BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 11 February 2017

Mutiara Yang Tersembunyi

Mutiara Yang Tersembunyi
Mutiara ini saya sembunyikan selama 2 tahun. Ibarat mutiara yang disimpan di dalam tiram. Tidak siapa yang tahu. Walaupun sekali sekali saya dendangkan kecantikannya, tetapi tidak detail. Saya cuma berkata sudah memiliki baru kamu tahu nilainya. Dan sangat tidak rugi memilikinya. Saya sendiri tercari cari siapakah yang layak memiliki mutiara ini.

Suara alunan zikirnya, selawatnya, apatah lagi alunan bacaan qurannya masih saya rindui. Selama bersama saya di bawah satu bumbung, setiap hari pasti terdengar suara alunan zikir, selawat dan bacaan qurannya. Rindu dengan suara itu. Selalu, bahkan saban hari saya mendoakan biarlah Allah kurniakan dia jodoh terbaik disisi Allah. Wajah ayunya cantik dan menarik, tubuhnya langsing, suara gemersiknya. Nak dengar suara marah tu payah sekali. Akhlaknya yang indah buat lelaki akan terpesona.

Saya sendiri bimbing tersalah orang saya serahkan. Saya sendiri memilih calon suami untuknya. Saya juga beristikharah ketika menetapkan pilihan. Walaupun bukan darah daging saya, tetapi kasih sayang itu tumbuh tanpa syarat. Hubungan ini pasti sampai ke akhirat.

Dia sedih saya juga berduka. Dia ketawa , saya senyum gembira. Tapi bukan selalu kami dapat tersenyum melalui hari hari di Baitus Solehah yang penuh ranjau pada awal perjalanannya.

Selepas melahirkan anak, ketika umur anaknya 5 bulan, waris menjemput pulang ke rumah. Cuma 2 bulan saja dia betah berada di rumah waris. Terasa kosong dan sunyi walaupun ada anak bersama. Dia rindu untuk berada di Taman Taman Syurga semula. Saya dapat menebak apa yang tersirat di dalam hatinya.

Saya tawarkan , "mahu balik semula duduk dengan ummi?"

Bagai orang dahaga disuakan air, "boleh ke ummi? Nak sangat duduk dalam Taman Taman Syurga, duduk sini rasa kosong dan sunyi."

"Kamu mahu dipenjara semula?"

"Dipenjara tetapi hati riang di Taman Syurga lebih baik dari duduk di sini boleh terbang tetapi kosong jiwa."

Maka datang dia dihantar waris semula bersama anaknya. Banyak kemahiran rumah tangga dipelajarinya. Disamping boleh membantu pelatih lain membaca al Quran.

Sekali lagi apabila ditawarkan pekerjaan berada di luar, dia terima untuk mencuba kehidupan baru dengan anaknya. Ketika itu umur anak sudah 1 tahun lebih. Itupun cuma sebulan. Tak mampu dia menjalani kehidupan yang jauh dari Taman Syurga. Genap sebulan, balik semula.

"Ummi, saya tak kuat berada di luar sana. Jiwa saya kosong apabila jauh dari Taman Syurga."

"Baiklah, tak payah kamu keluar lagi, tinggal aja dalam sini."

Perancangan Allah lain rupanya. Tidak lama selepas ini, ada yang merisik. Bulan berikutnya meminang dan bertunang. 3 bulan selepas itu, saya adakah majlis akad nikah. Ketika akad nikah dilafazkan, saya menitiskan air mata, terasa suatu tanggungan diturunkan dari kepala. Sehari selepas majlis akad nikah, terus suaminya sebagai waris menandatangani daftar keluar Baitus Solehah.

3 bulan selepas bernikah, walaupun selalu berwhatsapp, saya bertanya, "macamana kehidupan rumah tangga?"

"Ummi, terima kasih, Alhamdulillah, hidup saya terasa lengkap dan sempurna. Maha Suci Allah, indah hidup bersyariat, ada yang menyanyangi dan melindungi. Saya tidak impikan apa apa lagi kecuali syurga yang Allah hantar kepada saya ketika di dunia ini."

Ini adalah tanda taubat diterima. Taubat nasuha yang bersungguh sungguh dengan niat yang betul. Kehidupan seterusnya mencari redha Allah. Sejak melangkah awal dahulu masuk Baitus Solehah. Berusaha mendidik hati untuk redha dengan takdir dan bersyukur dengan nikmat iman yang Allah kurniakan. Hatinya kosong apabila jauh dari majlis ilmu.

Kini suaminya imam, dia dan anak anak menjadi makmum. Suaminya tahu apa yang saya sembunyikan dahulu adalah suatu nikmat yang dirasai kini. Mudahkah mencari isteri yang taat dan patuh pada zaman ini? Kek yang terbentuk sangat indah dari acuan dan design menarik.

Susah senang sama sama dirasai. Bukan emas permata yang didambakan, cukuplah kebahagiaan jiwa, kekayaan iman melingkari kehidupan kini. Anak pun bertambah, sepasang kini. Alangkah bahagia apabila syariat Allah kita taati.

Doakan moga moga rumah tangga mereka hingga ke syurga.

Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?

Buat pendosa diluar sana, berusahalah untuk melakukan taubat nasuha. Betulkan niat untuk menuju keredhaan Allah, nikmat iman itu sangat indah dan dirasai kemanisannya. Hidup kita hanya sementara, bukan selamanya. Biar pun kita pendosa, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka, Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah

0 comments: