baru ada temu janji dengan doktor pakar akan masalah jari ummi yang begini. Pelik tapi benar,kenapa sebatang jari ini tidak boleh diluruskan dan tiada deria rasa. Bila usaha dengan paksa diluruskan, sakitnya hingga ke pangkal bahu. Ummi rasa seperti jari ni kudung. MasyaAllah, aku bersyukur dengan kurniaan MU ini ya Allah.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 29 March 2011

Mendidik Diri Menjadi Penyabar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:


“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)



Perlu sabar bila diuji. Ujian datang dalam berbagai bentuk dan ujian kepada setiap manusia adalah berbeza. Macam ujian penyakit dan kesakitan yang sering dikurniakan dalam hidup ummi. Pelik dan muskyil untuk difikirkan, tetapi tidak ada yang mustahil kepada Allah.


Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.


Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.


Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu.


Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu.


Jangan mengeluh, kenapa anda tidak berjaya seperti insan-insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan melekat selamanya di anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah, tetapi jangan sekali-kali mengalah. Hati tunduk akur berteman sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar!


Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa? Justeru kita tidak akan dapat mengubah realiti. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir?


Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya, ya itu telah berlaku, ya itulah keadaannya … tak kira bagaimana keadaannya sekalipun anda tetap hamba Allah. Jangan cuba jadi “Tuhan” walaupun pada kehidupan anda sendiri.


Tunduk dan akurlah pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Jadilah manusia yang menjadikan akidah sebagai akar jati diri, syariat sebagai kompas hidup dan akhlak sebagai senjata diri.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Monday, 28 March 2011

Merenung Kebesaran Pancaindera Ciptaan Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Jari manis yang sakit

Tidak cukup hanya kita yang menjadi baik tetapi berilah kebaikan. Ingatlah, tangan yang menghulur bunga mawar, akan lebih dahulu harum baunya. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula kepada kita. Walaupun mungkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negatif terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan dan menenangkan diri kita sendiri.




MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya.


Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am ayat 165)



Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.



Firman Allah bermaksud: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zariyat ayat 21)




Firman Allah SWT lagi bermaksud: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5)


Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.


Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.


Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?


Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.


Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.


Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.


Dugaan tidak pernah berhenti datang menguji manusia. Sakit dan kesakitan sudah menjadi siri permaianan dalam hidup ummi. Kali ini yang mana lagi anggota yang sakit?


Sudah 1 bulan jari manis tangan kiri ini sakit. Seperti terseliuh urat tetapi tidak ada. Masih lagi ummi cuba mengerakkan sendiri jari yang bengkok itu untuk diluruskan. Tetapi sebaik bangun tidor subuh tadi,jari itu sudah mati. Tidak boleh digerakkan atau diluruskan.


Walaupun cuma sebatang jari,sudah agak sukar untuk ummi melakukan kerja walaupun untuk mencuci muka. Terasa kekok dan payah untuk melakukan kerja-kerja dengan menggunakan 3 jari sahaja,ia itu jari tengah,jari tunjuk dan ibu jari.


Namun ummi berusaha untuk membereskan kerja rumah secepat mungkin. Ummi dah minta izin zauj untuk pergi ke Pusat Kesihatan di UTM. Rasanya ummi tidak boleh biarkan keadaan jari ummi yang sakit berterusan begini.


Zauj balik selepas tamat mengajar jam 10.00 pagi. Jemput ummi di rumah dan bawa ke Pusat Kesihatan. Sampai di Pusat Kesihatan, menunggu sebentar dan dipanggil jumpa doktor. Diambil darah untuk ujian Asid Uric, SLE, Rheumatoid Arthritis dan lain-lain. Menunggu selama 2 jam, untuk dapat keputusan ujian darah dan jumpa doktor semula.


Tak ada yang pelik dalam ujian darah,semua normal. Buat X-ray. Dalam 3 sisi. Tak ada yang pelik pada kedudukan tulang, tetapi jelas jari ni makin bengkak. Tidak boleh diluruskan.Jika dipaksa lurus,sangat sakit.


Doktor tidak tahu kenapa dan penyakit apa,diberikan dahulu pain killer,krim sapu voren dan tablet untuk menyurutkan bengkak. Itu saja. Doktor beri masa 3 hari untuk lihat kesannya. Hmmm...memang ummi jenis yang taat dan dengar kata, ummi pun balik rumah dengan keadaan kesakitan jari yang makin sakit.




Bila jari manis cuba diluruskan terasa amat sakit

Sekarang ummi menaip dengan 4 jari sahaja. 2 jari tangan kanan dan 2 jari tangan kiri. Jari telunjuk dan ibu jari. Ujian apa dan bagaimana yang ingin Allah anugerahkan kepada ummi kali ini.


Betapa walaupun cuma satu jari, nikmat dan keselesaan hidup sudah terganggu. Sebab itu tiap inci ciptaan Allah pada tubuh kita patut disyukuri.


Pelik juga penyakit yang ummi alami kali ini.







Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday, 22 March 2011

Boleh Makan Kuah Kari Ayam?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Entah kali keberapa dah ummi menulis bab hati, masih tak jemu dan masih ada lagi peringatan-peringatan yang ingin dikongsikan bersama. Kali ini tajuk entri langsung tidak menampak apa yang ummi ingin kongsikan ini berkaitan dengan hati. Mungkin pembaca fikir ummi nak kongsi resepi masakan...


Selain menyajikan bacaan untuk orang lain, sebenarnya apabila sendiri menulis, ia secara tidak langsung menyampaikan peringatan buat diri sendiri. Bukan mudah untuk mensucikan hati dan bukan mudah menjaga hati tanpa usaha, ikhtiar , doa dan tawakkal.


Keikhlasan melakukan apa saja bermula dari hati. Niat yang selalu orang sebutkan berkata dan berbisik di hati. Jadi untuk melakukan apa sahaja dengan ikhlas mesti memiliki hati yang bersih. Dan siapa yang menilai keikhlasan itu? Hanya Allah Ta'ala. Sebab itu apa yang kita lakukan hanya kerana Allah sahaja.



Bersabda Rasulullah SAW :
“Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Al Bukhari & Muslim)


Bagaimana menjaga hati agar selalu bersih?



Firman Allah :
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.” (Al Maidah : 88)



Rasulullah SAW bersabda,
“ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)”


Itu adalah sabda Rasulullah SAW mengenai sesiapa yang mengambil sesuatu yang haram dan memasukkan ke dalam tubuhnya.


Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sedar bahawa benda yang kita makan itu haram maka kita akan berdosa dan hati kita akan gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubhat itu kita makan, tanpa diketahui bahawa benda itu haram dan syubhat maka kita tidak berdosa tetapi hati kita yang dibina dari makanan itu tetap akan gelap.


Atas dasar itulah Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah-muntah, setelah dia mengetahui bahwa makanan itu sumbernya adalah syubhat. Amirul Mukminin itu merasa cukup takut bila makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa, "Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku."


Hal ini menunjukkan betapa, perkara haram itu memberikan bahana yang besar terhadap seorang mu’min. Samada kita tahu atau tidak tahu perkara itu haram, maka yang haram tetap haram, tetap memberikan kesan terhadap hati kita. Kita tidak berdosa jika memakan makanan haram tanpa kita ketahui keharamannya, tetapi hati kita tetap terbina dari perkara yang haram itu.


Hari ini, manusia menjalani kehidupan tanpa menitik beratkan perkara ini. Manusia berjalan tanpa memandang akan besarnya perkara ini. Mereka makan apa yang mereka mahu, mereka mengambil duit dari segala sumber tanpa mempunyai sensitiviti dalam perkara halal haram.


Bagi mereka, sapa ada kisah? Mereka pun tak kisah sebab yang lapar aku, anak-anak aku. Aku susah, ada sapa nak tolong? Lagi pun kubur masing-masing.


Hakikatnya mereka tidak sedar, memasukkan perkara-perkara haram, seperti makanan, mahupun membeli makanan dari sumber duit yang haram, akan memberikan kesan kepada hati kita.



Rasulullah SAW bersabda, “Hati itu dibina dengan apa yang dimakan.”


Maka sumber makanan kita juga perlu dijaga kerana makanan yang bersumberkan dari sumber yang haram sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada hati kita.


Imam As-Syafi’e Rahimullah ‘alaihi pernah berkata, “Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap.”


Justeru, penjagaan hati ini adalah perkara yang utama. Hati kita adalah segumpal darah yang mengandung sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu berasal dari makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih dan halal mengikut syariat Islam, maka sel dan zat itu juga bersih sehingga hati kita juga akan bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor, haram dan syubhat, baik benda itu haram atau wang yang digunakan untuk membelinya haram, maka sel dan zat-zat besi, atau zat-zat yang membina hati kita itu kotor, busuk dan gelap.


Hati seperti wadah yang terbuka. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik dari Allah sebab Allah tidak akan memberi taufik dan hidayah kepada hati yang kotor. Sama halnya kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam piring yang kotor. Apalagi taufik dan hidayah dari Allah itu sangat tinggi harganya.


Bila hati tidak dapat melihat kebenaran maka tidak akan terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang dan didikan dari Allah, tidak terasa anugerah, penjagaan, pengawasan dan pembelaan Allah. Kalau hati tidak mendapat hidayah dan taufik lagi maka kita akan menjadi orang yang sesat dan selalu terlibat melakukan maksiat dan mungkar.


Kalau kita pergi ke pasaraya, bahan masakan atau makanan yang ingin kita beli tiada tanda halal, tiada pula kawasan yang menyatakan tidak halal dan sebagainya, maka kita perlu lebih sensitif mengenai penjagaan halal haram ini. Sebaiknya jika tiada keperluan ataupun darurat, maka lebih digalakkan untuk kita memasak di rumah. Apabila memasak pula , pastikan bahan masakan itu dari sumber yang halal. Hal ini kerana, keadaan itu sudah jatuh kepada keadaan syubhah. Menjaga diri dari syubah adalah amat dituntut.


Memastikan kehalalan bahan itu bukan sahaja isi kandungan tetapi kaedah juga perlu diambil kira. Contoh ayam. Memang ayam dan daging lembu orang Islam boleh makan,tetapi jika penyembelihan tidak ikut syariat,haram juga. Daging burger,sosej, bebola daging dan lain-lain yang berasaskan ayam dan lembu.


Pernah ummi ditanya oleh salah seorang anak angkat mualaf ummi yang mengikuti delegasi sukan ke India. Semua atlet yang datang adalah bukan Islam. Hanya dia seorang Islam, tetapi tidak ada sesiapa pun yang tahu dia Islam. Dibawa oleh penganjur untuk makan di sebuah restoren. Sudah semestinya tidak ada label atau logo halal. Dalam hidangan yang disajikan terdapat kari ayam. Memang dia ragu-ragu dengan ayam itu, dikhuatiri tidak disembelih ikut syariat Islam, jadi dia tidak ambil ayam. Dia hanya ambik roti dan kuah kari. Namun terdetik hatinya rasa ragu-ragu.


Segera dia telefon ummi di Malaysia bertanyakan hal ini. "Boleh kah makan kuah kari ayam? Ayam tu saya ragu-ragu penyembelihannya, jadi saya tidak ambik, kuahnya boleh makan? Saya nak cicah roti."


Mudah saja ummi jawap,"ayam tidak disembelih ikut syariat ibarat bangkai. Kuah itu adalah kuah bangkai ayam. Lalukah nak makan?" Hujungnya baru ummi jawap,tak boleh.


Maka sepanjang dia di sana dia cuma makan roti dengan jem yang dibawa dari Malaysia. Begitu prihatin dia menjaga makan minumnya walaupun masih baru mengenal agama Islam.


Alasan tidak pandai memasak bukanlah satu alasan yang kukuh untuk dijadikan sebagai keadaan darurat. Untuk mengejar redha ALLAH SWT, kita sendiri perlu berusaha keras mengikuti perintahNya. Allah SWT tidak ingin sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Justeru kita sendiri perlu berusaha mengikuti apa yang diaturkan olehNya.


Jika kita tidak pandai memasak, maka berusahalah belajar memasak. Moga usaha kita itu, untuk menjaga kebersihan hati kita bagi memudahkan taqarrub kita kepada ALLAH akan diterima sebagai salah satu amal ibadah. Sesungguhnya ALLAH amat mengasihi hamba-hambaNya.


Mengenai penjagaan dari perkara-perkara syubhah ini, Rasulullah SAW ada bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram..." (H.Riw Bukhari dan Muslim).


Namun ramai yang ambil mudah kepada hadith ini, lalu menutup sebelah mata dan tetap juga memasukkan perkara-perkara syubhah dalam kehidupan mereka. Sedangkan keadaan ketika itu lebih cenderung kepada yang haram, kerana kita bukan di negara Islam, tambah pula yang memasaknya bukan Islam, itu belum lagi termasuk dengan bahan yang digunakan.


Akhirnya alasan darurat juga digunakan. Semua mengambil contoh dibolehkan memakan babi oleh Islam untuk membolehkan mereka makan di tempat-tempat syubhah.


Tetapi tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan darurat di dalam Islam? Darurat itu membawa maksud, jika tidak melakukan perkara itu, maka kita tidak akan dapat melakukan perkara lain. Contoh, kalau tidak makan babi itu ketika itu, maka kita akan mati. Maka bolehlah kita memakan makanan tersebut. Kalau sentuh air ketika itu, maka tubuh kita akan tumbuh gatal-gatal yang memeritkan. Maka bolehlah bertayammum.


Adakah kita sudah mencapai tahap sedemikian untuk mengambil perkara-perkara yang syubhah, sedangkan perkara yang jelas halal masih banyak di sekeliling kita?



Allah SWT berfirman, "(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Al-A'laa : 16-17)


Itulah sebenarnya yang ada dalam hati dan jiwa kita. Langsung tidak ada kekuatan dan kesungguhn untuk berusaha mendapatkan makanan yang halal.


Makanan kita membina hati kita. Kita sepatutnya sensitif dalam menjaga hati kita. Hati adalah bejana keimanan, hati juga adalah ibu kepada pemikiran kita. Kalau rosak hati kita, maka rosaklah segala kehidupan kita dalam menjadi hamba yang baik kepada ALLAH SWT.


Sesungguhnya, kesukaran yang kita hadapi dalam menjauhi perkara-perkara haram dan syubhah, akan Allah bayar atas kesungguhan ketaatan kita kepadaNya. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli dari orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.” (At Taubah : 111)

Kesukaran kita akan dibayar oleh ALLAH SWT. Itu adalah sesuatu yang pasti.

Maka jagalah hati kita dengan menjaga diri kita dari dimasukkan sesuatu yang sumbernya haram atau syubhah.


Hidup ini untuk mendapat keredhaan Allah SWT!


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 21 March 2011

Preview Gathering HHH 4

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Masih berat mata ini untuk dibuka luas-luas. Berat juga kepala kerana mengira akaun perbelanjaan gathering HHH 4 yang baru berlalu.


Untuk menjayakan sesuatu program, perancangan mestilah bijak. Bukan sekadar buat gitu-gitu saja. Seperti yang ummi tuliskan sebelum ini, kertas kerja mesti buat. Bertindak mengikut apa yang telah dirancangkan.


Sebab itu di dalam merancang sesuatu aktiviti, mesti ada Plan A dan Plan B. Teutama jika aktiviti melibatkan kawasan terbuka. Ini kerana faktor cuaca yang sukar untuk sesiapa meramalkan.


Begitu juga dengan bilangan peserta.Walaupun telah menyenaraikan nama, namun selagi tidak hadir mendaftar, masih boleh berlaku berbagai kemungkinan.


Jadi memang perlu ambik perhatian untuk merancang yang berkaitan makanan. Makanan mestilah diuruskan lebih awal. Tempahan dibuat berdasarkan senarai nama yang dijangka hadir. Tetapi bila tiba harinya, tidak ramai hadir,maka mesti berlaku rombakan semula.


Yang menerbitkan kemanisan ukhuwwah gathering tahun lepas dan tahun ini ialah penyediaan makanan sendiri oleh peserta. Saling bekerja sama, saling bantu membantu untuk menyediakan makanan.


Sebab itu kenapa hubungan orang kampung erat. Eratnya mereka bila ada kenduri kendara. Mereka buat kerja bersama-sama dalam menyediakan makanan untuk tetamu. Jadi konsep ini lah ummi mahu terapkan di dalam gathering halaqahnet setiap tahun. Sejarah telah membuktikan. Begitu juga dengan konsep makan berjemaah.


Sunnah nabi , makan berjemaah. Tidak semesti makan dalam dulang baru dikira berjemaah, tetapi maksud makan berjemaah adalah makan daripada satu sumber yang sama secara beramai-ramai.


Apabila mengadakan sesuatu program, selepas selasai rancangan, perkara kedua diutamakan ialah kewangan. Sumber perbelanjaan dan kemana dibelanjakan. Buat kira-kira inilah yang selalu jadi semput. Duit keluar dan duit masuk. Semua perlu dicatatkan dengan teliti dan akhirnya kena imbang. Huh... suka tak suka kena buat juga.


Alhamdullilah, walaupun perbelanjaan lebih besar dari sumber pendapatan, gathering tetap berjaya di laksanakan tanpa apa-apa kekurangan. Berbelanja secara berhemah dan seadanya.


Ini sedikit catatan post mortem ummi berkaitan gathering halaqahnet ke 4 lalu.



Gathering kali ini, walaupun AJK dirancang awal, namun tetap berlaku rombakan dan perubahan. Yang dasyatnya ramai jadi bidan terjun. Dan ini adalah lumrah bagi sesuatu program kerana kita hanya merancang. Pada awal rancangan pendaftaran dibuat di kawasan sekitar wakaf Masjid Terapung Kuala Ibai, tetapi memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, plan A bertukar ke Plan B, pendaftaran peserta berpindah ke Pasti Al-Haudhiah di Kg Kolam.

Urusan Allah kita tak mampu untuk mengetahui.


AJK Bidan terjun

1. ~ masak memasak menyediakan hidangan untuk peserta. Dengan diketuai Kak Ani dan Duratul Mujahid, pembantunya Iffah Muhsin dan Supriyani. Menu pun dirancang on the spot. Sebab tu, malam sebelum pendaftaran,berlari-lari anak-anak mengutip bahan-bahan masakan di Mydin. Ummi yang jadi bankers hanya berdiri di kaunter sampai lena.

"budak-budak ni gamaknya nak tidor dalam Mydin ke? tak ingat nak balik" Mujur lena berdiri tu tak sampai tumbang ke lantai, tapi nyaris-nyaris juga la...


2. ~ pengerusi majlis: Paklong, acit, Pemuda Islam dengan sukarela menerima arahan untuk mempengerusikan majlis di dalam setiap slot.


3. ~ AJK pengangkutan : Pak long jemput semua peserta yang sampai di Masjid Terapung untuk dibawa ke Kampong Kolam.


4. ~ AJK Pendaftaran : Az-Zahra dengan An-Nisae.


Kebanyakkan peserta terpaksa membolot banyak AJK kerja agar program berjalan lancar. Sifat tamat ini yang terpuji dimana tak ada sesiapa yang mengelat dan berkira kerja atau merasa iri jika seseorang itu melakukan banyak kerja sehingga tiada rehat.


Syukur sangat-sangat atas kerjasama semua. Langsung tak ada seorang pun yang mengelat dan mengelakkan tugas diberikan. Memang syariat Islam itu indah, kita saling tolong menolong berbuat kebaikan. Ukhuwwah yang terbina, moga-moga membawa hingga ke syurga.

Sapa masuk dulu, jangan lupakan saudara-saudara ini ya. Bawalah kami sama.



Peringatan untuk HHH akan datang:

Dalam merancang program mesti ada plan A dan Plan B. Ini semua ada dalam kepala. Dan mesti akur dan redha dengan sebarang perubahan, pindaan , tempat, AJK dan aturcara.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 20 March 2011

Ada Apa Pada Marah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Anak muda selalu fikir, kalau orang marah tu kerana tak suka. Mereka selalu salah anggap. Bagi ummi , selalu ummi ingatkan anak-anak, bila orang marah tanda orang prihatin. Tanda orang sayang. Kalau tak sayang, biarlah kamu nak buat apa pun, tersungkur terlingkup, tak payah dikisahkan. Tapi kerana sayang, maka ditegur juga agar tidak berulang lagi kesalahan dan kesilapan.


Sayangkan kita agar tidak terus buat silap, sayangkan kita agar tidak melakukan kesalahan dan kesilapan. Kadang-kadang bukan marah pun cuma menegur, tetapi disalah anggap kata marah. Ntah la...apa jadi dengan budak zaman ini.


Bagi ummi tak ada sebab orang saja-saja nak marah tak tentu pasal. Tak ada orang hobinya marahkan orang. Marah tidak baik untuk kesihatan. Marah akan menyebabkan tekanan darah naik. Darah serta merta menyirap di muka,tanda aliran darah pantas naik ke kepala. Orang marah mukanya jadi merah sebab aliran darah yang memenuhi urat saraf-saraf di kepala. Ini yang tidak baik untuk kesihatan.


Walaupun suara ummi kuat, (dah mestilah sifat seorang guru,kalau suara lentuk, pelajar tidor), kalau menulis teguran ummi macam laser berbisa,tidak semestinya ummi marah. Sepanjang kehidupan, ummi tak pernah rasa marah sehingga darah menyirap di muka. Muka kelihatan merah. Tapi orang salah anggap dengan teguran ummi, kata ummi marah. Ummi cuma marah jika Allah dan RasulNYA di hina dan dikutuk. Agama Allah dipermainkan. Itu saja. Lain pada tu , tak adanya ummi marah. Habis-habis kalau orang tak mahu dengar kata nasihat dan teguran ummi, ummi menangis.


Sebab itu juga ummi tak pernah bertengkar dengan sapa-sapa. Ummi tak akan buat bunga-bunga orang marah. Ummi tak suka bertikam lidah atau berbalas bahasa. Ummi akan mengalah dan diam. Bila ummi tak suka marah orang, maka ummi juga tak suka dimarahi tanpa sebab manasabah. Apatah lagi kalau kesalahan orang lain, tapi ummi yang kena marah.


Ada apa dengan marah ni sebenarnya?


KITA sebagai manusia biasa, semestinya ada kekurangan dalam diri. Begitulah fitrah kejadian manusia. Sebab itu, kita dianjurkan Islam untuk sentiasa ingat-mengingati sesama Muslim supaya kekurangan itu dapat diatasi dengan cara yang terbaik.


Marah adalah sifat yang ada dalam diri setiap manusia. Sifat itu dicipta bagi menilai sejauh mana tahap kesempurnaan iman seseorang Muslim.


Bagi Muslim yang benar-benar memiliki takwa, sememangnya mudah untuk menghindari sifat marah dalam diri. Sifat marah dikatakan antara punca berlakunya masalah yang lebih besar.


Jika seseorang tidak dapat mengawal perasaan marah, pergaduhan besar boleh berlaku, malah tidak mustahil hingga mendorong pembunuhan yang dahsyat.


Syaitan sentiasa mengimpikan manusia tinggal bersamanya di neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencapai impiannya itu.


Justeru, setiap individu Muslim harus sedar, jika mereka gagal mengawal kemarahan dalam diri, bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan.


Menjauhi sifat marah antara nasihat peninggalan Rasulullah. Perkara itu dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,” Bagi nda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari).


Perkara ini dijelaskan lagi Rasulullah dalam sebuah hadis lain. Pada satu ketika, terdapat dua orang yang saling mencela di sisi Rasulullah. Seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan hingga berubah wajahnya. Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah yang kalau diucap kan, pasti hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan syaitan berusaha memanfaatkan sifat marah bagi memporak-perandakan umat Islam. Sifat marah dalam diri adalah musuh utama manusia.


Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan daripada syaitan yang dilaknat.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200).


Selain itu, secara jelas, Islam memberi jalan penyelesaian bagi mengawal marah. Antara nya seperti yang terdapat dalam hadis di atas iaitu dengan membaca ta’awwuz (a’uzu billahi min al-shaytan al-rajim).


Kalimah itu diajar Rasulullah kepada sahabat untuk mengawal rasa marah.


Rasulullah juga menganjurkan supaya umat Islam yang sedang dikuasai sifat marah untuk mengubah keadaan fizikal mereka ketika itu.


Umpamanya apabila seseorang itu sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan supaya dia duduk.


Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).


Begitulah keindahan Islam yang amat prihatin terhadap umatnya. Pelbagai cara dan kaedah dianjurkan bagi mengatasi sifat marah. Secara logik nya, jika seseorang itu marah, dan dalam keadaan berdiri, pelbagai keadaan negatif boleh terjadi jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik.


Rasulullah menganjurkan supaya orang yang sedang marah itu duduk dan baring jika rasa marah tidak berkurangan. Umat Islam juga dianjurkan untuk diam daripada berkata-kata ketika marah.


Bayangkan jika rasa marah tidak dapat dikawal, sudah pasti pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan terhambur keluar. Begitu hebat senjata syaitan ini yang tidak jemu menyesatkan manusia.


Sabda Rasulullah: “Apabila di antara kamu marah, maka diam lah.” (Hadis riwayat Ahmad).


Dalam hal ini, sifat sabar amat diperlukan.


Tanpa kesabaran, tidak mungkin seseorang itu boleh diam ketika marah sedang menguasai diri.


Justeru, wajar untuk menanam sifat sabar dalam diri lebih-lebih lagi ketika marah. Firman Allah dalam al-Quran: “Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik.” (Surah al-Ma’arij, ayat 5).


Jika sifat sabar dapat ditanam dalam diri, nescaya rasa marah sukar menguasai jiwa dan akal seseorang Muslim.


Oleh sebab itu, darjat orang-orang yang sabar amat tinggi di sisi Allah.


Terdapat banyak ayat menyatakan sesungguh nya Allah sentiasa bersama-sama golongan yang sabar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).


Rasulullah amat menyukai orang yang sabar. Baginda pernah memuji seorang sahabatnya Asyaj ‘Abd al-Qays yang memiliki sifat lemah lembut khususnya sabar.


Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah iaitu sifat lemah lembut (sabar) dan ketenangan (tidak tergesa-gesa).” (Hadis riwayat Muslim).


Menurut Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, sifat sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah, kedua adalah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga adalah sabar ketika ditimpa ujian (musibah).


Selain itu, Islam juga menganjurkan orang yang sedang marah segera mengambil wuduk. Selain berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa kecil, wuduk juga boleh menghilang kan perasaan marah.


Sabda Rasulullah:

“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguh nya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).


Begitu juga zaman moden ini, dalam ilmu yang dipanggil kaunseling, pakar motivasi selalu sebut, kalau marah, tengok cermin. Apa persamaannnya disuruh ambik wudhuk dan tengok cermin? Begini,ketika kita marah, dan disuruh melakukan salah satu, semasa kita bergerak samada mahu ambik wudhuk atau pergi tengok cermin, saat dan detik pergerakkan tu telah menurunkan kadar kepanasan hati dan rasa marah akan reda.


Namun kita sebagai orang beriman, sebaik-baiknya ambiklah wudhuk, sebab dengan air yang sejuk telah menyiram kepanasan hati beserta gugur-gugurnya dosa. Syaitan juga bertempiaran lari.


Banyakkan mengingati Allah dengan cara berzikir kepadanya antara cara terbaik mengawal perasaan marah. Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati pasti menjadi tenang dan tenteram.


Jika hati dipenuhi zikrullah, syaitan tidak akan dapat bersarang di dalamnya. Firman Allah: “Ingatlah dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).


Rasulullah menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa’i).


Pengiktirafan yang tinggi diberikan kepada mereka yang berjaya mengawal perasaan ketika marah. Sabda Rasulullah: “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti (bergaduh), tetapi kekuatan sebenarnya adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).


Rasulullah menyatakan ganjaran akhirat bagi mereka yang berjaya mengawal perasaan marahnya menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah pasti memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).



Belajarlah mengawal sifat marah dan belajar cara-cara meredakan rasa marah. Jangan biarkan angin panas baran mengusai diri yang mengakibatkan kebinasaan iman dalam diri kita sendiri.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.






Saturday, 19 March 2011

Suntikan Rohani

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Badan yang masih belum mempunyai tenaga yang cukup untuk menulis, dengan minda yang masih belum bersedia untuk mencerna akal,tak dapat lagi menulis apa-apa hasil dan kisah gathering Himpunan Halaqian Halaqah  ke 4 yang baru berlangsung pada 13 dan 14 Mac lalu di Kuala Terengganu.


Belum cukup mantap untuk menulis sesuatu yang boleh dikongsikan bersama .


Sekadar kisah teladan ini disajikan untuk mengembalikan kerinduaan kepada ulama' silam yang hidup dalam ketaqwaan kepada Allah Ta'ala. Kisah yang menyuntik rohani agar lebih tekun mentelaah dan berkhalwat dengan Yang Maha Kuasa.


Ikutilah kisahnya...



Pada suatu hari Imam Syafie rhm datang menziarahi Imam Ahmad bin Hambal. Apabila selesai makan malam bersama, Imam Syafie masuk ke bilik tidur yang telah disediakan untuknya dan segera berbaring sehingga terbit fajar.




Anak perempuan Imam Ahmad yang sentiasa memerhatikan Imam Syafie sejak dari awal lagi bertanya kepada ayahnya dengan nada menegur, “Ayah selalu memuji dan mengatakan Imam Syafie itu seorang ulama yang sangat alim. Sebaliknya apa yang saya perhatikan banyak perkara tidak mengambarkan ianya seorang yang benar-benar alim.




Imam Ahmad amat terkejut mendengar perkataan anak permpuannya, lalu ianya bertanya, “Ia seorang alim wahai anakku, mengapa kamu berkata demikian?”




Anak perempuannya menjawab,” Aku perhatikan ada tiga perkara menyebabkan kekurangannya, wahai ayah. Pertama, pada waktu dihidangkan makanan, ia memakannya dengan lahap sekali. Kedua, sejak masuk ke bilik tidurnya, ia tidak Solat Malam sebaliknya hanya keluar setelah masuk waktu Subuh. Ketiga, Ia Solat Subuh tanpa berwudhuk.”




Imam Ahmad bin Hambal memikirkan semua perkataan anaknya itu dan akhirnya supaya jelas persoalan anaknya itu, ianya menyampaikan semua alasan anak perempuannya itu kepada Imam Syafie. Bila mendengar semua itu, Imam Syafie tersenyum lalu ia berkata, “ Wahai Ahmad! sebabnya aku makan dengan lahap dan banyaknya di rumah kamu kerana aku tahu bahawa makanan di rumah kamu jelas halal dan baik. Aku tidak ragu dengan makanan itu sedikit pun, atas sebab itulah aku makan dengan lahap. Lagi pun aku amat memahami bahawa engkau seorang yang sangat pemurah. Makanan orang yang pemurah itu ubat dan makanan orang yang kedekut itu penyakit. Aku makan semalam bukan kerana untuk kenyang tetapi semata-mata untuk berubat dengan makananmu itu.”




Perkara kedua yang menyebabkan aku tidak solat malam kerana ketika aku meletakkan kepalaku di atas bantal untuk tidur, tiba-tiba seolah-olah aku melihat di hadapanku Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW dan dengan izin Allah malam itu, aku dapat menyusun 72 masaalah feqah Islam sehingga aku tidak sempat solat malam.




Perkara ketiga yang menyebabkan aku tidak berwudhuk ketika solat Subuh kerana aku Walahhi ! . . . . pada malam itu aku tidak dapat tidur sekelip pun, sehingga aku Solat Suboh dengan wudhuk Solat Insya’.”


Demikianlah betapa taqwanya orang soleh yang beramal dengan ilmu. Mereka yang begitu patut diteladani agar hari ini kita bertambah baik dari semalam.




Impianku menjadi isteri solehah,  
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Tuesday, 8 March 2011

Alasan Itu Sebenarnya Ujian Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Firman Allah dalam Al-Quran, surah Al-Ankabut ayat 1 hingga 3


Maksudnya; "Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: 'Kami Telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya Kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 1-3).


Maka bila mana kita melakukan sesuatu, mohonlah kepada ALlah agar dipermudahkan segala urusan. Mohon kepada Allah akan limpahan redha dan rahmat daripadaNYA. Begitu juga perjuangan ummi untuk melaksaakan gathering dan menghadirinya.


2 bulan lalu program ini dirancang. Merancang sesuatu program gathering ini bukanlah semudah kita merancang majlis perkahwinan. Ummi rasai perbezaannya yang mana mudah yang mana payah.


Bermula dengan perancangan kertas kerja, kewangan dan lokasi tempat untuk diadakan. Semua urusan yang menggunakan maklumat di hujung jari. Mesyuarat, perbincangan, arahan hanya melalui alam maya. Bukan mudah sebenarnya sebab kita berhadapan dengan ramainya manusia yang 'cakap tak serupa bikin'.


Ramai yang bijak menulis, dan berkata-kata tapi pelaksanaan zero. Payah benar untuk kita berjumpa manusia ini mengotakan apa yang ditulis. Bila menulis, berkobar-kobar, nampak benar islamik dengan pemahaman ilmu yang tinggi. Tapi apabila kita mengajak untuk pelaksanaan, barulah kita tahu ada lantai yang berlekuk-lekuk.


Rupanya pemahaman ilmu itu tak kemana, tidak dapat diaplikasi didalam kehidupan harian. Tidak diamalkan. Akan terbit berbagai-bagai alasan. Alasan itu sebenarnya ujian Allah.


Allah mahu melihat apa yang dia kata dan tulis, Allah akan uji dia dengan apa yang dia tulis. Bila datang ujian yang sedikit dari ALlah , baru tahu sanggup menghadapi atau menyerah dan beralah.


Kadang itu alasan yang diberikan tu tidak menjangkau logik akal. Begitu dangkalnya iman, tewas kepada ujian yang kecil.


Ummi tak peduli apa alasan orang, kerana program ini dirancang sesuatu yang Allah redha, membina ukhuwwah dan mengeratkan silaturahim disamping dengan adanya pengisian ilmu. Ilmu itu dimana-mana boelh kita cari, tetapi uhkuwwah itu? Bukan mudah untuk bertemu dan berkumpul ramai-ramai.


Sesungguh Islam telah memberikan perhatian penuh akan adanya ikatan yang kuat pada sendi-sendi ukhuwah yang melahirkan di dalamnya cinta kerana Allah SWT dan menjadikan ukhuwah sebagai wasilah pengikat jiwa dan hati dan merupakan dasar pokok-pokok keimanan yang tidak akan sempurna keimanan seseorang kecuali dengannya dan tidak akan dapat direalisasikan kecuali dengan keberadaannya; bahkan dijadikan sebagai ikatan yang paling erat dari pokok-pokok keimanan dan kesempurnaan nilai-nilainya.


Allah swt berfirman:
“Hanyalah orang-orang beriman yang bersaudara”. (QS Al-Hujurat :10).




Bagaimana sunnah Rasullulah terhadap membina ukhuwwah?


Nabi saw juga bersabda:


“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, cinta kasih dan empati adalah seperti satu tubuh, jika salah satu tubuh darinya mengadu pada suatu penyakit maka anggota tubuh lainnya akan merasa sakit dan demam”. (Muttafaq alaih)


Makna Ukhuwah Menurut Imam Hasan Al-Banna semoga Allah merahmatinya berkata:


“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah adalah : mengikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah, dan aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling mahal harganya, dan ukhuwah adalah saudara keimanan, sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran, kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta, dan cinta yang paling rendah adalah lapang dada, sementara yang paling tinggi adalah itsar(mengutamakan saudaranya).


“Dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung”. (QS Al-Hasyr : 9)

Akhlak yang jujur adalah yang melihat saudaranya lebih utama daripada dirinya sendiri; kerana jika tidak dengan mereka maka dirinya tidak bersama dengan yang lainnya dan jika mereka tidak bersama dengannya maka mereka akan bersama dengan yang lainnya;

“Sesungguhnya serigala akan makan kambing yang tersesat sendirian”. (HR Abu Daud dan ditashih oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

dan nabi saw bersabda:


“Seorang mu’min terhadap mu’min yang lainnya seperti bangunan, saling memperkukuh sebahagiannya dengan sebahagian lainnya”. (Muttafaq alaih).


“Dan orang-orang beriman laki-laki dan wanita sebahagian mereka menguatkan sebahagian lainnya”. (QS At-Taubah : 71).

Demikianlah Yang Seharusnya Berlaku

Ukhuwwah menjadi semakin erat, dan sukar dipecahkan. Tambahan apabila hubungan ini menjadi sangat erat apabila saling bertemu, ziarah menziarahi bukan dengan kenalan itu sahaja sebaliknya dengan keluarganya juga sehingga ibu bapa mereka memandang kita sebahagian dari keluarga mereka sendiri.


Secara tidak langsung, kita telah melebarkan jalur ukhuwwah berasaskan keimanan ini kepada teritori yang lebih luas. Bermula satu individu, bercambah kepada individu-individu yang lain.



Boleh kah kita menyatakan pendapat sendiri?Siapa hak kita untuk memberikan pendapat tanpa bersandarkan hukum yang ada di dalam Al-Quran dan As-sunnah.


Haram hukumnya berdasarkan firman Allah,Yang mengetahui benda dalam rahim, Yang mengetahui benda itu hanya Allah, manusia tidak boleh meramal apa-apa.



Tunjuklah kemesraan dan layanan kepada semua orang tidak kira keturunan atau status diri.




Nak sambung cerita...

Awal-awal ummi rancang tarikh gathering ni, sebaik mungkin dengan ambik kira perjalanan yang jauh dan ketika cuti sekolah. Ditambah dengan bantuan beberapa halaqian untuk perancangan awal. Zauj pun izinkan pergi selepas siap perancangan yang ummi buat. Walaupun pada perancangan awal tak bagitahu zauj lagi, tapi memang sentiasa bedoa moga dipermudahkan urusan.


Seminggu lepas tu tengok jadual kuliah zauj di Kelang. Jatuh pada 12 dan 13 Mac. Oh lega.. sebab tak tinggalkan zauj di rumah masa nak pergi ke Kuala Terengganu ni. Zauj pun plan akan balik hari Isnin ke JB, nak jenguk cucu dan nak berehat bersama cucu-cucu di KL nanti. Tidak lah ummi berat hati nak tinggalkan zauj bersama anak-anak di rumah sebab zauj ada kelas dan pergi Kelang.


Ummi rasa syukur sangat,cantiknya perancangan Allah.

Tapi seminggu lagi nak pergi, tiba-tiba zauj dapat jemputan untuk membentangkan kertas kerja seminar di Universiti Brunei. Jemputan bentang kerja dah lama, cuma tak tahu tarikhnya. Baru pihak universiti sana maklumkan dan hantar tiket kapal terbang. 8 hb Mac zauj dah terbang ke sana. Balik 11 Mac. Ummi pulak dah tempah tiket bas ke Kuala Terengganu 11 Mac juga. Selisih masa. Zauj balik dari Brunei,ummi dah naik bas pergi ke Kuala Terengganu...


Zauj sampai malam, tapi terus kena ke Desaru pulak malam tu sebab ada Bengkel di sana. Bengkel tu pun zauj kena hadiri juga. Bengkel habis petang Ahad, 13 hb Mac. Alhamdullilah ada anak sulong ummi yang dapat hantar ummi ke terminal bas Larkin.


Terpaksa hantar ummi ke terminal Larkin lepas solat asar, walaupun bas ke Kuala Terengganu pukul 9.30 malam. Sebabnya nak kejar masa untuk solat maghrib. Dia Imam masjid Kangkar Pulai, tak boleh ascape. Lepas maghrib pula,kena pergi airport pula jemput zauj.


Memang ummi kena mujahadah kali ini. Tak di duga begini padatnya masa dengan berbagai urusan. Sepanjang ketiadaan zauj, ummi perlu uruskan Imran ke sekolah. Malam sebelum zauj berangkat, siapkan pakaian-pakaian dan beg zauj sepanjang 4 hari ke Brunei.


Nanti sebaik sampai rumah zauj akan terus ke Desaru. Jadinya,beg dan pakaian zauj ke sana ummi perlu siapkan awal-awal. Letak depan berhampiran pintu supaya zauj cuma perlu tinggalkan beg dari Brunei dan angkat beg lain ke Desaru. Dah pasti pakaian dari Brunei tu belum di cuci. Tunggu ummi balik dari Terengganu lah cuci.


Selama ni mana zauj pergi Seminar atau Bengkel, sentiasa dibawa ummi ni. Tak pernah ummi ditinggalkan di rumah. Tetapi kali ini kerana gathering HHH 4 telah dirancang awal, maka zauj izinkan pergi hadiri gathering dan tidak ikut ke Brunei dan Desaru. Tak kan ummi yang merancang program gathering HHH 4 ni, tiba-tiba ummi yang tidak hadir. Kecuali uzur syarie, sahaja yang menyebabkan ummi tak dapat hadir. Moga-moga Allah akan terus memudahkan segala urusan kita semua.


Kerana membina ukhuwwah itu adalah perkara yang Allah redha, izin dan redha zauj diperolehi,maka ummi tetap mohon pada Allah agar dapat izin hadir bersama-sama halaqian lain. Perlu korbankan masa,kewangan dan keselesaan diri untuk dapat hadir.


Kalau bukan kekuatan dari Allah, mungkin ummi tidak hadir gathering, alasannya mudah saja, temankan suami ke Brunei. Sebab tempat isteri di sisi suami. Tapi zauj faham kali ini, bagaimana susah payah ummi merancang, takkan semudah itu nak batalkan kehadiran. Di sini pun ada tuntutan untuk ummi hadirkan diri. Jadinya,jangan ambik mudah dengan sesuatu perkara maka Allah akan mempermudahakn urusan hidup dunia dan akhirat kita.


Ummi pergi naik bas pun bertemankan 2 perempuan yang dipercayai. Kalau tak ikut syarat, memang susah zauj nak lepaskan ummi kemana-mana tanpa zauj. Inilah mujahdah di dalam perjuangan. Tidak mudah untuk cepat memberikan alasan untuk tidak hadir. Alasan itu ujian sebenarnya ALLAH nak lihat sejauh mana kita dapat menunaikan janji. Masalah yang datang, bagaimana untuk diatasi. Bukan mudah untuk meraih kemanisan iman jika ada ujian terus ambik jalan mudah tanpa ada usaha perbincangan dan mencari jalan keluar.

Fikir dan rancang bagaimana untuk mencari jalan keluar dengan berdoa, mohon kepada Allah segala-gala bantuan dan pengharapan. Memang Allah akan tolong hantar bantuan mengikut kadar kesesuaian hambaNYA.


Sekian,moga bermanafaat untuk semua dikala ditimpa musibah.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 7 March 2011

Mentarbiyyah Anak Bukan Sekadar Berdoa

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Pernahkah kita mengambil kaedah bagaimana Jibrail mengajar Rasullulah membaca? Sebenarnya inilah contoh terbaik untuk ibu bapa mendidik dan mentarbiyyah anak-anaknya.


Cuba kita baca dulu terjemahan surah Al-Alaq ini.


Terjemahan keseluruhan surah Al-Alaq

سُوۡرَةُ العَلق
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥) كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ (٦) أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ (٧) إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ (٨) أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِى يَنۡهَىٰ (٩) عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ (١٠) أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ (١١) أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ (١٢) أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ (١٣) أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ (١٤) كَلَّا لَٮِٕن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ (١٥) نَاصِيَةٍ۬ كَـٰذِبَةٍ خَاطِئَةٍ۬ (١٦) فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُ ۥ (١٧) سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ (١٨) كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡ وَٱقۡتَرِب ۩ (١٩






Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1)


Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2)


Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3)


Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4)


Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)


Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6)


Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (7)


(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan). (8)


Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang); (9)


Seorang hamba Allah apabila dia mengerjakan sembahyang? (10)


Adakah engkau nampak (buruknya) jika dia berada di atas jalan yang betul? (11)


Atau dia menyuruh orang bertakwa (jangan melakukan syirik)? (12)


Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika dia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta dia berpaling ingkar? (13)


Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? (14)


Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam Neraka); (15)


Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. (16)


Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya); (17)


Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya). (18)


Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh) (19)


http://www.quranexplorer.com/Quran/Default.aspx





Jika diselidik intipati daripada hadis yang menjelaskan nabi SAW disuruh membaca sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga baginda menjawab dengan jujur bahawa baginda tidak pandai membaca dan menulis. Tiga kali pula Jibril memeluknya dengan sekuat hati bagi meyakinkannya bahawa pada saat itu kesanggupan membaca sudah ada padanya, apatah lagi baginda adalah al-insan al-kamil (manusia yang sempurna).


Apa intipati yang anda lihat di dalam kaedah pengajaran guru kepada seorang murid? Tetapi kaedah ini lebih baik dilakukan oleh seorang ayah atau ibu kepada anaknya. Bila kita mengajar anak,anak agak susah untuk dapat,sebaiknya gunakan kaedah ini.

Bila anak kata tidak pandai, tidak tahu,jangan terus dimarah. Lihat adakah bila Rasullulah diajar oleh Jibrail, baginda tidak tahu,Jibrail merasa marah? Tidakkan...

Sebaliknya baginda dipeluk oleh Jibrail dengan sekuat hati untuk menyakinkan. Begitu juga jika kita mendidik anak-anak kita. Tak dapat , jangan marah atau tengking,sebaliknya peluk anak tu untuk yakinkan dia, bahawa dia boleh. Kalau kita tengking,pasti anak itu akan menangis dan esok-esok tak mahu belajar lagi.

Bila anak rasa serik, tu yang mereka susah nak dapat dan jadi tidak berminat. Kaedah pendidikan oleh Jibrail ini sangat baik dipraktikkan oleh ibu bapa ketika mendidik anak-anak sendiri tidak kira ilmu apa pun.

Begitulah sewajarnya seorang ibu mendidik anaknya belajar dengan sabar. Bukan mudah untuk mentarbiyyah seorang anak. Dari mendidik mereka mengenal benda dan warna sebelum mengenalkan huruf, angka dan membunyikan huruf-huruf dan angka tersebut. Asas untuk seseorang itu belajar mengeja sebelum mereka membaca. Setelah anak boleh membaca,maka baru kita perkenalkan dengan bahan bacaan yang baik dan Allah redha.


Bacalah sesuatu yang diredai dan disukai oleh Allah SWT dan jangan membaca sesuatu yang dimurkai-Nya. Membaca mestilah didasari oleh niat kerana Allah untuk memberi kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.


Ayat ini dimulakan dengan "bacalah" yang merupakan fi'il amar yang memberi maksud: "ia merupakan arahan dan perintah supaya umat Islam sentiasa dituntut membaca, sama ada melalui ayat-ayat yang maqru'ah (yang dibaca seperti al-Quran dan al-hadis) atau ayat-ayat manzurah (yang boleh dilihat dengan pengamatan, kajian dan penyelidikan)".


Ayat ini didahulukan dengan perintah membaca, bukan dengan sujud, solat, puasa, zakat, haji, jihad dan lain-lain, seolah-olah memberi kefahaman kepada kita bahawa membaca sebagai satu keistimewaan manusia yang dapat mengumpulkan khazanah ilmiah berbanding makhluk yang lain.


Ini kerana membaca sebagai kunci ilmu dan mukadimah dapatan pengetahuan, yang mana Allah mengilmukan manusia tetapi bersyaratkan sebab-sebab, antaranya melalui pembacaan.


Ayat ini juga mengajar kepada kita supaya bacaan yang pertama dengan kalimah Allah. Dalam erti kata yang lain, seolah-olah bacaan yang terpimpin dan baik yang boleh membawa kepada makrifatullah dan mengenali dalil-dalil yang akhirnya menatijahkan khasyatullah.


Kesimpulannya, Tuhan yang mencipta dan mengadakan alam ini adalah berkuasa menjadikan kamu tahu membaca, walaupun kamu tidak pernah mempelajarinya.


Kemudian, Allah SWT menjelaskan peringkat penciptaan manusia melalui firman-Nya yang bermaksud: Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku.


Al-Qurtubi berkata: Manusia disebut dalam ayat ini secara khusus dan istimewa dengan tujuan memberi penghormatan kepada jenis manusia ini.


Sheikh Muhammad Abduh di dalam Tafsir Juzuk Amma yang dikarangnya menerangkan: Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan manusia daripada air mani dan membentuk segumpal darah. Kemudian menjadi manusia yang cukup sempurna, nescaya kuasa pula menimbulkan kesanggupan membaca pada seseorang yang selama ini dikenal butahuruf, tidak pandai membaca dan menulis.


Apa yang penting adalah harus mengetahuinya bahawa dasar segala yang akan dibacanya kelak tidak lain dan tidak bukan adalah dengan nama Allah SWT jua.



Semoga mendapat menafaat di dalam mentarbiyah anak-anak di rumah. Jika kita bercita-cita mahu anak soleh, ia bukan bergantung semata-mata kepada doa saja,tetapi dimulai dengan usaha sejak bayi di dalam kandungan dan sejak bayi mula membesar.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 6 March 2011

Secebis Ingatan Di Jalan Dakwah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات




Benar, jalan dakwah walaupun luas, namun bukan semudah itu untuk kita menarik, mengajak yang benar-benar tulus untuk ikut sama berdakwah. Walaupun ditunjukkan jalan, diberikan bimbingan tetapi masih juga dengan berbagai-bagai alasan untuk menolak.


Itulah perjuangan. Perjuangan yang kecil pun perlukan mujahadah. Ramai orang pandai bercakap, pandai menulis, tetapi pelaksanaan? Hampeh... Akan ada berbagai-bagai alasan.


Terkenang ummi, kisah burung kecil yang membantu memadamkan api takkala api membakar Nabi Allah Ibrahim.


Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.




Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.




Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”



Kita? Apa yang kita lakukan untuk dakwah dalam menyebarkan agama Allah? Menyebarkan agama Allah bukan semestinya mengajak orang bukan Islam memeluk Islam, tetapi mengajak orang yang sudah dilahirkan Islam mengenal agama Islam dan mengamalkannya.


Betapa ramainya yang mengaku beragama Islam tetapi cara hidup jauh dari amalan yang disyariatkan oleh agama Islam.


Islam itu dagang dan akan kembali dagang. Islam itu datangnya membawa perbezaan dan kalau Islam itu diamalkan kembali, ia juga akan membawa perbezaan. Islam itu lain daripada yang lain. Ketika awalnya dahulu, Islam itu terpinggir, jauh tersisih dari cara hidup orang-orang Arab jahiliah. Di akhir zaman juga ia terpinggir. Cara hidup Islam yang sebenar jauh tersisih dari cara hidup umat Islam di zaman jahiliah moden ini.



Al-Quran itu dinamakan Al furqan atau “yang membezakan”. Siapa yang mengamalkan Al Quran, cara hidupnya akan berbeza dengan orang yang tidak mengamalkan Al Quran. Siapa yang banyak meninggalkan Al Quran, maka Islamnya tidak syumul.


Dan inilah dakwah, mengajak mereka-mereka yang jauh tersasar dari jalan yang lurus untuk kembali mengamalkan syariat Islam. Melaksanakan rukun Islam dan berakhlak mulia. Memurnikan hati agar apa-apa yang dilakukan ada nilai dan kualiti di sisi Allah Ta'ala.


Ramai juga insan yang dikelilingi kemewahan hidup namun hatinya bagaikan gersangnya dipadang pasir. Kosong, hambar, tawar, panas dan pelbagai lagi keresahan yang mencengkam jiwa. Wang berjuta, pakaian mewah, kereta mewah berderet, isteri-isteri yang jelita, anak-anak yang ramai dan pelbagai lagi tidak menjamin dapat rasa bahagia dan tenang. Justeru apakah nilai sebenar yang mampu menyejukkan hati dan menyamankan jiwa?



Nilai yang dapat mengisi jiwa manusia hakikatnya tidak terpahat pada kilauan berlian, kerlipan emas, kejelitaan wajah dan lain-lain. Oleh itu dimanakah kita dapat mencarinya? Apakah nilai yang membahagiakan itu sebenarnya tidak wujud atau ia sengaja disembunyikan kerana takutkan sesuatu?



Lantaran itu jangan lah kita tertipu ibarat seorang yang sedang kehausan dipadang pasir dengan kilauan Fatarmorgana yang disangkakan air.



Fatamorgana itu dihidangkan kepada rakyat dengan semakin hebat oleh media massa hari ini. Semakin mendekati kiamat, semakin galak media massa cetak, elektronik dan maya menonjolkan fatamorgana untuk menghilangkan ‘dahaga’ ruh masyarakat. Nilai yang hakiki disembunyikan atau sekadar dijadikan kosmetik buat mengelabui mata rakyat.






Fatamorgana terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia mengenai kebaya bertatah berlian dan permata yang bakal masuk senarai Guinness World of Records. Ia diperagakan oleh penyanyi Datuk Sheila Majid.






Dalam laporan tersebut, Datuk Sheila Majid menyatakan perasaannya, "Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya".






Sepatutnya kenyataan tersebut mengungkapkan, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini kerana terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat. Meskipun ia mahal namun aurat saya jauh lebih berharga dari nilai baju jutaan ringgit itu. Aurat saya adalah rahsia serta maruah saya sebagai wanita muslim. Sekali-kali saya tidak akan tukarkannya dengan sedikit nilai duniawi yang tidak mendapat tempat di sisi Allah”.






Ungkapan itu jika diluahkan dari hati berjiwa hamba kepada Allah akan memberi nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang berjuta sekalipun. Inilah hati yang mewah dengan iman. Inilah jiwa taqwa yang bernilai ekslusif di sisi Allah swt. Sepatutnya kenyataan seperti ini lah yang diucapkan apabila beliau menghubung kaitkan dengan nama Allah. Sedihkan...






Apalah sangat kebaya jutaan ringgit jika disebalik kilauan permata dan berlian itu hanya terdapat murka Allah. Kemurkaan itu bukan setakat fesyen pakaian yang mendedahkan aurat bahkan juga pada pembaziran yang dibuat semata-mata untuk sepasang baju! Baju itu tetap juga namanya kebaya, apa guna jika nyawa terancam. Kalau rasa nyawa tak terancam kenapa harus ada polis mengawalnya, ini bermakna nyawanya senilai harga kebaya itu sahaja .



Jika ditanya siapa yang mahu bertemankan syaitan, saya percaya ramai yang tidak sanggup. Tapi siapa yang mahu berdekat dan berbaik dengan Allah, pasti ramai yang mahu. Namun sekadar berteori di lidah tidak bertulang, tiada maknanya. Sedangkan perbuatan kita menurut apa yang syaitan suka.



Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai adik-beradik syaitan. Wah... hebat... bukan setakat bersahabat, bahkan sudah ada ikatan silaturrahim secara rasmi sebagai adik - beradik.




Allah berkata dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27,
"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing serta janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."


Alangkah baiknya jika nilai jutaan ringgit itu dibelanjakan buat golongan fakir dan miskin yang masih ramai tidak memiliki kediaman.


Lihat, ramaikan yang bijak berkata-kata walaupun mereka tidak tahu dan tidak melakukan apa yang mereka kata. Ibarat tin kosong, makin kuat bunyinya bila disepak atau ditendang.


Bila disarankan, diberikan jalan untuk melakukan kebaikan, kebajikan, bijak memberikan alasan untuk menolak. Bila diminta membantu, bukan sendiri yang ingin merebutnya, tetapi menuding jari supaya berikan orang lain membuatnya. Pelikkan? Nak diberikan hadiah, tetapi menyuruh berikan hadiah itu kepada orang lain.


Tidakkan terfikir di dalam benak kepala, bahawa setiap apa yang dilakukan dengan tulus, ada nilai di sisi Allah, walaupun usaha yang sedikit. Jika tidak mampu untuk menyumbang sesuatu yang besar, sedikit pun cukuplah. Apa yang mahu dijawap di sisi Allah nanti, jika ditanya, sekian haribulan, ada seseorang minta pertolongan, tetapi kamu menolak dengan berbagai-bagai alasan. Paling sadis, ada yang jawap tak sempat nak buat sebab nak menonton TV ShinChan. Umur dah menjelang 20 tahun, masih berfikiran kanak-kanak seusia 5 tahun!


Bilakan akan tersedar anak-anakku? Rebutlah peluang yang kecil ini,walaupun ganjaran nya kecil, tapi di sisi Allah amatlah bernilai. Masih ingat kisah seorang yang bakhil, hanya pernah sedekah secebis kain kepada seorang fakir, sedangkan dia mempunyai berpasang-pasang pakaian cantik dan kain yang secebis itulah yang menyelamatkan dia dari bakaran api neraka.


Ini kisahnya...

Gadis yang terbakar tangannya
PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.


"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.


Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"


"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.


Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."


"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.


"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.


"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.


"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.


"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.


"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.


Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.


Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.


Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.


Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".


Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."


Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.


”Dakwah dusta!” Dakwah dusta. Dakwah dusta. Di jalan cinta para pejuang, mari kita hati-hati terhadap jebakan syaitan. Karena yang tampak indah selalu harus diperiksa dengan ukuran kebenaran. Bangunlah wahai anak-anak, jangan lah selesa dengan apa yang dirasai sekarang.



Kisah Teladan di Petikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Sumber kisah Burung: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Saturday, 5 March 2011

Program Gathering HHH 4

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Taklimat Akhir Untuk Semua Peserta

Tajuk : Himpunan Halaqian Halaqah Kali Keempat


Tempat pertemuan dan aktiviti : Ma'ahad Tahfiz Darus Syifa,Kg.Kolam, Kuala Ibai,Kuala Terengganu.
 
Tarikh                               : 13.03.2011 (Ahad) -   14.03.2011 (Isnin) (2 hari 1 malam)
                                                 (ketika cuti persekolahan)

Penginapan                       :  1. Muslimin ~ Asrama Ma'ahd Tahfiz Darus Syifa
                                             2. Muslimat ~ Banglo Teratai Homestay,Kg.Kolam                                              
                                                  
Bayaran pendaftaran program adalah sebanyak RM 50.00 (makanan dan penginapan)

Pendaftaran bermula pukul 9 :00 pagi Ahad, 13 Mac 2011 di Masjid Terapung , Kuala Ibai.
Sekiranya tersesat dan ada masalah, hubungi: Ustaz alhaudhie (0139870870) , Ummi Munaliza (0197799682)

Sekiranya masih ada halaqian yang ingin menyertai, boleh maklumkan melalui telefon dan terus datang mendaftar pada hari berkenaan.

Bayaran pendaftaran boleh dibuat sekarang , bank in ke dalam akaun CIMB 01180004462058 Halaqah Net Services. Sila maklumkan kepada saya sesiapa yang telah membuat bayaran melalui bank. Bayaran juga boleh dibuat pada hari pendaftaran.

Kepada yang datang menggunakan pengangkutan awam, maklumkan kepada pemandu untuk turun di Masjid Terapung, Kuala Ibai. Semua bas dari destinasi selatan, tengah, barat akan melalui lokasi  ini. Pengangkutan disediakan sekiranya ada yang turun di Terminal Bandar Kuala Terengganu. Sila maklumkan melalui telefon.

Kepada pemain futsal, sila sediakan pakaian yang sewajarnya untuk bermain. Pemain akan memakai baju T halaqahnet. 

Untuk aktiviti muslimat, pakaian adalah mengikut kesesuaian aktiviti. Mohon bawa peralatan melukis 'mural'.

Bawa peralatan kebersihan diri sendiri (berus gigi,ubat gigi).

Aktiviti ini diharap dapat dijadikan satu platfom bagi halaqian mengembangkan ilmu dan menyebarkan dakwah ke arah yang lebih berkesan.

Peringatan:
 Kita bermusafir, bukan kemewahan yang dicari tetapi keeratan ukhuwwah yang kita rasai.

Kepada sesiapa yang datang awal, tiada tempat bermalam pada Sabtu malam Ahad,sila hubungi saya. Saya berada di Yen Tin Mid Town Hotel, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. (Tengah bandar Kuala Terengganu berhampiran Masjid Abidin)

Terima kasih. Sekiranya masih ada maklumat diperlukan,sila maklumkan kepada saya.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.